Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, August 5, 2009

[Teknik] Old Republic: Cerita Latar STARWARS


Selama lebih daripada 300 tahun kami bersedia dan menunggu. Akhirnya... kami telah kembali!
~Darth Angral, Sacking of Coruscant, 3681 BBY

Baru-baru ini saya telah menonton trailer game STAR WARS: Old Republic. Pada mulanya saya menyangka bahawa trailer tersebut merupakan trailer game lama seperti STARWARS: Jedi Knight of the Old Republic. Tetapi setelah mencari jawapan daripada wikipedia, nyata trailer tersebut merupakan game terbaru Lucas Arts dan BIOWARE. Game tersebut telah diumumkan pada Januari 2009 yang lepas. Trailer tersebut begitu mengujakan; Jedi dan Sith bertempur sengit dengan menggunakan seni masing-masing. Kesan grafik CGI (Computer Generated Image) yang begitu baik melancarkan perjalanan cerita, sekali gus menambahkan minat untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.

Merupakan sejenis game multiplier, para peminat STARWARS disajikan dengan pengembaraan pada zaman Old Republic ala World of Warcraft. Peminat meneroka dunia Old Republic melalui watak-watak daripada beberapa pihak, seperti Jedi, Sith, Bounty Hunter mahupun Smuggler. Setiap pihak mempunyai cerita yang tersendiri. Terpulang kepada peminat untuk meneroka dunia Old Republic daripada sudut padangan pihak yang mana.

Atas: World of Warcraft: Wrath of Lich King

Saya merasa tidak perlu untuk bermain Old Republic. Cukuplah saya mengetahui jalan ceritanya secara luaran. Kerana bimbang juga natijahnya akan terjadi seperti bermain game yang setara iaitu World of Warcraft (atas). Melalui game jenis ini, para pemian disediakan dengan latar tempat, watak dan cerita yang cukup luas, menjadikan tidak akan ada batasnya bermain game tersebut. Pemain akan diberi pilihan untuk menjalankan pelbagai misi, menaik taraf kemahiran (upgrade skill), mencari barang dan pelbagai lagi. Lebih-lebih lagi peminat dihubungkan dengan pemain-pemain dalam dunia internet di seluruh dunia, pasti tidak lekang duduk jadinya nanti.

Hal ini terbukti berlaku kepada kenalan-kenalan dahulu yang ketagih bermain World of Warcraft. Bayangkan ada empat pihak dalam game tersebut; Human, Orc, Elves dan Undead. Dalam empat pihak terdapat lagi banyak watak seperti Warrior, Priest, Shaman, Rogue dan sebagainya. Pemain diberi watak yang mempunyai tahap-tahap, kemahiran-kemahiran dan bermacam-macam lagi. Pemain akan bermain agar watak pilihannya menjadi ‘kuat’, mempunyai senjata canggih dan pelbagai kemahiran magis! Sehinggakan, tidak tidur malam, ataupun terlepas subuh!

Sebaliknya saya berminat akan teknik pengembangan latar cerita dalam STARWARS melalui trailer tersebut. Bukan sekadar menikmati jalan cerita, tetapi meneliti bagaimanakah cerita tersebut dilayarkan dengan cara yang mudah difahami. Dalam salah satu video lain daripada GAMETRAILERS.com, pembangun game Old Republic mendedahkan rahsia di sebalik pembikinan game ini, iaitu menggunakan teknik imbasan kembali untuk mengkayakan cerita.

Atas: Death Star II dalam Star Wars Episod VI: Return of the Jedi



Pengembaraan STARWARS berpusat kepada trilogi yang merangkumi enam episod siri klasik STARWARS. Masa sifar adalah berujuk kepada Pertempuran Yavin IV (Battle of Yavin IV); iaitu ketika Luke Skywalker berjaya memusnahkan Death Star. Apa-apa peristiwa akan dirujuk kepada pertempuran tersebut. Contohnya, trailer tersebut yang mengisahkan peristiwa Sacking of Coruscant (Kemusnahan Coruscant) berlaku pada 3681 BBY (Before Battle of Yavin). Maksudnya, peristiwa tersebut berlaku 3681 tahun sebelum Pertempuran Yavin IV. Menurut konteks ini, jika ingin menguraikan kisah Jedi dan Sith, perlu diimbau kembali kepada 25,000 tahun sebelum Pertempuran Yavin IV. 

 Kisah selepas Pertempuran Yavin IV terutama setelah berakhir Episod VI: Return of the Jedi pula dirujuk sebagai era Jedi Academy, Legacy of the Force dan berbagai lagi. Kembali kepada era Pertempuran Yavin IV, Jedi dan Sith ketika itu merupakan entiti yang hampir-hampir pupus. Sith terlebih dahulu hampir pupus tetapi tersisa untuk membalas dendam. Manakala Jedi pula menjadi mangsa komplot Darth Sidious dan akhirnya juga hampir pupus penghujung Perang Clone (Clone Wars). Pertempuran Yavin IV menjadi titik rujuk kepada era dan peristiwa dan STARWARS. Seperti pula saga DUNE, BG (Before Guild) digunakan untuk merujuk kerangka masa.



Dalam game Old Republic, pemain akan berpeluang meneroka zaman Old Repulic, iaitu semasa Jedi dan Sith masih dalam bilangan yang ramai. Game ini memaparkan serangan mengejut bala tentera Sith menggempur Jedi Temple pada 3681 BBY. Serangan mengejut ini di luar jangkaan Jedi, kerana rundingan antara Jedi dan Sith sedang berlangsung di planet Alderaan. Akan tetapi, seorang Sith Lord, Darth Angral telah memasuki Jedi Temple yang kemudian gerbang ranap dirempuh oleh sebuah shuttle. Rempuhan itu lantas melemahkan rangkaian pertahanan planet Coruscant.



Lebih menggetirkan lagi, shuttle tersebut sarat dengan Sith Marauder dan Sith gunner. Mereka kemudiannya menggempur sesiapa sahaja yang mempertahankan Jedi Temple. Pertarungan hidup dan mati antara Sith dan Jedi berlangsung. Serangan mendadak menyebabkan Jedi berada dalam keadaan kritikal. Akhirnya, Darth Angral telah berjaya menumpaskan tentangan di Jedi Temple dengan tumpasnya seorang Jedi Master. Secara keseluruhannya, planet Coruscant juga dalam keadaan huru-hara dilanggar oleh armada Sith dan tentera Mandalorian di darat.


Jedi vs Sith



Lucas Arts mengimbas kembali sejarah lampau konflik Jedi-Sith, tetapi dalam kerangka masa yang begitu jauh dengan trilogi asal. Namun, DUNE menggunakan kerangka yang lebih jauh, iaitu 10,000 tahun. Setakat ini, tidak ada kerangka masa yang lebih lama daripada Warhammer 40,000, iaitu penulis menggunakan jangka cerita dalam jangka 40,000 tahun (40 abad).

Dalam Old Republic, peminat STARWARS akan memahami konflik yang asal-usul yang menjadi akar persoalan dalam enam episod trilogi klasik (Episod I: Phantom Menace sehingga Episod VI: Return of Jedi). Peminat dibawa mengimbau pada zaman Light Saber merupakan senjata utama serta bilangan Jedi dan Sith yang begitu ramai. Juga, peminat didedahkan dengan perkaitan pihak lain dengan Jedi dan Sith, seperti Bounty Hunter (terutama bangsa Mandalorian yang hampir pupus) dan Smuggler (penyeludup).

Teknik imbasan kembali ini meluaskan skop penceritaan dalam sesuah trilogi. Penulis misalannya, mempunyai fleksibiliti kerana boleh mereka cerita baru yang menghuraikan asal usul trilogi yang dibinanya. Penulis juga berpeluang memperluas skop huraian dengan mengkisahkan asal usul kepada kewujudan konflik, pembangunan bangsa, perkembangan teknologi ataupun pendirian sesebuah watak. Ini akan memantapkan kefahaman kepada pembaca akan konflik yang sedia ada. Juga perkara yang penting untuk diambil kira ialah, cerita latar yang direka haruslah ada kesinambungan dengan cerita yang sedia ada.



Sebagai contoh pada zaman Old Republic, masing-masing Jedi dan Sith menggunakan armor perisai pada badan mereka untuk perlindungan kerana sentiasa terjadi konfrontasi antara Jedi dan Sith. Manakala pada zaman Perang Clone pula, kita melihat Jedi hanya menggunakan jubah sahaja. Mungkin juga kerana keadaan selamat kerana ancaman Sith sudah tidak ada lagi. Tambahan lagi, Jedi dan Sith dalam trailer tersebut dipaparkan menggunakan seni tempur asal yang sama digunakan oleh Darth Maul, Darth Vader, Count Dooku, Obi Wan Kenobi, Luke Skywalker dan Yoda pada era Perang Clone dan Galactic Empire. Mereka mewarisi seni Darth Angral dan Jedi Master yang berlaku lebih kurang tiga ribu tahun yang lampau (kononnya).

                   Tentera Mandalorian semasa Perang Saudara Mandalorian
Hubungan baik antara Sith dan Bounty Hunter (terutama bangsa Mandalorian) juga terserlah dalam Old Republic. Seorang Bounty Hunter Mandalorian membantu Darth Angral dalam serangan tersebut. Manakala apabila dilihat dalam era Perang Clone, sebenarnya pihak Sith (Count Dooku) telah mengaturkan tentera Clone yang bakal melaksanakan Order 66 untuk menghapuskan semua Jedi tanpa soal. Tentera Clone tersebut dibangunkan daripada genetik seorang Bounty Hunter handalan, iaitu Jengo Fett. Jengo Fett merupakan seorang lagenda yang tidak ada tolok banding kepada Bounty Hunter yang lain. Kehandalannya diwarisi daripada tradisi bangsa Mandalorian yang bijak dan sukar berperang (juga dipaparkan oleh Bounty Hunter dalam Old Republic).
 Darth Angral dan Jedi Master
                      


Dapat diperhatikan juga, armor yang digunakan oleh Darth Angral mirip kepada armor Darth Vader (Anakin Skywalker). Jika dipasangkan helmet hitam berkilat Darth Vader kepada Darth Angral, maka kita tidak dapat membezakan itu adalah Darth Angral, bukan Darth Vader! Boleh jadi, armor Darth Vader yang dipasangkan setelah ia cedera parah di planet Mustaffa berasal daripada armor Darth Angral, siapa yang tahu.


             Pusat pemerintahan Old Republic, planet Coruscant (3681 BBY)
Galaksi Muhsinin bagaimanapun, bermula pada 2205. Telah diceritakan dalam ‘Kronologi Galaksi Muhsinin’ dalam muka surat 308, pembaca didedahkan secara sepintas lalu beberapa tiga Era Awal, iaitu Era Eksplorasi, Era Kompeni dan Era Empayar. Kekalahan Flotila Peninjau Cyborg ke-73 pada 2205 menandakan berakhirnya Era Empayar yang telah berlangsung selama hampir seratus tahun. Justeru, timbul era baru, iaitu Era Muhsinin. Pengembaraan Galaksi Muhsinin boleh diteruskan bermula Era Muhsinin.


                                       Jeneral Serdadu Kompeni (2081-2106)
Ataupun, boleh juga diceritakan apakah yang sebenarnya berlaku dalam masa 100 tahun yang lampau. Sebagai contoh, mengapakah Maharaja Empayar Sibernatik Cyborg bersumpah mahu memusnahkan ‘orang-orang Islam’ dan dijumpai 100 tahun kemudian dengan identiti Galaksi Muhsinin? Adakah Orang Zion cuba menggoncang Galaksi Muhsinin bermula serangan konvoi haji ataupun sebaliknya? Apakah susur galur teknologi oleh setiap pihak? Adakah sama seperti 100 tahun yang lampau?

Kerangka masa yang agak jauh membolehkan penulis mengolah cerita sejarah latar kepada peristiwa yang sudah berlaku. Antara lain pula, penulis boleh menghuraikan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam jangka antara dua peristiwa. STARWARS juga sebagai contoh. Siri CGI STARWARS yang tersiar dalam Cartoon Networks merupakan cerita-cerita kecil yang berlaku dalam Perang Clone selama lebih kurang tiga tahun. Perang Clone berlaku antara Episod II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith. Selang masa antara 2 episod tersebut, Lucas Arts boleh mencipta cerita-cerita baru (ataupun produk-produk baru) melalui penyiaran siri CGI STARWARS. Secara langsung, menambahkan khazanah kepada cerita-cerita yang sedia ada.



Mengambil contoh berkaitan dengan novel saya Galaksi Muhsinin, cerpen saya ‘ALGORITMA TAQWA’ merupakan cerita latar yang mengisahkan seorang pegawai cyborg menghadapi pemberontakan setelah kekalahan Konfederasi Conquistador. Saya juga boleh mencontohi babak Perang Clone STARWARS dengan menulis peristiwa-peristiwa terperinci yang berlaku dalam Perang Galaksi Muhsinin, sama ada pertempuran di Planet Hadid Hd-57, Planet Saff Sf-61, planet Dukhan Dk-44 ataupun pemberontakan oleh Xamirthurush di planet Levadura. Para pembaca akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan pertempuran tersebut, justeru cerita-cerita latar ini membantu pembaca untuk memahami cerita induk.

Oleh yang demikian, melalui imbasan kembali, skop penceritaan dapat dipelbagaikan. Untuk sekuel Galaksi Muhsinin, adakah cerita seterusnya menggunakan imbas kembali 100 tahun ataupun melangkah ke hadapan? Kluenya adalah: teruskan ke hadapan. Selepas Era Muhsinin ada dua era lagi yang belum tersingkap. Banyak lagi rahsia yang masih tersimpan. Insya-Allah sekurang-kurangnya satu sekuel Galaksi Muhsinin akan siap menjelang penghujung tahun ini. Setidak-tidak pun, siap untuk Pesta Buku Antarabangsa tahun depan. Kini saya sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan pengajian di samping mengumpul bahan dan meneroka teknik menulis.



Secara kesimpulannya, STARWARS berjaya bertahan selama lebih 30 tahun. STARWARS merupakan fenomena saifai (sains fiksyen) yang evergreen. Trilogi ini telah memukau ribuan peminat dan berpotensi untuk terus berkembang. Dengan menghasilkan satu universe ataupun latar yang luas, pereka STARWARS boleh mencipta cerita-cerita yang baru dalam kerangka yang sama. Namun demikian, perkara ini bukan sahaja diamalkan dalam STARWARS sahaja. Antara saifai lain yang menggunakan teknik yang hampir-hampir sama ialah Lord of the Rings, DUNE, WARHAMMER dan Starcraft. Kesemua cerita tersebut kini merupakan saifai yang stabil, kaya dengan kepelbagaian dalam plot, dunia dan watak. Saya kira teknik inilah yang menjadikan sesebuah saga atau pengembaraan sains fiksyen dan fantasi evergreen, bertambah menarik dan mempunyai peminat. Namun demikian, teknik-teknik saifai yang sedia ada adalah panduan. Perkara yang terbaik ialah dengan mencipta acuan kita sendiri dengan menyaring fahaman yang mengelirukan dan menerapkan nilai-nilai. Bak kata Buya HAMKA, jika ingin ke hadapan sebagai seorang karyawan, kita mestilah berbeza dan memiliki keistimewaan yang tersendiri! Masanya untuk mencuba!

NOTA: Maaf andainya entri ini terlalu panjang dan rumit untuk difahami. Secara rumusan:

1. Entri ini menghuraikan kelebihan sesebuah trilogi menggunakan teknik imbas kembali untuk mengisahkan sejarah lampau cerita asal. Justeru, penulis boleh mencipta karya yang merupakan huraian lanjut kepada cerita yang sedia ada.
2. Trilogi akan bertambah kaya dan lebih dinamik apabila penulis boleh mereka cerita yang sangat menarik dalam konteks masa yang ditentukan oleh penulis.
3. Teknik ini terbukti berkesan kepada trilogi-trilogi yang evergreen sehingga hari ini. STARWARS adalah buktinya.



Rujukan:
Windham, R., (2007). The ultimate visual guide to star wars. DK Publishing: UK.
Herbert, F., (1990). Dune. Ace Book: New York.
Stover, M., (2005). Starwars: Revenge of the sith. Ballantine Books: New York.
McNeill, G., (2009). Warhammer 40,000; A novel of the ultramarines: The killing ground. Black Library: UK.

2 comments:

Fahmi Mahat said...

Mencipta timeline yang panjang memang mencabar.

Tapi kelebihannya, pelbagai kebarangkalian, teknologi,konflik dan watak dapat dihubungjalinkan.

Terima kasih atas perkongsiannya tuan selamat menghantar karya untuk Jun ini! =)

Azrul bin Jaini said...

Terima kasih atas sokongan! ;)