Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Sunday, November 23, 2008

[ESC] Algoritma TAQWA


Bandar Imker,
Planet K-Oja,
Galaksi Dexclos,
Wilayah I, Empayar Sibernatik Cyborg

“Marin IV!” kedengaran arahan melalui saluran interkom. Desir alur peluru melintasi gegendang telinga. Bingit. Sengit. Pertempuran di Bandar Imker, sebuah wilayah terpencil, Wilayah Jajahan I Galaksi Dexclos seolah-olah tiada kesudahan.

Sudah tiga hari Batalion Garnison VII Empayar Sibernatik Cyborg telah mengepung kota ini. Tidak ada tanda-tanda api pemberontakan berjaya dipadamkan. Bandar yang mempunyai tamadun tinggi kini menjadi padang jarak padang tekukur. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Setakat ini, tidak diketahui lagi siapakah arang, siapakah abu.

“Marin IV! Mara dan asak pertahanan rusuk sebelah kiri musuh!” Sayup kedengaran arahan Kapten Verkauf di kala peluru berdesing bersimpang-siur. Tembakan senjata automatik bertalu-talu dilepaskan dari arah atas dan bawah tanah di hadapan. Kapten Verkauf memimpin saki-baki kompeninya mara ke pusat bandar. Ia merapati Marin IV yang meniarap di sisi jalan.

Kapten Verkauf merupakan seorang pegawai cyborg tentera mekanikal Empayar Sibernatik Cyborg. Asalnya dia merupakan seorang manusia. Sekarang dia merupakan alat pembunuh separuh manusia, separuh mesin. Tugasnya memimpin tentera mekanikal. Tugasnya jelas: melaksanakan arahan zalim Maharaja Legion, maharaja Empayar Sibernatik Cyborg tanpa banyak soal.

Kapten Verkauf berang. Marin IV yang merupakan marin mekanikal yang dipanggilnya tidak mendengar arahan. Ia menerajangnya dengan kuat. Percikan renjatan elektrik terbit daripada abdomen marin mekanikal itu.

“Tidak guna, sudah mati rupanya! Pasti ada penembak tepat di hadapan,” Kapten Verkauf mengitarkan pandangannya dengan mata sekundernya. Mata tambahan yang membolehkannya melihat dengan pandangan 360 darjah. Pajera kekal di mata kiri Kapten Verkauf memfokus ke arah musuh. Program di kepalanya membuat perhitungan jarak dan kebebarangkalian tindakan musuh.

“Ah, hover mesingan berat! Tapi hanya ada satu jalan di hadapan. Tidak ada harapan lain!” ia terlihat hover, sebuah kenderaan apungan di sebalik runtuhan bangunan.

“Kompeni! Kita tidak ada pilihan lain melainkan untuk melintas di hadapan. Tetapi ada sebuah hover mesingan berat sedang menunggu kita. Beberapa orang pemberontak juga berada di sekitar blok itu. Marin XI akan memberi tembakan sokongan. Kemudian, kita harus bergerak dengan tangkas.”

“Marin V, setibanya kamu di sebelah sana, musnahkan hover itu dengan serta merta. Bidik dengan tepat. Itu adalah roket yang terakhir,” Kapten Verkauf memberikan arahan kepada kompeninya.

“Marin XI!”

“Ya tuan!”

“Bersedia untuk tembakan sokongan ke pertahanan tengah musuh. Kami akan melintasi jalan ini ke blok itu. Tunggu arahan saya,” kata Kapten Verkauf sambil mengisi kelopak peluru raifal Oto-Gaussnya. Kemudian ia menarik perencak raifal. Arus mengalir melalui relung solenoid terlilit di jemarinya mengaruhkan medan elektromagnetik. Justeru raifal yang diperbuat daripada besi itu tertarik kepada medan itu. Ini membolehkan raifal itu kemas dipegang.

“Baiklah,” balas Marin XI. Marin XI berbeza daripada marin mekanikal yang lain. Ia berkaki empat. Marin XI merupakan model awal marin mekanikal pada awal Era Empayar. Kini pada 2205, marin mekanikal seperti XI hanya digunakan sebagai platform senjata berat seperti mesingan bagi kompeni tentera mekanikal. Peranan asalnya digantikan dengan marin mekanikal berkaki dua yang mampu bertindak lebih tangkas.


Kemudian ia berkata lagi kepada seorang cyborg. “Kamu, bergerak di tengah-tengah nanti. Berhati-hati. Jikalau mereka nampak dan tembak kamu, seluruh kompeni akan rentung sekali gus.” Dia adalah anggota Skuad Tangan Hitam. Senjatanya adalah pelontar api. Digalas di belakangnya adalah pek tangki bahan api kompak beserta gas oksigen termampat. Sekali tembakan pada tangkinya sudah cukup menghasilkan letupan yang dahsyat.

“Tidak ada bantuankah, tuan?” tanya cyborg itu. Pernafasannya menghasilkan bunyi mendengus daripada respirator penapisnya.

“Entahlah. Sudah tiga hari kita mengepung. Kita masih belum dapat menewaskan mereka, bahkan semakin sengit. Pemberontak berada di mana-mana. Kita masih terpisah dengan unit yang lain. Kita ada kebarangkalian 0.4333 untuk selamat. Peluru kita semakin menyusut. Cuaca mendung beberapa hari ini mengancam paras sel tenaga kita. Kita harus bertahan sehinggalah bantuan tiba.”

Kapten Verkauf mempersoalkan, “Ke manakah tentera Empayar yang dihantar menghadapi Galaksi Muhsinin? Sudah tiga bulan tidak kedengarn berita. Dari manakah pemberontak ini beroleh senjata?”

“Manusia tidak guna! Mereka akan dapat pembalasannya. Mengingkari Empayar bermakna mengingkari Maharaja Legion. Mereka ini menyusahkan sahaja. Degil! Penentangan mereka ini sia-sia!” kata anggota Skuad Tangan Hitam itu.

Balas Kapten Verkauf, “Jangan pandang rendah kepada mereka. Meskipun mereka lemah, namun mereka ada keberanian. Paling bahaya ialah mereka sukar dijangka! Ah, sudahlah!”

“Bersedia. Marin XI”

“Baik, tuan.” Kata marin mekanikal itu. Kapten Verkauf menggenggam tangannya memberikan isyarat berhenti dan bersedia.

Perhatian Kapten Verkauf terganggu. Ia mengesan gelombang frekuensi tinggi menghampiri kompeninya. Ia menoleh di sebelah kanan jalan. Seorang wanita dan tiga kanak-kanak merentasi runtuhan bangunan. Mereka sesat di tengah-tengah sengit pertempuran. Bagaikan pelanduk tersepit antara dua gajah.

“Manusia!” kata seunit marin mekanikal.

“Musuh, tuan!”

Kapten Verkauf terdiam, “Tuan, mereka adalah musuh. Beri arahan kepada marin mekanikal,” seru cyborg Skuad Tangan Hitam itu.

“Tuan, mengikut protokol doktrin Empayar, arahan adalah wajib dilakukan tanpa soal!” desak cyborg itu lagi.

“Kapten Verkauf, tindakan anda menyalahi algoritma Empayar akan diambil tindakan. Arahan daripada Jeneral Erroten, demi Maharaja dan Empayar, semua manusia di bandar ini mesti dihapuskan. Mereka ada penderhaka yang menyusahkan,” ALGOTRITMA bersuara. ALGORITMA adalah program cip doktrin Empayar yang mengawal aktiviti cyborg melalui sistem pangkalan pusat. Sebarang proses, manipulasi logik, komunikasi dan tindakannya akan diketahui oleh sistem.

“Amaran. Sama ada Kapten Verkauf mematuhi arahan, ataupun menghadapi hukuman berat bawah Akta Prejudis dan Khianat 89. Hapuskan musuh di 100 meter di koordinat (100, 84.209). Lakukan dalam 10 saat,” desak ALGORITMA.

Kapten Verkauf masih diam. “Ayah!” terasa bak renjatan arus yang kuat mengalir kerangka cyborgnya. Kedengaran suara itu di gegendang telinganya. Dahinya berpeluh. Raifal dipegangnya kemas-kemas.

=================================================================

>> [VERKAUF]AKU TIDAK MAMPU

>> [ALGORITMA] LAKUKAN. DEMI MAHARAJA

>> [VERKAUF] TIDAK. AKU JUGA MANUSIA SEPERTI MEREKA. MEREKA TIDAK BERSENJATA

>> [ALGORITMA] LAKUKAN. DEMI EMPAYAR YANG AGUNG. ENGKAU TIDAK PUNYA APA-APA MELAINKAN TAAT KEPADA

MAHARAJA. DIALAH PEMILIK SEMESTA. DAN ENGKAU ADALAH TENTERANYA YANG HEBAT

>> [VERKAUF] AKU TIDAK MAMPU


=================================================================
“Amaran, 5... 4... 3...”

Kapten Verkauf memejamkan matanya, “Bunuh mereka.”

Aliran deras peluru menembusi tubuh manusia tidak berdosa. Mayat sekeluarga manusia terbujur kaku, angkara mesin-mesin yang tidak punya perasaan. Darah hangat membasahi jalanan. “Ha... ha... ha... ” marin mekanikal kompeni beramai-ramai melakukan simulasi ketawa. Simulasi ketawa kejam mereka tersekat-sekatt, tidak sesempurnya ketawa manusia.

Kapten Verkauf menghela nafasnya. Dengusnya agak kuat. Ia menyeru, “Heil Maharaja! Mara demi Empayar! Sekarang!

“Trrrrrrrr!” Marin mekanikal XI melepaskan tembakan bertalu-talu. Marin pertama bergerak.

“Bang!” kepala marin itu tercabut.

“Tidak guna! Satu lagi tumbang. Penembak tepat di hadapan. Marin XI, teruskan menembak! Marin lain, gerak, gerak, gerak! Heil Maharaja!” Kapten Verkauf menolak marin yang lain. Ia kemudian membidik dan menumbangkan beberapa orang pemberontak.

Marin mekanikal kompeni Kapten Verkauf berlari laju. Pantas mara tanpa pandang belakang. Mujurlah cyborg Skuad Tangan Hitam itu selamat ke seberang jalan. “Manusia lemah! Matilah kamu!” kata Marin V ketika melancarkan roket ke arah hover pemberontak. Letupan kuat menggegar bandar, turut mengorbankan beberapa pemberontak di sekitarnya. Marin XI dan Kapten Verkauf berlari melintasi jalan.

Mereka berlindung di dalam sebuah lubang yang merupakan kawah hasil letupan, “Formasi defensif. Awas, kemungkinan ada manusia di sini! Kita perlu berhenti seketika. Kita perlu jimat sel tenaga. Dedahkan sel solar kepada cahaya bintang.”

Tiba-tiba letupan besar menggoncang jalanan, disusuli dengan bedilan senjata ringan, “Apa itu?” Kapten Verkauf mengintai di sebalik dinding. “Kali ini hover meriam! Kompeni, berjaga-jaga!”

Hover meriam pemberontak menghampiri. Kompeni Kapten Verkauf terperangkap di lubang perlindungan mereka. Roket telah habis digunakan. Hanya senjata ringan sahaja yang ada. Jika ditumpukan tembakan pun, juga tidak mampu menewaskan kenderaan bersenjata itu.

Hover meriam jelas di pajera kekal Kapten Verkauf. Meriam kenderaan itu berpusing ke arah lubang perlindungan Kompeni Verkauf. Jantungnya bergoncang kuat. Peluh membasahi wajahnya. Tidak ada jalan keluar. Pilihan hanyalah satu: mati melawan, “Habislah...”

Bersambung, Algoritma TAQWA (2)

1 comment:

Puan Ainon Mohd. said...

“Marin V, setibanya kamu di sebelah sana, musnahkan hover itu dengan serta merta. Bidik dengan tepat. Itu adalah roket yang terakhir,” Kapten Verkauf memberikan arahan kepada kompeninya. (teknik konvensional)

Kapten Verkauf memberikan arahan kepada kompeninya, “Marin V, setibanya kamu di sebelah sana, musnahkan hover itu dengan serta merta. Bidik dengan tepat. Itu adalah roket yang terakhir.” (teknik surah Yusuf)