[Transmisi data bermula]
[Bismillah]
>>Planet Anfal An-8,
>>Pusat mujahidin Galaksi Muhsinin
Saya Adjutan Hamamji Esnafi[1], program-khidmat maya yang membawakan anda menjelajah fasiliti latihan jihad Planet Anfal An-8. Planet ini adalah planet khusus yang menempatkan segala keperluan ketenteraan Galaksi Muhsinin.
Jihad merupakan salah satu daripada cabang kefardhuan dalam Islam mengikut tahapan dan keadaan. Pemerintahan Galaksi Muhsinin oleh Khalifah Zulqarnain pada Era Muhsinin (2205) memberikan peluang kepada warga Galaksi Muhsinin untuk berjihad menegakkan kebenaran dan keadilan, menyebarkan Misi Rahmatan lil Alamin. Warga Galaksi Muhsinin melaksanakan tuntutan menyebarkan keamanan dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan wilayah dengan kekuatan fizikal dan spiritual. Warga Galaksi Muhsinin yang dihantar ke Planet Anfal An-8, mereka akan menjalani latihan jihad setelah tahap ilmu dan amalan fardhu ain mereka mencapai tahap yang memuaskan.
Antaranya latihan adalah menjalani program latihan Sim-Ghazi, iaitu simulasi seseorang mujahidin dalam mana-mana pertempuran dalam sejarah, baik seni perang purba menggunakan senjata tajam mahupun seni perang moden. Rekod yang paling sukar adalah Sim-Ghazi Badar-313, iaitu simulasi akan Perang Badar yang berlaku pada 2 Hijrah. Tiada seorang pun yang mampu berdiri menghadapi simulasi yang getir itu.
Mujahidin Konvensional
Konsep Sut: Sut ini dinamakan sebagai Dirr-ECM. Maksud ‘Dirr’ merujuk kepada baju perisai tentera Islam pada zaman bumi kuno. Sut ini merupakan eksoskeleton khas yang menyokong dan melindungi badan orang dalamnya. Tenaga untuk gerakan dijana melalui sistem simbiosis antara chakra badan dan tenaga daripada sel tenaga. Armor eksoskeleton diliputi oleh bahan ECM yang menyerak gelombang radar. Ini membolehkan mujahidin ‘tersembunyi’ daripada radar musuh.
Mujahidin dilindungi oleh perisai plasma yang dijana oleh sel tenaga. Perisai ini merupakan sususan terkawal zarah persekitaran yang melingkungi mujahid. Sebarang aliran peluru senjata ringan (senjata balistik ataupun tenaga) dipesongkan oleh perisai ini.Tetapi perisai ini menyusut apabila paduan tenaga mujahidin berada di tahap minima. Sut ini direka khas supaya mujahidin dapat beribadah dengan lebih sempurna. Oleh yang demikian, sut dilengkapi dengan kelengkapan ibadah seperti kapsul wuduk, sejadah galaktik dan navigasi kiblat. Makanan mujahidin pula berbentuk cecair; yang membolehkan bahan kumuh individu hanyalah sekadar peluh. Ini memudahkan mujahidin dari aspek bersuci.
Senjata: Raifal proton Nur-24, Grenad proton Nur-24G, Saifaion (pedang ion)
Aksesori: Helmet multiguna (Pembantu Visual Elektronik), kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan generator perisai plasma, kapsul makanan, gajet periskop
Sistem Latihan: Setiap orang Islam warga Galaksi Muhsinin diwajibkan untuk mengikuti latihan jihad di Planet Anfal An-8 secara berkala. Dalam masa yang sama, mereka akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan; seperti sebagai garison di pos pemerhati, pangkalan angkasa ataupun sempadan. Warga Galaksi Muhsinin mempunyai pilihan; sama ada mereka terus menjadi mujahidin tetap ataupun menjalani kehidupan awam seperti biasa. Mereka mrlslui latihan melalui simulasi masa-nyata, berlatih strategi, taktik dan kemahiran tempur melibatkan senjata tempur jarak dekat ataupun jauh. Berdasarkan detasmen masing-masing, detasmen mujahidin mempunyai kepakaran seperti operasi asteroid, stesen angkasa, planet kontang, planet hijau, planet berisiko tinggi ataupun melibatkan maritim.
Operasi: Garison di pos pemerhati, pangkalan angkasa, platform angkasa, ataupun fasiliti awam dan tentera. Mujahidin juga berjuang di medan hadapan, sama ada terlibat dalam pertahanan, tentera ekspidisi ataupun sebagai tentera sokongan dalam operasi khas bersama mujahidin elit.
Variasi: Medik tempur, jurutera, sniper, krew kapal angkasa, krew mekatempur dan krew kenderaan
Mujahidin Elit
Tugas: Bertempur secara konvensional mahupun dalam operasi khas. Sering berada di barisan hadapan di tempat pertempuran sedang memuncak dan diberi kepercayaan sebagai penggempur hadapan. Juga ditugaskan untuk operasi khas jarak jauh. Seringkali mereka ditugaskan untuk operasi yang sangat berbahaya.
Sejarah: Mujahidin Elit mengambil model daripada contoh zaman kegemilangan umat Islam. Rasulullah mengutus sahabat terpilih untuk melakukan serangan komando atas kabilah terang-terang mahu menyerang Madinah. Seperti Empayar Turki Uthmaniyyah, Janissari ditubuhkan sebagai pasukan elit yang akan mengungguli pertempuran.
Konsep Sut: Sut tempur mujahidin elit adalah berdasarkan mujahidin konvensional, juga merupakan sut eksoskeleton. Nama tetap sama, iaitu ‘Dirr-ECM’. Mempunyai ciri yang sama, iaitu perisai plasma (lebih kuat), kapsul wuduk dan helmet multiguna. Namun yang demikian, terdapat beberapa perbezaan dengan mujahidin konvensional. Mujahidin elit dilengkapkan dengan pek survival. Pek ini mengandungi bekalan tambahan untuk operasi jarak jauh dan berbahaya, seperti kapsul wuduk, senjata, kapsul makanan dan sel tenaga. Armor pula dilengkap dengan armor yang tahan keadaan ekstrem seperti vakum, permukaan mengakis, suhu bawah takat beku ataupun panas yang melampau. Helmet serbaguna menempatkan visual paparan elektronik yang lebih sofistikated, multisensor dan interkom yang berkuasa tinggi.
Senjata: Raifal Nur-24E (versi elit; boleh tukar chasis, kepada mod pelancar projektil partikel anti-armor), Grenad Nur-24G, Saifaion (pedang ion)
Aksesori: Helmet serbaguna (Pembantu Visual Elektronik), kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan generator perisai plasma, kapsul makanan, gajet periskop
Sistem Latihan: Hanya mujahidin terbaik dan terpercaya sahaja di kalangan mujahidin konvensional yang ditauliahkan untuk menjadi mujahidin elit secara sah. Mereka menjalani latihan jihad di Planet Anfal An-8.
Variasi: Medik tempur
Unit Anti Teroris (UAT)
Tugas: UAT berperanan sebagai unit khas menghadapi serangan teroris pada ketika itu yang didalangi oleh Liga Lanun. Juga, UAT bertanggungjawab menjaga keselamatan dalaman galaksi. Jika ada sebarang kes yang rumit, maka UAT akan memainkan peranan dalam menjalankan siasatan.
Sejarah: Unit Anti Teroris (UAT) Galaksi Muhsinin merupakan cabang khas ketumbukan mujahidin Galaksi Muhsinin. Dari segi kelengkapan, UAT mempunyai persamaan dengan unit mujahidin. UAT ditubuhkan oleh khalifah Galaksi Muhsinin kelima, iaitu Khalifah Ayyub Ansari.
Konsep Sut: Konsep sut tempur anggota UAT tidak jauh berbeza dengan mujahidin. Masing-masing mempunyai aksesori yang hampir-hampir sama. Terkecuali armor pada bahagian hadapan, armor dilengkapkan untuk menghadapi pertempuran jarak dekat untuk operasi khas menghadapi ancaman teroris.
Senjata: sub-raifal proton Nur-24R, Grenad proton Nur-24G, Saifaion (pedang ion)
Aksesori: Helmet multiguna (Pembantu Visual Elektronik), antena sensor, kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan perisai plasma, kapsul makanan
Sistem Latihan: UAT terdiri daripada rekrut sukarela daripada latihan jihad di Planet Anfal An-8. Secara otomatik mereka akan diserapkan sebagai salah satu badan pertahanan Galaksi Muhsinin. malah, dianggap sebagai ketumbukan elit untuk keselamatan domestik galaksi ini.
Operasi Unit: UAT berkhidmat dengan cemerlang mengekalkan keamanan. Kejayaan terbesar unit ini ialah menghapus dan menghalau pengaruh Liga Lanun daripada bermaharajalela. Pada 2205, UAT telah ditugaskan menyiasat kejadian tragedi haji. Mereka juga bertugas mengawal keselamatan semasa pertemuan Khalifah Zulqarnain bersama rakyat setelah insiden tragedi itu. Ketika Komando Bayangan Empayar Sibernatik Cyborg menyerang khalifah dan orang awam, sepasukan sniper UAT berjaya mengesan mereka. Akhirnya, setelah asakan hebat UAT, Operasi Vangeance atas arahan peribadi Maharaja Legion menemui kegagalan.
Variasi : Penggodam, pakar bom, sniper
Tentera Koloni Galaksi Muhsinin
Konsep: Konsep sut seperti di sebelah merupakan sut tempur tentera koloni yang digunakan oleh Koloni Athens yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Sturm pada Era Empayar. Konsep sut tempur ini digunakan oleh banyak sistem pada sehingga Perang Galaksi Muhsinin pada 2205. Koloni bebas hanya menumpukan pertahanan sistem untuk melindungi diri daripada ancaman luar, terutama Empayar Sibernatik Cyborg dan Liga Lanun.
Sejarah: Koloni Athens ketika insiden Planet Hadid Hd-57 hanya tinggal serpihan sahaja, terdiri daripada gabungan tentera tetap (Rejimen Infantri Phalanx ke-2) dan tentera kerahan koloni (Batalion Tentera Rakyat Volksstrum ke-7). Pada sebelumnya, mereka telah mengalami kekalahan yang teruk di planet asal mereka, Planet Starcos di Galaksi Thylakuid (galaksi paling hampir dengan Galaksi Muhsinin). Padahal tentera koloni Athens adalah harapan galaksi itu kerana mempunyai pertahanan yang mantap. Malangnya, mereka tidak dapat menahan gelombang dahsyat armada dan tentera mekanikal Empayar Sibernatik Cyborg. Demi maruah dan survival, akhirnya koloni ini bernaung bawah pemerintahan Galaksi Muhsinin dan ditempatkan di Planet Hadid Hd-57.
Namun pertahanan mereka bertambah lemah apabila sebahagian besar ketumbukan tentera koloni telah banyak musnah setelah serangan pertama Jeneral Furious. Bersama Batalion Mujahidin Jurutera ke-451, tentera koloni ini bermati-matian mempertahankan kubu terakhir mereka di Kubu SP-G Sparta di Bukit Uhud (ataupun dikenali oleh koloni dengan gelaran Bukit Durfen). Detasmen Mujahidin Elit ke-15 Galaksi Muhsinin telah dihantar oleh Khalifah Zulqarnain untuk menyelamatkan keadaan. Akhirnya pasukan Jeneral Furious dikalahkan.
Polisi Galaksi Muhsinin: Koloni yang bernaung bawah pemerintahan Galaksi Muhsinin dibenarkan mengekalkan tentera koloni yang sedia ada. Tentera ini diselia dan bekerjasama dengan pihak mujahidin Galaksi Muhsinin untuk pertahanan sistem. Tentera yang memeluk agama Islam diserapkan dalam sebagai unit mujahidin. Ketika tercetusnya Perang Galaksi Muhsinin dalam tahun 2205, tentera koloni berganding bahu dengan mujahidin bertahan bersama mereka.
Paten tentera koloni ini walaubagaimanapun masih meluas digunakan pada awal selepas Era Empayar. Tetapi reka bentuk dan keupayaannya mengalami perubahan yang ketara setelah Konfederasi Reconquista ditewaskan. Semangat tentera koloni melonjak dengan kekalahan Maharaja Legion. Ramai daripada mereka menyertai Galaksi Muhsinin sebagai unit mujahidin setelah konflik reda.
[Alhamdulillah, segalanya adalah daripada Allah]
*Diedit semula pada 10 April 2014
NOTA:
[1] Hamamji Esnafi adalah sekumpulan sukarelawan yang berkhidmat untuk angkatan tentera Daulah Uthmaniyyah yang menyediakan tentera tempat yang selesa dan kemudahan mandi. Mengambil semangat ini, Adjutan Hamamji Esnafi adalah ‘khadam maya’ kepada pengunjung Planet Anfal An-8.
NOTA:
[1] Hamamji Esnafi adalah sekumpulan sukarelawan yang berkhidmat untuk angkatan tentera Daulah Uthmaniyyah yang menyediakan tentera tempat yang selesa dan kemudahan mandi. Mengambil semangat ini, Adjutan Hamamji Esnafi adalah ‘khadam maya’ kepada pengunjung Planet Anfal An-8.
[2] Ilustrasi adalah daripada laman conceptships.blogspot.com.