Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, September 3, 2008

Kerangka Saifaiislami


Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam. Dialah menciptakan alam ini dengan kebenaran. Dialah yang mengutus sekalian para Nabi dan Rasul. Yang mengutus penyudah segala Rasul,Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya atas keluarga Baginda, sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang ikhlas mengikuti mereka, sehingga Hari Kiamat. Semoga penulis dan pengunjung blog termasuk dalam golongan mereka yang mulia. Amiin.

Pertama sekali, penulis memohon banyak kemaafan daripada pengunjung. Penulis telah membina blog saifaiislami pada Julai 2008 yang lepas, tetapi tanpa ada pengisian. Syukur kepada Allah, diberikan kelapangan untuk memulakan entri blog ini. Simbolik benar akan kehadiran nukilan sulung penulis, Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula dan kehadiran Ramadhan 1429H ini. Semoga Tuhan menerima karya ini sebagai salah satu daripada amal penulis. Amiin.

Saifaiislami bertujuan untuk melengkapi blog-blog ataupun laman web yang berorientasikan kepada penulisan saifai, terutama saifai ditulis oleh penulis tanah air dalam bahasa Melayu. Saifai dikenal sebagai sci-fi atau nama penuhnya ialah science fiction. Blog ini melengkapkan peranan yang dimainkan oleh beberapa blog saifai yang sedia ada, terutamannya studioinspirasi, sastera jantan dan waris jagat. Mudah-mudahan capaian ini dapat dilebar luaskan kepada blogger yang lain.

Terima kasih kepada sahabat yang sering memberi panduan dan sokongan, terutamanya teman saifai, saudara Firdaus Ariff, penulis Sayap Adinila. Juga kepada saudara Abdul Mukmin sekarang berada di Kuching yang sering membantu mendapatkan bahan penulisan. Tidak lupa kepada Sifu dalam bidang penulisan, Puan Ainon. Editor saya, saudara Mat Jan dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam membantu saya menceburi dalam lapangan ini.


Objektif-objektif saifaiislami ialah:

1.Menyediakan maklumat sokongan novel Galaksi Muhsinin, melalui D Galaksi Muhsinin. Pembaca disediakan dengan maklumat serta ilustrasi gambaran mengenai watak, latar ataupun mesin-mesin yang terlibat dalam novel itu.

2.Membuat kajian atas saifai Barat dalam:

a. Mengekstrak teknik-teknik penceritaan watak, latar, aksi dan sebagainya.

b. Mengenalpasti ciri-ciri sesuatu saifai “evergreen”. Sebagai contoh,
bagaimanakah George Lucas menjadikan STAR WARS masih hangat
diterima sehingga sekarang oleh segenap lapisan umur, walaupun
ceritanya sudah berumur 30 tahun lampau?

c. Menyaring serangan pemikiran (ghazwul fikr) yang terselit dan memberi
maklum balas dengan sudut pandangan rasional dan wahyu

3. Membentuk acuan saifai islami yang berteraskan dalam syarak. Antara ciri-ciri yang telah cuba diterap:

a.Ektsrak daripada inti Quran

i.Bagaimanakah saifai dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej Quran?

ii.Bagaimanakah watak-watak dan pengajaran dalam cerita-cerita dalam Quran
boleh dijadikan panduan?

iii.Bagaimanakah elemen sains dalam Quran boleh disampaikan dalam saifai?

b.Menerapkan nilai-nilai dana amalan-amalan daripada hadith Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam.

c.Menangkis serangan pemikiran (ghazwul fikr).

4.Berkongsi teknik penulisan yang penulis amalkan.

Penulisan menerusi saifai merupakan lautan luas yang perlu diteroka. Penulis Barat telah beratus tahun menanamkan pegangan mereka melalui saifai. Tidak dinafikan, saifai yang dihasilkan adalah hebat-hebat belaka. Jules Verne, H. G. Wells, Frank Herbert (DUNE), Isaac Asimov, George Lucas (filem STAR WARS) seumpamanya memainkan peranan penting dalam pemantapan saifai sebagai salah satu daripada aliran sastera. Tetapi, tidak dapat tidak, pembaca menerima tempias daripada ideologi yang mereka bawa.

Adakah kita mendapati penulis saifai di kalangan muslim? Ada, tetapi bilangannya berapa ramai? Oleh yang demikian, penulis suatu masa dahulu mengambil keputusan untuk bersama PTS dalam membangunkan sastera saifai. Lebih-lebih lagi Quran sendiri mempamerkan keagungan Allah melalui ayat-ayat yang menyentuh berkenaan alam, inilah peluang besar untuk penulis membawa pembaca merenung dan memikirkan kejadian-kejadian sekeliling mereka. Kita punyai sumber yang agung, yang evergreen dan benar. Inilah masanya.

Penulis akui, penulis baru melangkah setapak. Tentunya banyak kekurangan yang perlu ditampung. Oleh yang demikian, tunjuk ajar amatlah dihargai. Segala yang baik daripada Allah dan yang kurang baik juga daripada-Nya, cuma disandarkan kelemahan kepada saya. Semoga Tuhan bersama saya.

“Serulah manusia kepada Tuhanmu dengan berhikmah”
(Nahlun, 16:125)

Berjasa Kepada Masyarakat

Allahu’alam.

No comments: