Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, November 20, 2012

Remember November the 5th... V for Vendetta

 “Beneath this mask there’s more than a flesh. Beneath this mask there's an idea. And ideas are bulletproof!” ~Mr. V

Filem V for Vendetta muncul di layar perak pada ketika demam superhero Hollywood semakin meningkat suhunya, sekitar tahun 2006. Sebut sahaja siapakah di kalangan mereka, baik Superman, Spiderman, Hulk, Hellboy, Batman dan X-men hero-hero komik (seperti DC, Marvel dan Dark Horse) muncul kembali dengan wajah baru. Jika dahulu superhero beraksi dengan latar lawan yang sama, kini lebih canggih dengan kesan grafik komputer. Malangnya mentaliti memakai seluar dalam di luar masih tidak berubah.

Versi komik
Oleh sebab terlalu banyak superhero yang berlagak di pawagam ketika itu, maka penulis pun naik muak mahu menonton filem mereka. Maka hero yang bernama Mr. V langsung diabaikan.

Namun ironinya saya mencari Mr. V kembali ketika musim Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12). Tanpa disengajakan, saya tertonton sebuah sedutan video politik yang memanipulasikan falsafah terkandung dalam filem tersebut sebagai kempen pihak tertentu. Menonton video yang pendek tersebut, saya tertarik dan mengatakan dalam hati: ini bukan hero sembarangan seperti yang lain memakai seluar dalam di luar!

Maka pencarian itupun bermula...

Filem V for Vendetta (2006) merupakan adaptasi daripada karya novel-komik hasil nukilan Alan Moore dan David Lloyd. Pengarah filem tersebut adalah penerbit trilogi Matrix, iaitu adik-beradik Wachowski. Filem tersebut berlatarbelakangkan keadaan distopia (lawan kepada utopia) negara United Kingdom pada masa hadapan, sekitar tahun 2030. Kerajaan UK diperintah parti Norsefire yang dipimpin oleh Canselor kuku besi Adam Sutler.


Kerajaan despotik tersebut menggunakan ketakutan (fear) dalam masyarakat. Sesiapa yang bersuara menentang akan diculik, disoal siasat dan dipenjara, selepas itu tiada berita kedengaran. Pemimpin parti menggunakan pidato berapi-api dan undang-undang untuk mengawal masyarakat. Lantas, mereka lebih rela untuk diam daripada mendapat masalah. Tidak ubah seperti kerajaan totalitarian (kuku besi) Third Reich Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler.

Kisah bermula apabila seorang wanita bernama Evey diselamatkan daripada polis Norsefire, iaitu Fingerman. Penyelamat misteri tersebut memperkenalkan dirinya sebagai ‘V’ yang menggunakan topeng aneh. Evey dibawakan ke atas bangunan bagi menyaksikan kemusnahan bangunan Old Bailey yang merupakan simbol kekuasaan pemerintah di UK.


Kemusnahan Old Bailey adalah permulaan kejayaan simbolik revolusinya terhadap pemerintah yang merupakan kesinambungan kegagalan komplot Gundpowder Plot oleh Guy Fawkes. Komplot tersebut cuba membunuh Raja James I di Old Bailey  pada 5 November 1605.. Bahkan, topeng yang digunakan oleh V adalah berwajahkan konspirator komplot tersebut.
Guy Fawkes ditangkap pada 5 November 1605 ketika komplot Gunpowder Plot
Keesokan harinya, berita palsu disiarkan oleh British Television Network (BTN). V kemudiannya menawan seketika dan menyiarkan ucapan revolusinya. Ucapan tersebut menyeru agar rakyat UK membuka mata tentang kepincangan, korupsi dan kezaliman pemerintah. Sebagai tanda sokongan mereka terhadap revolusi tersebut, V mengajak rakyat berkumpul di depan Parlimen setahun kemudian pada 5 November. Pasca kejadian itu, BTN menyiarkan berita palsu bahawa Mr. V telah maut dalam insiden tersebut.

Canselor Sutler memberikan respon yang drastik. Dia mengarahkan agar kepimpinannya mengawal ketat segala sumber media, termasuklah televisyen, radio dan surat khabar. Detektif Pinch ditugaskan untuk menjejak motif dan aktiviti Mr. V.

Cerita dilanjutkan lagi dengan pengembaraan V dan Evey. V melancarkan ‘vendetta’ (dendam)nya terhadap kepimpinan parti Norsefire. Ini kerana V menganggap dirinya sebagai gergasi hodoh yang menderita setelah dijadikan bahan eksperimen oleh kerajaan. V membunuh seorang demi seorang musuhnya, dengan meninggalkan sekuntum bunga ros berhampiran dengan mayat.

Semakin V dijejak oleh Detektif Pinch, semakin terserlah wajah sebenar kerajaan Norsefire. Detektif yang dalam dilema itu merungkai bahawa selama ini parti Norsefire telah menggunakan segala cara untuk mengekalkan kekuasaannya. Ini termasuklah penggunaan senjata kimia, eksperimen terhadap manusia, pemenjaraan musuh politik, penculikan dan pembunuhan. Detektif tersebut masih gagal mengesannya.

Setelah satu rancangan televisyen Mr. V mempersendakan canselor disiar, rakyat mula tertanya-tanya, Mr. V sebenarnya masih hidup. Buat pertama kalinya rakyat mentertawakan pemimpin mereka. Juga, mereka mula mempersoalkan dan meragui apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir siaran media dan pemerintahan negara.


Menjelang 5 November tahun baru, V melancarkan perang saraf dengan menyebarkan kostum (jubah, topi dan topeng Guy Fawkes) revolusinya. Apa yang menarik adalah setiap kali bungkusan kostum 'V' tiba di rumah rakyat, setiap kali itu juga V meletakkan satu buah domino.

Buah domino yang disusun satu persatu membentuk satu corak unik gergasi simbol ‘V’. Tiba masanya, V akan mengetis buah hujung buah domino dan kesemuanya akan tumbang, iaitu simbolik kepada kejatuhan hegemoni jahat yang bakal ditumbangkannya.


Seperti yang dijanjikan pada hari revolusi – 5 November, Mr. V telah menyiapkan sebuah tren bawah tanah yang sarat dengan bahan letupan. Tren tersebut akan diletupkan ketika melalui bangunan Parlimen UK – simbol kepada kejayaan revolusinya menumbangkan parti Norsefire.
Manakala di London, tentera yang dipegang oleh parti Norsefire mengesan gelombang kemaraan rakyat menuju bangunan Parlimen. Di bawah tanah pula, Mr. V bersemuka berseorangan menghadapi Mr. Creedy dan pengawal peribadinya. Mr. Creedy orang kanan parti membawakan Canselor Sutler seperti sebagai galang gantinya, V menyerah diri. Setelah Mr. Creedy membunuh Canselor, V enggan akur. Pertempuran berlaku akhirnya tinggal Mr. Creedy cuba menembak dan V cedera parah.

Saya ingat lagi Mr. Creedy menembak V yang mara kepadanya dengan beberapa das pistol, “Die, die, die! Why don’t you die!”

Mr. V menggapai Mr. Creedy dan mencekik sambil menjulangnya, kata V, “Beneath this mask there is a flesh. Beneath this mask there's an idea. And ideas are bulletproof!”

Babak akhir menemukan V kembali kepada Evey dan melafazkan cintanya. V mati dalam ribaan orang yang dikasihinya. V diletakkan dalam tren, dan melepaskan pergi sekalipun dihalang oleh Detektif Frinch.

Manakala di bandar London, rakyat tetap mara dengan mengenakan kostum Mr. V. Dengan ketiadaan pimpinan parti memberi arahan, pihak tentera tidak berdaya menghalang gelombang rakyat. Beberapa saat kemudian, rakyat berhenti menyaksikan revolusi Mr. V berjaya: Parlimen hancur ditelan api... Revolusi V berjaya....


Komentar:
Saya bukanlah pengkritik yang mahir dalam hal filem. Cuma sekadar memberi komentar tentang filem ini:

  1. Filem futuristik ini menayangkan daya fikir spekulatif (andaian masa hadapan) oleh pengkarya. Justeru, saya kira filem ini boleh dikategorikan sebagai filem fiksyen sains, walaupun tidak begitu menonjol. Masih juga terdapat unsur-unsur fiksyen sains yang dapat dilihat daripada teknologi penyiaran, eksperimen manusia, gajet-gajet dan tentera futuristik.  

  1. Juga disentuh adalah isu Islamofobia, totalitarian (kerajaan autokratik) dan lesbian. Idea  metod politik Machivellian yang bermatlamat menghalalkan cara (end justifies the meanings) begitu ketara dalam langkah serta strategi Mr. V.

  2. Filem ini begitu menonjol mengangkat teroris ataupun anarkis sebagai hero kebebasan. Sebenarnya ada pertikaian antara pengarah filem dengan pengarangnya Alan Moore kerana plot cerita filem berbeza sekali dengan versi komik asal. Jika diturutkan juga, pasti lebih banyak aksi anarkis dipaparkan. Ini kerana, dalam versi asal komik, Mr. V akan membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya.
  1. Filem ini sarat dengan simbol. Antaranya ialah:
    1. Simbol Kuasa – Bangunan Old Bailey dan Parlimen menjadi simbol kekuasaan pemerintah yang diberikan diserahkan oleh rakyat kepada mereka. Meruntuhkan simbol itu bermakna meruntuhkan makna kuasa kepada pemerintah.
    2. Simbol Idea & Revolusi – Mr. V menggunakan topeng wajah Guy Fawkes menggambarkan kesinambungan motifnya dengan motif revolusioner terdahulu.
    3. Simbol Sokongan – Rakyat massa memiliki rasa kebersamaan menggunakan kostum Mr. V, dengan kebersamaan perlambangan yang sama.
    4. Simbol Kejatuhan – ‘Kesan domino’ Mr. V memetik buah domino. Buah domino jatuh satu persatu sehinggalah kesemuanya rebah ke bumi. Simboliknya, satu kejatuhan akan merebakkan kepada kejatuhan yang lain sehinggalah hanya satu sahaja buah dominonya yang tegak, iaitu melambangkan kemenangan dirinya. 
  1. Selari dengan simbol dalam filem, saya kira filem ini juga sarat dengan falsafah dan politik.  Filem ini banyak menduga minda yang memaksa kita untuk turut berfikir, apakah motif dan tindakan Mr. V selanjutnya. Metodologi politik moden seperti Machiavellian yang popular dengan ‘perangai’ matlamat menghalalkan cara diselitkan dengan ketara sekali. 

  1. Amat menarik dalam filem ini (mengujakan dan kejutan kepada saya) apabila ada disentuh mengenai al-Quran. Bahkan, sebab watak Dietrich (pegawai penyiaran British Television Network) dihukum bunuh oleh parti Norsefire adalah kerana memiliki senaskhah al-Quran. Insiden ini menyentuh tentang Islamofobia yang masih tertanam kukuh di Barat.


Sebagai penutup, secara peribadi filem ini mempunyai kelainan, keunikan dan pemikiran yang tersendiri, walaupun ada bahagian yang boleh dibahas dan dibidas. Mengenai isu kekejaman cengkaman pemerintahan totalitarian, manipulasi media dan anarki politik yang dipaparkan dalam filem tersebut, ada relevan dan logiknya dengan situasi global masakini, berlaku di mana-mana. Sentiasa berhati-hati dalam menyaring apa-apa yang anda dengar dan lihat. Di dalamnya mungkin terselit muslihat tersembunyi tanpa kita sedari. 

Kupasan mengenai filem V for Vendetta dalam entri ini tidak ada bermaksud menuju kepada mana-mana pihak kepartaian, terutama bagi senario politik dalam negara. Entri ini adalah pandangan neutral. Saya adalah seorang non-partisan, tetapi tidak bermakna saya ‘non-participate’ dalam agenda kepentingan ummah.

Mohon maaf salah dan silap. Sama-sama kita fikirkan... 

No comments: