Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Thursday, August 20, 2009

Belakang Tabir: Khas Sempena Ulangtahun Pertama Galaksi Muhsinin


Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menjadikan sekalian alam. Selawat dan salam atas penghulu kami, baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baginda kekasih-Nya yang menyampaikan kita kepada Tuhan. Semoga Allah melimpahi kesejahteraan atas keluarga baginda dan para sahabat-sahabat baginda yang telah menegakkan agama Allah ini. Dan semoga Allah melimpahi kesejahteraan jua kepada orang-orang yang mengikuti jejak mereka sehingga ke hari yang tidak berguna lagi perniagaan, harta benda dan anak pinak, melainkan syafaat Rasulillah sallallahu alaihi wasallam pada Hari Kiamat kelak.



Segala puji bagi Allah, mudah-mudahan kita akan disampaikan kepada satu Ramadhan lagi. Mudah-mudahan juga Allah membuka hati kita kepada-Nya bertitik tolak di bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, mengenangkan Ramadhan, pasti saya tidak lupa novel sains fiksyen pertama saya Galaksi Muhsinin telah diterbitkan pada Ramadhan 1429H. Meskipun terlewat beberapa bulan, namun saya merasakan hikmah yang cukup besar apabila penerbitan Galaksi Muhsinin muncul pada awal bulan yang berkat, Ramadhan yang lepas. Bersempena ulangtahun Galaksi Muhsinin yang pertama, saya ketengahkan ‘belakang tabir’ Galaksi Muhsinin dalam entri ini.



Judul asal ialah ‘Galaksi Muhsin.’ Oleh sebab ketika itu filem Melayu ‘Mukhsin’ juga diwar-warkan, saya telah mengubahsuai sedikit agar tidak berlaku persamaan. Biarlah namanya unik. Sebaliknya, saya menggunakan ‘Muhsinin’ mengambil daripada Hadith kedua daripada Hadith 40 Imam Nawawi rahimahullah, iaitu sifat Ihsan. Muhsinin yang saya maksudkan ialah orang-orang yang Ihsan dan juga orang-orang yang membuat kebaikan, seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Tetapi cetusan kepada idea pokok kepada gagasan Galaksi Muhsinin terbit daripada buah fikiran saya bersama sahabat, sdr. Nuraddin Ibrahim. Beliau sedang menuntut di Jepun. Ikuti kenangan kami bersama membina gagasan ini di entri Inspirasi Galaksi Muhsinin.



Ini adalah tarikh hari cetusan idea draf asal, 29 Zulhijjah 1427H ataupun 18 Januari 2007. Draf ini tercetus di Dewan Kuliah 4 Admin, UIA. Namun, plot berkembang daripada sebuah buku menjadi satu ‘saga’ daripada 9 siri, setelah mendapat idea yang dikongsi oleh sahabat saya Firdaus Ariff berkenaan ‘Backstory.’ Backstory merupakan konsep cerita latar yang mengisahkan cerita lanjutan kepada sesebuah karya asal. Sebagai contoh, J. R. R. Tolkien menulis The Hobbits yang menceritakan bangsa Hobbits dengan lebih terperinci dalam trilogi Lord of the Rings.



Ataupun sebagai tambahan, legasi DUNE oleh Frank Herbert disambung oleh anaknya Brian Herbert dan penulis terkemuka Kevin J. Anderson. Cerita-cerita asal Dune Chronicle (Dune classic, Children of Dune sehingga Chapterhouse: Dune) diperkaya melalui cerita latar yang luas melalui Legend of Dune (Butlerian Jihad, Machine Crusade dan Battle of Corrin) dan Prelude to Dune (House of Atreides, House of Harkonnen dan House of Corrino). The Road to Dune pula, memuatkan beberapa cerita latar, idea asal Dune dan surat-surat Frank Herbert kepada editornya. Melalui karya-karya tambahan sebegini, peminat dapat memahami dengan lebih dalam gagasan idea seseorang penulis.



Backstory akan mengkayakan karya dan mampu menarik perhatian peminat. Draf Galaksi Muhsinin tercetus setelah Bengkel Penulisan Saifai yang pertama anjuran PTS, tidak silap saya diadakan pada penghujung 2006.



Penulisan Galaksi Muhsinin telah bermula pada Mei 2007, sejurus setelah Bengkel Penulisan Saifai ke-2. Meskipun tidak dapat menghadiri bengkel tersebut, namun demikian saya telah menyediakan synopsis dan dihantar serta-merta setelah bengkel berlalu. Alhamdulillah, dalam sekelip mata, Galaksi Muhsinin telah disahkan. Kebetulan juga, trailer Starcraft II [1] (Terran Marine dipasangkan armor CMC-400 di Terran Barracks) [2] menjadi motivasi kuat untuk memulakan penulisan.

Penjanaan idea ketika ini begitu memberansangkan. Penggabungan idea yang sedia ada diadun dengan idea sendiri dan disaring supaya ada keaslian yang tersendiri. Dari semasa ke semasa, universe (latar) Galaksi Muhsinin juga berkembang. Idea telah datang mencurah-curah dan diterjemahkan di atas kertas.

Lakaran-lakaran awal:



Saya teringat, ketika itu muncul idea ‘Taktik Lompatan Trajektori’, saya tidak mempunyai kertas. Akhirnya saya telah menjumpai cebisan sampul surat. Saya lakarkan juga! Taktik ini mengaplikasikan pengetahuan Fizik yang dipelajari di Pusat Matrikulasi UIAM (bab trajektori).



Tentera Mekanikal yang terdiri daripada Pegawai Cyborg, marin mekanikal, Skuad Tangan Hitam dan Komando Bayangan antara watak-watak yang ditumpukan pada peringkat permulaan. Idea ini diambil daripada prinsip tenaga dan daya dalam Fizik (tenaga kinetik, tenaga geseran, tenaga haba, daya spring, tindak balas normal).

Idea awal pegawai cyborg dan marin mekanikal; Empayar Sibernatik Cyborg:

Dua gambar atas: Merupakan lakaran asal dilukis di sebalik sampul yang sama. Lakaran ini dibuat lebih kurang pada masa yang sama


Atas: Pegawai cyborg dan marin mekanikal

Atas: Idea asal marin mekanikal. Jelas sekali pengaruh Jeneral Grevious dan battle droid (STARWARS) serta Awesome (Mechwarrior)

Atas: Marin mekanikal Empayar Sibernatik Cyborg daripada LEGO beberapa lama kemudian

Atas: Komando Bayangan, Empayar Sibernatik Cyborg. Antara ilustrasi terawal dalam draf ‘Galaksi Muhsin.’

Idea pihak Galaksi Muhsinin:

Atas: Bukit Durfen / Bukit Uhud Planet Hadid Hd-57

Atas: Pusat Radar Kosmik, Planet Furqan Fr-25

Atas: Mujahidin Galaksi Muhsinin. Saya mengalami kesukaran untuk menterjemahkan unit mujahidin dalam bentuk lakaran. Tidak menggambarkan seperti imaginasi saya.

Atas: Unit Mujahidin Medik

Atas: Konsep Perisai Plasma Mujahidin


‘Story Board’ Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula

Pada peringkat permulaan, agak sukar untuk membayangkan jalan cerita tanpa dilukis suasananya. Berikut merupakan lakaran ketika Kompeni Blitz yang dipimpin oleh Leftenan Fehlzunden melanggar Planet Hadid Hd-57. Lakaran ini sangat membantu kelancaran menulis.







Peranan LEGO dalam Galaksi Muhsinin


Akhir sekali, LEGO memainkan peranan yang penting dalam penjanaan idea Galaksi Muhsinin. Melalui LEGO, setiap doktrin (cara fikir) pihak-pihak dalam Galaksi Muhsinin (seperti Empayar Sibernatik Cyborg, Galaksi Muhsinin, Liga Lanun, Federasi Generasi Zenzaburo dan lain-lain) dapat diekspresikan. Justeru, saya menganggap bahawa ini adalah jalan selamat untuk membina universe Galaksi Muhsinin tanpa terlalu bergantung kepada konsep yang sedia ada dalam fiksyen sains yang sudah ada (mengelakkan cliche). Terima kasih kepada Ayah dan Ibu yang menaja LEGO.



Teringat pula sekotak besar LEGO (yang dikumpul sejak tadika sehinggalah Tingkatan 1) yang telah hilang ketika umur 13 tahun (setelah rumah diubahsuai). Saya pasti akan terbit universe Galaksi Muhsinin yang lebih unik jika LEGO tersebut masih ada. Apapun, bakat bermain LEGO masih lekat di tangan! Membina unit-unit LEGO menggamit memori lama. Tangan masih tangkas lagi memasang, memadan, mencabut dan memerhatikan binaan. Diri ini sudah ‘tua’, inilah masanya memanfaatkan bakat yang ada. =)

Antara blok LEGO yang telah dibeli:


Produk LEGO untuk Galaksi Muhsinin:


Atas: Pejuang Angkasa Geier, Empayar
Sibernatik Cyborg



Atas: Mekatempur Raksasa (R) Riesig, Empayar Sibernatik Cyborg

Atas: Antara binaan LEGO pertama untuk novel Galaksi Muhsinin ialah Kapal Kapital Kruis Asadullah, Galaksi Muhsinin

Atas: Mekatempur Thalut, Galaksi Muhsinin

Atas: Raider II, Liga Lanun


Atas: Toryu, Federasi Generasi Zenzaburo

Atas: Kapal kapital Kompeni ILUMINATI, Enforcer pada Era Kompeni (2081-2106). Rekabentuk dan teknologi Enforcer telah mempengaruhi teknologi kapal-kapal capital pada Era Empayar dan seterusnya.

Saya memohon maaf kerana tidak sempat menyiapkan sekuel (sambungan seterusnya) Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula. Kerana genap Ramadhan, maka sudah setahun novel ini di pasaran. Insya-Allah sekuel bakal berada di pasaran pada penghujung tahun ini ataupun awal 2010.

Syukur tidak terhingga kepada Allah yang memberikan kekuatan. Terima kasih buat Ibu dan Ayah yang memberikan kepercayaan dan sokongan. Terima kasih buat guru-guru saya, khususnya Puan Ainon yang memberi ruang untuk menulis. Terima kasih atas usaha gigih editor saya, sdr. Mat Jan. Terima kasih buat sahabat saya Firdaus Ariff yang banyak berkongsi idea. Terima kasih buat seluruh warga PTS. Terima kasih buat semua pembaca dan yang tidak harus saya lupakan, sahabat-sahabat yang peduli akan umat yang memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Terima kasih kepada anda semua kerana sudi memberi sokongan kepada Galaksi Muhsinin.


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat


Rujukan:
[1] www.starcraft2.com
[2] Grubb, J., (2007). Starcraft Archive: Liberty’s Crusade. Pocket Books: New York.

3 comments:

afidalina said...

salam azrul, kagum nye k afi tgk sketches tu! tak sangka ek 'the making of galaksi muhsinin' x ubah mcm buat movie/cartoon. k afi kagum2!! hehe..teruskan cayok2.

Azrul bin Jaini said...

Makseh... =)

AdH said...

Kagum!