Bahagian 1 : Pensabotaj Wirawan Liga Lanun
Kenderaan itu hanya beberapa meter sahaja dari lokasinya. Jack Barbarossa
mengaktifkan revolvernya. Gogal penglihatan ditukarkan kepada mod tempur.
Serta-merta objek sasaran ditandai secara maya pada paparannya.
“Ada lima orang. Kenderan hover. Senjata berat pada hover. Empat askar
Galaksi Muhsinin?” desisnya. Dilihatnya ada sebuah kenderaan yang terapung,
membawakan lima askar menggunakan sejenis sut.
“Salah. Bukan tuan. Mereka adalah askar koloni. Senang dikalahkan, “ ujar komputer
pembantu elektronik sut Jack dengan frekuensi rendah.
“Cis, diamlah engkau. Aku hanya seorang. Mereka ramai.”
Lampu sorot itu berlegar di sekitar kawasan itu. Empat orang askar koloni seperti mengimbas dan mengacukan sudut-sudut bangunan sekitar. Tiba-tiba mereka dipanggil oleh pemandu dan akhirnya beredar. Kata Jack, “Lega. Selesai satu masalah. Aku bukannya rajin mahu berlawan.”
Jack mengimbas buat kali terakhir. Sasaran hanya tinggal beberapa meter di
hadapan. Tidak perlu menyelinap di lorong-lorong, mengendap, merangkak dan
membuatkan badan jadi kotor tidak perlu lagi.
Tiba-tiba alat komunikasi interkomnya bergetar dan berbunyi, “Engkau bila
mahu balik? Sudah dapat habuan?” Kedengaran sayup-sayup suarat juruterbang
Kejeron V. Katanya lagi, “Berapa juta kredito yang engkau kaut? Nanti kita
bahagikan. Aku pun mesti ada bahagian komisyen.”
“Cis, engkau tamak macam Nakhoda Corsair. Ini usaha aku... “ tiba-tiba
talian terputus. Disusuli dengan halilintar kuat ion dan bunyi guruh
berdentum-dentum membingitkan telinga.
“Cuaca pun tidak baik. Tidak lama lagi ribut ion akan tiba di sini. Lebih
baik aku terus ke sasaran, habiskan urusan ini dan berteduh.”
Bisik kepada dirinya, “Hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi. Malam ini
aku seolah-olah tidak percaya, habuan berjuta-juta kredito dalam tanganku. Ia menekan
punat pengimbas kredito sasaran.
“Eh, tiada respon? Barangkali tempat ini mempunyai sistem sekuriti yang
mantap. Ataupun sudah terputus bekalan elektrik? Lorong yang kecil itu sunyi
sepi. Hanya ada beberapa lampu jalanan yang menyinari balam-balam cahaya.
Pengimbas menunjukkan jalan tiada objek mencurigakan. Lantas ia berlari sekuat
hatinya, dan bersandar di dinding.
“Kalau engkau bising lagi, aku formatkan engkau, tukar dengan perisian yang
lebih waras lagi,” Jack mengomel sambil berjalan bersandar ke dinding. Ia
bergerak menuju ke pintu bangunan.
“Tukarlah kalau boleh. Nanti saya renjat tuan dengan elektrik saya.”
“Cis, baiklah. Jangan buat lagi. Tidak apa. Tahulah saya untuk kerjakan
awak. Bukan sekarang. Lain kali.
Di sisi pintu itu terdapat sejenis peranti elektronik. Kebiasaannya alat
ini berfungsi sebagai kunci digital bagi setiap pintu. Bisik Jack, “Komputer,
godam pintu ini.”
“Baiklah... mengimbas.”
“Cepat. Nanti ada lagi orang yang lalu. Habis kita.”
“Berdasarkan imbasan saya yang tepat lagi cekap, pintu ini mengambil masa
selama dua jam empat puluh lima minit tiga puluh tiga saat untuk dibuka.”
“Apa? Merepek!” marah Jack.
“Baiklah tuan. Saya bergurau sahaja. Jangan jerit macam itu lagi. Frekuensi
dan amplitud tuan hampir-hampir sahaja resonans. Kalau saya pekak, lagi parah
tuan.”
“Komputer dungu! Tidak boleh harap! Balik nanti siap engkau. Buat
sekarang!”
“Baik tuan. Jangan marah. Itu pintu syaitan.”
“Buat!”
“Ting!” bunyi berdeting pada peranti itu. “Lihat tuan. Saya memang cekap.”
Jack sudah jenuh melayan perisian komputer sutnya yang dibeli secara cetak
rompak itu.
Jack mengubahsuai mod visi gogal kepada penglihatan malam. Bangunan itu
gelap tiada cahaya lampu. Anak panah carian berkelip-kelip pada gogal
disepadukan dengan komputer sutnya. Tiada objek ataupun jasad yang
mencurigakan. Sasaran hanya beberapa meter sahaja lagi. Revolver terselit kemas
di pinggangnya. Jack berjalan dengan berhati-hati, dengan pengalamannya, ia
boleh bersembunyi dalam beberapa saat sahaja jika ada kecurigaan.
Desirnya di dalam hati, “Tiada orang? Imbasan kredito pun tiada maklum
balas. Mungkin benar terputus talian elektrik kerana ribut ion. Atau terpaksa
menggendalakan bekalan kerana mengurangkan risiko pengumpulan cas berlebihan.”
“Mengapa tempat ini luas? Mengapa banyak tiang? Mengapa pula hati ini tidak
berdebar seperti biasa? Mengapa tenang sahaja?”
“Tuan lapar bukan?”
“Bagaimana engkau tahu?”
“Tentulah. Saya dahulu yang dengar bunyi perut tuan berbunyi kalau tuan
lapar. Antara perut dan telinga tuan, saya lebih dekat.”
“Engkau memang teman yang paling baik. Dan paling memeningkan!”
“Tuan, sebelum kita menggodam kredito tempat ini, kita curi dahulu makanan.
Saya mengesan makanan di tempat ini. Hanya beberapa meter sahaja!”
“Benar? Bagus juga. Kalau aku lapar, aku lebih mudah marah kepada engkau.
Di mana makanan itu? Tunjukkan!” Lantas muncul satu lagi anak panah, mengarah
kepada satu objek.
“Terima kasih komputer! Aku menjumpai roti!”
Jack duduk. Diambilnya roti itu dan dimakan dengan lahapnya. Air mata
mengalir dari kelopak matanya kerana keringnya kerongkong tanpa air.
“Apalah nasib aku. Aku ini jutawan. Berjuta-juta kredito dalam poket aku.
Tapi aku kelaparan. Terpaksa mencuri pula untuk makan. Hati pula selalu resah,
kerana bila-bila sahaja boleh ditangkap dan diseksa ataupun dihukum bunuh.”
Separuh roti sudah dibahamnya, sehingga ke akhir bahagian.
“Apa khabar, anak muda?” tiba-tiba muncul suara dalam kegelapan.
“Siapa?” Jack tersentak. Ia terduduk sekali lagi kerana kegagetan.
Tangannya mahu sahaja revolvernya. Halilintar berpancaran, disusuli oleh
bunyi guruh yang bingit. Kelihatan susuk jasad seseorang yang berjalan perlahan
menghampirinya. Orang tua itu seperti berpakaian putih, dari atas sehingga
bawah. Betul sangkaan Jack, orang itu berjubah putih.
“Tidak berbahaya. Tiada senjata. Tiada komunikasi elektronik. Boleh
bercakap dengannya. Jujur atau tidak terserah kepadanya. Bukankah Tuhan tahu?”
ujar komputer sutnya.
Hanya tinggal sedikit sahaja lagi roti di tangannya. Sebahagian pula dalam
mulutnya yang telah berhenti mengunyah. Fikirannya kosong, tidak tahu berkata
apa-apa. Selalunya ia ada helah untuk melepaskan diri. Tetapi kali ini mentol
minda terpadam sepertimana gelapnya bangunan ini.
Kata lembaga itu, “Roti itu adalah satu-satunya untuk sahur saya. Dan
satu-satunya juga untuk berbuka nanti. Itu sahaja makanan yang saya ada pada
hari ini.”
“Ma... maksud pakcik?” Tiba-tiba rasa bersalah menyelubunginya. Halilintar
menyambar. Seakan-akan petir itu menuju kepada dirinya.
“Roti itu setengah untuk sahur dan setengah untuk berbuka. Tidak
mengapalah. Mudah-mudahan Allah kurniakan rezeki kepada saya,” kata orang itu.
Ia berdiri di jalur jendela yang disirami cahaya lampu malap dari jalanan.
Seorang yang berumur, memegang tongkat. Berjanggut putih, berkerut dahinya. Dan
mengenakan lilitan kain putih di atas kepala.
Jack meletakkan baki roti di atas pinggan yang diambilnya. Ia beridiri.
Kata orang tua itu lagi, “Tempat ini sukar mendapatkan makanan. Sekadar
mencukupi kehidupan. Sejak Konfederasi Reconquista melanggar tempat ini, tanah
sudah tidak subur lagi. Syukur kepada Allah, Perang Galaksi Muhsinin telah
dimenangi oleh orang-orang yang bersatu mempertahankan kedaulatan dan
maruahnya.”
“Federasi Generasi Zenzaburo juga mendarat. Mereka menggunakan senjata
kimia yang mengakibatkan persekitaran tercemar. Kamu tentu lihat, penduduk di
sini terpaksa menyara hidup dengan bercucuk tanam dalam rumah kaca. Bacaan
radiasi dengan tolok digital Geiger-Muller masih tinggi.”
“Pentadbir koloni dengan bantuan Galaksi Muhsinin telah memindahkan penduduk
ke tempat yang lebih selamat. Tetapi kami sudah selesa di sini dengan kehidupan
yang serba sederhana.”
Jack buntu mahu mengalihkan perhatian. Hatinya merasa berdebar-debar. Ia
teringat misinya, sasarannya berada hanya 1 meter sahaja. Tampaknya seperti
sebuah peti besi.
“Liga Lanun pula... mereka membuka jalan untuk Konfederasi Reconquista
memusnahkan kami. Mereka, sebagai mana kebiasaan, merompak dan merampas harta
benda daripada kami yang tiada apa-apa.”
Tiba-tiba Jack merasa bersalah. Boleh jadi ia ada sumbangan untuk
kemusnahan ini suatu masa dahulu. “Datuk pemilik rumah ini? Datuk sedang buat
apa?”
Imbasan awal ‘rumah’ itu membuatkan ia yakin bahawa ia berada di tempat
yang betul. Tetapi tetap ada ragu-ragu di hatinya. “Tentu ini rumah orang kaya.
Luas, banyak tiang. Cuma hairan, ada lekuk di bahagian depan, dan ada tangga serta
pelantar. Tiada pula perabot mewah. Permaidani pula berbaris-baris selari antara
satu sama lain.”
Jawab orang tua itu, “Ini adalah rumah Allah.” Jack terbentak. Ia merasakan
halilintar sekali menyentapnya.
“Saya datang untuk kembali bertaubat kepada Allah. Dia yang Maha Kaya dan Maha
Pengampun. Hidup ini berlumuran dengan dosa.
Ibarat dipanah petir, ia merasa sesuatu yang amat buruk akan terjadi. Ia
menelan air liurnya. Dalam hati ia menyumpah seranah, “Kenapa Corsair hantar
aku ke tempat ini? Aku pernah kata dahulu!”
Ia meronta dalam hatinya, bisik hatinya, “Aku tidak akan mencuri di sini...
di masjid!”
“Apakah yang dimaksudkan oleh Corsair... tabung masjid?”
“Tidak!”
“ ‘Virus T.A.Z.K.I.R.A.H!’ ia segera teringat akan pesan juruterbang yang
menghantarnya. Tersirap darahnya. Badan menjadi sejuk.
“Minta maaf, pakcik. Saya salah tempat. Saya pergi dahulu.”
“Tentu kamu datang dari jauh. Berehatlah sebentar. Tambahan lagi, ribut ion
seperti semakin hampir. Berada di luar semasa ribut sangat bahaya. Selalu
meragut nyawa orang yang berada di luar.”
“Junaid. Nama kamu Junaid, bukan?”
Darahnya tersirap mengalir sejuk. Halilintar sabung-menyabung memancarkan panahan
kilatan yang boleh menyambar sehinggar ribuan voltan. Tiada pilihan, Jack
Barbarossa terpaksa mengalah.
Hatinya sentiasa berdebar. Adakah mungkin ia adalah mangsa Virus T.A.Z.K.I.R.A.H
yang selanjutnya...
Bersambung... insya-Allah...
No comments:
Post a Comment