Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts
Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts

Monday, February 18, 2013

[Resensi] The Hunt for Red October (1)



The Pentagon almost exploded when this book was published.” ~Daily Telegraph

1.0 Mukadimah

Novel The Hunt for Red October nukilan Tom Clancy yang terbit pada tahun 1984 telah mencetuskan fenomena baru dalam dunia penulisan. Fenomena tersebut telah memasyhurkan genre thriller ketenteraan ataupun techno-thriller.

Kapten Marko Ramius (Sean Connery) dan
Penyelidik CIA, Jack Ryan (Alan Baldwin) dalam filem
The Hunt for Red October, 1989.
Genre techno-thriller berorientasikan kepada jalan cerita melibatkan organisasi, strategi, taktik, spesifikasi teknologi, perisikan ataupun senjata berteknologi tinggi sesebuah negara ataupun badan ketenteraan. Sebut sahaja, James Bond, siri Bourne, Blue 5, Greenzone dan sebagainya. Lazimnya, genre ini penuh dengan debaran dan aksi lasak yang memacu plot cerita dengan halaju yang tinggi. Novel tersebut telah ke layar perak pada tahun 1989. Karya ini masih lagi laku dan berada di pasaran.

Entri Saifai Islami kali ini mengupas novel ini yang menggunakan isu kontemporari sebagai idea utama. Berbeza dengan perbincangan sebelum ini yang banyak berpaksikan kepada sumber idea daripada idea sejarah, karya sulung Tom Clancy ini bukanlah fiksyen semata-mata, akan tetapi berpandukan peristiwa yang hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III.


1.1 Tom Clancy & Genre Techno-Thriller

Tom Clancy adalah seorang pembroker insurans ketika novel beliau melonjak di persada antarabangsa. Karya tersebut berjudul ‘The Hunt for the Red October.’ Novel tersebut telah mendapat sambutan hangat di pasaran sejak penerbitannya pada tahun 1984.

Setelah kejayaan beliau melalui The Hunt for Red October, beliau giat menulis dan memperkembang pengaruh genre tersebut melalui konflik politik dan ideologi. Karya beliau merangkumi fiksyen dan non-fiksyen. Beberapa karya beliau turut diadaptasi dan muncul di pawagam. Antara karya fiksyen novel beliau adalah The Hunt for the Red October, Patriot Games, Clear and Present Danger, Red Storm Rising, The Sum of All Fears, Rainbow Six, Cardinal of Kremlin dan banyak lagi.
Koleksi peribadi karya Tom Clancy...
Manakala bagi karya non-fiksyen, beliau seolah-olah sebagai duta propaganda pihak Amerika Syarikat kepada dunia menghebohkan teknologi terkini mereka, seperti Submarine, Armoured Warfare, Fighter Wing dan Marine. Pada pemerhatian penulis, buku-buku fiksyen beliau masih lagi laku bak pisang goreng. Didapati di gedung-gedung terkemuka seperti MPH, Times dan Popular masih berterusan menjual siri novel beliau.

Perarakan senjata Kesatuan Soviet di Red Square
ketika Era Perang Dingin
Penulisan beliau bersifat kontemporari berdasarkan senario semasa. Jika pada penguhujung 1980-an, beliau lebih membicarakan pertebungan Perang Dingin. Akan tetapi, pasca keruntuhan Kesatuan Soviet dan sistem komunisme, Tom Clancy beralih arah kepada pertembungan antara tamadun Barat dan ekstremis Islam. Perubahan corak dan pola fikir serta sudut pandang terhadap Islam agak berkait langsung dengan perubahan pemikiran yang digembar-gemburkan oleh pemikir Samuel P. Hutington dan Benard Lewis. Pemikiran cara pandangan yang serong dan picing sebelah mata terhadap Islam menjadikan Islam sebagai seteru tamadun Barat setelah kejatuhan komunisme.
Game berjenamakan nama
Tom Clancy, Ghost Recon: Future Soldier
Tidak dilupakan juga, kemunculan China sebagai kuasa dunia baru dalam bidang politik dan ekonomi menghantui Rumah Putih. Pemikiran tersebut tertuang dalam karyanya.




1.3 Tehcno-thriller Tom Clancy Kategori Fiksyen Sains?

Saya memeriksa buku-buku kajian karya fiksyen sains, genre techno-thriller tidak termasuk dalam kategori fiksyen sains. Secara umum karya ini lebih berpusat kepada teknologi persenjataan semasa ataupun masa sedikit hadapan hadapan, maka mungkin kerana itu genre ini tidak begitu ketara dikategorikan sedemikian. 
Kapal selam kelas Typhoon, milik Kesatuan Soviet
 Namun begitu, jika diimbas dan dikaji beberapa karya Tom Clancy, saya berpendapat, beberapa karya techno-thriller beliau boleh termasuk dalam sub-genre fiksyen juga. Sebagai contoh dalam novel The Hunt for Red October, memaparkan pemburuan kontroversi mengejar kembali sebuah kapal selam kelas Typhoon yang mampu melancarkan misil balistik antara benua (Inter-Continential Ballistic Missile - ICBM) terkini Kesatuan Soviet. Kapal selam tercanggih itu dipacu oleh dorongan magnetohidrodinamik ataupun singkatannya MHD. 
Begitu dalam novel Cardinal of Kremlin, memaparkan pertembungan ejen perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan KGB (perisik-polis rahsia Soviet) dalam menjejak ataupun melindungi rahsia pembinaan senjata super angkasa di Afghanistan.

1.4  The Hunt for Red October: Idea Asal
Kapten Marko Ramius, nakhoda kapal selam Red October 
dalam filem The Hunt for Red October.

Dalam entri sebelum ini, kita mengkaji bahawa para pengkarya fiksyen sains memanfaatkan sumber sejarah dalam analogi pembikinan falsafah, ideologi, psikologi watak, teknologi, latar tempat. Sumber idea sejarah menyediakan pakej lengkap meliputi aspek-aspek yang disebut tadi.
Kelasi kapal Storozhevoy ketika dahagi dalam dokumentari
History Channel, The True Story: The Hunt for Red October.

Tom Clancy menggunakan isu kontemporari dan senario semasa yang dilalui oleh kedua-dua belah pihak sebagai idea utama. Beliau berjaya mengadunkan olahan cerita dengan menggunakan manipulasikan senario, strategi, percaturan dan ideologi semasa Perang Dingin sehingga tahap seperti benar-benar berlaku. Tidak dinafikan, sejarah mengenai sesuatu peristiwa ataupun asal-usul tetap diselitkan di tempat yang sesuai.
Kapal selam terbesar di dunia, kelas Thyphoon
milik Kesatuan Soviet.

The Hunt for Red October mengambil idea daripada sebuah percubaan mutiny ataupun dahagi sebuah kapal perang kelas frigat Krivak yang bernama Storozhevoy (bermaksud Sentry atau pengawal) pada tahun 1975. Tom Clancy mengambil sejarah kurang daripada 10 tahun (novel tersebut terbit pada 1984).

Peristiwa dahagi kapal Storozhevoy begitu kritikal kerana hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III. Senario getir tersebut menjadi idea utama Tom Clancy dalam memacu jalan cerita tentang dahagi misteri seorang kapten handal Soviet, iaitu Kapten Marko Ramius. 
Kapal frigat anti-kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet,
kelas Krivak. Kapal  Storozhevoy adalah seperti ini.
Kapten Ramius adalah nakhoda kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet yang digelar sebagai Red October. Kapal selam tersebut mencetuskan tanda tanya dan misteri yang juga begitu hampir mencetuskan Perang Dunia III antara Amerika dan Soviet.


1.5   Maksud  Mutiny / Dahagi

Menurut kamus Longman Dictionary of Contemporary English (1999), mutiny bermaksud:
 “a situation in which people, especially sailors or soldiers, refuse to obey the person who is in charge of them, and try to take control for themselves.(p. 938)”

Pegawai Komisar dahagi kapal Storozhevoy, Valery Sablin, 1975
                                   
Terjemahan istilah tersebut dalam Bahasa Melayu adalah ‘situasi apabila orang, terutamanya kelasi ataupun askar, enggan untuk patuh kepada pegawai berkuasa di kalangan mereka, dan cuba menguasai organisasi (secara khususnya kapal) untuk tujuan diri mereka sendiri.’

Mutiny, diterjemahkan kepada ‘dahagi’ (p. 650) menurut An English-Malay Dictionary Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Edisi Ringkas (1995). Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dahagi bermaksud ‘penentangan terbuka terhadap pihak berkuasa (p. 303).


1.6     Sejarah Mutiny / Dahagi

Merujuk kepada sejarah, terdapat beberapa peristiwa dahagi dalam organisasi tentera. Dinyatakan dalam buku The Encyclopedia of War (2012), peristiwa dahagi begitu berpengaruh dan mengubah perjalanan sejarah sesebuah bangsa.


Sebagai contoh, para kelasi tentera laut Jerman pada 1918, iaitu pada penghujung Perang Dunia I telah melancarkan dahagi. Dalam The Ultimate Illustrated History of World War I, Westwell (2009)  mengatakan bahawa dahagi tersebut disebabkan dengan keadaan negara Jerman yang meruncing akibat kekalahan mereka dalam perang itu. Dahagi oleh para kelasi merebak di kalangan awam, menuntut kepada pemansuhan Kaisar Jerman, iaitu Maharaja Wilhelm I. Akhirnya, Empayar Jerman beralih kepada pemerintahan bercorak republik dan tidak lama kemudian perang tersebut tamat.

Poster propaganda memperingati dahagi Potemkin

Hakikatnya dahagi kapal Storozhevoy yang dilancarkan oleh pegawai komisar tentera laut Soviet, Valery Sablin. Pegawai tersebut mengambil semangat daripada dahagi kapal battleship era Tsar yang bernama Potemkin. Dahagi tersebut dilancarkan pada 1905.



 Menurut buku The Encyclopedia of War (2012), krew kapal Potemkin daripada ‘Black Sea Fleet’ (Armada Laut Hitam) telah menentang dan mengambil alih kapal tersebut dengan membunuh tujuh pegawai mereka. Meriam-meriam kapal tersebut telah digunakan untuk membantu pemberontakan di bandar Odessa, Ukrain. Dahagi itu telah memberi inspirasi dan model kepada Revolusi Rusia pada tahun 1917. Revolusi berdarah yang  mengorbankan banyak nyawa itu telah menumbangkan kekuasaan Tsar. Justeru bermula zaman baru yang lebih gelap dan ngeri, iaitu berasasnya negara berfahaman komunisme, Kesatuan Sosialis Soviet.

1.7     Rumusan Pengenalan

Kini pada tahun 2013, karya The Hunt for Red October karangan Tom Clancy kekal bertahan dan diminati ramai sejak 28 tahun yang lalu sejak 1984. Karya-karya beliau masih terdapat di kedai-kedai buku besar dan kecil.  Karya tersebut tetap menjadi lagenda, meskipun banyak karya fiksyen lain yang tebal belaka dan isu yang tidak kurang menarik diutarakan. Apakah faktor ‘evergreen’ karya beliau masih relevan di pasaran? Sebagai andaian awal, mungkin ada benarnya pandangan  seorang yang berkecimpung dalam sastera, iaitu Faisal Tehrani dalam Karya Nan Indah beliau. Beliau mengatakan bahawa, tiga elemen yang akan menyebabkan karya menjadi ‘evergreen’ ataupun segar, iaitu bicara tentang agama, falsafah dan politik. Insya-Allah kita akan sambung wacana karya bestseller ini, dalam entri yang seterusnya:

 [Resensi] The Hunt for Red October (2): Watak & Latar Politik


NOTA:
Dr. Faisal Tehrani merupakan seorang penulis yang aktif bergiat dalam sastera. Tidak dinafikan, beliau menjadi model yang baik kepada saya dalam penulisan. Novel [1511H] Kombat telah mencetuskan saya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan secara serius. Perlu dikatakan bahawa novel fiksyen sains saya Galaksi Muhsinin (GM) mungkin ada pengaruh novel beliau, tetapi novel GM ada kerangka yang tersendiri.

Namun demikian, secara peribadi terdapat sesetengah daripada pemikiran dan fahaman beliau yang dikatakan agak kontroversial wajar dibahaskan. Dalam hal ini, saya mengambil isi penting yang baik dan relevan dalam teknik penulisan daripada buku Karya Nan Indah

Wednesday, December 19, 2012

[SI] Resensi - Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire’s Service (Bhg. 2)



Laman StarWars.com membongkar rahsia di sebalik pembikinan latar dalam saga Star Wars. Laman tersebut menghuraikan bahawa Star Wars menggunakan banyak elemen sejarah dalam Perang Dunia II (1939-1945) dalam perwatakan juruterbang, reka bentuk teknologi mahupun plot penceritaan.
                                      
Entri blog kali ini menyambung kembali analisis naskhah Star Wars X-Wing’s Rogue Squadron: In the Empire’s Service yang tertunggak sejak Ogos 2010. Komik STAR WARS tersebut telah saya beli ketika promosi jualan murah komik Star Wars di MPH Kuching pada Julai 2010 yang lepas. Anda boleh mengklik pada pautan di atas untuk membaca entri pengenalan kupasan resensi. 

Kapal angkasa TIE,
Empire STAR WARS
Resensi kali dikhususkan kepada pesawat TIE, juruterbang dan plot cerita. Saya mendapati, falsafah di sebalik rekaan teknologi TIE dan penceritaan komik ini bersumber daripada adaptasi sejarah sebenar dalam Perang Dunia I dan Perang Dunia II.  Secara spesifik, TIE dibandingkan dengan pesawat pejuang terkenal versi Mitsubishi A6M ‘Zero’ milik Tentera Laut Imperial Jepun. 

Oleh sebab pengambilan idea sejarah agak luas, maka perbincangan melibatkan hal ini agak panjang. Entri ini akan dilanjutkan lagi dalam beberapa bahagian lagi dalam entri akan datang. Kali ini berkisar mengenai perbandingan dan pengambilan idea, falsafah teknologi di sebalik kapal angkasa TIE.  Sebagai panduan, kita tinjau subtopik kajian tersebut sebelum melangkah lebih jauh:

A6M5 Zero,  1944, Pertempuran Laut Filipina


Bhg. 2: TIE dan Zero

Bhg. 3: Juterbang TIE dan Imperial Jepun

Bhg. 4: Plot penceritaan, Perang Dunia I  
              dan II






Bahagian 2: TIE dan Zero

1. Mengenali Pejuang TIE 

\
Merujuk kepada buku Star Wars: Complete Cross-Sections: The Spacecraft and Vehicles of the Entire STAR WARS Saga. TIE adalah singkatan kepada Twin Ion Engine. TIE dikatakan mempunyai sistem dorongan yang paling canggih dalam galaksi saga Star Was. Enjin ion berkembar beroperasi melalui ‘pengionan solar memantulkan tenaga cahaya dan menyalurkan kepada reaktor untuk menyalakan sinaran daripada gas radioaktif.’ Tanpa melibatkan bahagian bergerak, TIE mudah dipelihara dan dibaikpulih. TIE mempunyai senjata dua blaster laser.
Dalaman kokpit TIE yang sedang mengejar X-Wing T-65 Rebel Alliance
Dalam Episod IV: A New Hope.
TIE mempunyai pelbagai variasi, antaranya ialah pejuang  dan pemintas TIE. Walaubagaimanapun, misi TIE tidak jauh berbeza dengan berlainan variasi. Kedua-dua jenis ini muncul dalam komik tersebut. Lebih khusus adalah jenis pemintas TIE Interceptor, iaitu 181st Fighter Division yang mempunyai jalur merah pada panel solarnya. TIE jenis ini merupakan penaiktarafan daripada TIE pejuang asal. Versi TIE Interceptor adalah lebih canggih: lebih pantas, kuasa tempur yang tinggi dan lebih lincah. 

Disebutkan dalam Star Wars: Complete Cross-Sections, tugas utama skuadron TIE adalah menguasai ruang angkasa, memintas kapal angkasa Rebel Alliance dan melindungi pangkalan serta kapal induk Empire.



2. Perbandingan TIE dan Zero

Terdapat beberapa persamaan didapati antara kapal angkasa TIE dan Zero. Antaranya adalah:

2.1 Simbol kekuasaan Empayar

Kehadiran pejuang TIE dalam senarai jentera perang menjadikan ia sebagai imej paling menonjol bagi cengkaman Empayar. Di mana-mana sahaja baik di stesen angkasa, planet, rondaan rutin ataupun pengiringan konvoi, pasti adanya skuadron TIE yang menguasai ruangan angkasa.


Begitu juga ketumbukan udara Imperial Jepun, yang menyerang pantas kedudukan-kedudukan tentera Berikat ketika fasa awal Perang Pasifik pada 1941. Skuadron udara Imperial Jepun begitu digeruni kerana kehandalan mereka. 


Banyak pejuang Berikat yang tumpas, menjadikan juruterbang mereka gentar menghadapi penangan samurai udara. Paling simbolik akan kemaraan tentera Jepun adalah pesawat pejuang yang masyhur lagi digeruni, iaitu Zero. Ketumbukan udara ini beroperasi secara berasingan bawah pemerintahan Tentera Laut Imperial Jepun (Imperial Japanese Navy, IJN ataupun Nihon Kaigun) dan Tentera Darat Tentera Jepun (Imperial Japanese Army, IJN ataupun Dai Nippon Teikoku Rikugun).



2.2 Berpangkalan di Stesen & Kapal Induk


Menurut Star Wars: Complete Cross-Sections, TIE direka tanpa perisai pertahanan,  dorongan hyperdrive (sejenis dorongan yang berupaya membawa kapal angkasa merentas angkasa yang luas dalam masa yang singkat) dan sistem sokongan kehidupan. Oleh yang demikian, kapal angkasa yang ringan ini dapat memacu kelajuan tinggi dan memiliki kelincahan. Akan tetapi, kedua-dua keupayaan tersebut terpaksa ‘dibayar’ dengan harga kerapuhan pesawat dan terpaksa bergantung dengan stesen angkasa ataupun kapal induk Star Destroyer ataupun berdekatan stesen angkasa.


Manakala Imperial Jepun pula, pesawat IJN berkeupayaan berpangkalan di kapal induk pengangkut yang disebut dalam bahasa Inggeri sebagai carrier. Pesawat pejuang, penyerang junam dan torpedo dilancarkan dari dek kapal induk untuk operasi serangan. 

Operasi, doktrin dan teknologi bersepadu antara pesawat dan kapal induk anda boleh rujuk buku Sunburst: The Rise of Japanese Naval Air Power, 1909 – 1941 dan Osprey New Vanguard 109: Imperial Japanese Navy Aircraft Carriers 1921-45. Selain itu, skuadron IJN juga berpangkalan di lapangan terbang di pangkalan hadapan kepualauan milik Imperial Jepun. 

Kelebihan pesawat IJN dibandingkan dengan TIE adalah dari segi jarak operasi yang jauh. Berlawanan dengan pesawat IJN,  TIE adalah pesawat beroperasi jarak dekat. Akan tetapi, pesawat IJN memiliki keupayaan ini juga dengan harganya tersendiri. Kita akan kupas dalam ruangan ini nanti.


2.3 Mengutamakan Kelincahan daripada Perlindungan

2.3.1 TIE
Maklumat mengenai falsafah dan rekaan pejuang ataupun pemintas TIE boleh didapati dengan terperinci daripada Star Wars: Complete Cross-Sections dan novel STAR WARS: Death Star karangan Michael Reaves dan Steve Perry (2007). TIE pejuang dan pemintas tidak jauh berbeza. Doktrin Empire menetapkan bahawa penguasaan angkasa oleh TIE adalah berdasarkan kepada kelincahan (agility) menuver mengelak bedilan serta mengelirukan musuh. Juga, kuantiti TIE yang banyak menyukarkan musuh menyerang. Kita tinjau rekaannya daripada Star Wars: Complete Cross-Sections: 

“To reduce the mass of the ship, TIE fighters are built without defensive shields, hyperdrive capability, and life support systems... The light-weight ship gains speed and maneuverability at the price of fragility...”

Seperti maklum dalam huraian fakta sebelum ini, TIE Interceptor adalah versi naiktaraf daripada TIE pejuang yang asal. Manakala TIE Interceptor pula, tidak jauh cirinya:

“To achieve its increased performace, the craft sacrifices armor, deflector shields, hyperdrive systems, and life suppor systems: pilots must rely on their skills and superior numbers to survive most engagements.”


Novel STAR WARS: Death Star karangan Reaves dan Perry (2007) memaparkan penceritaan yang menarik tentang sebahagian kehidupan juruterbang TIE. Dalam novel tersebut, watak yang bernama Leftenan Komander Villian ‘Vil’ Dance yang mengepalai skuadron Alpha. Vil Dance mengakui bahawa struktur binaan TIE adalah rapuh, tetapi amat bergantung kepada skil juruterbang untuk hidup:

“TIE fighters, in order to save mass, had no defensive shield generators, no hyperdrive capability and no emergency life-support systems. They were thus fragile, but fast, an that was fine with Vil. He’d rather dodge enemy fire than hape it would be bounced off.” (pp. 5).

2.3.2 Mitsubishi A6M Zero

“The Mitsubishi Zero, as it came to be known worldwide, was undoubtedly one of the most ingeniously (clever and inventive) designed fighter planes in aviation history.” ~Mark R. Peattie, Sunburst: The Rise of Japanese Naval Air Power, 1909 – 1941, 2001
Tidak disangsikan lagi, rekaan TIE berkait rapat dengan pesawat Imperial Jepun Perang Dunia ke-2. Terdapat persamaan yang ketara antara dua jentera ini. Jurutera Imperial Jepun pernah mereka bentuk pesawat pejuang lagenda terulung di Pasifik, jika tidak dunia pada zamannya. Hasil daripada konflik berterusan di China dan Rusia, Tentera Laut Jepun telah mengarahkan firma industri Jepun untuk mereka bentuk pesawat pejuang yang serba boleh.

Dalam buku Sunburst: The Rise of Japanese Naval Air Power, 1909 – 1941, Peattie (2001) mengkaji bahawa pihak tentera mahukan pesawat yang mempunyai ‘kelajuan dan kuasa tempur tinggi yang mampu membinasakan pesawat pengebom musuh, jarak dan keupayaan untuk mengiringi pengebom IJN, G3M dan menuver lincah menghadapi musuh.’ Jurutera Mitsubishi yang diketuai oleh Horikoshi Jiro telah memenuhi lebih daripada syarat mereka.

Akhirnya pada 1939, Mitsubishi Zero telah muncul. Rekaan kreatif dan inovatif tersebut mempunyai enjin berkuasa tinggi, kuasa tembakan ampuh, jarak operasi yang sangat jauh (tiga kali ganda berbanding pesawat Eropah) dan memiliki daya menuver lincah mengatasi musuh. Untuk mencapai spesifikasi tersebut, Zero direka dengan bahan-bahan aloi waja yang ringan, ia rapuh menghadapi bedilan musuh. Kita lihat kajian Peattie tentang Zero:
“To begin with, its lightness, indeed its near fragility of structure, which helped to give the aircraft unprecendented maneuvrability, meant thaht it contained too many single-point failure points (points at which structural failure would cause destruction of the entire aircraft), a weakness compounded by the fact that it possessed virtually nor armor protection for either its pilot or fuel tanks.” 
Campuran A6M2 dan A6M5 di Buin, New Gunea, 1943
Zero mempunyai struktur kerangka pesawat yang ringan, armor yang minima serta tanpa tangki ‘menampal sendiri’ (self-sealing tanks). Tangki tersebut berperanan memadam api jikalau terdapat bahagian-bahagian pada pesawat terbakar akibat tembakan, terutama pada bahagian tangki minyak dan enjin. 

Pesawat Jepun secara purata baik dari segi kuasa ofensif (operasi jarak jauh dan lincah), tetapi lemah dalam menerima beban tembakan daripada musuh. Oleh yang demikian, ramai juruterbang handalan Jepun yang terkorban menghadapi prestasi pejuang AS yang semakin meningkat.

Berbanding dengan pesawat AS, kerangka pesawatnya begitu teguh. Pesawat AS mampu menerima hukuman bedilan yang berat serta masih lagi bertahan dalam penerbangan. Saburo Sakai mengungkapkan dalam memoir beliau Samurai! Bahawa terdapat sekali beliau tanpa sedar telah menghabiskan seluruh amunisi mesingan 7.7mm dan meriam 20mm A6M2 yang dipandunya; tetapi F4F Wildcat tersebut masih mampu terbang! 





Henry Sakaida (1997) dalam bukunya Osprey Warrior 55: Imperial japanese naval aviator 1937-45 berpandangan bahawa binaan rapuh pesawat Imperial Jepun mungkin juga kesan pengaruh disiplin hidup Bushido; iaitu berkorban adalah jalan yang mulia. 


Berbanding dengan seteru abadi TIE, yang merupakan ikonik kepada perjuangan kebebasan (freedom fighter) Rebel Alliance, iaitu T-65 X-Wing. X-Wing direka dengan keupayaan ‘senjata berat, dorongan hyperdrive dan perisai pelindung.’ Maka kita dapati perbezaan yang jauh berbeza antara kedua-dua jentera perang ini.

Serupa juga antara Zero dan Wildcat, TIE dan X-Wing cocok sekali dipadankan. X-Wing bersifat tahan lasak dianalogikan kepada Wildcats. Manakala kelincahan dengan harga kerapuhan TIE pula dibandingkan dengan Zero. 
Cuma satu sifat ‘bersilang,’ iaitu berkenaan dengan jarak operasi. Ciri jarak jauh Zero diberikan kepada X-Wing, manakala jarak dekat diberikan kepada TIE! 
Oleh yang demikian, kita dapati bahawa terlalu banyak TIE yang musnah ketika awal plot komik tersebut.


2.4 Pesawat Standard, Tiada Individualiti

Bagi melihat bahagian ini dengan lebih jelas, elok sekiranya kita imbau sejarah. Jika anda pernah menonton filem ataupun dokumentari mengenai pesawat Perang Dunia II, anda mungkin akan terperasan, terdapat simbol di bahagian hadapan, berhampiran dengan kipas propeler.

MiG-15 milik Tentera Udara Mesir (Egyptian Air Force)
Juruterbang biasanya mengecat ‘insigna’ ataupun ‘emblem’ ataupun lambang pada pesawat mereka, dengan menandakan bahawa itu adalah tanda pesawat milik ataupun unit skuadron (ataupun kesayangan) mereka. Insigna lazimnya terdiri daripada imej-imej binatang, watak kartun dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa juruterbang mempunyai ‘rasa kebersamaan’ ataupun ‘sense of belonging’ bersama pesawat yang mereka pandu. Kebiasaannya, apabila melaksanakan misi, mereka hanya memandu pesawat ‘milik’ mereka sahaja.
F4F Wildcats Tentera Laut AS membedil Zero

Berbeza dengan perang di Pasifik, pergeseran yang berterusan (attrition) antara Jepun dan AS di Kepulauan Solomon pada tahun 1942-43 menghasilkan implikasi yang mendalam terhadap krew dan juruterbang Imperial Jepun. Bekalan alat ganti yang semakin merosot dan ancaman cuaca tropika menyebabkan pesawat rosak dan memerlukan servis berkala.

Tambahan pula, pesawat AS yang sering membuat kejutan memaksa juruterbang terdesak untuk lebih berhati-hati. Dengan rekaan pesawat yang mudah musnah (tanpa mereka sedar), maka angka korban juterbang handalan dan berpengalaman serta pesawat yang mampu terbang semakin berkurang. 

Saburo Sakai dalam memoir beliau, Samurai! berkata ketika serangan kejutan AS, juruterbang Imperial Jepun tidak memilih mana-mana pesawat ‘kepunyaan’ mereka. Ini disebabkan kerana keadaan pesawat yang mampu terbang adalah terhad untuk menentang musuh. Pendek kata, mana-mana yang ada, digunakan sahaja.

Begitu juga juruterbang TIE, Empire menerapkan falsafah ‘absolute conformity’ yang bermaksud ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas, tanpa terikat ataupun ‘attached’ kepada pesawat kesayangan mereka. Semua jentera adalah sama; seolah-olah baru sahaja siap dari kilang. Oleh yang demikian, individualiti TIE adalah sama sahaja antara satu pesawat dengan yang lain. Berbeza pula dengan Rebel Alliance, mereka mempunyai ‘kebersamaan’ dengan pesawat mereka, X-Wing khususnya. Buku Star Wars: Complete Cross-Sections mengesahkan hal ini:






“TIE pilots may never use the same ship twice, and develop no sentimental attachment to their craft as the Rebels often do. TIE pilots know that every reconditioned fighter is identical to a factory-fresh ship; one is the same as many thousands – another reinforcement of Imperial philosophy of absolute conformity.” (pp. 110).
Anda boleh lihat perkara ini dalam novel novel STAR WARS: Death Star karangan Michael Reaves dan Steve Perry (2007). Sungguhpun demikian, pelaksanaan falsafah ‘absolute conformity’ ini tidak dapat diimplementasikan sepenuhnya. Sedutan ini adalah daripada sudut pandang Leftenan Komander Vil Dance:

“Command always said it didn’t matter which unit you got. TIE fighters were all the same, down to the last nut and bolt, but even so, every pilot had his or her favourite ship. You waren’t suppose to personalize them, of course, but there were ways to tell – a scratch here, a scuff mark there... after a while, you got where you knew which fighter was which.”
“And no matter what Command said, some were better than others – a little faster, a little tighter in the turns, the laser cannons a hair quicker to fire when you touch the stud.” (pp. 4)




“Vil felt his lips twitch in annoyance. The Empire determined to erase all signs of individuality in its pilots, on the absurd theory that nameless, faceless operators were somehow more effective. Thus the classification numbers, the anonymous flight suits and helmets, and the random rotation of spacecraft.” (pp. 4)



Penutup Bhg. 2
Setelah menganalisa kapal angkasa TIE mengambil idea dalam secebis coretan sejarah, dapatlah kita menyimpulkan bahawa sejarah merupakan sumber idea yang sangat baik. Dalam Bahagian 2 inipun baru disentuh tentang perbandingan teknologi dan falsafah tersirat yang diguna pakai. Insya-Allah kita akan sambung berkenaan perbandingan psikologi juruterbang TIE dan Imperial dalam Bhg. 3 dan diakhiri dengan Bhg. 4 tentang penjanaan plot daripada sumber keterlibatan Imperial Jepun di Perang Pasifik juga.

Rujukan:
1.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 13: Imperial Japanese Army Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

2.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 22: Imperial Japanese Navy Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

3.Jenssen H. And Chasemore, R., (2007). Star wars: Complete cross-sections. DK Publishing: UK.

4. Mohd. Zaki Mohd. Saleh, (Oktober 2000). “Pertempuran midway: Titik tolak kekalahan jepun dalam perang pasifik ms. 17-24,” Perajurit. Inai Damai Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur.

5.Osamu Tagaya (1997). Osprey Warrior 55: Imperial japanese naval aviator 1937-45.Osprey Publishing Limited: UK

6.Perry, S. And Reaves, M., (2008). Star wars: Death star. Arrow Books: UK.

7.Stackpole, Nadeau, Ensign, (1999). Star wars x-wing rogue squadron: In the empire’s service. Dark Horse Comics: Canada.

8.Stille, M., (2005). Osprey new vanguard 109: Imperial japanese navy aircraft carriers 1921-45. Osprey Publishing Limited: UK

9. Windham R. And Wallace D., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Publishing: UK. 

10. Roberts, A., (2000). Science Fiction: The new critical idioms. Routledge: London.