Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, April 21, 2014

[TEMA] TERORISME, ISLAM, FIKSYEN SAINS (Prebiu)

Sebelum kejatuhan Republik Kesatuan Sosialis Soviet, novelis techno-thriller yang berorientasikan teknologi canggih ketenteraan seperti Tom Clancy menggunakan isu Perang Dingin Amerika-Soviet sebagai tema penulisan mereka. 


Namun apabila 'Tabir Besi' empayar komunis, novelis Barat menjadikan Islam sebagai sasaran. Di sebalik tema fiksyen sains yang amat luas, genre ini juga tidak terlepas menggunakan tema ini dan menjadikan Islam sebagai sasaran isu. Tema ini terkandung dalam bentuk penulis ataupun karyawan, sama ada adalam filem, anime bersiri, novel ataupun game. 



Menurut Dr. Adian Husaini(2005) dalam buku beliau, Wajah Peradaban Barat, perubahan keseluruhan dasar oleh Barat ini (politik dan pemikiran) adalah pengaruh wacana perselingkuhan Islam-Barat yang digencarkan oleh pemikir seperti Samuel P. Hutington dan Benard Lewis melalui penulisan mereka seperti The Clash of Civilization.

Kejatuhan Menara Berkembar WTC pada 9 September 2001 ataupun 9/11 telah menganjakkan isu ini ke tahap yang lebih ekstrem, Islam terpalit dengan keganasan. Keadaan yang serius ini memberikan pukulan hebat kepada umat Islam sehingga menatijahkan penaklukan dan penjarahan Afghanistan (2002) dan Iraq (2003). 

Pasca Peristiwa 9/11, terdapat beberapa karya fiksyen sains yang bertemakan terorisme dan Islam muncul. Rata-rata fiksyen sains yang terbit adalah respon negatif dan ekstrapolasi masa hadapan yang seolah-olah 'menjanjikan' bahawa Islam itu adalah perencat kepada tamadun, pengganas perobek dunia dan diperangi pula oleh pengganas sebenar.
Gerila KPSA Republik Krugis menentang tentera
Republik Azadistan. Gerila ini digambarkan ekstremis
Islam yang juga bermaharajalela di luar wilayah untuk
meraih sokongan dan memberi amaran.
Global Liberation Army (GLA) salah satu
daripada pihak antagonis yang jahat.
Seolah-olah representasi dunia Islam
yang radikal.

Sebutkan; Gundam 00 (2007) dengan Soran Ibrahim sebagai anggota KPSA yang akhirnya jatuh ke lembah kekufuran (awalannya perang atas nama Tuhan) tetapi akhirnya mengaku bahawa Tuhan itu tiada. Game Command and Conquer: General (2001) pula adalah penyebar propaganda, dan 'meramalkan' kejatuhan Iraq dan Afghanistan. Filem Ironman (2008) pula, Tony Stark menentang teroris berwajah Muslim di Afghanistan.

Tony Stark, pemilik Ironman yang telah ditawan oleh
gerila radikal Islam 'Ten Rings' yang berpusat di
Afghanistan. 
Insya-Allah cadangan bermula 7 Mei 2014 (Rabu) kelak, isu ini akan dikupas dalam beberapa bahagian secara lanjut dalam blog bicara fiksyen sains di sudut Muslim, saifaiislami.blogspot.com.

PACIFIC RIM, CHINA dan AMERIKA SYARIKAT


Fiksyen sains Pacific Rim telah menggegarkan layar perak dunia pada tahun lepas dengan perselingkuhan robot gergasi Jaegar dan raksasa pembinasa Kaiju di Lingkaran Lautan Pasifik. Filem ini memaparkan usaha genting manusia yang di ambang kepupusan kerana terpaksa menghadapi serangan makhluk asing raksasa yang dinamakan Kaiju (raksasa dalam bahasa Jepun). Untuk melawan raksasa Kaiju, maka direka pula Jaegar yang bermaksud pemburu dalam Bahasa Jerman. Filem ini telah mendapat kutipan $USD411 juta, termasuk $USD114 juta adalah hasil daripada China.


Meskipun begitu, filem ini telah mendapat kritikan keras daripada pegawai tentera China yang mendakwa meracuni fikiran rakyat China dengan propaganda Amerika Syarikat. 


Mungkin ada kebenarannya. Menurut beberapa blog, filem ini bersifat antarabangsa, akan tetapi bersifat dominatif (menguasai orang lain), yang secara halusnya dunia ini dipimpin oleh Amerika Syarikat. 


Menurut filem ini, pihak China turut mempunyai robot gergasi Jaegar yang amat canggih, dilengkapi dengan sistem kawalan dan persenjataan digital terkini. Namun demikian, robot milik China inilah yang tumbang dahulu! Manakala, robot Amerika yang sudahpun usang, menggunakan teknologi yang lama pula yang tetap menang. Konon, secanggih mana pun 'Made in China,' tetap buatan Amerika itu unggul sekalipun sudah dimamah usia!

Propaganda yang sudah diketahui dan tiada tersembunyi lagi...

Thursday, April 17, 2014

Ironman: Ironi Wajah Teroris Sebenar


Melihat iklan di TV3, malam ini Mega Movie menyiarkan filem Ironman (2008). Dalam filem fiksyen sains ini, digembar-gemburkan watak jahatnya (antagonis) adalah kumpulan teroris 'Ten Rings' yang juga digambarkan dengan berwajahkan orang Islam radikal.

                               

Tony Stark, seorang jutawan senjata telah ditawan di Afghanistan, dan dibawa oleh teroris tersebut ke pangkalan kubu gua mereka. Di sana, ketuanya Reza mengancam Stark untuk menghasilkan misil yang sama sepertimana demonstrasinya kepada tentera Amerika. Akan tetapi, Stark mempunyai rancangan sebaliknya, iaitu membina ekso-sut besi waja untuk menerobos melepaskan diri.


Kononnya Stark yang mewakili Amerika ini adalah pembela kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Kita dapat saksikan Stark yang menggunakan sut Ironman bergegas dari Benua Amerika langsung ke Afghanistan, dan menyapu habis teroris yang menyerang perkampungan.

Ironinya mengaku sebagai pejuang kebebasan, tetapi realiti yang berlaku sebenar bukan sahaja di Afghanistan, bahkan Iraq juga mereka menjarah membolot hasil bumi. Maruah umat Islam dinodai dengan pelbagai macam makar. Manakala pejuang yang mempertahankan kedaulatan negara dan agamanya dicop sebagai penjenayah ataupun biasanya teroris. Jika tidak pun, yang digambarkan adalah versi orang Islam radikal, ekstremis yang berhati sejuk bermaharajalela yang tidak mewakili dengan tepat sebilangan besar pandangan, prinsip dan kehidupan orang Islam.


                             

Ya, kita mungkin terpegun kaget akan kecanggihan teknologi pemasangan, kekebalan dan kelincahan Ironman. Kita telah terpedaya dengan ilusi teknologi, ya seakan sihir dalam genre fantasi. Betapa halusnya serangan propaganda pemikiran hegemoni imperialis ini menerapkan agenda mereka melalui fiksyen sains.

Telitilah dengan mata hati yang terbuka, bukan tonton semata-mata...

RENUNGAN MASA

Ada saintis yang sudah mencuba untuk 'mengembalikan' masa kepada sebelumnya. Konsep ini dibawakan oleh fiksyen sains melalui 'pengembaraan masa' yang dimulai dengan H. G. Wells yang diterbitkan pada tahun 1895. Antara fiksyen sains yang mempopularkan tema ini adalah 'Back to the Future' pada tahun 1980-an. Namun sehingga kini, tiada teknologi yang membuahkan kejayaan, dan hanya tergantung di peringkat teori dan fiksyen sahaja.



Berbalik kepada mengenal keadaan kewujudan manusia, masa merupakan 'pengikat' yang paling mempengaruhi kehidupan manusia. Betapa manusia ingin kembali kepada masa lampau dan membetulkan kesalahannya, baik untuk tujuan positif mahupun negatif. Walaubagaimanapun, manusia akhirnya perlu akur bahawa Empunya masa, iaitu Allah Tuhan Sarwa Alam tetap mengungguli dalam apa jua keadaan. Takdir dan ketentuan kehidupan alam ini telah ditetapkan pada masa yang telah dijanjikan.

Suatu ketika kelak masa kita berakhir, dan berakhirnya alam. Dunia ini sesungguhnya tempat ladang menanam benih-benih amalan, manakala Akhirat kelak kita akan tuai hasilnya. Jangan kelak kita menyesal, dan ingin dikembalikan ke dunia semula.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Iaitu kecuali orang-orang beriman yang berpesan-pesan kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, 103:1-3)

Fikir dan renung....

Tuesday, April 15, 2014

[TIPS] NZ-666 Kshatriya dan Inspirasi Alam

 Satu kelaziman dalam rekaan teknologi adalah mengambil contoh daripada sampel alam. Sebutkan sahaja, rekabentuk kapal selam menyerupai sifat ikan, kapal terbang menyerupai burung, helikopter menyerupai pepatung, lensa kamera daripada biji mata, tangan bionik (mekanikal) adalah inspirasi tangan sebenar dan tidak terkira lagi. Begitu juga fiksyen sains, dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai konsep rekaan teknologi yang unik.


Pendekkan cerita, rekaan daripada alam yang hakikatnya daripada Tuhan yang sempurna itulah yang seringkali diikuti. Ini kerana Dia-lah 'Arkitek' yang empunya segala ciptaan-Nya yang serba sempurna.


 
Salah satu contoh di sini adalah sebuah robot gergasi (mecha) jentera perang milik Neo-Zeon dalam siri filem Gundam Unicorn, iaitu NZ-666 Kshatriya. Kshatriya menyerupai sejenis buah (lupa nama sebenarnya, contoh ini adalah tumbuhan 'viola') yang menggunakan mekanisme letupan untuk kemandirian speseisnya menyebarkan benih. 

             

Kshatriya menggunakan konsep yang sama, iaitu berpuluh-puluh senjata funnel seperti 'biji benih' tersebar di angkasa dan menyerang musuh dengan bedilan laser. Apabila selesai tugas, funnel ini akan kembali kepada tempatnya masing-masing. Funnel ini dikawal secara minda oleh jurupandu Mobile Suit ini. Idea yang kreatif dan tidak mustahil dapat direalisasikan.

Daripada manakah idea ini? Bersumberkan alam, yang hakikatnya diciptakan oleh Allah Tuhan yang Maha Kuasa 

Monday, April 14, 2014

Iktibar: Nyamuk

Nyamuk merupakan makhluk Allah yang hebat. Allah telah menyatakan Kehebatan Qudrat-Nya dengan menjadikan nyamuk itu sebagai peringatan buat kita dalam Surah al-Baqarah. 

Betapa hebatnya Allah menjadikan nyamuk ini haiwan yangmelebihi teknologi VTOL (Vertical Take Off and Landing). Nyamuk mampu bergerak secara vertical ataupun horizontal dan melakukan maneuver (pergerakan lincah) yang luar biasa di udara. Selama ribuan tahun makhluk ini hidup, baru dalam 100 tahun ini manusia dapat mereka helikopter ataupun pesawat VTOL. Itupun melibatkan banyak eksperimen yang melibatkan jutaan ringgit.

Hebatnya Allah dengan nyamuk ini, mampu membedah mangsanya secara halus untuk menghirup darah manusia ataupun haiwan, selama ribuan tahun.


Hebatnya Allah, makhluk nyamuk ini telah menewaskan Raja Namrud yang angku mengaku dirinya tuhan di hadapan Rasul Allah Nabi Ibrahim. Nyamuk telah memasuki rongga hidung raja yang zalim itu. Dek kerana tidak tahan akan penderitaan nyamuk itu berdengung lama dalam kepalanya, Raja Namrud menamatkan riwayatnya sendiri dengan mengetuk kuat kepalanya kerana mahu membunuh nyamuk itu..

Jentera jihad dalam novel Galaksi Muhsinin 'Aadiyat Ad-100' adalah berlandaskan kepada konsep rekabentuk dan penerbangan nyamuk.
http://saifaiislami.blogspot.com/2008/12/gm-aadiyat.html

Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana Menciptakan dengan Ilmu, Qudrat dan Iradat-Nya ...

Friday, April 11, 2014

Luasnya Galaksi, Agungnya Tuhan

Apabila kita mendongak ke langit, boleh jadi titik-titik yang kita sangka bintang adalah gumpalan galaksi yang maha luas. Galaksi Bimasakti yang kita diami ini sahaja sudah mempunyai lebih 200 juta bintang dalamnya. Lebar diameter galaksi ini adalah sebesar 25,000 tahun-cahaya. 'Jiran' antara galaksi ke galaksi lain adalah sejauh 6 sehingga 8 juta tahun cahaya jauhnya, terkumpulkan dalam kluster kira-kira 40 buah galaksi.

Maha Suci Allah, luasnya sarwa alam ini, nyatalah kekerdilan kita di hadapan Qudrat (Kekuasaan) dan Iradat-Nya (Kemahuan-Nya). 

"(Allah) Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan yang Maha Pengasih. Maka sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?" ~(Surah al-Mulk, 67:3)


Rujukan:
1. al-Quranul Karim
2. Garlick, M. A dan Tirion, W., (2010). The illustrated atlas of the universe. Weldon Owen Production: Australia.

Wednesday, April 9, 2014

Elysium: Fiksyen Sains Distopia yang Unik

Dalam banyak filem fiksyen sains yang ditonton (saya agak cerewet memilih), filem Elysium membawakan pembawaan cerita, pertembungan ideologi serta cara hidup dan 'projection' atau spekulasi masa hadapan yang unik. Filem ini tidak seperti filem fiksyen sains yang muncul pada 2013 seperti Pacific Rim, Ironman,  X-men, Captain America dan seterusnya yang mengheret kita kepada skop perlawanan antara baik dan buruk semata-mata. Elysium pula mengandungi tema fiksyen sains yang berbeza dengan mengetengahkan isu perubatan, strata sosial masyarakat, jurang status hidup dan kepadatan penduduk bumi yang sudah tenat dihimpit pemanasan global.

Sepintas Lalu Jalan Cerita (Plot)

Filem ini dilatari dengan masyarakat distopia* di Bumi pada tahun 2154, iaitu Bumi ini sudah padat dengan penduduk dan habitat yang sesak. Namun demikian, penderitaan penduduk Bumi dibayangi oleh stesen angkasa seumpama istana kayangan di langit tinggi orbit yang bernama Elysium. Hanya segelintir masyarakat yang kaya layak berada di kota utopia** (segalanya sempurna). Tiada penderitaan, tiada persengketaan, tiada beban penyakit. Segalanya lengkap. Jika menghidap penyakit kronik, dengan pantas boleh sahaja berbaring di Medbay dan segalanya diubati dalam sekelip mata sahaja. 
Walaupun demikian, selebihnya masyarakat Bumi dihimpit kemiskinan, serba kekurangan dan terhad peluang mendapatkan rawatan. Tambahan pula, Bumi diperintah oleh orang kaya dari Elysium dengan dikawal selia oleh tentera robotik yang mengawal segenap penjuru kehidupan Bumi. Sesiapa sahaja yang cuba menerobos Elysium secara haram melalui geng penyeludup, akan dipintas dengan kejam malah dibunuh atau ditangkap sekiranya mendarat di kota angkasa tersebut.

Max Da Costa (Matt Damon) merupakan pekerja kilang Armadyne Corp yang menghasilkan robot pengawal dan senjata ketenteraan. Dia merupakan bekas penjenayah dan akhirnya bekerja secara sah untuk menyara hidup. Akan tetapi malang tidak berbau dia telah mengalami kemalangan terdedah kepada sinar radioaktif yang tinggi. Ia hanya diberikan 'tempoh' 5 hari sahaja lagi untuk hidup. Ini mendesaknya untuk ke Elysium untuk mengubat dirinya yang semakin lemah.  

Max meminta pertolongan seorang ketua penyeludup bernama Spider untuk ke Elysium, akan tetapi dengan 'harga' Max membantunya mendapatkan maklumat tatacara (programming) yang boleh merombak status warganegara Elysium kepada semua penduduk Bumi. Ini memandangkan hanya warganegara Elysium sahaja yang dapat menikmati rawatan Med-Bay. Tambahan pula, mereka telah mengenalpasti ada seorang pegawai penting  Armadyne Corp akan ke Elysium untuk merombak sistem agar Setiausaha Pertahanan Elysium, Delacourt menjadi Presiden Elysium. Max telah dipasangkan dengan ekso-sut khas yang dicantumkan komputer kepada kepalanya oleh ahli bedah geng Spider. 

Dalam misi memintas pegawai bernama Carlyle itu, Max dan geng Spider telah dipintas oleh askar upahan Delacourt yang diketuai Kruger dan berlakulah pertempuran. Dalam episod mengejar tersebut, Kruger telah menculik rakan sepermainan Max, Frey dan anaknya yang menghidap penyakit leukimia. Mereka telah terhempas di Elysium. 

Kruger akhirnya telah membunuh Delacourt dan bermaharajalela menguasai Elysium. Max berhadapan dengannya dan akhirnya dalam saat cemas itu sempat tiba di komputer teras Elysium bersama Spider. 


Spider, seorang pengaturcaraan (programmer) yang handal, menyedari bahawa jika hendak merombak sistem kewarganegaraan Elysium, pengaktifan program yang dibawa di komputer tercantum di kepala Max akan mengorbankannya. Max nekad, dan dirinya sebagai galang ganti. 

Kapal yang membawa Med-Bay turun ke Bumi setelah diprogramkan
seluruh penduduk Bumi adalah warganegara Elyisum.
Sistem Elysium dirombak, dan semua warga Bumi diterima sebagai warganegara Elysium. Kapal-kapal angkasa Med-Bay dihantar ke Bumi, membolehkan semua manusia berhak dan layak mendapatkan rawatan sewajarnya. 


Beberapa Tema:

1. Bumi yang Tenat

Gambaran kota metropolitan Los Angelas pada 2154
Bumi digambarkan sebagai sebuah habitat yang sesak dengan manusia dan tidak lagi selesa didiami. Lihat sahaja lautan manusia dan rumah berhimpit-himpit di Los Angeles di kediaman Max. 

Bumi pada 2154 adalah sangat panas dan cuacanya kering kontang. Mungkin kerana 'projection' kesan pemanasan global yang telah melanda sejak abad ke-21 lagi. Pemanasan global ini adalah isu sejagat yang sedang hangat diperkatakan. Perubahan iklim yang drastik dewasa ini, menurut para saintis adalah kerana pengeksploitasian melampau manusia menggunakan sumber tanpa menghiraukan Bumi ini untuk generasi mendatang. 


2. Tema Perubatan

Med-Bay, yang menggunakan teknologi 'atomizer'
Ini adalah antara tema yang menarik dalam filem ini. Bahkan, menjadi pemacu utama kepada jalan cerita. Tema tersebut adalah soal hak akan mendapatkan rawatan yang adil tanpa diskriminasi akan status, bangsa ataupun kekayaan. Perubatan merupakan antara perkara asasi dalam kehidupan. Semua insan merasakan bahawa kesihatan diri amat penting. Namun demikian, hanya warga Elysium boleh mendapatkan rawatan 'Atomizer' daripada mesin Med-Bay yang boleh merawat apa sahaja penyakit termasuk penyakit kronik. Max sendiri berkorban nyawa untuk mendapatkan rawatan bagi dirinya. Akan tetapi dalam beberapa insiden yang berlaku, Max sendiri menjadi galang ganti kepada seluruh penduduk Bumi. 

Robot yang melayan pelanggan di hospital
Berbeza dengan penduduk Bumi yang sesak, terdedah kepada pelbagai penyakit dan peluang tipis untuk mendapatkan rawatan terbaik sentiasa terdesak dan adakalanya nekad bertarung nyawa untuk menceroboh masuk Elysium. Mereka terpaksa bergantung kepada hospital umum yang sudah sedia sesak, doktor dan jururawatnya yang tidak menang tangan membantu pesakit, malahan pula pelayan di kaunter perkhidmatan ditugaskan kepada robot pelayan yang hanya 'membaca' skirp pengaturcaraan (programming) untuk mereka, lebih parah lagi tiada apa-apa perasaan ketika interaksi. 

Max 'dirawat' oleh robot yang memberinya pil dan
jangkahayat 5 hari!
Rakyat Bumi seperti Max mendapatkan layanan dan 'rawatan' daripada makhluk robot yang tiada perasaan dan 'mengira umur' berdasarkan kebarangkalian dan taakulan statistik yang ada dalam pengaturcaraan mikrocip mereka sahaja. Bayangkan, setelah Max telah disahkan mengalami sinaran radioaktif, robot itu menaakul nyawanya tinggal 5 hari dan memberi ubat!

Isu ini boleh kita lihat sekarang. Untuk mendapatkan rawatan terbaik bagi penyakit kronik, maka ribuan malah terkadang ratusan ribu wang ringgit dibelanjakan. Untuk kos yang tinggi ini, tidak semua orang mampu. Jika tiada wang, maka tiadalah ruang untuk berikhtiar agar pulih. 

Robot pengawal Elysium yang membanteras imigran yang
menceroboh kota angkasa itu. Sebahagian mereka ditembak dan
dibunuh. Sebahagian mereka dipenjarakan dan dihantar balik ke Bumi.
Kasihan golongan berpendapatan rendah ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Jika di hospital umum kerajaan pun, terkadang terpaksa menunggu giliran yang lama untuk mendapatkan rawatan. Jikalau penyakit kronik, mungkin terpaksa menunggu selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun! Ini baru Malaysia. Kita belum lagi saksikan sendiri di negara yang kecil, miskin, penduduknya padat dan terhadnya staf perubatan yang bertugas. Elysium secara halus mengkritik ketidakseimbangan ini. 


3. Jurang Status Kekayaan

Robot pengawal yang mengiringi orang kaya dan mengawal
ketat kehidupan orang Bumi
Wujud jurang yang ketara antara rakyat Bumi dan warganegara Elysium. Hanya orang kaya sahaja yang hidup mereka sempurna dengan kemewahan dan rawatan penyakit. Orang kaya pula memerintah dari jauh dengan bersenjatakan robot-robot yang tiada mengenal perasaan dan perikemanusiaan. Sedangkan majoriti rakyat Bumi adalah orang-orang biasa yang terhimpit dengan kemiskinan, kekurangan sumber dan juga dalam keharuan keadaan kesihatan mereka. 
                                 
Isu dalam Elysium ini sebenarnya menggamit kritikan kepada keadaan dunia pada hari ini yang begitu tidak seimbang. Dek kerana kerakusan golongan minoriti yang dibuai dengan kesenangan, mereka mengeksploitasi golongan lemah majoriti untuk meraih kesenagan sementara. Harta hanya berlegar di kalangan segelintir kecil manusia. Makanan mahal-mahal, kereta mewah sedozen, rumah besar-besar. Pernah terdengar di sebuah negara, ada orang membayar nombor plat kereta dengan harga jutaan ringgit!

Kesimpulan

Ulasan yang ringkas ini membawakan pencerahan beberapa aspek yang menjadikan filem fiksyen sains Elysium amat menarik ditelaah. Fiksyen sains berperananan membawakan isu-isu hari ini tetapi diterjemahkan kepada masa hadapan. Ini kerana sifat manusia lebih kurang sama sahaja setiap zaman, hanya berubah dari segi rupa. Filem ini mengimbau 'projection' ataupun jangkauan yang tidak mustahil berlaku. 

Apabila wujudnya jurang status hidup yang ketara, maka ketidakseimbangan ini akan mengundang perkara yang lain, antaranya bersangkut paut dengan kestabilan alam. Dan yang lebih menjadi fokus jalan cerita, adalah bagaimana manusia dapat berjuang untuk kesihatan diri, keluarga dan komuniti dalam meniti masa depan yang kian tidak pasti. Kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan sematkan dalam kehidupan kita. 

Keseimbangan hanya berlaku apabila dalam jiwa ini adanya keimanan yang merupakan buah ilmu yang akan menjadi penimbang tara dalam segenap aspek pemikiran, gaya pandang sesuatu dan tindakan kehidupan yang fana ini. Jalan bahagia hanya ada pada agama yang membantu hidup dan meringankan beban derita kita semua. Islam memberikan prinsip dasar bersederhana dalam kehidupan dan Tuhan mengamanahkan manusia berperanan sebagai khalifah yang mentadbirkan sumber dengan saksama tanpa menzalimi sesiapa pun. Oleh sebab umat Islam berada dalam kemunduran dek kegersangan ilmu dan amal, maka tidak hairan kita dalam keadaan tertindas. Ayuh. Bangkitlah. 



GLOSARI: 

1.   Distopia[1]: Istilah moden yang dicipta bertentangan dengan utopia[2] dan berkaitan dengan bayangan kehidupan dalam kekhuatiran, terutamanya tentang jangkaan masa depan (projected future). Juga diistilahkan sebagai ‘tempat buruk.’[3]

2.   Utopia: Satu bentuk komuniti masyarakat yang ideal ataupun lebih baik; sama ada hasil fiksyen ataupun spekulasi falsafah yang menghuraikan keadaan masyarakat.





[1] Baldick, C., (2004). Oxford concise dictionary of literary terms, p 74. Oxford University Press: UK
[2] Ibid, p. 269.
[3] Ibid, p. 269.

Tuesday, April 1, 2014

Rise of the Machines: The Military Drones are Coming Home



Dokumentari menarik tentang Unmanned Aerial Vehicle (UAV). Menurut P. W. Singer dalam bukunya "Wired for War: The Robotics Revolutions and Conflict in the 21st Century", teknologi robotik menjadi halatuju teknologi seterusnya selepas ini. Teknologi ini dijangka merombak banyak aspek kehidupan, bukan sahaja dalam bidang ketenteraan sahaja. Dalam sinopsis buku tersebut:

"... Singer shows how technology is changing not just how wars are fought, but also the politics, economics, laws and the ethics that surround itelf."

Perang di Iraq sahaja, sejak 2003 lebih 12,000 sistem robotik digunakan. Di Afghanistan, dron UAV Predator menjangkau lebih 5,300 buah. Banyak jiwa kaum Muslimin di Afghanistan dan Pakistan melayang kerana jentera pembunuh ini, yang dikawal beribu batu dari Nevada, Amerika Syarikat.
MQ-9 Reaper, dron yang beroperasi aktif di Afghanistan
Dijangka menjelang tahun 2020, akan terdapat lebih 30,000 UAV akan digunakan di Amerika Syarikat, melibatkan penguatkuasaan undang-undang, mencari dan menyelamat, pemantauan dan sebagainya. Daripada teknologi ketenteraan, dron robotik bakal merombak kehidupan.


Bermula daripada angan-angan fiksyen sains, pengkaji melihat bahawa teknologi robotik melangkah kepada realiti dalam kehidupan. Teknologi seperti UAV tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan, yang menyaksikan banyak projek UAV dan seumpamanya (UUV - Underwater Unmanned Vehicle, UGV, Unmanned Ground Vehicle, ROV - Remotely Operated Vehicle) oleh firma swasta, universiti mahupun pencinta hobi. P. W. Singer 'memberikan kredit' kepada fiksyen sains yang memberi pengaruh langsung kepada perkembangan ini. Dalam bukunya mengatakan:

"A military expert reveals how science fiction is starting to become reality on the battlefield."

Umat Islam perlu ada sebilangan daripada mereka seperti yang menuntut dalam jurusan Mekatronik menceburi, menjelajah bidang ini. Rasanya menjadi fardhu kifayah buat mereka. Penghasilannya boleh dibuat daripada sekecil-kecil projek yang boleh dibina daripada perkakas dan alat yang mudah didapati di pasaran. Supaya jika ada insiden yang berlaku, negara kita tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada teknologi dan kepakaran luar.