Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, Maha Penyayang
Dimulakan blogku saifaiislami dengan untaian mutiara berharga daripada junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, sebagaimana yang ditekuni oleh ulamak-ulamak muktabar dalam kitab-kitab mereka:
Dari Amirul Mukminin Abu Hafs Umar ibn Khattab radiallahu anh, katanya: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: ‘Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.’”
Peringatan tersebut merupakan peringatan yang amat penting. Tanpanya, segala usaha adalah sia-sia dan tidak diterima oleh Allah. Alangkah ruginya jikalau terjadi sedemikian, sedangkan merasa memikir diri telah membuat kebaikan:
“Katakanlah: ‘Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?’”
“Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, 18:103-104)
Aku berlindung diri kepada Allah atas bahaya itu. Inginku membatasi dan mengingati diri ini agar blog ini bukanlah untuk mencari nama dan kepentingan diri. Tetapi atas rasa tanggungjawab sebagaimana yang diseru oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam:
“Daripada Abdullah bin Amar bin Ash radiallahu anhuma berkata: Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Sampaikanlah apa yang kamu dengar daripadaku walaupun satu ayat.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Tarmizi)
Aku mengharapkan agar dapat menuntuni jalan-jalan yang telah dilalui oleh para ulamak yang agung, iaitu menuliskan ilmu. Lantaran kerana keikhlasan mereka mengarang, Allah memberkati ilmu mereka dan kita menikmati pengorbanan mereka sehingga ke hari ini. Imam-imam hadith seperti Bukhari dan Muslim; imam besar empat mazhab, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal; Hujjatul Islam Imam Ghazali dan beribu-ribu di kalangan mereka telah menuliskan ilmu mereka, dan akhirnya sampai kepada kita. Pernah ditanyakan seorang ulamak, kenapakah ia mula mengurangkan pengajiannya bersama muridnya, maka ia menjawab, “Aku ingin menuliskan ilmuku pada kitab, untuk generasiku yang mendatang.” Aku yakin, inilah yang dipegang oleh para ulamak yang merupakan waris para Nabi dan Rasul; mereka juga sayang kepada generasi mendatang, generasi yang mereka yakin tidak sempat temui, iaitu kita.
Alangkah beruntungnya, apabila ilmu bermanfaat yang dicurahkan menjadi penyelamat terakhir seseorang pada hari yang tidak ada lagi jual beli, tidak ada persahabatan dan segalanya kecuali amalannya:
“Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: ‘Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfaatan daripadanya dan anak soleh yang akan mendoakan untuknya.’”
(Hadith Riwayat Muslim)
Moga-moga Allah mencurahkan rahmat tidak terhingga kepada mereka dan menerima amal mereka. Dan aku hanyalah insan kerdil yang ingin mencontohi dan menuruti jalan yang mereka lalui. Mudah-mudahan, Tuhan menerima amalku yang sedikit ini dan menerima sebagai sebahagian daripada jihad pena. Suka ku timbulkan gagasan yang diutarakan oleh Dr. Talib Samat dalam eseinya Berjihad Menerusi Tulisan (Talib Samat, 1984):
“Penulisan lebih merupakan suatu bentuk perjuangan, peperangan, pertarungan fikiran, dan jihad untuk menegakkan kebenaran dan menghancur leburkan kepalsuan dan ketidakadilan yang bertapak di muka bumi. Penulisan adalah salah satu cara yang menyeluruh dan perlu dimanfaatkan untuk memerangi kemungkaran, keburukan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia dalam masyarakat.”
Dalam perenggan lain, beliau menuliskan:
“Seorang pahlawan berjuang di medan perang menentang musuh yang mengancam kedaulatan bangsa, agama dan negaranya dengan segala peralatan senjata dan kecekapan ilmu peperangan sama ada ia membunuh atau terbunuh. Seorang penulis atau sasterawan pula, akan menggunakan ketajaman mata penanya dengan ilmu-ilmu bantu yang dimilikinya untuk berjuang menghadapi dan memerangi anasir-anasir perosak yang bukan sahaja mengancam dirinya, tetapi juga masyarakat zamannya pada masa sekarang dan masa yang akan datang.”
Perkara yang terpenting didapati daripada buah fikiran beliau:
“Menjadi tanggungjawab para penulis untuk menghasilkan tulisan-tulisan yang boleh memandu manusia ke arah jalan-jalan kebenaran yang diredhai oleh Pencipta-Nya, ketinggian akhlak, semangat perjuangan membina umat supaya dipandang bertamadun, semangat kerja kuat, ketinggian pemikiran dan penghargaan sewajarnya terhadap hidup yang singkat ini di kalangan pembaca-pembaca tulisannya.”
Akhir kata, kesimpulan daripada beliau yang mendorongku untuk terus berkarya:
“Jangan dipersia-siakan, disalahgunakan atau digunakan bakat yang dianugerahi Tuhan untuk menghasilkan karya yang merosakkan pemikiran, akhlak dan cara hidup masyarakat yang tidak berperaturan seperti haiwan. Tulislah karya-karya yang boleh membangun keperibadian yang tinggi, berjiwa besar, membuka mata dunia kepada bangsa Melayu (Islam) yang sering dituduh mundur, malas, dan sebagainya, yang tidak sepatutnya berlaku sebagai bangsa yang telah merdeka daripada penjajahan. ”
Segala yang baik daripada Allah. Segala yang kurang baik juga daripada-Nya, Cuma disandarkan kepada kelemahan diri ini. Galaksi Muhsinin merupakan langkah perjuangan yang pertama. Jalan masih jauh dan sukar. Tentunya aku memerlukan pimpinan daripada orang-orang yang berilmu dan telah lama berpencak di medan mulia ini.
Allahu’alam.
Berjasa Kepada Masyarakat
Wassalam
2 comments:
Salaam...tahniah atas usaha ktk y macam tok.melalui penulisan y saifai islami tok,mudah2an kt dpt mbukak minda generasi mudak,bkn omputis jak y mampu menawan saifai tok.tmbhn gk unsur y cdaknya ketengahkan kmk pk,kurang bermesej,specfik gk,islamic msg la..keganasan y dtonjol lam penulisan n perfileman daknya sangat2 mencelarukan utak muda-mudi.klak kt molah collaboration molah filem saifai gk...haha...guro jak....mun mena jd alhamdulillah...hehe
Salam
Makseh sudi berjarah sitok. Teruskan perjuangan!
Post a Comment