Dari kejauhan kedengaran guntur berdentum, disusuli dengan panahan kilat
bervoltan tinggi. Penunjuk arah maya menyatakan bahawa destinasi sudah tidak
jauh lagi. Untuk membantunya memandu sejak dari Metrodaya, peta maya yang
dimuat turun daripada imbasan permukaan planet oleh kapal Galleon di orbit
digunakan.
Bintang berkembar sudah pun hampir terbenam. Namun perlanggaran ion-ion di
awanan yang sedang mengumpul cas sudah menyelubungi lokasinya dengan kegelapan.
Kemaraan ribut ion dengan berawan kebiru-biruan menandakan ribut ion akan tiba pada
bila-bila masa sahaja. Di belakang menggalas pek komputer, bekalan makanan,
sepucuk revolver laser beserta katrij cas di sisi pinggang. Si Pensabotaj handalan Liga Lanun, Jack Barbarossa bakal bermandikan wang usai misi ini.
Gogal masih dipasang di matanya. Sutnya ditetapkan mod ‘armor berlapis’
dengan diperbuat daripada gentian polimer- ringan. Sut ini menyenangkan
pergerakan dan sesuai bagi operasi tempur. Adanya keupayaan penstabil haba yang
melindungi daripada sejuk atau haba tinggi melampau, serta anti-bahan kimia
mengakis dan arus elektrik, sut ini amat sesuai untuknya. Mungkin masalah
kualiti rendah kerana pensabotaj ini mahu mengurangkan kos. Maklumlah, menurut
histogram spekulasi, kos sara hidup pun sudah meningkat merentas galaksi.
Bilangan tertib semakin mengecil dan akhirnya mencecah kepada beberapa
meter kejauhan daripada anggaran asal. Si Pensabotaj merasakan ia telah tiba di
destinasi. Ia membaca imbasan serbaguna mengesan haba, objek hidup ataupun manusia
dengan gajet di tangan. Di hadapannya seakan sebuah kota yang ditinggal orang.
Suasana lengang. Hanya bangunan usang yang membisu tidak memberikan balas jika
diserukan salam. Lantas ia meletakkan mod manual dan memarkir motorhibrid di
tempat yang tersembunyi.
Sekali lagi ia menekan punat, iaitu yang berfungsi untuk radas pengimbas
topografi di lengan kanannya. Ia meninjau-ninjau sekeliling jika ada sesuatu
yang mencurigakan.
“Engkau lambat, komputer.”
“Bos asyik mahu jimat. Beli saya yang murah. Tahu saya begini, tidak mahu
sabar pula.”
“Menyampah aku dengan sut komputer ini. Pandai menjawab. Mesin pun sudah
pandai kurang ajar.”
Jack masih menunggu komputer sutnya mengemaskini
data. Tidak lama selepas itu terbit peta maya terapung di tangannya akan pola
bangunan di lokasi itu. Sama ada pola petempatan pola bangunan, mukabumi,
taburan tumbuh-tumbuhan ataupun hidupan lain. Komputer sutnya agak lambat
memuat turun imbasan parabola pada Galleon di orbit.
Tiba-tiba angin deras menerpa. Jack segera mencari
perlindungan di sebalik dinding berdekatan dengannya. Kadang-kadang petir
menyambar berbalam-balam dari jauh. Ujar komputer sutnya, “Tuan mesti
berhati-hati. Elakkan daripada berdiri di tempat lapang. Tuan berpotensi untuk mengumpulkan
cas positif. Kalau ada perbezaan cas yang ketara antara awan dengan tuan, nanti
akan mengaruhkan kilat. Tuan terkena, maka saya pun akan dinyahaktif kerana cip
saya terbakar sekali.”
Pujuknya dalam hati, “Kalau
kena panah petir, habuan aku belum dapat. Dan... aku belum bertaubat. Lupakan
sahaja. Fikiran positif.”
Tiba-tiba di skrin gogalnya berkelip-kelip dan
muncul penunjuk arah yang mengarahkannya untuk menoleh ke arah lokasi. Senjata
revolver lasernya diramas dan diacukan. Gogal secara automatis menukarkan mod
dalam visi gelap. Pemandangan boleh dilihat oleh mata dengan serba warna hijau. Kelihatan sebuah objek besar bergerak-gerak
seperti mengangguk-angguk. Jack berjalan perlahan-lahan. Entah mengapa degupan
jantungnya menjadi kencang.
“Kadar adrenalin tuan sudah mencapai tahap membimbangkan!”
“Engkau cuba diam!” Bisiknya kepada sut. Sambil-sambil itu ia menoleh-noleh
di kiri dan kanan. Kadang-kadang di belakang.
Jantungnya bergoncang semakin kuat. Desisnya perlahan, “Makhluk spesies
apa? Gajahe?”
Tubuh handalan Liga Lanun ini merapati. Anehnya tiada reaksi yang luar
biasa di hadapannya. Sepatutnya kelipan anak panah itu bercerai dan
menyelubungi imejan di gogalnya. Ia hairan anak panah berkelip-kelip dengan
lebih cepat.
Bisiknya, “Ganjil. Koordinat tempat memang betul. Apa yang ada di sini?”
Dengan pantas tiba-tiba keluar sebuah mesej yang berbunyi, “Ini adalah
spesies pucuk suyoramidin saiz
raksasa. Diwartakan sebagai tumbuhan terpelihara di sistem solar ini.”
“Cis! Corsair lupa menetapkan kepada mod mengesan ‘hidupan agresif.’
Hobinya menyimpan sampel tumbuhan hampir pupus. Jumpa satu sudah riak merasa
layak masuk e-majalah Selamatkan Planet Herba.”
Ia terkenangkan wajah Nakhoda Corsair di muka e-majalah, keluaran ibukota planet
Aspora di Galaksi Thylakuid itu. Rasanya ia ingin ketawa sehabis-habisnya. Tetapi
hatinya juga berbaur marah kerana merasa dipermainkan oleh Corsair. Tetapi
mengenangkan misi, biarlah berkorban masa untuk itu seketika.
Leternya sambil menekan-nekan punat membetulkan gogal itu, “Ingatkan suka
cari kredito sahaja. Rupanya ada hobi yang lain. Kalau aku hebahkan kepada
orang lain, nanti aku mengumpat pula. Tambah lagi dosa aku.” Hatinya meluat.
Kali ini gogal itu berfungsi sebagaimana sepatutnya. Ia membatalkan
hasratnya. Ia melekapkan kembali ke matanya.Revolver laser dicapainya semula. Jack
menganalisa semula seperti kerja rutinnya menyiasat sebelum menjebak diri dalam
jenayah.
“Tempat ini terbiar. Tiidak ada orang yang menduduki kawasan ini. Tetapi
hairan, kelihatan ada beberapa rumah hijau yang menggunakan sistem pengairan
hidrofonik, dipercayai bercucuk tanam untuk kehidupan. Ini bermakna mungkin
juga ada orang.”
“Jika bandar-bandar, metropolitan bahkan konurbasi, kawalan sekuriti ada
yang amat ketat. Mungkin juga di tempat ini terdapat gangster jalanan. Tetapi,
adakah itu mungkin di Galaksi Muhsinin?” Angin sentiasa berderu kuatmenghembus.
Langit adakala menjadi biru akibat cetusan kilatan. Semua itu tidak dihiraukan
kerana sutnya melindungi daripada suhu yang amat sejuk – 9.832 darjah Celcius.
Visi penglihatan diaktifkan dan semula dilekapkan kepada mata. Ia dapat
melihat dengan jelas dalam gelap di samping adanya pajera bidikan dan
memfokuskan penglihatan untuk melihat jauh seperti teropong.
Senjata revolver laser dicapainya kemudian memeriksa katrij cas yang berupa silinder Katrij ini mengandungi
cas yang diperlukan untuk menembak laser. Ia mara pantas tetapi dengan berhati-hati.
Kilat dari semasa ke semasa menyambar. Kali ini ia terperasan bayang-bayang
sesuatu jasad yang disangkanya bersembunyi di sebalik puing runtuhan. Tangannya
dengan tangkas mengacukan ke arah sasaran. Ia melatah, “Eh, terlupa lepaskan
kekunci. Nahas nanti tidak dapat menembak.”
Gogalnya giat mengimbas dan pandangannya fokus dengan pajera. Sekali lagi kilat
menyambar, “Marin mekanikal!” Barulah ia pasti apakah objek itu.
Serta-merta ia meniarap dan merangkak perlahan-lahan, seringkali bersembunyi
di sebalik timbunan runtuhan bangunan.
Selang beberapa masa, ia mengemaskini kepada imbasan, kalau-kalau ada
pergerakan. Jack bergerakdari dinding ke dinding, sudut ke sudut dan merentas
jalan-jalan dengan berhati-hati. Gogalnya sentiasa menunjukkan arah lokasi.
“Aneh juga. Gogal dan pengimbas tidak memberi apa-apa amaran.” Ia tekad menghampiri.
Sasaran tinggal beberapa langkah sahaja di sebalik dinding. Ia bersandar. Jantungnya
berdegup kepada frekuensi tinggi.
“1... 2... 3... 4... 5...” segera menyergah dan mengacukan revolver.
Ia terundur ke belakang,
“Alamak!” Jack terjatuh. Ia mengacukan sekali lagi revolvernya. Ia menggelabah
sebentar, berpusing dan memeriksa sekitarnya, kalau-kalau ada orang yang
memerangkapnya.
Peluh menitik. Air liur ditelan. Dahi dikesat. Dadanya menjungkit menarik
nafas lega. Barulah ia betenang seketika Degupan jantungnya kembali normal.
Katanya,“Bukannya marin mekanikal. Tetapi cyborg pegawai. Apa yang telah
terjadi?” Rupanya ada tinggalan jasad seorang cyborg pegawai Empayar Sibernatik
Cyborg yang terdampar.
“Inilah rupanya keadaan pegawai cyborg. Gabungan mesin dan manusia.
Tengkorak di dalam, luarannya diliputi oleh selaput besi waja. Sama juga
seperti bahagian yang lain. Tulang di luar, dilapisi oleh armor waja.” Imej
menjadi jelas dalam visi gelap yang serba hijau.
Ia merapati mayat cyborg pegawai, katanya, “Rupanya inilah cip doktrin
Empayar. Cip ini ditanam di dalam otak manusia dengan cara yang kejam, tidak
dapat digambarkan. Tengkorak ditebuk secara kekal. Cip diprogramkan dengan
ALGORITMA yang memastikan cyborg mematuhi protokol demi Maharaja Empayar.
Walaupun diperintah oleh ALGORITMA, cyborg tetap boleh bergerak mengikut
kemahuan, kekreativiti, intelek terbatas manusiawinya.”
“Tetapi tidak boleh melanggar agenda Empayar. Cyborg tetap dikongkong
sebagai mesin. Itu tetap bukan manusia.”
Ia memerhati sambil memegang tiub yang menyambung kepala cyborg dan
bahagian kerangka badan. Desisnya, “Dan ini adalah salur litar cip ke seluruh
sistem kerangka cyborg.”
“Seperti tengkuknya terhantuk dan terkehel kepada dinding.”
Jack memerhatikan sekeliling. Memastikan supaya ini bukan perangkap.
Pengimbas memastikan tidak ada ikon yang mencurigakan. Pasti gogal mata akan
mengesan jika ada pergerakan, desis hatinya, “Mungkinkah tentera mekanikal
masih ada di sini? Siapakah yang sebenarnya berada di sini?”
Ia menyangka, “Tetapi, ada satu kuasa yang menyebabkan kematiannya. Seperti
ada senjata tepat yang mengenai bahagian pinggang cyborg ini. Iaitu tempat
tumpuan sistem bendalir badan cyborg. Kerosakan kepadanya akan mengakibatkan
sistem kerangka cyborg susut serta merta.”
“Dan satu lagi mengenai hampir bahagian atas armor, iaitu tempat sistem
pernafasan cyborg.”
“Dan juga beberapa serpihan
kerangka, anggota badan dan kepala marin mekanikal lain bertebaran di sekitar
cyborg ini. Nampaknya mereka diserbu dengan mengejut, tidak sempat bertindak
balas. Kesan ini kemungkinan adalah daripada senjata mujahidin Galaksi
Muhsinin, Raifal Nur-24.”
“Atau mungkinkah mereka juga terkena kesan virus TAZKIRAH yang menyerang
ALGORITMA mereka dan menyerang sesama sendiri? Ya, ALGORITMA adalah sistem yang
masih tidak dapat digodam. Tetapi spekulasi teori virus TAZKIRAH tidak pernah
dibuktikan.”
Jack menelan air liurnya, sambil berkata dalam hatinya, “Galaksi Muhsinin bukan
calang-calang. Bukan setakat pembunuh profesional, tetapi juga mempunyai virus
yang boleh mempengaruhi orang secara paksa. Mungkin juga mengatasi ALGORITMA
Empayar. Tidak hairan mereka menyebarkan ideologi mereka dengan cara keganasan,
cara teroris.”
Si Pensabotaj itu menyemak lagi data misinya. Menurut koordinat yang diberikan
oleh Nakhoda Corsair, jaraknya dengan habuan bonus hanya tinggal beberapa meter
sahaja lagi - di hadapan mata sahaja!
Radas pengimbas tiba-tiba berkelip-kelip. Ada ikon berwarna merah
menghampiri lorong jalan. Bermakna objek itu didaftar sebagai objek asing dan dikira
musuh. Lantas ia bersembunyi di sebalik timbunan runtuhan bangunan. Dengan pengimbas
dengan gogal, sebuah kenderaan bergerak melalui jalan sepi. Kelihatan lampu
sorot menyuluh sekeliling.
Desisnya, “Pasukan peronda Galaksi Muhsinin ataupun koloni? Harap-harap mereka
berlalu dan terus pergi. Habuan sudah hampir!”
Kenderaan itu bergerak perlahan dan berhenti. “Adakah aku telah dikesan?”
No comments:
Post a Comment