Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, November 21, 2011

[Tema] Hero Anarkis


Watak dan perwatakan sangat dinamik sifatnya. Fiksyen sains dan fantasi (dirangkum sebagai saifai) menyaksikan kelainan dalam pembawaan watak berbanding genre lain. Mutakhir ini, kemunculan ‘Hero Anarkis’ memperlihatkan penerimaan perspektif baru perwatakan. Hero Anarkis ini merujuk kepada hero yang menjadi watak utama pada asalnya baik akhirnya menjadi jahat. Lantas ia menjadi sang anarkis yang lebih menghuru-harakan keadaan.

Definisi Hero dan Anarkis

Menurut buku Teori Surah Yusuf: Panduan Menulis Novel susunan Puan Ainon Mohd., teori klasik novel membahagikan watak utama kepada dua, iaitu watak putih dan watak hitam (p. 109). Secara umumnya, watak utama juga watak putih digelar sebagai hero ataupun protagonis. Norma hero adalah watak baik yang memiliki sifat-sifat terpuji serta memperjuangkan kebaikan menghadapi cabaran. Manakala watak anti-hero yang digelar sebagai antagonis adalah watak melawan arus kepada watak hero. Watak antagonis inilah yang sering menimbulkan masalah dan cabaran kepada watak-watak hero.

Namun demikian, setelah melalui proses yang panjang, teori novel Barat baru menganggap bahawa watak-watak yang tidak ideal boleh dijadikan watak utama.

Anarkis dalam Kamus Dewan (digital, 1996) bermaksud orang yang hendak menimbulkan keadaan huru-hara ataupun kekacauan. Jika digabungkan dua istilah ini, berlaku bertembungan maksud kedua-duanya. Pertama adalah hero yang menjadi paksi kebenaran, manakala Anarkis adalah orang yang menimbulkan kekacauan.

Hero Anarkis menurut kerangka Saifai Islami adalah watak protagonis yang asalnya baik tetapi berakhir menjadi antagonis dan memberikan kemenangan moral kepada kejahatan. Hero Anarkis itu lantas menyalahkan kebaikan, lantas memilih jalan kejahatan demi mencapai kepercayaan hidupnya. Kebaikan dihukum, dibunuh dan diseksa. Hero terus bergelumang dalam kegelapan dan tidak berpaling lagi.


Hero Anarkis dan Saifai Barat

Hero Anarkis merupakan fenomena teori novel baru Barat dalam lapangan saifai. ‘Pertukaran warna’ watak hero putih menjadi hitam semakin popular. Terdapat kecenderungan yang ketara, apabila karya (terutama Barat) semakin mengetengahkan Hero Anarkis. Menurut Teori Surah Yusuf yang merupakan aliran penulisan kreatif PTS, Hero Anarkis ini dilarang untuk diangkat. Mengagungkan hero yang dahulunya seorang yang baik, kemudian berubah menjadi pejuang kejahatan adalah sesuatu yang tidak tergolong dalam ciri ‘Sastera Hasanah’ yang indah. Melainkan satu syarat, iaitu hero itu berubah kembali ke pangkal jalan. Sebelum kita membaca sepintas lalu contoh-contoh Hero Anarkis, eloklah kita membicarakan sebentar tentang ciri umum hero-hero tersebut.


Karakteristik Umum Hero Anarkis

a.Asalnya merupakan seorang yang baik dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengalahkan kejahatan.

b.Akan ada watak antagonis yang licik berusaha untuk memenangi hero agar memihak kepadanya dengan cara helah. Antara cara pihak antagonis memerangkap adalah dengan menawarkan kuasa / keupayaan yang sangat hebat untuk menyelesaikan masalah, tetapi dengan ganti mengorbankan dirinya sendiri kepada kejahatan.

c.Tampaknya dengan memiliki kuasa itu, hero dapat menyelesaikan masalah.

d.Titik perubahan Hero Anarkis adalah apabila ia merasa tertipu kepada pihaknya sendiri akibat helah antagonis. Ini mengakibatkan hero menderita.

e.Dalam keadaan tersesak, hero menerima pelawaan antagonis demi menyelamatkan orang lain.

f.Hero menjadi Hero Anarkis. Ia akan memperjuangkan kejahatan dan kegelapan yang ia perangi selama ini, dengan apa cara sekalipun. Caranya adalah, “Matlamat menghalalkan cara.”

g.Tidak ada jalan pulang kepada Hero Anarkis. Ia akan terus-menerus menjadi paksi kepada kejahatan.

Mari kita lihat beberapa Hero Anarkis ini dalam karya-karya fiksyen sains dan fantasi, di kalangan pengkarya Timur dan Barat:


1.Fantasi

Terdapat beberapa karya fantasi yang membawakan Hero Anarkis. Antaranya adalah Arthas (game Warcraft) Sasuke (anime Naruto), game Prince of Persia: Two Thrones, Peter Parker (filem Spiderman 3) dan Sepiroth (animasi 3D Final Fantasy VII: Advent Children). Kita bawakan beberapa karya berdasarkan keunikan tema masing-masing.

Warcraft: Arthas

Dalam saga Warcraft, Hero Anarkis yang dimaksudkan ialah Putera Arthas. Beliau merupakan putera mahkota Kerajaan Lorderon di benua Azeroth, yang diterajui oleh Raja Manathil. Putera Arthas merupakan seorang kesatria Paladin yang gagah, berani dan memiliki kecintaan yang mendalam terhadap rakyat jelata dan tanah air. Di sebalik kecekalan beliau menegakkan kebenaran, beliau adalah seorang yang kurang sabar dan pendendam terhadap musuhnya.

Dipendekkan cerita, demi menyelamatkan rakyatnya daripada ancaman pihak ‘Undead,’ Arthas telah ‘mengorbankan’ jiwanya sebagai galang ganti kepada sumpahan pedang Frostmourne

Pedang lagenda tersebut disebut sebagai pedang yang sangat berkuasa mengalahkan musuh. Hakikatnya, selama ini ia telah diperangkap oleh entiti bernama Lich King agar membebaskannya daripada belenggu ‘Takhta Beku’ ataupun Frozen Throne. Akibatnya, Arthas hilang sifat kemanusiaan dan menjadi antagonis utama dalam jalan cerita Warcraft III.


Sasuke, Prince of Persia dan Spiderman 3

Ketiga-tiga Hero Anarkis ini mempunyai persamaan, iaitu mereka terjerumus langsung atau terjerumus kepada kejahatan buat sementara waktu. Mereka juga memiliki kuasa yang luar biasa apabila ‘menyeberang’ kepada sisi kuasa kejahatan. Adakalanya mereka terpengaruh dengan bisikan-bisikan jahat kuasa tersebut. Adakalanya juga mereka berjaya menguasai diri dan menyelamatkan keadaan.

Dalam game Prince of Persia: Two Thrones (PoP) dan Spiderman 3, hero tersebut tanpa sengaja telah ‘dijangkiti’ oleh bendasing yang cuba menguasai mereka. PoP telah dijangkiti oleh magis Sand of Time yang merebak di seluruh badannya. Ia boleh bertukar kepada Putera Gelap (Dark Prince) yang angkuh, bongkak dan pendendam. Manakala Spiderman 3, satu entiti lekit dari angkasa lepas telah menjangkiti Peter Parker menjadikan ia Spiderman gelap yang seperti juga PoP.

Ciri Sasuke pula berlainan sedikit. Setelah memiliki kuasa yang diberikan oleh orang-orang ‘Sound Four’ Orochimaru, kuasanya Curse Seal telah menjangkiti seluruh badannya. Begitu juga bertukar sifatnya semakin angkuh dan bongkak. Naruto tidak berjaya mendapatkannya (saya mengikuti cerita Naruto sehingga tahap ini sahaja).


2.Fiksyen sains

Terdapat beberapa contoh Hero Anarkis dalam karya-karya fiksyen sains. Dalam senarai adalah Darth Vader (trilogi Star Wars)Paul Atreides ‘Muaddib’ (novel DUNE), Queen of Blades (game Starcraft) dan Zero (anime Code Geass: Lelouch of the Rebellion).

Starwars: Anakin dan Darth Vader


Jika disebut Hero Anarkis ini, tidak perlu diperkenalkan lagi kerana identitinya sangat masyhur. Bahkan ia adalah watak simbolik kepada kejahatan di Hollywood. Ia adalah Darth Vader, seorang separuh manusia, separuh mesin memakai sut serba hitam. Wajah pemiliknya diliputi topeng aura kejahatan. Ia merupakan tangan-tangan kegelapan Empayar Galaktik yang telah memusnahkan Order Jedi melalui komplot Order 66 Canselor Palpaltine.

Nama asal Darth Vader ialah Anakin Skywalker, seorang budak genius yang memiliki keazaman serta keberanian yang tinggi. Beliau menjadi perhatian Majlis Jedi kerana keupayaan dan kuasanya yang luar biasa. Juga, beliau dianggap sebagai ‘The Chosen One’ ataupun insan terpilih yang diramalkan oleh kaum Jedi terdahulu yang akan memberikan kembali imbangan kepada Force. Akan tetapi, beliau akhirnya telah diperangkap oleh seorang Sith Lord, Darth Sidous dengan samaran Canselor Palpatine menerajui Republik Galaktik.

Bimbang dengan isyarat mimpi Anakin bahawa isterinya Padme akan mati setelah melahirkan anak mereka, beliau termakan hasutan Darth Sidous. Anakin meyakini bahawa sisi gelap Force, ‘Dark Side’ dapat menyelamatkan Padme melalui Sith Lord tersebut. Akhirnya, Anakin telah dipengaruhi sepenuhnya oleh Dark Side dan menjadi seorang Sith yang amat jahat dalam episod kemuncak Episode III: Revenge of the Sith.

Jika kita teliti dalam buku Star Wars: The Ultimate Visual Guide, Special Edition, berlaku corak yang seragam. Dalam latar Saga Star Wars yang amat luas merangkumi kerangka 25,000 tahun, berlaku naik turunnya kegemilangan antara Jedi dan Sith. Kaum Jedi yang baik seringkali dipengaruhi oleh pengaruh kuasa gelap Force dan berpaling menjadi seorang kesatria Sith.


Hero Anarkis dan Model Iblis?

Saya menekur, mungkinkah cerita Hero Anarkis ini ada dalam al-Quran. Pada pendapat saya yang cetek ilmu ini, Hero Anarkis mirip kisah kisah Nabi Adam a.s dan Iblis. Iblis ataupun namanya Azazil berasal-usul merupakan seorang daripada bangsa jin bersama para malaikat. Ia merupakan seorang yang soleh dan sangat kuat beribadah.

Akan tetapi ia terjerumus ke lembah kesombongan dan kedengkian apabila ingkar perintah Allah. Iblis enggan untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Ini kerana ia mendakwa bahawa dirinya yang diciptakan daripada api lebih baik daripada Nabi Adam a.s yang dibentuk daripada tanah. Maka terkutuklah ia, menjadi musuh yang nyata bagi manusia. Musuh yang memperdayakan. Ia meminta nyawa yang panjang, ditangguh kematiannya sehingga Hari Kiamat. Iblis akan menggugat manusia agar ingkar, menyekutukan-Nya, mencantikkan pandangan dunia, memalingkan manusia daripada Tuhan. Kes ini terjadinya dalam sejarah, munculnya manusia seperti kaum-kaum yang pupus diazab Allah S.W.T.
Sephiroth, Hero Anarki Final Fantasy VII: Advent Children

Kewujudan iblis dan bala tenteranya memberi signifikan bahawa pertentangan antara baik dan jahat tidak akan berakhir dan bersifat abadi sehingga Hari Kiamat. Kisah ini diceritakan sebagai tauladan untuk kita sempadani.

Dalam konteks penulisan, adakah kita mahu menyanjung Hero Anarkis, yang sekali gus mengiakan kejatuhannya? Jika kita memenangkan kejahatan, tidakkah itu tidak ada beza dengan mengangkat model Iblis sebagai contoh? Di manakah kita meletakkan moral dan etika terpuji dalam karya kita jika kita sendiri seolah-olah menghukum kebenaran? Bukankah kita seharusnya yang menayangkan etika dan akhlak kita dalam karya kita?


Hero Anarkis dan Teori Surah Yusuf

Berdasarkan Teori Surah Yusuf, menjadi matlamat penulis untuk menghasilkan Sastera Hasanah yang indah. Sastera Hasanah bermaksud:

‘Sastera hasanah adalah sastera yang membawa kebaikan kepada pembacanya dan kepada masyarakat, tanpa mengambil kira latar belakang pengarangnya dan mutu ke’sastera’annya (p. 1).’


Sastera Hasanah merupakan ‘karya kreatif yang selaras dengan hukum-hakam agama kita, dan sesuai dengan nilai-nilai murni universal dapat diterima sebagai bagus bagi disebarluaskan dan dimanfaatkan.’ Hero Anarkis tergolong dalam ciri keempat (4) sastera tidak hasanah, iaitu:


“Memberikan kemenangan moral kepada si pendosa, yakni watak tang melakukan perbuatan salah”


Mengangkat Hero Anarkis bermakna memberikan kemenangan kepada kejahatan. Sebagai contoh, watak-watak yang jahat yang menindas watak baik pula akhirnya meraih kemenangan dan kesenangan. Watak baik pula dihukum kerana kebaikannya. Hal ini menyangkut kepada fahaman realisme, iaitu ‘menceritakan apa-apa sahaja sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat.’ Saifai masih relevan pada dasar ini kerana pengkarya menghasilkan saifai berdasarkan kepada realiti yang dilihatnya di dunia nyata.

Dalam bab ‘Kemenangan yang Indah pula,’ Puan Ainon menggariskan bahawa dalam teori surah Yusuf, kemenangan moral tidak boleh diberikan kepada watak-watak hitam.’ Terdapat lima isi penting dalam kupasan tersebut, iaitu (pp. 53-56):

a. Watak jahat tidak boleh dijadikan hero
b. Watak jahat tidak boleh diberikan kemenangan
c. Watak jahat tidak boleh terus dibiarkan berada dalam kejahatan
d. Pengarang tidak boleh membela perbuatan yang salah
e. Watak baik tidak boleh dihukum atas kebaikannya
Hero Anarkis, Zero dalam Code Geass: Lelouch of the Rebellion
Secara ringkas menyentuh tentang ciri watak utama yang sepatutnya, berdasarkan Surah Yusuf, watak utama adalah seorang yang ideal, iaitu Nabi Yusuf a.s. Kisah baginda yang indah diwarnai dengan pelbagai mehnah dan cabaran yang genting sekali. Baginda telah ditimpa masalah demi masalah, namun dihadapinya dengan sifat-sifat yang terpuji.

Baginda sebagai tauladan sepanjang zaman memperlihatkan contoh yang unggul; ia tidak menjadi sebaliknya sepertimana menjadi seorang Hero Anarki. Baginda telah ditawarkan untuk bersenang-lenang bersama Zulaikha, tetapi baginda lebih bahagia memilih jalan yang selamat bagi dirinya.

Manakala watak antagonis pula (saudara Nabi Yusuf dan Zulaikha), makar mereka hanyalah sementara. Meskipun Nabi Yusuf merana akibat mereka, dengan kesabaran baginda melalui dengan jayanya. Kesemua watak antagonis akhirnya kembali ke pangkal jalan dan menjadi insaf sendiri. Anda boleh meneliti huraian selanjutnya pada mukasurat 52 sehingga 56 dalam buku Teori Surah Yusuf.
Pertarungan dua Hero Anarkis, filem animasi The Clone Wars, Star Wars
Tidak pasti adakah Star Wars menurut teknik karya yang indah ini, ada di kalangan Hero Anarkis ini kembali ke pangkal jalan. Terdapat dua kisah dalam Star Wars, iaitu Darth Vader telah ‘kembali’ kepada Jedi Order atas usaha anaknya Luke Skywalker. Ini kerana Luke merasakan masih terdapat kebaikan Anakin Skywalker dalam dirinya di sebalik topeng hitam Vader.

Manakala baharu dikenalpasti melalui majalah Star Wars Insider, seorang wirawan Jedi yang genius, bijak percaturan strategi dan komited mempertahankan keamanan bernama Revan telah tergelincir ke lembah Dark Side. Kisah Revan itu terjadi kira-kira 4,000 tahun sebelum Episod III: Revenge of the Sith. Ia bersama rakannya Darth Malak telah menghancurkan Repubik Lama (Old Republic) dan menubuhkan Empayar Sith. Setelah melalui pelbagai rintangan, akhirnya Revan ‘kembali’ ke pangkuan Jedi, meruntuhkan Empayar Sith dibinanya dan mempertahankan Jedi Order.

Sisi Lain Hero Anarkis

Kita telah menyentuh ciri-ciri Sastera Hasanah dalam subtopik terdahulu. Di ruangan subtopik ini menyajikan kelainan dan keunikan teknik pengolahan cerita di sisi yang lain Hero Anarkis.

Hero Anarkis akan menyulitkan plot. Jika sudut pandang cerita tersebut beralih kepada watak protagonis yang lain, hero baik tersebut akan semakin sukar memenangi konflik. Lazimnya Hero Anarkis semakin lama semakin berkuasa. Sehingga suatu tahap, ada Hero Anarkis merasakan dirinya seperti tuhan dan ingin terus berkuasa. Persamaan ciri ini dikongsi oleh kebanyakan Hero Anarkis saifai. Sifatnya bak firaun yang merasakan dirinya serba-serbi sempurna dan berkuasa tanpa batasan. Jelas sifat ini tidak bersesuaian dengan ciri Sastera Hasanah, iaitu ‘mempromosi idea yang mengatakan Tuhan tidak wujud (p. 1).’ Perkara ini disentuh sekadar contoh sahaja.

Misalan dalam saga Star Wars, bagaimanakah Luke Skywalker dan Rebel Alliance menghadapi cabaran raksasa Empayar Galaktik? Bagaimanakah menghadapi kekuasaan Darth Vader dan Maharaja Palpatine yang begitu berkuasa? Akhirnya ditentukan dalam episod akhir Episod VI: Return of Jedi.

Dan juga, dalam saga Starcraft, bagaimanakah gerombolan revolusioner Raynor Raiders menghadapi Maharaja Acturus Mengsk dan Terran Dominion, pada masa yang sama, menghadapi juga Queen of Blades yang mempunyai kekuasaan yang tidak terbatas? Cerita bertambah menarik apabila kita dibawakan bahawa Jim Raynor, pemimpin Raynor Raiders menghadapi cabaran itu dengan kelicikan beliau dalam mencatur strategi.

Juga dalam filem pendek ‘Tales of the Past III’, sebuah jalan cerita ‘sisi lain’ saga Warcraft, bagaimanakah bangsa Orc dan Alliance yang sedang bertelingkah dan berperang menghadapi kelicikan dan kekuasaan Lich King-Arthas? Dan adakah mungkin mereka berhasil menewaskannya walau dalam keraguan?

Persoalan tersebut menjadi persoalan yang besar kerana mereka menghadapi kekuasaan Lich King-Arthas yang tiada tandingan. Akhirnya, hero bernama Blazer (yang juga penuh dengan dilema peribadi) membawa pedang Ashbringer yang mengimbangi keadaan.

Segala persoalan ini menimbulkan misteri-misteri yang menarik untuk diceritakan. Hero baik yang baru terpaksa menghadapi Hero Anarki dengan kekuatan dan kelemahan yang terbatas. Oleh yang demikian, teknik ini dapat mengekalkan tempo pembaca untuk terus membaca dari satu babak ke babak yang lain.

Ya, Hero Anarki berpotensi menghasilkan jalan cerita yang unik. Bagaimanakah teknik penceritaan ini dapat diubahsuai selari dengan ciri Sastera Hasanah bergantung kepada kreativiti penulis melencongkan jalan cerita menjadi sesuatu yang lebih indah. Secara analoginya, kita ambil iktibar daripada pengharaman arak (dan sesuatu yang memabukkan, mengkhayalkan, yang berlanggar dengan tujuan ataupun maqasid syariah). Minuman yang diharamkan adalah satu jenis sahaja iaitu arak. Akan tetapi, Allah S.W.T yang Maha Pengasih memberikan pilihan minuman lain yang tidak terkira aneka ragam banyaknya. Kita sudah diberi pilihan yang banyak, mengapa pula harus diambil sesuatu yang diketahui boleh memudaratkan kita? Oleh yang demikian, kita ambil yang halal, suci dan bersih, sedap pula. Begitulah juga dengan Hero Anarki. Banyak lagi jenis watak dan perwatakan yang berjalan mengharungi plot berliku-liku – semuanya terbentang luas untuk penulis.


Hero Anarki di Ufuk Penulis

Penulis bertanggungjawab atas karyanya. Ia seharusnya menayangkan pandangan yang membina, menyokong dan menganjurkan nilai moral yang baik kepada pembaca. Hakikatnya, segala makar yang dibuat oleh Hero Anarkis membelenggu watak itu dengan kejahatan. Penulisnya juga terbelit sekali dengan lingkaran kejahatan yang dinukil di pena. Yang baik tampak batil. Yang batil tampak benar.
Penulis tidak seharusnya bebas-sebebasnya menggunakan tema Hero Anarkis ini sebagai watak utamanya. Sesungguhnya manusia itu diberikan kebebasan dalam memilih. Akan tetapi, pilihan terhadap kebaikan merupakan kebebasan yang sebenarnya. Dan kejahatan itu amat terhad dan sempit ruangnya. Mohd. Affandi Hassan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan mengungkapkan hal ini dengan indah sekali:

“Dalam konteks epistemologi Islam, kebebasan hanya terdapat apabila manusia memilih kebaikan, bukan memilih kejahatan. Manusia yang memilih kejahatan tidak bebas sama sekali, malah terikat kepada prinsip-prinsip kejahatan (seperti tamak, hasad, khianat, menipu dan sebagainya) yang terpaksa dilakukan untuk mendapat kepuasan sementara.

Sebaliknya, kebebasan untuk berbuat baik tidak terbatas sama sekali, tidak terikat kepada prinsip yang membelenggu seperti dalam kejahatan, malah terbuka luas untuk melakukan kebaikan itu berasaskan panduan yang kait-mengait yang semuanya akan membahagiakan manusia, kerana kebaikan it adalah fitrah kejadian manusia
(pp. 19).”


Kesimpulan

Kemenangan kejahatan atas moral kebaikan adalah bertentangan dengan semangat ‘berlumba-lumba melakukan kebajikan’ yang ada dalam agama, Islam khususnya. Penulis adalah individu yang peka terhadap isu dan permasalahan yang dihidapi oleh masyarakat sekelilingnya. Karya mereka terbit sebagai jalan resolusi di peringkat pemikiran sasaran pembaca. Cuma uniknya saifai adalah, penulis membawakan dari segi perspektif yang berbeza. Melalui cara ini, penulis bertanggungjawab membina jati diri, menebarkan kefahaman, menganjurkan melakukan kebaikan, dan berpesan-pesan terhadap bahana ancaman mengakarnya kerosakan. Sekalipun Hero Anarkis berpotensi diolah dengan sangat menarik, di sini letaknya ujian mengoptimumkan kebebasan kekreativiti selari dengan ciri Sastera Hasanah dan tidak terkeluar daripada landasan syariah. Usah dicontohi Hero Anarkis. Ia adalah gerhana yang membayangi watak kebenaran. Pastikan zaman gelap itu sudah berakhir. Kegelapan sudah berlepas, tibalah masanya giliran cahaya menjelma.

Monday, November 14, 2011

Sampah Dari Angkasa

Rancangan 360 menerusi TV3 pada Rabu, 2 November 2011 menarik perhatian saya. Isu yang disentuh dalam wacana tersebut adalah berkenaan kesan bahan sisa pepejal dalam kehidupan seharian dan masa depan masyarakat. Betapa selama ini kita tidak menyedari bahawa jika isu ini tidak ditangani sekarang, mungkin tapak pelupusan sampah hanya akan dapat menampung bahan-bahan buangan ini sehingga 2017. Bayangkan, jika bahan-bahan yang menggunung ini boleh dipetakan sebahagian daripada bukit-bukau di muka bumi ini.

Menurut kajian 360, 60 peratus daripada sisa pepejal ini boleh dikitar semula. Mengitar semula bahan-bahan ini telah diamalkan oleh negara-negara maju. Termasuk negara jiran, Thailand, kesedaran di kalangan masyarakat tentang bahan kitar semula seiring dengan kemajuan teknologi pemprosesan tersebut. Sahabat saya di negara Matahari Terbit, Jepun, amalan ini sudah mendarah daging dalam rutin kehidupan seharian mereka.

Masyarakat negara tersebut mengasingkan mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti tin, kertas dan botol daripada sisa-sisa yang lain. Amalan tersebut tampak remeh, tetapi impaknya amat besar pada masa hadapan. Malangnya, kesedaran tersebut masih lagi rendah di negara ini jika dibandingkan dengan negara lain, termasuk diri ini.

Semasa menonton rancangan 360, saya teringat satu animasi ‘Futurama’ yang menyentuh isu ini. Meskipun latar masa dan tempatnya berada pada masa hadapan, saya kira pengarah amat bijak menyelitkan kritik sosial masyarakat pada zaman kini. Memang dalam siri tersebut isu ini tampak lucu, tetapi mesej yang disampaikan benar-benar ditujukan kepada masyarakat abad ke-21. Siri tersebut saya tonton ketika berada dalam Tingkatan 5, kira-kira sepuluh tahun yang lepas.

Watak utama Futurama adalah Fry. Beliau merupakan belia pemalas yang terperangkap dalam sebuah mesin pembeku kehidupan cyrogenic dan berpeluang hidup pada masa hadapan pada tahun 2999. Pada pandangan orang Futurama, Fry adalah orang purba yang ketinggalan zaman. Kadang-kadang, timbul kelucuan melihat telatah manusia abad ke-21 yang ditonjolkan oleh beliau.

Siri tersebut mengisahkan bahawa bumi diancam bahaya dihentam oleh sebuah tahi bintang dari angkasa. Apabila diselidiki, nyata bahawa tahi bintang tersebut merupakan bahan buangan sisa pepejal yang dibuang ke angkasa lepas pada abad ke-21. Seluruh bumi zaman Futurama gempar dengan berita ini. Kisah siri ini mirip jalan cerita filem Armeggedon, tetapi asteroid digantikan dengan sampah gergasi yang akan menghentam bumi.

Secara sejarahnya, Profesor Fansworth menceritakan bagaimana dahulu manusia pada abad ke-21 tidak peduli akan sampah yang mereka buang. Di jalanan dan di mana-mana sahaja, lambakan sampah yang terlalu banyak telah menimbulkan kesedaran bahawa semua kotoran ini perlu dibersihkan.
Malangnya, tidak terdapat tapak pelupusan yang benar-benar mencukupi untuk menampung sampah tersebut. Maka, pemimpin negara dengan selamba menghanyutkan sampah tersebut atas pelantar barge. Tidak ada mana-mana negara pun yang mahu mengaku bertanggungjawab. Tindakan tersebut dikecam di peringkat antarabangsa. Akhirnya, sebuah resolusi diputuskan untuk menyelesaikan masalah tersebut: membuangnya ke angkasa.

Sejak sampah tersebut dilepaskan ke angkasa, manusia sedar akan bencana sampah tersebut jika tidak diuruskan dengan betul. Maka mereka bertindak mengitar semula bahan-bahan sisa pepejal dan menghapuskan sampah dengan selamat.

Masalah tahi bintang sampah tersebut seolah-olah petanda bumi akan dimusnahkan dengan bauan yang amat busuk. Profesor membuat simulasi bahawa tahi bintang itu menghempas tidak akan mengasilkan kawah yang besar, tetapi melekit di tempat impak. Dan yang lebih mengerikan, bauan sampah akan mencemarkan.
Cubaan untuk menghantar angkasawan (Leela, Fry dan Bander) untuk menyelamat bumi dengan menanam bahan letupan (seperti filem Armegeddon) nyata tidak membuahkan hasil.
Orang Futurama menggelabah. Profesor tiba-tiba mendapat satu idea. Tahi bintang sampah boleh dipesongkan arahnya, dengan melancarkan sebuah roket berkepala sampah yang sama saiz dengan tahi bintang tersebut. Roket tersebut akan melanggar tahi bintang itu dan melencongkan ke arah matahari. Tahi bintang sampah itu akan binasa terbakar oleh sinaran haba matahari. Walaubagaimanapun, masalah yang timbul adalah, orang Futurama sudah tidak kenal sampah, kerana semua bahan buangan mereka segera diproses. Apatah lagi tahu membuat sampah!
Di titik genting inilah peranan Fry si pemalas berfungsi. Beliau yang merupakan manusia biasa abad ke-21 dengan tanpa masalah menerangkan apakah itu sampah dan bagaimana membuat sampah. Idea tersebut dilaporkan kepada Datuk Bandar Futurama. Seluruh masyarakat Futurama bertungkus-lumus membuat sampah demi menyelamatkan bumi daripada kehancuran.

Pengakhiran cerita, Profesor berjaya melancarkan roket sampah walaupun perkiraan beliau berisiko tinggi. Bumi terselamat daripada tahi bintang sampah. Akan tetapi, muncul satu lagi masalah: bermakna generasi mendatang terpaksa menghadapi satu lagi tahi bintang sampah pada masa hadapan!

Fiksyen sains dikelaskan sebagai fiksyen spekulatif atas sifat keupayaannya menghuraikan masa depan melangkaui zaman dan tempat. Ben Bova dalam The Craft of Writing Science Fiction that Sells menyatakan bahawa ramalan teknologi daripada fiksyen sains cukup berpengaruh dalam kewujudan teknologi bertahun-tahun selepasnya. Bahkan beliau menyenaraikan bahawa kuasa nuklear, penjelajahan angkasa, komputer dan banyak alat teknologi masakini merupakan inspirasi daripada fiksyen sains kira-kira 50 tahun yang lampau.

Meskipun bersifat melangkau ke hadapan, fiksyen sains juga berperanan sebagai medium kritik sosial pada zaman kini. Fiksyen sains tidak hanya berangan-angan impian kemudian hari, tetapi juga bertapak di atas realiti. Futurama ini mengkritik manusia pada zaman kini, tetapi dengan penjelmaan pada masa hadapan akan sikap mereka. Futurama menggambarkan betapa kecuaian manusia sekarang menjadi malapetaka yang amat besar generasi terkemudian.

Menerusi buku The Routledge Companion to Science Fiction, ruang lingkup bicara isu semasa menggunakan litupan fiksyen sains dikupas secara mendalam. Salah satu yang disebutkan dalam buku ini, ialah karya novel War of the Worlds (1898) oleh penulis yang dianggap sebagai ‘bapa fiksyen sains moden’ iaitu H. G. Wells. Beliau berperanan melontarkan sindiran terhadap manusia pada abad ke-19.

Menurut Evans (2009), H. G. Wells dilihat mengkritik manusia di kemuncak krisis imperialisme menjajah dunia luar pada penghujung abad tersebut. Beliau menyelar secara halus Empayar British yang begitu luas jajahan semakin rakus mengaut kekayaan. Bangsa tersebut memeras bangsa-bangsa yang dianggap inferior kepada mereka. Sebagaimana manusia memperlakukan kezaliman terhadap manusia lain, begitu juga penjajah makhluk asing planet Marikh (Martian) yang menjarah bumi tanpa belas kasihan terhadap manusia. Martian menjajah dengan mata pandang yang sama: mereka juga menjajah manusia yang dianggap hina taraf.

Gundam 00 dalam Musim 1 juga bertapak kepada cabaran realiti pada dekad ini. Tema terorisme dan peperangan menjadi tumpuan. Latar dunia ketika itu berpecah kepada tiga pihak, iaitu UNION (benua Amerika), AEU (benua Eropah) dan HRL (benua Asia) pada 300 tahun akan datang (tahun 2307 AD). Mereka saling prejudis dan bertelagah menjaga kepentingan masing-masing. Mereka masih mengulang tabiat yang sama, iaitu konflik diselesaikan dengan cara kekerasan. Berlaku banyak peperangan dan aksi terorisme.

Maka Celestial Being yang berjuang menggunakan empat robot gergasi Gundam 00 menegakkan falsafah ‘dunia tanpa peperangan’ yang dibawakan oleh Professor Aolia Schehenberg ratusan tahun yang lepas.

Malangnya dalam anime ini, Islam menjadi sasaran. Dalam siri anime tersebut, Islam digambarkan sebagai agama yang mundur, konservatif (enggan menerima pemodenan), jumud dan sumber terorisme. Insya-Allah perkara ini dikupas dengan lebih mendalam dalam entri yang lain.

Fiksyen sains bukan sekadar kisah yang didendangkan tanpa asas ataupun omongan mimpi semata-mata. Akan tetapi, sifat spekulatif ini menggambarkan apakah yang bakal terjadi pada masa hadapan jika manusia buat itu dan ini. Sifat spekulatif tersebut dilandaskan kepada isu yang melanda pada masakini.
Perkara ini merupakan titik kepentingan fiksyen sains masih relevan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi nilai kebenaran sekarang sudah menjadi relatif dek berubah dicabar pemikiran zaman. Fiksyen sains adalah saluran kritikal menyebarkan faham-faham humanisme-sekularis secara halus. Ini merupakan tamparan yang hebat buat penulis fiksyen sains Muslim, mampukah nilai Islam diketengahkansebagai sudut pandang resolusi masalah bertapak atas realiti? Jika belum, sekarang harus bekerja kuat...

“If science fiction is escapist, it’s escape into reality.” – Isaac Asimov