Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Sunday, December 16, 2012

[BUKU] Routledge Companion to Science Ficition


“The Routledge Companion to Science Fiction will be an indispensable resource for sf writers, scholars and serious fans... the book boldly goes where no-one has gone before.” ~Andrew Miner, Monash University, Australia

Jika seseorang yang ingin berkecimpung dalam penulisan fiksyen sains, buku ini cocok sebagai rujukan utama. Buku ini mengupas genre fiksyen sains secara komprehensif oleh barisan ahli akademik, pengktitik dan penulis yang berkaliber dalam bidang ini. Membaca buku ini memberikan peluang menjelajah dan membuka ruang minda untuk meneliti apakah yang terkandung di sebalik genre fiksyen sains.  

Buku ‘teman’ wacana ilmiah fiksyen sains ini memuatkan 56 artikel yang merangkumi penulisan yang terbahagi kepada empat bahagian utama, iaitu:

1.       Sejarah Fiksyen Sains

Sebanyak 18 artikel dimuatkan dalam bahagian ini. Sejarah fiksyen sains dijejak sejak awal permulaan kemunculannya lagi. Pengkajian ditinjau mengikut kronologi masa, bermula dari titik zaman revolusi Copernican (tokoh astronomi Poland, Copernicus yang mencedok karya al-Tusi), sehinggalah zaman kini. Termasuk juga dikupas adalah zaman keemasan fiksyen sains pada abad ke-19 (H. G. Wells dan Jules Verne), zaman kemunduran ataupun dikenali sebagai zaman ‘pulp’, zaman Isaac Asimov dan kemudiannya ledakan siaran panggung wayang serta televisyen yang dipopularkan oleh George Lucas, pencipta STARWARS. Fiksyen sains begitu mempengaruhi pemikiran saintifik Barat sehinggalah menjadi salah satu aliran perdana pemikiran di sana.


2.       Teori
Bahagian kedua ini membincangkan pendekatan teoretikal dalam aliran pemikiran ataupun ideologi yang terkandung dalam fiksyen sains, merangkumi feminisme, Marxisme, psikoanalisis, kritik nuklear, kajian kebudayaan, pasca kolonialisme, pasca-humanisme dan kajian utopia. Membaca bahagian ini memerlukan penelitian dan penyaringan, kerana seringkali idea yang dipampangkan ada bertentangan dengan nilai agama dan ketimuran.

Hakikatnya, begitulah kandungan di sebalik fiksyen sains. Banyak yang berselirat di sebalik tersirat di sebalik wajah teknologi. Namun demikian, saya yakin jika ada sisi gelap fiksyen sains, pasti ada sisi terangnya. Marilah mencontohi sikap Imam Ghazali rahimahullah (w. 505H) yang menyaring falsafah rasional Greek.  Beliau tidak menolak sepenuhnya falsafah, akan tetapi mana-mana bahagian yang tidak bertentangan dengan ‘sempadan’ syarak, diharmonikan seiring dengan tradisi yang sedia ada dalam keilmuan Islam. Salah satu daripda karya beliau berkenaan hal ini ialah Tahafut al-Falasifah.


3.       Isu dan Cabaran
Bahagian ini mengutarakan wacana halatuju fiksyen sains dalam bidang-bidang tertentu seperti kajian sains, muzik, enviromentalisme, etika dan ‘alterity.’


4.       Subgenre

STARWARS... subgenre opera angkasa.
Ini merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi saya.
Bahagian ini membincangkan ‘prismatic view’ genre fiksyen sains, menjejak tema-tema dan perkembangan dalaman subgenre. Subgrenre ialah bahagian ataupun cabang khusus dalam fiksyen sains, seperti alternate history (sejarah alternatif), apocalyptic (genre ‘akhir zaman’ atau kemusnahan dunia seperti Armegeddon, 2012), distopia (huru-hara), space opera (opera angkasa – seperti STARWARS, Starcraft) dan fiksyen pelik (weird fiction).

 Fiksyen sains begitu subur bertapak di Barat, bahkan sudah menjadi fenomena yang sebati dalam hidup mereka. Tidak dinafikan, fiksyen sains mempelopori idea spekulatif dan futuristik yang memberi laluan kepada ahli akademik, jurutera dan saintis untuk menjelajah teknologi baru. Begitu banyak ciptaan yang timbul beberapa dekad kemudian, benar-benar direalisasikan. Mungkin pada zaman itu idea tersebut dianggap gila, tetapi tidak mustahil dalam capaian akal.

Tetapi apabila tiba di satu sudut yang ekstrem, fiksyen sains ini ‘berkuasa’ mempengaruhi pemikiran manusia jika tidak keterlaluan. Dengan hidup yang berpandukan falsafah sebagai pandangan alam hidup, pengulangan prinsip tragedi dalam kesusasteraan membawakan kehampaan rohani. Masakan tidak, filem seperti 2012 seolah-olah meramalkan berakhirnya dunia mengikut tarikh yang mereka tentukan sendiri!

Jika fiksyen sains ini seringkali dalamannya berhalatuju unsur negatif, mengapa tidak kita mengalihkan arah kompasnya kepada positif?

Bersama kita fikirkan...

No comments: