Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, December 25, 2012

[SI] Resensi - Star Wars: In the Empire’s Service (Bhg. 4)


Bahagian 4: Analisa Plot Penceritaan

Entri sebelum ini:


 4.1 Pengenalan

Tripesawat Fokker Flying Circuss, 1918
Beberapa bahagian yang lepas, kita telah memperkatakan aspek-aspek analisa daripada komik Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire’s Service. Pengkajian kita telah merangkumi perbandingan teknologi serta watak dan perwatakan elemen skuadron kapal angkasa pejuang Galactic Empire, iaitu TIE. Kita telah mengenalpasti bahawa banyak keselarian antara TIE dan sejarah Imperial Jepun, Tentera Laut Imperial Jepun (Imperial Japanese Navy - IJN) ataupun Nihon Kaigun.

Analisa terakhir ini akan mengupas tentang plot-plot yang diselitkan dalam komik tersebut, ada persamaan dengan sejarah Imperial Jepun dalam Perang Dunia II, dan juga unit ‘Red Circuis’ Baron Richthoffen ketika Perang Dunia I. 

Walaubagaimanapun, kita teruskan bahagian akhir ini dengan membicarakan secara rumusan sahaja daripada rujukan-rujukan autentik sejarah. Wacana ini membincangkan pengambilan idea bahagian plot awal dan akhir komik In the Empire’s Service.


4.2 Plot Awal: Pergeseran Tentera Jepun dan AS di Kepulauan Solomon, 1942-43
                                  
Pergeseran wilayah penguasaan (contested territory) antara skuadron X-Wing Rebel Alliance dan skuadron pejuang TIE Empire dalam bahagian awal komik merupakan pukulan serius akan kemerosotan kualiti juruterbang Empire setelah kemusnahan Death Star II di Pertempuran Endor. Juruteranbang TIE tidak mampu mengekang kemaraan Skuadron Rogue walaupun keuda-dua pihak lebih kurang sama kekuatan dari segi kuantiti. Ini menyamai situasi yang dialami oleh Tentera Imperial Jepun di kepulauan Solomon pada 1942-43.


Sejak tercetus Perang Pasifik, Tentera Imperial Jepun mara dengan pantas sekali mengarah ke selatan, setelah berjaya menakluki wilayah Amerika, British dan Belanda (Filipina, Tanah Semenanjung, Borneo dan Kepulauan Indonesia) enam bulan pertama sejak penyerangan Pearl Harbour pada penghujung 1941. Antara faktor kemenangan ialah penggempuran berterusan Tentera Laut Imperial Jepun (Nihon Kaigun) dan pihak Berikat tidak bersedia sama sekali. Pihak Berikat silap percaturan dan memandang rendah akan keupayaan kuasa baru Asia tersebut.



Antara faktor lain ialah faktor penguasaan total udara oleh pihak Jepun. Jepun yang telah berperang sejak 1937 di China, Manchuria dan Mongolia telah melahirkan handalan di kalangan Tentera Darat dan Tentera Laut. Oleh yang demikian, penglibatan ramai veteran yang pengalaman dari dua cabang tersebut telah memberikan kelebihan dalam pertembungan antara Jepun dan pihak Berikat di Pasifik. Pihak Berikat terpukul dek komunikasi dan koordinasi yang lemah sesama mereka. Juruterbang Jepun cukup digeruni atas keberanian dan serangan agresif mereka.
Kekalahan di Pertempuran Midway (Lautan Pasifik) memaksa Ibu Pejabat Imperial di Tokyo untuk memutuskan tentera mereka memperkuat perimeter pertahanan. Fokus pasca pertempuran tersebut adalah di selatan Pasifik, iaitu di kepulauan Solomon. Pergeseran yang berterusan antara Jepun dan pihak Berikat di rantau tersebut telah mengakibatkan semakin ramai para handalan tersebut terkorban.


Pertempuran Santa Cruz pada Oktober 1942 misalan, walaupun pihak Jepun tampak menang, namun demikian telah mengorbankan sebilangan besar juruterbang yang berpengalaman. Seorang handalan Jepun, Saburo Sakai; dalam memoir beliau Samurai! mengakui, keadaan medan hadapan, cuaca tropika juga menyebabkan handalan tersebut tewas kepada penyakit. Serangan berterusan atas armada konvoi bekalan menyusutkan bekalan makanan dan alat ganti yang mencukupi.

 



Kemunculan banyak model pesawat AS yang lebih ampuh dan tahan lasak seperti P-38 Lightning, F6F Hellcat dan Vought F4U Corsair di medan tempur memberikan saingan kepada handalan Jepun. Handalan Jepun telah digantikan oleh juruterabang baru yang masih mentah dalam seni menuver tempur. 

Kelemahan ini juga berpunca di peringkat latihan Yokaren juruterbang Jepun yang rigid tidak dapat melahirkan juruterbang terlatih dalam jumlah besar seperti sebelum perang. Berbanding juruterbang baru AS, mereka menempuh latihan yang mencukupi sebelum dihantar ke medan Pasifik. Lama-kelamaan, juruterabang Jepun yang mentah mendominasi segenap misi. Mereka ini pun, juga akhirnya diganyang oleh juruterbang AS yang semakin cakap beraksi.

Dalam komik tersebut, juruterbang TIE Empire tidak mampu berhadapan dengan skuadron Rogue. Tambahan pula, pertarungan berterusan telah mengorbankan banyak juruterbang TIE, termasuk skuadron 181st Fighter Division. Kerugian besar yang dialami bukanlah semata-mata kehilangan dari segi material. 
                                         

Akan tetapi kerugian yang lebih besar adalah kehilangan orang-orang yang memiliki kemahiran dan pengalaman yang sangat berharga. Kadar kematian yang tinggi di kalangan jururterbang TIE tidak memberikan peluang kepada juruterbang baru meraih pengalaman. Sebaliknya, menjadi mangsa kepada bedilan laser X-wing.


4.3   Plot Akhir: April Berdarah 1917

Saya kira pengarang komik menggunakan satu elemen penting dalam pengenalan kepada 181st Fighter Division Galactic Empire. Semua TIE Interceptor (pemintas) skuadron elit 181st Fighter Division ditandai dengan jalur merah pada panel solar pesawat tersebut. Insigna (tanda) tersebut memberikan pengenalan khusus kepada skuadron tersebut.

Komander skuadron Jasta 11, Baron Richthoffen


Jalur tersebut seakan-akan menyamai skuadron ‘Red Circuss’, skuadron pejuang terbaik Kor Udara Jerman (), Jasta 11. Keseluruhan pesawat pejuang jenis Albatross dicat dengn warna merah. Skuadron tersebut dipimpin oleh komander handalan, Baron Rittmeister Manfred Freiherr von Richthoffen yang baru berusia 24 tahun.
Ruangan Air Combat, majalah Take Off  siri30
                                      
Ruangan Air Combat majalah Take Off siri 30 (1994) Dalam April 1917 sahaja, skuadron beliau telah menjatuhkan 88 buah pesawat British, daripada keseluruhan skor Jerman 151. Bulan tersebut terkenal dengan jolokan ‘April Berdarah.’ Dalam konflik tersebut, beliau telah menjatuhkan 21 buah pesawat British.

Kehandalan beliau memaksa ketumbukan udara British, Royal Flying Corps (RFC) untuk melancarkan operasi ‘anti-Richthoffen.’ Akhirnya mereka berjaya menamatkan riwayat beliau pada 21 April 1918. Dalam keseluruhan kerjaya beliau sebagai handalan bangsa Jerman, Richthoffen telah menjatuhkan 80 buah pesawat dalam Perang Dunia I.


                   
 
Model TIE Interceptor Baron Fel, 181st Fighter Division
Didapati dalam plot akhir komik In the Empire’s Service, Rogue Squadron ternanti-nanti kemunculan Baron Soontir Fel. Kehadiran 181st Fighter Division mengekang kemaraan New Alliance di sektor Bentraal IV telah menggugat mereka. Terutama sekali Baron Fel yang begitu lincah menentang anak-anak muridnya. Baron Fel nyata sukar sekali ditumpaskan. 
TIE Baron Fel digendalakan oleh Y-Wing 
Nyaris-nyaris, komander Rogue Squadron, Kapten Wedges Antilles menjadi mangsa. Akan tetapi, dengan kerjasama skuadron tersebut, Baron Fel akhirnya tumpas juga. Plot ini hampir-hampir serupa dengan peristiwa April Berdarah 1917.


4.4 Penggulungan Bahagian 4

Sebagai maklum dalam entri-entri terdahulu, sejarah merupakan sumber idea yang baik dalam mengkayakan karya. Ini kerana sejarah ini merangkum banyak perkara. Jika memperkatakan satu hal dalam babak sejarah, pasti termasuk sekali elemen manusia seperti pemikiran, ideologi, sikap, tindak tanduk, dan konflik. Juga akan termasuk dalam babak tersebut elemen teknologi, strategi, taktik, infrastruktur, komunikasi, politik, sosial, ekonomi, sumber, dokumen, kerangka masa, tempat dan perkaitan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. 
Mungkin banyak lagi elemen tersebut yang tidak tersenarai lagi di sini. Apapun, elemen ini memberikan peluang untuk menjana idea perkara yang pernah berlaku dalam kehidupan manusia. Dan lumrah sejarah, apabila rentetan perbuatan yang menyamai peristiwa yang lepas, kejadian itu boleh berlaku pada masa akan datang. Satu persoalan yang timbul: jika fiksyen sains bersifat ‘sejarah,’ maka apakah relevan kepada halatuju genre ini? Adakah fiksyen sains yang bersifat ‘futuristik’ ataupun ‘nostalgia’? Perkara ini ada dibincangkan oleh Adam Roberts (2000) dalam Science Fiction: The New Critical Idioms. Insya-Allah akan dikupas dalam entri mendatang.

Sekian sahaja analisa Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire's Service.  Mudahan teknik-teknik ini dapat dimanfaatkan sebaiknya. Segala yang baik datangnya daripada Allah. Jika ada kesilapan, adalah disandarkan kepada saya.

No comments: