Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, March 19, 2014

[GM] Tawanan di Orbit Planet Jasmium Odata

Cerpen Latar Saga Galaksi Muhsinin                              

                              
Planet Jasmium Odata. Planet indah berwarna biru. Kelihatan separuh hemisfera planet diterangi sinar Bintang N’caq. Di hemisfera sebelah pula dilitupi kegelapan malam. Sungguh agung ciptaan Tuhan. Tercermin Kebijaksanaan dan Kekuasaan-Nya.

            Tinggi di orbit Planet Jasmium Odata, sebuah pesawat tidak dikenali menyusup di celah kapal-kapal kapital armada Empayar Sibernatik Cyborg. Ia bergerak semakin perlahan menghampiri sebuah terowong. Baraan api biru ekzos enjin vektor mengalihkan pesawat itu perlahan-lahan. Kehadiran mereka tidak disedari, meskipun pemintas armada Empayar Vormund aktif membuat rondaan.

“Kapten Huzaifah. Pesawat berjaya berpaut pada terowong akses masuk bahagian bawah kapal induk raksasa Maharaja Legion, Konig. Krew kapal masih tidak menyedari kehadiran kita,” kata Kapten Jaafar.

                                     

           Allahu Akbar! Allah telah menutup deria mereka. Sistem penyerap gelombang radar kosmik Ababil berkesan,” balas Kapten Huzaifah.

            Kapten Huzaifah memeriksa sut tempur mujahidin Dirr-ECMnya. Sistem diperiksa. Pembantu Visual Elektronik mengumumkan bahawa paparan hadapan, sistem panduan penstabilan tembakan, sistem simbiosis tenaga, perisai plasma dan sundang ion berada dalam keadaan optimum. Ia menarik perencak raifal tempur Nur-24. Raifal itu serta-merta aktif. 

            Kapten Jaafar mengaktifkan hologram tiga dimensi taklimat, “Kapten Huzaifah, instrumen pengimbas struktur telah mengesan sumber isyarat Doktor Hafsah. Beliau berada di dalam sel penjara stasis sektor 55-A kapal ini."

                              

Meneliti hologram Kapten Huzaifah berkata, “Jarak antara kita dengan sel penjara stasis agak jauh.”

            “Kapten, beberapa robot lebah an-Nahl Nh-16 akan membantu untuk memantau terowong-terowong ke sana nanti. Mereka akan mengemaskini data dan memuat turun posisi musuh pada Kapten,” kata Kapten Jaafar.

            “Kita hanya ada 15 minit. Sejurus selepas virus dimuat turun, saya akan menceroboh penstoran data sistem keselamatan kapal kapital. Musuh tidak dapat mengesan Kapten untuk beberapa waktu.”

            Sebelum pergi, Kapten Jaafar mengingatkan, “Kapten Huzaifah, berhati-hati. Marin mekanikal dan cyborg pengawal semakin licik. Mereka ramai. Mereka mampu melihat 360 darjah melalui mata sintetik.”

            “Terima kasih. Semoga Allah bersama kita.” Kapten Huzaifah memasuki kapal melalui terowong akses bahagian bawah kapal. “Ya Allah, hanya kepada-Mu kami bertawakal!” doa Kapten Jaafar.

Di dek pemerintah kapal Konig, Maharaja Legion bersama orang kanannya, Waizurai Dactylus. “Tuanku, Doktor Hafsah telah dipindahkan ke sel penjara baru seperti yang diperintahkan. Dia terlibat dalam misi kemanusiaan di planet ini dan enggan memberitahu identiti sistem koloninya.”

                      

Kedengaran bunyi berdengus, “Huh, kemanusiaan? Kemanusiaan telah lama aku tinggalkan. Tidak mengapa, beta akan buat dia mengaku juga suatu masa nanti!”

 Maharaja Legion. Seorang cyborg. Paduan antara mesin dan manusia. Organ badan manusianya distruktur semula dalam kerangka bio-mekanikal cyborg. Sistem saraf disambungkan dengan saraf neuron fiber. Manakala seluruh badan dilindungi oleh plat aloi waja emas dan platinum. Wajahnya ditopengi dengan kerangka tengkorak cyborg. Hilang wajah asal sebagai seorang manusia yang dahulu punyai hati dan perasaan. Tetapi tidak mungkin lagi sekarang... 

“Waizurai Dactylus, beta mahu planet ini ditawan dengan segera. Beta mahukan lelaki kanak-kanak dan dewasa ditangkap. Tukarkan kepada cyborg dan menjadi hamba Empayar. Biarkan perempuan mereka hidup. Beta tidak mahu golongan lelaki ini yang akan melancarkan pemberontakan kepada Empayar,” perintah Maharaja Legion.

“Perintah dijunjung, tuanku,” balas Waizurai Dactylus.

                               
Sistem pernafasan Maharaja Legion dibantu dengan respirator berpenapis. Begitu juga cyborg Empayar yang lain. Setiap kali ia menarik nafasnya, bunyi berdengus akan kedengaran. Sistem respirasi bio-mekanikal ini diperlukan bagi setiap cyborg untuk hidup.

“Beta tidak mahu Doktor Hafsah diapa-apakan. Biarkan ia di dalam penjaranya. Berikan ia makanan dan minuman yang bersih!” perintah Maharaja Legion.

“Bukankah protokol Empayar tidak membenarkan itu?” tanya Waizurai Dactylus.

“Beranikah kamu mengingkari beta?” Waizurai Dactylus terpaksa akur.

            Kapten Huzaifah menggunakan radas penyahkod pada panel pintu sel penjara stasis. Akses diterima. Pintu sel terbuka luas. Di hadapannya seorang muslimah berjilbab labuh berwarna putih. Muslimah itu mengenakan jubah doktor.

“Ya Allah, adakah ini bidadari ataupun manusia?” desis Kapten Huzaifah dalam hati. Hatinya berdegup kencang. Nasib baik tidak berlaku resonans.

            “D-d-Doktor Hafsah, saya Kapten Huzaifah daripada Detasmen Mujahidin Elit ke-13. Saya diarahkan oleh Khalifah Ayyub Ansari untuk menyelamatkan Doktor dan kembali ke Galaksi Muhsinin, ” Kapten Huzaifah tergagap. Berasa agak malu, sekalipun wajahnya ditutupi dengan helmet sut. Doktor Hafsah jelas pada visor paparan hadapan Kapten Huzaifah.

            “Alhamdulillah, syukur pada Allah. Allah selamatkan saya,” mata Doktor Hafsah berkaca-kaca berbaur rasa syukur dan harap.

“Doktor, kita hanya ada beberapa minit sahaja lagi untuk kembali ke Ababil.”

            Tiba-tiba, “Shh... shh.. Kapten Huzaifah, ada unit musuh di entri Q-55-A! Peronda marin mekanikal dan warden cyborg. ” Lapor Kapten Jaafar melalui radio interkom.

            “Doktor, kita sudah tiada masa. Warden cyborg penjara dan pengawal akan tiba bila-bila masa sahaja. Adakah Doktor mempunyai sut survival?”  Doktor Hafsah menjawab, “Tidak, Kapten Huzaifah.” Kapten Huzaifah mengeluarkan sebuah kapsul yang digalasnya. Ia mengaktifkan kapsul itu. Kapsul itu berubah menjadi sut survival medik tempur Galaksi Muhsinin.

                                   
“Terima kasih. Saya tahu menggunakan sut ini ketika latihan jihad di Planet Anfal An-8 dahulu, ” Doktor Hafsah memasuki bahagian dalaman eksoskeleton sut tempurnya. “Doktor Hafsah, musuh semakin hampir!” Kapten Huzaifah memberi amaran.

Sejurus helmetnya menutupi kepala, Doktor Hafsah berkata, “Pembantu Visual Elektronik, aktifkan perisai plasma. Aktifkan juga paduan tenaga simbiosis chakra badan dan sut tempur.”

“Doktor Hafsah, kita ada tetamu!” Kapten Jaafar membidik warden cyborg di kepalanya. Ia menarik picu Nur-24. Keluar alur-alur biru daripada nozel raifal yang merupakan sinaran proton bertenaga tinggi. Sinaran ini memadukan kedua-dua tenaga kinetik dan termal lalu menghasilkan kuasa musnah yang tinggi. Tepat mengenai sasaran. Cyborg pegawai rebah. Marin mekanikal pula memberikan tentangan.

“Doktor Hafsah, jangan berada jauh daripada saya. Keselamatan Doktor adalah prioriti dalam misi ini,” kata Kapten Huzaifah. Mereka berinteraksi melalui radio interkom. Perisai plasma berganda apabila mereka berdekatan. Namun mereka menjaga jarak supaya tidak berlaku pertembungan antara mereka. Marin mekanikal berhempas-pulas memberikan tentangan. Namun, perisai plasma mereka berdua melencongkan rambatan balistik peluru anti-material musuh.

Sistem penggera kapal kapital berbunyi. “Kecemasan dikesan di sel 55-A!” kata krew cyborg operasi kapal. Berang, Maharaja Legion mengarahkan, “Beta mahu semua unit berjaga-jaga. Musuh cuba menyelamatkan Doktor Hafsah! Tutup semua entri!”

Maharaja Legion bergerak ke elevator, “Leftenan Exciton, ikut beta. Beta mahu musuh itu ditangkap hidup-hidup.”

“Menjunjung perintah, tuanku, ” beberapa marin mekanikal mengekorinya.

“Doktor Hafsah, kita ikut jalan ini. Lorong di hadapan dipenuhi musuh,” Kapten Huzaifah membaling grenad proton ke arah musuh.

“Ayuh, lari!” lorong Q-54-A bergegar dengan letupan.

“Kapten Jaafar, saya telah menemui Doktor Hafsah. Muat turun data jalan singkat,” kata Kapten Huzaifah. “Baik. Kapten Huzaifah, kita hanya ada beberapa minit sahaja lagi! Kita mesti tinggalkan kapal ini!”

“Bersabar, Kapten Jaafar. Doktor Hafsah, maksimakan paduan simbiosis tenaga,” kata Kapten Huzaifah. Titik chakra badan berpadu dengan kuasa dibekal sel tenaga sut. Penghasilan asid laktik yang memenatkan terkawal. Larian mereka semakin mantap tanpa merasa letih.

                    

Kedengaran bunyi berdengus, “Oh, rupanya inilah wira yang menyelamatkan tuan puteri,” Maharaja Legion berada di hadapan pintu terowong akses kepada Ababil bersama tentera mekanikalnya.

“Siapakah kamu? Serahkan Doktor Hafsah. Kamu akan selamat.”

Tanpa membuang masa, “Minta maaf, Maharaja, tempat Doktor Hafsah bukan di sini,” seru Kapten Huzaifah.

“Saya datang untuk membebaskan seorang manusia daripada diperhambakan oleh hamba Tuhan. Kebenaran telah datang dan kebatilan telah lenyap! Sesungguhnya yang batil itu akan lenyap!”

Kapten Huzaifah berlari dan menyerbu ke arah terowong akses Ababil. Doktor Hafsah turut berlari mengekori. “Musnahkan dia!” perintah Maharaja Legion. Marin mekanikal melepaskan tembakan. Perluru dilencong oleh perisai plasma.

Kapten Huzaifah menggempur. Ia menembak dengan raifal Nur-24. Pedang ion pada kedua belah tangan Kapten Huzaifah diaktifkan.

“Berikan saya raifal itu!” Kapten Huzaifah lantas membaling raifal Nur-24 kepada Doktor Hafsah.

Kapten Huzaifah bertempur dengan jarak dekat dengan pedang ion. Doktor Hafsah  pula melindungi Kapten Huzaifah sehingga ke terowong akses. Beberapa marin mekanikal rebah.

“Doktor Hafsah, masuk!” Maharaja Legion mengeluarkan senjatanya elektrolembing yang begemerlapan dengan medan tenaga berwarna jingga. Maharaja Legion melibaskan elektrolembing.

 “Sayalah mujahidin, pejuang Galaksi Muhsinin. Pejuang kebenaran dan keadilan,” kata Kapten Huzaifah sebelum sempat terjun ke dalam Ababil.

Hac Ababil dikunci dan dikedap udara. Ababil berlepas daripada terowong akses. “Koordinat ditetapkan. Terowong empat dimensi x-53, y-10, z-79 pada sudut gamma-42. Pacuan anjakan ruang relativiti akan diaktifkan dalam beberapa saat sahaja lagi. Destinasi: Planet Ihsan H-2 di Sistem Solar an-Najm Nj-53 Galaksi Muhsinin. Bersedia.”

                         

Meredah tembakan laser orbital armada Empayar, pesawat pejuang angkasa Ababil berlepas dengan pantas pada kelajuan cahaya. Pemintas lincah Vormund armada Empayar cuba memburu, tetapi terlambat. Ababil hilang jejak daripada armada.

Kecewa. Ababil terlepas bersama Doktor Hafsah, bersama wira yang menyelamatkannya. Tika perasaan aneh menguasainya, Maharaja Legion merintih, “Aku akan nantikan engkau, kekasihku! Sampai masa kita akan bertemu lagi. Tika cinta mula terbit pada hatiku, datanglah si durjana yang merampas segala-galanya!

Aku miliki segalanya,
Tapi tidak punya cinta,
Aku miliki Empayar,
Tapi ke manakah hilangnya juwita?

Biar merana tanpa cinta,
Biar merana kemarahan dinyala,
Biar merana kebencian membara,
Biar merana asal dendam terlaksana!

Di mana perginya cahaya,
Inginku padam ia selama,
Kerana lantera pemusnah cita,
Kerana lantera perampas cinta!  


“Aku berjanji besok tiada lagi sinar cahaya. Kegelapan menyelubungi segala-gala... dan senja bagi kemanusiaan!”


 Aku akan laksana sumpah warisan Maharaja. Maharaja Empayar Sibernatik Cyborg!” Tinggallah si maharaja cyborg mengenang nasib dirinya di kala kegelapan semesta...



* Gambar-gambar adalah hiasan, daripada internet dan laman web conceptship.blogspot.com.   

No comments: