Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, November 21, 2012

[BUKU] The Craft of Writing Science Fiction That Sells


                                                  
“There’s a power in science fiction: the opportunity to make the reader think; the ability to reveal facets of our world through reflections from a world of imagination.” ~Ben Bova
The Craft of Writing Science Fiction That Sells merupakan buku panduan menulis fiksyen sains karya seorang tokoh penulis fiksyen sains, iaitu Ben Bova. Buku ini unik kerana memaparkan teknik-teknik penulisan fiksyen sains secara teori dan praktikal. Beliau berpengalaman berkhidmat dalam agensi angkasa Amerika Syarikat, NASA, penulis kepada 100 karya dan pemenang anugerah enam kali Science Fiction Achievemen Award (Hugo) bagi kategori ‘Best Professional Editor.’ Maka Ben Bova merupakan orang yang tepat mengupas fiksyen sains yang ‘evergreen’ dan laku di pasaran.
Ben Bova
Buku ini agak unik, kerana menumpukan empat perkara penting secara khusus dalam pembinaan karya fiksyen sains yang berkualiti. Perkara berikut adalah:


  1. Cerpen
Ben Bova menghuraikan secara khas penjanaan idea cerpen fiksyen sains dengan kaedah gabungan teori dan amali. Beliau merangkum empat bab untuk hal ini dalam menghasilkan watak (character), latar (background), konflik dan plot. Keempat-empat perkara ini walaupun ditujukan bagi membina cerpen, boleh juga diaplikasikan dalam novel.
 Beliau berpandangan untuk menulis cerpen, ada kemahiran tertentu mengawal idea agar menghasilkan impak kepada pembaca, walaupun ditatap dalam masa yang singkat. Berikut adalah penerangan ringkas tentang metodologi beliau:

  1.  Teori
Kaedah teori, beliau mengupas ciri-ciri yang dijangkakan oleh editor daripada penulis. Ini kerana, sepanjang penglibatan beliau sebagai editor fiksyen sains, terlalu banyak ‘loopholes’ ataupun lohong-lohong kesilapan yang sama dalam manuskrip penulis baru. Kesilapan ini menyebabkan manuskrip terpaksa ditolak. Mana tidaknya, terlalu banyak manuskrip yang hendak diperiksa setiap hari. Uniknya dalam teori ini, beliau menggariskan ciri-ciri utama yang akan menjadikan manuskrip menjadi menarik bagi pembinaan watak (character), latar (background), konflik dan plot.

  1. Amali
Belilau menggunakan karya-karya beliau sendiri bagi menunjukkan teknik-teknik yang dikongsikan dalam bahagian teori. Beliau menyertakan cerpen satu cerpen penuh bagi huraian bab watak, latar, konflik dan plot. Selepas setiap cerpen, beliau menyediakan satu ruang khas analisa cerpen tersebut dengan gabungan panduan teori dan cerpen. Oleh yang demikian, pembaca dapat mengulangkaji teori, cerpen dan analisa dengan baik.

  1. Kaedah Penyampaian
‘Tutorial’ berdasarkan teori, lampiran cerpen dan analisa teks dirangkum dalam empat bab utama, iaitu watak (character), latar (background), konflik dan plot. Huraian Ben Bova dijelaskan dengan bahasa biasa tanpa melibatkan istilah dalam kesusasteraan (literature) Bahasa Inggeris. Pendek kata, penjelasannya secara langsung secara praktikal kepada isi perbincangan tanpa mendalami definisi, idiom dan sebagainya secara terperinci.

  1. Novel
Bahagian ini lebih menumpukan kepada persediaan motivasi akan daya tahan menghasilkan novel. Pada pandangan beliau, jika ingin berjaya dalam fiksyen sains, pengkarya harus memaksimakan penulisannya dalam cerpen. Ini kerana, cerpen dihasilkan dalam masa yang lebih singkat. Tambahan pula, watak, latar, konflik dan plot adalah lebih ringkas daripada novel.

Ben Bova menyediakan satu ruangan khas mengenai masalah penulisan novel. Menariknya beliau memberikan judul bab tersebut sebagai Writing Novel: A Long Siege, iaitu lebih kurang bermaksud: Menulis Novel: Kepungan yang Lama. ‘Siege’ dalam istilah peperangan ialah satu pihak cuba mengepung sebuah kota dalam jangka yang lama sehinggalah kota tersebut ditawan. Proses kepungan tersebut amat panjang dan melibatkan ketahanan semangat, bekalan makanan dan keadaan tentera.

Satu pengalaman yang menarik beliau kongsikan, bagi menunjukkan penghasilan novel bukanlah suatu yang mudah, satu daripada karya beliau mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan! Beliau menasihati bahawa jika anda mempunyai sesuatu idea, dan idea tersebut tidak sesuai untuk karya anda sekarang, jangan abaikan. Tulis dan simpan elok-elok. Ini kerana, suatu hari kelak, idea tersebut akan bergabung dengan karya yang ‘tersangkut’ penulisannya.


  1. Memasarkan Karya di Arena yang Mencabar
Ben Bova mengatakan, “If you wish to be a professional writer, you must send your work to the marketplace (Jika anda mahu menjadi penulis profesional, anda mesti menghantar karya anda ke pasaran).” Dalam bab 17, beliau memberi garis panduan dan nasihat agar karya anda disalurkan dengan cara yang selayaknya.

Beliau juga berkongsi akan kaedah berurusan dengan editor, menjalankan kajian pasaran, cara memasarkan cerpen, adakah kita harus mempunyai ejen pemasar, persediaan manuskrip dan surat iringan. Keseluruhannya, ada 8 tips yang berguna untuk dimanfaatkan.


  1. Novel Tematik
“Dream your own dreams! Write your own stories.” ~Ben Bova

Dalam ruangan ini, Ben Bova menggesa para pengkarya fiksyen sains agar menghasilkan karya dengan kreativiti idea asli mereka sendiri. Penulis fiksyen sains yang berpengaruh seperti Frank Herbert dan banyak lagi menghasilkan karya yang memberi kesan kepada perkembangan sains dan teknologi sedunia. Misalan, DUNE karya Frank Herbert memberi cetusan gerakan enviromentalisme.

Beliau berpendapat, mesikpun demikian, karya-karya besar tersebut menghasilkan masalah, iaitu ada di kalangan penerbit mahukan penulis menulis berdasarkan format serta tema tersebut kerana permintaan yang baik di pasaran. Bagi beliau, perkara ini akan mengganggu penghasilan idea-idea yang unik. Dalam bab 18, beliau membantu penulis agar menjadikan cliche (tema yang berulang-ulang ataupun stereotaip) dimanfaatkan untuk menghasilkan idea baru.

  1.  Idea, Seni dan Inspirasi Karya
“The task of a writer consists in being able to make something out of an idea.” ~Thomas Mann

Dalam bab terakhir ini, Ben Bova menyimpulkan segala perbincangan dalam buku beliau, dalam tiga perkara. Ini disebabkan tiga perkara ini akan memberikan kriteria unik kepada penulis fiksyen sains yang membentuknya dengan cara kreatif.
Perkara pertama adalah idea, iaitu bagaimana mendapatkan idea, mencambahkan idea, rujukan-rujukan baik penjanaan idea saintifik dan pengggunaan kaedah ‘juxtaposition.’

Perkara kedua adalah seni ataupun beliau istilahkan ‘style.’ Beliau mengupas mengenai seni seorang tokoh fiksyen sains ulung, iaitu Isaac Asimov. Bagi beliau, seni Asimov begitu unik, bahasa yang jelas dan bergaya tersendiri. Sehinggakan pengkritik mengandaikan beliau mengambil sikap sambil lewa ataupun ‘simplistic.’ Beliau menyeru agar penulis mengikut gaya tersendiri tanpa terikut-ikut dengan cliche yang sudah ada di pasaran.

Perkara ketiga adalah inspirasi. Penulisan bukanlah tugasan yang mudah. Menurut beliau, pada zaman tersebut (mungkin sekitar tahun 1970-an dan 80-an), penulis hidup di bawah paras kemiskinan. Akan tetapi, beliau sepertimana penulis yang lain sudah sebati bahkan merasai kemanisan sebagai seorang penulis. Beliau mengungkapkan bahawa penulisan ini sukar dan sering berasa keseorangan. Terutama sekali pada peringkat permulaan adalah lebih berat bebannya berbanding ganjaran yang diraih.

Buku ini diterbitkan pada tahun 1994, setelah dikemaskini sejak edisi 1975 dan 1981. Saya mendapatkan salinan naskhah ini daripada Pustaka Negeri Sarawak. Mungkin juga tiadak ada lagi di pasaran. Saya mencadangkan anda boleh cuba mencari di perpustakaan utama tempatan. Atapun cara lain, cuba dapatkan naskhah terpakai (second hand). Biasanya boleh didapati di amazon.com ataupun ebay.com. Buku terpakai biasanya amat murah. Jangan bimbang akan kualiti buku tersebut. Biasanya buku terpakai seperti baru.

Untuk mengharungi lautan baru, nakhoda mungkin tidak tahu apakah yang ada di hadapan. Arusnya mungkin kuat, anginnya mungkin kencang, batuan bawahnya tajam belaka menunggu merobek bahtera. Begitulah fiksyen sains. Anda yang baru belayar, perjalanannya banyak pancaroba. Oleh yang demikian, buku ini amat bernilai sebagai kompas bagi penulis yang ingin berkecimpung dalam lautan idea fiksyen sains. Mencabar, sangat mencabar. Akan tetapi, hasilnya amat memuaskan. Kita simpulkan pengenalan buku ini dengan ungkapan Ben Bova sendiri tentang penulisan:





“Writing is hard and lonely work. The hazards and pains, especially at the beginning, far outweight the rewards...

Allahu’alam, Allah Maha Mengetahui.

Selamat membaca. 

Tuesday, November 20, 2012

Remember November the 5th... V for Vendetta

 “Beneath this mask there’s more than a flesh. Beneath this mask there's an idea. And ideas are bulletproof!” ~Mr. V

Filem V for Vendetta muncul di layar perak pada ketika demam superhero Hollywood semakin meningkat suhunya, sekitar tahun 2006. Sebut sahaja siapakah di kalangan mereka, baik Superman, Spiderman, Hulk, Hellboy, Batman dan X-men hero-hero komik (seperti DC, Marvel dan Dark Horse) muncul kembali dengan wajah baru. Jika dahulu superhero beraksi dengan latar lawan yang sama, kini lebih canggih dengan kesan grafik komputer. Malangnya mentaliti memakai seluar dalam di luar masih tidak berubah.

Versi komik
Oleh sebab terlalu banyak superhero yang berlagak di pawagam ketika itu, maka penulis pun naik muak mahu menonton filem mereka. Maka hero yang bernama Mr. V langsung diabaikan.

Namun ironinya saya mencari Mr. V kembali ketika musim Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12). Tanpa disengajakan, saya tertonton sebuah sedutan video politik yang memanipulasikan falsafah terkandung dalam filem tersebut sebagai kempen pihak tertentu. Menonton video yang pendek tersebut, saya tertarik dan mengatakan dalam hati: ini bukan hero sembarangan seperti yang lain memakai seluar dalam di luar!

Maka pencarian itupun bermula...

Filem V for Vendetta (2006) merupakan adaptasi daripada karya novel-komik hasil nukilan Alan Moore dan David Lloyd. Pengarah filem tersebut adalah penerbit trilogi Matrix, iaitu adik-beradik Wachowski. Filem tersebut berlatarbelakangkan keadaan distopia (lawan kepada utopia) negara United Kingdom pada masa hadapan, sekitar tahun 2030. Kerajaan UK diperintah parti Norsefire yang dipimpin oleh Canselor kuku besi Adam Sutler.


Kerajaan despotik tersebut menggunakan ketakutan (fear) dalam masyarakat. Sesiapa yang bersuara menentang akan diculik, disoal siasat dan dipenjara, selepas itu tiada berita kedengaran. Pemimpin parti menggunakan pidato berapi-api dan undang-undang untuk mengawal masyarakat. Lantas, mereka lebih rela untuk diam daripada mendapat masalah. Tidak ubah seperti kerajaan totalitarian (kuku besi) Third Reich Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler.

Kisah bermula apabila seorang wanita bernama Evey diselamatkan daripada polis Norsefire, iaitu Fingerman. Penyelamat misteri tersebut memperkenalkan dirinya sebagai ‘V’ yang menggunakan topeng aneh. Evey dibawakan ke atas bangunan bagi menyaksikan kemusnahan bangunan Old Bailey yang merupakan simbol kekuasaan pemerintah di UK.


Kemusnahan Old Bailey adalah permulaan kejayaan simbolik revolusinya terhadap pemerintah yang merupakan kesinambungan kegagalan komplot Gundpowder Plot oleh Guy Fawkes. Komplot tersebut cuba membunuh Raja James I di Old Bailey  pada 5 November 1605.. Bahkan, topeng yang digunakan oleh V adalah berwajahkan konspirator komplot tersebut.
Guy Fawkes ditangkap pada 5 November 1605 ketika komplot Gunpowder Plot
Keesokan harinya, berita palsu disiarkan oleh British Television Network (BTN). V kemudiannya menawan seketika dan menyiarkan ucapan revolusinya. Ucapan tersebut menyeru agar rakyat UK membuka mata tentang kepincangan, korupsi dan kezaliman pemerintah. Sebagai tanda sokongan mereka terhadap revolusi tersebut, V mengajak rakyat berkumpul di depan Parlimen setahun kemudian pada 5 November. Pasca kejadian itu, BTN menyiarkan berita palsu bahawa Mr. V telah maut dalam insiden tersebut.

Canselor Sutler memberikan respon yang drastik. Dia mengarahkan agar kepimpinannya mengawal ketat segala sumber media, termasuklah televisyen, radio dan surat khabar. Detektif Pinch ditugaskan untuk menjejak motif dan aktiviti Mr. V.

Cerita dilanjutkan lagi dengan pengembaraan V dan Evey. V melancarkan ‘vendetta’ (dendam)nya terhadap kepimpinan parti Norsefire. Ini kerana V menganggap dirinya sebagai gergasi hodoh yang menderita setelah dijadikan bahan eksperimen oleh kerajaan. V membunuh seorang demi seorang musuhnya, dengan meninggalkan sekuntum bunga ros berhampiran dengan mayat.

Semakin V dijejak oleh Detektif Pinch, semakin terserlah wajah sebenar kerajaan Norsefire. Detektif yang dalam dilema itu merungkai bahawa selama ini parti Norsefire telah menggunakan segala cara untuk mengekalkan kekuasaannya. Ini termasuklah penggunaan senjata kimia, eksperimen terhadap manusia, pemenjaraan musuh politik, penculikan dan pembunuhan. Detektif tersebut masih gagal mengesannya.

Setelah satu rancangan televisyen Mr. V mempersendakan canselor disiar, rakyat mula tertanya-tanya, Mr. V sebenarnya masih hidup. Buat pertama kalinya rakyat mentertawakan pemimpin mereka. Juga, mereka mula mempersoalkan dan meragui apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir siaran media dan pemerintahan negara.


Menjelang 5 November tahun baru, V melancarkan perang saraf dengan menyebarkan kostum (jubah, topi dan topeng Guy Fawkes) revolusinya. Apa yang menarik adalah setiap kali bungkusan kostum 'V' tiba di rumah rakyat, setiap kali itu juga V meletakkan satu buah domino.

Buah domino yang disusun satu persatu membentuk satu corak unik gergasi simbol ‘V’. Tiba masanya, V akan mengetis buah hujung buah domino dan kesemuanya akan tumbang, iaitu simbolik kepada kejatuhan hegemoni jahat yang bakal ditumbangkannya.


Seperti yang dijanjikan pada hari revolusi – 5 November, Mr. V telah menyiapkan sebuah tren bawah tanah yang sarat dengan bahan letupan. Tren tersebut akan diletupkan ketika melalui bangunan Parlimen UK – simbol kepada kejayaan revolusinya menumbangkan parti Norsefire.
Manakala di London, tentera yang dipegang oleh parti Norsefire mengesan gelombang kemaraan rakyat menuju bangunan Parlimen. Di bawah tanah pula, Mr. V bersemuka berseorangan menghadapi Mr. Creedy dan pengawal peribadinya. Mr. Creedy orang kanan parti membawakan Canselor Sutler seperti sebagai galang gantinya, V menyerah diri. Setelah Mr. Creedy membunuh Canselor, V enggan akur. Pertempuran berlaku akhirnya tinggal Mr. Creedy cuba menembak dan V cedera parah.

Saya ingat lagi Mr. Creedy menembak V yang mara kepadanya dengan beberapa das pistol, “Die, die, die! Why don’t you die!”

Mr. V menggapai Mr. Creedy dan mencekik sambil menjulangnya, kata V, “Beneath this mask there is a flesh. Beneath this mask there's an idea. And ideas are bulletproof!”

Babak akhir menemukan V kembali kepada Evey dan melafazkan cintanya. V mati dalam ribaan orang yang dikasihinya. V diletakkan dalam tren, dan melepaskan pergi sekalipun dihalang oleh Detektif Frinch.

Manakala di bandar London, rakyat tetap mara dengan mengenakan kostum Mr. V. Dengan ketiadaan pimpinan parti memberi arahan, pihak tentera tidak berdaya menghalang gelombang rakyat. Beberapa saat kemudian, rakyat berhenti menyaksikan revolusi Mr. V berjaya: Parlimen hancur ditelan api... Revolusi V berjaya....


Komentar:
Saya bukanlah pengkritik yang mahir dalam hal filem. Cuma sekadar memberi komentar tentang filem ini:

  1. Filem futuristik ini menayangkan daya fikir spekulatif (andaian masa hadapan) oleh pengkarya. Justeru, saya kira filem ini boleh dikategorikan sebagai filem fiksyen sains, walaupun tidak begitu menonjol. Masih juga terdapat unsur-unsur fiksyen sains yang dapat dilihat daripada teknologi penyiaran, eksperimen manusia, gajet-gajet dan tentera futuristik.  

  1. Juga disentuh adalah isu Islamofobia, totalitarian (kerajaan autokratik) dan lesbian. Idea  metod politik Machivellian yang bermatlamat menghalalkan cara (end justifies the meanings) begitu ketara dalam langkah serta strategi Mr. V.

  2. Filem ini begitu menonjol mengangkat teroris ataupun anarkis sebagai hero kebebasan. Sebenarnya ada pertikaian antara pengarah filem dengan pengarangnya Alan Moore kerana plot cerita filem berbeza sekali dengan versi komik asal. Jika diturutkan juga, pasti lebih banyak aksi anarkis dipaparkan. Ini kerana, dalam versi asal komik, Mr. V akan membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya.
  1. Filem ini sarat dengan simbol. Antaranya ialah:
    1. Simbol Kuasa – Bangunan Old Bailey dan Parlimen menjadi simbol kekuasaan pemerintah yang diberikan diserahkan oleh rakyat kepada mereka. Meruntuhkan simbol itu bermakna meruntuhkan makna kuasa kepada pemerintah.
    2. Simbol Idea & Revolusi – Mr. V menggunakan topeng wajah Guy Fawkes menggambarkan kesinambungan motifnya dengan motif revolusioner terdahulu.
    3. Simbol Sokongan – Rakyat massa memiliki rasa kebersamaan menggunakan kostum Mr. V, dengan kebersamaan perlambangan yang sama.
    4. Simbol Kejatuhan – ‘Kesan domino’ Mr. V memetik buah domino. Buah domino jatuh satu persatu sehinggalah kesemuanya rebah ke bumi. Simboliknya, satu kejatuhan akan merebakkan kepada kejatuhan yang lain sehinggalah hanya satu sahaja buah dominonya yang tegak, iaitu melambangkan kemenangan dirinya. 
  1. Selari dengan simbol dalam filem, saya kira filem ini juga sarat dengan falsafah dan politik.  Filem ini banyak menduga minda yang memaksa kita untuk turut berfikir, apakah motif dan tindakan Mr. V selanjutnya. Metodologi politik moden seperti Machiavellian yang popular dengan ‘perangai’ matlamat menghalalkan cara diselitkan dengan ketara sekali. 

  1. Amat menarik dalam filem ini (mengujakan dan kejutan kepada saya) apabila ada disentuh mengenai al-Quran. Bahkan, sebab watak Dietrich (pegawai penyiaran British Television Network) dihukum bunuh oleh parti Norsefire adalah kerana memiliki senaskhah al-Quran. Insiden ini menyentuh tentang Islamofobia yang masih tertanam kukuh di Barat.


Sebagai penutup, secara peribadi filem ini mempunyai kelainan, keunikan dan pemikiran yang tersendiri, walaupun ada bahagian yang boleh dibahas dan dibidas. Mengenai isu kekejaman cengkaman pemerintahan totalitarian, manipulasi media dan anarki politik yang dipaparkan dalam filem tersebut, ada relevan dan logiknya dengan situasi global masakini, berlaku di mana-mana. Sentiasa berhati-hati dalam menyaring apa-apa yang anda dengar dan lihat. Di dalamnya mungkin terselit muslihat tersembunyi tanpa kita sedari. 

Kupasan mengenai filem V for Vendetta dalam entri ini tidak ada bermaksud menuju kepada mana-mana pihak kepartaian, terutama bagi senario politik dalam negara. Entri ini adalah pandangan neutral. Saya adalah seorang non-partisan, tetapi tidak bermakna saya ‘non-participate’ dalam agenda kepentingan ummah.

Mohon maaf salah dan silap. Sama-sama kita fikirkan... 

Thursday, November 8, 2012

Wajah Amerika dalam Starcraft


Suatu hari saya terbaca daripada satu buku fakta perang, tentang pertempuran Bukit San Juan antara 'Rough Riders' Amerika dan askar-askar kolonial Sepanyol di Cuba pada tahun 1898. Gambar (seperti di bawah) tersebut memaparkan sekumpulan askar Amerika yang beruniform serba biru menyerbu keududukan musuh. Secara tidak langsung, seolah-olah titik-titik terpisah tentang wajah sebenar bangsa manusia game Starcraft II, Terran sebenarnya terpampang pada diri peribadi Amerika.   


Entri ini merupakan kesinambungan kepada beberapa entri sebelum ini. Iaitu, tentang membicarakan sejarah sebagai salah satu daripada sumber idea yang baik. Ini kerana sejarah  tiada hak cipta, dan sesiapa sahaja yang boleh menggunakannya. Dan fiksyen sains, berpotensi untuk mengadaptasi apa-apa sahaja sumber idea dalam pelbagai bentuk. Sekalipun mengambil daripada sumber sejarah, seringkali pembaca tidak perasan, melainkan seseorang itu mempunyai penderia sejarah. 

                         
Kita imbas secara ringkas berkenaan jalan cerita game fiksyen sains, Starcraft II. Game tersebut muncul kembali pada tahun 2012. Salah satu daripada 'bangsa' dalam konflik angkasa tiga penjuru itu adalah bangsa manusia yang dikenal sebagai Terran. 


Acturus Mengsk, Maharaja Terran Dominion
Di sebalik kecamuk kegoncangan sesama manusia Terran, timbul satu gerombolan pemberontak yang dikenal sebagai Raynor's Raiders. Pemain akan mengiringi Jim Raynor, watak protagonis yang melancarkan perang gerila kepada seorang pemimpin kuku besi, Acturus Mengsk.

Tanpa disedari selama ini, sebenarnya watak Amerika diserapkan ke dalam fikiran pemain game. Dalam banyak peristiwa, jalan cerita ataupun watak, siri Starcraft II: Wings of Liberty banyak mencerminkan diri Amerika itu sendiri. Kita akan kupas secara sepintas lalu elemen yang digunakan.





Elemen 1: Raynor's Raiders dan Rough Riders
                              
Pengaitan antara Raynor's Raiders dan Amerika saya terperasan ketika membaca kemenangan Theodor Roosevelt dan Rough Raiders beliau di Bukit San Juan, Cuba. Sut armor CMC-400 terran marine Raynor's Raiders berwarna biru, mirip Rough Riders Amerika.


Elemen 2: Perang Saudara Amerika, 1861-65

Amerika Syarikat terbahagi kepada dua selama 4 tahun antara Union dan Confederate, sejak 1861 sehingga 1865. Kedua-dua pihak terjerumus dalam perang saudara yang amat merugikan. Negeri-negeri  Selatan mengisytiharkan keluar daripada Kesatuan (Union) Amerika Syarikat dan bersatu membentuk kerajaan Condederate. Mereka enggan mengakui pertuanan Presiden Union (Negeri-negeri Utara) iaitu Abraham Lincoln yang membuat deklarasi mahu menghapuskan sistem perhambaan.

Dalam menegakkan pendirian mereka, pihak Negeri Selatan, Confederate melancarkan kempen perang terhadap Union. Peperangan berlangsung selama 4 tahun dengan memakan korban 600, 000 manusia, termasuk presiden mereka, Abraham Lincoln.  

Dalam Starcraft I, Jim Raynor bersama Acturus Mengsk dalam angkatan Sons of Korhal telah menewaskan kerajaan manusia Terran yang digelar sebagai Confederacy of Man. Ataupun mereka gelar sebagai Confederate. Simbol Confederacy of Man dalam Starcraft mirip dengan bendera negeri Virgina Confederate (gambar bawah) Perang Saudara Amerika.

Tambahan pula, nama bandar Confederate dalam Starcraft I menggunakan nama yang hampir sama dengan Perang Saudara. Contoh yang paling menonjol adalah bandar utama 'New Gettysburg', iaitu Leftenan Sarah Kerrigan telah dikhianati oleh Acturus Mengsk pada saat akhir kekalahan Confederate. 




Kebetulan sekali, apabila disuluh peristiwa semasa Perang Saudara Amerika, terdapat pertempuran yang amat penting melibatkan sebuah pekan bergelar Gettysburg pada tahun 1863. Pertempuran tersebut juga merupakan permulaan titik kejatuhan Confederate, sekalipun kedua-dua belah pihak memakan korban 50,000 orang.              

Satu lagi perkaitan antara Raynor's Raiders adalah misi 'Great Train Robbery.' Misi tersebut adalah untuk memintas kargo berharga ketika pemberontakan Raynor's Raiders terhadap pemerintahan Terran Dominon oleh Acturus Mengsk. Misi tersebut hampir-hampir mirip dengan serbuan pihak Union yang dikepalai oleh Andrews pada 1862 dalam 'Great Locomotive Chase':



Elemen 3: Era Koboi (Wild West)

                             
Novel Starcraft II: Devil's Due merupakan novel prekuel (sebelum cerita asal) yang menceritakan apakah asal-usul watak Jim Raynor dalam trilogi Starcraft. Novel ini juga mengisahkan bagaimanakah hubungan dia dengan temannya, Tychus Findlay. Apabila membaca novel ini, terasa bahawa budaya samseng ala koboi wild west menjelma di angkasa sana. Rupa-rupanya watak hero Jim Raynor yang dijulang dalam trilogi tersebut merupakan seorang 'outlaw' yang melakukan pelbagai jenis jenayah sebelum menjadi 'freedom fighters' ataupun pejuang kebebasan. Inilah wajah diri Amerika dahulu kala, diolah dan 'dibungkus semula'. Kulitnya lain, tapi isinya sama.

Tanpa kita sedar, kita sering dimomok dan diserapkan dengan pemikiran serta budaya yang mungkin bertentangan dengan nilai agama dan Ketimuran. Jika yang ditonjolkan adalah negatif, maka kesannya juga boleh membawa kepada negatif. Jika positif, maka itu adalah terbaik untuk pembaca. 

Adakah kita sedar bahawa wajah seperti Raynor' Raiders ini melambangkan peribadi dan jatidiri negera mereka? Ini baru sebahagian. Belum lagi novel, filem, game dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, inilah kelebihan fiksyen sains. Luarnya tampak teknologi, terkadang dalamannya adalah cerita lama!