Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, May 5, 2014

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H (Bhg. 2) : Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair

                         


“Assalamualaikum, ustaz.” Ia terperanjat.

Desisnya dalam hati, “Ada orang mengenali aku? Aku sepatutnya lebih berhati-hati. Mungkinkah sudah ada orang menghidu kehebatanku? Kerja mesti diteruskan...”

Ia membalas dengan mengangguk, lalu meneruskan perjalanan. Bisik dirinya, “Mungkin juga dia tidak kenal.”

Semakin lama semakin janggal rasanya apabila ramai juga orang di jalanan yang mengucapkan lafaz, “Assalamualaikum, ustaz.” Ia hanya memberi balasan yang sama.

Detik hatinya, “Ataupun orang-orang di sini semuanya memberi salam?”

“Sudah sampai. Lorong ini amat strategik. Firma-firma ini berdekatan sahaja. Terdapat beberapa restoren untuk singgah dan menggodam. Sistem godam curigrid aku akan menggapai dengan mudah.” 

Ia meletakkan komputer tabletnya atas meja dan duduk. Seorang pelayan menghampirinya.

“Assalamualaikum ustaz, boleh saya bantu? Anda sudah berbuka? Mahu minum apa?”

Ia berasa agak kekok. Sudah lama tidak diberi salam dan memberi salam, “A...as... achoooo!!!” Bunyi ‘salam’ itu seperti bersin, detik hatinya,  “Malunya. Aku sudah lupa bagaimana menjawab salam.”

Balas Jack, “Terima kasih. Saya ingin duduk sebentar sahaja. Saya ingin bertanya, adakah di sini terdapat jaringan internet?

“Maafkan saya, internet?”

Balasnya lagi, “Maaf, seperti internet pada zaman Bumi kuno dahulu. Saya berasal dari Bumi. Ataupun internet tanpa wayar,” ia memberi helah.

“Oh, di planet ini, anda boleh gunakan Aksara-NET. Internet wayarles sudah ketinggalan zaman.”

“Baik, terima kasih.”

Kemudian ia berasa curiga, “Kenapa orang panggil aku ustaz? Memperli aku? Ataupun memang kenal aku? Kalau ya, ramai juga yang kenal aku di sini. Ini amat membahayakan misi ini.” Lantas ia bersegera menuju tandas.

Matanya terbeliak melihat dirinya di hadapan cermin tandas, ia berbisik kepada cip sut, “Apa sudah jadi? Mengapa engkau beri aku fesyen seperti ini? Memang patut tadi mereka panggil aku ustaz! Aku ini orang Liga Lanun, bukannya mahu beri ceramah agama!”

Kata-katanya sendiri bak renjatan elektrik, desisnya, “Ceramah agama? Alergik benar mendengarkan istilah itu. Lupakan sahaja. Aku sudah menyimpang jauh. Hatiku gelap, tertutup dan sudah keras.”

Cip sut menjawab, “Maafkan saya. Saya dengar, tuan kata fesyen ustaz abad ke-21. Sebab itu saya beri penampilan tuan berjubah putih dan serban. Jangan marah, tuan. Sistem audio kurang efisyen. Ejaan yang tuan sebut hampir-hampir sama, iaitu ustaz atau ultra-ranggi, menjadikan saya keliru. Maklumlah, tuan beli saya ini yang cetak rompak.”


“Entah-entah engkau bersubahat dengan Nakhoda Corsair mempermain-mainkan aku! Tukarkan aku jadi belia ultra-ranggi!” Cip sut menurut perintahnya.

Jack lega. Ia keluar dari tandas sambil bersiul-siul. Ia bergerak ke restoran berhampiran dan memulakan kerjanya. Tugas menggodam kelihatan mudah baginya. Apabila mendapat mendapat akses data firma, ia langsung menjalankan transaksi ke dalam akaun Liga Lanun. Firma pertama ini mengandungi ratusan juta kredito. Langkah terakhir adalah memasukkan virus ‘D.E.M.A.M’ kepada sistem komputer firma. 

Kemudian ia menyelinap lagi ke firma yang seterusnya, melepasi kawalan keselamatan koloni. “Agaknya Galaksi Muhsinin belum benar-benar bertapak di sini. Jika tidak, sukar juga tugas aku. Walaubagaimanapun, harus keluar dari planet ini segera bagi mengelakkan dicurigai dan dikesan.”


Pensabotaj itu bergerak pantas. Setiap kali ia beralih ke restoren yang lain, ia  bertukar-tukar fesyen dan identiti diri di setiap tempat. Setiap kali melakukan transaksi, ia akan memasukkan virus-virus yang diciptanya sendiri, ‘S.E.L.E.S.E.MA’, ‘P.E.N.I.N.G’, ‘T.I.D.U.R’, ‘M.A.L.A.S.’ dan ‘A.K.U K.A.Y.A’. Setiap itu juga ia ketawa terbahak-bahak mengenakan orang. Virus ‘A.K.U K.A.Y.A’ sengaja disimpannya untuk transaksi yang terbesar dalam misinya.“Aku memang bijak. Galaksi Muhsinin tidak dapat mengesan aku sedikit langsung.”

Kadang-kadang, terngiang juga amaran Nakhoda Corsair, detik hatinya, “Virus T.A.Z.K.I.R.A.H? Adakah itu adalah penyakit berbahaya? Ataupun virus perisian yang menggodam kerja aku kembali? Jika ya, setakat ini, tidak ada sesiapa yang dapat menewaskan virus yang aku reka.”

Katanya sambil bersandar di sebuah restoren, menggodam firma terakhir dijarahnya, “Pada hari ini aku berjaya mencuri kredito daripada empat firma dagang dan dua firma industri berat. Mereka adalah firma luar yang melabur di galaksi ini. Cukup hanya beberapa jam sahaja.”

Keluhnya,“Aku masih tidak puas hati kerana tidak dapat menembusi firma-firma tempatan Galaksi Muhsinin yang menggunakan sistem matawang dinar. Sistem mereka begitu kebal.”Ia memuat naik laporan ke kapal induk Galleon milik Nakhoda Corsair.

“Tidak mengapa. Jumlah keseluruhan mungkin berbilion-bilion kredito. Ini dikira baik. Pasti ada komisyen yang tinggi juga nanti.” Kemudian, gajet sut Jack berbunyi.

“Transmisi daripada Nakhoda Corsair.” Ia bergerak ke sebuah lorong tersorok, lalu menekan punat pada lengannya. Sebuah hologram terpampang wajah Nakhoda Corsair.


“Misi terakhir engkau, Jack. Engkau membuat tugas dengan baik. Transaksi sudah dapat aku kesan, cuma mengambil masa sedikit. Aku tahu engkau penat. Sebelum engkau kembali ke Galleon, aku mahu engkau menggodam sebuah akaun persendirian yang agak lumayan. Tetapi lokasi sasaran agak jauh di zon pedalaman. Tidak dapat dipastikan akaun itu milik siapa. Siapa jangka, mungkin itu adalah habuan harta karun terbesar kali ini. Aku beri pilihan kepada engkau sebagai bonus ganjaran hari ini.”

“Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk perkasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Aku sahut cabaran engkau. Baiklah, aku terima, tetapi dengan komisyen tiga kali ganda.”

“Cis, asyik mahu komisyen besar sahaja. Macam mana mahu untung!” Mata Nakhoda berbinar-binar ke siling kapal, seperti orang kebingungan menghitung bintang di langit. Jari-jemarinya seperti menghitung sesuatu. Pastinya menghitung kredito yang diraih ataupun rugi. Katanya, “Baiklah, aku terpaksa setuju. Ingat, Jack. Ini adalah untuk maruah Liga Lanun. Kebanggaan kita.”

Desis Jack dalam hati, “Bukannya untuk Liga Lanun. Tapi untuk poket engkau sendiri.” Katanya kepada Nakhoda, “Aku ingin bertanya, apakah gogal yang engkau beri ini?”

“Oh, ya. Aku terlupa. Engkau belum pakai? Gunakanlah gogal itu, yang tercanggih setakat ini. Gogal itu serbaguna. Aku sangat sukakannya. Jarang sekali ada gogal murah berteknologi canggih seperti itu. Tetapi aku hadiahkan kepada engkau. Aku tahu engkau adalah yang paling padan mengenakannya. Baiklah, masa sudah tiba. Aku mahu engkau selesaikan tugas engkau lima jam lagi sebelum siang. Aku muat turun peta lokasi matlamat kita.” Transmisi tamat.


Guruh berbunyi kuat. Jack mendongak ke langit. Hari sudah hampir menjengah malam. Interkom tertanam pada sut penyamaran Jack berbunyi, lalu menekan punat halus padanya. “Ya, ada apa?”

Sayup-sayup kedengaran berselang-seli guruh, Jack mendengar suara radio juruterbang Kejeron V“Hari sudah mendung. Agak berisiko untuk terbang meredah awan, peralatan kapal kita mungkin akan tergendala. Awan planet ini sudah bercas tinggi. Daripada ramalan iklim Kejeron V, ribut ion bakal melanda di hemisfera kita berada dalam masa beberapa jam lagi. Kita kembali sahaja ke kapal induk Galleon. Batalkan sahaja hasrat engkau. Aku tahu akau engkau sudah dijamin melimpah-limpah dengan kredito.”

“Agaknya sempat atau tidak kalau aku menggunakan jalan darat?”

“Mungkin juga sempat, jika engkau gunakan kenderaan pecutan tinggi yang beroda. Hoverhibrid ataupun kenderaan apungan lain berisiko untuk tergendala dalam keadaan ini.”

“Baiklah, aku pergi.”

“Hati-hati. Aku akan tunggu di lorong parkir, dalam mod halimunan.” Transmisi tamat.

Pensabotaj Jack ‘Barbarossa’ menghela nafasnya. Sekali lagi ia mendongak ke langit. Ia memasangkan gogal hadiah daripada Nakhoda Corsair di matanya. “Apa pula yang aku gunakan untuk ke sana?”

Ia mengimbas dengan gogal, tiba-tiba ternampak sebuah motohibrid. “Aku ada idea. Pinjam sekejap, nanti aku pulangkan. Corsair kata matlamat menghalalkan cara. Dosa nanti dia tanggung juga,”desis Jack memberi alasan kepada dirinya.

Ia duduk atas motorhibrid, “Dosa? Ah, umur masih panjang. Nanti tua aku insaf dan bertaubat sebanyak-banyaknya. Lagipun malam masih muda.”

Dengan kepakarannya yang normal sebagai pensabotaj, sekelip mata sahaja motorhibrid itu dihidupkan. Katanya sambil memulas gagang kenderaan itu, dengan deruman enjin,  “Cip, bertukar kepada sut armor berlapis - ” cip itu menjawab, “Baiklah.”


“Aku belum habis cakap lagi. Sut mod armor berlapis dan bergaya.” Cip menurut arahan. Sutnya bertukar. Deruman semakin kuat. Ia bersedia mahu meluncur, gogal bersedia di mata, “Hoi! Aku kata, sut berlapis armor. Bukan macam kek lapis!”

Sutnya berwarna-warni memang seperti kek lapis. Ia terlihat pada cermin pandang belakang motorhibrid. Lantas cip menjawab, “Maaf tuan. Saya keliru mendengar antara kata-kata tuan, bunyi enjin dan guruh. Saya tukarkan sekarang.” Bertukarlah penampilan pensabotaj yang serba hitam dan kelihatan canggih – dan bergaya. Jack mengeluh, “Bukankah engkau ada sistem pengesahan identiti suara? Engkau memang banyak alasan.”

Jawab cip sut itu dengan suara digital yang tiada berperasaan, “Maaf tuan!”

Tiba-tiba ia terlintas di benaknya, “Virus T.A.Z.K.I.R.A.H... mitos semata-mata. Tidak ada apa-apa yang akan berlaku pada aku. Tidak ada yang mengesan kehebatan aku.”


“Tuhan tahu, bukan?”

“Bagaimana pula terlintas hal ini? Nanti aku fikirkan. Umur masih muda. Nanti sudah tua, masa itu bertaubat.”

Kotak fikirannya melayang-layang. “Fikir tentang dosa meletihkan otak sahaja. Aku belum puas hidup menikmati ganjaran aku.” Gagang dipulas dengan kuat. Deruman motorhibrid mengaum bingit sekali.


Jerit hatinya, “Mari kita dapatkan habuan terakhir. Masa untuk beraksi.” Motor hibrid meluncur laju meninggalkan kota Metrodaya.


Insya-Allah, bersambung di bahagian 3: Ribut Ion Makin Dekat


No comments: