Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, December 9, 2011

Hologram Hijrah(2.2): Berada dalam Stesen



Episod 1 Hologram Hijrah(2)

“Hari sudah gelap. Bintang sudah terbenam. Sudah gelap, apa yang kita boleh buat?”

“Bagaimana dengan shuttle kita? Adakah kita akan terkandas di sini selama-lamanya?” rungut Kamal.

Markov memerhati sekeliling dengan tenang. Ia melihat permukaan topografi dengan visi pandangan malam pada helmetnya. “Tidak ada tanda-tanda organisma makro ataupun makhluk yang berbahaya di sini.”

“Adakah mungkin manusia di sini sudah mati? Lihatlah sepanjang perjalanan kita tadi, begitu banyak bangkai mesin. Adakalanya seperti tengkorak besi. Engkau buat apa?” Kamal kehairanan melihat telatah Markov. Mereka sedang berada di hadapan pintu besi stesen usang itu. Markov menekan-nekan punat pada pintu itu. Tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Hairan. Menurut sistem imbasan shuttle, stesen ini mengeluarkan isyarat bahawa ia adalah stesen yang aktif. Terdapat isyarat daripada janakuasa yang terletak di bahagian belakang stesen.” Markov memasukkan sejenis kad ke dalam selit sempit pada di paparan komputer pintu. Kad itu bersambung kepada paparan radas yang dibawanya.

“Sistem komputer pintu menunjukkan bahawa terdapat aktiviti keluar dan masuk pada hari ini. Ia sukar untuk digodam. Saya cuba lagi.”

“Senang sahaja. Awak letak sahaja peledak. Nanti meletup, kita masuk. Bukankah awak ada alat canggih?” ejek Kamal. Ia meleter dan terus meleter.

Tiba-tiba gear luaran pintu berputar ligat, disusuli dengan gerakan beritma pintu terbuka secara perlahan-lahan. Terdapat jet wasap yang memancut sekali-sekala dari sendi-sendi gear pintu. Begitu lambat kadar bukaan menampakkan bahawa pintu logam itu amat berat. Mereka berdua masuk melalui pintu dan menghidupkan lampu sorot. Visi penglihatan gelap diubah kepada aturan separa automatik. Markov di hadapan, sambil senjata subrevolvernya bersedia pada bila-bila masa.

“Gelap betul. Begitu besar tempat ini. seperti sudah lama ditinggalkan,” tiba-tiba Kamal bersuara.

“Mungkin ada, mungkin tidak ada sesiapa di sini,” Markov sentiasa berjaga-jaga. “Tahap oksigen berada pada tahap selamat bernafas secara normal.”

Sistem Pembantu Visual Elektroniknya giat mengimbas jikalau ada apa-apa ancaman. “Aku mesti cari panel suis lampu. Oh, di sana!” Markov cuba mengaktifkan sistem pencahayaan stesen di panel tersebut.

“Bahasa pada panel ini.... tidak seperti yang lain.” Ditekannya punat. Lampu sorot dibuka satu demi satu, tetapi tidak semua. Tidak cukup menerangi tempat seperti gudang. Masih lagi berbalam-balam.

“Zzzzing!” Markov terdengar frekuensi yang aneh. Lantas lampu sorotnya dipadamkan, visi pandang gelap diaktifkan serta-merta. “Musuh?”

“Mar.... Markov.... to... tolong sa...ya...” kedengaran suara Kamal terketar-ketar melalui saluran interkom antara helmet.

“Di mana engkau?” Markov mencari ke arah isyarat yang dibebaskan oleh sut Kamal.

“Kamal, bertahan di sana! Saya datang!”

“Ya Allah, jika ada musuh di sini, tolonglah kami!” Markov bergerak dengan tangkas, tetapi amat berhati-hati melangkah. Ia terpaksa melalui banyak bongkah besar yang diperbuat daripada polimer.

“Zzzzing!” seretan frekuensi itu berbunyi lagi.

“Mar.... Markov.... to... tolong sa... saya...” Dilihatnya di leher Kamal terdapat sebilah senjata cahaya yang berkelok-kelok. Susuk tubuh yang seakan-akan mengancam Kamal samar-samar kelihatan di sebalik kegelapan bayang-bayang.

Markov terperasan ada lagi sebuah susuk tubuh yang agak besar berada di tingkat atas. Ia sedang mengacukan senjatanya. Lantas Markov juga mengacukan subrevolvernya. Bidikan laser berwarna hijau muda jasad itu tepat mengenai helmet Markov. “Ia sedang mengunci aku.”

“Markov.... tolong saya.” Markov mengunci sasaran di hadapannya dengan sistem bidikan di helmet. Jika terjadi apa-apa, senjatanya akan melepaskan tembakan secara automatik. Ia menoleh ke arah belakang.

“Zzzzing!” seretan frekuensi itu berbunyi lagi. Kali ini, bilah bercahaya yang sama seperti di leher Kamal berada di lehernya. Ia merasakan ada seseorang di sebelah kanannya.

“Jangan bergerak. Letakkan senjata engkau. Engkau tidak ada pilihan lain. Jika tidak, nasib engkau berdua buruk padahnya,” kata jasad itu di sebalik bayang-bayang bongkah polimer.

“Siapa kamu?” Markov ditanyai. “Aku harus melakukan sesuatu.”

“Berani kamu menceroboh!”

“Letakkan senjata kamu, dan nyahaktifkan sistem sut kamu. Jika tidak, nyawa kedua-dua kamu melayang!” kata jasad yang berada di tingkat atas.

“Ah, perangkap!” bisik Markov. Ia memerhati bilah yang diacu kepada Kamal, dan juga kepada dirinya. Ia tahu. Ia mengenalinya.

“Siapakah kamu!” ancam jasad itu.

“Seperti saifion jenis scimitar! Pada Kamal, adalah keris neutron, 5 lok!” bisik Markov. Saifaion adalah senjata tempur jarak dekat yang standard dibawa oleh mujahidin Galaksi Muhsinin. Desis Markov, “Entah mengapa mereka juga mempunyai senjata ini. Mungkinkah mereka menjumpai artifak lama pejuang Galaksi Muhsinin di mana-mana sahaja?”

Markov terpaksa akur. Ia merasakan sesuatu di sebalik sut mereka. Tetapi ia bersedia menghadapi apa-apa sahaja kemungkinan. Mungkin benar inilah stesen dicarinya. Ia berkata, “Kami musafir.”

Tanya si pemegang scimitar, “Ke manakah destinasi kamu?”

Jawab Markov, “Jauh daripada sini.” Ia bertanya lagi, “Bolehkah kami tahu, tempat apakah ini?”

“Anak muda yang tidak beradab! Kamu masuk menceroboh. Kemudian kamu masuk tanpa beri salam. Dan kamu kurang sopan terhadap orang tua!”

Kamal menjawab, dengan terketar-ketar tubuhnya, “Ma… af.” Keris neutron masih terhunus di leher Kamal.

Tiba-tiba terdengar satu suara dari arah belakang. “Biarkan mereka. Mereka tidak berbahaya. Mereka adalah musafir. Duduklah kalian. Sediakan mereka minuman.” Ia menggunakan sejenis sut yang aneh sekali. Tampak begitu antik jika dibandingkan dengan yang digunakannya. Akan tetapi sut itu seperti menyimpan seribu satu rahsia teknologi terpendam di sebaliknya. Di sisi kanan dan kiri pinggangnya, Markov memerhatikan terdapat dua objek logam berbentuk silinder yang berukir. Ia membuka visor muka helmetnya.

Markov seakan-akan tidak percaya, bisik hatinya, “Tua benar orang ini. Memang padan, datuk ini menggunakan tongkat untuk berjalan walaupun memakai sut tempur.”

“Mengapakah saya harus mempercayai orang asing? Jikalau mereka pengintip Maharaja Revanche, bagaimana?” kata salah seorang daripada mereka.

Tanya seorang lagi, “Adakah kamu ejen pengintip Maharaja Revanche?”

“Bukan mudah untuk sesiapa yang tidak mempunyai pengenalan kepada sistem kita untuk memasuki zon stesen ini. Jika tidak, awal-awal lagi turet hadapan akan membedil mereka. Mari, anak muda. Tentunya kamu tetamu yang istimewa. Nama saya Qutuz. Selamat datang ke Stesen Syuhada. Tunjukkan diri kamu semua yang sebenar.” Arah Qutuz itu tadi kepada rakan-rakannya yang lain. Kedua-dua orang yang mengacukan senjata melakukan seperti yang disuruh.

Kamal dan Markov ternganga sebentar. Mereka saling berpandangan. Markov berkata dengan suara perlahan, “Semuanya tua!”

Markov berasa lega sedikit. Mungkin juga mereka sahabat. Lantas ia memberikan jawapan, “Maharaja Revanche? Dia telah lama mati. Dan digantikan oleh anaknya Maharaja Tovalitas. Pemerintah Empayar sekarang diterajui oleh Maharaja Legion. Empayarnya menjangkau lapan galaksi tanpa ada tentangan. Baru-baru ini, maruah Empayar tercalar. Buat pertama kali dalam seratus tahun, mereka dikalahkan dengan teruk.”

“Siapakah yang mengalahkan mereka?”

“Galaksi Muhsinin, diperintah oleh seorang pemuda, Khalifah Zulqarnain. Dia adalah khalifah yang keenam.”

“Khalifah? Wahai anak muda, kamu katakan, khalifah?” mata Qutuz berkaca-kaca. Ia lantas bersujud. Dan ia kemudian bangkit sambil menangis teresak-esak.

“Sudah seratus tahun semesta ini dalam genggaman kegelapan kezaliman. Syukur kepada engkau, ya Allah, pengorbanan kami terbalas jua akhirnya! Buat sekian lama, sudah muncul cahaya. Cahaya yang bakal menembus ke serata jagat. Menyambung misi rahmat sekalian alam. Kesinambungan koloni itu telah disambung oleh generasi yang baru!”

“Tidak Kami utuskan engkau, wahai Muhammad! Melainkan menjadi rahmat ke serata alam!” pipinya dibasahi linangan air mata.

“Terlalu lama aku merindu, wahai cahaya alam yang indah!”

“Oh Tuhan, andai engkau berikan kudrat ini, kami akan bangkit bersama mereka.”

“Siapakah kamu, anak muda? Apakah sebenarnya hajat kamu?”

“Kami sebenarnya ingin berhijrah ke Galaksi Muhsinin.” Markov bercerita bagaimanakah mereka berhijrah dan seterusnya terhempas di planet ini.
Seorang daripada mereka bertanya, “Maafkan saya, jika kawan kamu ini namanya Kamal, kamu siapa pula?”

Qutuz menyampuk, “Namamu, Markov, bukan?”

Markov kaget sejenak, “Ya, nama saya Markov, keturunan Khanat Krimea di dataran Volga di Bumi Lama. Saya sangsi, bagaimanakah datuk tahu?”

Datuk ketawa kecil, “Lintasan di hati saya. Allah Maha Mengetahui. Pasti Dia yang beritahu. Maafkan kami. Kami berempat sudah tua. Rata-rata sudah lebih seratus tahun. Yang ini bernama Lukman, yang itu Taqiyudin dan di atas sana Zanki. Tuhan memberikan umur yang panjang kepada kami, untuk menjaga amanah. Kami adalah generasi kepada syuhada yang menjadi benteng terakhir Koloni Muslimin ketika awal Era Empayar.”

Qutuz mengacukan tongkatnya kepada Markov, katanya, “Kamu bukannya musafir biasa, bukan?”

“Ya, datuk, saya seorang ejen perisik Galaksi Muhsinin.”

Mata Kamal semacam sudah semakin terbiasa terbeliak. Mujur dia sihat jantungnya masih normal. Cuma hormon adrenalin seringkali dipam oleh badannya. Ia mencelah kerana terkesima terkesima, kaget, jeritnya, “Apa! Mengapakah engkau tidak beritahu awal-awal? Aku sudah menempah maut!”

“Engkau juga yang telah bersetuju untuk berhijrah ke sana!”

“Mana aku tahu semua ini! Ah, aku sungguh menyesal. Aku mahu balik!”

Datuk mengangkat tongkatnya mahu memukul Kamal, “Kamu diam! Saya mahu penjelasan dariapada dia, bukan awak! Ceritakan, wahai anak muda.”

Markov menyambung bicaranya, “Saya sedang mencari artifak yang amat penting, sebelum pihak Zion dan sekutu mereka menjumpai artifak itu. Mereka telah mengenalpasti artifak itu dan mencarinya di serata sektor di alam semesta ini, dengan ejen-ejen licik mereka.”

“Sejak zaman-berzaman, mereka tidak akan berhenti sehinggalah kita melutut menyerah diri kepada mereka!”

Datuk itu diam, “Mungkin juga kalian adalah seperti dalam mimpi saya. Satu tahi bintang terhempas dan membakar planet ini. Tetapi tiba dua orang yang datang dan membawa cahaya yang gemilang, sehingga cahaya itu menelan api yang memusnahkan. Kemudian cahaya itu terus pergi menjelajah menembusi angkasa dengna membawa sesuatu padanya. Firasat saya merasakan kalian berdua adalah pembawa cahaya itu.”

“Datuk Qutuz ini bukan sembarangan orang,” bisik Markov.

“Tuan, bagaimana pula tentang tahi bintang?”

“Kamu dikejar oleh flotila Empayar Sibernatik Cyborg, diketuai oleh Mejar Gros, bukan?” Markov tersentak.

“Mejar Gros? Siapakah itu? Adakah komander yang menyerang kami?” Markov kehairanan.

Tuan Qutuz tersenyum. Markov terasa jengkel. Ia berbicara, “Mereka akan tiba di orbit tidak lama lagi. Kita harus bersedia sekarang! Kita tidak boleh biarkan mereka dapatkan pecahan artifak cakera itu!”

Markov berasa hatinya diimbas, “Adakah orang tua ini terbuka mata hatinya, dapat menembusi hati orang lain?” Katanya, “Datuk sebut tentang cakera? Adakah itu artifak yang saya maksudkan?”

Datuk mengangguk, ia berseru, “Benar, anakku. Generasi kami telah diamanahkan untuk melindungi artifak cakera yang akan diberikan hanya kepada generasi Muhsinin! Ayuh, kita persiapkan pertahanan!” Mereka berlari menuju ke barisan pertahanan. Kamal serba salah. Mulanya ia enggan. Tidak ada orang lagi bersamanya.

Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105


“Mejar Gros, melaporkan trajektori terowong anjakan relativiti shuttle musuh dikesan di sektor ini. Terdapat sebuah stesen pangkalan angkasa di hemisfera utara. Proba spioneeren mendapati bahawa shuttle musuh terhempas dalam radius dua kilometer daripada stesen,” lapor cyborg taktikal.

Mejar Gros, seorang cyborg komander handalan sepertimana Jeneral Furious. Mereka adalah paduan antara manusia dan mesin yang mengetuai tentera mekanikal Empayar Sibernatik Cyborg pimpinan Maharaja Legion. Sistem pernafasan dibantu dengan respirator berpenapis. Wajah manusianya bertopengkan dengan kerangka tengkorak cyborg. Menghilangkan rupa asalnya sebagai seorang manusia. Ia masih diam bertafakur. Setiap laporan diterima dan dianalisanya dengan teliti. Dia bukan Jeneral Furious yang angkuh lagi terburu-buru. Ia telah dikalahkan oleh sekumpulan musuh yang kecil sahaja di Planet Hadid Hd-57. Dia adalah Mejar Gros.

“Mejar Gros, arahan?”

Mejar Gros masih diam. Peta hologram semesta bersalut permukaan warna merah diamatinya betul-betul. “Plotkan koordinat ini. Musuh pasti ada jejak bukti serpihan artifak. Lagenda mengatakan, terdapat lima serpihan artifak yang bertaburan di semesta ini. Cantuman itu akan menghasilkan kuasa yang tiada tandingan. Lancarkan skuadron Auge dan Geier untuk menggempur stesen. Skuadron Vormund pula untuk rondaan perimeter Haspodar. Sediakan satu kompeni marin mekanikal. Mereka tidak akan terlepas kali ini!” Mejar Gros menggenggam buku limanya lantaran dendam.

“Galaksi Muhsinin, aku akan pastikan koloni Athens mendapatkan maruahnya kembali. Revolusi Navarino 1829 akan berulang lagi, oleh patriot Navarino sepertiku! Setelah kelima-lima pecahan artifak cakera lagenda, segalanya akan menjungkar-balikkan kamu semua! Neo-Konstatinopel akan muncul di sebalik puing-puing runtuhan tamadun yang engkau bina! Hanya dengan itu, Fajar Renaisans akan muncul kembali!”

Mejar Gros seumpama tidak peduli apa yang berlaku di dek pemerintah. ia berkata kepada dirinya, “Pedulikan Algoritma. Apabila pecahan artifak cakera itu ditemui kelak, Empayar juga akan bercerai berantakan! Algoritma tidak akan mempu mempengaruhi kehebatan aku sebagai ejen Navarino!”

“Mejar Gros, semuanya telah sedia. Arahkan pelancaran?”

“Mulakan serangan!” seru Mejar Gros. Tentera mekanikal telah dilancarkan. Ia memerhatikan jalur-jalur api tercoret apabila gerombolan tangan-tangan jahatnya menembusi atmosfera.

Ikrar Mejar Gros, “Artifak cakera akan jadi milikku!”


Bersambung, insya-Allah...

Thursday, December 8, 2011

Hologram Hijrah(2): Menjejak Artifak Cakera

Sempena Maal Hijrah 1433H Tiga Tahun Penerbitan Galaksi Muhsinin (2008-2011)

Episod (1):Hologram Hijrah

Alam semesta yang maha luas tidak ketahuan mana hujung mana pangkal tiba-tiba disinari oleh coret-coret putih. Kemudian coret-coret itu menyilau, lalu satu letupan yang dahsyat menjelma. Kemudian coret-coret itu hilang serta merta.

“Koordinat alif-330, ya-48 sod-72. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Selamat keluar daripada terowong anjakan relativiti.” Insan itu kaget seketika. Tidak putus-putus lidahnya mengucap syukur atas kebesaran Ilahi. Betapa kerdil dirinya berhadapan dengan kekuasaan Tuhan yang Maha Esa. Dari tetingkap kokpit, sinar bintang-bintang, galaksi, debu nebula serba warna-warninya memukau pandangan. Keindahan tidak terucap, tiada taranya. Semuanya disusun dengan harmoni. Tidak lain tidak bukan, semuanya aturan Tuhan Sang Perkasa Maha Pencipta.

Katanya dengan linangan air mata, “Syukur kepada-Mu, ya Allah. Engkau masih memberi peluang untuk kami mengembara jauh untuk ke Galaksi Muhsinin. Dan memberi izin ketemu Muharram!”

“Semoga hijrah kami ini engkau terima ya Allah! Semoga hijrah ini membawakan kami bergabung bersama orang-orang yang mencintai Engkau dan kekasih-Mu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam!”

“Aku mengharapkan perjalananku dalam jalur yang betul, ya Allah. Moga-moga artifak cakera itu ada di sini... sebelum mereka mendapatkannya. Itu adalah amanahku. Galaksi Muhsinin dalam bahaya jika mereka mendapatkan satu persatu..”

Di hadapannya ada sebuah planet sederhana besar. Jantungnya masih berdegup kuat. Wajahnya dibasahi titik-titik peluh. Salah satu kekunci di siling kokpit berkelip-kelip dengan cahaya warna merah.

“Allah... ” ucapnya. Ia menekan satu butang panduan otomatik untuk memasuki ruang orbit planet tersebut.

Seorang lagi insan masih belum terjaga. Ia pengsan tadi dek tidak sanggup berdepan dengan aksi junaman, menuver luar biasa yang mustahil dilakukan. Gegaran susulan keluar daripada terowong anjakan relativiti tadi membuatkan ia bangun. Lalu ia tersentak, “Hah! Apa yang telah berlaku?” tanya ia dengan nada cemas.

“Markov! Cuba jelaskan kepada aku. Siapakah mereka? Mengapakah kita dikejar? Mengapakah kita ditembak? Kita di mana?” Kamal menjerit. Markov tetap tenang walaupun muram mengemudi Ansar-M. Masalah kekunci tadi menghantuinya.

Jerit Kamal kebingungan, “Di manakah kita? Ah! Apakah ini? Banyaknya bangkai kapal!” Hampir-hampir sahaja Markov hilang sabar, tetapi cuba untuk tenang. Kelam-kabut tidak akan menyelesaikan masalah.

Katanya, “Kita akan mendarat di planet ini dahulu. Pacuan anjakan terowong relativiti shuttle kita mengalami kebocoran. Agaknya tembakan mereka agak tepat tadi. Kita harus bersembunyi di sini dahulu. Mereka akan menjejak kita. Pacuan kapal kapital mereka lebih berkuasa. Jika diteruskan juga, mungkin kita tidak dapat terlepas kali ini.”

Markov mengemudi Ansar-M dengan berhati-hati melintasi serpihan-serpihan gergasi yang terapung di orbit planet. Kuasa shuttle yang semakin menurun itu harus diambil berat kerana kehilangan kuasa membawa risiko ditarik oleh daya graviti planet.

Fikirannya menumpukan perhatian kepada penerbangan mereka. Katanya dalam hati, “Mungkin di sini dahulu pertempuran hebat berlangsung sebelum koloni berhijrah ke Galaksi Muhsinin? Imbasan menunjukkan bahawa terdapat sebuah stesen angkasa yang masih beroperasi. Tetapi tidak ada tanda-tanda sesiapa pun. Barangkali ada orang di sana. Mungkin benar, inilah tempatnya. Firasatku berkata demikian.”

Tempik Kamal yang menggelabah, “Apa? Siapakah mereka?” Markov menoleh sebentar.

“Jaga!” tempik Kamal lagi. Sebuah serpihan besar di hadapan mereka. Markov melakukan menuver lincah untuk mengelak.

Di hadapan sudah tidak ada serpihan lagi. Ansar-M menuju ke planet. Daripada panel kawalan, Markov sudah merasakan tarikan daya graviti planet tersebut. Shuttle bergegar semakin kuat.

Jawab Markov, “Mereka adalah tentera mekanikal Maharaja Legion, Empayar Sibernatik Cyborg. Skuadron musuh tadi mungkin daripada flotila peronda mereka. Kita terpaksa keluar daripada terowong anjakan relativiti dan melencong melalui jalan lain dahulu.”

“Mengapakah mereka kejar kita? Kita tidak bersalah. Lagipun kita daripada jajahan mereka juga.”

“Mereka sedang memburu saya.”

Mata Kamal terbeliak. Dirinya terperanjat, “Apa?”

Suhu penebat luaran Ansar-M meningkat dengan mendadak. Geseran antara zarah-zarah atmosfera planet dengan pelapis seramik menyebabkan luaran shuttle seolah-olah terbakar. Kapal angkasa tersebut bergegar sambil menjunam. Laksana sebuah tahi bintang yang jatuh menuju permukaan, bayang-bayang terhempas terkadang menjelma.
Balas Markov dengan tenang, “Jangan bimbang, nanti saya jelaskan. Pasangkan tali keledar. Nanti kamu melambung pula.”

Shuttle Ansar-M bergoncang kuat. Beberapa kekunci berdering kuat dan berkelip-kelip lampu merah. Ada sesuatu yang tidak kena. Ia menekan panel kawalan otomatik dan memprogram koordinat menuju ke arah satu stesen angkasa. Panel kawalan tidak berfungsi. Ia memegang erat panel panduan. Altitud jatuh dengan mendadak.
Pesawat menjunam laju.

“Mungkinkah ini stesen musuh atau sahabat?” Markov tidak pasti siapakah di sana. Hanya kepada Tuhan ia berserah. Permukaan kasar planet itu pandangan terakhirnya sebelum Ansar-M terhempas di bumi asing.

Markov terjaga dek sinar bintang. Kepalanya berpinar-pinar. Badannya terasa sengal-sengal. Dilihatnya Kamal terhumban dari kerusinya. Tiba-tiba kokpit bersuara, “Sistem pengudaraan Ansar-M tidak stabil. Planet ini mempunyai kandungan atmosfera 59 peratus, kurang daripada had minima manusia dapat bernafas. Berlaku kebocoran di sektor kompartmen kargo. Sila pasangkan alat respirator anda dalam kiraan 360 saat.”
“359... 358... 357...” kiraan itu terus berdetik. Markov sedaya upaya memasang sut tempur dan helmetnya. Badannya masih terasa lemah.

Pembantu Visual Elektronik, program sut dipakai Markov berbunyi, “Sistem Dirr-ECM/Aj separa penuh. Hanya armor torso dan abdomen diaktifkan. Sistem respirator berfungsi sepenuhnya.”

Kata Markov, “Aktifkan sut ini ke seluruh badan.” Plat-plat armor keluar dan tersusun dari armor torso, bagaikan sisik-sisik waja pada zirah pahlawan Islam dahulu kala. Armor tersebut merebak sehinggalah ke seluruh badan. Pengaktifan ini berlaku dalam beberapa saat sahaja.

Kiraan detik kehabisan oksigen semakin menurun dengan mendadak. “Kebocoran berlaku di sektor kebuk kuasa dan kompartmen penumpang. Kiraan menjadi “100... 99... 98...”

Kamal sudah terbatuk-batuk. Ia terbangun. Dadanya terjungkat-jungkit kerana kekurangan udara. Ia meraung-raung meminta pertolongan. Markov segera mendapatkan alat respirator dan memberikan kepada Kamal.

Setelah Kamal beransur tenang, ia memarahi Markov, “Engkau mahu bunuh aku? Mengapa engkau tidak berikan aku alat respirator segera?”

Markov enggan bertengkar, “Ayuh. Kita harus begerak. Stesen yang saya beritahu tidak jauh dari sini. Hanya dua kilometer.”

“Apa? Dua kilometer? Itu jarak yang jauh! Engkau ada bawa kenderaan?” kata Kamal sambil memandang stesen di hujung ufuk.

“Ayuh! Kita sudah tidak ada masa! Hari sudah hampir gelap. Pasangkan armor dan helmet ini. Kita jalan kaki. Lekas pasangkan sut suvival!”

Kamal memasang sut survival sambil merungut. Markov menutup sahaja radio interkomnya buat sementara. Bebelan rakannya hanya memeningkan kepala. Ia bergegas ke kompartmen kargo untuk mendapatkan kelengkapan.

Mereka berjalan ke arah bangunan di satu sudut sana. Markov terlihat satu objek silinder terlekap di sisi pinggang kanannya. Ia menggengamnya dan meramas lima punat. Lalu terpancarlah satu bilah cahaya yang panjang dan berlengkuk di hujung. Ujarnya, “Saifaion.” Mereka meneruskan perjalanan. "Adakah mungkin artifak itu ada di stesen ini?" hatinya berbisik.


Bersambung, insya-Allah pada Jumaat malam, 9 Disember 2011...