Gundam 00 (2007), animasi bersiri daripada pengeluar Sunrise memaparkan perjuangan sekumpulan kecil 'pejuang kebebasan' yang bernama Celestial Being menentang peperangan. Siri animasi sepanjang 2 musim ini merupakan ‘projection’ ataupun unjuran daripada zaman kini kepada zaman masa 300 tahun mendatang. Siri ini berlangsung dalam dua musim.
Apabila disebut Gundam, maka akan terbayang sosok jentera robot yang besar bertarung dengan kelengkapan canggih. Sejak 30 tahun yang lampau, sebutan 'Gundam' sudah membawa makna kepada jentera tersebut. Gundam 00 ini tidak ada perkaitan dengan siri
Gundam lain seperti Gundam Seed. Istimewa Gundam 00 adalah, jentera mecha tersebut mempunyai dorongan daripada janakuasa relau Solar yang menggunakan sejenis material, iaitu partikel GN. Ciri khas ini menghasilkan zarah-zarah cerah berwarna kehijauan, yang menyerak radar dan komunikasi musuh.
Antara sorotan yang menarik adalah, siri ini mengandaikan bahawa di sebalik kecanggihan kehidupan manusia pada masa depan, mereka masih membawa sikap, peribadi dan cara yang sama: iaitu perbezaan diselesaikan dengan konflik dan perang. Gundam 00 membawa banyak perlambangan dan melemparkan banyak kritikan.
Perlambangan dalam konteks fiksyen sains adalah merujuk kepada sesuatu pihak,
dengan sifat, perwatakan sebagai contoh sesuatu bangsa. Nanti kita akan sebut
perlambangan dan percontohan sekali.
Hakikatnya, kritikan tersebut
memberikan maksud dan mesej kepada manusia masakini. Ini adalah antara ciri
fiksyen sains dan method untuk menyampaikan kritikan kepada manusia zaman
tersebut. Sepertimana jalan yang diambil oleh pengarang klasik, iaitu H.G.
Wells yang banyak memberikan mesej kepada manusia rakus pada zamannya, bahawa
teknologi jika disalah guna akan membawa mudarat kepada mereka sendiri.
Latarbelakang Gundam 00
Tetapi yang menjadi perhatian kali ini adalah kritikan Gundam 00 terhadap
Islam dan Muslim, terutama dari segi terorisma dan pelbagai isu lain. Ini dapat dikesan melalui nama watak yang berbunyikan Islam, pakaian seperti orang Islam (berserban, bersongkok, pakaian kurta, jubah dan wanita bertudung) geografi negara, merujuk kepada Timur Tengah, Tidak lain tidak bukan, adalah membawa kepada perlambangan orang Islam.
Terlebih lagi, watak utama, iaitu Setsuna F. Seiei ataupun Soran Ibrahim adalah seorang yang asalan adalah beragama Islam, tetapi kemudiannya menjadi atheis[1]! Boleh jadi siri ini adalah respon dan cerminan kepada peristiwa terorisme 9/11 yang mengubah lanskap dunia sejak 2001. Iraq dan Afghanistan menjadi mangsa, dan kini kejahatan ISIS pula bermaharajalela di Iraq.
Terlebih lagi, watak utama, iaitu Setsuna F. Seiei ataupun Soran Ibrahim adalah seorang yang asalan adalah beragama Islam, tetapi kemudiannya menjadi atheis[1]! Boleh jadi siri ini adalah respon dan cerminan kepada peristiwa terorisme 9/11 yang mengubah lanskap dunia sejak 2001. Iraq dan Afghanistan menjadi mangsa, dan kini kejahatan ISIS pula bermaharajalela di Iraq.
Sebelum kita melangkah jauh, elok kita kaji sejenak latar masa Gundam 00. Tahun tersebut adalah 2307. Pada zaman itu, sumber emas hitam, iaitu petroleum sudah luput. Manusia
telah terbahagi kepada tiga blok kuasa besar. Setiap blok kuasa ini mempunyai
sistem janakuasa solar gergasi yang mengorbit bumi. Sistem ini memberikan
sumber kuasa baru yang tidak terbatas daripada matahari.
Tiga kuasa besar tersebut adalah:
1. Union, Union of Solar Energy and Free Nations : Union mewakili benua
Amerika Utara dan Selatan. Pendek kata, mewakili Amerika Syarikat. Union begitu
sinonim dengan polis dunia tersebut mempunyai armada yang besar, tidak ubah
seperti Amerika Syarikat sekarang.
2. Human Reformed Legue (HRL): Berpusat di Shanghai, HRL adalah kuasa
Asia yang mencantumkan Cina, Rusia, India dan negara timur dalam pengaruh
kekuasaan mereka. Ciri HRL adalah jentera perang yang kurang canggih, tetapi
dalam jumlah yang banyak. Ini akan dibingcangkan dalam entri mendatang.
3. AEU, Advanced European Union: Mewakili benua Eropah seperti Euro masakini.
Manakala negara yang di luar lingkungan ketiga-tiga blok kuasa ini dianggap
sebagai bangsa yang mundur, tertindas, miskin dan dilanda kancah konflik yang
berpanjangan. Terutama sekali negara Arab yang sememangnya adalah majoriti
Muslim, yang dahulu adalah negara kaya dengan minyak. Namun menurut siri ini,
2307 minyak sudah hampir luput di muka bumi.
Beberapa perlambangan dan kritikan Gundam 00 terhadap Islam dan Muslim:
1. Ketidakstabilan: Republik Krugis, Azadistan dan KPSA
Cerita bermula dalam episod pertama dalam musim pertama. Sebuah negara bernama Republik Krugis sedang dilanggar oleh tentera mekanikal daripada negara jiran Azadistan pada tahun 2301. Pembukaan beberapa minit tersebut mempamerkan kepada kita, saat genting seorang askar kanak-kanak gerila KPSA yang bernama Soran Ibrahim berlari mencari perlindungan berjuang.
Kita dapat memahami bahawa seruan
daripada radio tersebut adalah seruan melancarkan ‘perang suci’ terhadap musuh
agama, keyakinan bahawa mereka tetap akan menang kerana Tuhan.
Konflik tersebut seakan-akan membawakan konflik
yang masih melanda di Timur Tengah sekarang. Republik Krugis dan negara
Azadistan seperti puak pemisah Kurdis dan Iraq. Sejak dahulu lagi, bangsa
Kurdis berusaha sedaya dengan cara gerila upaya untuk menegakkan negara mereka
sendiri dan mempertahankan wilayah daripada kerajaan Iraq, terutama zaman
pemerintahan rejim Saddam Hussein.
Boleh jadi Azadistan ini juga diambil daripada
sejarah yang pernah berlaku di negara Azerbaijan (rantau Kaukasus, selatan
Rusia, timur Georgia, utara Iran). Iaitu percubaan membina sebuah republik ‘Azadistan’,
iaitu Kerajaan Kebangsaan Azerbaijan Selatan oleh Syeikh Mohammed Khiyabani.
Beliau
cuba mewujudkan kerajaan tersebut pada 1917 tetapi diserap kembali oleh
Azerbaijan setelah kematian beliau pada 1920. Azadistan dalam bahasa Parsi (Iran)
bermaksud ‘tanah yang aman.’
2. Pengganas 'Berwajah' Islam: Soran Ibrahim, Ali al-Saachez dan KPSA
KPSA adalah organisasi gerila yang dipimpin oleh
seorang militan yang dahagakan darah iaitu Ali al-Saachez. Untuk menyertai
gerombolan ini, seseorang hendaklah membunuh ibu bapa mereka sebagai
menunjukkan taat setia mereka.
KPSA ini kemudian menjadi organisasi teroris
antarabangsa, dan dikaitkan dengan siri pengemboman teroris di serata dunia. Sebuah
badan yang ekstrem, yang mengorbankan banyak nyawa. Manakala Soran Ibrahim
bukan sahaja mengorbankan ibu bapanya, tetapi turut mengorbankan pegangan
akidahnya.
Tidak ubah seperti al-Qaeda pasca peristiwa 9/11 yang
digembar-gemburkan oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah pertubuhan pengganas
yang melakukan aksi terorisme.
Ali al-Saachez, watak antagonis Gundam 00. Watak ini adalah pengasas pengganas 'Islam' KPSA dan kemudian menjadi askar upahan yang dahagakan darah dan suka kepada konflik. |
Al-Qaeda dan KPSA adalah entiti yang mencemarkan
kesucian agama Islam dengan tindakan mereka yang dianggap sebagai perjuangan
yang suci atau ‘jihad’ dengan mengatakan berlandaskan agama, tetapi dengan
tafsiran sempit dan perbuatan melulu mereka. Akhirnya, kesucian agama Islam yang luhur dinodai kerana tindakan mereka yang melampaui batas.
3. Kemunduran, Kemiskinan dan Kemelaratan Timur
Tengah: Azadistan
Kita dapat melihat daripada dua musim Gundam 00,
bahawa orang Timur Tengah ataupun Muslim adalah umumnya kaum yang miskin,
tertindas, menjadi pelarian, terlalu bergantung dengan kuasa besar (dependent),
dilanda kemelut politik. Digambarkan seluruh Timur Tengah dalam keadaan
tersebut, kerana kekayaan minyak petroleum sudahpun luput. Teknologi solar yang
merupakan sumber kuasa utama telah berayun dimiliki sepenuhnya oleh kuasa
non-Muslim.
Maka dalam kes Azadistan, pada 2307, Puteri Marina
Ismail yang merupakan pemimpin negara tersebut terpaksa meminta pertolongan
pihak Union (Amerika Syarikat) untuk membantu mereka. Namun percaturan jahat
oleh tangan yang jahat oleh askar upahan yang mengambil kesempatan seperti Ali
al-Saachez bersama ekstremis lain telah menimbulkan huru-hara. Lantas
menimbulkan keraguan kepada Union untuk meneruskan bantuan mereka.
Kita lihat sahaja, betapa negara Arab tersebut
digambarkan terlalu bergantung dengan kuasa luar, dari segi pengaruh kuasa,
persenjataan dan eknomi. Azadistan dan Union seperti Arab Saudi yang bergantung
dengan Amerika Syarikat. Dari segi persenjataan pula, Azadistan menggunakan
robot meka gergasi jenis MSER-04 Anf keluaran HRL, tidak ubah seperti negara
Republik Arab Mesir dengan Kesatuan Soviet (kini Rusia) sejak tahun 1950-an
dahulu.
Hal ini secara umum tidak jauh bezanya dengan kita. Umat Islam
masih terkebelakang, dibelit pula oleh masalah dalaman dan luaran. Pelbagai aliran
yang wujud, baik dalam aliran agama, pemikiran dan fahaman politik. Penguasaan ilmu
pula amat menyedihkan, lantas menjadikan mereka terlalu bergantung kepada kuasa
luar ataupun teknolgi luar. Kelemahan tersebut mendedahkan mereka kepada risiko
kehilangan maruah dan kedaulatan mereka sendiri. Sedangkan jika berpegang
kepada agama dengan pemahaman dan cara yang betul, akan menjamin masa depan
yang lebih cerah, dunia dan akhirat.
4. Perpecahan Perpaduan: Antara Progresif dan Konservatif
Berlaku konflik dalaman negara Azadistan. Ini disebabkan oleh perbezaan aliran politik yang membahagi negara tersebut kepada dua: parti konservatif dan parti reformis. Parti konservatif dipimpin oleh Imam Rasa Massoud Rachmadi. Imam Rasa mahukan perdamaian tetapi berkeras tidak mahu menerima perubahan.
Manakala parti reformis dikepalai oleh pemimpin muda Puteri
Marina Ismail. Manakala Puteri Marina Ismail pula mahukan perubahan progresif
dengan kerjasama dengan blok kuasa besar.
Namun watak ini telah diculik oleh
pengganas Ali al-Saachez (KPSA) dan menimbulkan huru-hara. Dalam keadaan ekonomi yang
serba mundur, negara tersebut tidak dapat berkembang kerana masalah dalaman
ini.
Perbezaan antara puak progresif dan konservatif
mungkin tidak begitu ketara. Tetapi menurut siri animasi ini, seolah-olah pihak
konservatif yang konon berpegang teguh dengan agama Islam adalah puak yang menolak
kemajuan. Seakan-akan menjadikan kemunduran itu adalah sinonim buat orang
Islam.
Agaknya begitulah yang berlaku di Timur Tengah sekarang.
Kisah perpecahan Azadistan ini hanyalah cebisan kecil daripada bongkah ais yang
besar. Konflik berbahagi mazhab akidah Syiah dan Sunni banyak menumpahkan
darah. Perbezaan aliran politik dan fahaman asing seperti komunis, Marxist,
sosialis, demokrasi liberal-sekular berhadapan pula dengan golongan Islamis
(yang pelbagai aliran) menambahkan kebingungan yang sedia ada.
Sejak Pemberontakan
Arab (Arab Revolt 1916-1918) yang dicetuskan oleh Lawrence Si Arabia. Lantas secara politik, Arab Muslim terbahagi mengikut
sempadan politik yang kecil menurut negara masing-masing. Keruntuhan Daulah
Uthmaniyyah (Ottoman Empire) pada 1922 oleh Kemal Attarturk telah membinasakan
payung yang melindungi umat Islam. Keadaan yang berpecah-belah ini meletakkan
mereka dalam lingkungan pengaruh kuasa besar, dan masih berlangsung sehingga
sekarang.
Kebangkitan Arab ataupun Arab Spring yang berlaku
sejak 2011 konon adalah perjuangan rakyat yang menjatuhkan diktator kuku besi,
tetapi hakikatnya menghumban mereka kepada kuku besi yang lain. Sehingga kini,
keadaan masih tidak tenteram. Lihat sahaja di Tunisia, Libya, Syria, Mesir,
Yaman masih lagi bergolak. Syria, masih lagi dalam kancah perang saudara. Iraq dilanda
perpecahan yang dahsyat dengan pelbagai pihak, tambahan lagi ancama ISIS yang
konon berjuang untuk agama, tetapi banyak melanggar batasan kemanusiaan. Tidak hairan
krisis Palestine masih lagi berlanjutan walau sudah lebih 60 tahun berlalu.
5. Krisis Akidah: Soran Ibrahim danSetsuna
Dalam beberapa minit yang awal episod pertama
musim pertama Gundam 00, kita menyaksikan bahawa sekumpulan gerila KPSA
berjuang di sebalik runtuhan kota Republik Krugis. Di kalangan itu adalah watak
utama, iaitu Soran Ibrahim. Terdapat seruan ‘perang suci’ ataupun ‘jihad’
seseorang (Ali al-Saachez) bagi meniupkan semangat tentera mereka. Jika kita
amati, bahawa perang tersebut tampak sebuah perjuangan agama, tetapi malangnya
di sebalik kecamuk perang itu, Soran Ibrahim yang namanya seorang Muslim telah
mengatakan, terjemahannya:
“In this world... there is no God.”
“Di dalam dunia ini... tidak ada tuhan.”
Sepanjang perjalanan musim pertama Gundam 00,
secara konsisten kita mendapati bahawa Soran Ibrahim yang kemudian dikenal
sebagai Setsuna F. Seiei menjadi atheis (murtad) daripada agamanya yang luhur.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ‘dilema’
Setsuna dan keluarnya daripada agama mencerminkan krisis akidah yang berlaku
dalam masyarakat Islam. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat
kebimbangan kes murtad terutama di kalangan anak-anak muda. Ini mungkin
disebabkan dengan goyahnya pendidikan agama dalam keluarga, desakan hidup dan
pengaruh luar akhirnya menatijahkan mereka berpaling daripada agama kebenaran. Terlebih
lagi kini banyaknya aliran fahaman ‘Islam’ pelbagai slogan, ada di kalangan
golongan tersebut jauh dan longgar tafsiran seperti ‘Islam’ liberal dan plural yang
berisiko menjerumuskan keruntuhan akidah.
Penutup
Begitulah beberapa sorotan yang dipancarkan daripada siri animasi fiksyen
sains Gundam 00. Penulis amat berminat dengan siri ini, antaranya lantaran ada ‘perhatian’ penerbit Sunrise terhadap krisis yang dialami oleh umat Islam. Animasi tersebut juga memaparkan
banyak isu lain dan boleh dikatakan sebagai karya fiksyen sains yang ‘berat’
dan membawa persoalan yang serius.
Ya, sekalipun mereka melemparkan seperti tohmahan terhadap Islam, tetapi
kita dapat mengenal pasti bagaimanakah golongan non-Muslim (konteks ini orang
Jepun) terhadap isu terorisme umat Islam dan Islam sendiri. Betapa lontaran tersebut adalah daripada persepsi, bukan kajian yang adil dan ilmiah yang tuntas bagi agama Islam.
Sesungguhnya Islam itu agama yang luhur, benar dan lurus. Islam membawa
keamanan dan kesejahteraan, sepertimana yang telah ditonjolkan oleh Junjungan
Mulia Nabi Muhammad s.a.w 1,400 tahun yang lampau. Jika ada masalah yang
timbul, bukanlah agama yang suci itu yang pincang, tetapi berakar umbi kepada
umat yang menganuti agama itu tidak berpegang teguh dan melaksanakan ajaran-ajaran
mereka dengan sempurna.
Teringat rumusan daripada seorang ahli pemikir, cendiakawan ulung Ahli Sunnah wal Jamaah, Tan Sri
Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001) dalam kitab Risalah untuk Kaum Muslimin
bahawa masalah mendasar kita adalah berpunca kepada kekeliruan. Kekeliruan akan
membawa kepada keruntuhan adab (biadab). Dan biadab akan menjerumuskan salah
memilih pemimpin. Dan akan berlaku ‘lingkaran jahat’ ataupun vicious circle
yang akan menghantui kaum Muslimin sepanjang masa. Akhir kata, mari kita renung
dua rangkap sha’ir yang beliau katakan dalam buku yang sama:
Sifat sejarah,
menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang; Cerita
lampau dihurai dalang, 'Pabila
tamat segera diulang
Jika demikian
mustahil pantang, Giliran
Islam pula mendatang; Lakonan lama
indah gemilang, Di layar dunia semula terbentang.
No comments:
Post a Comment