Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Showing posts with label Data Galaksi Muhsinin. Show all posts
Showing posts with label Data Galaksi Muhsinin. Show all posts

Tuesday, May 10, 2016

[Cerita Latar] Renungan Si Zion Tua

Tahun 2205                                                                                                                               Kubu St. Elmo,                                                                                                                          Pulau Malta                                                                                                                             Bumi Lama

“Tuan, mereka telah ditemui.”

Seorang tinggi lampai beruban rambutnya, tebal bulu matanya sedang berdiri menghadap Laut Mediterranean. Angin bayu laut bertiup nyaman menerpa wajahnya. Camar berterbangan meniti air mencari mangsa di bawah alunan ombak. Suara orang muda itu tidak dipedulikannya.

“Siapa yang jumpa mereka?” tanya orang tua itu.

“Flotila Peninjau Cyborg ke-73, Tuan Konspirator Agung. Di Planet Ferum.”

“Jeneral Furious, ketua yang bongkak itu?” soalannya dijawab dengan anggukan orang kanannya.

“Tuan, saya menyangka tuan berasa gembira mereka telah ditemui. Tapi riak wajah tuan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.”

Orang tua itu menoleh, sambil melemparkan senyuman. Orang muda itu tiba-tiba berasa gemuruh.

“Orang kita sudah menyusup?” tanya orang tua itu.

“Sebelum Jeneral Furious tiba di Planet Ferum, orang-orang kita Ejen Salonika dan Ejen Navarino sudah bertebaran dalam galaksi mereka,” jawab orang muda.

“Oh... begitu. Bagus, Konspirator Xamirthurush. Kamu memang anak jati Zion. Sentiasa di hadapan. Sentiasa meletakkan tugas daripada kepentingan peribadi. Apakah yang ingin kamu laporkan?”

“Armada mereka...”

“Saya tanya soalan tentang risikan ejen kamu, boleh?” orang tua itu tiba-tiba menyampuk. Terpaksa Konspirator muda itu menghentikan laporannya.

“Silakan, Tuan Konspirator Agung.”

“Berapa banyak buku yang mereka ada?” air muka Xamirthurush berubah kehairanan. Ia tergamam. Adakah soalan ini waras?

“Dapatan risikan kami yang akan disahkan, menurut rakyat mereka, buku-buku mereka banyaknya bagaikan bintang-bintang di langit. Kami akan kira dengan tepat bilangan buku mereka.”

“Berapa ramai bijak pandai, orang alim, ulama atau cendiakawan?” kening Konspirator muda terangkat. Kenapa tak tanya soalan pertahanan musuh?

“Dikatakan banyaknya bagai lingkaran asteroid yang bertaburan di sistem solar. Ada yang besar dan ada yang kecil, Tuan Konspirator Agung.”

“Siapa pemimpin mereka?”     

“Khalifah Zulqarnain.”

“Terima kasih. Itu sahaja.” Tuan Konspirator Agung membuang renungannya ke lautan Mediterranean yang terbentang luas. Di sebelah timur adanya Tanjung Gallow dan Teluk Bighi. Ia menoleh ke arah selatan, Kota Birgu dan Kota Sanglea yang menempatkan Kubu St. Angelo dan St. Michael.

Hanya deruan angin yang melintas dan ombak beralun berdesir mencecah tebing. Konspirator Xamirthurush memberanikan diri bersuara, “Tuan, saya hairan mengapa tidak bertanyakan kekuatan mereka? Berapa kapal kapital armada? Berapa utuh pertahanan dan tentera mereka? Ataupun apakah senjata rahsia yang mereka ada? Sebaliknya tuan bertanya akan buku, bijak pandai dan pemerintah?”

“Tuan Konspirator Agung, mereka telah ditemui. Kewujudan mereka adalah ancaman kepada Jerusalem selagi mereka masih ada. Dan kita di Pulau Malta ini lebih jauh dari Zion. Mengapa kita tidak pilih Pulau Rhodes, Crete atau Cyprus yang lebih dekat? Lakukanlah tindakan kita seperti nenek moyang kita. Kita sudah lama bersedia. Dan masanya sudah tiba!”

Orang tua itu menghela nafasnya. Pandangannya ke lautan luas tidak berganjak. “Tuan Konspirator Xamirthurush.... anak Yahudi berdarah muda. Aku amat kagum darahmu yang sentiasa mendidih. Tuhan jadikan kita bangsa paling pintar dan terpilih. Maka gunakan akalmu dahulu sebelum kudratmu!”

“Demi Zion, Tuan Konspirator Agung, segala kehidupan saya adalah untuk Zion! Tuan berkuasa memanggil Sidang Protokol Zion untuk kita bersidang!” seru anak muda itu.

Jawab si Yahudi tua, “Menurut firasatku, Jeneral Furious akan tumbang. Mereka... bukan sahaja mereka. Tapi kita semua bakal senasib seperti mereka.”

“Adakah Tuan Konspirator Agung masih dirundung dilema Holocaust? Itu konspirasi ratusan tahun lampau!” balas Xamirthurush yang kebingungan.

“Masa kita sudah berakhir, Xamirthurush. Mereka sudah bangkit. Nampaknya lagenda Abduktor Manuskrip kira-kira seabad lampau benar belaka.”

“Lagenda seabad lampau?” tanya Yahudi muda.

Orang tua itu berbicara lagi, “Ya. Lagenda itu adalah fakta. Galaksi 822-UT adalah buktinya.”

“Seabad lalu, dalam diam mereka membina ujikaji Abduktor Manuskrip. Prototaip cyborg mereka bertujuan untuk mendapatkan kembali karya-karya klasik yang tersorok selama lebih satu milenia. Mereka ramai. Zion memburu mereka dengan Prototaip RSG... tapi ia dimusnahkan oleh penghulu mereka di Alam Melayu.

“Kita telah hantar orang-orang terbaik mereka ke angkasa. Dengan harapan mereka akan mati. Sebaliknya berlaku gelombang perintis Abduktor Manuskrip membina tamadun mereka di atas sana.”

"Aku teringat ibarat pepatah Melayu, Dihumban ke darat jadi gunung. Dihumban ke laut jadi pulau." Mereka ini... dihumban ke angkasa jadi tamadun!"

Yahudi tua menarik nafas seperti orang menyesal, “Sepatutnya awal-awal dihumban sahaja ke matahari!”

“Suatu masa dahulu kita meracuni ilmu yang suci. Ilmu disarukan dengan keraguan, andaian, dugaan dan sangkaan sekularisme. Keraguan diangkat sebagai pemikiran tertinggi. Kebebasan adalah kemuncak nilai manusia. Kita angkat ahli fikir yang keliru, dan kita katakan itu kebenaran. Ahli bijak pandai mereka yang Benar kita tohmah dengan kesesatan. Ulama palsu kita muliakan. Agama dilawan dengan sains. Akal mengatasi kalam Tuhan. Manusia tiada kaitan dengan Tuhan dan penentu nasib mereka sendiri. Ilmu yang rosak inilah merebakkan kerosakan. Pengetahuan diangkat jadi ilmu. Maka ilmu yang benar dibiar dan terkubur dengan sendirinya.”


“Kita tahu bahawa senjata akliah kita tidak mampu menahan gelombang kerangka fikir dan filsafat mereka yang ampuh. Setiap zaman hujah kita dipatahkan. Setiap zaman mereka tetap teguh meniti zaman. Para ulama mereka yang Benar mengarang karya klasik yang menjadi leksikon, pelita agung sepanjang zaman. Alim ulama Yahudi juga belajar daripada mereka." 

"Namun bezanya mereka berlabuh atas sauh keimanan. Keraguan, andaian, sangkaan dan syak diubat dengan keyakinan janji Tuhan. Mereka membina kefahaman dengan jitu dan murni berlandaskan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah, menyaring kembali dan menerbitkan kualiti tulen... sebagaimana kisah lama!”

“Adab dijulang tinggi, yang tiada pada kita. Wahyu diharmoni dengan akal. Khazanah digali dan digilap kembali. Ilmu mereka bertali sambung daripada guru kepada guru dan bersambung kepada Rasul mereka. Makanan mereka ilmu. Sendi mereka ibadat. Akal meninjau Kebesaran Tuhan. Sains dan teknologi menjadi alat. Dunia di tangan, bukan lagi di hati. Lidah basah dengan zikir. Gerak hidup mereka jihad yang murni. Dan pimpinan mereka dikemudi oleh sang khalifah. Orang-orang zimmi bawah mereka pun sudi bernaung tanpa banyak soal.”

"Rupa-rupanya Tuan... begitu mengenali mereka," celah Xamirthurush.

"Begitulah bangsa kita, Xamirthurush. Mana tidaknya. Ketika lahir Rasul mereka yang terakhir, pendeta kita amat kenal dia lebih daripada anaknya sendiri! Inikan pula umatnya yang hingusan ini!"

Sambung orang tua itu lagi, "Tapi... mereka ini lain. Mereka bukanlah sebarangan generasi... Mereka akan kembali ke sini nanti..." 

“Tidakkah engkau melihat semua ini, Konspirator muda? Agaknya engkau terburu-buru mahu melanggar mereka. Sedangkan tiga soalan itu sudah memadai untuk semua persoalan statistik engkau!” ujar Yahudi tua.

“Kebangkitan mereka... adalah jelmaan tamadun agung. Tamadun yang kita dengki dan benci. Tamadun yang pernah kita robek dan pijak. Mereka kini bagai penggenggam bara api yang Nabi mereka sebut. Ilmu menyinari hati. Hati menyinari hidup. Namun sekarang aku tak pasti apakah nasib kita selepas ini.”

“Tuhan bersama mereka... sedangkan kita masih terlaknat kerana lumuran darah Nabi dan jenayah kita!”

“Aku berharap benar, Pulau Malta ini simbolik buat kita. Kita menahan penangan mereka sepertimana Kesatria Biarawan St. John menghadapi Panglima Dargut atas titah Sultan Sulaiman Khan pada tahun 1565. Biar Zion jauh, pulau ini menjadi taruhan. Strategik. Utuh. Biar ia tenggelam dimamah ombak, asalkan Zion terpelihara!”

“Konspirator Xamirthurush.”

“Ya, Tuan Konspirator Agung!”

“Siapkan kesemua Konspirator Zion, wakil Ejen Masada, Ejen Salonika dan Ejen Navarino. Kita bersidang di Malta dalam 9 jam lagi di Malta. Demi Zion!”

“Demi Zion!” jawab Xamirthurush dengan bersemangat.

                   

Yahudi tua kembali dengan renungannya. Terbayang armada Uthmaniyyah terpukul  oleh Liga Kudus ratusan tahun yang lampau. Desisnya...

"Aku tahu kita takkan berjaya. Tapi aku tak akan putus asa pastikan... "

“Engkau akan tumbang...”

“Engkau akan binasa...”

“Engkau akan ranap...”

“Aku akan hancurkan engkau... Galaksi Muhsinin!”



=========================

Rujukan: 

1. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, (2001). Risalah untuk kaum muslimin. Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam: Kuala Lumpur

2. Prickles, T., (1998). Osprey campaign  50: Malta 1565: Last battle of the crusades. Osprey Publishing: Oxford.




Saturday, June 20, 2015

:: KISAH THALUT dan Galaksi Muhsinin ::




Beberapa malam yang lepas ketika tadarus al-Quran, terlintas dalam juzuk kedua Surah al-Baqarah akan kisah Raja Thalut kaum Bani Israil yang soleh. Orang-orang Bani Israil meminta kepada Nabi Samuel seorang pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada kehinaan. Dan Allah telah mengangkat seorang yang soleh, beriman, berilmu dan kuat tubuhnya yang bernama

Thalut. Akan tetapi, pemuka Bani Israil mempertikaikan jawapan Allah lantaran kerana Thalut adalah bukan daripada keturunan raja-raja dan miskin pula.


Akan tetapi Allah menghendaki sebaliknya. Raja Thalut itu adalah pilihan-Nya yang akan membawa Bani Israil keluar daripada kehinaan. Maka apabila mereka dipanggil untuk berjihad, maka orang Israil berdolak-dalik memberikan alasan. Demi menjunjung perintah, maka Raja Thalut membawa tenteranya menghadapi tentera kafir Jalut.

Setibanya di sebatang sungai, tentera Bani Israil diuji. Sesiapa yang tidak minum ataupun minum secedok air sahaja yang akan menyertai jihad itu. Namun demikian, sifat degil yang terbuku di hati kaum itu, sebahagian besarnya ketinggalan kerana tidak larat kekenyangan dengan air.

Maka tentera yang kecil itu (dikatakan sekitar 300 orang) pun menghadapi tentera kafir Jalut yang ramai dan bertubuh sasa pula. Dalam pada itu, tentera Bani Israil teragak-agak apakah mereka dapat mengharungi cabaran di hadapan dan memenangi bagi pihak orang beriman. Raja Thalut tetap teguh bersama 'orang-orang yang percaya akan berjumpa dengan Allah' yang yakin pertolongan Allah akan tiba sepertimana kaum terdahulu yang pernah berperang dalam jumlah yang kecil.

Maka bertempur hebatlah antara pasukan yang beriman dan yang kuffar. Sampai waktu Allah telah memberikan kemenangan buat kaum beriman dengan anak muda yang melemparkan lastik ke arah Raja Jalut. Dan dikatakan pecah kepalanya, dan pemimpin kafir itu rebah. Lantas, tentera Jalut kucar-kacir dan akhirnya kemenangan menjadi milik orang beriman. 

Anak muda itu adalah Nabi Daud alaihissalam yang diberikan hikmah dan kekuasaan pada kemudian hari. Baginda dan anaknya Nabi Sulaiman akan membawa Bani Israil kembali kepada Allah dan mengecapi zaman keemasan mereka. 

Kisah inspirasi yang termaktub dalam al-Quran ini tentunya menjadi pembakar semangat kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabatnya yang mulia. Bahawa golongan beriman meskipun segelintir cuma akan menempa kemenangan atas yakin mereka kepada pertolongan Allah sekalipun jumlah mereka sedikit sahaja. Hanya kepada Allah kita jadikan sandaran. Khabarnya kisah ini menjadi inspirasi kepada kemenangan umat Islam dalam Perang Badar (2 Hijrah).
Lakaran asal babak pengepungan Jeneral Furious
atas posisi Bukit Uhid Planet Hadid Hd-57

Apabila terlintas kisah Raja Thalut dan Nabi Daud a.s ini, penulis terimbau kembali, bahawa kisah inilah yang menjadi teras kepada kisah-kisah dalam Galaksi Muhsinin, sebelum beranjak kepada himpunan kisah yang lain. Daripada kisah ini, berkembang kepada mengambil iktibar kepada kisah-kisah yang lain dalam Sirah Nabawiyah dan sejarah Islam. 

Kisah Raja Thalut (dan Perang Badar) tertuang dalam kisah Planet Hadid Hd-57 / planet Ferum, iaitu pengepungan Flotila Peninjau Cyborg ke-73. Jeneral Furious gagal mengepung planet itu sepenuhnya kerana kegigihan Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 mempertahankan posisi terakhir di Bukit Uhud. Keteguhan mereka akan janji kemenangan daripada Allah terbalas juga, apabila pasukan mereka akhirnya diselamatkan oleh Detasmen Mujahidin Elit ke-15.



Rujukan:

1. al-Hafiz Abu al-Fida' Imad ad-Din Ismail bin Umar bin Kathir, Syeikh Safiur-Rahman al-Mubarakpuri (ed.), (2000). Tafsir ibn Kathir (adbridged) vol. 1, m/s 686-696. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.

2. Imam Imaduddin Abul-Fida Ismail ibn Kathir, Rashad Ahmad Azami, (pent.) (2003). Stories of the prophets [peace be upon them], m/s 477 - 482. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.

3. Prof. Dr. Hamka, (1983). Tafsir al-azhar juzu' 2, m/s 262-275. Pustaka Panjimas: Jakarta


                          

Wednesday, February 25, 2015

Misi Skuadron at-Tayyar


                        

 Altitud 1,000 km
‘Planet Rumah’,
Sistem Suria,
Galaksi Bima Sakti

Sebuah planet biru meredah orbitnya mengelilingi sebuah bintang yang panas membakar, 150 juta kilometer jauhnya. Seakan-akan kesunyian hanya ditemani oleh sebuah bulan yang setia berdamping dengannya, bebola biru itu tetap bergerak pantas. Ketiga-tiga jasad itu tetap tunduk kepada aturan yang Maha Kuasa. Aturan Tuhan yang Maha Esa.

Tiba-tiba disinari oleh coret-coret putih seperti memecah kesunyian itu. Namun coret itu tidaklah dapat menandingi cahaya suria yang gemilang. Kemudian coret-coret itu menyilau, lalu satu letupan yang dahsyat menjelma. Kemudian coret-coret itu hilang serta merta.

“Kruis Asadullah Raja Haji Fi Sabilillah al-Ghazi, altitud 1,000 kilometer dari permukaan. Formasi bergerak di latitud 24 darjah. Generator halimunan diaktifkan. Skuadron At-Tayyar melaporkan.”

Formasi berempat pejuang angkasa Ababil baru sahaja keluar daripada terowong anjakan relativiti mereka. Pejuang Ababil merupakan pesawat angkasa yang pengunggul pertempuran milik Galaksi Muhsinin. Pejuang yang lincah dan berkuasa tinggi ini menjadi tulang belakang pertahanan sewaktu Perang Galaksi Muhsinin 2205. Dilengkapi dengan generator terowong anjakan relativiti, pejuang angkasa ini mempunyai jarak operasi yang sangat jauh.

                          

“Baiklah skuadron At-Tayyar. Anda hanya ada tiga minit sahaja. Kembali ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35. Boleh jadi armada atau peronda Kesatuan Antarabangsa Bumi berada di mana-mana. Proba mereka tentut aktif. Saya tidak mahu operasi dan Terowong Rahsia kita dalam bahaya.” Kelihatan hologram tiga dimensi seseorang di hadapan kokpit Ababil.

“Ini adalah permintaan Khalifah Zulqarnain dan rakyat Galaksi Muhsinin. Mereka amat rindu untuk mengetahui perkhabaran keadaan Kota Makkah dan Madinah. Saya mahu kamu berhati-hati.”

“Baiklah Laksamana.” Transmisi berakhir. Matahari akan terbit tidak lebih 10 minit sahaja lagi. Di belahan bumi ini masih lagi malam.

“Skuadron At-Tayyar, teruskan mengimbas dengan radar kosmik. Kita di wilayah Zion. Sebarang kecuaian akan membahayakan tugas kita.” Arah Kapten Uwais.

Kapten itu mengoleng Ababil agar selari dengan latitud bumi 24 darjah. Ababil berpusing daripada keadaan terbalik ketika ketibaan skuadron itu daripada terowong anjakan relativiti. Seluruh skuadron bergerak selari dengan latitud. Ditolehnya ke sebelah kiri, sebuah planet yang dianggap ‘planet rumah’ di Galaksi Muhsinin. Planet asal manusia. Dan juga planet Penghulu Segala Manusia, Dunia dan Akhirat, iaitu Sayyiduna Rasululah ï·º.

Kapten Uwais merasakan tangannya sedang menggeletar. Badannya juga turut merasakan getaran. Entah mengapa tiada penjelasan saintifik tentang hal itu. Tiada penderia yang memberi amaran tentng tahap kesihatannya. Semuanya normal.


-Ujarnya lagi, “Hud-Hud At-Tayyar, menjunam sekarang.” Sayup kedengaran di interkom radio Ababil masing-masing.

Salah satu daripada skuadron itu adalah daripada pesawat peninjau Hud-Hud. Peninjau tersebut mempunyai pelbagai sistem penderia, sistem pengimbas dan tindak balas elektronik yang sofistikated. Seakan-akan menjadi mata dan telinga buat helang seperti Ababil. “Kapten, imbasan radar kosmik menunjukkan 50 buah satelit Zion sedang mengorbit bumi. Skuadron pemintas mereka masih belum aktif di pangkalan Qamar.” Lapor juruterbang Hud-Hud At-Tayyar.

“Sudah lama tidak berziarah, Kapten Uwais.” Tiada balasan suara radio.

“Kapten?”

Mereka seolah-olah faham akan perangai ketua itu. Memang aneh seorang perwira yang telah berjuang habis-habisan dengan ‘kuda perangnya’ menghadapi maut mempertaruhkan nyawanya buat sebuah umat, menangis seperti anak-anak kecil. Apabila melalui latitud 24 darjah, pasti kedengaran esakan-esakan halus tangisan. Beliau memilih untuk melintasi Kota Madinah al-Munawarah dahulu baru kemudian kota Makkah al-Mukarramah.

                         

Menghampiri longitud 32 darjah, kedengaran dari kokpit Ababil Kapten Uwais, “Kapten, Hud-Hud At-Tayyar menjunam ke aras 500 kilometer dari Bumi. Hud-Hud akan merakam gambar tenungan teleskop. Kini mengaktifkan penderia pendakap bumi. Nantikan transmisi dalam 5... 4... 3... 2...”

“Skuadron berada di koordinat 24.4667° Utara, 39.6000° Timur. Kota Madinah al-Munawwarah. Transmisi bermula. Data direkodkan,” terpampanglah imej hologram di seluruh skuadron.


Kedengaran esakan itu bertambah kuat, “Ya Rasulullah ï·º, aku datang kepadamu! Jadikanlah aku ya Allah, rindu kepadamu seperti Sayyidina Jaafar bin Abi Talib[1]! Jadikanlah aku sepertinya, yang merinduimu walaupun berada di dalam syurga![2] Jadilah aku sepertinya yang diberikan sayap menggantikan kedua-dua tangannya dalam Perang Mu'tah![3] Ya Allah, izinkanlah aku untuk menziarahi Rasulullahï·º pada masa akan datang! Izinkanlah kami dari Galaksi Muhsinin membebaskan bumi daripada tangan-tangan yang jahat!


Seluruh skuadron At-Tayyar senyap. Hanya tangisan kedengaran. Visor helmet Kapten Uwais menjadi basah kerana titisan air mata yang terapung-apung dalam helmetnya kerana graviti sifar. Tentunya ahli skuadron yang lain juga begitu.

“Kapten Uwais, kini sedang menghantar transmisi visual untuk skuadron tentang kota Makkah. Hud-Hud akan kembali ke formasi.” Juruterbang itu menyambung lagi, “Segala visual telah direkodkan. Moga Allah memelihara rekod ini untuk tatapan rakyat kita. Moga menjadi peniup semangat perjuangan mereka melebarkan misi Rahmatan lil Alamin.

“Ya, Rahmat buat seluruh Alam,” balas juruterbang Ababil At-Tayyar Tiga.

Kedengaran seuntai ungkapan syair lantaran buat Nabi Muhammad ï·º :

“Bagindalah ï·º matahari keutamaan dan para Rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan matahari,

Alangkah mulianya diri Nabi ï·º yang dihiasi akhlak terpuji. Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya. Senyuman manis selalu tidak lekang daripada bibirnya.”[4]

 “Skuadron At-Tayyar, bersedia untuk melonjak ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35.”

                         

Beberapa paparan menunjukkan laluan trajektori skuadron itu kembali ke kapal kruis Asadullah mereka yang bergabung bersama Flotila Ekspidisi Khas Bima Sakti di lokasi rahsia.

Coret-coret putih kelihatan di sisi skuadron. Letupan dahsyat menerbitkan sinar cahaya gemilang membawa cahaya buat hati-hati perindu di Galaksi Mushinin...



[1] Sayyidina Jaafar bin Abi Talib adalah sepupu Nabi Muhammad ï·º, adik beradik kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib. Beliau merupakan jurucakap kepada kaum Muslimin kepada Raja an-Najasyi di negeri Habsyah. Beliau digelar sebagai Zuljanahain (pemilik dua kepak) ataupun at-Tayyar (burung) kerana syahid di Perang Mu'tah. Dalam peperangan itu, Sayyidina Jaafar telah kehilangan dua tangannya. Menurut riwayat, Nabi Muhammad ï·º mengatakan bahawa tangan beliau telah digantikan dengan sayap dan berterbangan di syurga.

[2] Cerita ini saya telah dengar dalam Khutbah Gerhana yang diadakan pada 1 Januari 2010 di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang yang disampaikan oleh al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi. Beliau mengisahkan cerita yang menyentuh hati ini. 

Kisahnya adalah ketika Rasulullah ï·º berkhutbah, maka Nabi Muhammad ï·º telah melihat Sayyidina Jaafar bin Abi Talib mendatanginya, sedangkan beliau telah meninggal dan syahid. Sayyidina Jaafar bin Abi Talib turun dari syurga (dengan izin Allah) kerana terlalu rindukan Rasulullah ï·º. Beliau merasakan bahawa tiada makna syurga itu kosong dan tidak gembira dengan ketiadaan Baginda ï·º. Kisah tersebut ada dicatit (kalau tidak silap dalam majlis lain) di pautan ini. 


[3] Perang Mu'tah berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Perang ini berlaku ekoran delegasi Rasulullah ï·º, iaitu Harith bin Umair al-Azdi telah dibunuh oleh Raja Ghassan, iaitu Syurahbil bin Amru al-Ghassani. Raja tersebut merupakan wakil penguasa kepada Kerajaan Rom Byzantine. 

Nabi Muhammad ï·º telah menghantar 3,000 orang Sahabat sebagai tindak balas yang kejam itu. Kerajaan Ghassan menghantar 100,000 tentera, manakala Raja Kaisar Heraklius menghantar 100,000 askar Rom sebagai tambahan. Melihat situasi getir itu, para Sahabat memutuskan bahawa mereka akan tetap berdepan dengan musuh. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthiy dalam Sirah Nabawiyah beliau mengatakan bahawa tentera Muslimin menghadapi tentera Rom bagaikan sebuah parit kecil melawan badai ombak yang besar. Dua pasukan ini bertemu di Mu'tah (kini Jordan).

Kerana kecamuknya perang itu, tiga komander kaum Muslimin, iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah telah gugur. Tiba masa yang genting itu, tentera Muslimin telah bersepakat memilih Khalid bin al-Walid mengepalai ketumbukan tentera Nabi Muhammad ï·º. Akhirnya, dengan kelicikan taktikal Khalid al-Walid telah mengakibatkan tentera Rom kucar-kacir dan berjaya menyelamatkan tentera Muslimin. Melalui perang tersebut, Khalid bin al-Walid telah mendapat jolokan 'Saifullah' (Pedang Allah).

Rujukan: 
1. Syeikh Syed Abu Hassan ali al-Hasani an-Nadwi, Bey Arifin dan Yunus Ali Mudhar (pent.), (2006). Riwayat hidup Rasulullah ï·º. Pustaka Nasional Pte. Ltd.: Singapura.

2. Syeikh Dr. Muhamad Sa'id Ramadhan al-Buthiy, (2001). Sirah nabawiyah: Kajian mendalam manhaj gerakan islam pada masa Rasulullah ï·º. Pustaka Dini: Shah Alam.

3. Mahmood Ahmad Ghadanfar, Jamila Muhammad Qawi (pent.), (2001). Commanders of the muslim army (Among the companions of the Prophet ï·º). Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh, Arab Saudi.


[4] Imam al-Busiri, Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi (pent.), (2009). Qosidah burdah: Puji-pujian untuk Rasulullah ï·º. Mawleed Publishing: Selangor.

Sunday, May 25, 2014

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H (Bhg. 3) : Ribut Ion Makin Dekat


Bahagian   1    : Pensabotaj Wirawan Liga Lanun
Bahagian   2    : Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair


Dari kejauhan kedengaran guntur berdentum, disusuli dengan panahan kilat bervoltan tinggi. Penunjuk arah maya menyatakan bahawa destinasi sudah tidak jauh lagi. Untuk membantunya memandu sejak dari Metrodaya, peta maya yang dimuat turun daripada imbasan permukaan planet oleh kapal Galleon di orbit digunakan.

Bintang berkembar sudah pun hampir terbenam. Namun perlanggaran ion-ion di awanan yang sedang mengumpul cas sudah menyelubungi lokasinya dengan kegelapan. Kemaraan ribut ion dengan berawan kebiru-biruan menandakan ribut ion akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Di belakang menggalas pek komputer, bekalan makanan, sepucuk revolver laser beserta katrij cas di sisi pinggang. Si Pensabotaj handalan Liga Lanun, Jack Barbarossa bakal bermandikan wang usai misi ini.

Gogal masih dipasang di matanya. Sutnya ditetapkan mod ‘armor berlapis’ dengan diperbuat daripada gentian polimer- ringan. Sut ini menyenangkan pergerakan dan sesuai bagi operasi tempur. Adanya keupayaan penstabil haba yang melindungi daripada sejuk atau haba tinggi melampau, serta anti-bahan kimia mengakis dan arus elektrik, sut ini amat sesuai untuknya. Mungkin masalah kualiti rendah kerana pensabotaj ini mahu mengurangkan kos. Maklumlah, menurut histogram spekulasi, kos sara hidup pun sudah meningkat merentas galaksi.

Bilangan tertib semakin mengecil dan akhirnya mencecah kepada beberapa meter kejauhan daripada anggaran asal. Si Pensabotaj merasakan ia telah tiba di destinasi. Ia membaca imbasan serbaguna mengesan haba, objek hidup ataupun manusia dengan gajet di tangan. Di hadapannya seakan sebuah kota yang ditinggal orang. Suasana lengang. Hanya bangunan usang yang membisu tidak memberikan balas jika diserukan salam. Lantas ia meletakkan mod manual dan memarkir motorhibrid di tempat yang  tersembunyi.

Sekali lagi ia menekan punat, iaitu yang berfungsi untuk radas pengimbas topografi di lengan kanannya. Ia meninjau-ninjau sekeliling jika ada sesuatu yang mencurigakan.

“Engkau lambat, komputer.”

“Bos asyik mahu jimat. Beli saya yang murah. Tahu saya begini, tidak mahu sabar pula.”

“Menyampah aku dengan sut komputer ini. Pandai menjawab. Mesin pun sudah pandai kurang ajar.”

Jack masih menunggu komputer sutnya mengemaskini data. Tidak lama selepas itu terbit peta maya terapung di tangannya akan pola bangunan di lokasi itu. Sama ada pola petempatan pola bangunan, mukabumi, taburan tumbuh-tumbuhan ataupun hidupan lain. Komputer sutnya agak lambat memuat turun imbasan parabola pada Galleon di orbit.


Tiba-tiba angin deras menerpa. Jack segera mencari perlindungan di sebalik dinding berdekatan dengannya. Kadang-kadang petir menyambar berbalam-balam dari jauh. Ujar komputer sutnya, “Tuan mesti berhati-hati. Elakkan daripada berdiri di tempat lapang. Tuan berpotensi untuk mengumpulkan cas positif. Kalau ada perbezaan cas yang ketara antara awan dengan tuan, nanti akan mengaruhkan kilat. Tuan terkena, maka saya pun akan dinyahaktif kerana cip saya terbakar sekali.”

“Engkau merepek!” Si Pensabotaj berang. 

Pujuknya dalam hati, “Kalau kena panah petir, habuan aku belum dapat. Dan... aku belum bertaubat. Lupakan sahaja. Fikiran positif.”

Tiba-tiba di skrin gogalnya berkelip-kelip dan muncul penunjuk arah yang mengarahkannya untuk menoleh ke arah lokasi. Senjata revolver lasernya diramas dan diacukan. Gogal secara automatis menukarkan mod dalam visi gelap. Pemandangan boleh dilihat oleh mata dengan serba warna hijau.  Kelihatan sebuah objek besar bergerak-gerak seperti mengangguk-angguk. Jack berjalan perlahan-lahan. Entah mengapa degupan jantungnya menjadi kencang.

“Kadar adrenalin tuan sudah mencapai tahap membimbangkan!”

“Engkau cuba diam!” Bisiknya kepada sut. Sambil-sambil itu ia menoleh-noleh di kiri dan kanan. Kadang-kadang di belakang.


Jantungnya bergoncang semakin kuat. Desisnya perlahan, “Makhluk spesies apa? Gajahe?”

Tubuh handalan Liga Lanun ini merapati. Anehnya tiada reaksi yang luar biasa di hadapannya. Sepatutnya kelipan anak panah itu bercerai dan menyelubungi imejan di gogalnya. Ia hairan anak panah berkelip-kelip dengan lebih cepat.

Bisiknya, “Ganjil. Koordinat tempat memang betul. Apa yang ada di sini?”

Dengan pantas tiba-tiba keluar sebuah mesej yang berbunyi, “Ini adalah spesies pucuk suyoramidin saiz raksasa. Diwartakan sebagai tumbuhan terpelihara di sistem solar ini.”

“Cis! Corsair lupa menetapkan kepada mod mengesan ‘hidupan agresif.’ Hobinya menyimpan sampel tumbuhan hampir pupus. Jumpa satu sudah riak merasa layak masuk e-majalah Selamatkan Planet Herba.” Ia terkenangkan wajah Nakhoda Corsair di muka e-majalah, keluaran ibukota planet Aspora di Galaksi Thylakuid itu. Rasanya ia ingin ketawa sehabis-habisnya. Tetapi hatinya juga berbaur marah kerana merasa dipermainkan oleh Corsair. Tetapi mengenangkan misi, biarlah berkorban masa untuk itu seketika.

Leternya sambil menekan-nekan punat membetulkan gogal itu, “Ingatkan suka cari kredito sahaja. Rupanya ada hobi yang lain. Kalau aku hebahkan kepada orang lain, nanti aku mengumpat pula. Tambah lagi dosa aku.” Hatinya meluat.

Kali ini gogal itu berfungsi sebagaimana sepatutnya. Ia membatalkan hasratnya. Ia melekapkan kembali ke matanya.Revolver laser dicapainya semula. Jack menganalisa semula seperti kerja rutinnya menyiasat sebelum menjebak diri dalam jenayah.

“Tempat ini terbiar. Tiidak ada orang yang menduduki kawasan ini. Tetapi hairan, kelihatan ada beberapa rumah hijau yang menggunakan sistem pengairan hidrofonik, dipercayai bercucuk tanam untuk kehidupan. Ini bermakna mungkin juga ada orang.”

“Jika bandar-bandar, metropolitan bahkan konurbasi, kawalan sekuriti ada yang amat ketat. Mungkin juga di tempat ini terdapat gangster jalanan. Tetapi, adakah itu mungkin di Galaksi Muhsinin?” Angin sentiasa berderu kuatmenghembus. Langit adakala menjadi biru akibat cetusan kilatan. Semua itu tidak dihiraukan kerana sutnya melindungi daripada suhu yang amat sejuk – 9.832 darjah Celcius.


Visi penglihatan diaktifkan dan semula dilekapkan kepada mata. Ia dapat melihat dengan jelas dalam gelap di samping adanya pajera bidikan dan memfokuskan penglihatan untuk melihat jauh seperti teropong.

Senjata revolver laser dicapainya kemudian memeriksa katrij cas  yang berupa silinder Katrij ini mengandungi cas yang diperlukan untuk menembak laser. Ia mara pantas tetapi dengan berhati-hati.

Kilat dari semasa ke semasa menyambar. Kali ini ia terperasan bayang-bayang sesuatu jasad yang disangkanya bersembunyi di sebalik puing runtuhan. Tangannya dengan tangkas mengacukan ke arah sasaran. Ia melatah, “Eh, terlupa lepaskan kekunci. Nahas nanti tidak dapat menembak.”

Gogalnya giat mengimbas dan pandangannya fokus dengan pajera. Sekali lagi kilat menyambar, “Marin mekanikal!” Barulah ia pasti apakah objek itu.

Serta-merta ia meniarap dan merangkak perlahan-lahan, seringkali bersembunyi di sebalik timbunan runtuhan bangunan.

Selang beberapa masa, ia mengemaskini kepada imbasan, kalau-kalau ada pergerakan. Jack bergerakdari dinding ke dinding, sudut ke sudut dan merentas jalan-jalan dengan berhati-hati. Gogalnya sentiasa menunjukkan arah lokasi.

“Aneh juga. Gogal dan pengimbas tidak memberi apa-apa amaran.” Ia tekad menghampiri. Sasaran tinggal beberapa langkah sahaja di sebalik dinding. Ia bersandar. Jantungnya berdegup kepada frekuensi tinggi.

“1... 2... 3... 4... 5...” segera menyergah dan mengacukan revolver. 

Ia terundur ke belakang, “Alamak!” Jack terjatuh. Ia mengacukan sekali lagi revolvernya. Ia menggelabah sebentar, berpusing dan memeriksa sekitarnya, kalau-kalau ada orang yang memerangkapnya.

Peluh menitik. Air liur ditelan. Dahi dikesat. Dadanya menjungkit menarik nafas lega. Barulah ia betenang seketika Degupan jantungnya kembali normal.

Katanya,“Bukannya marin mekanikal. Tetapi cyborg pegawai. Apa yang telah terjadi?” Rupanya ada tinggalan jasad seorang cyborg pegawai Empayar Sibernatik Cyborg yang terdampar. 

“Inilah rupanya keadaan pegawai cyborg. Gabungan mesin dan manusia. Tengkorak di dalam, luarannya diliputi oleh selaput besi waja. Sama juga seperti bahagian yang lain. Tulang di luar, dilapisi oleh armor waja.” Imej menjadi jelas dalam visi gelap yang serba hijau.

Ia merapati mayat cyborg pegawai, katanya, “Rupanya inilah cip doktrin Empayar. Cip ini ditanam di dalam otak manusia dengan cara yang kejam, tidak dapat digambarkan. Tengkorak ditebuk secara kekal. Cip diprogramkan dengan ALGORITMA yang memastikan cyborg mematuhi protokol demi Maharaja Empayar. Walaupun diperintah oleh ALGORITMA, cyborg tetap boleh bergerak mengikut kemahuan, kekreativiti, intelek terbatas manusiawinya.”

“Tetapi tidak boleh melanggar agenda Empayar. Cyborg tetap dikongkong sebagai mesin. Itu tetap bukan manusia.”

Ia memerhati sambil memegang tiub yang menyambung kepala cyborg dan bahagian kerangka badan. Desisnya, “Dan ini adalah salur litar cip ke seluruh sistem kerangka cyborg.”

“Seperti tengkuknya terhantuk dan terkehel kepada dinding.”

Jack memerhatikan sekeliling. Memastikan supaya ini bukan perangkap. Pengimbas memastikan tidak ada ikon yang mencurigakan. Pasti gogal mata akan mengesan jika ada pergerakan, desis hatinya, “Mungkinkah tentera mekanikal masih ada di sini? Siapakah yang sebenarnya berada di sini?”

Ia menyangka, “Tetapi, ada satu kuasa yang menyebabkan kematiannya. Seperti ada senjata tepat yang mengenai bahagian pinggang cyborg ini. Iaitu tempat tumpuan sistem bendalir badan cyborg. Kerosakan kepadanya akan mengakibatkan sistem kerangka cyborg susut serta merta.”

“Dan satu lagi mengenai hampir bahagian atas armor, iaitu tempat sistem pernafasan cyborg.”

 “Dan juga beberapa serpihan kerangka, anggota badan dan kepala marin mekanikal lain bertebaran di sekitar cyborg ini. Nampaknya mereka diserbu dengan mengejut, tidak sempat bertindak balas. Kesan ini kemungkinan adalah daripada senjata mujahidin Galaksi Muhsinin, Raifal Nur-24.”

“Atau mungkinkah mereka juga terkena kesan virus TAZKIRAH yang menyerang ALGORITMA mereka dan menyerang sesama sendiri? Ya, ALGORITMA adalah sistem yang masih tidak dapat digodam. Tetapi spekulasi teori virus TAZKIRAH tidak pernah dibuktikan.”

                                                 Jack menelan air liurnya, sambil berkata dalam hatinya, “Galaksi Muhsinin bukan calang-calang. Bukan setakat pembunuh profesional, tetapi juga mempunyai virus yang boleh mempengaruhi orang secara paksa. Mungkin juga mengatasi ALGORITMA Empayar. Tidak hairan mereka menyebarkan ideologi mereka dengan cara keganasan, cara teroris.”

Si Pensabotaj itu menyemak lagi data misinya. Menurut koordinat yang diberikan oleh Nakhoda Corsair, jaraknya dengan habuan bonus hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi  - di hadapan mata sahaja!

Radas pengimbas tiba-tiba berkelip-kelip. Ada ikon berwarna merah menghampiri lorong jalan. Bermakna objek itu didaftar sebagai objek asing dan dikira musuh. Lantas ia bersembunyi di sebalik timbunan runtuhan bangunan. Dengan pengimbas dengan gogal, sebuah kenderaan bergerak melalui jalan sepi. Kelihatan lampu sorot menyuluh sekeliling.



Desisnya, “Pasukan peronda Galaksi Muhsinin ataupun koloni? Harap-harap mereka berlalu dan terus pergi. Habuan sudah hampir!”

Kenderaan itu bergerak perlahan dan berhenti. “Adakah aku telah dikesan?”


Bersambung, insya-Allah... Bahagian 4: Laparnya Seorang Jutawan