Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan
Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya. Semoga Allah melimpahi
rahmat-Nya atas orang-orang yang soleh sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Entri ini merupakan kesinambungan mengenai kupasan siri animasi Jepun,
iaitu Gundam 00. Dalam bicara yang lepas MSER-04 'Anf': Teknologi Buangan & Perkaitan Dunia Arab, kita telah sentuh satu isu
daripada cebisan siri tersebut. Dalam entri tersebut, kita telah mengimbas
teknologi eksport daripada kuasa besar rata-rata adalah teknologi buangan untuk
negara ketiga.
Huraian kali ini
masih melibatkan aspek teknologi dalam fiksyen sains. Menurut Rajah Sinergi
Fiksyen Sains tersebut, unsur teknologi adalah salah satu daripada tiga tunjang
utama karya ini. Namun demikian, perbicaraan kali ini adalah tentang pergelutan
antara teknologi inferior melawan teknologi superior dan sebaliknya.
Hal ini
terpampang dalam Gundam 00, apabila segolongan kecil organisasi paramilitari
Celestial Being (CB) menghadapi dunia yang terbahagi kepada tiga blok kuasa
madya. CB yang diasaskan oleh Profesor Aeolia Schehenberg ditubuhkan bertujuan
untuk menghapuskan peperangan, dengan tindakan campur tangan ketenteraan atas
pihak-pihak bertelagah.
Ciri pertarungan
teknologi inferior lawan superior
dalam fiksyen sains jika diadaptasi merupakan metod yang baik untuk mengolah
penceritaan. Kedua-dua ciri ini berdasarkan keupayaan masing-masing boleh
menimbulkan kadar kompleks (complexity), justeru mewarnai kisah dengan baik.
Latar Gundam 00
Kota Krugis di Timur Tengah yang dilanda api perang. |
Gundam 00
berpaksikan kepada pergolakan politik manusia yang diunjurkan 300 tahun akan
datang. Tidak sekadar takat itu, juga disentuh dalam siri itu adalah krisis
kepercayaan, hubungan manusia, sumber tenaga, perubahan teknologi, tidak kurang
juga menyindir dan secara tidak langsung mengkritik manusia zaman sekarang.
Siri tersebut
mengandaikan bahawa betapa maju manusia dalam teknologi dan material yang
melangit ke angkasa, mereka masih terbelenggu dengan cara yang sama seperti
zaman kini. Kaedah tersebut telah diwarisi sejak ribuan tahun lampau iaitu
seringkali permasalahan diselesaikan dengan cara kekerasan.
Bahan api fosil
seperti petroleum sudah luput, disebabkan itu manusia membina Sistem Orbital
Elevator. Sistem tersebut adalah janakuasa solar gergasi yang terpacak dari
bumi sehingga ke orbit tinggi. Namun demikian, dalam meraih kuasa dan
pengarauh, manusia berpecah kepada tiga blok kuasa besar, iaitu Union of Solar Energy and Free Nations
(UNION), Advanced
European Union (AEU) dan Human Reformed Legue (HRL). Ketiga-tiga
pihak ini membangunkan jentera robot gergasi yang dinamakan sebagai Mobile
Suit. Kuasa-kuasa madya ini berusaha mengatasi satu sama lain dalam perlumbaan
senjata.
Masing-masing membina Sistem Orbital Elevator itu dan langsung mencetuskan
beberapa Konflik Kuasa Solar. Di sebalik pergolakan itu, sistem tersebut
berjaya menjulang ke langit dalam masa setengah abad.
Paramilitari Celestial Being yang menggunakan jentera robot tempur Mobile
Suit Gundam 00 muncul setelah sepuluh tahun sistem janakuasa solar itu siap.
Seperti yang dinyatakan awal tadi, CB bertujuan mengatasi sengketa peperangan.
Dengan hanya menggunakan empat buah MS Gundam, CB menghadapi gerombolan ratusan
Mobile Suit daripada ketiga-tiga pihak tadi.
Teknologi Inferior lawan Superior
Menurut kamus Kamus Inggeris-Melayu Dewan, perkataan inferior
membawa maksud kepada ‘bermutu rendah atau berkualiti rendah’[1].
Manakala perkataan superior adalah ‘hebat dan unggul.’[2]
Berpandukan kepada siri Gundam 00, kita dapat perhatikan perbezaan
kedua-dua teknologi antara tiga pihak UNION, AEU dan HRL melawan Celestial
Being. Sejak awal siri Musim Pertama lagi, Gundam Celestial Being mengungguli
pertempuran mengatasi ketiga-tiga pihak tadi. Dengan menggunakan pendorongan
Relau Solar partikel GN, Mobile Suit Gundam amat lincah dan menewaskan musuh
dengan amat mudah.
Walaupun canggih,
Celestial Being hanya mempunyai Mobile Suit yang sedikit. Norma dalam bidang
pembuatan, penghasilan teknologi canggih memerlukan penyelidikan (research),
penggunaan material berkualiti tinggi dan kos yang mahal. Berbanding dengan
Mobile Suit kuasa-kuasa madya itu, jentera robot tersebut dikilangkan secara
massal (mass production) bagi tujuan keselamatan dan kesiapsagaan peperangan.
UNION, AEU dan HRL lambat laun menyedari hakikat kelemahan mereka, namun
tidak berputus asa untuk menawan dan memilik Gundam yang amat canggih itu.
Ketewasan UNION, AEU dan HRL terhadap Gundam
Sejak awal kemunculan Gundam dan Celestial Being di mata dunia,
masing-masing tokoh dunia dan panglima kuasa madya itu tertanya-tanya: Apakah
tindakan Celestial selanjutnya? Apakah kekuatan Gundam Celestial Being? Dan
bagaimanakah hendak mengatasinya sebelum pihak lain?
Pelbagai kejutan yang dialami oleh kuasa-kuasa madya itu pada peringkat
permulaan. Mereka menyangka mempunyai Mobile Suit yang sepadan sama bertarung,
tetapi nyata tidak terdaya apa-apa menghadapi Gundam. Jelas, seperti yang
diakui oleh panglima Sergei Smirnov daripada HRL, ia mengakui bahawa tiada
Mobile Suit dalam dunia yang dapat mengungguli Gundam. Makusdnya, teknologi
kuasa-kuasa itu adalah inferior, berbanding Gundam yang superior.
Kita paparkan beberapa contoh:
a. Kemusnahan Prototaip Demonstrasi AEU-09 Enact
Dalam Episod Pertama Musim Pertama, kita dapat saksikan tindakan campur
tangan (intervention) oleh Celestial Being dalam pergolakan di dunia. AEU
sedang mempertontonkan prototaip Mobile Suit tercanggih mereka iaitu AEU-09
Enact.
MS tersebut dikatakan memperoleh kuasa daripada tenaga solar yang
dipancarkan kepada robot itu melalui Sistem Orbital Elevator. Enact kelihatan
lincah dalam demonstrasi itu, akan tetapi dimusnahkan dengan mudah oleh Gundam
00 Exia. Dalam sekelip mata, Enact rebah, lantas memberi tamparan hebat kepada
AEU di mata dunia.
b. Campur Tangan di Sri Lanka
Dalam Episod Dua Musim Pertama, tindakan Celestial Being di Sri Lanka
merupakan langkah awal yang mengejutkan seluruh dunia. Keempat-empat Gundam
telah bertindak menangani puak bertelagah antara minoriti Liberation Tigers of
Tamil Eelam (yang didokong oleh HRL) dan majoriti bangsa Sinhala[3].
Konflik tersebut berlanjutan selama 300 tahun. HRL menyokong Tamil Eelam atas
dasar menjaga kepentingan saluran janakuasa solar mereka.
Pertempuran sedang berlangsung antara kedua-dua pihak. Jelas, Mobile Suit
MSER-04 ‘Anf’ yang digunakan oleh bangsa Sinhala tidak dapat mendepani Mobile
Suit tercanggih HRL iaitu MSJ-0611-A Tieren Jenis Darat. Apabila Gundam tiba di
lokasi konflik, robot Gundam menewaskan mereka dengan amat mudah. MS Tieren
telah diatasi tanpa tentangan serius menghadapi Gundam 00 Exia yang amat
lincah.
c. Serbuan Gundam atas PMC
Satu lagi campur tangan oleh Celestial Being yang telah mengakibatkan
kemusnahan total pihak tersebut, iaitu serbuan Gundam atas pangkalan PMC di
Republik Moralia. PMC merujuk kepada syarikat Private Military Company Trust
yang merupakan organisasi askar upahan (mercenary). PMC Trust mendapat dokongan
daripada blok kuasa AEU. Menurut gundam.wikia.com, ketika serbuan tersebut
berlangsung, PMC Trust dan AEU sedang mengadakan latihan ketenteraan bersama
untuk menawan Gundam. Tetapi malangnya, hanya tinggal sedikit sahaja berbaki
apabila mereka diserang dengan mengejut.
Inferior Menewaskan Superior
Ketiga-tiga kuasa madya UNION, AEU dan HRL amat sedar bahawa Gundam milik
Celestial Being bukanlah lawan mereka. Akan tetapi, panglima-panglima dan
perajurit handalan mereka pantang mengaku kalah dan sentiasa berusaha untuk
merangkap Gundam.
Daripada beberapa interaksi dan pertempuran yang berlaku, mereka mendapati
bahawa Gundam diperbuat daripada bahan E-karbon (yang belum lagi ditemui oleh
sesiapa), lincah, lasak, berkeupayaan tinggi dan mempunyai pendorongan
(propulsion) yang melangkaui teknologi zaman. Oleh sebab mereka tidak mempunyai
teknologi yang setara, maka pihak-pihak ini menggunakan tiga kelebihan yang ada
pada mereka:
a. Menewaskan dengan Bilangan yang Banyak
Mereka merencana perangkap demi perangkap, tetapi dengan menggunakan
bilangan Mobile Suit yang amat banyak (sheer numbers) untuk menewaskan ataupun
mengepung (overwhelm) lawan.
Usaha-usaha ini memerlukan penggunaan sumber yang amat banyak, kerana mengambil
kira teknologi berkeupayaan rendah hendaklah mengungguli teknologi keupayaan
tinggi dengan kuantiti. Jentera berteknologi tinggi akan terperangkap dengan
tidak tertanggung menangani bilangan musuh yang banyak.
Umpama Bidak Catur
Hal ini boleh diumpamakan dengan bidak, iaitu ‘buah catur yang terendah
nilainya.’[4]
Jika kita teliti lagi maksud bidak ataupun pawn dalam Bahasa Inggeris
adalah ‘alat ataupun orang yang digunakan oleh pihak lain untuk kepentingan
sesuatu.’ [5]
Pengorbanan bidak adakala perlu dan disebabkan bilangan yang lebih banyak
berbanding buah lain. Dalam permainan catur, bidak seringkali menjadi umpan dan
boleh dikorbankan untuk membolehkan lawan ditewaskan dengan buah yang lain.
Dengan kuantiti sedikit buah yang berkebolehan (seperti permaisuri, kesatria,
biskop dan tir/menara), adakala ditewaskan dengan pengorbanan sejumlah buah
bidak.
Dalam pertarungan ketiga-tiga kuasa madya itu terhadap Gundam, satu-satunya kuasa yang mempunyai sumber jentera, tenaga dan manusia yang banyak adalah Human Reform Legue (HRL). Komander Sergei Smirnov, seorang panglima handalan HRL telah merancang strategi untuk memerangkap Gundam Kyrios.
Rencana panglima itu adalah menggunakan banyak Mobile Suit MSJ-0611-E Tieren Angkasa untuk mengumpan angkatan Gundam, dan kemudian memerangkap sasaran dengan memasang jerangkap. Barulah kemudian ditawan oleh Mobile Suit tercanggih HRL, iaitu MSJ-0611-SP Taozi yang ditawan oleh perajurit super, Soma Peries. Rencana Komander Sergei hampir-hampir berjaya.
b. Menewaskan dengan Skil
Faktor kemenangan dalam medan perang bukan semata-mata kualiti ataupun
kuantiti jentera, akan tetapi bergantung juga dengan skil ataupun kemahiran
seseorang perajurit ataupun sekumpulan krew. Kemahiran diperoleh daripada
latihan yang berterusan dan pengalaman di medan juang.
Graham Aker (UNION) memandu SVMS-01 Flag, Komander Sergei Smirnov (HRL) menggunakan MSJ-0611-C Tieren Mobiliti Tinggi di pangkalan Sri Lanka dan Ali al-Saachez/Gary Biaggy (PMC Trust-AEU) pula memandu AEU-09Y812 AEU Enact Custom telah cuba mengatasi Gundam 00 Exia. Kesemua mereka berkemahiran dan berpengalaman serta bersemangat juang tinggi dalam medan juang.
c. Gabungan Kuantiti dan Skil
Buat pertama kali, UNION,
AEU dan HRL telah bekerjasama dalam latihan peperangan. Celestial Being telah
ditugaskan untuk menanangi pengganas di fasiliti nuklear di gurun itu dan
menyelamatkan daripada malapetaka nuklear.
Akan tetapi semua ini hanya
perangkap, dan ketiga-tiga pihak berganding bahu membedil musuh tanpa henti,
meskipun menerima tentangan hebat daripada Gundam. Hampir-hampir sahaja mereka
dimusnahkan, akan tetapi muncul sekumpulan Gundam asing yang digelar sebagai Trinity
(Gundam Throne) menyelamatkan keadaan.
Dalam penghujung Gundam 00 Musim Pertama, ketiga-tiga pihak telah menerima
sejumlah pendorongan relau GN Tau dan Mobile Suit GNX-603T GN-X. Mobile
Suit tersebut mempunyai kurang kualiti daripada pendorongan Relau Solar GN
Gundam 00. Tetapi dengan bilangan yang banyak dan dipandu pula oleh perajurit
handalan pihak UNION, AEU dan HRL telah menewaskan Celestial Being (Gundam 00)
dan Trinity (Gundam Throne) dalam Operasi Fallen Angel.
Contoh dalam Sejarah
Pihak yang sedikit seringkali menewaskan golongan yang besar dalam lipatan
sejarah. Selalunya kisah-kisah tersebut menjadi sebutan kerana kegigihan,
keteguhan dan kebijaksanaan dalam mendepani jumlah musuh yang ramai. Dalam
sejarah umat Islam yang gemilang, jarang sekali mereka melebihi musuh dari segi
kuantiti. Akan tetapi, mereka punyai kualiti mengatasi kuantiti. Sayyiduna Nabi
Muhammad s.a.w bertempur bersama para Sahabat dalam Perang Badar, seramai 313
perajurit mujahid menggempur gerombolan tentera musyrikin yang ramai. Begitulah
seterusnya di medan perjuangan yang lain.
Sungguhpun begitu, bukanlah semata-mata kemenangan atas sebab kekuatan
material ataupun kemahiran, namun adalah kekuatan dan izin daripada Tuhan,
Allah jua. Walaubagaimanapun, usaha tidak boleh menjejaskan pergantungan kepada
Tuhan dan aturan hidup ini ada sebab dan akibat. Bahkan, Allah telah
mengisyaratkan kepada kaum Muslimin, agar melengkapi sayap ketenteraan mereka
dengan kelengkapan terkini. Pada zaman Rasululullah s.aw. disebut akan kuda,
kerana daya tempur, mobiliti, kepantasan dan semangat juang menghadapi musuh.
Tetapi para ulama menafsirkan dengan kelengkapan ketenteraan mutakhir.
Sejarah menyebutkan bahawa kaum Muslimin tidak ketinggalan dalam
memperlengkap pasukan jihad mereka, seiring ataupun melangkau jauh daripada
musuh[6].
Baik pada zaman Nabi s.a.w, begitu juga para Sahabat dan generasi menyusul
setelah mereka.
Kesimpulan Awal
Akan tetapi dalam konteks peperangan moden yang melibatkan jentera berteknologi
tinggi, superior yang sedikit tetapi berkualiti bertarung dengan inferior yang
banyak juga terdapat dalam sejarah. Faktor superior tersebut bukan semata-mata
berteknologi tinggi dan sofistikated, tetapi juga berkait rapat dengan faktor
psikologi. Faktor kedua itu melibatkan latihan, pengalaman dan semangat juang
yang tinggi. Paduan kedua-dua faktor tersebut menghasilkan pasukan elit yang
berdaya tahan, meskipun menghadapi jumlah musuh yang ramai.
Adapun
pihak yang memiliki teknologi berkeupayaan tidak setara berteknologi tinggi,
seringkali tidak putus asa dan sering mencari cara untuk mengatasi kekurangan
tersebut. Adakala mereka berjaya, dan tidak kurang juga menjadi mangsa sasaran
mudah dan membatalkan hasrat mereka. Percaturan perang sebegini menghasilkan
keputusan yang tidak menentu, sama ada berkesan atau tidak, atau menang atau
tidak. Yang pasti adalah, menang jadi arang, kalah jadi abu.
Insya-Allah kita akan sambung dalam bahagian kedua...
[1] Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s
502, (1997). Dewan Bahasa dan
Pustaka: Kuala Lumpur.
[2] Ibid, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s
1017.
[3] Penduduk Sri Lanka yang menganut agama Buddha.
[4] Kamus dewan edisi keempat, m/s
181, (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
[5] Ibid, Kamus inggeris-melayu dewan, m/s
717.
[6] Merujuk kepada Perang Salib yang berlaku
kira-kira 500 tahun Hijrah, sejarawan Barat mengakui bahawa kaum Muslimin
adalah kaum yang termaju (advanced) berbanding kaum Eropah yang masih
diselubungi oleh Zaman Gelap (Middle Age). Kaum Muslimin mengadaptasi
persenjataan, strategi dan taktik Timur dan Barat, sehingga mereka digeruni
oleh musuh. Bukan itu sahaja, kaum Muslimin juga terkehadapan dalam bidang
pemikiran, perubatan, sains dan teknologi serta seni bina.
Sultan Muhammad II al-Fateh, iaitu sang penakluk
Kota Konstatinopel telah membebaskan kota tersebut pada 29 Mei 1453 daripada
cengkaman kerajaan Byzantine dengan menggunakan teknologi tercanggih pada zaman
itu, iaitu meriam-meriam gergasi. Suasana peperangan itu belum pernah
disaksikan oleh Barat, dan telah merombak landskap peperangan di Barat dan juga
di Timur. Pada abad ke-16, Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam menjadi
kuasa dunia yang digeruni oleh Barat.
Abad ke-17 dan ke-18 pula menyaksikan kemerosotan
umat Islam dan pada abad ke-19, Daulah Uthmaniyyah digelar sebagai ‘Orang Sakit
Eropah.’ Sehingga kini, umat Islam mengimport segala teknologi, peralatan
daripada negara luar kerana ketidakmampuan mereka. Lebih parah lagi, bukan
sahaja mereka tidak berdaya saing untuk menghasilkan produk sendiri, akan
tetapi kerana kelemahan mereka mengimport juga gaya hidup, sistem pendidikan,
sistem ekonomi, politik dan cara fikir terutamanya daripada Barat. Boleh rujuk
buku Islam at Crossroads tulisan Muhammad Asad terbitan semula The Other
Press cetakan 2005 dan Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam
karangan Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi (1984), cetakan Pustaka
Nasional Pte Ltd, Singapura.
No comments:
Post a Comment