Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, June 6, 2014

ZOMBIE: ANTARA FIKTIF DURJANA DAN MUKJIZAT





 Dewasa ini banyak filem baik tempatan mahupun antarabangsa giat mengetengahkan gejala zombie, paling mudah dicernakan adalah mayat hidup. Kebanyakan artikel ringkas pengenalan filem tersebut mengkelaskan cerita zombie ini sebagai 'fiksyen sains.'

                                   
Konon zombie ini terjadi apabila umumnya tersebar sejenis penyakit yang menjangkiti manusia dan kemudian menjadi mayat hidup yang mahu menjangkiti orang lain dengan cara menggigit. Dengan jalan yang terhuyung-hayang, keadaan badan luka dan berdarah, zombie menyeret kaki dan tubuhnya mencari mangsa. Dan gejala ini berterusan sehinggalah sekian manusia menjadi zombie. Boleh dikatakan, jiwa si zombie ini 'terseksa' kerana hidup pun tidak, mati pun tidak, terperangkap dalam kehinaan seperti itu.

Dalam majalah BBC Knowledge, Jilid 5 Isu 6 (m/s 48 - 54), terdapat satu ruangan yang cuba menjelaskan 'sains Zombie' itu adakah wujud secara saintifik. Diringkaskan, ya, ada asasnya(sedikit sahaja), tetapi akhirnya diolah-olah menjadi cerita dongeng. Majalah tersebut menyentuh kajian berkenaan di Haiti (pulau terletak di Lautan Carribean). Di Haiti, lagenda orang mati hidup semula adalah sesuatu yang biasa. Banyak cerita orang yang diisytihar mati dari segi klinikalnya, tetapi kemudian hidup kembali.                                                         

Tersebutlah satu kisah yang masyhur pada 1962, ada seorang budak lelaki diisytihar sebagai mati kerana mengalami komplikasi. Acara pengebumian telah diaturkan. Pada 1981, konon saudara perempuan kepada si mati telah berjumpa dengan seorang lelaki, yang mengakui nama si mati itu tadi. Perempuan itu terkejut kerana nama si mati tidak diketaui melainkan keluarganya sahaja. Si mati itu mengakui bahawa 'tidak mati' sebaliknya kemudian ia telah dijadikan sebagai zombie (hamba abdi) bekerja untuk tuannya.

Maka gemparlah dunia saintifik. Seorang pakar, Dr. Lamark Douyon, Pengarah Pscychiatric Institute di Portau-Prince telah membuat kajian akan kebenaran kes tersebut. Kajian telah mengesahkan bahawa 'si mati' itu memang bersaudara dengan perempuan tadi. Rupa-rupanya 'si mati' itu diperangkap oleh 'tuan zombie' yang memberikan sejenis ubat racun yang kompleks yang merosakkan mentalnya dan dibayangi hidup dengan halusinasi.

Kes seperti ini direkodkan sebanyak 25 kes sejak 1982. Sebahagian manusia yang dikatakan 'mati' ini menjadi normal semula. Terdapat juga kes seorang perempuan di Columbia (Amerika Selatan), yang diisytihar mati, tetapi 'hidup semula' di rumah mayat. Majalah tersebut menyatakan:

"... But far from being animated corpses like the zombies we often imagine, these patients are very much alive."

Secara kesimpulannya, cerita zombie mungkin ada sedikit asasnya. Jika didasari secara saintifik, seseorang itu telah diberi ubat/racun sehingga mentalnya menjadi rosak. Tetapi, manusia tersebut hidup, tidaklah sampai kepada tahap dalam fiksyen zombie menjadi mayat hidup yang mengerikan. Kisah zombie dibesar-besarkan sebagai penyedap rasa bagi mengaut laba untung yang besar menerbitkan cerita sensasi lagi seram ataupun lucu.

Jika ditilik daripada ciri-ciri yang mencirikan 'fiksyen sains', cereka yang berpaksikan zombie ini terkeluar daripada kerangka fiksyen sains. Bahkan lebih sesuai diletakkan sebagai 'pseudo'-fiksyen sains. 'Pseudo' membawa maksud 'palsu.' Berdasarkan perbincangan dalam BBC Knowledge tadi, tiada bukti yang kukuh bahawa zombie ini berpaksi kepada asas saintifik yang kuat. Hanya dengan sedikit penyataan kimia, kemudian diolah kisah itu mengikut selera rasa pengkarya. Apakah landasan moral ataupun falsafah yang didasari oleh karya-karya zombie ini? Yang ada hanyalah berkejar-kejaran, dihantui mayat berdarah dan ketakutan dijangkiti zombie. Lebih parah lagi, pelajar zombie menggigit gurunya! Apakah terkandung apa-apa mesej adab dalam adegan ini?

Satu kebimbangan fenomena zombie ini adalah timbulnya konflik kepercayaan dalam diri anak-anak, terutama anak kecil yang sedang membesar. Bagaimanakah jadinya akal mereka bertubi-tubi didedahkan seperti ini, tanpa imbangan agama yang sewajarnya? Adakah mereka lebih percayakan kewujudan zombie-zombie ini daripada percayakan kisah mukjizat para Rasul dan Nabi-nabi?
Menjadi tanggungjawab kita menanam benih-benih akan keimanan yang bersih. Salah satu jalannya adalah dengan cerita-cerita agung para Anbiya' yang bersumberkan daripada al-Quran. Biarlah anak-anak kita mempercayai kebenaran utusan Tuhan, daripada bulat-bulat menerima kebatilan yang tiada asas. Begitulah pancaroba zaman masakini.

Mari kita renungkan..

Sunday, June 1, 2014

CIRI UNIVERSAL FIKSYEN SAINS BERMUTU


Berdasarkan kajian terhadap beberapa karya fiksyen sains 'evergreen' yang bertahan lama (10 sehingga 30 tahun), terdapat ciri universal yang terkandung dalamnya yang memungkinkan karya tersebut dapat bertahan lama dan peminat yang ramai. Karya-karya fiksyen sains ini adalah seperti DUNE (sejak 1965), STARWARS (sejak 1977), Gundam (sejak 1979), Command and Conquer (1996 - 2013), Starcraft (sejak 1998).
Manakala ada juga karya fiksyen sains lain yang baru bermula beberapa tahun ini dan berpotensi besar untuk bertahan lama dan meningkatnya pertambahan peminat. Karya yang dimaksudkan adalah seperti game HALO (sejak 2000) dan Assasin's Creed (sejak 2007). Kedua-dua game ini dikembangkan melalui penghasilan novel.
Karya-karya yang bertahan ini masih lagi berterusan penghasilannya dan disebarkan dalam cakupan yang luas. Ini merangkumi filem, siri animasi, game, novel, komik, produk merchandise.
Sinergi Ideologi-Teknologi-Latar sepertimana yang pernah disentuh dalam blog Saifai (Sci-Fi) Islami (saifaiislami.blogspot.com) adalah rumusan kepada ciri-ciri universal yang terkandung dalam karya-karya yang masih teguh ini.
Insya-Allah kita akan kupas pada masa mendatang.

EPISOD 7 (AKHIR) ANIME GUNDAM UNICORN "OVER THE RAINBOW"


Siri Gundam Unicorn bersempena dengan sambutan 30 tahun Gundam (sejak 2010) lepas bakal menyaksikan episod kemuncaknya yang berjudul "Over the Rainbow" bermula 17 Mei 2014 ini. Tujuh siri filem yang berdurasi sejam setiap episod menyingkap lembaran konflik hampir seabad antara manusia Persekutunan Bumi (Earth Federation) dan manusia angkasa 'spacenoid' yang dinaungi oleh kerajaan Neo-Zeon. Rahsia di sebalik konflik 'Universal Century' (UC) ini disudahi dengan kemunculan mecha Gundam Unicorn yang bakal membuka sejenis alat rahsia yang dinamakan Kotak Laplace (Laplace Box).


Pemerhatian dan pengamatan telah ditelaah sejak kemunculannya pada 2010. Gundam Unicorn mempunyai ciri-ciri fiksyen sains yang seimbang antara ideologi/falsafah/pegangan, teknologi dan latar. Kisahnya diolah dengan begitu baik. Sesiapa yang tidak pernah menonton jalur cerita Gundam dalam konflik UC, akan memahami keseluruhan konflik tersebut. 

Selain daripada aspek pertarungan antara Mobile Suit (robot gergasi seumpama Gundam) dan teknologi canggih yang mendominasi manusia pada zaman itu, penekanan aspek kemanusiaan begitu disentuh bahkan diutamakan. Pergeseran antara ideologi, tersepitnya manusia antara dua prinsip, dilema kemajuan dan kecelaruan manusia mengisi makna cerita ini bukan sekadar hal teknologi semata-mata. Unsur kemanusiaan yang erat ini telah menjadikan Gundam Unicorn sebagai fiksyen sains yang terbaik pernah (penulis SAGA Galaksi Muhsinin) amati. 

Insya-Allah ada kesempatan lain kita akan bicarakan.

Apakah agaknya penyelesaian konflik Kotak Laplace pada Universal Century kali ini?


Saturday, May 31, 2014

AIS DAN HATI BEKU



Sejak zaman-berzaman, manusia di serata dunia menggunakan alam dengan bidalan atau misalan dalam bahasa mereka dalam memaksudkan sesuatu. Seperti peribahasa Melayu, 'hati beku', 'hati sejuk', 'hati batu' dan seumpamanya menunjukkan simbolik terhadap yang dimaksudkan secara tidak langsung.


Begitu juga dalam genre fiksyen sains dan fantasi (atau gabungan kedua-duanya dikelas sebagai hibrid), sifat-sifat daripada hukum alam ini dijadikan simbolik bagi menggambarkan sifat manusia. Antaranya adalah sifat dingin, beku, gelap yang dinisbahkan kepada hati yang keras dan keadaan berkuasa dalam suasana yang negatif. Walaupun seringkali dizahirkan dengan ais, tetapi penggunaan simbol daripada alam ini menyokong mesej yang ampuh menunjukkan kerasnya hati yang beku. 

1. Darth Vader, Trilogi STARWARS 
Darth Vader watak antagonis lagenda dalam fiksyen sains ditunjukkan dalam novel STARWARS 'Death Star.' Ia asalnya adalah seorang pembela keamanan, Kesatria Jedi yang bernama Anakin Skywalker telah berpaling menjadi seorang ejen Sith yang amat jahat bawah pengaruh Darth Sidious (Emperor Palpatine). Dalam novel 'Death Star', seorang jurusenjata berjawatan tinggi konon mahu menunjukkan egonya apabila berselisih dengan Darth Vader di satu lorong dalam planet-senjata super itu. Akan tetapi, jurusenjata itu terpaksa juga mengalihkan laluannya kerana aura 'kebekuan hati' Darth Vader itu terasa sehinggakan lorong itu terasa sangat dingin yang menyesakkan. 


2. Ratu Elsa, Frozen


Cerita rakyat fantasi Disney ini serupa seumpama cerita rakyat Raja Midas. Sentuhan Raja Midas menukarkan semua barang menjadi emas. Tetapi Ratu Elsa mempunyai kuasa membentur ais sejak lahir dan apa-apa dipegangnya diselubungi ais. Ini telah menimbulkan kegusaran dan akhirnya tidak dapat dikawal, membekukan kota Arendelle. Adiknya Puteri Anna memujuknya kembali. Seringkali dalam kisah ini disebutkan hati yang beku.



3. Lich King, Warcraft III: Frozen Throne

Cerita fantasi yang menarik ini adalah daripada game lagenda Warcraft yang dibangunkan oleh Blizzard Entertainment. Sepertimana Anakin Skywalker yang baik menjadi Darth Vader yang bengis dan zalim, seumpama itu juga Putera Arthass yang telah mengkhianati kerajaan Lorderon dan menjadi Lich King. Ia bertakhta di Takhta Beku (Frozen Throne) yang melambangkan kuasa mutlak dan kebekuan hatinya daripada kehangatan kasih sayang yang menjadi norma manusia.



4. Mr. Freeze, Batman

Khabarnya watak antagonis Mr. Freeze yang memusuhi Batman ini juga adalah seorang yang baik, tetapi dek kerana tragedi menimpa isterinya ia menjadi seorang 'supervillain.' Hati yang beku ini digambarkan dengan ia tidak boleh hidup tanpa bergantung dengan sut khas aisnya. Sekalipun watak lajur komik (comic strip) seperti Batman ini dikira sebagai fiksyen sains yang lemah, tetapi masih dikira dalam kategori itu kerana masih ada elemen fiksyen sains.

Alam yang terpampang indah ciptaan Tuhan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ini adalah sumber yang baik bagi melambangkan sesuatu yang dimaksudkan. Akal yang diberi-Nya kita gunakan sebaiknya. Itulah kecerdasan orang terdahulu yang akrab dengan alam dan Tuhan yang banyak mendahului kita dari segi kepintaran menyatakan isi tersirat.

Sunday, May 25, 2014

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H (Bhg. 3) : Ribut Ion Makin Dekat


Bahagian   1    : Pensabotaj Wirawan Liga Lanun
Bahagian   2    : Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair


Dari kejauhan kedengaran guntur berdentum, disusuli dengan panahan kilat bervoltan tinggi. Penunjuk arah maya menyatakan bahawa destinasi sudah tidak jauh lagi. Untuk membantunya memandu sejak dari Metrodaya, peta maya yang dimuat turun daripada imbasan permukaan planet oleh kapal Galleon di orbit digunakan.

Bintang berkembar sudah pun hampir terbenam. Namun perlanggaran ion-ion di awanan yang sedang mengumpul cas sudah menyelubungi lokasinya dengan kegelapan. Kemaraan ribut ion dengan berawan kebiru-biruan menandakan ribut ion akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Di belakang menggalas pek komputer, bekalan makanan, sepucuk revolver laser beserta katrij cas di sisi pinggang. Si Pensabotaj handalan Liga Lanun, Jack Barbarossa bakal bermandikan wang usai misi ini.

Gogal masih dipasang di matanya. Sutnya ditetapkan mod ‘armor berlapis’ dengan diperbuat daripada gentian polimer- ringan. Sut ini menyenangkan pergerakan dan sesuai bagi operasi tempur. Adanya keupayaan penstabil haba yang melindungi daripada sejuk atau haba tinggi melampau, serta anti-bahan kimia mengakis dan arus elektrik, sut ini amat sesuai untuknya. Mungkin masalah kualiti rendah kerana pensabotaj ini mahu mengurangkan kos. Maklumlah, menurut histogram spekulasi, kos sara hidup pun sudah meningkat merentas galaksi.

Bilangan tertib semakin mengecil dan akhirnya mencecah kepada beberapa meter kejauhan daripada anggaran asal. Si Pensabotaj merasakan ia telah tiba di destinasi. Ia membaca imbasan serbaguna mengesan haba, objek hidup ataupun manusia dengan gajet di tangan. Di hadapannya seakan sebuah kota yang ditinggal orang. Suasana lengang. Hanya bangunan usang yang membisu tidak memberikan balas jika diserukan salam. Lantas ia meletakkan mod manual dan memarkir motorhibrid di tempat yang  tersembunyi.

Sekali lagi ia menekan punat, iaitu yang berfungsi untuk radas pengimbas topografi di lengan kanannya. Ia meninjau-ninjau sekeliling jika ada sesuatu yang mencurigakan.

“Engkau lambat, komputer.”

“Bos asyik mahu jimat. Beli saya yang murah. Tahu saya begini, tidak mahu sabar pula.”

“Menyampah aku dengan sut komputer ini. Pandai menjawab. Mesin pun sudah pandai kurang ajar.”

Jack masih menunggu komputer sutnya mengemaskini data. Tidak lama selepas itu terbit peta maya terapung di tangannya akan pola bangunan di lokasi itu. Sama ada pola petempatan pola bangunan, mukabumi, taburan tumbuh-tumbuhan ataupun hidupan lain. Komputer sutnya agak lambat memuat turun imbasan parabola pada Galleon di orbit.


Tiba-tiba angin deras menerpa. Jack segera mencari perlindungan di sebalik dinding berdekatan dengannya. Kadang-kadang petir menyambar berbalam-balam dari jauh. Ujar komputer sutnya, “Tuan mesti berhati-hati. Elakkan daripada berdiri di tempat lapang. Tuan berpotensi untuk mengumpulkan cas positif. Kalau ada perbezaan cas yang ketara antara awan dengan tuan, nanti akan mengaruhkan kilat. Tuan terkena, maka saya pun akan dinyahaktif kerana cip saya terbakar sekali.”

“Engkau merepek!” Si Pensabotaj berang. 

Pujuknya dalam hati, “Kalau kena panah petir, habuan aku belum dapat. Dan... aku belum bertaubat. Lupakan sahaja. Fikiran positif.”

Tiba-tiba di skrin gogalnya berkelip-kelip dan muncul penunjuk arah yang mengarahkannya untuk menoleh ke arah lokasi. Senjata revolver lasernya diramas dan diacukan. Gogal secara automatis menukarkan mod dalam visi gelap. Pemandangan boleh dilihat oleh mata dengan serba warna hijau.  Kelihatan sebuah objek besar bergerak-gerak seperti mengangguk-angguk. Jack berjalan perlahan-lahan. Entah mengapa degupan jantungnya menjadi kencang.

“Kadar adrenalin tuan sudah mencapai tahap membimbangkan!”

“Engkau cuba diam!” Bisiknya kepada sut. Sambil-sambil itu ia menoleh-noleh di kiri dan kanan. Kadang-kadang di belakang.


Jantungnya bergoncang semakin kuat. Desisnya perlahan, “Makhluk spesies apa? Gajahe?”

Tubuh handalan Liga Lanun ini merapati. Anehnya tiada reaksi yang luar biasa di hadapannya. Sepatutnya kelipan anak panah itu bercerai dan menyelubungi imejan di gogalnya. Ia hairan anak panah berkelip-kelip dengan lebih cepat.

Bisiknya, “Ganjil. Koordinat tempat memang betul. Apa yang ada di sini?”

Dengan pantas tiba-tiba keluar sebuah mesej yang berbunyi, “Ini adalah spesies pucuk suyoramidin saiz raksasa. Diwartakan sebagai tumbuhan terpelihara di sistem solar ini.”

“Cis! Corsair lupa menetapkan kepada mod mengesan ‘hidupan agresif.’ Hobinya menyimpan sampel tumbuhan hampir pupus. Jumpa satu sudah riak merasa layak masuk e-majalah Selamatkan Planet Herba.” Ia terkenangkan wajah Nakhoda Corsair di muka e-majalah, keluaran ibukota planet Aspora di Galaksi Thylakuid itu. Rasanya ia ingin ketawa sehabis-habisnya. Tetapi hatinya juga berbaur marah kerana merasa dipermainkan oleh Corsair. Tetapi mengenangkan misi, biarlah berkorban masa untuk itu seketika.

Leternya sambil menekan-nekan punat membetulkan gogal itu, “Ingatkan suka cari kredito sahaja. Rupanya ada hobi yang lain. Kalau aku hebahkan kepada orang lain, nanti aku mengumpat pula. Tambah lagi dosa aku.” Hatinya meluat.

Kali ini gogal itu berfungsi sebagaimana sepatutnya. Ia membatalkan hasratnya. Ia melekapkan kembali ke matanya.Revolver laser dicapainya semula. Jack menganalisa semula seperti kerja rutinnya menyiasat sebelum menjebak diri dalam jenayah.

“Tempat ini terbiar. Tiidak ada orang yang menduduki kawasan ini. Tetapi hairan, kelihatan ada beberapa rumah hijau yang menggunakan sistem pengairan hidrofonik, dipercayai bercucuk tanam untuk kehidupan. Ini bermakna mungkin juga ada orang.”

“Jika bandar-bandar, metropolitan bahkan konurbasi, kawalan sekuriti ada yang amat ketat. Mungkin juga di tempat ini terdapat gangster jalanan. Tetapi, adakah itu mungkin di Galaksi Muhsinin?” Angin sentiasa berderu kuatmenghembus. Langit adakala menjadi biru akibat cetusan kilatan. Semua itu tidak dihiraukan kerana sutnya melindungi daripada suhu yang amat sejuk – 9.832 darjah Celcius.


Visi penglihatan diaktifkan dan semula dilekapkan kepada mata. Ia dapat melihat dengan jelas dalam gelap di samping adanya pajera bidikan dan memfokuskan penglihatan untuk melihat jauh seperti teropong.

Senjata revolver laser dicapainya kemudian memeriksa katrij cas  yang berupa silinder Katrij ini mengandungi cas yang diperlukan untuk menembak laser. Ia mara pantas tetapi dengan berhati-hati.

Kilat dari semasa ke semasa menyambar. Kali ini ia terperasan bayang-bayang sesuatu jasad yang disangkanya bersembunyi di sebalik puing runtuhan. Tangannya dengan tangkas mengacukan ke arah sasaran. Ia melatah, “Eh, terlupa lepaskan kekunci. Nahas nanti tidak dapat menembak.”

Gogalnya giat mengimbas dan pandangannya fokus dengan pajera. Sekali lagi kilat menyambar, “Marin mekanikal!” Barulah ia pasti apakah objek itu.

Serta-merta ia meniarap dan merangkak perlahan-lahan, seringkali bersembunyi di sebalik timbunan runtuhan bangunan.

Selang beberapa masa, ia mengemaskini kepada imbasan, kalau-kalau ada pergerakan. Jack bergerakdari dinding ke dinding, sudut ke sudut dan merentas jalan-jalan dengan berhati-hati. Gogalnya sentiasa menunjukkan arah lokasi.

“Aneh juga. Gogal dan pengimbas tidak memberi apa-apa amaran.” Ia tekad menghampiri. Sasaran tinggal beberapa langkah sahaja di sebalik dinding. Ia bersandar. Jantungnya berdegup kepada frekuensi tinggi.

“1... 2... 3... 4... 5...” segera menyergah dan mengacukan revolver. 

Ia terundur ke belakang, “Alamak!” Jack terjatuh. Ia mengacukan sekali lagi revolvernya. Ia menggelabah sebentar, berpusing dan memeriksa sekitarnya, kalau-kalau ada orang yang memerangkapnya.

Peluh menitik. Air liur ditelan. Dahi dikesat. Dadanya menjungkit menarik nafas lega. Barulah ia betenang seketika Degupan jantungnya kembali normal.

Katanya,“Bukannya marin mekanikal. Tetapi cyborg pegawai. Apa yang telah terjadi?” Rupanya ada tinggalan jasad seorang cyborg pegawai Empayar Sibernatik Cyborg yang terdampar. 

“Inilah rupanya keadaan pegawai cyborg. Gabungan mesin dan manusia. Tengkorak di dalam, luarannya diliputi oleh selaput besi waja. Sama juga seperti bahagian yang lain. Tulang di luar, dilapisi oleh armor waja.” Imej menjadi jelas dalam visi gelap yang serba hijau.

Ia merapati mayat cyborg pegawai, katanya, “Rupanya inilah cip doktrin Empayar. Cip ini ditanam di dalam otak manusia dengan cara yang kejam, tidak dapat digambarkan. Tengkorak ditebuk secara kekal. Cip diprogramkan dengan ALGORITMA yang memastikan cyborg mematuhi protokol demi Maharaja Empayar. Walaupun diperintah oleh ALGORITMA, cyborg tetap boleh bergerak mengikut kemahuan, kekreativiti, intelek terbatas manusiawinya.”

“Tetapi tidak boleh melanggar agenda Empayar. Cyborg tetap dikongkong sebagai mesin. Itu tetap bukan manusia.”

Ia memerhati sambil memegang tiub yang menyambung kepala cyborg dan bahagian kerangka badan. Desisnya, “Dan ini adalah salur litar cip ke seluruh sistem kerangka cyborg.”

“Seperti tengkuknya terhantuk dan terkehel kepada dinding.”

Jack memerhatikan sekeliling. Memastikan supaya ini bukan perangkap. Pengimbas memastikan tidak ada ikon yang mencurigakan. Pasti gogal mata akan mengesan jika ada pergerakan, desis hatinya, “Mungkinkah tentera mekanikal masih ada di sini? Siapakah yang sebenarnya berada di sini?”

Ia menyangka, “Tetapi, ada satu kuasa yang menyebabkan kematiannya. Seperti ada senjata tepat yang mengenai bahagian pinggang cyborg ini. Iaitu tempat tumpuan sistem bendalir badan cyborg. Kerosakan kepadanya akan mengakibatkan sistem kerangka cyborg susut serta merta.”

“Dan satu lagi mengenai hampir bahagian atas armor, iaitu tempat sistem pernafasan cyborg.”

 “Dan juga beberapa serpihan kerangka, anggota badan dan kepala marin mekanikal lain bertebaran di sekitar cyborg ini. Nampaknya mereka diserbu dengan mengejut, tidak sempat bertindak balas. Kesan ini kemungkinan adalah daripada senjata mujahidin Galaksi Muhsinin, Raifal Nur-24.”

“Atau mungkinkah mereka juga terkena kesan virus TAZKIRAH yang menyerang ALGORITMA mereka dan menyerang sesama sendiri? Ya, ALGORITMA adalah sistem yang masih tidak dapat digodam. Tetapi spekulasi teori virus TAZKIRAH tidak pernah dibuktikan.”

                                                 Jack menelan air liurnya, sambil berkata dalam hatinya, “Galaksi Muhsinin bukan calang-calang. Bukan setakat pembunuh profesional, tetapi juga mempunyai virus yang boleh mempengaruhi orang secara paksa. Mungkin juga mengatasi ALGORITMA Empayar. Tidak hairan mereka menyebarkan ideologi mereka dengan cara keganasan, cara teroris.”

Si Pensabotaj itu menyemak lagi data misinya. Menurut koordinat yang diberikan oleh Nakhoda Corsair, jaraknya dengan habuan bonus hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi  - di hadapan mata sahaja!

Radas pengimbas tiba-tiba berkelip-kelip. Ada ikon berwarna merah menghampiri lorong jalan. Bermakna objek itu didaftar sebagai objek asing dan dikira musuh. Lantas ia bersembunyi di sebalik timbunan runtuhan bangunan. Dengan pengimbas dengan gogal, sebuah kenderaan bergerak melalui jalan sepi. Kelihatan lampu sorot menyuluh sekeliling.



Desisnya, “Pasukan peronda Galaksi Muhsinin ataupun koloni? Harap-harap mereka berlalu dan terus pergi. Habuan sudah hampir!”

Kenderaan itu bergerak perlahan dan berhenti. “Adakah aku telah dikesan?”


Bersambung, insya-Allah... Bahagian 4: Laparnya Seorang Jutawan

                             

Ada lagi yang Lebih Panas...


Matahari adalah bintang bersaiz sederhana kecil yang menjadi pusat kepada Sistem Solar kita. Saiz permukaan matahari dianggarkan 6000 darjah Celcius. Jarak antara bumi dan Matahari pula sejauh 150, 000, 000 km (150 juta km). 

Dalam keadaan jarak yang amat jauh itu pun, kita masih merasa bahang yang kuat. Belum lagi bintang-bintang jenis lain yang beratus-ratus bahkan jutaan tahun cahaya untuk dicapai. Sebagai contoh, bintang Mintaka yang terletak di 'Tali Pinggang' buruj Orion, adalah bintang gergasi biru yang berkeamatan 70,000 kali lebih cerah daripada matahari kita. Ada bintang yang lebih 100,000 lebih cerah dan lebih besar, tentu sekali sangat panas.

Maha Suci Allah. Dia-lah Tuhan yang menciptakan sarwa alam ini dengan Qudrah (Kekuasaan), Iradah (Kehendak) dan 'Ilmun (Ilmu-Nya). Kita manusia hanya mampu meneropong jauh ke angkasa dan mengkaji dengan ilmu serta kemampuan kita yang terhad.

Manusia angkuh mengatakan mereka mampu menerobos angkasaraya, serba tahu semuanya tetapi hakikatnya mereka hanya memiliki ilmu dan kekuasaan yang sedikit dan bersifat sementara...

Ayuh kita renung...

Monday, May 5, 2014

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H (Bhg. 2) : Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair

                         


“Assalamualaikum, ustaz.” Ia terperanjat.

Desisnya dalam hati, “Ada orang mengenali aku? Aku sepatutnya lebih berhati-hati. Mungkinkah sudah ada orang menghidu kehebatanku? Kerja mesti diteruskan...”

Ia membalas dengan mengangguk, lalu meneruskan perjalanan. Bisik dirinya, “Mungkin juga dia tidak kenal.”

Semakin lama semakin janggal rasanya apabila ramai juga orang di jalanan yang mengucapkan lafaz, “Assalamualaikum, ustaz.” Ia hanya memberi balasan yang sama.

Detik hatinya, “Ataupun orang-orang di sini semuanya memberi salam?”

“Sudah sampai. Lorong ini amat strategik. Firma-firma ini berdekatan sahaja. Terdapat beberapa restoren untuk singgah dan menggodam. Sistem godam curigrid aku akan menggapai dengan mudah.” 

Ia meletakkan komputer tabletnya atas meja dan duduk. Seorang pelayan menghampirinya.

“Assalamualaikum ustaz, boleh saya bantu? Anda sudah berbuka? Mahu minum apa?”

Ia berasa agak kekok. Sudah lama tidak diberi salam dan memberi salam, “A...as... achoooo!!!” Bunyi ‘salam’ itu seperti bersin, detik hatinya,  “Malunya. Aku sudah lupa bagaimana menjawab salam.”

Balas Jack, “Terima kasih. Saya ingin duduk sebentar sahaja. Saya ingin bertanya, adakah di sini terdapat jaringan internet?

“Maafkan saya, internet?”

Balasnya lagi, “Maaf, seperti internet pada zaman Bumi kuno dahulu. Saya berasal dari Bumi. Ataupun internet tanpa wayar,” ia memberi helah.

“Oh, di planet ini, anda boleh gunakan Aksara-NET. Internet wayarles sudah ketinggalan zaman.”

“Baik, terima kasih.”

Kemudian ia berasa curiga, “Kenapa orang panggil aku ustaz? Memperli aku? Ataupun memang kenal aku? Kalau ya, ramai juga yang kenal aku di sini. Ini amat membahayakan misi ini.” Lantas ia bersegera menuju tandas.

Matanya terbeliak melihat dirinya di hadapan cermin tandas, ia berbisik kepada cip sut, “Apa sudah jadi? Mengapa engkau beri aku fesyen seperti ini? Memang patut tadi mereka panggil aku ustaz! Aku ini orang Liga Lanun, bukannya mahu beri ceramah agama!”

Kata-katanya sendiri bak renjatan elektrik, desisnya, “Ceramah agama? Alergik benar mendengarkan istilah itu. Lupakan sahaja. Aku sudah menyimpang jauh. Hatiku gelap, tertutup dan sudah keras.”

Cip sut menjawab, “Maafkan saya. Saya dengar, tuan kata fesyen ustaz abad ke-21. Sebab itu saya beri penampilan tuan berjubah putih dan serban. Jangan marah, tuan. Sistem audio kurang efisyen. Ejaan yang tuan sebut hampir-hampir sama, iaitu ustaz atau ultra-ranggi, menjadikan saya keliru. Maklumlah, tuan beli saya ini yang cetak rompak.”


“Entah-entah engkau bersubahat dengan Nakhoda Corsair mempermain-mainkan aku! Tukarkan aku jadi belia ultra-ranggi!” Cip sut menurut perintahnya.

Jack lega. Ia keluar dari tandas sambil bersiul-siul. Ia bergerak ke restoran berhampiran dan memulakan kerjanya. Tugas menggodam kelihatan mudah baginya. Apabila mendapat mendapat akses data firma, ia langsung menjalankan transaksi ke dalam akaun Liga Lanun. Firma pertama ini mengandungi ratusan juta kredito. Langkah terakhir adalah memasukkan virus ‘D.E.M.A.M’ kepada sistem komputer firma. 

Kemudian ia menyelinap lagi ke firma yang seterusnya, melepasi kawalan keselamatan koloni. “Agaknya Galaksi Muhsinin belum benar-benar bertapak di sini. Jika tidak, sukar juga tugas aku. Walaubagaimanapun, harus keluar dari planet ini segera bagi mengelakkan dicurigai dan dikesan.”


Pensabotaj itu bergerak pantas. Setiap kali ia beralih ke restoren yang lain, ia  bertukar-tukar fesyen dan identiti diri di setiap tempat. Setiap kali melakukan transaksi, ia akan memasukkan virus-virus yang diciptanya sendiri, ‘S.E.L.E.S.E.MA’, ‘P.E.N.I.N.G’, ‘T.I.D.U.R’, ‘M.A.L.A.S.’ dan ‘A.K.U K.A.Y.A’. Setiap itu juga ia ketawa terbahak-bahak mengenakan orang. Virus ‘A.K.U K.A.Y.A’ sengaja disimpannya untuk transaksi yang terbesar dalam misinya.“Aku memang bijak. Galaksi Muhsinin tidak dapat mengesan aku sedikit langsung.”

Kadang-kadang, terngiang juga amaran Nakhoda Corsair, detik hatinya, “Virus T.A.Z.K.I.R.A.H? Adakah itu adalah penyakit berbahaya? Ataupun virus perisian yang menggodam kerja aku kembali? Jika ya, setakat ini, tidak ada sesiapa yang dapat menewaskan virus yang aku reka.”

Katanya sambil bersandar di sebuah restoren, menggodam firma terakhir dijarahnya, “Pada hari ini aku berjaya mencuri kredito daripada empat firma dagang dan dua firma industri berat. Mereka adalah firma luar yang melabur di galaksi ini. Cukup hanya beberapa jam sahaja.”

Keluhnya,“Aku masih tidak puas hati kerana tidak dapat menembusi firma-firma tempatan Galaksi Muhsinin yang menggunakan sistem matawang dinar. Sistem mereka begitu kebal.”Ia memuat naik laporan ke kapal induk Galleon milik Nakhoda Corsair.

“Tidak mengapa. Jumlah keseluruhan mungkin berbilion-bilion kredito. Ini dikira baik. Pasti ada komisyen yang tinggi juga nanti.” Kemudian, gajet sut Jack berbunyi.

“Transmisi daripada Nakhoda Corsair.” Ia bergerak ke sebuah lorong tersorok, lalu menekan punat pada lengannya. Sebuah hologram terpampang wajah Nakhoda Corsair.


“Misi terakhir engkau, Jack. Engkau membuat tugas dengan baik. Transaksi sudah dapat aku kesan, cuma mengambil masa sedikit. Aku tahu engkau penat. Sebelum engkau kembali ke Galleon, aku mahu engkau menggodam sebuah akaun persendirian yang agak lumayan. Tetapi lokasi sasaran agak jauh di zon pedalaman. Tidak dapat dipastikan akaun itu milik siapa. Siapa jangka, mungkin itu adalah habuan harta karun terbesar kali ini. Aku beri pilihan kepada engkau sebagai bonus ganjaran hari ini.”

“Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk perkasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Aku sahut cabaran engkau. Baiklah, aku terima, tetapi dengan komisyen tiga kali ganda.”

“Cis, asyik mahu komisyen besar sahaja. Macam mana mahu untung!” Mata Nakhoda berbinar-binar ke siling kapal, seperti orang kebingungan menghitung bintang di langit. Jari-jemarinya seperti menghitung sesuatu. Pastinya menghitung kredito yang diraih ataupun rugi. Katanya, “Baiklah, aku terpaksa setuju. Ingat, Jack. Ini adalah untuk maruah Liga Lanun. Kebanggaan kita.”

Desis Jack dalam hati, “Bukannya untuk Liga Lanun. Tapi untuk poket engkau sendiri.” Katanya kepada Nakhoda, “Aku ingin bertanya, apakah gogal yang engkau beri ini?”

“Oh, ya. Aku terlupa. Engkau belum pakai? Gunakanlah gogal itu, yang tercanggih setakat ini. Gogal itu serbaguna. Aku sangat sukakannya. Jarang sekali ada gogal murah berteknologi canggih seperti itu. Tetapi aku hadiahkan kepada engkau. Aku tahu engkau adalah yang paling padan mengenakannya. Baiklah, masa sudah tiba. Aku mahu engkau selesaikan tugas engkau lima jam lagi sebelum siang. Aku muat turun peta lokasi matlamat kita.” Transmisi tamat.


Guruh berbunyi kuat. Jack mendongak ke langit. Hari sudah hampir menjengah malam. Interkom tertanam pada sut penyamaran Jack berbunyi, lalu menekan punat halus padanya. “Ya, ada apa?”

Sayup-sayup kedengaran berselang-seli guruh, Jack mendengar suara radio juruterbang Kejeron V, “Hari sudah mendung. Agak berisiko untuk terbang meredah awan, peralatan kapal kita mungkin akan tergendala. Awan planet ini sudah bercas tinggi. Daripada ramalan iklim Kejeron V, ribut ion bakal melanda di hemisfera kita berada dalam masa beberapa jam lagi. Kita kembali sahaja ke kapal induk Galleon. Batalkan sahaja hasrat engkau. Aku tahu akau engkau sudah dijamin melimpah-limpah dengan kredito.”

“Agaknya sempat atau tidak kalau aku menggunakan jalan darat?”

“Mungkin juga sempat, jika engkau gunakan kenderaan pecutan tinggi yang beroda. Hoverhibrid ataupun kenderaan apungan lain berisiko untuk tergendala dalam keadaan ini.”

“Baiklah, aku pergi.”

“Hati-hati. Aku akan tunggu di lorong parkir, dalam mod halimunan.” Transmisi tamat.

Pensabotaj Jack ‘Barbarossa’ menghela nafasnya. Sekali lagi ia mendongak ke langit. Ia memasangkan gogal hadiah daripada Nakhoda Corsair di matanya. “Apa pula yang aku gunakan untuk ke sana?”

Ia mengimbas dengan gogal, tiba-tiba ternampak sebuah motohibrid. “Aku ada idea. Pinjam sekejap, nanti aku pulangkan. Corsair kata matlamat menghalalkan cara. Dosa nanti dia tanggung juga,”desis Jack memberi alasan kepada dirinya.

Ia duduk atas motorhibrid, “Dosa? Ah, umur masih panjang. Nanti tua aku insaf dan bertaubat sebanyak-banyaknya. Lagipun malam masih muda.”

Dengan kepakarannya yang normal sebagai pensabotaj, sekelip mata sahaja motorhibrid itu dihidupkan. Katanya sambil memulas gagang kenderaan itu, dengan deruman enjin,  “Cip, bertukar kepada sut armor berlapis - ” cip itu menjawab, “Baiklah.”


“Aku belum habis cakap lagi. Sut mod armor berlapis dan bergaya.” Cip menurut arahan. Sutnya bertukar. Deruman semakin kuat. Ia bersedia mahu meluncur, gogal bersedia di mata, “Hoi! Aku kata, sut berlapis armor. Bukan macam kek lapis!”

Sutnya berwarna-warni memang seperti kek lapis. Ia terlihat pada cermin pandang belakang motorhibrid. Lantas cip menjawab, “Maaf tuan. Saya keliru mendengar antara kata-kata tuan, bunyi enjin dan guruh. Saya tukarkan sekarang.” Bertukarlah penampilan pensabotaj yang serba hitam dan kelihatan canggih – dan bergaya. Jack mengeluh, “Bukankah engkau ada sistem pengesahan identiti suara? Engkau memang banyak alasan.”

Jawab cip sut itu dengan suara digital yang tiada berperasaan, “Maaf tuan!”

Tiba-tiba ia terlintas di benaknya, “Virus T.A.Z.K.I.R.A.H... mitos semata-mata. Tidak ada apa-apa yang akan berlaku pada aku. Tidak ada yang mengesan kehebatan aku.”


“Tuhan tahu, bukan?”

“Bagaimana pula terlintas hal ini? Nanti aku fikirkan. Umur masih muda. Nanti sudah tua, masa itu bertaubat.”

Kotak fikirannya melayang-layang. “Fikir tentang dosa meletihkan otak sahaja. Aku belum puas hidup menikmati ganjaran aku.” Gagang dipulas dengan kuat. Deruman motorhibrid mengaum bingit sekali.


Jerit hatinya, “Mari kita dapatkan habuan terakhir. Masa untuk beraksi.” Motor hibrid meluncur laju meninggalkan kota Metrodaya.


Insya-Allah, bersambung di bahagian 3: Ribut Ion Makin Dekat