Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, June 6, 2014

ZOMBIE: ANTARA FIKTIF DURJANA DAN MUKJIZAT





 Dewasa ini banyak filem baik tempatan mahupun antarabangsa giat mengetengahkan gejala zombie, paling mudah dicernakan adalah mayat hidup. Kebanyakan artikel ringkas pengenalan filem tersebut mengkelaskan cerita zombie ini sebagai 'fiksyen sains.'

                                   
Konon zombie ini terjadi apabila umumnya tersebar sejenis penyakit yang menjangkiti manusia dan kemudian menjadi mayat hidup yang mahu menjangkiti orang lain dengan cara menggigit. Dengan jalan yang terhuyung-hayang, keadaan badan luka dan berdarah, zombie menyeret kaki dan tubuhnya mencari mangsa. Dan gejala ini berterusan sehinggalah sekian manusia menjadi zombie. Boleh dikatakan, jiwa si zombie ini 'terseksa' kerana hidup pun tidak, mati pun tidak, terperangkap dalam kehinaan seperti itu.

Dalam majalah BBC Knowledge, Jilid 5 Isu 6 (m/s 48 - 54), terdapat satu ruangan yang cuba menjelaskan 'sains Zombie' itu adakah wujud secara saintifik. Diringkaskan, ya, ada asasnya(sedikit sahaja), tetapi akhirnya diolah-olah menjadi cerita dongeng. Majalah tersebut menyentuh kajian berkenaan di Haiti (pulau terletak di Lautan Carribean). Di Haiti, lagenda orang mati hidup semula adalah sesuatu yang biasa. Banyak cerita orang yang diisytihar mati dari segi klinikalnya, tetapi kemudian hidup kembali.                                                         

Tersebutlah satu kisah yang masyhur pada 1962, ada seorang budak lelaki diisytihar sebagai mati kerana mengalami komplikasi. Acara pengebumian telah diaturkan. Pada 1981, konon saudara perempuan kepada si mati telah berjumpa dengan seorang lelaki, yang mengakui nama si mati itu tadi. Perempuan itu terkejut kerana nama si mati tidak diketaui melainkan keluarganya sahaja. Si mati itu mengakui bahawa 'tidak mati' sebaliknya kemudian ia telah dijadikan sebagai zombie (hamba abdi) bekerja untuk tuannya.

Maka gemparlah dunia saintifik. Seorang pakar, Dr. Lamark Douyon, Pengarah Pscychiatric Institute di Portau-Prince telah membuat kajian akan kebenaran kes tersebut. Kajian telah mengesahkan bahawa 'si mati' itu memang bersaudara dengan perempuan tadi. Rupa-rupanya 'si mati' itu diperangkap oleh 'tuan zombie' yang memberikan sejenis ubat racun yang kompleks yang merosakkan mentalnya dan dibayangi hidup dengan halusinasi.

Kes seperti ini direkodkan sebanyak 25 kes sejak 1982. Sebahagian manusia yang dikatakan 'mati' ini menjadi normal semula. Terdapat juga kes seorang perempuan di Columbia (Amerika Selatan), yang diisytihar mati, tetapi 'hidup semula' di rumah mayat. Majalah tersebut menyatakan:

"... But far from being animated corpses like the zombies we often imagine, these patients are very much alive."

Secara kesimpulannya, cerita zombie mungkin ada sedikit asasnya. Jika didasari secara saintifik, seseorang itu telah diberi ubat/racun sehingga mentalnya menjadi rosak. Tetapi, manusia tersebut hidup, tidaklah sampai kepada tahap dalam fiksyen zombie menjadi mayat hidup yang mengerikan. Kisah zombie dibesar-besarkan sebagai penyedap rasa bagi mengaut laba untung yang besar menerbitkan cerita sensasi lagi seram ataupun lucu.

Jika ditilik daripada ciri-ciri yang mencirikan 'fiksyen sains', cereka yang berpaksikan zombie ini terkeluar daripada kerangka fiksyen sains. Bahkan lebih sesuai diletakkan sebagai 'pseudo'-fiksyen sains. 'Pseudo' membawa maksud 'palsu.' Berdasarkan perbincangan dalam BBC Knowledge tadi, tiada bukti yang kukuh bahawa zombie ini berpaksi kepada asas saintifik yang kuat. Hanya dengan sedikit penyataan kimia, kemudian diolah kisah itu mengikut selera rasa pengkarya. Apakah landasan moral ataupun falsafah yang didasari oleh karya-karya zombie ini? Yang ada hanyalah berkejar-kejaran, dihantui mayat berdarah dan ketakutan dijangkiti zombie. Lebih parah lagi, pelajar zombie menggigit gurunya! Apakah terkandung apa-apa mesej adab dalam adegan ini?

Satu kebimbangan fenomena zombie ini adalah timbulnya konflik kepercayaan dalam diri anak-anak, terutama anak kecil yang sedang membesar. Bagaimanakah jadinya akal mereka bertubi-tubi didedahkan seperti ini, tanpa imbangan agama yang sewajarnya? Adakah mereka lebih percayakan kewujudan zombie-zombie ini daripada percayakan kisah mukjizat para Rasul dan Nabi-nabi?
Menjadi tanggungjawab kita menanam benih-benih akan keimanan yang bersih. Salah satu jalannya adalah dengan cerita-cerita agung para Anbiya' yang bersumberkan daripada al-Quran. Biarlah anak-anak kita mempercayai kebenaran utusan Tuhan, daripada bulat-bulat menerima kebatilan yang tiada asas. Begitulah pancaroba zaman masakini.

Mari kita renungkan..

Sunday, June 1, 2014

CIRI UNIVERSAL FIKSYEN SAINS BERMUTU


Berdasarkan kajian terhadap beberapa karya fiksyen sains 'evergreen' yang bertahan lama (10 sehingga 30 tahun), terdapat ciri universal yang terkandung dalamnya yang memungkinkan karya tersebut dapat bertahan lama dan peminat yang ramai. Karya-karya fiksyen sains ini adalah seperti DUNE (sejak 1965), STARWARS (sejak 1977), Gundam (sejak 1979), Command and Conquer (1996 - 2013), Starcraft (sejak 1998).
Manakala ada juga karya fiksyen sains lain yang baru bermula beberapa tahun ini dan berpotensi besar untuk bertahan lama dan meningkatnya pertambahan peminat. Karya yang dimaksudkan adalah seperti game HALO (sejak 2000) dan Assasin's Creed (sejak 2007). Kedua-dua game ini dikembangkan melalui penghasilan novel.
Karya-karya yang bertahan ini masih lagi berterusan penghasilannya dan disebarkan dalam cakupan yang luas. Ini merangkumi filem, siri animasi, game, novel, komik, produk merchandise.
Sinergi Ideologi-Teknologi-Latar sepertimana yang pernah disentuh dalam blog Saifai (Sci-Fi) Islami (saifaiislami.blogspot.com) adalah rumusan kepada ciri-ciri universal yang terkandung dalam karya-karya yang masih teguh ini.
Insya-Allah kita akan kupas pada masa mendatang.

EPISOD 7 (AKHIR) ANIME GUNDAM UNICORN "OVER THE RAINBOW"


Siri Gundam Unicorn bersempena dengan sambutan 30 tahun Gundam (sejak 2010) lepas bakal menyaksikan episod kemuncaknya yang berjudul "Over the Rainbow" bermula 17 Mei 2014 ini. Tujuh siri filem yang berdurasi sejam setiap episod menyingkap lembaran konflik hampir seabad antara manusia Persekutunan Bumi (Earth Federation) dan manusia angkasa 'spacenoid' yang dinaungi oleh kerajaan Neo-Zeon. Rahsia di sebalik konflik 'Universal Century' (UC) ini disudahi dengan kemunculan mecha Gundam Unicorn yang bakal membuka sejenis alat rahsia yang dinamakan Kotak Laplace (Laplace Box).


Pemerhatian dan pengamatan telah ditelaah sejak kemunculannya pada 2010. Gundam Unicorn mempunyai ciri-ciri fiksyen sains yang seimbang antara ideologi/falsafah/pegangan, teknologi dan latar. Kisahnya diolah dengan begitu baik. Sesiapa yang tidak pernah menonton jalur cerita Gundam dalam konflik UC, akan memahami keseluruhan konflik tersebut. 

Selain daripada aspek pertarungan antara Mobile Suit (robot gergasi seumpama Gundam) dan teknologi canggih yang mendominasi manusia pada zaman itu, penekanan aspek kemanusiaan begitu disentuh bahkan diutamakan. Pergeseran antara ideologi, tersepitnya manusia antara dua prinsip, dilema kemajuan dan kecelaruan manusia mengisi makna cerita ini bukan sekadar hal teknologi semata-mata. Unsur kemanusiaan yang erat ini telah menjadikan Gundam Unicorn sebagai fiksyen sains yang terbaik pernah (penulis SAGA Galaksi Muhsinin) amati. 

Insya-Allah ada kesempatan lain kita akan bicarakan.

Apakah agaknya penyelesaian konflik Kotak Laplace pada Universal Century kali ini?