[Tahun 2205]
Curie, bulan Planet Bavatros,
Galaksi Titania, jajahan Empayar Sibernatik Cyborg
“Markov, apa sudah jadi dengan dunia ini?” Kamal mengadah ke langit. Dia bersama sahabatnya Markov berada di atas bumbung rumahnya. Di langit tampak Planet Bavatros.
“Kenapa, Kamal?”
“Entahlah, saya rasa sangat jemu, meluat, kekosongan. Tidakkah awak merasa keadaan sekitar kita? Keadaan orang-orang di bulan ini? Itu tidak lagi dengan kebejatan di Planet Bavatros. Tentunya orang-orang sekarang mabuk menari di kelab-kelab, ataupun menonton filem ataupun membuat perbuatan tidak senonoh di jalanan?”
Markov diam. “Kenapa, Markov? Tidak adakah jalan keluar?”
“Benar, Kamal. Zaman sekarang banyaknya taghut. Banyaknya berhala-berhala yang disembah manusia. Wang adalah segala-galanya, sebagai ukuran kehidupan. Seolah-olah wang penentu takdir. Agama hanyalah menjadi bahan ritual sahaja. Terkadang menjadi bahan komedi,” jawab Markov.
Kamal berkata, “Nafsu dipertuhankan. Zina menjadi kebiasaan. Runtuhnya akhlak, bejatnya moral. Gabenor dan kuncunya pula korup belaka. Tamadunnya maju, bangunannya tinggi, tetapi moral masyarakat tidak ubah seperti binatang.”
Kamal mengeluh, “Jahiliah digital.”
Kata Kamal, “Tidak adakah jalan keluar? Sungguh, seolah-olah tidak ada cahaya lagi. Kita yang ingin hidup dengan bersih suci, tidak dapat tidak menerima tempias kotoran-kotoran ini. Adakah masih ada jalan keluar?”
“Kerosakan dihadapi ini adalah tanda-tanda kita berada di akhir zaman. Dunia seolah-olah bersedia menunggu kedatangan Dajjal. Berdoalah agar kita tidak berada di zaman itu. Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam berpesan, Dajjal adalah fitnah yang besar,” ujar Markov.
“Bagaimanakah caranya?” tanya Kamal. Katanya lagi, “Engkau tahu?”
Markov mengeluarkan gajet. “Bukankah itu gajet hologram?” Kamal bertanya. Ia kehairanan melihat alat kecil di tangan Markov.
Markov mengangguk, “Mari kita berhijrah, Kamal. Inilah masanya.”
“Hijrah ke mana? Ke mana harus aku pergi. Bulan inilah tempat kelahiran aku. Keluarga aku semuanya telah dibunuh oleh Maharaja Legion, kononnya bersubahat dengan pemberontak koloni planet jiran.”
“Syukur kepada Allah, engkau masih hidup untuk meneruskan perjuangan.”
“Kita berhijrah ke sini,” kata Markov.
“Hijrah ke mana?”
Kedua-dua mereka memandang ke langit. “Tempat yang jauh lebih baik daripada di bulan ini, atau Planet Bavatros yang kita lihat sekarang atau di mana-mana sahaja di semesta ini. Di situlah syurga dunia. Di situlah tempat damainya hati. Di situlah letak tingginya nilai budi dan maruah. Di situlah tidak ada percakapan sia-sia. Di situlah manusia saling menghormati antara satu sama lain. Dan, umatnya bersatu menyembah Tuhan yang satu. Tidak ada yang tertindas, walaupun orang bukan Islam. Semuanya dipateri oleh satu ikatan…”
“Khabarnya seperti utopia sahaja.”
“Ya, memang bunyinya seperti utopia. Terlalu idealistik, terlalu sempurna. Tetapi, apa yang saya sebutkan adalah benar dan realiti. Kegemilangan zaman dahulu telah dibina semula. Suasananya adil seperti zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Ilmunya berkembang bak zaman Baghdad dan Andalusia. Obor jihad menyala bak zaman Salahuddin al-Ayyubi.”
“Wah, bagaimanakah dapat kita ke sana?”
“Hendak ke sana, sahabat, bukannya senang. Perjalanannya jauh dan sukar.” Markov menekan punat pada gajet hologram gas. Zarah-zarah biru bergerak dari titik pemancarnya. Zarah-zarah yang pada mulanya bergerak secara rawak kemudian tersusun membentuk imej gugusan galaksi. Zarah-zarah lebih jelas lagi dengan pemancaran sinar biru. Hologram gas selesai melakukan tugasnya.
“Wah, teknologi apakah ini?” Kamal kehairanan.
Markov diam. Gajet mengeluarkan paparan menu. Abjad-abjad dan simbol-simbol rapi terapung di atas gajet. Markov menggerakkan jarinya kepada pilihan menu peringatan ‘Hijrah.’ Sejurus selepas itu, garisan-garisan cahaya bergerak dari satu titik ke satu titik, dari satu bulatan galaksi ke bulatan galaksi yang lain.
“Inilah hijrahku dan hijrah kita. Inilah lintasan yang akan kita lalui. Dari planet ini, bergerak keluar dari galaksi ini, kemudian singgah di Galaksi Yucca, Galaksi Extensor, Galaksi Pavlovia, Galaksi Thylakuid dan seterusnya, ke galaksi destinasi kita. Perjalanan ini terlalu jauh dan berbahaya, sahabat. Kita akan melalui jajahan Empayar Sibernatik Cyborg. Di setiap tempat juga, Liga Lanun berada di mana-mana sahaja, di luar kawalan Empayar.”
Kedua-dua mereka membisu sebentar, Markov bersuara, “Galaksi inilah yang telah menewaskan tentera mekanikal Empayar dan Konfederasi Reconquista. Maharaja Legion kalah teruk, beberapa bulan yang lepas.”
“Apa? Mustahil tentera mekanikal Maharaja Legion dikalahkan! Jika benar, tentulah mereka benar-benar hebat!”
“Kamal, kemenangan semuanya daripada Allah. Bebaskanlah diri engkau daripada didikan penjajah itu. Fikiran rendah diri telah ditanam sekian lama. Kita dilahirkan bebas merdeka. Kita hanyalah hamba kepada Allah, Tuhan yang Esa.”
“Oh... terima kasih atas nasihat. Kami di sini tidak tahu menahu berita ini. Dunia Bavatros ini benar-benar terpisah daripada dunia luar kerana telah mabuk hiburan. Saya sudah muak dengan semua ini.”
“Kalau begitu, eksperimen Empayar telah berjaya. Planet Bavatros dan bulan ini adalah salah satu sistem yang tidak pernah memberontak. Kerana mereka telah disogok dengan segala macam perkara songsang yang ada. Gabenor pula digula-gulakan dengan pelbagai kemewahan,” komen Markov.
“Kenapa kita tidak melalui Galaksi Bimasakti? Bukankah itu lebih dekat?”
“Kerana Kesatuan Antarabangsa Bumi telah dikuasai oleh orang Zion. Mereka mengehadkan keluar dan masuk orang Islam di Bumi. Mereka tidak mahu kekuasaan mereka tergugat.”
“Awak tidak jawab soalan saya tadi, apakah teknologi gajet yang awak guna?” tanya Kamal.
“Senang sahaja. Mahu tidak mahu percaya, inilah bukti kewujudan galaksi yang kita akan hijrah. Teknologi ini berasaskan daripada ayat ketiga Surah Saba’ dan ayat 35 Surah Nuur. Teknologi ini berasaskan zarah dan cahaya.”
“Wah, canggih sungguh.” Kamal terlopong.
“Ayuh, mari kita hijrah. Hijrah diri kita kepada kebenaran dan keadilan. Kepada jalan menuju Tuhan. Kepada jalan mencintai orang yang sangat mencintai kita, Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Ayuh, mari kita berangkat. Saya sudah aturkan shuttle kita.”
“Sebelum itu, adakah kita akan kembali ke sini? Suatu hari kita mesti ubah kerosakan ini.”
“Tanamkanlah niat untuk kembali ke sini. Kita perlu bina kekuatan. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita, Tuhan akan bantu. Semoga Allah bersama kita! Amiin!”
“Apakah nama tempat yang kita tuju?”
Bibir Markov mengukir senyuman. “Galaksi Muhsinin, penyambung warisan Misi Rahmatan lil ‘Alamin...”
Disambung kepada episod kedua Siri Hologram Hijrah: Menjejak Artifak Cakera
NOTA: Ilustrasi kedua dalam entri ini disalin daripada Studio Inspirasi
1 comment:
Terasa seolah-olah berada di alam iut. Berada dia alam khayalan yg berada di atas pundak perjuangan menuju ke Syurga:
Bila diseru "Udkhuluha bi salamin amin,"maka berakhirlah perjuangan itu.
Selamat berkarya.
Post a Comment