Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, November 21, 2012

[BUKU] The Craft of Writing Science Fiction That Sells


                                                  
“There’s a power in science fiction: the opportunity to make the reader think; the ability to reveal facets of our world through reflections from a world of imagination.” ~Ben Bova
The Craft of Writing Science Fiction That Sells merupakan buku panduan menulis fiksyen sains karya seorang tokoh penulis fiksyen sains, iaitu Ben Bova. Buku ini unik kerana memaparkan teknik-teknik penulisan fiksyen sains secara teori dan praktikal. Beliau berpengalaman berkhidmat dalam agensi angkasa Amerika Syarikat, NASA, penulis kepada 100 karya dan pemenang anugerah enam kali Science Fiction Achievemen Award (Hugo) bagi kategori ‘Best Professional Editor.’ Maka Ben Bova merupakan orang yang tepat mengupas fiksyen sains yang ‘evergreen’ dan laku di pasaran.
Ben Bova
Buku ini agak unik, kerana menumpukan empat perkara penting secara khusus dalam pembinaan karya fiksyen sains yang berkualiti. Perkara berikut adalah:


  1. Cerpen
Ben Bova menghuraikan secara khas penjanaan idea cerpen fiksyen sains dengan kaedah gabungan teori dan amali. Beliau merangkum empat bab untuk hal ini dalam menghasilkan watak (character), latar (background), konflik dan plot. Keempat-empat perkara ini walaupun ditujukan bagi membina cerpen, boleh juga diaplikasikan dalam novel.
 Beliau berpandangan untuk menulis cerpen, ada kemahiran tertentu mengawal idea agar menghasilkan impak kepada pembaca, walaupun ditatap dalam masa yang singkat. Berikut adalah penerangan ringkas tentang metodologi beliau:

  1.  Teori
Kaedah teori, beliau mengupas ciri-ciri yang dijangkakan oleh editor daripada penulis. Ini kerana, sepanjang penglibatan beliau sebagai editor fiksyen sains, terlalu banyak ‘loopholes’ ataupun lohong-lohong kesilapan yang sama dalam manuskrip penulis baru. Kesilapan ini menyebabkan manuskrip terpaksa ditolak. Mana tidaknya, terlalu banyak manuskrip yang hendak diperiksa setiap hari. Uniknya dalam teori ini, beliau menggariskan ciri-ciri utama yang akan menjadikan manuskrip menjadi menarik bagi pembinaan watak (character), latar (background), konflik dan plot.

  1. Amali
Belilau menggunakan karya-karya beliau sendiri bagi menunjukkan teknik-teknik yang dikongsikan dalam bahagian teori. Beliau menyertakan cerpen satu cerpen penuh bagi huraian bab watak, latar, konflik dan plot. Selepas setiap cerpen, beliau menyediakan satu ruang khas analisa cerpen tersebut dengan gabungan panduan teori dan cerpen. Oleh yang demikian, pembaca dapat mengulangkaji teori, cerpen dan analisa dengan baik.

  1. Kaedah Penyampaian
‘Tutorial’ berdasarkan teori, lampiran cerpen dan analisa teks dirangkum dalam empat bab utama, iaitu watak (character), latar (background), konflik dan plot. Huraian Ben Bova dijelaskan dengan bahasa biasa tanpa melibatkan istilah dalam kesusasteraan (literature) Bahasa Inggeris. Pendek kata, penjelasannya secara langsung secara praktikal kepada isi perbincangan tanpa mendalami definisi, idiom dan sebagainya secara terperinci.

  1. Novel
Bahagian ini lebih menumpukan kepada persediaan motivasi akan daya tahan menghasilkan novel. Pada pandangan beliau, jika ingin berjaya dalam fiksyen sains, pengkarya harus memaksimakan penulisannya dalam cerpen. Ini kerana, cerpen dihasilkan dalam masa yang lebih singkat. Tambahan pula, watak, latar, konflik dan plot adalah lebih ringkas daripada novel.

Ben Bova menyediakan satu ruangan khas mengenai masalah penulisan novel. Menariknya beliau memberikan judul bab tersebut sebagai Writing Novel: A Long Siege, iaitu lebih kurang bermaksud: Menulis Novel: Kepungan yang Lama. ‘Siege’ dalam istilah peperangan ialah satu pihak cuba mengepung sebuah kota dalam jangka yang lama sehinggalah kota tersebut ditawan. Proses kepungan tersebut amat panjang dan melibatkan ketahanan semangat, bekalan makanan dan keadaan tentera.

Satu pengalaman yang menarik beliau kongsikan, bagi menunjukkan penghasilan novel bukanlah suatu yang mudah, satu daripada karya beliau mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan! Beliau menasihati bahawa jika anda mempunyai sesuatu idea, dan idea tersebut tidak sesuai untuk karya anda sekarang, jangan abaikan. Tulis dan simpan elok-elok. Ini kerana, suatu hari kelak, idea tersebut akan bergabung dengan karya yang ‘tersangkut’ penulisannya.


  1. Memasarkan Karya di Arena yang Mencabar
Ben Bova mengatakan, “If you wish to be a professional writer, you must send your work to the marketplace (Jika anda mahu menjadi penulis profesional, anda mesti menghantar karya anda ke pasaran).” Dalam bab 17, beliau memberi garis panduan dan nasihat agar karya anda disalurkan dengan cara yang selayaknya.

Beliau juga berkongsi akan kaedah berurusan dengan editor, menjalankan kajian pasaran, cara memasarkan cerpen, adakah kita harus mempunyai ejen pemasar, persediaan manuskrip dan surat iringan. Keseluruhannya, ada 8 tips yang berguna untuk dimanfaatkan.


  1. Novel Tematik
“Dream your own dreams! Write your own stories.” ~Ben Bova

Dalam ruangan ini, Ben Bova menggesa para pengkarya fiksyen sains agar menghasilkan karya dengan kreativiti idea asli mereka sendiri. Penulis fiksyen sains yang berpengaruh seperti Frank Herbert dan banyak lagi menghasilkan karya yang memberi kesan kepada perkembangan sains dan teknologi sedunia. Misalan, DUNE karya Frank Herbert memberi cetusan gerakan enviromentalisme.

Beliau berpendapat, mesikpun demikian, karya-karya besar tersebut menghasilkan masalah, iaitu ada di kalangan penerbit mahukan penulis menulis berdasarkan format serta tema tersebut kerana permintaan yang baik di pasaran. Bagi beliau, perkara ini akan mengganggu penghasilan idea-idea yang unik. Dalam bab 18, beliau membantu penulis agar menjadikan cliche (tema yang berulang-ulang ataupun stereotaip) dimanfaatkan untuk menghasilkan idea baru.

  1.  Idea, Seni dan Inspirasi Karya
“The task of a writer consists in being able to make something out of an idea.” ~Thomas Mann

Dalam bab terakhir ini, Ben Bova menyimpulkan segala perbincangan dalam buku beliau, dalam tiga perkara. Ini disebabkan tiga perkara ini akan memberikan kriteria unik kepada penulis fiksyen sains yang membentuknya dengan cara kreatif.
Perkara pertama adalah idea, iaitu bagaimana mendapatkan idea, mencambahkan idea, rujukan-rujukan baik penjanaan idea saintifik dan pengggunaan kaedah ‘juxtaposition.’

Perkara kedua adalah seni ataupun beliau istilahkan ‘style.’ Beliau mengupas mengenai seni seorang tokoh fiksyen sains ulung, iaitu Isaac Asimov. Bagi beliau, seni Asimov begitu unik, bahasa yang jelas dan bergaya tersendiri. Sehinggakan pengkritik mengandaikan beliau mengambil sikap sambil lewa ataupun ‘simplistic.’ Beliau menyeru agar penulis mengikut gaya tersendiri tanpa terikut-ikut dengan cliche yang sudah ada di pasaran.

Perkara ketiga adalah inspirasi. Penulisan bukanlah tugasan yang mudah. Menurut beliau, pada zaman tersebut (mungkin sekitar tahun 1970-an dan 80-an), penulis hidup di bawah paras kemiskinan. Akan tetapi, beliau sepertimana penulis yang lain sudah sebati bahkan merasai kemanisan sebagai seorang penulis. Beliau mengungkapkan bahawa penulisan ini sukar dan sering berasa keseorangan. Terutama sekali pada peringkat permulaan adalah lebih berat bebannya berbanding ganjaran yang diraih.

Buku ini diterbitkan pada tahun 1994, setelah dikemaskini sejak edisi 1975 dan 1981. Saya mendapatkan salinan naskhah ini daripada Pustaka Negeri Sarawak. Mungkin juga tiadak ada lagi di pasaran. Saya mencadangkan anda boleh cuba mencari di perpustakaan utama tempatan. Atapun cara lain, cuba dapatkan naskhah terpakai (second hand). Biasanya boleh didapati di amazon.com ataupun ebay.com. Buku terpakai biasanya amat murah. Jangan bimbang akan kualiti buku tersebut. Biasanya buku terpakai seperti baru.

Untuk mengharungi lautan baru, nakhoda mungkin tidak tahu apakah yang ada di hadapan. Arusnya mungkin kuat, anginnya mungkin kencang, batuan bawahnya tajam belaka menunggu merobek bahtera. Begitulah fiksyen sains. Anda yang baru belayar, perjalanannya banyak pancaroba. Oleh yang demikian, buku ini amat bernilai sebagai kompas bagi penulis yang ingin berkecimpung dalam lautan idea fiksyen sains. Mencabar, sangat mencabar. Akan tetapi, hasilnya amat memuaskan. Kita simpulkan pengenalan buku ini dengan ungkapan Ben Bova sendiri tentang penulisan:





“Writing is hard and lonely work. The hazards and pains, especially at the beginning, far outweight the rewards...

Allahu’alam, Allah Maha Mengetahui.

Selamat membaca. 

No comments: