Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, January 19, 2015

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H (Bhg. 4) : Laparnya Seorang Jutawan


Bahagian   1    : Pensabotaj Wirawan Liga Lanun
Bahagian   2    : Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair
Bahagian   3    : Ribut Ion Makin Dekat

Kenderaan itu hanya beberapa meter sahaja dari lokasinya. Jack Barbarossa mengaktifkan revolvernya. Gogal penglihatan ditukarkan kepada mod tempur. Serta-merta objek sasaran ditandai secara maya pada paparannya.

“Ada lima orang. Kenderan hover. Senjata berat pada hover. Empat askar Galaksi Muhsinin?” desisnya. Dilihatnya ada sebuah kenderaan yang terapung, membawakan lima askar menggunakan sejenis sut.

“Salah. Bukan tuan. Mereka adalah askar koloni. Senang dikalahkan, “ ujar komputer pembantu elektronik sut Jack dengan frekuensi rendah.

“Cis, diamlah engkau. Aku hanya seorang. Mereka ramai.”


Lampu sorot itu berlegar di sekitar kawasan itu. Empat orang askar koloni seperti mengimbas dan mengacukan sudut-sudut bangunan sekitar. Tiba-tiba mereka dipanggil oleh pemandu dan akhirnya beredar. Kata Jack, “Lega. Selesai satu masalah. Aku bukannya rajin mahu berlawan.”

Jack mengimbas buat kali terakhir. Sasaran hanya tinggal beberapa meter di hadapan. Tidak perlu menyelinap di lorong-lorong, mengendap, merangkak dan membuatkan badan jadi kotor tidak perlu lagi.

Tiba-tiba alat komunikasi interkomnya bergetar dan berbunyi, “Engkau bila mahu balik? Sudah dapat habuan?” Kedengaran sayup-sayup suarat juruterbang Kejeron V. Katanya lagi, “Berapa juta kredito yang engkau kaut? Nanti kita bahagikan. Aku pun mesti ada bahagian komisyen.”

“Cis, engkau tamak macam Nakhoda Corsair. Ini usaha aku... “ tiba-tiba talian terputus. Disusuli dengan halilintar kuat ion dan bunyi guruh berdentum-dentum membingitkan telinga.

“Cuaca pun tidak baik. Tidak lama lagi ribut ion akan tiba di sini. Lebih baik aku terus ke sasaran, habiskan urusan ini dan berteduh.”

Bisik kepada dirinya, “Hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi. Malam ini aku seolah-olah tidak percaya, habuan berjuta-juta kredito dalam tanganku. Ia menekan punat pengimbas kredito sasaran.
“Eh, tiada respon? Barangkali tempat ini mempunyai sistem sekuriti yang mantap. Ataupun sudah terputus bekalan elektrik? Lorong yang kecil itu sunyi sepi. Hanya ada beberapa lampu jalanan yang menyinari balam-balam cahaya. Pengimbas menunjukkan jalan tiada objek mencurigakan. Lantas ia berlari sekuat hatinya, dan bersandar di dinding.

“Asid laktik dibebaskan. Tahap hormon adrenalin pun sudah dibebaskan,” kata komputer sutnya.

“Kalau engkau bising lagi, aku formatkan engkau, tukar dengan perisian yang lebih waras lagi,” Jack mengomel sambil berjalan bersandar ke dinding. Ia bergerak menuju ke pintu bangunan.

“Tukarlah kalau boleh. Nanti saya renjat tuan dengan elektrik saya.”


“Cis, baiklah. Jangan buat lagi. Tidak apa. Tahulah saya untuk kerjakan awak. Bukan sekarang. Lain kali.


Di sisi pintu itu terdapat sejenis peranti elektronik. Kebiasaannya alat ini berfungsi sebagai kunci digital bagi setiap pintu. Bisik Jack, “Komputer, godam pintu ini.”

“Baiklah... mengimbas.”

“Cepat. Nanti ada lagi orang yang lalu. Habis kita.”

“Berdasarkan imbasan saya yang tepat lagi cekap, pintu ini mengambil masa selama dua jam empat puluh lima minit tiga puluh tiga saat untuk dibuka.”

“Apa? Merepek!” marah Jack.

“Baiklah tuan. Saya bergurau sahaja. Jangan jerit macam itu lagi. Frekuensi dan amplitud tuan hampir-hampir sahaja resonans. Kalau saya pekak, lagi parah tuan.”

“Komputer dungu! Tidak boleh harap! Balik nanti siap engkau. Buat sekarang!”

“Baik tuan. Jangan marah. Itu pintu syaitan.”

“Buat!”

“Ting!” bunyi berdeting pada peranti itu. “Lihat tuan. Saya memang cekap.” Jack sudah jenuh melayan perisian komputer sutnya yang dibeli secara cetak rompak itu.

Jack mengubahsuai mod visi gogal kepada penglihatan malam. Bangunan itu gelap tiada cahaya lampu. Anak panah carian berkelip-kelip pada gogal disepadukan dengan komputer sutnya. Tiada objek ataupun jasad yang mencurigakan. Sasaran hanya beberapa meter sahaja lagi. Revolver terselit kemas di pinggangnya. Jack berjalan dengan berhati-hati, dengan pengalamannya, ia boleh bersembunyi dalam beberapa saat sahaja jika ada kecurigaan. 

Desirnya di dalam hati, “Tiada orang? Imbasan kredito pun tiada maklum balas. Mungkin benar terputus talian elektrik kerana ribut ion. Atau terpaksa menggendalakan bekalan kerana mengurangkan risiko pengumpulan cas berlebihan.”

“Mengapa tempat ini luas? Mengapa banyak tiang? Mengapa pula hati ini tidak berdebar seperti biasa? Mengapa tenang sahaja?”

“Tuan lapar bukan?”

“Bagaimana engkau tahu?”

“Tentulah. Saya dahulu yang dengar bunyi perut tuan berbunyi kalau tuan lapar. Antara perut dan telinga tuan, saya lebih dekat.”

“Engkau memang teman yang paling baik. Dan paling memeningkan!”

“Tuan, sebelum kita menggodam kredito tempat ini, kita curi dahulu makanan. Saya mengesan makanan di tempat ini. Hanya beberapa meter sahaja!”

“Benar? Bagus juga. Kalau aku lapar, aku lebih mudah marah kepada engkau. Di mana makanan itu? Tunjukkan!” Lantas muncul satu lagi anak panah, mengarah kepada satu objek.

“Terima kasih komputer! Aku menjumpai roti!”


Jack duduk. Diambilnya roti itu dan dimakan dengan lahapnya. Air mata mengalir dari kelopak matanya kerana keringnya kerongkong tanpa air.

“Apalah nasib aku. Aku ini jutawan. Berjuta-juta kredito dalam poket aku. Tapi aku kelaparan. Terpaksa mencuri pula untuk makan. Hati pula selalu resah, kerana bila-bila sahaja boleh ditangkap dan diseksa ataupun dihukum bunuh.”

Separuh roti sudah dibahamnya, sehingga ke akhir bahagian.   

“Apa khabar, anak muda?” tiba-tiba muncul suara dalam kegelapan.

“Siapa?” Jack tersentak. Ia terduduk sekali lagi kerana kegagetan.

Tangannya mahu sahaja revolvernya. Halilintar berpancaran, disusuli oleh bunyi guruh yang bingit. Kelihatan susuk jasad seseorang yang berjalan perlahan menghampirinya. Orang tua itu seperti berpakaian putih, dari atas sehingga bawah. Betul sangkaan Jack, orang itu berjubah putih.

“Tidak berbahaya. Tiada senjata. Tiada komunikasi elektronik. Boleh bercakap dengannya. Jujur atau tidak terserah kepadanya. Bukankah Tuhan tahu?” ujar komputer sutnya.

Hanya tinggal sedikit sahaja lagi roti di tangannya. Sebahagian pula dalam mulutnya yang telah berhenti mengunyah. Fikirannya kosong, tidak tahu berkata apa-apa. Selalunya ia ada helah untuk melepaskan diri. Tetapi kali ini mentol minda terpadam sepertimana gelapnya bangunan ini.

Kata lembaga itu, “Roti itu adalah satu-satunya untuk sahur saya. Dan satu-satunya juga untuk berbuka nanti. Itu sahaja makanan yang saya ada pada hari ini.”

“Ma... maksud pakcik?” Tiba-tiba rasa bersalah menyelubunginya. Halilintar menyambar. Seakan-akan petir itu menuju kepada dirinya.

“Roti itu setengah untuk sahur dan setengah untuk berbuka. Tidak mengapalah. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki kepada saya,” kata orang itu. Ia berdiri di jalur jendela yang disirami cahaya lampu malap dari jalanan. Seorang yang berumur, memegang tongkat. Berjanggut putih, berkerut dahinya. Dan mengenakan lilitan kain putih di atas kepala.

Jack meletakkan baki roti di atas pinggan yang diambilnya. Ia beridiri. Kata orang tua itu lagi, “Tempat ini sukar mendapatkan makanan. Sekadar mencukupi kehidupan. Sejak Konfederasi Reconquista melanggar tempat ini, tanah sudah tidak subur lagi. Syukur kepada Allah, Perang Galaksi Muhsinin telah dimenangi oleh orang-orang yang bersatu mempertahankan kedaulatan dan maruahnya.”

“Federasi Generasi Zenzaburo juga mendarat. Mereka menggunakan senjata kimia yang mengakibatkan persekitaran tercemar. Kamu tentu lihat, penduduk di sini terpaksa menyara hidup dengan bercucuk tanam dalam rumah kaca. Bacaan radiasi dengan tolok digital Geiger-Muller masih tinggi.”

“Pentadbir koloni dengan bantuan Galaksi Muhsinin telah memindahkan penduduk ke tempat yang lebih selamat. Tetapi kami sudah selesa di sini dengan kehidupan yang serba sederhana.”

Jack buntu mahu mengalihkan perhatian. Hatinya merasa berdebar-debar. Ia teringat misinya, sasarannya berada hanya 1 meter sahaja. Tampaknya seperti sebuah peti besi.

“Liga Lanun pula... mereka membuka jalan untuk Konfederasi Reconquista memusnahkan kami. Mereka, sebagai mana kebiasaan, merompak dan merampas harta benda daripada kami yang tiada apa-apa.”

Tiba-tiba Jack merasa bersalah. Boleh jadi ia ada sumbangan untuk kemusnahan ini suatu masa dahulu. “Datuk pemilik rumah ini? Datuk sedang buat apa?”

Imbasan awal ‘rumah’ itu membuatkan ia yakin bahawa ia berada di tempat yang betul. Tetapi tetap ada ragu-ragu di hatinya. “Tentu ini rumah orang kaya. Luas, banyak tiang. Cuma hairan, ada lekuk di bahagian depan, dan ada tangga serta pelantar. Tiada pula perabot mewah. Permaidani pula berbaris-baris selari antara satu sama lain.”

Jawab orang tua itu, “Ini adalah rumah Allah.” Jack terbentak. Ia merasakan halilintar sekali menyentapnya.

“Saya datang untuk kembali bertaubat kepada Allah. Dia yang Maha Kaya dan Maha Pengampun. Hidup ini berlumuran dengan dosa.

Ibarat dipanah petir, ia merasa sesuatu yang amat buruk akan terjadi. Ia menelan air liurnya. Dalam hati ia menyumpah seranah, “Kenapa Corsair hantar aku ke tempat ini? Aku pernah kata dahulu!”
Ia meronta dalam hatinya, bisik hatinya, “Aku tidak akan mencuri di sini... di masjid!”

“Apakah yang dimaksudkan oleh Corsair... tabung masjid?”

“Tidak!”


“ ‘Virus T.A.Z.K.I.R.A.H!’ ia segera teringat akan pesan juruterbang yang menghantarnya. Tersirap darahnya. Badan menjadi sejuk.

“Minta maaf, pakcik. Saya salah tempat. Saya pergi dahulu.”

“Tentu kamu datang dari jauh. Berehatlah sebentar. Tambahan lagi, ribut ion seperti semakin hampir. Berada di luar semasa ribut sangat bahaya. Selalu meragut nyawa orang yang berada di luar.”

 “Junaid. Nama kamu Junaid, bukan?”

Darahnya tersirap mengalir sejuk. Halilintar sabung-menyabung memancarkan panahan kilatan yang boleh menyambar sehinggar ribuan voltan. Tiada pilihan, Jack Barbarossa terpaksa mengalah.
Hatinya sentiasa berdebar. Adakah mungkin ia adalah mangsa Virus T.A.Z.K.I.R.A.H yang selanjutnya...

Bersambung... insya-Allah... 

Tuesday, January 13, 2015

SENJATA KOMBAT DEKAT FUTURISTIK





Dalam genre fiksyen sains ataupun fantasi, adalah sesuatu yang lumrah terdapatnya senjata jarak dekat seperti pedang bercahaya untuk pertarungan (duel) sesama watak. Sungguhpun kisah berlegar dalam lingkungan kecanggihan teknologi, satu yang agak 'ironi' ataupun pelik, mengapa tidak bertembak-tembakan sahaja dengan senjata pemusnah dunia?


Apabila ada kekangan menggunakan senjata jarak jauh (kerana kehabisan peluru, kerosakan dan sebagainya), maka senjata paling ideal adalah menggunakan senjata tajam canggih ini untuk menewaskan musuh dalam pertarungan jarak dekat (close combat). 

Dalam Star Wars, pedang bercahaya yang digunakan oleh kesatria Jedi dan Sith digelar sebagai 'light saber.' Senjata ini menghasilkan sejenis bilah bercahaya terhasil daripada hulu elektronik yang mengandungi kristal yang dipercayai sumber tenaga pedang tersebut. Dalam pertarungan abadi Jedi-Sith, senjata mereka dianggap 'senjata purba' oleh generasi terkemudian, yang kita dapat dengar daripada watak Han Solo yang menyaksikan Luke Skywalker berlatih dalam kapal angkasa Milennium Falcon.

Begitu juga dalam novel fiksyen sains SAGA Galaksi Muhsinin, pihak#GalaksiMuhsinin adalah salah satu pengguna senjata jenis ini. Pihak lain juga ada, seperti Maharaja Legion menggunakan elektrolembing. 

Idea awal senjata jarak dekat watak Galaksi Muhsinin adalah keluarnya bilah bercahaya daripada dua tangan apabila bertarung. Hampir serupa dengan watak pahlawan Protoss Zealot dalam StarCraft. Tambahan pula, pada masa yang lebih kurang sama, sahabat saya, Tuan Firdaus Ariff yang sedang menulis novel Trilogi Kristal: Sayap Adinila (2008) menceritakan bahawa watak wira dalam karya beliau juga menggunakan konsep yang hampir sama.

Maka, konsep senjata mujahidin Galaksi Muhsinin tersebut diubahsuai. Galaksi Muhsinin terdiri daripada pelbagai bangsa, maka senjata peribadi mereka akan membentur berdasarkan senjata bangsa mereka sendiri (terutama yang pernah menjadi wilayah Islam suatu masa dahulu). 

Sebagai contoh, apabila perajurit Galaksi Muhsinin berbangsa Alam Melayu meramas hulu saifion, maka akan terbitlah keris neutron yang terbina daripada zarah-zarah yang kelluar daripada hulu tersebut.

Kita ubahsuai kreativiti kita agar unik dan berbeza.

Insya-Allah, perkongsian lain bakal menyusul!

#GalaksiMuhsinin