Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, November 25, 2008

BEDAH BUKU (3): Galaksi Muhsinin


Daripada blog Mandala Resensi "Ketika Kami Membaca Dan Menonton"

Permulaan cerita ini agak mendatar sedikit, berbentuk esei-dialog yang menceritakan serba sedikit sejarah kerajaan Islam Andalusia serta disulami dengan barisan dialog yang juga mendatar. Namun ia tidak berpanjangan, sejurus sahaja memasukki bab yang seterusnya, ia menghidangkan pergerakan plot yang pantas dan mendebarkan. Kisah perang di angkasa mewarnai hampir setiap bab tanpa sempat bertangguh lagi.

Ya, itulah kekuatan novel Fiksyen Sains yang bergerak atas dasar peperangan di angkasa ini. Bermula dengan kesombongan Mahara Legion yang mahu menakluki seluruh galaksi termasuklah Galaksi Muhsini, menyebabkan berlakunya pertempuran hebat. Setelah Galaksi Muhsinin campur tangan terhadap serangan Maharaja Legion terhadap beberapa planet di galaksi yang menjadi naungannya. Jelas ternyata novel ini menyuntik unsur-unsur Islami secara bijak dan cermat. Meskipun beberapa ayat-ayat Qur'an disulamkan secara langsung, namun ia mengindahkan lagi novel ini. Walaupun saya tidak berapa gemar cara tersebut namun saya fikir Galaksi Muhsinin tidaklah terlalu banyak memasukkan ayat-ayat Qur'an dan nas secara langsung, namun saya lebih gemar cara kedua, iaitu penulis memasukkannya ke dalam dialog dan menjadi sebahagian daripada garapan novel ini. Saya percaya cara ini akan lebih mendatangkan kesan berbanding dengan stail dan pengolahan yang bersifat didaktik.

Pun begitu, saya amat teruja dengan isi cerita novel ini yang menyajikan kita dengan kepelbagaian unsur dan tampilan yang kuat dalam era penggunaan senjata dan peralatan moden dalam bertempur. Saya sedikit terpegun dengan istilah-istilah yang digunakan, kerana jarang kedapatan dalam novel-novel fiksyen sains, seperti juga ketika membaca novel Jian, garapan Fadli Al-Akiti.

Walaupun ia bukanlah satu keutamaan dalam pencirian dan pengarapan novel, namun ia berjaya menarik perhatian saya untuk menjadi 'tidak sabar' dalam menyudahkannya hingga babak terakhir.Cuma babak-babak peperangan yang dihidangkan terlalu panjang, memakan hingga beberapa bab dan tidak sempat untuk benak saya melayang dalam mengenang keindahan berada di angkasa. Kepala saya sering tergambar bunyi amaran dan lampu merah yang menyala dalam kapal angkasa serta kapal pejuang yang menyatakan musuh dikesan dan berada dalam parameter protagonis. Bagi saya tidak menjadi masalah, namun bagi pembaca yang baru hendak berjinak dengan genre ini pasti akan merasa letih dalam membayangkan tembakan laser yang berceridau, letupan demi letupan, kejar mengejar kapal angkasa serta jering raung dan pekik akibat terkena tembakan. Tidak mengapalah tentang itu, untuk saya tidak menjadi masalah.Dari segi penggarapan, gaya bahasa - ia amat meyakinkan dan sesungguhnya saya menantikan sambungannya sekiranya ada lagi.

Ya, seperti yang saya katakan di entri yang lepas, ini juga merupakan salah satu novel fiksyen sains yang WAJIB dibaca selepas, Opera Angkasa dan Jian. (Eh, pagi saya ke Kino, Fadz ... tapi tidak berjumpa dengan novel Saga Horizon anda, mana ya?) Walaubagaimana pun tahniah kepada Azrul Jani yang menghidangkan karya yang selazat ini.


Komen daripada blog tersebut:

Daripada blog Bunnybaby


Salam SF.

Saya masih membacanya, tapi tersangkut di halaman 9. Tak bergerak-gerak dah
beberapa hari. Ayat-ayatnya kurang memberangsangkan minat saya untuk terus
membaca. Ini adalah percubaan kedua saya untuk membacanya. Kali pertama dulu pun
terhenti sehingga halaman 9 juga. Langsung giliran buku ini dipotong oleh Opera
Angkasa.Saya langsung jadi skeptik, walapun beberapa ulasan yang saya baca
positif kesemuanya. Entahlah, mungkin saya seorang yang bakal menongkah arus
nanti, kerana saya dapat bayangkan ulasan saya akan banyak berbaur kritikan.
Bagaimana ya? Haruskah saya teruskan ulasan tersebut?


Balasan daripada Resensi (untuk komen Bunnybaby)




Memang benar struktur ayatnya agak menjemukan pada permulaan bab yang
terawal tetapi apabila sudah pertengahan ia menjadi seronok. Saya fikir novel
ini suatu yang mengujakan tetapi gaya bahasa 'mahzab PTS' sahaja yang
menyebabkan ia kelihatan kaku dan keras adakalanya. Saya akui perkara itu tetapi
bacalah secara keseluruhannya. Selamat mencuba. Ya, teruskan sahaja kritikan
itu, sekurang-kurangnya ia adalah suatu pandangan yang tulus dari seorang
pembaca yang telah melaburkan duitnya pada novel tersebut. Pandangan dan
kritikan adalah hak seorang pembaca. Jika sudah terbit, bermakna ia berani untuk
dikritik. :)


NOTA: Terima kasih kepada Resensi dan Bunnybaby atas sokongan anda. Ini adalah karya pertama saya, tentunya banyak lagi yang perlu dibaiki.

No comments: