Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Saturday, April 9, 2016

STORMTROOPERS



Apabila disebut 'Stormtroopers', pasti peminat fiksyen sains akan membayangkan segerombolan askar masa hadapan menggunakan helmet dan sut putih yang bersenjatakan blaster laser yang terdapat dalam Saga Star Wars.

Stormtrooper dalam Star Wars merupakan tonggak pertahanan Empire dan jentera agresif meluaskan cengkaman hegemoni kuasa Emperor (Darth Sidious) mereka. Stormtroopers merupakan askar terlatih di kalangan manusia ataupun klon (dari planet Kamino). Stormtroopers akan melaksanakan tugasnya dengan pantas dan kejam dan sanggup berkorban nyawa untuk Empire. 
Stormtroopers Star Wars
Dalam kajian ringkas penulis dalam blog saifaiislami.blogspot.my, sejarah merupakan salah satu sumber model yang baik bagi mencirikan watak ataupun organisasi. Sejarah adalah sumber universal dan tiada hak cipta. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh mengambil unsur daripadanya paduan-gabungan dan mencipta idea watak atau organisasi baru.
Pengkaji Star Wars yang meneliti karya George Lucas mendapati bahawa beliau banyak mengambil idea inspirasi Star Wars daripada Perang Dunia Kedua.
Namun begitu, berbeza dengan Stormtroopers yang diambil ideanya daripada Perang Dunia Pertama (1914-1918). Secara langsung jika disebut stormtroopers merujuk kepada perang tersebut, sejarawan akan menumpukan perhatian mereka kepada ketumbukan tentera elit Imperial Jerman, iaitu stossstruppen.
Stosstruppen (gambar kiri) merupakan hasil produk taktik dan strategi tentera Jerman dalam memecah kebuntuan Perang Parit (Trench Warfare) di Medan Barat (Western Front - di Eropah Barat). Masing-masing pihak Berikat (Britain, Perancis, Amerika, Itali, Jepun) dan pakatan Kuasa Tengah (Jerman, Austria, Turki) kehilangan idea bagaimana dapat menumpaskan musuh, memandangkan masing-masing tidak mahu alah.
Stosstruppen Perang Dunia Pertama
Perajurit terbaik Jerman dikumpulkan dan pasukan elit ini terbentuk bermula 1915. Taktik Stosstruppen bergerak cepat dalam pasukan kecil, menyusup barisan belakang musuh menggempur dengan paduan raifal, submesingan, mesingan, pelontar api (flamethrower) dan grenad (bom tangan). Taktik yang agresif berjaya mengkucar-kacirkan musuh dan membuahkan kejayaan di medan tempur.
Kemuncak kejayaan Stosstruppen adalah dalam Ofensif Kaiserschlacht pada 1918 yang merupakan serangan besar-besaran terakhir Jerman di Medan Barat. Ketumbukan Stosstruppen mara dengan pantas sehingga sejauh 65km dalam masa seminggu. Pencapaian ini adalah tidak dijangka sejak kedua-dua pihak memperkukuh parit pertahanan masing-masing sejak 1914. Walaubagaimanapun, faktor kelemahan Jerman yang diasak oleh pihak Berikat telah menggagalkan ofensif ini. Namun begitu, stosstruppen tetap menjadi kegerunan perajurit musuh pada era itu.
Pendek kata, Stormtroopers Star Wars bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi olahan daripada sumber yang telah sedia ada dalam lipatan sejarah. Sungguhpun wajah Stormtroopers dilitupi dengan helmet putih, wajah sebenarnya tercermin kepada Stosstruppen yang melakar sejarah ketenteraan.
Sumber:
1. Blog Saifai Islami, (2011). "Idea Sejarah dalam Pembentukan Watak (Bhg. 2.1 ): Stormtroopers dalam Saifai di pautan http://saifaiislami.blogspot.my/…/si-idea-sejarah-dalam-pem…
2. Windham, R., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. Dorling Kindersley Limited: London
3. Grant R. G., (2011). "Soldier: A visual history of fighting man." Dorling Kindersley Limited: London

No comments: