Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, September 23, 2008

[GM] Mujahidin Galaksi Muhsinin


[Transmisi data bermula]

[Bismillah]

>>Planet Anfal An-8, 
>>Pusat mujahidin Galaksi Muhsinin

Assalamualaikum, Rekrut Ghazi dari Sektor Bumi. Selamat datang ke Galaksi Muhsinin. 

Saya Adjutan Hamamji Esnafi[1], program-khidmat maya yang membawakan anda menjelajah fasiliti latihan jihad Planet Anfal An-8. Planet ini adalah planet khusus yang menempatkan segala keperluan ketenteraan Galaksi Muhsinin. 

Jihad merupakan salah satu daripada cabang kefardhuan dalam Islam mengikut tahapan dan keadaan. Pemerintahan Galaksi Muhsinin oleh Khalifah Zulqarnain pada Era Muhsinin (2205) memberikan peluang kepada warga Galaksi Muhsinin untuk berjihad menegakkan kebenaran dan keadilan, menyebarkan Misi Rahmatan lil Alamin. Warga Galaksi Muhsinin melaksanakan tuntutan menyebarkan keamanan dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan wilayah dengan kekuatan fizikal dan spiritual. Warga Galaksi Muhsinin yang dihantar ke Planet Anfal An-8, mereka akan menjalani latihan jihad setelah tahap ilmu dan amalan fardhu ain mereka mencapai tahap yang memuaskan. 

Antaranya latihan adalah menjalani program latihan Sim-Ghazi, iaitu simulasi seseorang mujahidin dalam mana-mana pertempuran dalam sejarah, baik seni perang purba menggunakan senjata tajam mahupun seni perang moden. Rekod yang paling sukar adalah Sim-Ghazi Badar-313, iaitu simulasi akan Perang Badar yang berlaku pada 2 Hijrah. Tiada seorang pun yang mampu berdiri menghadapi simulasi yang getir itu. 


Mujahidin Konvensional

                          

Tugas: Keselamatan galaksi adalah tanggungjawab mujahidin konvensional. Hanya pada keadaan sangat genting sahaja warga Galaksi Muhsinin awam yang bertauliah diperlukan untuk berkhidmat, seperti Perang Galaksi Muhsinin pada 2205. Hal ini mencontohi para sahabat Rasulullah; mereka akan terlibat dalam operasi militer apabila pada saat-saat genting. Juga mencontohi sistem seperti pada zaman Dinasti Umayyah dan Dinasti Abassiyah, mereka mempunyai tentera tetap.

Konsep Sut: Sut ini dinamakan sebagai Dirr-ECM. Maksud ‘Dirr’ merujuk kepada baju perisai tentera Islam pada zaman bumi kuno. Sut ini merupakan eksoskeleton khas yang menyokong dan melindungi badan orang dalamnya. Tenaga untuk gerakan dijana melalui sistem simbiosis antara chakra badan dan tenaga daripada sel tenaga. Armor eksoskeleton diliputi oleh bahan ECM yang menyerak gelombang radar. Ini membolehkan mujahidin ‘tersembunyi’ daripada radar musuh. 

Mujahidin dilindungi oleh perisai plasma yang dijana oleh sel tenaga. Perisai ini merupakan sususan terkawal zarah persekitaran yang melingkungi mujahid. Sebarang aliran peluru senjata ringan (senjata balistik ataupun tenaga) dipesongkan oleh perisai ini.Tetapi perisai ini menyusut apabila paduan tenaga mujahidin berada di tahap minima. Sut ini direka khas supaya mujahidin dapat beribadah dengan lebih sempurna. Oleh yang demikian, sut dilengkapi dengan kelengkapan ibadah seperti kapsul wuduk, sejadah galaktik dan navigasi kiblat. Makanan mujahidin pula berbentuk cecair; yang membolehkan bahan kumuh individu hanyalah sekadar peluh. Ini memudahkan mujahidin dari aspek bersuci.

Senjata: Raifal proton Nur-24, Grenad proton Nur-24G, Saifaion (pedang ion)

Aksesori: Helmet multiguna (Pembantu Visual Elektronik), kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan generator perisai plasma, kapsul makanan, gajet periskop

Sistem Latihan: Setiap orang Islam warga Galaksi Muhsinin diwajibkan untuk mengikuti latihan jihad di Planet Anfal An-8 secara berkala. Dalam masa yang sama, mereka akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan; seperti sebagai garison di pos pemerhati, pangkalan angkasa ataupun sempadan. Warga Galaksi Muhsinin mempunyai pilihan; sama ada mereka terus menjadi mujahidin tetap ataupun menjalani kehidupan awam seperti biasa. Mereka mrlslui latihan melalui simulasi masa-nyata, berlatih strategi, taktik dan kemahiran tempur melibatkan senjata tempur jarak dekat ataupun jauh. Berdasarkan detasmen masing-masing, detasmen mujahidin mempunyai kepakaran seperti operasi asteroid, stesen angkasa, planet kontang, planet hijau, planet berisiko tinggi ataupun melibatkan maritim.

Operasi: Garison di pos pemerhati, pangkalan angkasa, platform angkasa, ataupun fasiliti awam dan tentera. Mujahidin juga berjuang di medan hadapan, sama ada terlibat dalam pertahanan, tentera ekspidisi ataupun sebagai tentera sokongan dalam operasi khas bersama mujahidin elit.

Variasi: Medik tempur, jurutera, sniper, krew kapal angkasa, krew mekatempur dan krew kenderaan


Mujahidin Elit


Tugas: Bertempur secara konvensional mahupun dalam operasi khas. Sering berada di barisan hadapan di tempat pertempuran sedang memuncak dan diberi kepercayaan sebagai penggempur hadapan. Juga ditugaskan untuk operasi khas jarak jauh. Seringkali mereka ditugaskan untuk operasi yang sangat berbahaya.

Sejarah: Mujahidin Elit mengambil model daripada contoh zaman kegemilangan umat Islam. Rasulullah mengutus sahabat terpilih untuk melakukan serangan komando atas kabilah terang-terang mahu menyerang Madinah. Seperti Empayar Turki Uthmaniyyah, Janissari ditubuhkan sebagai pasukan elit yang akan mengungguli pertempuran.

Konsep Sut: Sut tempur mujahidin elit adalah berdasarkan mujahidin konvensional, juga merupakan sut eksoskeleton. Nama tetap sama, iaitu ‘Dirr-ECM’. Mempunyai ciri yang sama, iaitu perisai plasma (lebih kuat), kapsul wuduk dan helmet multiguna. Namun yang demikian, terdapat beberapa perbezaan dengan mujahidin konvensional. Mujahidin elit dilengkapkan dengan pek survival. Pek ini mengandungi bekalan tambahan untuk operasi jarak jauh dan berbahaya, seperti kapsul wuduk, senjata, kapsul makanan dan sel tenaga. Armor pula dilengkap dengan armor yang tahan keadaan ekstrem seperti vakum, permukaan mengakis, suhu bawah takat beku ataupun panas yang melampau. Helmet serbaguna menempatkan visual paparan elektronik yang lebih sofistikated, multisensor dan interkom yang berkuasa tinggi.



Senjata: Raifal Nur-24E (versi elit; boleh tukar chasis, kepada mod pelancar projektil partikel anti-armor), Grenad Nur-24G, Saifaion (pedang ion)

Aksesori: Helmet serbaguna (Pembantu Visual Elektronik), kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan generator perisai plasma, kapsul makanan, gajet periskop

Sistem Latihan: Hanya mujahidin terbaik dan terpercaya sahaja di kalangan mujahidin konvensional yang ditauliahkan untuk menjadi mujahidin elit secara sah. Mereka menjalani latihan jihad di Planet Anfal An-8.

Variasi: Medik tempur



Unit Anti Teroris (UAT)

Tugas: UAT berperanan sebagai unit khas menghadapi serangan teroris pada ketika itu yang didalangi oleh Liga Lanun. Juga, UAT bertanggungjawab menjaga keselamatan dalaman galaksi. Jika ada sebarang kes yang rumit, maka UAT akan memainkan peranan dalam menjalankan siasatan.

Sejarah: Unit Anti Teroris (UAT) Galaksi Muhsinin merupakan cabang khas ketumbukan mujahidin Galaksi Muhsinin. Dari segi kelengkapan, UAT mempunyai persamaan dengan unit mujahidin. UAT ditubuhkan oleh khalifah Galaksi Muhsinin kelima, iaitu Khalifah Ayyub Ansari.


Konsep Sut: Konsep sut tempur anggota UAT tidak jauh berbeza dengan mujahidin. Masing-masing mempunyai aksesori yang hampir-hampir sama. Terkecuali armor pada bahagian hadapan, armor dilengkapkan untuk menghadapi pertempuran jarak dekat untuk operasi khas menghadapi ancaman teroris.


Senjata: sub-raifal proton Nur-24R, Grenad proton Nur-24G, Saifaion (pedang ion)


Aksesori: Helmet multiguna (Pembantu Visual Elektronik), antena sensor, kapsul wuduk, kapsul air mustakmal, sel tenaga dan perisai plasma, kapsul makanan
Sistem Latihan: UAT terdiri daripada rekrut sukarela daripada latihan jihad di Planet Anfal An-8. Secara otomatik mereka akan diserapkan sebagai salah satu badan pertahanan Galaksi Muhsinin. malah, dianggap sebagai ketumbukan elit untuk keselamatan domestik galaksi ini.

Operasi Unit: UAT berkhidmat dengan cemerlang mengekalkan keamanan. Kejayaan terbesar unit ini ialah menghapus dan menghalau pengaruh Liga Lanun daripada bermaharajalela. Pada 2205, UAT telah ditugaskan menyiasat kejadian tragedi haji. Mereka juga bertugas mengawal keselamatan semasa pertemuan Khalifah Zulqarnain bersama rakyat setelah insiden tragedi itu. Ketika Komando Bayangan Empayar Sibernatik Cyborg menyerang khalifah dan orang awam, sepasukan sniper UAT berjaya mengesan mereka. Akhirnya, setelah asakan hebat UAT, Operasi Vangeance atas arahan peribadi Maharaja Legion menemui kegagalan.

Variasi : Penggodam, pakar bom, sniper



Tentera Koloni Galaksi Muhsinin


Konsep: Konsep sut seperti di sebelah merupakan sut tempur tentera koloni yang digunakan oleh Koloni Athens yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Sturm pada Era Empayar. Konsep sut tempur ini digunakan oleh banyak sistem pada sehingga Perang Galaksi Muhsinin pada 2205. Koloni bebas hanya menumpukan pertahanan sistem untuk melindungi diri daripada ancaman luar, terutama Empayar Sibernatik Cyborg dan Liga Lanun.

Sejarah: Koloni Athens ketika insiden Planet Hadid Hd-57 hanya tinggal serpihan sahaja, terdiri daripada gabungan tentera tetap (Rejimen Infantri Phalanx ke-2) dan tentera kerahan koloni (Batalion Tentera Rakyat Volksstrum ke-7). Pada sebelumnya, mereka telah mengalami kekalahan yang teruk di planet asal mereka, Planet Starcos di Galaksi Thylakuid (galaksi paling hampir dengan Galaksi Muhsinin). Padahal tentera koloni Athens adalah harapan galaksi itu kerana mempunyai pertahanan yang mantap. Malangnya, mereka tidak dapat menahan gelombang dahsyat armada dan tentera mekanikal Empayar Sibernatik Cyborg. Demi maruah dan survival, akhirnya koloni ini bernaung bawah pemerintahan Galaksi Muhsinin dan ditempatkan di Planet Hadid Hd-57.

Namun pertahanan mereka bertambah lemah apabila sebahagian besar ketumbukan tentera koloni telah banyak musnah setelah serangan pertama Jeneral Furious. Bersama Batalion Mujahidin Jurutera ke-451, tentera koloni ini bermati-matian mempertahankan kubu terakhir mereka di Kubu SP-G Sparta di Bukit Uhud (ataupun dikenali oleh koloni dengan gelaran Bukit Durfen). Detasmen Mujahidin Elit ke-15 Galaksi Muhsinin telah dihantar oleh Khalifah Zulqarnain untuk menyelamatkan keadaan. Akhirnya pasukan Jeneral Furious dikalahkan.



Polisi Galaksi Muhsinin: Koloni yang bernaung bawah pemerintahan Galaksi Muhsinin dibenarkan mengekalkan tentera koloni yang sedia ada. Tentera ini diselia dan bekerjasama dengan pihak mujahidin Galaksi Muhsinin untuk pertahanan sistem. Tentera yang memeluk agama Islam diserapkan dalam sebagai unit mujahidin. Ketika tercetusnya Perang Galaksi Muhsinin dalam tahun 2205, tentera koloni berganding bahu dengan mujahidin bertahan bersama mereka.

Paten tentera koloni ini walaubagaimanapun masih meluas digunakan pada awal selepas Era Empayar. Tetapi reka bentuk dan keupayaannya mengalami perubahan yang ketara setelah Konfederasi Reconquista ditewaskan. Semangat tentera koloni melonjak dengan kekalahan Maharaja Legion. Ramai daripada mereka menyertai Galaksi Muhsinin sebagai unit mujahidin setelah konflik reda.



[Alhamdulillah, segalanya adalah daripada Allah]

[Transmisi data berakhir]



*Diedit semula pada 10 April 2014


NOTA:
[1] Hamamji Esnafi adalah sekumpulan sukarelawan yang berkhidmat untuk angkatan tentera Daulah Uthmaniyyah yang menyediakan tentera tempat yang selesa dan kemudahan mandi. Mengambil semangat ini, Adjutan Hamamji Esnafi adalah ‘khadam maya’ kepada pengunjung Planet Anfal An-8.

[2] Ilustrasi adalah daripada laman conceptships.blogspot.com.

Monday, September 15, 2008

Model 3D Galaksi Muhsinin

Mari lihat model 3D Ababil (Galaksi Muhsinin), Raider II dan Galleon (Liga Lanun) di Studio Inspirasi.

Saturday, September 13, 2008

Pejuang Angkasa Galaksi Muhsinin: Ababil
















[Bismillah]
[Transmisi data bermula]

Ababil merupakan pejuang angkasa yang sering muncul dalam Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula. Ababil merupakan pejuang yang berperanan sebagai space-superiority ataupun menguasai pertempuran angkasa. Ababil lebih berperanan dalam pertahanan armada (fleet defense), mengiringi (escort) kapal angkasa yang lain ataupun menjalankan tugas meronda sistem planet.

Ababil dilengkapi dengan pacuan anjakan relativiti, membolehkannya beroperasi dalam jarak jauh. Namun demikian, Ababil beroperasi sama ada kapal kapital penangkut Saifullah ataupun kapal kapital kruis Asadullah, platform angkasa ataupun pangkalan angkasa di planet.

Dalam Galaksi Muhsinin, Ababil tampil sebagai simbol kekuatan armada Galaksi Muhsinin, terbukti digeruni kawan dan lawan.

Allahu'alam.

[Transmisi berakhir]

Sunday, September 7, 2008

Siapakah Liga Lanun?




[Transmisi Bermula]

Terima kasih kerana sudi membaca transmisi kami. Tahniah kerana anda telah digodam. Anda telah digodam oleh Liga Lanun. Mahu tahu lanjut mengenai kami? Selepas anda mengetahui anda akan merasa gerun tetapi segan. Baca sahaja seterusnya. Janganlah anda malas. Berikut adalah ulasan orang terhadap kami:


Liga Lanun merupakan salah satu daripada organisasi yang "evergreen" dalam saga Galaksi Muhsinin. Liga menghimpunkan perompak, penyamun, pembegal, penceroboh, pencuri dan penyusah orang lain ini lahir sejak Era Eksplorasi lagi (2059-2081). Apa yang menyebabkan ia "evergreen" adalah kerana keberadaannya di mana-mana sahaja dalam pelbagai sistem. Organisasi ini insya-Allah muncul dalam setiap sekuel Galaksi Muhsinin nanti.





Liga Lanun merupakan organisasi antagonis. Motnya adalah "Buat Jahat Berpada-pada." Tidak diketahui mengapakah motonya begitu sekali. Dipercayai moto ini wujud sejak 100 tahun sebelumnya, sewaktu Rumpun Lanun Sawarjagat menampakkan belangnya kepada dunia.  penubuhannya   Pada Era Muhsinin (Sewaktu Perang Galaksi Muhsinin 2205), Liga Lanun dipimpin oleh Nakhoda Corsair. Organisasi ini sering menimbulkan masalah. Aktiviti mereka ialah merompak, menculik, memeras ugut, dan mempunyai bisnes di pasaran gelap. Perniagaan mereka berat sebelah. 


Mereka sering mengenakan pasu yang tinggi kepada pelanggan. Jika dahulu di Bumi Lama disebut sebagai riba ataupun nama 'elok'nya bunga, maka Liga Lanun menamakannya sebagai pasu

Mereka mempunyai penggodam paling hebat dan pensabotaj yang paling licik di semesta. Namun, kekuatan mereka adalah setiakawan yang kuat dan mempunyai rangkaian yang luas, kerana mereka mempunyai pangkalan hampir di setiap sistem koloni. Mereka mudah untuk menyesuaikan diri, menggunakan apa sahaja untuk menjadi lanun.
Replika pasu dengan
matawang purba Benua Amerika


Untuk hidup, mereka berbuat apa sahaja. Kejam, bengis, hati sejuk, namun berbuat jahat hendaklah berpada-pada. Peluru bukan lagi kelemahan. Tetapi, mereka sukar menangkis ketajaman tazkirah daripada Ustaz-ustaz!



Liga Lanun terdiri daripada unit-unit yang pelbagai. Masing-masing memainkan peranan penting. Secara umum sifat anggota LL:



Kekuatan: kebolehan mengelak dengan cekap, handal bertempur dalam jarak dekat (close-quarter combat)



Kelemahan: Menjadi rambang mata kerana duit, sering bergaduh berebut makanan, sering enggan membayar bayaran makanan di warung siber dan malas membaca buku ilmiah.



Unit asas Liga Lanun:

Militia

Militia Liga Lanun ialah unit asas dalam Liga Lanun. Senjata asas ialah raifal tempur AK-470. Manakala untuk operasi lebih rumit dan berbahaya, kadang-kadang pelancar grenad RPG-700 digunakan. Militia ini bertanggungjawab dalam setiap kegiatan Liga Lanun, menjaga pangkalan rahsia dan menjadi pengawal di pasar gelap. 

Mereka memberikan taat setia kepada ketua. Sebagai balasan, mereka diberi makanan secara percuma. Militia Liga Lanun terdiri daripada orang-orang yang terdesak di koloni. Akibat tertindas oleh Kompeni ILUMINATI, mereka melancarkan serangan rompakan bersenjata atas jalan perdagangan utama. Militia Liga Lanun terlibat dalam Perang Galaksi Muhsinin pada 2205. Disebabkan kurang terlatih, ramai di kalangan mereka terkorban begitu sahaja.




Pensabotaj
(merangkap penggodam)



Pensabotaj ini juga bertindak sebagai penjenayah upahan dan seorang penggodam (hacker). Biasanya pensabotaj ditugaskan untuk operasi berbahaya. Para pelanggan menempah khidmat pensabotaj melalui Liga Lanun. Tugasnya ialah menceroboh dan menggodam akaun peribadi mahupun syarikat besar koloni. Mereka merupakan orang yang licik menyelinap untuk melaksanakan misi mereka. Tetapi, hanya satu sahaja tempat yang mereka enggan, iaitu mencuri tabung di masjid!


Penyeludup (kakitangan pasar gelap)


Penyeludup merupakan penggerak utama ekonomi Liga Lanun. Pendek kata, mereka inilah ‘pengurus-pengurus eksekutif’ di pasar gelap. Pelanggan sukar untuk mendapatkan diskaun kerana sifat kedekut mereka. 

Tambahan lagi, sifat garang mereka menyebabkan pelanggan berasa takut. Orang yang paling mereka segan ialah ustaz-ustaz. Apabila para ustaz cuba memberikan tazkirah kepada mereka, mereka menutup pasar gelap dengan serta-merta.




Unit kapal angkasa Liga Lanun: Raider II dan Galleon:








Sekian sahaja daripada kami Liga Lanun. Terima kasih.


[Transmisi Berakhir]


NOTA: Gambar hiasan Command & Conquer 4

Wednesday, September 3, 2008

Verwusten: Tulang Belakang Empayar Sibernatik Cyborg


Ilustrasi novel Galaksi Muhsinin

Dalam membayangkan kapal angkasa ataupun kenderaan masa depan latar novel Galaksi Muhsinin, penulis membina model daripada set LEGO. Terima kasih kepada ayah, kerana bersemangat menyokong usaha menulis dengan membelikan LEGO CREATOR. Alhamdulillah, binaan LEGO tersebut memainkan peranan yang penting dalam menjana idea Galaksi Muhsinin. Model pertama penulis dibina pada 23 November 2007, iaitu model kapal kapital kelas kruis Galaksi Muhsinin, Asadullah, seperti di atas.

Setiap binaan mempunyai konsep yang tersendiri, berdasarkan doktrin (cara bertindak atas sesuatu perkara) sesebuah pihak. Ini terikat kepada apakah teknologi dan ideologi yang mereka miliki. Doktrin Pihak-pihak dalam novel ini (setakat ini) ialah: Galaksi Muhsinin, Empayar Sibernatik Cyborg, Federasi Generasi Zenzaburo dan Liga Lanun. Oleh yang demikian, setiapnya adalah unik; berlainan antara satu sama yang lain.

Setiap binaan model ketika dibina tanpa ada merujuk kepada mana-mana ilustrasi. Penulis membina model berdasarkan konsep yang sesuai dengan doktrin mereka. Berikut merupakan perbandingan antara kapal kapital dalam novel Galaksi Muhsinin. Lihat, teknologi, doktrin dan ideologi yang sangat berbeza antara Empayar dan Galaksi Muhsinin menentukan saiz kapal kapital kedua-dua pihak:



Kesemua model kapal kapital dan pejuang angkasa Galaksi Muhsinin, Empayar Sibernatik Cyborg, Federasi Generasi Zenzaburo dan Liga Lanun telah siap dibina. Insya-Allah, entri-entri model ini dapat membantu pembaca untuk membayangkan seperti dalam novel.

Allahu'alam.

Wassalam

Kerangka Saifaiislami


Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam. Dialah menciptakan alam ini dengan kebenaran. Dialah yang mengutus sekalian para Nabi dan Rasul. Yang mengutus penyudah segala Rasul,Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya atas keluarga Baginda, sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang ikhlas mengikuti mereka, sehingga Hari Kiamat. Semoga penulis dan pengunjung blog termasuk dalam golongan mereka yang mulia. Amiin.

Pertama sekali, penulis memohon banyak kemaafan daripada pengunjung. Penulis telah membina blog saifaiislami pada Julai 2008 yang lepas, tetapi tanpa ada pengisian. Syukur kepada Allah, diberikan kelapangan untuk memulakan entri blog ini. Simbolik benar akan kehadiran nukilan sulung penulis, Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula dan kehadiran Ramadhan 1429H ini. Semoga Tuhan menerima karya ini sebagai salah satu daripada amal penulis. Amiin.

Saifaiislami bertujuan untuk melengkapi blog-blog ataupun laman web yang berorientasikan kepada penulisan saifai, terutama saifai ditulis oleh penulis tanah air dalam bahasa Melayu. Saifai dikenal sebagai sci-fi atau nama penuhnya ialah science fiction. Blog ini melengkapkan peranan yang dimainkan oleh beberapa blog saifai yang sedia ada, terutamannya studioinspirasi, sastera jantan dan waris jagat. Mudah-mudahan capaian ini dapat dilebar luaskan kepada blogger yang lain.

Terima kasih kepada sahabat yang sering memberi panduan dan sokongan, terutamanya teman saifai, saudara Firdaus Ariff, penulis Sayap Adinila. Juga kepada saudara Abdul Mukmin sekarang berada di Kuching yang sering membantu mendapatkan bahan penulisan. Tidak lupa kepada Sifu dalam bidang penulisan, Puan Ainon. Editor saya, saudara Mat Jan dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam membantu saya menceburi dalam lapangan ini.


Objektif-objektif saifaiislami ialah:

1.Menyediakan maklumat sokongan novel Galaksi Muhsinin, melalui D Galaksi Muhsinin. Pembaca disediakan dengan maklumat serta ilustrasi gambaran mengenai watak, latar ataupun mesin-mesin yang terlibat dalam novel itu.

2.Membuat kajian atas saifai Barat dalam:

a. Mengekstrak teknik-teknik penceritaan watak, latar, aksi dan sebagainya.

b. Mengenalpasti ciri-ciri sesuatu saifai “evergreen”. Sebagai contoh,
bagaimanakah George Lucas menjadikan STAR WARS masih hangat
diterima sehingga sekarang oleh segenap lapisan umur, walaupun
ceritanya sudah berumur 30 tahun lampau?

c. Menyaring serangan pemikiran (ghazwul fikr) yang terselit dan memberi
maklum balas dengan sudut pandangan rasional dan wahyu

3. Membentuk acuan saifai islami yang berteraskan dalam syarak. Antara ciri-ciri yang telah cuba diterap:

a.Ektsrak daripada inti Quran

i.Bagaimanakah saifai dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej Quran?

ii.Bagaimanakah watak-watak dan pengajaran dalam cerita-cerita dalam Quran
boleh dijadikan panduan?

iii.Bagaimanakah elemen sains dalam Quran boleh disampaikan dalam saifai?

b.Menerapkan nilai-nilai dana amalan-amalan daripada hadith Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam.

c.Menangkis serangan pemikiran (ghazwul fikr).

4.Berkongsi teknik penulisan yang penulis amalkan.

Penulisan menerusi saifai merupakan lautan luas yang perlu diteroka. Penulis Barat telah beratus tahun menanamkan pegangan mereka melalui saifai. Tidak dinafikan, saifai yang dihasilkan adalah hebat-hebat belaka. Jules Verne, H. G. Wells, Frank Herbert (DUNE), Isaac Asimov, George Lucas (filem STAR WARS) seumpamanya memainkan peranan penting dalam pemantapan saifai sebagai salah satu daripada aliran sastera. Tetapi, tidak dapat tidak, pembaca menerima tempias daripada ideologi yang mereka bawa.

Adakah kita mendapati penulis saifai di kalangan muslim? Ada, tetapi bilangannya berapa ramai? Oleh yang demikian, penulis suatu masa dahulu mengambil keputusan untuk bersama PTS dalam membangunkan sastera saifai. Lebih-lebih lagi Quran sendiri mempamerkan keagungan Allah melalui ayat-ayat yang menyentuh berkenaan alam, inilah peluang besar untuk penulis membawa pembaca merenung dan memikirkan kejadian-kejadian sekeliling mereka. Kita punyai sumber yang agung, yang evergreen dan benar. Inilah masanya.

Penulis akui, penulis baru melangkah setapak. Tentunya banyak kekurangan yang perlu ditampung. Oleh yang demikian, tunjuk ajar amatlah dihargai. Segala yang baik daripada Allah dan yang kurang baik juga daripada-Nya, cuma disandarkan kelemahan kepada saya. Semoga Tuhan bersama saya.

“Serulah manusia kepada Tuhanmu dengan berhikmah”
(Nahlun, 16:125)

Berjasa Kepada Masyarakat

Allahu’alam.