Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Showing posts with label Tip Menulis. Show all posts
Showing posts with label Tip Menulis. Show all posts

Tuesday, October 14, 2014

Teknologi Inferior lawan Superior (1)



Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya. Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya atas orang-orang yang soleh sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Entri ini merupakan kesinambungan mengenai kupasan siri animasi Jepun, iaitu Gundam 00. Dalam bicara yang lepas MSER-04 'Anf': Teknologi Buangan & Perkaitan Dunia Arab, kita telah sentuh satu isu daripada cebisan siri tersebut. Dalam entri tersebut, kita telah mengimbas teknologi eksport daripada kuasa besar rata-rata adalah teknologi buangan untuk negara ketiga. 

Huraian kali ini masih melibatkan aspek teknologi dalam fiksyen sains. Menurut Rajah Sinergi Fiksyen Sains tersebut, unsur teknologi adalah salah satu daripada tiga tunjang utama karya ini. Namun demikian, perbicaraan kali ini adalah tentang pergelutan antara teknologi inferior melawan teknologi superior dan sebaliknya.



Hal ini terpampang dalam Gundam 00, apabila segolongan kecil organisasi paramilitari Celestial Being (CB) menghadapi dunia yang terbahagi kepada tiga blok kuasa madya. CB yang diasaskan oleh Profesor Aeolia Schehenberg ditubuhkan bertujuan untuk menghapuskan peperangan, dengan tindakan campur tangan ketenteraan atas pihak-pihak bertelagah.


Ciri pertarungan teknologi inferior lawan superior dalam fiksyen sains jika diadaptasi merupakan metod yang baik untuk mengolah penceritaan. Kedua-dua ciri ini berdasarkan keupayaan masing-masing boleh menimbulkan kadar kompleks (complexity), justeru mewarnai kisah dengan baik.

Latar Gundam 00

Kota Krugis di Timur Tengah yang dilanda api perang.
Gundam 00 berpaksikan kepada pergolakan politik manusia yang diunjurkan 300 tahun akan datang. Tidak sekadar takat itu, juga disentuh dalam siri itu adalah krisis kepercayaan, hubungan manusia, sumber tenaga, perubahan teknologi, tidak kurang juga menyindir dan secara tidak langsung mengkritik manusia zaman sekarang.

Siri tersebut mengandaikan bahawa betapa maju manusia dalam teknologi dan material yang melangit ke angkasa, mereka masih terbelenggu dengan cara yang sama seperti zaman kini. Kaedah tersebut telah diwarisi sejak ribuan tahun lampau iaitu seringkali permasalahan diselesaikan dengan cara kekerasan.


Bahan api fosil seperti petroleum sudah luput, disebabkan itu manusia membina Sistem Orbital Elevator. Sistem tersebut adalah janakuasa solar gergasi yang terpacak dari bumi sehingga ke orbit tinggi. Namun demikian, dalam meraih kuasa dan pengarauh, manusia berpecah kepada tiga blok kuasa besar, iaitu Union of Solar Energy and Free Nations (UNION), Advanced European Union (AEU) dan Human Reformed Legue (HRL). Ketiga-tiga pihak ini membangunkan jentera robot gergasi yang dinamakan sebagai Mobile Suit. Kuasa-kuasa madya ini berusaha mengatasi satu sama lain dalam perlumbaan senjata.


Masing-masing membina Sistem Orbital Elevator itu dan langsung mencetuskan beberapa Konflik Kuasa Solar. Di sebalik pergolakan itu, sistem tersebut berjaya menjulang ke langit dalam masa setengah abad.

Paramilitari Celestial Being yang menggunakan jentera robot tempur Mobile Suit Gundam 00 muncul setelah sepuluh tahun sistem janakuasa solar itu siap. Seperti yang dinyatakan awal tadi, CB bertujuan mengatasi sengketa peperangan. Dengan hanya menggunakan empat buah MS Gundam, CB menghadapi gerombolan ratusan Mobile Suit daripada ketiga-tiga pihak tadi.


Teknologi Inferior lawan Superior

Menurut kamus Kamus Inggeris-Melayu Dewan, perkataan inferior membawa maksud kepada ‘bermutu rendah atau berkualiti rendah’[1]. Manakala perkataan superior adalah ‘hebat dan unggul.’[2]


Berpandukan kepada siri Gundam 00, kita dapat perhatikan perbezaan kedua-dua teknologi antara tiga pihak UNION, AEU dan HRL melawan Celestial Being. Sejak awal siri Musim Pertama lagi, Gundam Celestial Being mengungguli pertempuran mengatasi ketiga-tiga pihak tadi. Dengan menggunakan pendorongan Relau Solar partikel GN, Mobile Suit Gundam amat lincah dan menewaskan musuh dengan amat mudah.  
                               
Walaupun canggih, Celestial Being hanya mempunyai Mobile Suit yang sedikit. Norma dalam bidang pembuatan, penghasilan teknologi canggih memerlukan penyelidikan (research), penggunaan material berkualiti tinggi dan kos yang mahal. Berbanding dengan Mobile Suit kuasa-kuasa madya itu, jentera robot tersebut dikilangkan secara massal (mass production) bagi tujuan keselamatan dan kesiapsagaan peperangan.

UNION, AEU dan HRL lambat laun menyedari hakikat kelemahan mereka, namun tidak berputus asa untuk menawan dan memilik Gundam yang amat canggih itu.


Ketewasan UNION, AEU dan HRL terhadap Gundam

                                      

Sejak awal kemunculan Gundam dan Celestial Being di mata dunia, masing-masing tokoh dunia dan panglima kuasa madya itu tertanya-tanya: Apakah tindakan Celestial selanjutnya? Apakah kekuatan Gundam Celestial Being? Dan bagaimanakah hendak mengatasinya sebelum pihak lain?

Pelbagai kejutan yang dialami oleh kuasa-kuasa madya itu pada peringkat permulaan. Mereka menyangka mempunyai Mobile Suit yang sepadan sama bertarung, tetapi nyata tidak terdaya apa-apa menghadapi Gundam. Jelas, seperti yang diakui oleh panglima Sergei Smirnov daripada HRL, ia mengakui bahawa tiada Mobile Suit dalam dunia yang dapat mengungguli Gundam. Makusdnya, teknologi kuasa-kuasa itu adalah inferior, berbanding Gundam yang superior.

Kita paparkan beberapa contoh:

a. Kemusnahan Prototaip Demonstrasi AEU-09 Enact


Dalam Episod Pertama Musim Pertama, kita dapat saksikan tindakan campur tangan (intervention) oleh Celestial Being dalam pergolakan di dunia. AEU sedang mempertontonkan prototaip Mobile Suit tercanggih mereka iaitu AEU-09 Enact. 

                                      

MS tersebut dikatakan memperoleh kuasa daripada tenaga solar yang dipancarkan kepada robot itu melalui Sistem Orbital Elevator. Enact kelihatan lincah dalam demonstrasi itu, akan tetapi dimusnahkan dengan mudah oleh Gundam 00 Exia. Dalam sekelip mata, Enact rebah, lantas memberi tamparan hebat kepada AEU di mata dunia.


b. Campur Tangan di Sri Lanka


Dalam Episod Dua Musim Pertama, tindakan Celestial Being di Sri Lanka merupakan langkah awal yang mengejutkan seluruh dunia. Keempat-empat Gundam telah bertindak menangani puak bertelagah antara minoriti Liberation Tigers of Tamil Eelam (yang didokong oleh HRL) dan majoriti bangsa Sinhala[3]. Konflik tersebut berlanjutan selama 300 tahun. HRL menyokong Tamil Eelam atas dasar menjaga kepentingan saluran janakuasa solar mereka.

                                     
Pertempuran sedang berlangsung antara kedua-dua pihak. Jelas, Mobile Suit MSER-04 ‘Anf’ yang digunakan oleh bangsa Sinhala tidak dapat mendepani Mobile Suit tercanggih HRL iaitu MSJ-0611-A Tieren Jenis Darat. Apabila Gundam tiba di lokasi konflik, robot Gundam menewaskan mereka dengan amat mudah. MS Tieren telah diatasi tanpa tentangan serius menghadapi Gundam 00 Exia yang amat lincah.


c. Serbuan Gundam atas PMC

Satu lagi campur tangan oleh Celestial Being yang telah mengakibatkan kemusnahan total pihak tersebut, iaitu serbuan Gundam atas pangkalan PMC di Republik Moralia. PMC merujuk kepada syarikat Private Military Company Trust yang merupakan organisasi askar upahan (mercenary). PMC Trust mendapat dokongan daripada blok kuasa AEU. Menurut gundam.wikia.com, ketika serbuan tersebut berlangsung, PMC Trust dan AEU sedang mengadakan latihan ketenteraan bersama untuk menawan Gundam. Tetapi malangnya, hanya tinggal sedikit sahaja berbaki apabila mereka diserang dengan mengejut.


Inferior Menewaskan Superior


Ketiga-tiga kuasa madya UNION, AEU dan HRL amat sedar bahawa Gundam milik Celestial Being bukanlah lawan mereka. Akan tetapi, panglima-panglima dan perajurit handalan mereka pantang mengaku kalah dan sentiasa berusaha untuk merangkap Gundam.


Daripada beberapa interaksi dan pertempuran yang berlaku, mereka mendapati bahawa Gundam diperbuat daripada bahan E-karbon (yang belum lagi ditemui oleh sesiapa), lincah, lasak, berkeupayaan tinggi dan mempunyai pendorongan (propulsion) yang melangkaui teknologi zaman. Oleh sebab mereka tidak mempunyai teknologi yang setara, maka pihak-pihak ini menggunakan tiga kelebihan yang ada pada mereka:

a. Menewaskan dengan Bilangan yang Banyak


Mereka merencana perangkap demi perangkap, tetapi dengan menggunakan bilangan Mobile Suit yang amat banyak (sheer numbers) untuk menewaskan ataupun mengepung (overwhelm) lawan.
Usaha-usaha ini memerlukan penggunaan sumber yang amat banyak, kerana mengambil kira teknologi berkeupayaan rendah hendaklah mengungguli teknologi keupayaan tinggi dengan kuantiti. Jentera berteknologi tinggi akan terperangkap dengan tidak tertanggung menangani bilangan musuh yang banyak.

Umpama Bidak Catur

Hal ini boleh diumpamakan dengan bidak, iaitu ‘buah catur yang terendah nilainya.’[4] Jika kita teliti lagi maksud bidak ataupun pawn dalam Bahasa Inggeris adalah ‘alat ataupun orang yang digunakan oleh pihak lain untuk kepentingan sesuatu.’ [5]

Pengorbanan bidak adakala perlu dan disebabkan bilangan yang lebih banyak berbanding buah lain. Dalam permainan catur, bidak seringkali menjadi umpan dan boleh dikorbankan untuk membolehkan lawan ditewaskan dengan buah yang lain. Dengan kuantiti sedikit buah yang berkebolehan (seperti permaisuri, kesatria, biskop dan tir/menara), adakala ditewaskan dengan pengorbanan sejumlah buah bidak.


Dalam pertarungan ketiga-tiga kuasa madya itu terhadap Gundam, satu-satunya kuasa yang mempunyai sumber jentera, tenaga dan manusia yang banyak adalah Human Reform Legue (HRL). Komander Sergei Smirnov, seorang panglima handalan HRL telah merancang strategi untuk memerangkap Gundam Kyrios. 


Rencana panglima itu adalah menggunakan banyak Mobile Suit MSJ-0611-E Tieren Angkasa untuk mengumpan angkatan Gundam, dan kemudian memerangkap sasaran dengan memasang jerangkap. Barulah kemudian ditawan oleh Mobile Suit tercanggih HRL, iaitu MSJ-0611-SP Taozi yang ditawan oleh perajurit super, Soma Peries. Rencana Komander Sergei hampir-hampir berjaya.


b. Menewaskan dengan Skil
Faktor kemenangan dalam medan perang bukan semata-mata kualiti ataupun kuantiti jentera, akan tetapi bergantung juga dengan skil ataupun kemahiran seseorang perajurit ataupun sekumpulan krew. Kemahiran diperoleh daripada latihan yang berterusan dan pengalaman di medan juang.

 Dalam Gundam 00, setiap pihak kuasa madya tersebut mempunyai wirawan masing-masing. Meskipun mereka menggunakan Mobile Suit yang sedia ada, kemahiran mereka di medan tempur adakala mengatasi Gundam. 



Graham Aker (UNION) memandu SVMS-01 Flag, Komander Sergei Smirnov (HRL) menggunakan MSJ-0611-C Tieren Mobiliti Tinggi di pangkalan Sri Lanka dan Ali al-Saachez/Gary Biaggy (PMC Trust-AEU) pula memandu AEU-09Y812 AEU Enact Custom telah cuba mengatasi Gundam 00 Exia. Kesemua mereka berkemahiran dan berpengalaman serta bersemangat juang tinggi dalam medan juang.



c. Gabungan Kuantiti dan Skil



Satu lagi usaha pihak-pihak ini untuk menawan Gundam, iaitu memerangkap mereka di Gurun Taklamakan, Mongolia (Episod 15 Musim 1). Kali ini memaparkan gabungan usaha dengan kuantiti dan skil. 

                                     
Buat pertama kali, UNION, AEU dan HRL telah bekerjasama dalam latihan peperangan. Celestial Being telah ditugaskan untuk menanangi pengganas di fasiliti nuklear di gurun itu dan menyelamatkan daripada malapetaka nuklear. 

                                   
                                   

Akan tetapi semua ini hanya perangkap, dan ketiga-tiga pihak berganding bahu membedil musuh tanpa henti, meskipun menerima tentangan hebat daripada Gundam. Hampir-hampir sahaja mereka dimusnahkan, akan tetapi muncul sekumpulan Gundam asing yang digelar sebagai Trinity (Gundam Throne) menyelamatkan keadaan.


Dalam penghujung Gundam 00 Musim Pertama, ketiga-tiga pihak telah menerima sejumlah pendorongan relau GN Tau dan Mobile Suit GNX-603T GN-X. Mobile Suit tersebut mempunyai kurang kualiti daripada pendorongan Relau Solar GN Gundam 00. Tetapi dengan bilangan yang banyak dan dipandu pula oleh perajurit handalan pihak UNION, AEU dan HRL telah menewaskan Celestial Being (Gundam 00) dan Trinity (Gundam Throne) dalam Operasi Fallen Angel.

Contoh dalam Sejarah

Pihak yang sedikit seringkali menewaskan golongan yang besar dalam lipatan sejarah. Selalunya kisah-kisah tersebut menjadi sebutan kerana kegigihan, keteguhan dan kebijaksanaan dalam mendepani jumlah musuh yang ramai. Dalam sejarah umat Islam yang gemilang, jarang sekali mereka melebihi musuh dari segi kuantiti. Akan tetapi, mereka punyai kualiti mengatasi kuantiti. Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w bertempur bersama para Sahabat dalam Perang Badar, seramai 313 perajurit mujahid menggempur gerombolan tentera musyrikin yang ramai. Begitulah seterusnya di medan perjuangan yang lain.

Sungguhpun begitu, bukanlah semata-mata kemenangan atas sebab kekuatan material ataupun kemahiran, namun adalah kekuatan dan izin daripada Tuhan, Allah jua. Walaubagaimanapun, usaha tidak boleh menjejaskan pergantungan kepada Tuhan dan aturan hidup ini ada sebab dan akibat. Bahkan, Allah telah mengisyaratkan kepada kaum Muslimin, agar melengkapi sayap ketenteraan mereka dengan kelengkapan terkini. Pada zaman Rasululullah s.aw. disebut akan kuda, kerana daya tempur, mobiliti, kepantasan dan semangat juang menghadapi musuh. Tetapi para ulama menafsirkan dengan kelengkapan ketenteraan mutakhir. 

Sejarah menyebutkan bahawa kaum Muslimin tidak ketinggalan dalam memperlengkap pasukan jihad mereka, seiring ataupun melangkau jauh daripada musuh[6]. Baik pada zaman Nabi s.a.w, begitu juga para Sahabat dan generasi menyusul setelah mereka.


Kesimpulan Awal


Akan tetapi dalam konteks peperangan moden yang melibatkan jentera berteknologi tinggi, superior yang sedikit tetapi berkualiti bertarung dengan inferior yang banyak juga terdapat dalam sejarah. Faktor superior tersebut bukan semata-mata berteknologi tinggi dan sofistikated, tetapi juga berkait rapat dengan faktor psikologi. Faktor kedua itu melibatkan latihan, pengalaman dan semangat juang yang tinggi. Paduan kedua-dua faktor tersebut menghasilkan pasukan elit yang berdaya tahan, meskipun menghadapi jumlah musuh yang ramai.


Adapun pihak yang memiliki teknologi berkeupayaan tidak setara berteknologi tinggi, seringkali tidak putus asa dan sering mencari cara untuk mengatasi kekurangan tersebut. Adakala mereka berjaya, dan tidak kurang juga menjadi mangsa sasaran mudah dan membatalkan hasrat mereka. Percaturan perang sebegini menghasilkan keputusan yang tidak menentu, sama ada berkesan atau tidak, atau menang atau tidak. Yang pasti adalah, menang jadi arang, kalah jadi abu.


Insya-Allah kita akan sambung dalam bahagian kedua...


[1] Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s 502(1997). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

[2] Ibid, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s 1017.

[3] Penduduk Sri Lanka yang menganut agama Buddha.

[4] Kamus dewan edisi keempat, m/s 181, (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

[5] Ibid, Kamus inggeris-melayu dewan, m/s 717.

[6] Merujuk kepada Perang Salib yang berlaku kira-kira 500 tahun Hijrah, sejarawan Barat mengakui bahawa kaum Muslimin adalah kaum yang termaju (advanced) berbanding kaum Eropah yang masih diselubungi oleh Zaman Gelap (Middle Age). Kaum Muslimin mengadaptasi persenjataan, strategi dan taktik Timur dan Barat, sehingga mereka digeruni oleh musuh. Bukan itu sahaja, kaum Muslimin juga terkehadapan dalam bidang pemikiran, perubatan, sains dan teknologi serta seni bina.

Sultan Muhammad II al-Fateh, iaitu sang penakluk Kota Konstatinopel telah membebaskan kota tersebut pada 29 Mei 1453 daripada cengkaman kerajaan Byzantine dengan menggunakan teknologi tercanggih pada zaman itu, iaitu meriam-meriam gergasi. Suasana peperangan itu belum pernah disaksikan oleh Barat, dan telah merombak landskap peperangan di Barat dan juga di Timur. Pada abad ke-16, Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam menjadi kuasa dunia yang digeruni oleh Barat.

Abad ke-17 dan ke-18 pula menyaksikan kemerosotan umat Islam dan pada abad ke-19, Daulah Uthmaniyyah digelar sebagai ‘Orang Sakit Eropah.’ Sehingga kini, umat Islam mengimport segala teknologi, peralatan daripada negara luar kerana ketidakmampuan mereka. Lebih parah lagi, bukan sahaja mereka tidak berdaya saing untuk menghasilkan produk sendiri, akan tetapi kerana kelemahan mereka mengimport juga gaya hidup, sistem pendidikan, sistem ekonomi, politik dan cara fikir terutamanya daripada Barat. Boleh rujuk buku Islam at Crossroads tulisan Muhammad Asad terbitan semula The Other Press cetakan 2005 dan Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam karangan Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi (1984), cetakan Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura.

Saturday, May 31, 2014

AIS DAN HATI BEKU



Sejak zaman-berzaman, manusia di serata dunia menggunakan alam dengan bidalan atau misalan dalam bahasa mereka dalam memaksudkan sesuatu. Seperti peribahasa Melayu, 'hati beku', 'hati sejuk', 'hati batu' dan seumpamanya menunjukkan simbolik terhadap yang dimaksudkan secara tidak langsung.


Begitu juga dalam genre fiksyen sains dan fantasi (atau gabungan kedua-duanya dikelas sebagai hibrid), sifat-sifat daripada hukum alam ini dijadikan simbolik bagi menggambarkan sifat manusia. Antaranya adalah sifat dingin, beku, gelap yang dinisbahkan kepada hati yang keras dan keadaan berkuasa dalam suasana yang negatif. Walaupun seringkali dizahirkan dengan ais, tetapi penggunaan simbol daripada alam ini menyokong mesej yang ampuh menunjukkan kerasnya hati yang beku. 

1. Darth Vader, Trilogi STARWARS 
Darth Vader watak antagonis lagenda dalam fiksyen sains ditunjukkan dalam novel STARWARS 'Death Star.' Ia asalnya adalah seorang pembela keamanan, Kesatria Jedi yang bernama Anakin Skywalker telah berpaling menjadi seorang ejen Sith yang amat jahat bawah pengaruh Darth Sidious (Emperor Palpatine). Dalam novel 'Death Star', seorang jurusenjata berjawatan tinggi konon mahu menunjukkan egonya apabila berselisih dengan Darth Vader di satu lorong dalam planet-senjata super itu. Akan tetapi, jurusenjata itu terpaksa juga mengalihkan laluannya kerana aura 'kebekuan hati' Darth Vader itu terasa sehinggakan lorong itu terasa sangat dingin yang menyesakkan. 


2. Ratu Elsa, Frozen


Cerita rakyat fantasi Disney ini serupa seumpama cerita rakyat Raja Midas. Sentuhan Raja Midas menukarkan semua barang menjadi emas. Tetapi Ratu Elsa mempunyai kuasa membentur ais sejak lahir dan apa-apa dipegangnya diselubungi ais. Ini telah menimbulkan kegusaran dan akhirnya tidak dapat dikawal, membekukan kota Arendelle. Adiknya Puteri Anna memujuknya kembali. Seringkali dalam kisah ini disebutkan hati yang beku.



3. Lich King, Warcraft III: Frozen Throne

Cerita fantasi yang menarik ini adalah daripada game lagenda Warcraft yang dibangunkan oleh Blizzard Entertainment. Sepertimana Anakin Skywalker yang baik menjadi Darth Vader yang bengis dan zalim, seumpama itu juga Putera Arthass yang telah mengkhianati kerajaan Lorderon dan menjadi Lich King. Ia bertakhta di Takhta Beku (Frozen Throne) yang melambangkan kuasa mutlak dan kebekuan hatinya daripada kehangatan kasih sayang yang menjadi norma manusia.



4. Mr. Freeze, Batman

Khabarnya watak antagonis Mr. Freeze yang memusuhi Batman ini juga adalah seorang yang baik, tetapi dek kerana tragedi menimpa isterinya ia menjadi seorang 'supervillain.' Hati yang beku ini digambarkan dengan ia tidak boleh hidup tanpa bergantung dengan sut khas aisnya. Sekalipun watak lajur komik (comic strip) seperti Batman ini dikira sebagai fiksyen sains yang lemah, tetapi masih dikira dalam kategori itu kerana masih ada elemen fiksyen sains.

Alam yang terpampang indah ciptaan Tuhan yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ini adalah sumber yang baik bagi melambangkan sesuatu yang dimaksudkan. Akal yang diberi-Nya kita gunakan sebaiknya. Itulah kecerdasan orang terdahulu yang akrab dengan alam dan Tuhan yang banyak mendahului kita dari segi kepintaran menyatakan isi tersirat.

Tuesday, April 15, 2014

[TIPS] NZ-666 Kshatriya dan Inspirasi Alam

 Satu kelaziman dalam rekaan teknologi adalah mengambil contoh daripada sampel alam. Sebutkan sahaja, rekabentuk kapal selam menyerupai sifat ikan, kapal terbang menyerupai burung, helikopter menyerupai pepatung, lensa kamera daripada biji mata, tangan bionik (mekanikal) adalah inspirasi tangan sebenar dan tidak terkira lagi. Begitu juga fiksyen sains, dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai konsep rekaan teknologi yang unik.


Pendekkan cerita, rekaan daripada alam yang hakikatnya daripada Tuhan yang sempurna itulah yang seringkali diikuti. Ini kerana Dia-lah 'Arkitek' yang empunya segala ciptaan-Nya yang serba sempurna.


 
Salah satu contoh di sini adalah sebuah robot gergasi (mecha) jentera perang milik Neo-Zeon dalam siri filem Gundam Unicorn, iaitu NZ-666 Kshatriya. Kshatriya menyerupai sejenis buah (lupa nama sebenarnya, contoh ini adalah tumbuhan 'viola') yang menggunakan mekanisme letupan untuk kemandirian speseisnya menyebarkan benih. 

             

Kshatriya menggunakan konsep yang sama, iaitu berpuluh-puluh senjata funnel seperti 'biji benih' tersebar di angkasa dan menyerang musuh dengan bedilan laser. Apabila selesai tugas, funnel ini akan kembali kepada tempatnya masing-masing. Funnel ini dikawal secara minda oleh jurupandu Mobile Suit ini. Idea yang kreatif dan tidak mustahil dapat direalisasikan.

Daripada manakah idea ini? Bersumberkan alam, yang hakikatnya diciptakan oleh Allah Tuhan yang Maha Kuasa 

Tuesday, December 25, 2012

[SI] Resensi - Star Wars: In the Empire’s Service (Bhg. 4)


Bahagian 4: Analisa Plot Penceritaan

Entri sebelum ini:


 4.1 Pengenalan

Tripesawat Fokker Flying Circuss, 1918
Beberapa bahagian yang lepas, kita telah memperkatakan aspek-aspek analisa daripada komik Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire’s Service. Pengkajian kita telah merangkumi perbandingan teknologi serta watak dan perwatakan elemen skuadron kapal angkasa pejuang Galactic Empire, iaitu TIE. Kita telah mengenalpasti bahawa banyak keselarian antara TIE dan sejarah Imperial Jepun, Tentera Laut Imperial Jepun (Imperial Japanese Navy - IJN) ataupun Nihon Kaigun.

Analisa terakhir ini akan mengupas tentang plot-plot yang diselitkan dalam komik tersebut, ada persamaan dengan sejarah Imperial Jepun dalam Perang Dunia II, dan juga unit ‘Red Circuis’ Baron Richthoffen ketika Perang Dunia I. 

Walaubagaimanapun, kita teruskan bahagian akhir ini dengan membicarakan secara rumusan sahaja daripada rujukan-rujukan autentik sejarah. Wacana ini membincangkan pengambilan idea bahagian plot awal dan akhir komik In the Empire’s Service.


4.2 Plot Awal: Pergeseran Tentera Jepun dan AS di Kepulauan Solomon, 1942-43
                                  
Pergeseran wilayah penguasaan (contested territory) antara skuadron X-Wing Rebel Alliance dan skuadron pejuang TIE Empire dalam bahagian awal komik merupakan pukulan serius akan kemerosotan kualiti juruterbang Empire setelah kemusnahan Death Star II di Pertempuran Endor. Juruteranbang TIE tidak mampu mengekang kemaraan Skuadron Rogue walaupun keuda-dua pihak lebih kurang sama kekuatan dari segi kuantiti. Ini menyamai situasi yang dialami oleh Tentera Imperial Jepun di kepulauan Solomon pada 1942-43.


Sejak tercetus Perang Pasifik, Tentera Imperial Jepun mara dengan pantas sekali mengarah ke selatan, setelah berjaya menakluki wilayah Amerika, British dan Belanda (Filipina, Tanah Semenanjung, Borneo dan Kepulauan Indonesia) enam bulan pertama sejak penyerangan Pearl Harbour pada penghujung 1941. Antara faktor kemenangan ialah penggempuran berterusan Tentera Laut Imperial Jepun (Nihon Kaigun) dan pihak Berikat tidak bersedia sama sekali. Pihak Berikat silap percaturan dan memandang rendah akan keupayaan kuasa baru Asia tersebut.



Antara faktor lain ialah faktor penguasaan total udara oleh pihak Jepun. Jepun yang telah berperang sejak 1937 di China, Manchuria dan Mongolia telah melahirkan handalan di kalangan Tentera Darat dan Tentera Laut. Oleh yang demikian, penglibatan ramai veteran yang pengalaman dari dua cabang tersebut telah memberikan kelebihan dalam pertembungan antara Jepun dan pihak Berikat di Pasifik. Pihak Berikat terpukul dek komunikasi dan koordinasi yang lemah sesama mereka. Juruterbang Jepun cukup digeruni atas keberanian dan serangan agresif mereka.
Kekalahan di Pertempuran Midway (Lautan Pasifik) memaksa Ibu Pejabat Imperial di Tokyo untuk memutuskan tentera mereka memperkuat perimeter pertahanan. Fokus pasca pertempuran tersebut adalah di selatan Pasifik, iaitu di kepulauan Solomon. Pergeseran yang berterusan antara Jepun dan pihak Berikat di rantau tersebut telah mengakibatkan semakin ramai para handalan tersebut terkorban.


Pertempuran Santa Cruz pada Oktober 1942 misalan, walaupun pihak Jepun tampak menang, namun demikian telah mengorbankan sebilangan besar juruterbang yang berpengalaman. Seorang handalan Jepun, Saburo Sakai; dalam memoir beliau Samurai! mengakui, keadaan medan hadapan, cuaca tropika juga menyebabkan handalan tersebut tewas kepada penyakit. Serangan berterusan atas armada konvoi bekalan menyusutkan bekalan makanan dan alat ganti yang mencukupi.

 



Kemunculan banyak model pesawat AS yang lebih ampuh dan tahan lasak seperti P-38 Lightning, F6F Hellcat dan Vought F4U Corsair di medan tempur memberikan saingan kepada handalan Jepun. Handalan Jepun telah digantikan oleh juruterabang baru yang masih mentah dalam seni menuver tempur. 

Kelemahan ini juga berpunca di peringkat latihan Yokaren juruterbang Jepun yang rigid tidak dapat melahirkan juruterbang terlatih dalam jumlah besar seperti sebelum perang. Berbanding juruterbang baru AS, mereka menempuh latihan yang mencukupi sebelum dihantar ke medan Pasifik. Lama-kelamaan, juruterabang Jepun yang mentah mendominasi segenap misi. Mereka ini pun, juga akhirnya diganyang oleh juruterbang AS yang semakin cakap beraksi.

Dalam komik tersebut, juruterbang TIE Empire tidak mampu berhadapan dengan skuadron Rogue. Tambahan pula, pertarungan berterusan telah mengorbankan banyak juruterbang TIE, termasuk skuadron 181st Fighter Division. Kerugian besar yang dialami bukanlah semata-mata kehilangan dari segi material. 
                                         

Akan tetapi kerugian yang lebih besar adalah kehilangan orang-orang yang memiliki kemahiran dan pengalaman yang sangat berharga. Kadar kematian yang tinggi di kalangan jururterbang TIE tidak memberikan peluang kepada juruterbang baru meraih pengalaman. Sebaliknya, menjadi mangsa kepada bedilan laser X-wing.


4.3   Plot Akhir: April Berdarah 1917

Saya kira pengarang komik menggunakan satu elemen penting dalam pengenalan kepada 181st Fighter Division Galactic Empire. Semua TIE Interceptor (pemintas) skuadron elit 181st Fighter Division ditandai dengan jalur merah pada panel solar pesawat tersebut. Insigna (tanda) tersebut memberikan pengenalan khusus kepada skuadron tersebut.

Komander skuadron Jasta 11, Baron Richthoffen


Jalur tersebut seakan-akan menyamai skuadron ‘Red Circuss’, skuadron pejuang terbaik Kor Udara Jerman (), Jasta 11. Keseluruhan pesawat pejuang jenis Albatross dicat dengn warna merah. Skuadron tersebut dipimpin oleh komander handalan, Baron Rittmeister Manfred Freiherr von Richthoffen yang baru berusia 24 tahun.
Ruangan Air Combat, majalah Take Off  siri30
                                      
Ruangan Air Combat majalah Take Off siri 30 (1994) Dalam April 1917 sahaja, skuadron beliau telah menjatuhkan 88 buah pesawat British, daripada keseluruhan skor Jerman 151. Bulan tersebut terkenal dengan jolokan ‘April Berdarah.’ Dalam konflik tersebut, beliau telah menjatuhkan 21 buah pesawat British.

Kehandalan beliau memaksa ketumbukan udara British, Royal Flying Corps (RFC) untuk melancarkan operasi ‘anti-Richthoffen.’ Akhirnya mereka berjaya menamatkan riwayat beliau pada 21 April 1918. Dalam keseluruhan kerjaya beliau sebagai handalan bangsa Jerman, Richthoffen telah menjatuhkan 80 buah pesawat dalam Perang Dunia I.


                   
 
Model TIE Interceptor Baron Fel, 181st Fighter Division
Didapati dalam plot akhir komik In the Empire’s Service, Rogue Squadron ternanti-nanti kemunculan Baron Soontir Fel. Kehadiran 181st Fighter Division mengekang kemaraan New Alliance di sektor Bentraal IV telah menggugat mereka. Terutama sekali Baron Fel yang begitu lincah menentang anak-anak muridnya. Baron Fel nyata sukar sekali ditumpaskan. 
TIE Baron Fel digendalakan oleh Y-Wing 
Nyaris-nyaris, komander Rogue Squadron, Kapten Wedges Antilles menjadi mangsa. Akan tetapi, dengan kerjasama skuadron tersebut, Baron Fel akhirnya tumpas juga. Plot ini hampir-hampir serupa dengan peristiwa April Berdarah 1917.


4.4 Penggulungan Bahagian 4

Sebagai maklum dalam entri-entri terdahulu, sejarah merupakan sumber idea yang baik dalam mengkayakan karya. Ini kerana sejarah ini merangkum banyak perkara. Jika memperkatakan satu hal dalam babak sejarah, pasti termasuk sekali elemen manusia seperti pemikiran, ideologi, sikap, tindak tanduk, dan konflik. Juga akan termasuk dalam babak tersebut elemen teknologi, strategi, taktik, infrastruktur, komunikasi, politik, sosial, ekonomi, sumber, dokumen, kerangka masa, tempat dan perkaitan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. 
Mungkin banyak lagi elemen tersebut yang tidak tersenarai lagi di sini. Apapun, elemen ini memberikan peluang untuk menjana idea perkara yang pernah berlaku dalam kehidupan manusia. Dan lumrah sejarah, apabila rentetan perbuatan yang menyamai peristiwa yang lepas, kejadian itu boleh berlaku pada masa akan datang. Satu persoalan yang timbul: jika fiksyen sains bersifat ‘sejarah,’ maka apakah relevan kepada halatuju genre ini? Adakah fiksyen sains yang bersifat ‘futuristik’ ataupun ‘nostalgia’? Perkara ini ada dibincangkan oleh Adam Roberts (2000) dalam Science Fiction: The New Critical Idioms. Insya-Allah akan dikupas dalam entri mendatang.

Sekian sahaja analisa Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire's Service.  Mudahan teknik-teknik ini dapat dimanfaatkan sebaiknya. Segala yang baik datangnya daripada Allah. Jika ada kesilapan, adalah disandarkan kepada saya.