Dewasa ini banyak filem baik tempatan mahupun antarabangsa giat mengetengahkan gejala zombie, paling mudah dicernakan adalah mayat hidup. Kebanyakan artikel ringkas pengenalan filem tersebut mengkelaskan cerita zombie ini sebagai 'fiksyen sains.'
Konon zombie ini terjadi apabila umumnya tersebar sejenis penyakit yang menjangkiti manusia dan kemudian menjadi mayat hidup yang mahu menjangkiti orang lain dengan cara menggigit. Dengan jalan yang terhuyung-hayang, keadaan badan luka dan berdarah, zombie menyeret kaki dan tubuhnya mencari mangsa. Dan gejala ini berterusan sehinggalah sekian manusia menjadi zombie. Boleh dikatakan, jiwa si zombie ini 'terseksa' kerana hidup pun tidak, mati pun tidak, terperangkap dalam kehinaan seperti itu.

Tersebutlah satu kisah yang masyhur pada 1962, ada seorang budak lelaki diisytihar sebagai mati kerana mengalami komplikasi. Acara pengebumian telah diaturkan. Pada 1981, konon saudara perempuan kepada si mati telah berjumpa dengan seorang lelaki, yang mengakui nama si mati itu tadi. Perempuan itu terkejut kerana nama si mati tidak diketaui melainkan keluarganya sahaja. Si mati itu mengakui bahawa 'tidak mati' sebaliknya kemudian ia telah dijadikan sebagai zombie (hamba abdi) bekerja untuk tuannya.

Kes seperti ini direkodkan sebanyak 25 kes sejak 1982. Sebahagian manusia yang dikatakan 'mati' ini menjadi normal semula. Terdapat juga kes seorang perempuan di Columbia (Amerika Selatan), yang diisytihar mati, tetapi 'hidup semula' di rumah mayat. Majalah tersebut menyatakan:
"... But far from being animated corpses like the zombies we often imagine, these patients are very much alive."

Jika ditilik daripada ciri-ciri yang mencirikan 'fiksyen sains', cereka yang berpaksikan zombie ini terkeluar daripada kerangka fiksyen sains. Bahkan lebih sesuai diletakkan sebagai 'pseudo'-fiksyen sains. 'Pseudo' membawa maksud 'palsu.' Berdasarkan perbincangan dalam BBC Knowledge tadi, tiada bukti yang kukuh bahawa zombie ini berpaksi kepada asas saintifik yang kuat. Hanya dengan sedikit penyataan kimia, kemudian diolah kisah itu mengikut selera rasa pengkarya. Apakah landasan moral ataupun falsafah yang didasari oleh karya-karya zombie ini? Yang ada hanyalah berkejar-kejaran, dihantui mayat berdarah dan ketakutan dijangkiti zombie. Lebih parah lagi, pelajar zombie menggigit gurunya! Apakah terkandung apa-apa mesej adab dalam adegan ini?
Satu kebimbangan fenomena zombie ini adalah timbulnya konflik kepercayaan dalam diri anak-anak, terutama anak kecil yang sedang membesar. Bagaimanakah jadinya akal mereka bertubi-tubi didedahkan seperti ini, tanpa imbangan agama yang sewajarnya? Adakah mereka lebih percayakan kewujudan zombie-zombie ini daripada percayakan kisah mukjizat para Rasul dan Nabi-nabi?
Menjadi tanggungjawab kita menanam benih-benih akan keimanan yang bersih. Salah satu jalannya adalah dengan cerita-cerita agung para Anbiya' yang bersumberkan daripada al-Quran. Biarlah anak-anak kita mempercayai kebenaran utusan Tuhan, daripada bulat-bulat menerima kebatilan yang tiada asas. Begitulah pancaroba zaman masakini.
Mari kita renungkan..
No comments:
Post a Comment