Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Thursday, December 30, 2010

Monday, September 13, 2010

StarCraft II: Kemunculan Semula Setelah 12 Tahun


Pelancaran StarCraft II: Wings of Liberty bahagian pertama pada Julai 2010 yang lalu telah mengakhiri penantian jutaan peminat game sains fiksyen saga StarCraft selama 12 tahun. Saga ini dibangunkan oleh Blizzard Entertainment. Siri awal StarCraft dilancarkan pada 1998 disusuli dengan expansion pack StarCraft: Brood War. Game StarCraft yang seterusnya diikuti oleh StarCraft: Ghost pada 2002.

StarCraft II bakal menenggelamkan real-time strategy (RTS) 2010, lantaran jalan cerita yang menarik, gameplay yang unik serta didokong dengan video sinematik yang mantap, menjadikan seolah-olah menonton wayang di pawagam. Hanya bezanya ialah, peminat dapat berinteraksi dan beraksi bersama watak. Kemunculan StarCraft II mungkin akan menggerhanai Command & Conquer 4 (walaupun telah bertapak awal sebelum 1998, mempunyai peminiat setia dan pernah memecah rekod) lantas melonjakkan dirinya sebagai sains fiksyen yang semakin bertapak kukuh.

Keluaran StarCraft yang pertama kali muncul pada 1998 telah meletakkan dirinya sebagai game RTS terbaik dengan jualan sebanyak 9.5 juta set terjual di seluruh dunia. Sekaligus, StarCraft telah memenangi anugerah Blizzard Entertainment Origins Award for Best Strategy Computer Game of 1998.

Saga StarCraft mengisahkan pertembungan sengit antara tiga speseis bangsa di Sektor Koprulu, terletak kira-kira 60, 000 tahun cahaya dari bumi. Persaingan tersebut adalah di pihak Terran (keturunan banduan manusia yang telah ‘dibuang’ dari bumi atas nama kemajuan evolusi), Protoss (bangsa mistik yang menggunakan teknologi kristal dan kekuatan minda psionik) dan akhir sekali ialah Zerg (sekumpulan makhluk asing yang berkumpul dan dikawal oleh sarang berakal - hive).
Terran

Protoss

Zerg


i. Sinopsis Ringkas Saga StarCraft

StarCraft (Episod I-III, Great War)
Dalam konflik tersebut, bangsa terran – manusia berjuang untuk terus hidup dalam suasana dan keadaan yang amat berbahaya. Namun, dengan akal kreatif yang dianugerahkan kepada mereka, sebuah tamadun baru dibina dengan segala sumber yang ada. Malangnya, dalam awal siri StarCraft, tanpa disedari, mereka telah tersepit dalam pertualangan sengit antara Zerg dan Protoss, bermula di planet Chau Sara, kemudian di Mar Sara.

Keadaan huru-hara sekali. Tambahan lagi, keadaan bertambah kritikal kerana pemerintah terran, kerajaan Confederate sambil lewa. Confederate mengalami masalah korupsi dan kerosakan yang bermaharajalela. Koloni Terran terdedah kepada bahaya serangan Zerg yang tiada rasa belas kasihan memusnahkan apa sahaja hidupan yang mereka jumpai. Marshall Jim Raynor, seorang pemimpin bebas tempatan membantu membentengi rakyat koloni menghadapi keadaan yang amat genting itu menghadapi serangan Zerg. Akibat jasanya menghalang kemaraan Zerg, Confederate telah melucutkan jawatan Marshall kerana dituduh menyerang fasiliti mereka (walhal telah ‘dicemari’) oleh Zerg.
Jim Raynor

Muncullah seorang pemimpin terran daripada pecahan Sons of Korhal, Acturus Mengsk yang bangkit menentang Confederate. Acturus seorang politikus yang licik, propagandis dan pintar dalam strategi. Acturus membebaskan Jim Raynor dengan jaminan kesetiaan kepadanya, dalam menumbangkan Confederate. Acturus mendendami Confederate atas sejarah silam; seluruh ahli keluarganya dibunuh dan berjuta-juta rakyat planet Korhal IV telah dimusnahkan dengan bom nuklear.

Revolusi yang dilancarkan oleh Acturus juga dibantu oleh seorang askar elit halimunan-psikik; Ghost yang bernama Sarah Kerrigan. Kerrigan merupakan sahabat lama Jim Raynor. Ghost seperti Kerrigan mempunyai keupayaan minda psionik; iaitu mampu 'berbual' melalui telepati dan membaca fikiran orang lain. Mereka telah menawan sebuah alat pengumpan Zerg ciptaan Confederate, iaitu pemancar psi. Kemarahan semakin menyala apabila terdapat bukti-bukti bahawa Confederate sebenarnya tahu kewujudan Zerg dan sengaja menjadikan planet Mar Sara sebagai bahan ujikaji eksperimen.
Acturus Mengsk

Acturus melancarkan revolusi pemberontakan yang seterusnya melemahkan Confederate. Ia mahu menggunakan pemancar psi untuk membalas dendam dengan menanam alat tersebut di kota planet Tarsonis, pusat Confederate. Alat tersebut mengumpan Zerg berduyun-duyun ke pusat pemancar dan akhirnya tidak ada manusia yang hidup akibat serangan Zerg. Terbit rasa jijik dan tidak puas hati di kalangan Jim Raynor, Kerrigan dan lain-lain atas tindakan jenayah Acturus yang keterlaluan dalam dendamnya..
Sarah Kerrigan terperangkap di New Gettysburg, Tarsonis

Keadaan berubah ketika pertempuran di kota New Gettysburg, Tarsonis. Kota tersebut merupakan kota terakhir tempat orang Confederate berlindung. Acturus mahukan kemusnahan total kepada mereka semua. Namun demikian, kewujudan Protoss yang mahu menghapuskan Zerg akan mengalihkan perhatian Zerg memusnahkan New Gettysburg, justeru orang Confederate akan memboloskan diri. Oleh yang demikian, Kerringan ditugaskan untuk mengekang Protoss daripada mengganggu Zerg.

Setelah Acturus puas melihat kemusnahan New Gettysburg, ia mengarahkan supaya armada Sons of Korhal beredar. Keputusan tersebut dibantah keras oleh Jim Raynor, kerana Acturus sengaja mengorbankan askar-askar mereka kepada serangan ganas Zerg, termasuk Kerrigan. Kerringan dalam keadaan terkepung di Tarsonis tidak menyedari pengkhianatan Acturus, akhirnya ditawan oleh Zerg. Meskipun begitu, Jim Raynor bertungkus-lumus cuba menyelamatkan Kerrigan, tetapi usahanya menemui kegagalan. Ia nekad untuk keluar barisan dan melancarkan penentangan terhadap Acturus tika ia berkuasa kelak.

Acturus telah mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Terran Dominion; rakyat terran mesti bersatu bawah panjinya demi survival, sama ada secara rela ataupun paksa. Kerringan telah dibawa oleh Zerg ke planet Char (pangkalan asal Zerg), manakala Jim Raynor pula mengembara mengumpul kekuatan untuk meneruskan perjuangan kebebasan pula.

“Inaurugation,” iaitu ucaptama Acturus pada hari pengisytiharaan Terran Dominion:

Kerrigan telah dijangkiti dan bertukar kepada Zerg. Ia menjadi semakin berkuasa di sisi Overmind, iaitu entiti yang mengawal kegiatan Zerg. Mereka meluaskan serangan ke serata tempat. Zerg menjadikan tercemar (infested) kebanyakan tempat dan menjadikan habitat mereka. Ini mendesak Terran dan Protoss berhempas-pulas untuk terus hidup. Planet Aiur, tanah air Protoss telah dijajah dan dimusnahkan.

Meski Protoss mempunyai kuasa ketenteraan yang amat canggih dan tamadun yang gemilang, mereka tidak dapat menghalang Zerg daripada membinasakan Aiur, dek kerana perpecahan dalaman. Dalam pertempuran menghadapi Overmind di Aiur, Protoss, Dark Templar dan Jim Raynor berganding bahu mengekang kemaraan Zerg. Pada saat akhir, Executor Tassadar telah mengorbankan dirinya memusnahkan Overmind. Zerg yang tidak bertuan menjadi lebih liar dan lebih parah memusnahkan 70% populasi Protoss.

Starcraft Expansion: Brood War (Episod IV-VI)
Saga StarCraft diteruskan lagi dengan senario yang kompleks dalam Perang Brood. Kedatangan ekspidisi UED (United Earth Directorate) mahu menundukkan Terran Dominion dan paling penting, mengekang Zerg daripada mengancam bumi. Percaturan demi percaturan, pengkhianatan demi pengkhianatan dalam interaksi tersebut penghujungnya telah mengukuhkan kedudukan Kerrigan, Queen of Blades ratu kepada Zerg.


ii. Pengkaryaan StarCraft
Blizzard Entertainment telah menerbitkan siri novel untuk menghuraikan saga StaCraft dengan lebih mendalam. Pada pandangan saya, ini merupakan strategi Blizzard untuk mengekalkan kesetiaan peminatnya. Novel yang diterbitkan memperdalam pemahaman mengenai universe StarCraft. Antara novel tersebut ialah:

Atas: StarCraft Archive menghimpunkan empat novel dalam satu naskhah. Novel-novel lebih berkisar kepada kisah Terran ketika kejatuhan Confederate dan awal Terran Dominion.


Atas: StarCraft Ghost: Nova mengisahkan seorang askar elit halimunan yang mempunyai kebolehan menggunakan minda psioniknya. Novel ini berlatarkan empat tahun selepas Perang Brood; iaitu hampir kepada kerangka masa StarCraft II: Wings of Liberty. Nova awalnya merupakan ejen Terran Dominion, tetapi akhirnya berpaling tadah menentang kezaliman mereka.


Atas: StarCraft: I, Mengsk mengisahkan kehidupan Acturus Mengsk, seorang asalnya ialah seorang pejuang kebebasan, propagandis, licik berpolitik yang akhirnya menjadi seorang pembalas dendam yang kejam. Ia mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Terran Dominion, sebagai kuasa utama Terran di Sektor Koprulu. Novel ini berlatarkan masa sehingga sebelum StarCraft II: Wings of Liberty.




Atas: StarCraft: Dark Templar Saga merangkumi trilogi tiga novel. Ketiga-tiga novel berlatarkan kerangka masa hampir-hampir serentak dengan StarCraft II: Wings of Liberty. Trilogi tersebut membongkar rahsia di sebalik asal-usul, budaya dan kekuatan bangsa Protoss yang terbahagi kepada dua; iaitu khalai dan Dark Templar.

Blizzard juga telah dan menerbitkan novel-novel StarCraft II. Novel-novel ini akan berperanan memperluas kefahaman mengenai latarbelakang watak-watak dan senario dalam StarCraft II kelak. Antara novel yang dimaksudkan ialah:



iii. Lagenda StarCraft II Bermula...

Kemunculan StarCraft II telah membongkar satu persatu motif di sebalik cerita awal StarCraft. Inilah kekuatan StarCraft. Saga tersebut mempunyai universe (latar masa, tempat, sejarah dan bangsa) yang amat dalam dan rumit. Sejarah universe StarCraft tidak begitu diketengahkan pada awal siri, tetapi mula dibongkar dalam StarCraft II, dengan banyak jawapan awal telah didedahkan. Ini menjadikan peminat StarCraft setia menunggu.

Kisah penceritaan StarCraft amat menarik merangkumi ketiga-tiga bangsa. StarCraft II: Wings of Liberty telah dipamerkan dengan cemerlang. Bukan setakat gameplay yang mantap, tetapi diselitkan juga banyak siri sinematik (video) yang menyokong kisah yang berlaku. Melihat sinematik dan trailer pelancaran, harap-harap juga agar StarCraft melanjutkan pencapaian mereka dengan membina filem StarCraft!

StarCraft II: Wings of Liberty berlaku pada saat kemunculan Zerg setelah sekian lama menyepi. Queen of Blades, Kerrigan yang dijangkiti Zerg dipercayai berusaha merealisasikan ‘ramalan’ daripada amaran lampau. Jim Raynor pula, pemimpin Raynor’s Raider secara konsisten cuba bangkit untuk menumbangkan Acturus Mengsk dan Terran Dominion. Akan tetapi, cengkaman kuasa Acturus amat kuat dengan memanipulasikan media untuk mengabui rakyat. Raynor dianggap sebagai musuh terran nombor satu kerana mengancam kestabilan Dominon. Amat aneh sekali, Jim Raynor dianggap wira tika kejatuhan Confederate dan bangkitnya Terran Dominion, kini dicap sebagai pemberontak.

Pada permulaan siri tersebut, Raynor dibelenggu kembali akan kenangan cintanya bersama Kerrigan; sering kemurungan dan menyendiri. Media Dominion begitu menyerangnya, serta revolusi perjuangannya sentiasa mengalami masalah sumber. Dilemanya itu telah menyebabkan moral Raynor’s Raider merosot, sehinggalah teman karibnya Matt Horner mengatakan kesetiaan bersamanya. Raynor bangkit dan kemudian meneruskan apa yang diperjuangkan sehingga akhirnya...

Kesudahan: Trailer Wings of Liberty
Sebagai penutup, kita nikmati video trailer StarCraft II: Wings of Liberty. Alangkah baiknya, jika dijadikan sebagai filem!


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Rujukan:
1. Sawang rasmi StarCraft II di pautan ini.
2. Sawang StarCraft Wikia di pautan ini.
3. Grubb, J., Mesta, G., Hickman, T. and Neilson, M., (2007). The Starcraft archive: An anthology.Simon & Schuster (Pocket Star): New York
4. Golden, C., (2007). Starcraft the dark templar saga: Firstborn. Pocket Star Books: New York
3. Golden, C., (2007). Starcraft the dark templar saga: Shadow hunters. Pocket Star Books: New York
4. Golden, C., (2007). Starcraft the dark templar saga: Twilight. Pocket Star Books: New York
5. DeCandido, K. R. A., (2006). Starcraft ghost: Nova. Pocket Star Book: New York

Thursday, August 26, 2010

[SI] Galaksi Muhsinin 2 Tahun...


[BISMILLAH]

[ASSALAMUALAIKUM]

[TRANSMISI: ARKIB RAMADHAN 1431H]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam. Dialah yang Satunya berhak disembah. Selawat dan salam buat junjungan mulia, besar, agung Kekasih-Nya; Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, penyebar rahmat serata alam dan penyudah sekalian Rasul. Semoga Allah merahmati, bintang-bintang kekasih kepada kekasih-Nya, para sahabat yang mulia, ahli keluarga baginda serta orang-orang yang menuruti mereka sehingga kepada Hari Pembalasan.

“Tidak kami utus engkau melainkan menyebarkan rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya’, 21:107)

Apabila disebut Ramadhan, pasti saya ingat Galaksi Muhsinin. Sekalipun penerbitannya tertangguh selama beberapa bulan daripada anggaran asal, tetapi takdir telah menentukan, novel tersebut telah terbit menjelang Ramadhan 1430H. Segala resah penantian hilang sama sekali, apabila novel tersebut digandingkan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak yang amat mulia...

Sudah dua tahun Galaksi Muhsinin terbit. Namun ramai yang tertanya-tanya: adakah Galaksi Muhsinin akan disambung? Bilakah akan diterbitkan lagi? Syukur, rata-rata memberikan respon yang positif berminat mengikuti Saga Galaksi Muhsinin.

Saya memohon maaf atas kelewatan yang tidak dapat dielakkan. Seharusnya manuskrip telah disiapkan pada April 2010 yang lepas. Namun dalam memenuhi tuntutan hidup, saya harus bekerja mencari nafkah, lebih-lebih lagi (insya-Allah) tidak lama lagi akan memulakan hidup baru berumah tangga.

Hasrat hati ingin menjadi penulis sepenuh masa melengkapkan berpuluh-puluh draf karya yang lain, tetapi atas keperluan semasa, harus ada mata pencarian alternatif buat sementara. Royalti hanya setahun sekali; dan itu pun tidak dapat dijamin bagaimanakah sambutan di pasaran. Oleh yang demikian, harus ada pendapatan yang boleh menyokong hidup sementara hasil royalti/jualan lain menjadi stabil.

Pernah juga hampir-hampir berputus asa kehilangan sentuhan, idea dan masa untuk terus menulis, tetapi mengenangkan tanggungjawab sebagai seorang penulis mendidik masyarakat; maka mahu tidak mahu harus diteruskan juga. Tersedu mengenangkan andai kata berhenti meneruskan usaha ini, maka berkuranglah orang yang memperkenalkan peribadi, sosok agung seperti Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam di hati masyarakat. Bagaimanakah jika tiada orang yang mengimbangi serangan-serangan fikiran yang bermaharajalela tanpa kita sedar melalui sains fiksyen ataupun medan-medan yang lain? Adakah harus membisu sahaja baginda dihina dicerca? Tidak sama sekali!

Frank Herbert, penulis saga DUNE, telah merangka selama lima tahun membina kerangka universe DUNE beliau. Begitu lama beliau meneliti; akhirnya dunia sains fiksyen menobatkan karya beliau sebagai karya ulung (master piece) yang tertinggi, satu-satunya karya yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan trilogi Lord of the Rings nukilan J. R. R. Tolkien. Namun demikian, secara peribadi saya kagum akan universe (latar kerangka besar) DUNE; terkecuali kepada kerancuan faham pluraslisme yang begitu mengakar dalam karya beliau. Galaksi Muhsinin pula, universenya masih lagi diperdalam dan diolah, dengan harapan menghasilkan mutu yang tersendiri. Saga Galaksi Muhsinin merangkumi 9 siri keseluruhan. Mungkin juga Galaksi Muhsinin mengambil masa yang lama ataupun singkat. Mudah-mudahan dilancar serta dimudahkan penyempurnaannya.

Diharapkan karya saya ini mandiri dan tidak bergantung kepada karya semasa serta menyaring serangan pemikiran, memperbetul salah faham serta menyebarkan keindahan Islam. Galaksi Muhsinin juga berharapan dapat menanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, seorang Guru Besar kepada manusia yang memperkenalkan manusia kepada Tuhannya. Doakan agar diberikan kekuatan untuk berusaha lebih kuat dan dipercepatkan penghasilan dan akhirnya sempurna kesemuanya.

Oleh yang demikian, mohon doanya dan sokongan daripada anda semua. Terutama buat ibu dan ayah, guru-guru, ahli keluarga, sahabat handai, dan terutamanya kepada pembaca-pembaca setia Galaksi Muhsinin.

“Tidak kami utus engkau melainkan menyebarkan rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya’, 21:107)


[Semoga Allah bersama kita]

[ALHAMDULILLAH]

[TRANSMISI BERAKHIR]


Pautan berkaitan:
Di Sebalik Tabir Galaksi Muhsinin
Awal Remaja & Peranan Tokoh: Pencetus Inspirasi Luar Biasa

Sejarah saya menulis:
Arkib Karyaku
Sejarahku Menulis (1): Rupa-rupanya 14 Tahun yang Lampau!
Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2

Monday, August 16, 2010

[Resensi] Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire’s Service (Bhg. 1)


Naskhah Star Wars X-Wing’s Rogue Squadron: In the Empire’s Service telah saya beli ketika promosi jualan murah komik Star Wars di MPH Kuching pada Julai 2010 yang lepas. Teruja naskhah tersebut mengisahkan mengenai skuadron pejuang TIE Fighter Galactic Empire, maka saya membelinya. Pesawat ini yang telah menarik perhatian saya sejak kali pertama melihatnya dalam trilogi Star Wars yang disiarkan dalam siri Perilly’s Action Movie pada setiap Rabu malam sewaktu sekolah rendah dahulu pada 1996.

Komik tersebut menyentuh penceritaan mengenai skuadron handalan Empire, iaitu 181st Fighter Division yang dipimpin oleh Baron-Kolonel Soontir Fel. Fel ialah juruterbang terhandal Empayar dan juga dinobatkan antara juruterbang terbaik galaksi tersebut. Fel memandu TIE fighter, sejenis pesawat pejuang angkasa yang unik. Tidak banyak diceritakan pesawat bereka bentuk ringkas ini dalam saga Star Wars. Komik ini mendedahkan sisi yang menarik, kerana selama ini hanya didedahkan sebelah pihak sahaja, iaitu di pihak Rebel Alliance.

Siri komik tersebut mengisahkan detik getir Galactic Empire yang sedang cuba menghalang kemaraan New Republic di sektor Brentaal IV. Skuadron Rogue yang merupakan ayam tambatan Rebel Alliance begitu dikenali kerana sejarah cemerlang skuadron tersebut berjaya menjalankan misi yang dianggap mustahil. Oleh yang demikian, skuadron tersebut dianggap sebagai skuadron elit. New Republic semakin berkembang dan menghadapi gerombolan Galactic Empire yang semakin lemah cengkaman kuasanya. Dalam pada itu, kualiti skuadron pejuang TIE juga dilihat merosot akibat asakan berterusan skuadron-skuadron Rebel Alliance, terutama Skuadron Rogue.

Operasi di sektor Brentaal IV berjalan pada bulan ke sembilan kematian Maharaja Galactic Empire, Canselor Palpatine (Darth Sidious) di Death Star II. Empayar menjadi kucar-kacir. Pucuk kepimpinan Empayar telah beralih tangan kepada Pestage. Empayar yang berpecah-belah dipimpin oleh ‘warlord’ yang terdiri daripada komander-komander Empayar. Akan tetapi, seorang komander wanita, Ysanne Isard seorang yang berkepentingan dan memiliki ambisi untuk mengepalai Empayar telah memperalatkan seorang komander yang lemah dek sentiasa berpoya-poya bernama Isoto.

Skuadron Rogue merupakan skuadron lagenda dalam Rebel Alliance. Kesemua pesawat skuadron ini menggunakan pejuang angkasa model T-65 X-Wing. Skuadron ini dipimpin oleh Kapten Wedge Atilles. Skuadron elit ini mempunyai rekod cemerlang di Pertempuran Yavin IV (kemusnahan stesen tempur Empayar, Death Star), keperwiraan mempertahankan Pangkalan Echo ketika Pertempuran di Planet Hoth, kematian Maharaja Darth Sidious (dan kemusnahan Death Star II) serta kemenangan-kemenangan pertempuran pasca Pertempuran Planet Endor. Menjadi pertembungan menarik dalam kisah ini adalah, Atilles dan juga skuadron beliau merupakan anak-anak murid kepada Fel ketika belajar di Akademi Imperial.

Skuadron Rogue yang digeruni oleh Empayar diumpan dengan menghantar 181st Fighter Division oleh Isard ke sektor Brentaal IV. Ketika menyerang, Rogue Squadron telah mengalahkan sebilangan besar skuadron musuh. Tanpa pengetahuan Fel, Isard sengaja memberitahunya akan kekalahan skuadron tersebut, agar Fel berdendam menuntut balas. Skuadron Rogue hanya mengetahui keberadaan skuadron terbaik Fel selepas operasi. Maklumat tersebut telah menggugat semangat Atilles kerana mereka bakal berhadapan dengan juruterbang handalan Empayar selepas ini.

Skuadron Fel telah dipergunakan untuk kepentingan Isard. Sungguhpun demikian, Fel (bawah arahan Komander Isoto) begitu setia mematuhi arahan meskipun terpaksa menghadapi karenah yang tidak cekap, semakin banyak mengorbankan anak-anak buah skuadronnya.

Skuadron Rogue bertempur hebat dengan 181st Fighter Division. Penglibatan secara langsung Fel telah memberikan tentangan sengit kepada skuadron Rebel Alliance ketika serangan. Skuadron Fel berjaya mengekang serangan, tetapi mengalami kemalangan jiwa yang tinggi. Sebaliknya, Komander Isoto menganggap kejayaan tersebut merupakan kejayaan yang hakiki.

Bagi Fel, semua yang berlaku di depan matanya adalah semata-mata pengabuan terhadap situasi yang sebenar. Dia semakin curiga akan motif pegawai-pegawai atasan yang dilihatnya berkepentingan dan tidak cekap pula. Akhirnya semakin ramai ahli skuadronnya yang menjadi mangsa.

Kemuncak kisah siri ini ialah sebuah armada Empayar dikesan menghampiri planet Vuultin, salah sebuah wilayah dalam sektor Brentaal IV. Perisik Rebel Alliance telah menghidu bahawa Komander Isoto mahu melarikan diri dan membawa sejumlah besar rampasan sumber bumi daripada planet berkenaan. Pihak Rebel Alliance tidak mahu kejadian yang sama berlaku sebelum ini; warlord Empayar telah melarikan diri setelah menyamun segala hasil kekayaan planet tersebut yang menyebabkan rakyat merana. Misi skuadron Rebel Alliance ialah menghalang kemaraan kapal kargo Empayar daripada berlepas bersama-sama kekayaan yang mereka rampas.

Fel telah menyatakan protes secara terbuka rasa tidak percaya dan puas hatinya terhadap Komander Isard yang dilihatnya berkepentingan. Namun demikian, Fel tetap berpendirian menjalankan tugasnya dengan berpegang kepada prinsip melindungi rakyat Empayar daripada musuh. Sebelum pertempuran akhir planet Vuultin, Komander Isoto telah diperdaya lalu dibunuh oleh gundiknya yang merupakan orang suruhan Komander Isard.

Pertempuran di planet Vuultin telah menemukan dua handalan daripada kedua-dua pihak: Kapten Wedge Atilles dan Baron-Kolonel Soontir Fel. Bagaikan buku bertemu ruas, kedua-dua handalan enggan mengaku kalah dan saling beradu antara satu sama lain.

Atillas yang mengagumi kecekapan dan kelicikan gurunya berhempas-pulas untuk menewaskannya dengan menuver-menuver lincah. Hampir-hampir sahaja X-Wing Kapten Wedge tepat dibidik oleh TIE Interceptor Fel, sebuah Y-Wing telah muncul menyelamatkan keadaan dengan menembakkan sinaran laser penggendala.

Pesawat Baron Fel gagal berfungsi dan kemudiannya dia telah ditawan oleh Rebel Alliance. Cerita diakhiri apabila Kapten Atilles terperanjat ketika Kapten Baron Fel berterus terang bahawa mereka sebenarnya beripar duai. Adik Atilles, Syrel Atilles merupakan isteri kepada Fel. Terkesima, cerita pun tamat...

Analisis In the Empire’s Service
Laman StarWars.com membongkar rahsia di sebalik pembikinan latar dalam saga Star Wars. Laman tersebut menghuraikan bahawa Star Wars sebenarnya menggunakan banyak elemen sejarah dalam Perang Dunia II (1939-1945) dalam perwatakan juruterbang, rekabentuk teknologi mahupun plot penceritaan.

Perkara ini juga disebutkan dalam buku Science Fiction (2000) karangan Adam Roberts. George Lucas banyak menggunakan analogi yang selari antara rekabentuk teknologi, doktrin dan falsafah daripada sumber sejarah perang tersebut.

Resensi kali saya membuat analisa ringkas mengenai komik ini, khususnya kepada pesawat TIE, juruterbang dan segala yang berkaitan. Saya mendapati, falsafah di sebalik rekaan teknologi TIE dan penceritaan komik ini bersumber dariapda adaptasi sejarah sebenar dalam Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Sekali lagi ditegaskan bahawa tidak ada hakcipta dalam sejarah. Kesemua orang boleh mengambil sejarah sebagai modal idea. Akan tetapi, lebih mustahak adalah bagaimana seseorang itu boleh mengolah bahan agar kreatif dan lebih segar.

Ikuti lanjut dalam 3 entri mendatang:
Bahagian 2: Analisa Teknologi TIE dan Zero
Bahagian 3: Analisa Juruterbang TIE dan Imperial Jepun
Bahagian 4: Analisa Plot Penceritaan


Insya-Allah bersambung dalam Bahagian ke-2... (dijangka Bhg. 2 akan dikemaskini selewat-lewatnya pada 18 Ogos 2010, Rabu malam Khamis waktu Malaysia)

*Resensi : Bedah buku


Rujukan:

1.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 13: Imperial Japanese Army Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

2.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 22: Imperial Japanese Navy Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

3.Jenssen H. And Chasemore, R., (2007). Star wars: Complete cross-sections. DK Publishing: UK.

4.Jowett, P., (2002). Osprey men-at-arms 362: The japanese army 1931-45(1) 1931-42. Osprey Publishing Limited: UK

5.Mohd. Zaki Mohd. Saleh, (Oktober 2000). “Pertempuran midway: Titik tolak kekalahan jepun dalam perang pasifik ms. 17-24,” Perajurit. Inai Damai Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur.

6.Osamu Tagaya (1997). Osprey Warrior 55: Imperial japanese naval aviator 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

7.Osamu Tagaya, (2001). Osprey Combat Aircraft 22: Mitsubishi type 1 rikko ‘betty’ units of world war 2. Osprey Publishing Limited: UK

8.Perry, S. And Reaves, M., (2008). Star wars: Death star. Arrow Books: UK.

9.Sheftall, M. G., (2005). Blossoms in the wind: Human legacies of the kamikaze. NAL Caliber: USA.

10.Stackpole, M. A., (1996). Star wars: X-wing rogue squadron. Bantam Books: USA.

11.Stackpole, Nadeau, Ensign, (1999). Star wars x-wing rogue squadron: In the empire’s service. Dark Horse Comics: Canada.

12.Stille, M., (2005). Osprey new vanguard 109: Imperial japanese navy aircraft carriers 1921-45. Osprey Publishing Limited: UK

13.Swanston, M. And Alexander, (2009). Atlas of air warfare. Sandcastle Books Ltd: UK.

14.Westwell, I., (2009). The ultimate illustrated history of world war i. Annes Publishing Ltd: London.

15.Windham R. And Wallace D., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Publishing: UK.

16.Roberts, A., (2000). Science Fiction. Routledge: London.

Saturday, June 26, 2010

Cerpen Latar GM: Kembalinya Militia Zion (1)

Istana Presiden Fermento
Planet Levadura
Sektor Teras Galaksi Muhsinin


“Seandainya langit mampu kita bengkok, aku akan ajarkan kepada anak-anakku...”

Lembaga bersandar pada dinding, sambil melihat ke luar. Suasana malam gelap ditembusi tusukan lampu sorot yang cuba mengintai-ngintai ruang dalama Istana Presiden Fermento.

Xamirthurush, seorang ketua pemberontak Militia Zion yang telah mencetus Revolusi Levadura di Planet Levadura, Sektor Teras Galaksi Muhsinin mengalami kebuntuan. Konfederasi Reconquista masih bertempur sengit di barisan hadapan di Planet Hadid Hd-57. Armada Konfederasi sedang mara ke Sektor Teras Galaksi Muhsinin yang menempatkan nadi kepada galaksi tersebut, Planet Ihsan H-2. Tumbang Ihsan H-2, musuh bebas mara ke mana-mana sahaja menghancurkan tamadun yang terbina.

Revolusi yang dipimpinnya menemui kegagalan. Revolusi yang awalnya mengharu-birukan pertahanan tentera Galaksi Muhsinin dan tentera koloni ke seluruh planet, kini terkepung dalam istana sang Presiden Fermento. Rancangan mereka merampas Planet Levadura bersama-sama rakyat tempatan dan menikam Galaksi Muhsinin dari belakang, kini menuju kehancuran.

Ia kemudian mengeluh, kemudian duduk diam. Seorang lagi berdiri mengintai-ngintai tingkap. “Adjutan,” panggil Xamirthurush.

Orang yang dimaksudkan menoleh, “Ya Tuan?”

Pesan Xamirthurush, “Hati-hati. Sniper UAT amat cekap. Mereka tidak akan melepaskan peluang jika sasaran sudah dalam jarak tembakan.” Adjutan mengeluarkan gajet pengimbasnya. Senjatanya Uzi-92 digalas kemas di lengan kiri.

Xamirthurush memetik api lalu menghidupkan koror. Ia menyirup, matanya tutup, mendongak ke atas. “Aku mahu lihat taburan UAT dan Batalion Mujahidin Turki Galaksi Muhsinin.”

“Baik Tuan.” Adjutan menekan gajetnya. Kelihatan abjad-abjad dan angka-angka maya terapung-apung di udara. Kemudian ia memilih menu Paparan Peta Imbas Hologram. Sinar terbit daripada gajetnya, lalu dipancarkan ke lantai istana. Sebuah peta tiga dimensi menjelma, sekali gus dengan ikon-ikon pelbagai warna bertaburan. Warna biru melambangkan sahabat, kuning tawanan dan merah ialah tentera Galaksi Muhsinin.


Kata Adjutan, “UAT berada di mana-mana sahaja.”

Mengangguk, Xamirthurush membalas, “Setiap ruang telah dipantau oleh tim Sniper UAT. Tidak ada jalan lain, melainkan melalui pembentung istana ini. Mereka turut dibantu oleh tentera koloni Levadura.”

Adjutan sekali lagi menekan-nekan gajetnya. Peta berputar dan difokus kepada laluan pembentungan. Katanya dengan tenang, “Terdapat anggota Galaksi Muhsinin yang sedang dalam perjalanan memasuki jalan itu sekarang.”

Tanya Adjutan, “Apa yang harus kita buat?”

Xamirthurush diam. Ia bersandar. Katanya, “Aku begitu hairan.”

Tanya Adjutan lagi, “Mengapa?”

“Anak-anak muda, apabila mereka berkumpul, mereka akan mempunyai cita-cita yang besar.”

“Bagaimana pula?” hairan Adjutan.

“Cita-cita mereka sama ada dua. Sama ada wawasan mereka itu membina ataupun memusnahkan.”

“Maksudnya?” Adjutan kehairanan. Xamirthurush pula tersenyum.

Berkata Adjutan, “Saya hairan, mengapakah Tuan masih bertenang, sedangkan Revolusi Levadura gagal. Kita sekarang terkepung. Tidak ada jalan lain. Galaksi Muhsinin juga masih bertahan. Tuan pun tahu, apakah akibatnya jika sesuatu tugasan oleh Sidang Protokol Zion tidak berjaya.”

Xamirthurush meneruskan kata-katanya, seolah-olah tidak mendengar gugahan Adjutan. Katanya, “Apabila anak-anak muda ini rosak, maka cita-cita mereka merosakkan, meruntuhkan, membinasakan, menjahanamkan.

“Lihat, pemuda-pemuda yang dirosakkan pada zaman dahulu itulah yang meruntuhkan tamadun mereka sendiri. Lihatlah kepada pemuda-pemuda Ittihad wa Taraqqi, iaitu pemuda Pembaharuan dan Pembangunan Turki. Mereka mengaku beragama Islam, tetapi menjadi keldai suruhan turut kepada kuasa Imperialis.”



“Mereka mengatakan, ‘Jikalau hendak maju, hendaklah ikut orang-orang Eropah, tetapi tinggalkanlah agama.’ Mereka mengatakan mahu menyelamatkan Daulah Uthmaniyyah daripada kemusnahan. Namun demikian, hakikatnya mereka adalah peruntuh yang sebenarnya!”

“Tidak ada yang terlepas daripada cengkaman mereka. Akhirnya tenaga muda yang kencang merosakkan inilah yang telah meruntuhkan payung utama umat Islam, Daulah Uthmaniyyah dengan menyingkirkan Sultan Abdul Hamid ke-2. Akhirnya, nenek moyang kita telah berjaya merampas Zion pada 1948.”

“Orang-orang seperti inilah sekutu-sekutu kita. Mereka adalah manfaat kepada Zion.”
“Tetapi andaikata mereka ini sebaliknya, maka itulah yang aku bingungkan.”

“Anak-anak muda yang aku bingungkan ini terprogram dengan sifat semulajadi mereka, dibangunkan jiwa, sanggup berkorban, cintakan ilmu... dan aku yakin mereka mendapat pertolongan Tuhan. Seperti nenek moyang mereka generasi Sultan Muhammad al-Fateh. Jika mereka ini muncul di alam ini kembali... maka tidak lama lagi Zion bukan lagi milik kita... Dan mereka telah muncul di hadapan kita sekarang... pemuda-pemuda Galaksi Muhsinin.”

Katanya, “Mungkin engkau hairan. Mengapakah aku sering berkata-kata akan sejarah lampau?”

Adjutan terdiam. Katanya, “Selayaknya bercerita sejarah di muzium sahaja. Mengenangkan lagenda lalu!”

Sambung Xamirthurush sambil tersenyum, “Itulah akibatnya tidak berhati-hati terhadap sejarah. Sejarah sedang berulang sekarang. Tuhan telah memberikan perhatian kepada para pemuda. Mereka inilah pemuda yang benar dan ditambahkan imannya. Quran telah mengatakan segalanya tentang mereka zaman-berzaman.”

“Tuan Konspirator membaca al-Quran? Bukankah itu satu kesalahan?” bentak Adjutan.
Adjutan menghalakan senjatanya Uzi-92, “Tuan boleh didakwa, sekalipun saya adalah pegawai bawahan.”

Xamirthurush menjeling sambing tersenyum, “Memahami musuh, bermakna sudah separuh mengalahkan mereka.”

Katanya lagi, “Sabar... engkau terlalu terburu-buru. Keadaan sekarang adalah akibat terburu-buru. Revolusi ini gagal kerana kita sendiri tidak memahami mereka. Kita telah silap pandang kekuatan mereka. Kita mengukur mereka dengan kekuatan yang lampau, bukan kekuatan mereka yang terkini.”

Xamirthurush dengan sambil lewa, mengacukan pistolnya. Adjutan kelihatan terperanjat dan bergerak sedikit ke belakang.

“Engkau pun tahu, tembakanku lebih tepat. Baik engkau akur arahanku.”

“Ba... baiklah...”

“Aku hairan engkau masih tidak mengerti. Engkau sebagai Adjutan, pewaris kepada kebijaksanaan para Konspirator yang harus tajam mengamati semua ini.”

“Quran adalah kekuatan mereka. Mereka telah menemuinya. Suatu masa dahulu kitalah yang paling rajin membacanya dan merekalah yang membencinya. Tetapi... sekarang sudah berubah, Adjutan.”

“Mereka telah kembali kepadanya. Dan mereka juga telah menghubungkan diri kepada pembawanya...”

“Siapa?”


“Muhammad, pesuruh Tuhan yang terakhir dan pewarisnya di kalangan para alim ulama. Yang nenek moyang kita telah berusaha membunuhnya... kini... nyawa kita pula seperti zaman Bani Nadir, Bani Quraizah dan Bani Qanuqa’.”

“Revolusi Levadura tidak ubah seperti dalam surah Hasyar. Kita ini umpama Bani Quraizah dalam perang Ahzab. Apakah nasib Zion suatu hari nanti?”

Xamirthurush tenang menghirup korornya lalu bersandar pada dinding. Lantas ia berpesan, “Awas Adjutan, lupa sejarah, padah akibatnya.”

Adjutan masih terpinga-pinga, namun raut wajanya mencerminkan sikap berhati-hati terhadap kepungan di luar. Peta maya yang terpampang di lantai menunjukkan posisi statik pasukan keselamatan dalaman Galaksi Muhsinin, Unit Anti Teroris UAT.

Gajetnya berbunyi dan mengeluarkan cahaya berkelip-kelip AMARAN. “Tuan, mereka bergerak ke posisi seterusnya.”


“Arahkan Militia Zion dan Militia Liga Lanun dan anggota Revolusi Levadura ke posisi masing-masing!

“Seandainya langit mampu kita bengkok, aku akan ajarkan kepada anak-anakku... Itulah pepatah abadi orang Yahudi.”

“Hari ini akan diingati oleh generasi mendatang. Walau apapun yang terjadi, Zion akan abadi!”

Adjutan menarik perencak Uzi-92. Militia Zion, Militia Liga Lanun dan anggota Revolusi Levadura berhati-hati mengacukan senjata di sisi jendela istana. Xamirthurush melempar puntung korornya ke luar tingkap dan terus bangkit.

“Bersedia!”

Puntung koror itu telah dikesan oleh tim sniper UAT di bumbung bertentangan. Sedas tembakan telah dilepaskan. Tembakan tadi telah meletuskan pertempuran. Kedua-dua pihak berbalas-balas tembakan. Seorang sniper Militia Zion telah membidik dan melepaskan dua das tembakan ke arah tim sniper. Kedua-dua tim sniper tersebut gugur syahid. Sniper Milita Zion itu dengan cepat memburu anggota-anggota UAT dan tim sniper.

Lama-kelamaan, kumpulan pemberontak Xamirthurush tidak dapat mengimbangi perlawanan. Tembakan padu pasukan UAT, Batalion Mujahidin Turki Galaksi Muhsinin dan tentera koloni tidak mampu ditentang. Seorang demi seorang anggota Xamirthurush rebah dek bidikan sniper UAT, termasuk sniper Militia Zion tadi.

Demi ikrar yang dilafaz, Xamirthurush berdegil. Dilihatnya kembali gajet pengimbas Adjutan. Di kala hingar-bingar pertempuran, ia mendapati sekumpulan ikon merah sedang mara ke perkarangan istana Presiden Fermento.

Ia mendapat akal lalu mendesak Presiden Fermento, dengan sepucuk pistol di diacukan ke lehernya. Lalu Xamirthurush menjerit, “Galaksi Muhsinin! Berhenti! Nyawa Fermento di tanganku!”

Ikrar pemberontak telah gagal. Revolusi Zion di Levadura di ambang kehancuran. Onar dan fitnah disebar tidak bermakna sama sekali.... Galaksi Muhsinin tetap unggul walaupun seluruh semesta membencinya istana kebenarannya.

Suasana beransur tenang. Sunyi sepi menyelubungi.

“Kita berunding...”


Bersambung, insya-Allah...


NOTA: Sedutan cerpen latar ini tidak termasuk dalam novel Galaksi Muhsinin. Watak Xamirthurush muncul di bab 20 (muka surat 243) novel tersebut.

Monday, April 12, 2010

[SI] Terry Brooks: Penulis Fantasi Menulis Genre Sains Fiksyen


“THE BLAST OF LASERS FILLS EVERY PAGE, And as soon as someone settles in for some quiet insight, it’s quickly broken up by explosions and swordplay... What follows are 250 pages of epic battles, intricate hand-to-hand fights, and narrow escapes.” ~Arizona Daily Republic

“Written by accomplished fantasy novelist Terry Brooks... The background Brooks provides helped me to follow the fast-paced beginning of the film. I already knew enough about the political situation faced by Jedi Master Qui-Gon Jinn and his apprentice, Obi-Wan Kenobi. That allowed me to attempt to take in the sweeping scenes of Lucas’ digitally enhanced film.” ~USA Today


Novel sains fiksyen saga Star Wars Episode I: The Phantom Menace, diterbitkan oleh Del Ray pada 1999 merupakan tulisan Terry Brooks yang telah mencapai tahap The #1 New York Times Bestseller. Perkara yang menarik ialah Terry Brooks, seorang penulis genre fantasi telah diberi kepercayaan oleh George Lucas untuk tugas ini. Ini kerana, penulisan genre fantasi agak berbeza dengan genre sains fiksyen yang lebih menekankan aspek sains dalam penceritaan, latar dan watak. Terry Brooks merupakan penulis saga Sword of Shannara (bermula 1977), dengan novel beliau Wishong of Shannara telah mencapai The #1 New York Times Bestseller pada 1985 dan #2 untuk enam novel yang lain.

Berikut merupakan intisari ringkasan wawancara antara pihak penerbit Del Ray dengan Terry Brooks tentang kejayaan beliau dalam menghasilkan Star Wars Episode I: The Phantom Menace (TPM). Isi wawancara ini telah saya susun mengikut kesesuaian kelompok isu yang dibicarakan. Terry Brooks berkongsi pengalaman beliau menulis TPM dan sebahagian teknik-teknik penulisan berkenaan karya-karya beliau.


Permulaan Novelisasi

Segalanya berpangkal sejak tahun 1977, apabila Star Wars (George Lucas) dan Sword of Shannara (Terry Brooks) telah menerbitkan karya bimbingan editor Judy-Lynn Del Ray. Judy-Lynn dan suaminya Lester telah memberi kepercayaan kepada projek mereka berdua. Tambahan lagi, Judy-Lynn dan Lester amat berminat akan penekanan komponen penceritaan (storytelling) yang dimiliki oleh George Lucas dan Terry Brooks.

Sebagai seorang penulis yang berkecimpung dalam genre fantasi, Terry Brooks telah bertanya kepada George Lucas berkenaan tugas beliau menulis adaptasi filem TPM tersebut. George Lucas menjawab, “Tidak mengapa, saya tidak membuat filem sains fiksyen.” George Lucas memaksudkan, Star Wars diberikan penekanan aspek storytelling, sepertimana norma penulisan fantasi. Mungkin pada kebiasaannya genre sains fiksyen memerlukan pengetahuan teknikal yang mendalam, berbeza dengan genre fantasi. Maka, perkara ini sedikit sebanyak memudahkan kerja Terry Brooks.

Tembok Cabaran


Satu cabaran yang besar bagi Terry Brooks dan George Lucas ketika awal kemunculan Star Wars dan Shannara ialah genre fantasi dan sains fiksyen agak terabai dan masih diragui nilai komersilnya. Dipercayai bahawa tidak ada karya fantasi (dan sains fiksyen) yang mampu bertahan di pasaran dan mempunyai peminat yang ramai seperti J. R. R. Tolkien, pengarang trilogi Lord of the Rings. Tetapi Lester Del Ray begitu percaya bahawa Star Wars dan Shannara mampu memecah persepsi ini. Perlu diambil kira bahawa kedua-dua karya, Star Wars dan Shannara telah membuka ruang serta merintis harapan kepada kesemua buku dan filem yang berorientasikan storytelling pengembaraan. Kedua-dua karya tersebut begitu berpengaruh sehinggakan merubah corak penulisan dan pembuatan filem genre tersebut sehingga kini.



Daripada Filem kepada Novel

George telah meminta Brooks untuk menulis TPM daripada sudut yang berbeza dalam mengadaptasi filem tersebut, iaitu menceritakan pada sudut pandangan Anakin. Brooks mempunyai fleksibiliti dan kebebasan untuk mengolah material baru dalam penceritaan.

Novel TPM merupakan lanjutan daripada filem tersebut. Penceritaan dimulakan di lokasi baru dan memberikan maklumat kepada latar dan watak. Menurut beliau, mengadaptasi novel daripada filem bukanlah sesuatu yang sukar seperti yang disangka. Bahkan, hanya perlu mendapatkan skrip dialog dan latar tempat, kemudiannya dihuraikan dengan lebih mendalam. Beliau mengingatkan bahawa peminat filem mahu mendapatkan cerita yang ditulis benar-benar berdasarkan kepada filem yang mereka tonton. Segalanya perlu dijelaskan dalam novel tersebut.


Tips menulis oleh Terry Brooks



1.Outline

a.Inspirasi ataupun panduan?

Terry Brooks ditanyakan apakah panduan beliau dalam menulis. Ini kerana norma sebahagian daripada penulis menulis daripada outline (dalam PTS, dinamakan sebagai sinopsis) daripada awal sehingga selesai karya. Manakala ada pula yang lain bersumberkan kepada inspirasi semata-mata memimpin mereka.

Beliau menjawab, “Saya percaya sepenuhnya bahawa karya harus diusahakan dengan berpandukan outline. Saya percaya, terutama berdepan dengan fiksyen yang panjang, outline akan membuatkan anda tersusun dan lebih fokus. Walaubagaimanapun, saya tidaklah terlalu kaku menurut sahaja outline itu, tetapi akan berubah mengikut kesesuaian. Tindakan ini dibuat bagi menyesuaikan dengan idea baru dan lebih baik. Namun demikian, saya lebih suka untuk sentiasa merujuk kepada blueprint (outline) yang telah tersedia.”

“Juga, dengan adanya outline, panduan tersebut akan mendesak anda untuk fokus memikirkan jalan cerita dan menyingkirkan perkara yang tidak perlu dan titik kelemahan. Oleh yang demikian, saya kerja mengedit dan pembetulan akan dikurangkan.”


Beliau ditanyakan lagi, “Ramai orang mengatakan bahawa penulis bekerja semata-mata berdasarkan ilham inspirasi, menunggu masa ‘mengena’ dan kemudian diolah semula di atas kertas dengan penuh kreativiti.”

Terry Brooks menyangkal bahawa pendapat sedemikian adalah kurang tepat. Beliau mengatakan bahawa ramai penulis menulis bergantung kepada inspirasi kerana kerja outlining tidak berkesan untuk mereka. Penulis mengurus material penulisan mereka dengan pelbagai cara. Tetapi beliau percaya bahawa adalah lebih penulis menulis sesuatu yang telah melalui persediaan yang mantap.

b.Bagaimanakah kadar spesifik outline tersebut?

Menurut Terry Brooks, cara yang baik untuk merangka outline ialah dengan membuat babak demi babak, dengan mengambil kira sekurang-kurangnya titik-titik paling penting dalam ‘lengkungan cerita’ (arc of storytelling) penulis.

Untuk ini, penulis seharusnya peka dalam satu-satu bab tersebut:

(i) Watak apakah yang akan muncul?
(ii) Apakah perkara yang akan berlaku?
(iii) Apakah sudut pandang penceritaan?
(iv) Bagaimanakah babak kecil tersebut tersebut disudahi?

Beliau menasihati bahawa perlunya ‘hidup bersama cerita anda dan watak di dalam minda anda sebelum anda memulakan penulisan walaupun sepatah perkataan.’



2.Keunikan Watak

Antara isu yang ditanyakan kepada beliau ialah keunikan watak dalam karya Shannara. Watak tersebut mempunyai dilema yang amat rumit dan penuh dengan pertentangan dalam satu karakter, bertuah tetapi pada masa yang sama dibayangi sumpahan dengan ilmu dan kuasa.

Terry Brooks menjawab mengapakah beliau membawakan perwatakan begitu rupa, kerana bagi beliau, “Manusia ini hidup dengan penuh konflik dan pertentangan. Jelasnya, perkara ini seolah-olah cerminan kepada orang-orang yang selalu berbuat jahat. Tambahan lagi, saya tertarik akan manusia yang diberikan kuasa dan juga tanggungjawab yang besar, tetapi harus menggunakan sebaiknya.”

“Kadangkala perkara ini terlalu membebani mereka. Kadangkala mereka gagal. Adakalanya juga konflik yang berlaku memberi kesan kepada mereka, kerana penggunaan kuasa secara semulajadinya amat mempengaruhi dari segi emosi dan fizikal seseorang.”

Beliau menyudahi pertanyaan tersebut, “Bagaimana mereka menghadapi semua ini, memberikan kelebihan kelancaran dari segi penceritaan (storytelling) dan sebagai koreksi kepda kita dan hidup kita.”


3.Shannara & LoTR
a.Di Persimpangan


Karya genre fantasi Shannara tulisan Terry Brooks seringkali dibandingkan dengan trilogi Lord of the Rings (LoTR) tulisan J. R. R. Tolkien. Apabila ditanyakan, “Adakah (Shannara) terhutang budi kepada LoTR? Adakah merasa tercabar kerana persepsi ini?”

Beliau menjawab, “Saya berbesar hati apabila Shannara dibandingkan dengan LoTR. Tetapi saya tidak fikir kedua-dua itu tampak serupa, kerana luarannya juga hampir-hampir serupa. Tolkien menyusun karya beliau berlainan sekali dari sudut pandangan dan latar daripada saya. Saya lebih bersetuju, beliau adalah guru yang unggul dan hampir-hampir kesemua penulis fantasi telah membaca karya dan terhutang budi kepada beliau.”



b.Di sebalik wajah Shannara

Jika Shannara dan LoTR tampak serupa, bagaimanakah Shannara mampu menarik perhatian peminatnya?
Terry Brooks mengatakan bahawa Shannara merupakan cerita yang besar, merangkumi set sejarah saga (cerita yang panjang, bersambung-sambung) yang berlatarkan satu dunia khayalan (imaginary world) dan kuasa magis menggantikan sains.

Kekuatan utama Shannara adalah melalui penceritaan (storytelling). Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, bahawa daya tarikan penceritaan novel Sword of Shannara telah menarik penerbit Del Ray untuk meletakkan sebagai keutamaan dalam penerbitan.

Terry Brooks menganalisa bahawa pembaca fantasi amat berminat kepada kriteria-kriteria yang berikut, iaitu

(i) Pembaca dibawa mengembara ke tempat yang pelik dan eksotik
(ii) Merasai bahawa seolah-olah mereka berada dalam dunia tersebut.
(iii) Mereka mahukan pengalaman teruja (excitement), ketakutan (fear), keraguan (doubt) dan kegembiraan (exhilaration) yang dialami oleh watak-watak


Rumusan Inspirasi
Beliau ditanyakan nasihat beliau kepada para penulis dalam wawancara tersebut. Beliau menjawab, “(Hanya) sepuluh kata. Baca, baca, baca. Outline, outline, outline. Tulis, tulis, tulis. Kemudian ulang.”


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat



Rujukan & Tambahan:

1. Brooks, T., (1999). Star wars episode I: The phantom menace. Del Ray Book: USA

2. Windham, R., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Limited: London