Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, April 9, 2014

Elysium: Fiksyen Sains Distopia yang Unik

Dalam banyak filem fiksyen sains yang ditonton (saya agak cerewet memilih), filem Elysium membawakan pembawaan cerita, pertembungan ideologi serta cara hidup dan 'projection' atau spekulasi masa hadapan yang unik. Filem ini tidak seperti filem fiksyen sains yang muncul pada 2013 seperti Pacific Rim, Ironman,  X-men, Captain America dan seterusnya yang mengheret kita kepada skop perlawanan antara baik dan buruk semata-mata. Elysium pula mengandungi tema fiksyen sains yang berbeza dengan mengetengahkan isu perubatan, strata sosial masyarakat, jurang status hidup dan kepadatan penduduk bumi yang sudah tenat dihimpit pemanasan global.

Sepintas Lalu Jalan Cerita (Plot)

Filem ini dilatari dengan masyarakat distopia* di Bumi pada tahun 2154, iaitu Bumi ini sudah padat dengan penduduk dan habitat yang sesak. Namun demikian, penderitaan penduduk Bumi dibayangi oleh stesen angkasa seumpama istana kayangan di langit tinggi orbit yang bernama Elysium. Hanya segelintir masyarakat yang kaya layak berada di kota utopia** (segalanya sempurna). Tiada penderitaan, tiada persengketaan, tiada beban penyakit. Segalanya lengkap. Jika menghidap penyakit kronik, dengan pantas boleh sahaja berbaring di Medbay dan segalanya diubati dalam sekelip mata sahaja. 
Walaupun demikian, selebihnya masyarakat Bumi dihimpit kemiskinan, serba kekurangan dan terhad peluang mendapatkan rawatan. Tambahan pula, Bumi diperintah oleh orang kaya dari Elysium dengan dikawal selia oleh tentera robotik yang mengawal segenap penjuru kehidupan Bumi. Sesiapa sahaja yang cuba menerobos Elysium secara haram melalui geng penyeludup, akan dipintas dengan kejam malah dibunuh atau ditangkap sekiranya mendarat di kota angkasa tersebut.

Max Da Costa (Matt Damon) merupakan pekerja kilang Armadyne Corp yang menghasilkan robot pengawal dan senjata ketenteraan. Dia merupakan bekas penjenayah dan akhirnya bekerja secara sah untuk menyara hidup. Akan tetapi malang tidak berbau dia telah mengalami kemalangan terdedah kepada sinar radioaktif yang tinggi. Ia hanya diberikan 'tempoh' 5 hari sahaja lagi untuk hidup. Ini mendesaknya untuk ke Elysium untuk mengubat dirinya yang semakin lemah.  

Max meminta pertolongan seorang ketua penyeludup bernama Spider untuk ke Elysium, akan tetapi dengan 'harga' Max membantunya mendapatkan maklumat tatacara (programming) yang boleh merombak status warganegara Elysium kepada semua penduduk Bumi. Ini memandangkan hanya warganegara Elysium sahaja yang dapat menikmati rawatan Med-Bay. Tambahan pula, mereka telah mengenalpasti ada seorang pegawai penting  Armadyne Corp akan ke Elysium untuk merombak sistem agar Setiausaha Pertahanan Elysium, Delacourt menjadi Presiden Elysium. Max telah dipasangkan dengan ekso-sut khas yang dicantumkan komputer kepada kepalanya oleh ahli bedah geng Spider. 

Dalam misi memintas pegawai bernama Carlyle itu, Max dan geng Spider telah dipintas oleh askar upahan Delacourt yang diketuai Kruger dan berlakulah pertempuran. Dalam episod mengejar tersebut, Kruger telah menculik rakan sepermainan Max, Frey dan anaknya yang menghidap penyakit leukimia. Mereka telah terhempas di Elysium. 

Kruger akhirnya telah membunuh Delacourt dan bermaharajalela menguasai Elysium. Max berhadapan dengannya dan akhirnya dalam saat cemas itu sempat tiba di komputer teras Elysium bersama Spider. 


Spider, seorang pengaturcaraan (programmer) yang handal, menyedari bahawa jika hendak merombak sistem kewarganegaraan Elysium, pengaktifan program yang dibawa di komputer tercantum di kepala Max akan mengorbankannya. Max nekad, dan dirinya sebagai galang ganti. 

Kapal yang membawa Med-Bay turun ke Bumi setelah diprogramkan
seluruh penduduk Bumi adalah warganegara Elyisum.
Sistem Elysium dirombak, dan semua warga Bumi diterima sebagai warganegara Elysium. Kapal-kapal angkasa Med-Bay dihantar ke Bumi, membolehkan semua manusia berhak dan layak mendapatkan rawatan sewajarnya. 


Beberapa Tema:

1. Bumi yang Tenat

Gambaran kota metropolitan Los Angelas pada 2154
Bumi digambarkan sebagai sebuah habitat yang sesak dengan manusia dan tidak lagi selesa didiami. Lihat sahaja lautan manusia dan rumah berhimpit-himpit di Los Angeles di kediaman Max. 

Bumi pada 2154 adalah sangat panas dan cuacanya kering kontang. Mungkin kerana 'projection' kesan pemanasan global yang telah melanda sejak abad ke-21 lagi. Pemanasan global ini adalah isu sejagat yang sedang hangat diperkatakan. Perubahan iklim yang drastik dewasa ini, menurut para saintis adalah kerana pengeksploitasian melampau manusia menggunakan sumber tanpa menghiraukan Bumi ini untuk generasi mendatang. 


2. Tema Perubatan

Med-Bay, yang menggunakan teknologi 'atomizer'
Ini adalah antara tema yang menarik dalam filem ini. Bahkan, menjadi pemacu utama kepada jalan cerita. Tema tersebut adalah soal hak akan mendapatkan rawatan yang adil tanpa diskriminasi akan status, bangsa ataupun kekayaan. Perubatan merupakan antara perkara asasi dalam kehidupan. Semua insan merasakan bahawa kesihatan diri amat penting. Namun demikian, hanya warga Elysium boleh mendapatkan rawatan 'Atomizer' daripada mesin Med-Bay yang boleh merawat apa sahaja penyakit termasuk penyakit kronik. Max sendiri berkorban nyawa untuk mendapatkan rawatan bagi dirinya. Akan tetapi dalam beberapa insiden yang berlaku, Max sendiri menjadi galang ganti kepada seluruh penduduk Bumi. 

Robot yang melayan pelanggan di hospital
Berbeza dengan penduduk Bumi yang sesak, terdedah kepada pelbagai penyakit dan peluang tipis untuk mendapatkan rawatan terbaik sentiasa terdesak dan adakalanya nekad bertarung nyawa untuk menceroboh masuk Elysium. Mereka terpaksa bergantung kepada hospital umum yang sudah sedia sesak, doktor dan jururawatnya yang tidak menang tangan membantu pesakit, malahan pula pelayan di kaunter perkhidmatan ditugaskan kepada robot pelayan yang hanya 'membaca' skirp pengaturcaraan (programming) untuk mereka, lebih parah lagi tiada apa-apa perasaan ketika interaksi. 

Max 'dirawat' oleh robot yang memberinya pil dan
jangkahayat 5 hari!
Rakyat Bumi seperti Max mendapatkan layanan dan 'rawatan' daripada makhluk robot yang tiada perasaan dan 'mengira umur' berdasarkan kebarangkalian dan taakulan statistik yang ada dalam pengaturcaraan mikrocip mereka sahaja. Bayangkan, setelah Max telah disahkan mengalami sinaran radioaktif, robot itu menaakul nyawanya tinggal 5 hari dan memberi ubat!

Isu ini boleh kita lihat sekarang. Untuk mendapatkan rawatan terbaik bagi penyakit kronik, maka ribuan malah terkadang ratusan ribu wang ringgit dibelanjakan. Untuk kos yang tinggi ini, tidak semua orang mampu. Jika tiada wang, maka tiadalah ruang untuk berikhtiar agar pulih. 

Robot pengawal Elysium yang membanteras imigran yang
menceroboh kota angkasa itu. Sebahagian mereka ditembak dan
dibunuh. Sebahagian mereka dipenjarakan dan dihantar balik ke Bumi.
Kasihan golongan berpendapatan rendah ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Jika di hospital umum kerajaan pun, terkadang terpaksa menunggu giliran yang lama untuk mendapatkan rawatan. Jikalau penyakit kronik, mungkin terpaksa menunggu selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun! Ini baru Malaysia. Kita belum lagi saksikan sendiri di negara yang kecil, miskin, penduduknya padat dan terhadnya staf perubatan yang bertugas. Elysium secara halus mengkritik ketidakseimbangan ini. 


3. Jurang Status Kekayaan

Robot pengawal yang mengiringi orang kaya dan mengawal
ketat kehidupan orang Bumi
Wujud jurang yang ketara antara rakyat Bumi dan warganegara Elysium. Hanya orang kaya sahaja yang hidup mereka sempurna dengan kemewahan dan rawatan penyakit. Orang kaya pula memerintah dari jauh dengan bersenjatakan robot-robot yang tiada mengenal perasaan dan perikemanusiaan. Sedangkan majoriti rakyat Bumi adalah orang-orang biasa yang terhimpit dengan kemiskinan, kekurangan sumber dan juga dalam keharuan keadaan kesihatan mereka. 
                                 
Isu dalam Elysium ini sebenarnya menggamit kritikan kepada keadaan dunia pada hari ini yang begitu tidak seimbang. Dek kerana kerakusan golongan minoriti yang dibuai dengan kesenangan, mereka mengeksploitasi golongan lemah majoriti untuk meraih kesenagan sementara. Harta hanya berlegar di kalangan segelintir kecil manusia. Makanan mahal-mahal, kereta mewah sedozen, rumah besar-besar. Pernah terdengar di sebuah negara, ada orang membayar nombor plat kereta dengan harga jutaan ringgit!

Kesimpulan

Ulasan yang ringkas ini membawakan pencerahan beberapa aspek yang menjadikan filem fiksyen sains Elysium amat menarik ditelaah. Fiksyen sains berperananan membawakan isu-isu hari ini tetapi diterjemahkan kepada masa hadapan. Ini kerana sifat manusia lebih kurang sama sahaja setiap zaman, hanya berubah dari segi rupa. Filem ini mengimbau 'projection' ataupun jangkauan yang tidak mustahil berlaku. 

Apabila wujudnya jurang status hidup yang ketara, maka ketidakseimbangan ini akan mengundang perkara yang lain, antaranya bersangkut paut dengan kestabilan alam. Dan yang lebih menjadi fokus jalan cerita, adalah bagaimana manusia dapat berjuang untuk kesihatan diri, keluarga dan komuniti dalam meniti masa depan yang kian tidak pasti. Kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan sematkan dalam kehidupan kita. 

Keseimbangan hanya berlaku apabila dalam jiwa ini adanya keimanan yang merupakan buah ilmu yang akan menjadi penimbang tara dalam segenap aspek pemikiran, gaya pandang sesuatu dan tindakan kehidupan yang fana ini. Jalan bahagia hanya ada pada agama yang membantu hidup dan meringankan beban derita kita semua. Islam memberikan prinsip dasar bersederhana dalam kehidupan dan Tuhan mengamanahkan manusia berperanan sebagai khalifah yang mentadbirkan sumber dengan saksama tanpa menzalimi sesiapa pun. Oleh sebab umat Islam berada dalam kemunduran dek kegersangan ilmu dan amal, maka tidak hairan kita dalam keadaan tertindas. Ayuh. Bangkitlah. 



GLOSARI: 

1.   Distopia[1]: Istilah moden yang dicipta bertentangan dengan utopia[2] dan berkaitan dengan bayangan kehidupan dalam kekhuatiran, terutamanya tentang jangkaan masa depan (projected future). Juga diistilahkan sebagai ‘tempat buruk.’[3]

2.   Utopia: Satu bentuk komuniti masyarakat yang ideal ataupun lebih baik; sama ada hasil fiksyen ataupun spekulasi falsafah yang menghuraikan keadaan masyarakat.





[1] Baldick, C., (2004). Oxford concise dictionary of literary terms, p 74. Oxford University Press: UK
[2] Ibid, p. 269.
[3] Ibid, p. 269.

No comments: