Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Thursday, August 26, 2010

[SI] Galaksi Muhsinin 2 Tahun...


[BISMILLAH]

[ASSALAMUALAIKUM]

[TRANSMISI: ARKIB RAMADHAN 1431H]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam. Dialah yang Satunya berhak disembah. Selawat dan salam buat junjungan mulia, besar, agung Kekasih-Nya; Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, penyebar rahmat serata alam dan penyudah sekalian Rasul. Semoga Allah merahmati, bintang-bintang kekasih kepada kekasih-Nya, para sahabat yang mulia, ahli keluarga baginda serta orang-orang yang menuruti mereka sehingga kepada Hari Pembalasan.

“Tidak kami utus engkau melainkan menyebarkan rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya’, 21:107)

Apabila disebut Ramadhan, pasti saya ingat Galaksi Muhsinin. Sekalipun penerbitannya tertangguh selama beberapa bulan daripada anggaran asal, tetapi takdir telah menentukan, novel tersebut telah terbit menjelang Ramadhan 1430H. Segala resah penantian hilang sama sekali, apabila novel tersebut digandingkan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak yang amat mulia...

Sudah dua tahun Galaksi Muhsinin terbit. Namun ramai yang tertanya-tanya: adakah Galaksi Muhsinin akan disambung? Bilakah akan diterbitkan lagi? Syukur, rata-rata memberikan respon yang positif berminat mengikuti Saga Galaksi Muhsinin.

Saya memohon maaf atas kelewatan yang tidak dapat dielakkan. Seharusnya manuskrip telah disiapkan pada April 2010 yang lepas. Namun dalam memenuhi tuntutan hidup, saya harus bekerja mencari nafkah, lebih-lebih lagi (insya-Allah) tidak lama lagi akan memulakan hidup baru berumah tangga.

Hasrat hati ingin menjadi penulis sepenuh masa melengkapkan berpuluh-puluh draf karya yang lain, tetapi atas keperluan semasa, harus ada mata pencarian alternatif buat sementara. Royalti hanya setahun sekali; dan itu pun tidak dapat dijamin bagaimanakah sambutan di pasaran. Oleh yang demikian, harus ada pendapatan yang boleh menyokong hidup sementara hasil royalti/jualan lain menjadi stabil.

Pernah juga hampir-hampir berputus asa kehilangan sentuhan, idea dan masa untuk terus menulis, tetapi mengenangkan tanggungjawab sebagai seorang penulis mendidik masyarakat; maka mahu tidak mahu harus diteruskan juga. Tersedu mengenangkan andai kata berhenti meneruskan usaha ini, maka berkuranglah orang yang memperkenalkan peribadi, sosok agung seperti Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam di hati masyarakat. Bagaimanakah jika tiada orang yang mengimbangi serangan-serangan fikiran yang bermaharajalela tanpa kita sedar melalui sains fiksyen ataupun medan-medan yang lain? Adakah harus membisu sahaja baginda dihina dicerca? Tidak sama sekali!

Frank Herbert, penulis saga DUNE, telah merangka selama lima tahun membina kerangka universe DUNE beliau. Begitu lama beliau meneliti; akhirnya dunia sains fiksyen menobatkan karya beliau sebagai karya ulung (master piece) yang tertinggi, satu-satunya karya yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan trilogi Lord of the Rings nukilan J. R. R. Tolkien. Namun demikian, secara peribadi saya kagum akan universe (latar kerangka besar) DUNE; terkecuali kepada kerancuan faham pluraslisme yang begitu mengakar dalam karya beliau. Galaksi Muhsinin pula, universenya masih lagi diperdalam dan diolah, dengan harapan menghasilkan mutu yang tersendiri. Saga Galaksi Muhsinin merangkumi 9 siri keseluruhan. Mungkin juga Galaksi Muhsinin mengambil masa yang lama ataupun singkat. Mudah-mudahan dilancar serta dimudahkan penyempurnaannya.

Diharapkan karya saya ini mandiri dan tidak bergantung kepada karya semasa serta menyaring serangan pemikiran, memperbetul salah faham serta menyebarkan keindahan Islam. Galaksi Muhsinin juga berharapan dapat menanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, seorang Guru Besar kepada manusia yang memperkenalkan manusia kepada Tuhannya. Doakan agar diberikan kekuatan untuk berusaha lebih kuat dan dipercepatkan penghasilan dan akhirnya sempurna kesemuanya.

Oleh yang demikian, mohon doanya dan sokongan daripada anda semua. Terutama buat ibu dan ayah, guru-guru, ahli keluarga, sahabat handai, dan terutamanya kepada pembaca-pembaca setia Galaksi Muhsinin.

“Tidak kami utus engkau melainkan menyebarkan rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya’, 21:107)


[Semoga Allah bersama kita]

[ALHAMDULILLAH]

[TRANSMISI BERAKHIR]


Pautan berkaitan:
Di Sebalik Tabir Galaksi Muhsinin
Awal Remaja & Peranan Tokoh: Pencetus Inspirasi Luar Biasa

Sejarah saya menulis:
Arkib Karyaku
Sejarahku Menulis (1): Rupa-rupanya 14 Tahun yang Lampau!
Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2

Monday, August 16, 2010

[Resensi] Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire’s Service (Bhg. 1)


Naskhah Star Wars X-Wing’s Rogue Squadron: In the Empire’s Service telah saya beli ketika promosi jualan murah komik Star Wars di MPH Kuching pada Julai 2010 yang lepas. Teruja naskhah tersebut mengisahkan mengenai skuadron pejuang TIE Fighter Galactic Empire, maka saya membelinya. Pesawat ini yang telah menarik perhatian saya sejak kali pertama melihatnya dalam trilogi Star Wars yang disiarkan dalam siri Perilly’s Action Movie pada setiap Rabu malam sewaktu sekolah rendah dahulu pada 1996.

Komik tersebut menyentuh penceritaan mengenai skuadron handalan Empire, iaitu 181st Fighter Division yang dipimpin oleh Baron-Kolonel Soontir Fel. Fel ialah juruterbang terhandal Empayar dan juga dinobatkan antara juruterbang terbaik galaksi tersebut. Fel memandu TIE fighter, sejenis pesawat pejuang angkasa yang unik. Tidak banyak diceritakan pesawat bereka bentuk ringkas ini dalam saga Star Wars. Komik ini mendedahkan sisi yang menarik, kerana selama ini hanya didedahkan sebelah pihak sahaja, iaitu di pihak Rebel Alliance.

Siri komik tersebut mengisahkan detik getir Galactic Empire yang sedang cuba menghalang kemaraan New Republic di sektor Brentaal IV. Skuadron Rogue yang merupakan ayam tambatan Rebel Alliance begitu dikenali kerana sejarah cemerlang skuadron tersebut berjaya menjalankan misi yang dianggap mustahil. Oleh yang demikian, skuadron tersebut dianggap sebagai skuadron elit. New Republic semakin berkembang dan menghadapi gerombolan Galactic Empire yang semakin lemah cengkaman kuasanya. Dalam pada itu, kualiti skuadron pejuang TIE juga dilihat merosot akibat asakan berterusan skuadron-skuadron Rebel Alliance, terutama Skuadron Rogue.

Operasi di sektor Brentaal IV berjalan pada bulan ke sembilan kematian Maharaja Galactic Empire, Canselor Palpatine (Darth Sidious) di Death Star II. Empayar menjadi kucar-kacir. Pucuk kepimpinan Empayar telah beralih tangan kepada Pestage. Empayar yang berpecah-belah dipimpin oleh ‘warlord’ yang terdiri daripada komander-komander Empayar. Akan tetapi, seorang komander wanita, Ysanne Isard seorang yang berkepentingan dan memiliki ambisi untuk mengepalai Empayar telah memperalatkan seorang komander yang lemah dek sentiasa berpoya-poya bernama Isoto.

Skuadron Rogue merupakan skuadron lagenda dalam Rebel Alliance. Kesemua pesawat skuadron ini menggunakan pejuang angkasa model T-65 X-Wing. Skuadron ini dipimpin oleh Kapten Wedge Atilles. Skuadron elit ini mempunyai rekod cemerlang di Pertempuran Yavin IV (kemusnahan stesen tempur Empayar, Death Star), keperwiraan mempertahankan Pangkalan Echo ketika Pertempuran di Planet Hoth, kematian Maharaja Darth Sidious (dan kemusnahan Death Star II) serta kemenangan-kemenangan pertempuran pasca Pertempuran Planet Endor. Menjadi pertembungan menarik dalam kisah ini adalah, Atilles dan juga skuadron beliau merupakan anak-anak murid kepada Fel ketika belajar di Akademi Imperial.

Skuadron Rogue yang digeruni oleh Empayar diumpan dengan menghantar 181st Fighter Division oleh Isard ke sektor Brentaal IV. Ketika menyerang, Rogue Squadron telah mengalahkan sebilangan besar skuadron musuh. Tanpa pengetahuan Fel, Isard sengaja memberitahunya akan kekalahan skuadron tersebut, agar Fel berdendam menuntut balas. Skuadron Rogue hanya mengetahui keberadaan skuadron terbaik Fel selepas operasi. Maklumat tersebut telah menggugat semangat Atilles kerana mereka bakal berhadapan dengan juruterbang handalan Empayar selepas ini.

Skuadron Fel telah dipergunakan untuk kepentingan Isard. Sungguhpun demikian, Fel (bawah arahan Komander Isoto) begitu setia mematuhi arahan meskipun terpaksa menghadapi karenah yang tidak cekap, semakin banyak mengorbankan anak-anak buah skuadronnya.

Skuadron Rogue bertempur hebat dengan 181st Fighter Division. Penglibatan secara langsung Fel telah memberikan tentangan sengit kepada skuadron Rebel Alliance ketika serangan. Skuadron Fel berjaya mengekang serangan, tetapi mengalami kemalangan jiwa yang tinggi. Sebaliknya, Komander Isoto menganggap kejayaan tersebut merupakan kejayaan yang hakiki.

Bagi Fel, semua yang berlaku di depan matanya adalah semata-mata pengabuan terhadap situasi yang sebenar. Dia semakin curiga akan motif pegawai-pegawai atasan yang dilihatnya berkepentingan dan tidak cekap pula. Akhirnya semakin ramai ahli skuadronnya yang menjadi mangsa.

Kemuncak kisah siri ini ialah sebuah armada Empayar dikesan menghampiri planet Vuultin, salah sebuah wilayah dalam sektor Brentaal IV. Perisik Rebel Alliance telah menghidu bahawa Komander Isoto mahu melarikan diri dan membawa sejumlah besar rampasan sumber bumi daripada planet berkenaan. Pihak Rebel Alliance tidak mahu kejadian yang sama berlaku sebelum ini; warlord Empayar telah melarikan diri setelah menyamun segala hasil kekayaan planet tersebut yang menyebabkan rakyat merana. Misi skuadron Rebel Alliance ialah menghalang kemaraan kapal kargo Empayar daripada berlepas bersama-sama kekayaan yang mereka rampas.

Fel telah menyatakan protes secara terbuka rasa tidak percaya dan puas hatinya terhadap Komander Isard yang dilihatnya berkepentingan. Namun demikian, Fel tetap berpendirian menjalankan tugasnya dengan berpegang kepada prinsip melindungi rakyat Empayar daripada musuh. Sebelum pertempuran akhir planet Vuultin, Komander Isoto telah diperdaya lalu dibunuh oleh gundiknya yang merupakan orang suruhan Komander Isard.

Pertempuran di planet Vuultin telah menemukan dua handalan daripada kedua-dua pihak: Kapten Wedge Atilles dan Baron-Kolonel Soontir Fel. Bagaikan buku bertemu ruas, kedua-dua handalan enggan mengaku kalah dan saling beradu antara satu sama lain.

Atillas yang mengagumi kecekapan dan kelicikan gurunya berhempas-pulas untuk menewaskannya dengan menuver-menuver lincah. Hampir-hampir sahaja X-Wing Kapten Wedge tepat dibidik oleh TIE Interceptor Fel, sebuah Y-Wing telah muncul menyelamatkan keadaan dengan menembakkan sinaran laser penggendala.

Pesawat Baron Fel gagal berfungsi dan kemudiannya dia telah ditawan oleh Rebel Alliance. Cerita diakhiri apabila Kapten Atilles terperanjat ketika Kapten Baron Fel berterus terang bahawa mereka sebenarnya beripar duai. Adik Atilles, Syrel Atilles merupakan isteri kepada Fel. Terkesima, cerita pun tamat...

Analisis In the Empire’s Service
Laman StarWars.com membongkar rahsia di sebalik pembikinan latar dalam saga Star Wars. Laman tersebut menghuraikan bahawa Star Wars sebenarnya menggunakan banyak elemen sejarah dalam Perang Dunia II (1939-1945) dalam perwatakan juruterbang, rekabentuk teknologi mahupun plot penceritaan.

Perkara ini juga disebutkan dalam buku Science Fiction (2000) karangan Adam Roberts. George Lucas banyak menggunakan analogi yang selari antara rekabentuk teknologi, doktrin dan falsafah daripada sumber sejarah perang tersebut.

Resensi kali saya membuat analisa ringkas mengenai komik ini, khususnya kepada pesawat TIE, juruterbang dan segala yang berkaitan. Saya mendapati, falsafah di sebalik rekaan teknologi TIE dan penceritaan komik ini bersumber dariapda adaptasi sejarah sebenar dalam Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Sekali lagi ditegaskan bahawa tidak ada hakcipta dalam sejarah. Kesemua orang boleh mengambil sejarah sebagai modal idea. Akan tetapi, lebih mustahak adalah bagaimana seseorang itu boleh mengolah bahan agar kreatif dan lebih segar.

Ikuti lanjut dalam 3 entri mendatang:
Bahagian 2: Analisa Teknologi TIE dan Zero
Bahagian 3: Analisa Juruterbang TIE dan Imperial Jepun
Bahagian 4: Analisa Plot Penceritaan


Insya-Allah bersambung dalam Bahagian ke-2... (dijangka Bhg. 2 akan dikemaskini selewat-lewatnya pada 18 Ogos 2010, Rabu malam Khamis waktu Malaysia)

*Resensi : Bedah buku


Rujukan:

1.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 13: Imperial Japanese Army Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

2.Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the aces 22: Imperial Japanese Navy Aces 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

3.Jenssen H. And Chasemore, R., (2007). Star wars: Complete cross-sections. DK Publishing: UK.

4.Jowett, P., (2002). Osprey men-at-arms 362: The japanese army 1931-45(1) 1931-42. Osprey Publishing Limited: UK

5.Mohd. Zaki Mohd. Saleh, (Oktober 2000). “Pertempuran midway: Titik tolak kekalahan jepun dalam perang pasifik ms. 17-24,” Perajurit. Inai Damai Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur.

6.Osamu Tagaya (1997). Osprey Warrior 55: Imperial japanese naval aviator 1937-45. Osprey Publishing Limited: UK

7.Osamu Tagaya, (2001). Osprey Combat Aircraft 22: Mitsubishi type 1 rikko ‘betty’ units of world war 2. Osprey Publishing Limited: UK

8.Perry, S. And Reaves, M., (2008). Star wars: Death star. Arrow Books: UK.

9.Sheftall, M. G., (2005). Blossoms in the wind: Human legacies of the kamikaze. NAL Caliber: USA.

10.Stackpole, M. A., (1996). Star wars: X-wing rogue squadron. Bantam Books: USA.

11.Stackpole, Nadeau, Ensign, (1999). Star wars x-wing rogue squadron: In the empire’s service. Dark Horse Comics: Canada.

12.Stille, M., (2005). Osprey new vanguard 109: Imperial japanese navy aircraft carriers 1921-45. Osprey Publishing Limited: UK

13.Swanston, M. And Alexander, (2009). Atlas of air warfare. Sandcastle Books Ltd: UK.

14.Westwell, I., (2009). The ultimate illustrated history of world war i. Annes Publishing Ltd: London.

15.Windham R. And Wallace D., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Publishing: UK.

16.Roberts, A., (2000). Science Fiction. Routledge: London.