Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, April 11, 2016

[Cerita Latar] Wasiat Dasar Laut




Tahun 2175
Lautan Pasifik
Bumi Lama

“Bangun, anakku Hanomage...”

“Ya, Ayah?”

“Kita sudah sampai.”

“Tuan. Mikasa berada di koordinat  31 darjah utara, 178 darjah Barat, kedalaman 16,800 kaki. Radar sonar menunjukkan objek keras di hadapan,” kata krew kapal selam Mikasa.

“Buka kanopi hidrostatik dan pancarkan lampu sorot.”

“Kanopi hidrostatik diaktifkan!” seru seorang krew kapal.

“Ayah! Cantiknya!” si anak kecil yang baru bangun itu melihat selaput bendalir likat beransur-ansur membentuk satu kubah kanopi lutsinar. Penutup kanopi daripada sebatian logam perlahan-lahan surut dan kini mereka dapat melihat kegelapan dasar laut.

“Pancarkan lampu sorot!”

Beberapa lampu sorot memancar sinar yang amat terang. Alur cahaya itu menunjuk ke arah sebuah objek besar. Banyak teritip dan hidupan laut aneh yang tumbuh dan hidup di sekitarnya. Si anak kecil itu terpegun melihat haiwan-haiwan laut yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang di darat sana.

"Dapatkan gambaran visual objek itu!" arah orang itu lagi. Kemudian ia berkata, “Anakku. Inilah Hiryu!”

Hiryu? Kapal induk Hiryu?”

“Ya, anakku. Ceritakan sedikit apa yang engkau tahu tentang Hiryu.”

Hiryu dalam bahasa Jepun adalah Naga Air. Kapal ini merupakan kapal induk terakhir dalam armada Kido Butai yang dipimpin oleh Timbalan Laksamana Nagumo Chuichi. Kapal yang agung ini karam ketika Pertempuran Midway pada 4 Jun 1942. Akagi, Kaga dan Soryu karam terlebih dahulu apabila pesawat Imperialis bernasib baik kebetulan menjumpai Kido Butai. Bom-bom telah menghentam kapal-kapal itu dan tinggal Hiryu yang masih berjuang.”

“Bagus... anakku. Usiamu 12 tahun menyerap begitu banyak pengetahuan. Apa lagi yang terjadi, anakku?”

Hiryu menyerang balas dan menenggelamkan kapal induk imperialis, Yorktown. Akan tetapi, empat buah bom mendarat di atas geladak Hiryu pada petang hari... dan cedera parah. Ia gagah belayar dan dimamah air pada keesokan harinya...” si anak itu tunduk sambil teresak-esak. Titisan air mata berjatuhan dari wajahnya si anak kecil itu.

“Anakku... sejak itu Imperialis mengasak Empayar. Dan Nihon Kaigun, armada nenek moyang kita telah bersusah payah mengekang kemaraan Imperialis. Dan akhirnya mereka berjuang dengan apa yang ada. Kita belayar lagi... dan nanti ku tunjukkan pengorbanan teragung nenek moyang kita yang taat kepada Maharaja.”

“Tukar haluan menghala ke bearing 30°42' Utara 128°4' Timur. Naik kepada kedalaman 1000 kaki. Kelajuan dua pertiga!”


“Dorongan magnetohidrodinamik diaktifkan. Kelajuan dua pertiga. Kedalaman kepada 1000 kaki!” kedengaran tempik pengesahan krew kapal selam Mikasa. Terasa kapal selam gergasi itu mula condong perlahan menghala ke permukaan. Tindak balas kimia daripada tangki ballast menghasilkan udara. Injap bawah dibuka dan air laut dikeluarkan dengan tekanan udara melalui injap. Pengurangan berat kapal selam menyebabkan ia mula mengapung ke permukaan.

Dorongan magnetohidrodinamik adalah pacuan menggunakan aliran bendalir panas melalui aruhan elektromagnet. Berbeza dengan kebanyakan dorongan kapal selam abad lepas menggunakan kipas turbin, pacuan magnetohidrodinamik lebih senyap. Denyut medan magnet menyebabkan getaran simpatetik dalam ferobendalir justeru menghasilkan rambatan gelombang. Ini mengakibatkan air laut di dalam tiub terbuka dipam ke belakang, menghasilkan daya tujah ke hadapan Mikasa.

“Kita akan ke kepulauan Kyushu, anakku. Melihat tinggalan gagah nenek moyang kita mempertahankan Maharaja...” kanopi lutsinar masih lagi dibuka. Mereka melihat kapal selam gergasi itu meredah gelap dan sejuknya Lautan Pasifik.

“Lihat apa lagi, Ayah?” si anak memandang kepada idolanya. Temannya. Gurunya. Ayahnya. Terdapat kesan linangan air mata di pipinya.

“Ke satu tempat yang berbaloi untuk kita kenang.”

“Anakku Hanomage... simpanlah tangismu ke dalam hati. Agar ia menjadi dendam yang membara mendorongmu meneruskan cita-citamu. Usah engkau menangis lagi. Generasi perlukan kamu. Teguhnya bercitra multak bagai Toyotomi Hideoyoshi menyatukan samurai buat sekian lama. Satunya kekuatan seperti bulat tekad Tokugawa Ieyasu. Kencangnya bagai badai Mikasa Laksamana Togo memukul armada Baltik. Dan teguhnya pendirian seperti Jeneral Kuriyabashi mempertahankan Iwo Jima.”

“Dalam dirimu ada mereka. Mengalir dalam tubuhmu. Engkau adalah Generasi mereka.”

“Namun begitu, anakku... aku awal-awal tunjukkan jalan untukmu.” Si Ayah mengeluarkan sebiji peranti berbentuk cakera. Ia meletakkan di atas pemancar. Lantas, Si Ayah menekan pusatnya, dan bercerailah cakera itu kepada beberapa sektor dan tembiring, terpancarlah imej dan tulisan maya terapung-apung.”

“Apakah ini, Ayah?”

“Generasi perlukan kamu, anakku Hanomage. Dalam cakera ini, adalah kunci kepada jalan untukmu. Aku mungkin tiada lagi pada suatu hari kelak. Tapi engkaulah yang menyambung tugasan ini. Demi Generasimu.”

Si Ayah terbatuk kuat dan menghela nafas. Kedengaran bunyi berdehit berat nafasnya. Si anak mengusap-ngusap belakang Si Ayah. “Baiklah, Hanomage,” katanya dengan perlahan.

“Dalam cakera ini ada tiga komponen utama,” sinar merah yang memancar ke arah cakera itu terpantul mengenai Hanomage. Matanya hanya memerhatikan cakera yang bercerai itu berputar pada paksinya dengan perlahan.

“Satu bahagian adalah sektor terlarang. Jika maklumat dalam sektor cakera ini bocor, koloni Generasimu akan berpecah-belah.”

“Mengapa, Ayah?”

“Generasi Zenzaburo yang diasaskan oleh Zenzaburo Shirane terdiri daripada banyak bangsa Timur. Jepun, China, Korea dan Mongol. Pada masa lampau masing-masing mereka beradu kekuatan dan ada sejarah yang tersendiri. Banyak darah yang tumpah semasa interaksi mereka. Jika ada rakyatmu yang tahu, pasti ada ekstremis yang menggunakan kesempatan itu untuk meruntuhkan Generasimu.”

“Tapi... ku pasti engkau akan menggarap peluang itu kelak... tidak perlu aku beritahu. Engkau akan melihatnya kelak.” Si Anak terkebil-kebil dengan kata-kata Si Ayah.

“Dua sektor utama lagi adalah pelan kecemasan untuk engkau tegak menyatukan Generasi. Jika muncul golongan revolusioner sesamamu yang mencabar wibawamu, lancarkan Operasi Shinsemgumi.”

“Jika ada penceroboh ganas yang melangkaui perbatasan galaksimu, engkau lancarkan...”

“Maaf, Tuan. Kita sudah berada di lokasi. Kedalaman 1,000 kaki.”

“Bagus, kapten. Anakku, sudahkah engkau bersedia?” soalan itu dibalas angguk. Lampu sorot dipancarkan ke satu objek gergasi.

“Anakku, cuba teka, apakah ini?”

“Yamato?”

“Benar. Yamato. Inilah pengorbanan agung nenek moyang Generasi. Yamato adalah simbol kebebasan, kekuatan dan penentangan terhadap penindasan Imperialis. Yamato dan beberapa kapal pengiring yang lain pergi ke medan juang membantu Okinawa yang terkepung oleh Imperialis.Ia karam kerana kehabisan peluru dan banyaknya bom dan torpedo yang menghujani dan merobeknya.”

"Mungkin engkau sudah tahu, kapal tempur terbesar yang pernah manusia bina! Meriamnya tiada tolok banding. Tebal perisainya hanya melantun peledak Imperialis."

“Meriam-meriam gergasi Yamato masih lagi gah bagai mereka masih hidup. Meriam penangkis pesawat masih lagi mendongak ke atas, seakan-akan pertempuran masih berlangsung, ayah!”

“Ayah... adakah Generasi mampu membina Yamato sebagaimana nenek moyang kita dahulu?”

“Sudah tentu, anakku. Engkaulah yang akan membinanya! Engkaulah yang akan melunaskan tugasnya menghancurkan musuh, membinasakan kezaliman Imperialis!” kenyataan nekad itu dibalas dengan anggukan. Matanya bersinar mengharap ia dapat membentur masa hadapan.

“Jika engkau lemah sekarang, Hanomage, nasib malang Generasimu akan menimpa generasi Maharaja yang lampau. Engkau lihat ini!” Terpampang pancaran tayangan hologram di satu skrin.

Riak wajah Si Anak serta-merta berubah. Matanya sekali lagi berlinangan air mata. Bibirnya tersorong ke hadapan menahan sebak. Kepalanya tunduk disusuli badannya. Akhirnya ia melutut dan menangis kuat. Si Ayah hanya terpaku berdiri sambil mengukir senyuman di bibirnya.

“Inilah yang terjadi, Anakku. Apabila dunia meninggalkanmu. Dunia yang mengkhianatimu. Imperialis telah menyebabkan nenek moyangmu merana. Ia bakar Hiroshima dengan bom nuklear. Meranapkan ribuan nyawa. Melenyapkan jiwa dalam beberapa saat sahaja. Saat itu seluruh dunia hanya memerhatikan. Mereka telah membiarkan kita merempat berteleku di hadapan Imperialis!”

Si Anak terus menangis. Tayangan di hadapannya menunjukkan asap berbentuk cendawan berkepul-kepul mengisi ruang udara. Dan sebuah kota yang sarat dengan penghuni lenyap begitu sahaja menjadi padang jarak padang tekukur.

“Bangun anakku!” Si Ayah berseru. “Ambil katana ini. Engkau simpan tangis itu. Tangis hanya memadam api dendam. Engkau akan menyelamatkan Generasi, memimpin mereka dengan evolusi. Dengan galian kozakium Ayah pasti kamu mampu menguasai mereka. Dan engkau sebarkan kesejahteraan agar malapetaka ini tak akan berulang lagi, anakku!”

Hanomage menyeka air matanya. Dan mengambil pedang antik katana itu daripada tangan Si Ayah. Ia menarik sedikit katana. Terpantul kilatan pedang di wajahnya. Wajahnya kelihatan di atas pedang itu.

“Siapakah musuhku yang paling berbahaya kepada kami?”

“Bangsa teroris. Bangsa fanatik dengan kepercayaannya. Ia datang menjarah dan memaksa engkau menganut kepercayaannya. Engkau tidak harus memberi belas kasihan kepadanya!”

“Empayar Sibernatik Cybrog, Ayah?”

“Tidak anakku. Sesuatu yang lebih berbahaya. Ia bukan lagi lagenda. Tapi sudah berada di perbatasan Galaksi Zenzaburo. Orang-orang Ayah sentiasa mengawasi mereka. Dan suatu hari nanti pasti ada retak di kalangan mereka. Retak-retak itu, serahkan kepada orang-orang Ayah. Engkaulah yang akan menghunjam pukulan maut buat mereka.”

“Siapa, Ayah?”

“Galaksi Muhsinin. Mereka adalah satu-satunya yang boleh menggugat engkau!”

“Kekuatan mereka adalah ilmu. Dan kelemahan mereka adalah ilmu, anakku!”

Hanomage menyorongkan katana kembali ke dalam sarungnya seraya berkata, “Apakah sektor terakhir yang berguna untukku, Ayahku?” biji matanya tepat memandang Si Ayah.

“Sektor terakhir, anakku. Jika engkau menjadi terdesak dan memerlukan keajaiban, engkau buka sektor terakhir ini. Inilah jalan terakhir, yang digeruni oleh lawan sejak berzaman. Dengannya, Mongol tidak menjarah bangsamu.  Kemunculannya menggegarkan hati musuh. Melunturkan semangatnya. Bahawa engkau bertekad menuju kemenangan walau apapun korbannya.

“Apakah itu Ayah?” tanya Hanomage dengan penuh semangat.


“Kamikaze...”


#GalaksiMuhsinin #FederasiGenerasi Zenzaburo #fiksyensains




Saturday, April 9, 2016

STORMTROOPERS



Apabila disebut 'Stormtroopers', pasti peminat fiksyen sains akan membayangkan segerombolan askar masa hadapan menggunakan helmet dan sut putih yang bersenjatakan blaster laser yang terdapat dalam Saga Star Wars.

Stormtrooper dalam Star Wars merupakan tonggak pertahanan Empire dan jentera agresif meluaskan cengkaman hegemoni kuasa Emperor (Darth Sidious) mereka. Stormtroopers merupakan askar terlatih di kalangan manusia ataupun klon (dari planet Kamino). Stormtroopers akan melaksanakan tugasnya dengan pantas dan kejam dan sanggup berkorban nyawa untuk Empire. 
Stormtroopers Star Wars
Dalam kajian ringkas penulis dalam blog saifaiislami.blogspot.my, sejarah merupakan salah satu sumber model yang baik bagi mencirikan watak ataupun organisasi. Sejarah adalah sumber universal dan tiada hak cipta. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh mengambil unsur daripadanya paduan-gabungan dan mencipta idea watak atau organisasi baru.
Pengkaji Star Wars yang meneliti karya George Lucas mendapati bahawa beliau banyak mengambil idea inspirasi Star Wars daripada Perang Dunia Kedua.
Namun begitu, berbeza dengan Stormtroopers yang diambil ideanya daripada Perang Dunia Pertama (1914-1918). Secara langsung jika disebut stormtroopers merujuk kepada perang tersebut, sejarawan akan menumpukan perhatian mereka kepada ketumbukan tentera elit Imperial Jerman, iaitu stossstruppen.
Stosstruppen (gambar kiri) merupakan hasil produk taktik dan strategi tentera Jerman dalam memecah kebuntuan Perang Parit (Trench Warfare) di Medan Barat (Western Front - di Eropah Barat). Masing-masing pihak Berikat (Britain, Perancis, Amerika, Itali, Jepun) dan pakatan Kuasa Tengah (Jerman, Austria, Turki) kehilangan idea bagaimana dapat menumpaskan musuh, memandangkan masing-masing tidak mahu alah.
Stosstruppen Perang Dunia Pertama
Perajurit terbaik Jerman dikumpulkan dan pasukan elit ini terbentuk bermula 1915. Taktik Stosstruppen bergerak cepat dalam pasukan kecil, menyusup barisan belakang musuh menggempur dengan paduan raifal, submesingan, mesingan, pelontar api (flamethrower) dan grenad (bom tangan). Taktik yang agresif berjaya mengkucar-kacirkan musuh dan membuahkan kejayaan di medan tempur.
Kemuncak kejayaan Stosstruppen adalah dalam Ofensif Kaiserschlacht pada 1918 yang merupakan serangan besar-besaran terakhir Jerman di Medan Barat. Ketumbukan Stosstruppen mara dengan pantas sehingga sejauh 65km dalam masa seminggu. Pencapaian ini adalah tidak dijangka sejak kedua-dua pihak memperkukuh parit pertahanan masing-masing sejak 1914. Walaubagaimanapun, faktor kelemahan Jerman yang diasak oleh pihak Berikat telah menggagalkan ofensif ini. Namun begitu, stosstruppen tetap menjadi kegerunan perajurit musuh pada era itu.
Pendek kata, Stormtroopers Star Wars bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi olahan daripada sumber yang telah sedia ada dalam lipatan sejarah. Sungguhpun wajah Stormtroopers dilitupi dengan helmet putih, wajah sebenarnya tercermin kepada Stosstruppen yang melakar sejarah ketenteraan.
Sumber:
1. Blog Saifai Islami, (2011). "Idea Sejarah dalam Pembentukan Watak (Bhg. 2.1 ): Stormtroopers dalam Saifai di pautan http://saifaiislami.blogspot.my/…/si-idea-sejarah-dalam-pem…
2. Windham, R., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. Dorling Kindersley Limited: London
3. Grant R. G., (2011). "Soldier: A visual history of fighting man." Dorling Kindersley Limited: London

Wednesday, March 30, 2016

EMPAYAR SIBERNATIK CYBORG


[Transmisi Bermula]
Diasaskan pada akhir Era Kompeni, Empayar Sibernatik Cyborg berdiri atas pengkhianatan Majistret Revanche dalam revolsi mereka menumbangkan Kompeni ILUMINATI kepada koloni lain. Dengan janji manis daripada Orang Zion, maka tertubuh Empayar Sibernatik Cyborg dengan Maharaja Revanche menjadi pemimpin empayar baru ini bermula 2106.
Bermula era gelap manusia di angkasa dengan penguasaan bangsa cyborg, iaitu manusia bersepadu dengan mesin dan jentera demi melangsungkan hidup.
Maharaja Legion dalam novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (cetakan semula 2016) merupakan maharaja keempat Empayar. Setelah 100 tahun meluaskan kekuasaan, Empayar menguasai lapan galaksi dalam kluster galaksi jiran Bima Sakti. Dalam meluaskan Empayar, Maharaja Empayar mewarisi dendam lama daripada maharaja pertama: iaitu mencari koloni Galaksi Muhsinin.
Pemerintahan kediktatoran mutlak Maharaja Empayar merupakan jelmaan firaun yang pernah berkonfrontasi dengan Rasul Allah Nabi Musa alaihissalam. Kuasanya tidak terbatas, sejajar dengan pengakuan diri sebagai tuhan mentadbir alam semesta. Pemberontakan dikawal dengan Cip Doktrin Empayar dan menukarkan manusia lelaki menjadi cyborg, persis seperti firaun yang membunuh bayi lelaki di kalangan Bani Israil. Tentera mekanikalnya bermaharajalela tanpa ada kemanusiaan, tidak ubah umpama tentera firaun yang diceritakan di dalam al-Quran.
Pemburuan Jeneral Furious akan koloni Athens telah membawanya ke satu galaksi yang diselubungi misteri. Tanpa ia sedari, keangkuhannya di Planet Ferum bakal membawa padah.
[Transmisi Berakhir]
Ingin tahu lanjut? Ayuh miliki novel Galaksi Muhsinin (2016)!

Tuesday, March 29, 2016

GALAKSI MUHSININ (2016)


Alhamdulillah, novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin diterbit semula sejak 2008. Terima kasih kepada editor, Tuan Zaki Zainol dan pasukan PTS yang gigih berusaha menerbitkan kembali novel ini. Tidak dilupakan terima kasih kepada Pn. Ainon yang membimbing dalam alam penulisan.

Galaksi Muhsinin (2016) adalah cetakan semula, dengan suntingan dan pembaikan daripada novel asal. Jalan cerita tiada perubahan, bahkan dimantapkan asas untuk sekuel seterusnya. Jalan cerita yang diadu oleh pembaca sebagai lambat dibaiki dengan babak yang cerita pantas, tanpa mengubah jalan cerita utama.

Penerbitan kali ini sejajar dengan perancangan penulis berusaha untuk menyambung kisah pengembaraan SAGA Galaksi Muhsinin. Moga dapat terbit dalam tahun ini selepas Ramadhan 1447H.

                      

Semoga bermanfaat, terutama buat anak-anak muda. Saya memohon maaf atas kekurangan. Buku ini hanyalah sumbangan yang kecil, penulis hanya mengambil inspirasi daripada semangat para ulama pewaris Nabi s.a.w. yang menghasilkan karya-karya yang segar sepanjang zaman.

Selamat membaca!

Saturday, June 20, 2015

:: KISAH THALUT dan Galaksi Muhsinin ::




Beberapa malam yang lepas ketika tadarus al-Quran, terlintas dalam juzuk kedua Surah al-Baqarah akan kisah Raja Thalut kaum Bani Israil yang soleh. Orang-orang Bani Israil meminta kepada Nabi Samuel seorang pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada kehinaan. Dan Allah telah mengangkat seorang yang soleh, beriman, berilmu dan kuat tubuhnya yang bernama

Thalut. Akan tetapi, pemuka Bani Israil mempertikaikan jawapan Allah lantaran kerana Thalut adalah bukan daripada keturunan raja-raja dan miskin pula.


Akan tetapi Allah menghendaki sebaliknya. Raja Thalut itu adalah pilihan-Nya yang akan membawa Bani Israil keluar daripada kehinaan. Maka apabila mereka dipanggil untuk berjihad, maka orang Israil berdolak-dalik memberikan alasan. Demi menjunjung perintah, maka Raja Thalut membawa tenteranya menghadapi tentera kafir Jalut.

Setibanya di sebatang sungai, tentera Bani Israil diuji. Sesiapa yang tidak minum ataupun minum secedok air sahaja yang akan menyertai jihad itu. Namun demikian, sifat degil yang terbuku di hati kaum itu, sebahagian besarnya ketinggalan kerana tidak larat kekenyangan dengan air.

Maka tentera yang kecil itu (dikatakan sekitar 300 orang) pun menghadapi tentera kafir Jalut yang ramai dan bertubuh sasa pula. Dalam pada itu, tentera Bani Israil teragak-agak apakah mereka dapat mengharungi cabaran di hadapan dan memenangi bagi pihak orang beriman. Raja Thalut tetap teguh bersama 'orang-orang yang percaya akan berjumpa dengan Allah' yang yakin pertolongan Allah akan tiba sepertimana kaum terdahulu yang pernah berperang dalam jumlah yang kecil.

Maka bertempur hebatlah antara pasukan yang beriman dan yang kuffar. Sampai waktu Allah telah memberikan kemenangan buat kaum beriman dengan anak muda yang melemparkan lastik ke arah Raja Jalut. Dan dikatakan pecah kepalanya, dan pemimpin kafir itu rebah. Lantas, tentera Jalut kucar-kacir dan akhirnya kemenangan menjadi milik orang beriman. 

Anak muda itu adalah Nabi Daud alaihissalam yang diberikan hikmah dan kekuasaan pada kemudian hari. Baginda dan anaknya Nabi Sulaiman akan membawa Bani Israil kembali kepada Allah dan mengecapi zaman keemasan mereka. 

Kisah inspirasi yang termaktub dalam al-Quran ini tentunya menjadi pembakar semangat kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabatnya yang mulia. Bahawa golongan beriman meskipun segelintir cuma akan menempa kemenangan atas yakin mereka kepada pertolongan Allah sekalipun jumlah mereka sedikit sahaja. Hanya kepada Allah kita jadikan sandaran. Khabarnya kisah ini menjadi inspirasi kepada kemenangan umat Islam dalam Perang Badar (2 Hijrah).
Lakaran asal babak pengepungan Jeneral Furious
atas posisi Bukit Uhid Planet Hadid Hd-57

Apabila terlintas kisah Raja Thalut dan Nabi Daud a.s ini, penulis terimbau kembali, bahawa kisah inilah yang menjadi teras kepada kisah-kisah dalam Galaksi Muhsinin, sebelum beranjak kepada himpunan kisah yang lain. Daripada kisah ini, berkembang kepada mengambil iktibar kepada kisah-kisah yang lain dalam Sirah Nabawiyah dan sejarah Islam. 

Kisah Raja Thalut (dan Perang Badar) tertuang dalam kisah Planet Hadid Hd-57 / planet Ferum, iaitu pengepungan Flotila Peninjau Cyborg ke-73. Jeneral Furious gagal mengepung planet itu sepenuhnya kerana kegigihan Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 mempertahankan posisi terakhir di Bukit Uhud. Keteguhan mereka akan janji kemenangan daripada Allah terbalas juga, apabila pasukan mereka akhirnya diselamatkan oleh Detasmen Mujahidin Elit ke-15.



Rujukan:

1. al-Hafiz Abu al-Fida' Imad ad-Din Ismail bin Umar bin Kathir, Syeikh Safiur-Rahman al-Mubarakpuri (ed.), (2000). Tafsir ibn Kathir (adbridged) vol. 1, m/s 686-696. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.

2. Imam Imaduddin Abul-Fida Ismail ibn Kathir, Rashad Ahmad Azami, (pent.) (2003). Stories of the prophets [peace be upon them], m/s 477 - 482. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.

3. Prof. Dr. Hamka, (1983). Tafsir al-azhar juzu' 2, m/s 262-275. Pustaka Panjimas: Jakarta


                          

Wednesday, June 10, 2015

BAYANG-BAYANG FEDERASI GENERASI ZENZABURO

Antara faksi (pihak) dalam SAGA Galaksi Muhsinin adalah Federasi Generasi Zenzaburo. Dalam Perang Galaksi Muhsinin 2205, pihak ini telah terlibat dalam Konfederasi Reconquista bersama dengan Empayar Sibernatik Cyborg, Liga Lanun dan Kesatuan Antarabangsa Bumi. Pakatan durjana ini hanya mempunyai satu tujuan: melenyapkan kaum beriman Galaksi Muhsinin yang menjadi batu penghalang kepada agenda masing-masing.

Federasi Generasi Zenzaburo menghimpunkan empat rumpun bangsa Timur Jauh asalan dari Bumi, iaitu bangsa Nihon (Jepun), Sino (China), Korea dan Mongol. Keempat-empat rumpun bangsa ini bersatu bawah panji Zenzaburo Shirane dan membentuk koloni yang kuat dan disegani. Koloni tersebut merupakan antara koloni yang tidak dapat dikuasai oleh Kompeni VOCAD ketika Era Kompeni (2081 – 2106). Namun demikian, mereka berpindah dan bertapak di sebuah galaksi melarikan diri daripada kekejaman Maharaja Revanche (maharaja pertama Empayar Sibernatik Cyborg).

Mereka bertapak di sebuah galaksi dalam kluster Grup Tempatan*, akan tetapi keempat-empat bangsa ini tidak dapat duduk aman harmoni disebabkan sejarah lampau yang mengikat mereka. Sebelum terbentuknya Federasi Generasi Zenzaburo, Jeneral Hanomage telah memimpin bangsa Nihon dan mengungguli serta memenangi Konflik Polariti.

Akhirnya ia melantik dirinya sebagai Shogun, satu sosok kuasa yang pernah menguasai bumi Nihon suatu masa dahulu. Shogun Hanomage menganggap bahawa dialah yang memimpin Generasi setelah hilangnya Maharaja. Berpandukan kepercayaan bahawa bahan kozakium membawa mereka ke aras evolusi selanjutnya, pertembungan dan dendam terhadap Galaksi Muhsinin tidak dapat dielakkan lagi.

Memandangkan penghantaran pasukan kelas rendah sebagai bidak (pawn) dalam catur kuasanya, Shogun Hanomage ada sesuatu rencana untuk Galaksi Muhsinin...

*Grup Tempatan adalah himpunan kecil (cluster) 32 galaksi yang terhampir dalam lingkungan 3 juta tahun cahaya dari galaksi kita Bima Sakti.


Sumber gambar: http://twitpic.com/cquwmy


Wednesday, February 25, 2015

Misi Skuadron at-Tayyar


                        

 Altitud 1,000 km
‘Planet Rumah’,
Sistem Suria,
Galaksi Bima Sakti

Sebuah planet biru meredah orbitnya mengelilingi sebuah bintang yang panas membakar, 150 juta kilometer jauhnya. Seakan-akan kesunyian hanya ditemani oleh sebuah bulan yang setia berdamping dengannya, bebola biru itu tetap bergerak pantas. Ketiga-tiga jasad itu tetap tunduk kepada aturan yang Maha Kuasa. Aturan Tuhan yang Maha Esa.

Tiba-tiba disinari oleh coret-coret putih seperti memecah kesunyian itu. Namun coret itu tidaklah dapat menandingi cahaya suria yang gemilang. Kemudian coret-coret itu menyilau, lalu satu letupan yang dahsyat menjelma. Kemudian coret-coret itu hilang serta merta.

“Kruis Asadullah Raja Haji Fi Sabilillah al-Ghazi, altitud 1,000 kilometer dari permukaan. Formasi bergerak di latitud 24 darjah. Generator halimunan diaktifkan. Skuadron At-Tayyar melaporkan.”

Formasi berempat pejuang angkasa Ababil baru sahaja keluar daripada terowong anjakan relativiti mereka. Pejuang Ababil merupakan pesawat angkasa yang pengunggul pertempuran milik Galaksi Muhsinin. Pejuang yang lincah dan berkuasa tinggi ini menjadi tulang belakang pertahanan sewaktu Perang Galaksi Muhsinin 2205. Dilengkapi dengan generator terowong anjakan relativiti, pejuang angkasa ini mempunyai jarak operasi yang sangat jauh.

                          

“Baiklah skuadron At-Tayyar. Anda hanya ada tiga minit sahaja. Kembali ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35. Boleh jadi armada atau peronda Kesatuan Antarabangsa Bumi berada di mana-mana. Proba mereka tentut aktif. Saya tidak mahu operasi dan Terowong Rahsia kita dalam bahaya.” Kelihatan hologram tiga dimensi seseorang di hadapan kokpit Ababil.

“Ini adalah permintaan Khalifah Zulqarnain dan rakyat Galaksi Muhsinin. Mereka amat rindu untuk mengetahui perkhabaran keadaan Kota Makkah dan Madinah. Saya mahu kamu berhati-hati.”

“Baiklah Laksamana.” Transmisi berakhir. Matahari akan terbit tidak lebih 10 minit sahaja lagi. Di belahan bumi ini masih lagi malam.

“Skuadron At-Tayyar, teruskan mengimbas dengan radar kosmik. Kita di wilayah Zion. Sebarang kecuaian akan membahayakan tugas kita.” Arah Kapten Uwais.

Kapten itu mengoleng Ababil agar selari dengan latitud bumi 24 darjah. Ababil berpusing daripada keadaan terbalik ketika ketibaan skuadron itu daripada terowong anjakan relativiti. Seluruh skuadron bergerak selari dengan latitud. Ditolehnya ke sebelah kiri, sebuah planet yang dianggap ‘planet rumah’ di Galaksi Muhsinin. Planet asal manusia. Dan juga planet Penghulu Segala Manusia, Dunia dan Akhirat, iaitu Sayyiduna Rasululah .

Kapten Uwais merasakan tangannya sedang menggeletar. Badannya juga turut merasakan getaran. Entah mengapa tiada penjelasan saintifik tentang hal itu. Tiada penderia yang memberi amaran tentng tahap kesihatannya. Semuanya normal.


-Ujarnya lagi, “Hud-Hud At-Tayyar, menjunam sekarang.” Sayup kedengaran di interkom radio Ababil masing-masing.

Salah satu daripada skuadron itu adalah daripada pesawat peninjau Hud-Hud. Peninjau tersebut mempunyai pelbagai sistem penderia, sistem pengimbas dan tindak balas elektronik yang sofistikated. Seakan-akan menjadi mata dan telinga buat helang seperti Ababil. “Kapten, imbasan radar kosmik menunjukkan 50 buah satelit Zion sedang mengorbit bumi. Skuadron pemintas mereka masih belum aktif di pangkalan Qamar.” Lapor juruterbang Hud-Hud At-Tayyar.

“Sudah lama tidak berziarah, Kapten Uwais.” Tiada balasan suara radio.

“Kapten?”

Mereka seolah-olah faham akan perangai ketua itu. Memang aneh seorang perwira yang telah berjuang habis-habisan dengan ‘kuda perangnya’ menghadapi maut mempertaruhkan nyawanya buat sebuah umat, menangis seperti anak-anak kecil. Apabila melalui latitud 24 darjah, pasti kedengaran esakan-esakan halus tangisan. Beliau memilih untuk melintasi Kota Madinah al-Munawarah dahulu baru kemudian kota Makkah al-Mukarramah.

                         

Menghampiri longitud 32 darjah, kedengaran dari kokpit Ababil Kapten Uwais, “Kapten, Hud-Hud At-Tayyar menjunam ke aras 500 kilometer dari Bumi. Hud-Hud akan merakam gambar tenungan teleskop. Kini mengaktifkan penderia pendakap bumi. Nantikan transmisi dalam 5... 4... 3... 2...”

“Skuadron berada di koordinat 24.4667° Utara, 39.6000° Timur. Kota Madinah al-Munawwarah. Transmisi bermula. Data direkodkan,” terpampanglah imej hologram di seluruh skuadron.


Kedengaran esakan itu bertambah kuat, “Ya Rasulullah , aku datang kepadamu! Jadikanlah aku ya Allah, rindu kepadamu seperti Sayyidina Jaafar bin Abi Talib[1]! Jadikanlah aku sepertinya, yang merinduimu walaupun berada di dalam syurga![2] Jadilah aku sepertinya yang diberikan sayap menggantikan kedua-dua tangannya dalam Perang Mu'tah![3] Ya Allah, izinkanlah aku untuk menziarahi Rasulullah pada masa akan datang! Izinkanlah kami dari Galaksi Muhsinin membebaskan bumi daripada tangan-tangan yang jahat!


Seluruh skuadron At-Tayyar senyap. Hanya tangisan kedengaran. Visor helmet Kapten Uwais menjadi basah kerana titisan air mata yang terapung-apung dalam helmetnya kerana graviti sifar. Tentunya ahli skuadron yang lain juga begitu.

“Kapten Uwais, kini sedang menghantar transmisi visual untuk skuadron tentang kota Makkah. Hud-Hud akan kembali ke formasi.” Juruterbang itu menyambung lagi, “Segala visual telah direkodkan. Moga Allah memelihara rekod ini untuk tatapan rakyat kita. Moga menjadi peniup semangat perjuangan mereka melebarkan misi Rahmatan lil Alamin.

“Ya, Rahmat buat seluruh Alam,” balas juruterbang Ababil At-Tayyar Tiga.

Kedengaran seuntai ungkapan syair lantaran buat Nabi Muhammad :

“Bagindalah matahari keutamaan dan para Rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan matahari,

Alangkah mulianya diri Nabi yang dihiasi akhlak terpuji. Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya. Senyuman manis selalu tidak lekang daripada bibirnya.”[4]

 “Skuadron At-Tayyar, bersedia untuk melonjak ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35.”

                         

Beberapa paparan menunjukkan laluan trajektori skuadron itu kembali ke kapal kruis Asadullah mereka yang bergabung bersama Flotila Ekspidisi Khas Bima Sakti di lokasi rahsia.

Coret-coret putih kelihatan di sisi skuadron. Letupan dahsyat menerbitkan sinar cahaya gemilang membawa cahaya buat hati-hati perindu di Galaksi Mushinin...



[1] Sayyidina Jaafar bin Abi Talib adalah sepupu Nabi Muhammad ﷺ, adik beradik kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib. Beliau merupakan jurucakap kepada kaum Muslimin kepada Raja an-Najasyi di negeri Habsyah. Beliau digelar sebagai Zuljanahain (pemilik dua kepak) ataupun at-Tayyar (burung) kerana syahid di Perang Mu'tah. Dalam peperangan itu, Sayyidina Jaafar telah kehilangan dua tangannya. Menurut riwayat, Nabi Muhammad ﷺ mengatakan bahawa tangan beliau telah digantikan dengan sayap dan berterbangan di syurga.

[2] Cerita ini saya telah dengar dalam Khutbah Gerhana yang diadakan pada 1 Januari 2010 di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang yang disampaikan oleh al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi. Beliau mengisahkan cerita yang menyentuh hati ini. 

Kisahnya adalah ketika Rasulullah ﷺ berkhutbah, maka Nabi Muhammad ﷺ telah melihat Sayyidina Jaafar bin Abi Talib mendatanginya, sedangkan beliau telah meninggal dan syahid. Sayyidina Jaafar bin Abi Talib turun dari syurga (dengan izin Allah) kerana terlalu rindukan Rasulullah ﷺ. Beliau merasakan bahawa tiada makna syurga itu kosong dan tidak gembira dengan ketiadaan Baginda ﷺ. Kisah tersebut ada dicatit (kalau tidak silap dalam majlis lain) di pautan ini


[3] Perang Mu'tah berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Perang ini berlaku ekoran delegasi Rasulullah ﷺ, iaitu Harith bin Umair al-Azdi telah dibunuh oleh Raja Ghassan, iaitu Syurahbil bin Amru al-Ghassani. Raja tersebut merupakan wakil penguasa kepada Kerajaan Rom Byzantine. 

Nabi Muhammad ﷺ telah menghantar 3,000 orang Sahabat sebagai tindak balas yang kejam itu. Kerajaan Ghassan menghantar 100,000 tentera, manakala Raja Kaisar Heraklius menghantar 100,000 askar Rom sebagai tambahan. Melihat situasi getir itu, para Sahabat memutuskan bahawa mereka akan tetap berdepan dengan musuh. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthiy dalam Sirah Nabawiyah beliau mengatakan bahawa tentera Muslimin menghadapi tentera Rom bagaikan sebuah parit kecil melawan badai ombak yang besar. Dua pasukan ini bertemu di Mu'tah (kini Jordan).

Kerana kecamuknya perang itu, tiga komander kaum Muslimin, iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah telah gugur. Tiba masa yang genting itu, tentera Muslimin telah bersepakat memilih Khalid bin al-Walid mengepalai ketumbukan tentera Nabi Muhammad ﷺ. Akhirnya, dengan kelicikan taktikal Khalid al-Walid telah mengakibatkan tentera Rom kucar-kacir dan berjaya menyelamatkan tentera Muslimin. Melalui perang tersebut, Khalid bin al-Walid telah mendapat jolokan 'Saifullah' (Pedang Allah).

Rujukan: 
1. Syeikh Syed Abu Hassan ali al-Hasani an-Nadwi, Bey Arifin dan Yunus Ali Mudhar (pent.), (2006). Riwayat hidup Rasulullah ﷺ. Pustaka Nasional Pte. Ltd.: Singapura.

2. Syeikh Dr. Muhamad Sa'id Ramadhan al-Buthiy, (2001). Sirah nabawiyah: Kajian mendalam manhaj gerakan islam pada masa Rasulullah . Pustaka Dini: Shah Alam.

3. Mahmood Ahmad Ghadanfar, Jamila Muhammad Qawi (pent.), (2001). Commanders of the muslim army (Among the companions of the Prophet ﷺ). Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh, Arab Saudi.


[4] Imam al-Busiri, Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi (pent.), (2009). Qosidah burdah: Puji-pujian untuk Rasulullah . Mawleed Publishing: Selangor.