Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, September 6, 2011

Tiga Ciri Penulis Saifai Berjaya


Saya tertarik dengan pendahuluan buku How to Write Science Fiction and Fantasy, karya seorang penulis saifai terkenal, Orson Scott Card. Buku tersebut telah saya beli di kedai buku ternama Kinokuniya pada Julai 2009.

Pendahuluan tersebut walaupun ringkas tetapi memberikan suntikan berharga kepada setiap penulis secara amnya dan terlibat dalam saifai khasnya. Ben Nova, editor yang menguruskan karya ternama cerpen Ender’s Game dan Speaker of the Dead Scott Card, menyimpulkan tiga ciri penulis saifai:

1.Talent (Bakat)

“Bakat adalah sifat semulajadi. Tidak ada orang yang mengajarkan bakat.”

2.Craft (Seni Kemahiran)


“Seni Kemahiran adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Dalam buku How to Write Science Fiction and Fantasy, Scott Card bukan sahaja telah mempelajari seni kemahiran menulis, tetapi dalam buku ini, beliau mengajar kemahiran tersebut.”


3.Perseverance (Kesabaran)

“Antara ketiga-tiga ciri ini, kesabaran adalah ciri yang paling penting. Menulis adalah sesuatu yang agak sukar, terkadang-kadang kesunyian bahkan menemui kepahitan. Hanya kesabaran yang tinggi memperkasakan penulis melalui penderitaan kekecewaan dan ditolak manuskrip. Hanya penulis yang bersabar akan berjaya.”

Editor tersebut memuji Scott Card yang begitu bersabar menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti. Hanya setelah beberapa ketika kemudian, Ben Nova mendapati manuskrip Ender’s Game telah ditolak banyak kali oleh beberapa syarikat majalah. Beliau menyebutkan:

“But Scott displayed the attribute that makes the difference between successful writers and failures: perserverance. No matter how many times his story had been rejected he kept sending it out.”




Ben Nova menyebutkan lagi, “Akan tetapi, seni kemahiran tidak kurang pentingnya. Seorang tidak layak bergelar sebagai tukang kayu jika tidak pandai menukuli paku dengan lurus. Secara perbandingannya, seorang penulis mungkin gagal membentuk ceritanya dengan baik.”

Pendahuluan tersebut ditutup dengan ungkapan yang amat menarik:

“Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengajar anda bakat ataupun kesabaran: kedua-dua ciri ini datangnya daripada anda sendiri. Akan tetapi, seni kemahiran dapat dipupuk dan dipelajari.”


Semoga perkongsian ringkas ini dapat membugar semangat untuk terus berkarya!


“Memandaikan Umat dengan Buku”



NOTA:
Orson Scott Card merupakan satu-satunya penulis fiksyen sains dan fantasi yang pernah menerima Anugerah Nebula dan Hugo dua kali berturut-turut sehingga tahun 1987. Laman sawang beliau boleh didapati di http://www.hatrack.com/.

Manakala Ben Nova merupakan penulis yang menulis lebih daripada 100 judul novel futuristik. Beliau merupakan mantan editor majalah Omni dan Analog. Beliau merupakan pemenang anugerah enam kali Anugerah Nebula untuk Editor Profesional Terbaik dalam majalah Analog. Laman sawang beliau boleh didapati di pautan http://www.benbova.net/.


Rujukan:
Card, O, S., (2001). How to write science fiction and fantasy. Reader’s Digest Books: Ohio.

No comments: