Bersempena
Ramadhan 1435H dan
Ulangtahun ke-6 Galaksi Muhsinin
Bahagian 1: Pensabotaj Wirawan Liga Lanun
“Kejeron V akan mendarat di lorong jalan,
lima minit sahaja lagi,” kedengaran seseorang di dalam kokpit pesawat kapal
angkasa tersebut.
Sebuah shuttle kelas Kejeron V merentas
kota Metrodaya. Kota ini terletak di garisan khatulistiwa planet Muricata.
Planet ini merupakan salah satu daripada rangkaian pusat perdagangan
antaragalaksi yang merangkumi planet Coercya, planet Uoli dan planet Maidah
Md-5 dalam Domain Lapisan Keempat (L-4) Jaringan Ion Ankabut Galaksi Muhsinin. Kota
ini sibuk dengan lalu-lalang warga kota dan juga pengunjung dari planet lain.
Shuttle tersebut tiba tatkala tengahari yang mendung. Di sisi pesawat
tersebut terdapat sebuah simbol kecil, iaitu lambang tengkorak bersilang
tulang.
Kedengaran sayup-sayup bunyi radio pada Kejeron
V, “Galleon menerima. Nakhoda
Corsair akan memberikan taklimat misi sejurus setelah mendarat.” Shuttle itu
telah berlepas daripada dek kapal induk Galleon
‘Barbarossa’ sebentar tadi. Kapal tersebut sedang terapung di angkasa mengorbit
planet.
Radio Kejeron V berbunyi lagi,
“Mengapa mendarat di lorong jalan? Nanti lebih berisiko misi kita dicurigai.”
“Err... mendarat di lorong, tidak perlu bayar parkir! Rugi aku nanti.”
Balas operator di Barbarossa,
“Cis, buang masa aku tanya.”
Sambil juruterbang ketawa kecil, katanya, “Tidak
mengapa, kita pasangkan generator halimunan SUPAN-G. Orang tidak dapat mengesan
kita dengan mata kasar. Kalau ada orang terlanggar, awal-awal kita minta maaf.”
Juruterbang berkata sambil tersengih, “Agaknya planet Galaksi Muhsinin
adalah sasaran kita selepas ini. Terlalu senang menyusup.” Ia menoleh kepada
seseorang yang sedang duduk di kerusi kiri dalam kokpit pesawat tersebut.
Juruterbang itu mengharapkan balasan, tetapi tidak dijawab. Ia mengharapkan
wira Liga Lanun yang dibawanya akan menghargainya, “Kalau begitu, aku letak
jawatan lebih baik. Kerja senang bukanlah kerja aku.”
Juruterbang mengendalikan shuttle mereka dengan agak baik. Mereka
menghampiri sebuah lorong, namun terlajak sedikit sehingga melanggar dinding
bangunan. Shuttle itu bergegar.
“Memang patutlah shuttle ini digelar kejeron,
bergerak pun melulu,” kata lelaki itu lagi.
“Tengok, betapa handalnya aku. Tidak sampai setengah minit sudah mendarat. Itu
pun aku parkir cara undur ke belakang. Orang lain lima minit pun masih takut
mendarat,” kata juruterbang mendabik dada.
Pintu kargo dibuka, kata wira itu menjengil, “Huh. Memang handal. Macam
mana mahu keluar? Kita mendarat atas genangan air.”
Juruterbang ketawa kecil, “Maafkan saya. Bak kata pepatah, kerana pulut
santan binasa; kerana mulut badan binasa. Saya aturkan balik.”
Wira tadi mencebik, “Mengada-ngada! Cepat!”
Tiba-tiba penggera kokpit berbunyi. Ia bergegas mendarat ke hadapan sedikit.
Setelah mendarat katanya, “Nakhoda tahu kita sudah mendarat. Bersedia, kita
akan menerima transmisi sebentar lagi.”
Pemancar hologram menjadi aktif. Cahaya dipancarkan ke skrin. Terpampang
wajah Nakhoda Corsair. Ia berkata, sambil tersengih “Misi terbaru engkau, wira
Liga Lanun. Habuan besar kali ini.”
Nakhoda diam. Kemudian berkata, “Kenapa kamu berdua mengunyah? Belum masuk
waktu berbuka! Tidak, sudah tentu engkau curi makan!” Bekas makanan di atas
paha mereka jelas kelihatan di skrin Galleon.
Jawab juruterbang Kejeron V,
“Tuan silap faham. Sekarang kami di planet lain. Waktu berbuka tentu lain.
Lihat, ada cebisan cili di bibir tuan. Mesti Tuan juga curi-curi makan juga!”
Tiba-tiba skrin padam. Kemudian talian muncul kembali.
Kata Nakhoda, “Cebisan cili? Tidak ada pun! Di planet ini sudah berhari
raya. Sekarang di sana masih lagi tengahari! Tidak syak lagi kamu berdua memang
ponteng puasa!”
Rasa-rasanya juruterbang dan wira itu mempunyai sangkaan yang sama, “Engkau
sama juga tidak berpuasa. Sangat ketara kesalahan dengan sengaja tutup skrin
dan mengelap mulut untuk sorok kesalahan. Hari Raya Aidilfitri masih lagi kurang
sebulan.”
Nakhoda batuk, kemudian berkata dengan semangat, “Tahniah engkau sebagai
wira telah terpilih dalam ketumbukan elit terbaru Liga Lanun, LEMAU. Semua wira
Liga Lanun dihimpunkan dalam LEMAU, untuk menjalankan operasi khas kita.
Apabila kita sudah kuat kelak, sudah tentu musuh-musuh kita tidak akan berani
menjentik kita!”
Juruterbang Kejeron V bertanya,
“LEMAU?”
“Lanun Elit Militia Adidaya Upaya,” kata wira itu.
“Amboi, cantik nama itu. Tidak langsung menimbulkan kegerunan di hati
sanubari,” desis juruterbang.
Nakhoda menyambung taklimatnya, “Engkau ditugaskan untuk mensabotaj dan
menggodam beberapa firma dagang di planet ini. Planet ini baru sahaja menyertai
Galaksi Muhsinin setelah perang yang lepas. Ini merupakan planet dagang dan
salah satu pintu dagang Galaksi Muhsinin ke dunia luar.”
Suasana diam sebentar. Hanya kedengaran deringan status shuttle. Kata
Nakhoda, “Err... siapa nama engkau. Aku terlupa.”
Wira itu menjawab, “Nama aku Jack. Gelaran aku Barbarossa. Pemimpin yang
baik adalah orang yang mengenal orang bawahannya.” Sindir Jack ‘Barbarossa.’
Sergah Nakhoda, “Cis, mana boleh. Itu nama kapal induk Galleon aku!” Skrin kacau-bilau sebentar.
Tegur Kapten Galleon, “Tuan
Nakhoda, sila bersopan sedikit apabila bertutur depan pemancar hologram dan
mikrofon ini. Ini alat murahan tiruan, nanti cepat rosak. Bos juga yang beli.
Jimat konon.”
“Engkau membebel sahaja.”
Balas Jack ‘Barbarossa’, “Mana ada. Itu nama aku dahulu. Engkau yang curi.”
“Suka hati aku. Aku Nakhoda Liga Lanun. Kalau setakat curi nama, itu kerja
budak kecil.”
Jack ‘Barbarossa’ terasa ingin ketawa besar akan majikannya, tetapi
membatalkan niatnya, “Terkena hidung sendiri.”
Katanya, “Buang masa sahaja. Beritahu aku lokasi firma tersebut. Aku akan
selesaikan. Tapi komisyen aku kali ini mesti lebih tinggi. Kalau tidak, aku
cari bos yang lain.” Nakhoda Corsair menjengil. Ia tiada pilihan lain. Kemudian
ia memberi taklimat dengan peta dan pelan bangunan firma-firma sasaran.
“Demikianlah kiranya tugas engkau. Aku amat berharap engkau berjaya.
Banyaknya kredito yang kita... ‘pinjam’ akan menguatkan kembali Liga Lanun.
Kita boleh membuka cawangan dan melatih rekrut baru. Perniagaan gelap kita
harus disebarluaskan. Modal yang mencukupi diperlukan untuk memperlengkapkan
perkhidmatan, agar pelanggan masih memberikan kepercayaan.”
“Tambahan lagi, khabarnya Federasi Generasi Zenzaburo mengadakan rundingan
baru untuk membina beberapa pangkalan asteroid rahsia.”
“Barulah Galaksi Muhsinin tahu, taring Liga Lanun yang sebenar!” Nakhoda
ketawa besar. Siaran hologram
kacau-bilau sekali lagi. Kelihatan tangannya menjulang tinggi, mulutnya
melopong.
Jack berasa meluat, sindirnya, “Sejak bila engkau jadi Raja Bersiong, macam
tiba-tiba tumbuh taring? Engkau mesti terpengaruh dengan buku Hikayat Merong Mahawangsa,
bukan? Setahu aku, engkau benci membaca.”
“Cis, jangan hina aku. Raja Bersiong adalah hero dalam Syair Siti
Zubaidah!” Nakhoda tertekan. “Ah, sudah! Selesaikan misi engkau. Aku akan gandakan
komisyen!”
“Tetapi sebelum itu, aku ingin memberi engkau amaran. Berhati-hati akan
sejenis virus. Beberapa pensabotaj handalan, maksud aku rakan-rakan engkau baru-baru
ini telah hilang tanpa jejak. Spekulasi dalam kalangan kapten Liga Lanun
mengatakan bahawa virus tersebut telah menjadikan mereka gila. Mereka
menunjukkan simptom penyakit yang sama; iaitu tiba-tiba dipukau atau diracuni
lalu menangis tanpa henti. Amat memilukan ialah mereka mengembalikan kredito
kepada mangsa. Setelah itu mereka lesap. Orang Liga Lanun menggelarkan penyakit
ini dibawa oleh virus T.A.Z.K.I.R.A.H.”
Jack ‘Barbarossa’ mengeluh, katanya dengan angkuh, “Kalau Tuan mahu tahu, saya sudah meredah ribuan fasiliti yang orang kata kebal. Ini termasuk yang bersaiz reban-o-manok sehinggalah bangunan pencakar angkasa yang dipagari penggera laser! Sistem kawalan yang kompleks saya telah masuki mudah sahaja.Tidak hairan saya menjadi sebutan orang-orang Liga Lanun. Saya ini terkenal dengan pengembaraan yang misteri.”
Jack ‘Barbarossa’ mengeluh, katanya dengan angkuh, “Kalau Tuan mahu tahu, saya sudah meredah ribuan fasiliti yang orang kata kebal. Ini termasuk yang bersaiz reban-o-manok sehinggalah bangunan pencakar angkasa yang dipagari penggera laser! Sistem kawalan yang kompleks saya telah masuki mudah sahaja.Tidak hairan saya menjadi sebutan orang-orang Liga Lanun. Saya ini terkenal dengan pengembaraan yang misteri.”
Nakhoda menyudahkan, “Kamu berlagak, sombong dan riak. Ingat kamu hebat
sangat? Berhati-hati terhadap virus itu. Saya rasa virus itu menjangkiti semua
pensabotaj melalui perisian khas. Khabarnya disebarkan oleh orang bernama Penyair Suria. Cepat pergi sempurnakan
misi. Jangan hubungi aku selagi tugas engkau belum siap. Aku mahu tidur.”
Transmisi tamat. Skrin terpampang logo dan moto mereka: “LIGA LANUN Buat Jahat Berpada-pada.” Jack ‘Barbarossa’menggeleng-gelengkan kepalanya. Ia keluar dari Kejeron V.
Transmisi tamat. Skrin terpampang logo dan moto mereka: “LIGA LANUN Buat Jahat Berpada-pada.” Jack ‘Barbarossa’menggeleng-gelengkan kepalanya. Ia keluar dari Kejeron V.
“Cahaya bintang naik tinggi. Beberapa jam lagi akan senja. Lebih baik cepat
buat kerja. Peta menunjukkan bahawa kedudukan bangunan firma berdekatan dengan
restoran-restoran. Itu merupakan tempat yang baik. Guna penampilan penyamaran apa
pula kali ini?”
Jack berfikir sejenak. “Oh, ya, mungkin fesyen belia ultra-ranggi abad
ke-21 lebih bergaya. Tambahan pula, aku seperti orang yang sedang berhibur di
jalanan. Baiklah, sut sesumpah, bertukar!”
Sut
kalis diperbuat daripada polimer khas yang serba hitam itu bertukar mengikut
arahan menyerupai orang kota. Sut itu mempunyai fabrik nano yang boleh menukar
penampilan berdasarkan fesyen yang dipilih dan diubahsuai oleh cip bersepadu.
Beserta pada sutnya ialah imbasan kad indentiti palsu bagi mengelak dikesan
pihak berkuasa.
Pasti tidak ada orang yang akan mengesyaki aktivitinya. Daripada lorong
yang suram, ia bergerak berjalan menelusuri jalan kota. Jalan raya agak sesak
dan ramai orang, walaupun kebanyakan
hoverhibrid terapung di jalanan beberapa lapis, tidak seperti kereta beroda
pada abad yang lepas. Ia berjalan menurut peta yang dimuat turun sebentar tadi.
Peta itu sudah dihafal dalam sekelip mata.
“Assalamualaikum, ustaz.” Ia terperanjat.
Desisnya dalam hati, “Ada orang mengenali aku? Aku sepatutnya lebih
berhati-hati. Mungkinkah sudah ada orang menghidu kehebatanku? Kerja mesti diteruskan...”
Insya-Allah bersambung dalam Bahagian 2: Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair.
Insya-Allah bersambung dalam Bahagian 2: Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair.
No comments:
Post a Comment