Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, November 14, 2011

Sampah Dari Angkasa

Rancangan 360 menerusi TV3 pada Rabu, 2 November 2011 menarik perhatian saya. Isu yang disentuh dalam wacana tersebut adalah berkenaan kesan bahan sisa pepejal dalam kehidupan seharian dan masa depan masyarakat. Betapa selama ini kita tidak menyedari bahawa jika isu ini tidak ditangani sekarang, mungkin tapak pelupusan sampah hanya akan dapat menampung bahan-bahan buangan ini sehingga 2017. Bayangkan, jika bahan-bahan yang menggunung ini boleh dipetakan sebahagian daripada bukit-bukau di muka bumi ini.

Menurut kajian 360, 60 peratus daripada sisa pepejal ini boleh dikitar semula. Mengitar semula bahan-bahan ini telah diamalkan oleh negara-negara maju. Termasuk negara jiran, Thailand, kesedaran di kalangan masyarakat tentang bahan kitar semula seiring dengan kemajuan teknologi pemprosesan tersebut. Sahabat saya di negara Matahari Terbit, Jepun, amalan ini sudah mendarah daging dalam rutin kehidupan seharian mereka.

Masyarakat negara tersebut mengasingkan mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti tin, kertas dan botol daripada sisa-sisa yang lain. Amalan tersebut tampak remeh, tetapi impaknya amat besar pada masa hadapan. Malangnya, kesedaran tersebut masih lagi rendah di negara ini jika dibandingkan dengan negara lain, termasuk diri ini.

Semasa menonton rancangan 360, saya teringat satu animasi ‘Futurama’ yang menyentuh isu ini. Meskipun latar masa dan tempatnya berada pada masa hadapan, saya kira pengarah amat bijak menyelitkan kritik sosial masyarakat pada zaman kini. Memang dalam siri tersebut isu ini tampak lucu, tetapi mesej yang disampaikan benar-benar ditujukan kepada masyarakat abad ke-21. Siri tersebut saya tonton ketika berada dalam Tingkatan 5, kira-kira sepuluh tahun yang lepas.

Watak utama Futurama adalah Fry. Beliau merupakan belia pemalas yang terperangkap dalam sebuah mesin pembeku kehidupan cyrogenic dan berpeluang hidup pada masa hadapan pada tahun 2999. Pada pandangan orang Futurama, Fry adalah orang purba yang ketinggalan zaman. Kadang-kadang, timbul kelucuan melihat telatah manusia abad ke-21 yang ditonjolkan oleh beliau.

Siri tersebut mengisahkan bahawa bumi diancam bahaya dihentam oleh sebuah tahi bintang dari angkasa. Apabila diselidiki, nyata bahawa tahi bintang tersebut merupakan bahan buangan sisa pepejal yang dibuang ke angkasa lepas pada abad ke-21. Seluruh bumi zaman Futurama gempar dengan berita ini. Kisah siri ini mirip jalan cerita filem Armeggedon, tetapi asteroid digantikan dengan sampah gergasi yang akan menghentam bumi.

Secara sejarahnya, Profesor Fansworth menceritakan bagaimana dahulu manusia pada abad ke-21 tidak peduli akan sampah yang mereka buang. Di jalanan dan di mana-mana sahaja, lambakan sampah yang terlalu banyak telah menimbulkan kesedaran bahawa semua kotoran ini perlu dibersihkan.
Malangnya, tidak terdapat tapak pelupusan yang benar-benar mencukupi untuk menampung sampah tersebut. Maka, pemimpin negara dengan selamba menghanyutkan sampah tersebut atas pelantar barge. Tidak ada mana-mana negara pun yang mahu mengaku bertanggungjawab. Tindakan tersebut dikecam di peringkat antarabangsa. Akhirnya, sebuah resolusi diputuskan untuk menyelesaikan masalah tersebut: membuangnya ke angkasa.

Sejak sampah tersebut dilepaskan ke angkasa, manusia sedar akan bencana sampah tersebut jika tidak diuruskan dengan betul. Maka mereka bertindak mengitar semula bahan-bahan sisa pepejal dan menghapuskan sampah dengan selamat.

Masalah tahi bintang sampah tersebut seolah-olah petanda bumi akan dimusnahkan dengan bauan yang amat busuk. Profesor membuat simulasi bahawa tahi bintang itu menghempas tidak akan mengasilkan kawah yang besar, tetapi melekit di tempat impak. Dan yang lebih mengerikan, bauan sampah akan mencemarkan.
Cubaan untuk menghantar angkasawan (Leela, Fry dan Bander) untuk menyelamat bumi dengan menanam bahan letupan (seperti filem Armegeddon) nyata tidak membuahkan hasil.
Orang Futurama menggelabah. Profesor tiba-tiba mendapat satu idea. Tahi bintang sampah boleh dipesongkan arahnya, dengan melancarkan sebuah roket berkepala sampah yang sama saiz dengan tahi bintang tersebut. Roket tersebut akan melanggar tahi bintang itu dan melencongkan ke arah matahari. Tahi bintang sampah itu akan binasa terbakar oleh sinaran haba matahari. Walaubagaimanapun, masalah yang timbul adalah, orang Futurama sudah tidak kenal sampah, kerana semua bahan buangan mereka segera diproses. Apatah lagi tahu membuat sampah!
Di titik genting inilah peranan Fry si pemalas berfungsi. Beliau yang merupakan manusia biasa abad ke-21 dengan tanpa masalah menerangkan apakah itu sampah dan bagaimana membuat sampah. Idea tersebut dilaporkan kepada Datuk Bandar Futurama. Seluruh masyarakat Futurama bertungkus-lumus membuat sampah demi menyelamatkan bumi daripada kehancuran.

Pengakhiran cerita, Profesor berjaya melancarkan roket sampah walaupun perkiraan beliau berisiko tinggi. Bumi terselamat daripada tahi bintang sampah. Akan tetapi, muncul satu lagi masalah: bermakna generasi mendatang terpaksa menghadapi satu lagi tahi bintang sampah pada masa hadapan!

Fiksyen sains dikelaskan sebagai fiksyen spekulatif atas sifat keupayaannya menghuraikan masa depan melangkaui zaman dan tempat. Ben Bova dalam The Craft of Writing Science Fiction that Sells menyatakan bahawa ramalan teknologi daripada fiksyen sains cukup berpengaruh dalam kewujudan teknologi bertahun-tahun selepasnya. Bahkan beliau menyenaraikan bahawa kuasa nuklear, penjelajahan angkasa, komputer dan banyak alat teknologi masakini merupakan inspirasi daripada fiksyen sains kira-kira 50 tahun yang lampau.

Meskipun bersifat melangkau ke hadapan, fiksyen sains juga berperanan sebagai medium kritik sosial pada zaman kini. Fiksyen sains tidak hanya berangan-angan impian kemudian hari, tetapi juga bertapak di atas realiti. Futurama ini mengkritik manusia pada zaman kini, tetapi dengan penjelmaan pada masa hadapan akan sikap mereka. Futurama menggambarkan betapa kecuaian manusia sekarang menjadi malapetaka yang amat besar generasi terkemudian.

Menerusi buku The Routledge Companion to Science Fiction, ruang lingkup bicara isu semasa menggunakan litupan fiksyen sains dikupas secara mendalam. Salah satu yang disebutkan dalam buku ini, ialah karya novel War of the Worlds (1898) oleh penulis yang dianggap sebagai ‘bapa fiksyen sains moden’ iaitu H. G. Wells. Beliau berperanan melontarkan sindiran terhadap manusia pada abad ke-19.

Menurut Evans (2009), H. G. Wells dilihat mengkritik manusia di kemuncak krisis imperialisme menjajah dunia luar pada penghujung abad tersebut. Beliau menyelar secara halus Empayar British yang begitu luas jajahan semakin rakus mengaut kekayaan. Bangsa tersebut memeras bangsa-bangsa yang dianggap inferior kepada mereka. Sebagaimana manusia memperlakukan kezaliman terhadap manusia lain, begitu juga penjajah makhluk asing planet Marikh (Martian) yang menjarah bumi tanpa belas kasihan terhadap manusia. Martian menjajah dengan mata pandang yang sama: mereka juga menjajah manusia yang dianggap hina taraf.

Gundam 00 dalam Musim 1 juga bertapak kepada cabaran realiti pada dekad ini. Tema terorisme dan peperangan menjadi tumpuan. Latar dunia ketika itu berpecah kepada tiga pihak, iaitu UNION (benua Amerika), AEU (benua Eropah) dan HRL (benua Asia) pada 300 tahun akan datang (tahun 2307 AD). Mereka saling prejudis dan bertelagah menjaga kepentingan masing-masing. Mereka masih mengulang tabiat yang sama, iaitu konflik diselesaikan dengan cara kekerasan. Berlaku banyak peperangan dan aksi terorisme.

Maka Celestial Being yang berjuang menggunakan empat robot gergasi Gundam 00 menegakkan falsafah ‘dunia tanpa peperangan’ yang dibawakan oleh Professor Aolia Schehenberg ratusan tahun yang lepas.

Malangnya dalam anime ini, Islam menjadi sasaran. Dalam siri anime tersebut, Islam digambarkan sebagai agama yang mundur, konservatif (enggan menerima pemodenan), jumud dan sumber terorisme. Insya-Allah perkara ini dikupas dengan lebih mendalam dalam entri yang lain.

Fiksyen sains bukan sekadar kisah yang didendangkan tanpa asas ataupun omongan mimpi semata-mata. Akan tetapi, sifat spekulatif ini menggambarkan apakah yang bakal terjadi pada masa hadapan jika manusia buat itu dan ini. Sifat spekulatif tersebut dilandaskan kepada isu yang melanda pada masakini.
Perkara ini merupakan titik kepentingan fiksyen sains masih relevan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi nilai kebenaran sekarang sudah menjadi relatif dek berubah dicabar pemikiran zaman. Fiksyen sains adalah saluran kritikal menyebarkan faham-faham humanisme-sekularis secara halus. Ini merupakan tamparan yang hebat buat penulis fiksyen sains Muslim, mampukah nilai Islam diketengahkansebagai sudut pandang resolusi masalah bertapak atas realiti? Jika belum, sekarang harus bekerja kuat...

“If science fiction is escapist, it’s escape into reality.” – Isaac Asimov

1 comment:

Night Aves said...

Nice one. Entri yang berat. Aku suka.