Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, November 25, 2008

[ESC] Algoritma TAQWA (2)

Algoritma TAQWA (1)

Bandar Imker,
Planet K-Oja,
Galaksi Dexclos,
Wilayah I, Empayar Sibernatik Cyborg
Jam 1622


Tiba-tiba letupan besar menggoncang jalanan, disusuli dengan bedilan senjata ringan, “Apa itu?” Kapten Verkauf mengintai di sebalik dinding. “Kali ini hover meriam! Kompeni, berjaga-jaga!”

Hover meriam pemberontak menghampiri. Kompeni Kapten Verkauf terperangkap di lubang perlindungan mereka. Roket telah habis. Hanya senjata ringan sahaja yang ada. Jika ditumpukan tembakan pun, juga tidak mampu menewaskan kenderaan bersenjata itu.

Hover meriam jelas di pajera kekal Kapten Verkauf. Meriam kenderaan itu berpusing ke arah lubang perlindungan Kompeni Verkauf, “Habislah...”

Belum sempat mereka berbalas tembakan, hover meriam tiba-tiba mengalihkan meriam ke arah jalan, kemudian beredar cepat. Kemudian kedengaran bedilan deras dari arah jalan.

Gegaran demi gegaran terasa. Bumi bergoncang secara beritma. Seakan-akan ada sebuah raksasa besar yang datang menghampiri, membaham sesiapa sahaja di hadapannya. “Apa yang terjadi?” tanya cyborg Skuad Tangan Hitam itu. Di tangan bioniknya sudah bersedia menarik picu pelontar api.

“Kapten Verkauf, Kapten Verkauf!” sayup kedengaran bunyi isyarat radio interkom Kapten Verkauf. Ia mengeluarkan antena mini di sisi pajera matanya untuk mendapat siaran yang jelas.

Kapten Verkauf berlari keluar dari lubang, disusuli kompeninya. Masing-masing mengacu senjata ke sudut-sudut bangunan sebagai langkah berjaga-jaga. Seunit marin menarik kelopak peluru dan kemudian memasukkan kelopak yang baru. Asap berkepul-kepul akibat api yang marak daripada hover yang musnah. Kapten kompeni itu bergerak ke sisi jalan dengan berhati-hati. Diimbasnya dengan sensor haba. Pada pajera matanya hanya ada ikon berwarna hijau terang unit kompeninya sendiri. Sebuah ikon asing berwarna kuning berbentuk segitiga bergerak perlahan ke arah lokasi kapten itu berdiri.

Ikon asing berwarna kuning pada pajera matanya tiba-tiba berkelip-kelip dan bertukar kepada warna hijau terang. “Shhh... Ini Kapten Verkauf. Sila perkenalkan diri.”

“Bantuan akhirnya sampai, ” kata cyborg Skuad Tangan Hitam.



Sebuah Mekatempur kelas ringan Lynx berada di tengah-tengah jalan. Tingginya 15 meter, dilengkapi dengan dua mesingan dual 20mm Oto-Gauss dan meriam ringan Gauss 50mm. Sebuah hac terbuka di bahagian atas robot yang besar itu. Seunit cyborg muncul daripadanya. Cyborg itu juga seperti Kapten Verkauf, hanya berbeza perisai aloi balistik yang lebih baik lantaran pangkatnya.

“Heil Maharaja!” laung kesemua anggota kompeni Kapten Verkauf sambil melakukan tabik hormat. Cyborg itu membalas tabik mereka. Kemudian anggota kompeni bergerak membentuk formasi bertahan dan memeriksa sekitar kawasan.

“Kapten Verkauf! Rupa-rupanya kamu masih hidup lagi! Sudah 48 jam kompeni kamu terpisah. Kami mengesan kalian beberapa jam yang lalu. Batalion ini semakin mengecil kerana korban tinggi. Sekarang amat penting mencari saki-baki yang ada. Tinggal ini sahaja kompeni kamu?”

“Ya, Leftenan. Hanya saya, empat marin mekanikal dan seunit Skuad Tangan Hitam. Kami telah membolosi beberapa kali kepungan pemberontak. Seunit demi seunit pegawai cyborg tumbang dan menyebabkan platun marin mekanikal kompeni lain juga terpaksa digabung. Bekalan peluru pula semakin menyusut. Jurutera mekanikal pula telah dimusnahkan sejak awal-awal lagi. Kami hanya bergantung harap kepada sel-sel tenaga yang masih elok daripada anggota yang tumbang.”

Leftenan itu mengangguk, “Agak-agaknya mereka telah mengetahui kelemahan kita.”

Tanya Kapten Verkauf, “Di manakah bantuan lain? Mengapakah tidak ada bantuan sejak beberapa hari ini?”

“Sebenarnya... kesemua tentera mekanikal yang dihantar ke Galaksi Muhsinin telah dimusnahkan.”

“Apa? Tidak mungkin!” tempelak Kapten Verkauf.

Leftenan itu menjelaskan, “Jahanam! Mujahidin telah menghancurkan mereka. Walhal bilangan kita berlipat kali ganda. Maharaja Legion pula cedera parah. Berita tersebar dengan cepat sekali. Oleh sebab itu orang koloni mengambil kesempatan untuk membebaskan diri.”

“Organisma lemah! Pulas sedikit tangan mereka sudah tercabut!” cyborg Skuad Tangan Hitam mencelah.

Tiba-tiba kedengaran bunyi amaran pada instrumen kawalan Lynx, “Tiit... tiit... tiit...”

“Kapten Verkauf, formasi defensif. Penderia infantri Lynx mengesan beberapa kumpulan kenderaan. Pemberontak mara dari beberapa blok. Kita dikelilingi oleh musuh.” Sebuah hover meriam membedil ke arah Lynx, disusuli dengan tembakan senjata ringan. Beberapa orang pemberontak meredah timbunan runtuhan bangunan dengan agresif melindungi kemaraan hover. Kapten Verkauf dan kompeninya pula berhempas-pulas membalas tembakan mereka.

Hac Lynx segera ditutup. Mesingan dual Oto-Gauss 20mm memuntahkan peluru uranium. “Kapten Verkauf!”

“Ya tuan!” Kapten Verkauf mendengar daripada radio interkomnya, “Kita diarahkan untuk meloloskan diri ke timur bandar ini, kira-kira 8 kilometer. Di sana kita akan bergabung dengan unit yang lain. Tetapi kita harus bertahan dan terus melawan.”

“Mereka terlalu ramai, tuan!”

“Ah, pedulikan! Kita adalah tentera mekanikal Maharaja Legion! Aku akan asak mereka secara berdepan. Kompeni kamu akan awasi di rusuk sebelah kanan. Bersihkan bangunan daripada pemberontak. Jangan tunjukkan belas kasihan kepada mereka. Hapuskan semua manusia!”

“Heil Maharaja! Baik, tuan!”

Lynx mara secepat kilat. Bumi bergoncang dengan kuat apabila ia melangkah memijak tanah, sambil itu mengasak pemberontak dengan mesingan dualnya. Beberapa buah hover meriam muncul. Masing-masing membedil ke arah Lynx. Namun kecekapan cyborg itu memandu Lynx membuatkan sasaran mereka tersasar. Lynx itu menembak kesemua hover itu dengan ganas dengan paduan 50mm meriam ringan Gauss.

“Mara ke tingkat atas bangunan ini! Sensor saya mengesan isyarat yang mencurigakan,” Kapten Verkauf berlari menaiki tangga. Kemudian mereka menggeledah dari bilik ke bilik, tingkat ke tingkat. Di tangannya ada sepucuk pistol. Raifalnya telah kehabisan peluru.

“Kurang sejam lagi malam akan menjelma. Bermakna, kita tidak dapat mengecas sel tenaga kita. Hidupkan lampu sorot. Gunakan penglihatan visi normal. Visi malam menyerap banyak sel tenaga kita,” arah Kapten Verkauf.

“Di manakah ikon merah tadi?” Kapten Verkauf kehairanan. Ia mengaktifkan sensor habanya seketika. “Tingkat tiga! Di bawah!” dia beserta kompeninya meluru ke isyarat ikon yang dikesannya tadi.

“Trrrrr!” muncul tembakan senjata otomatik dari pintu bawah bersebelahan dengan tangga. Kompeni kapten membalas tembakan, namun tidak berhasil ditewaskan. “Biar aku panggang dia!”

Cyborg Skuad Tangan Hitam tampil ke hadapan. Dia menarik picu pelontar apinya, “Faaaaasss!” semburan api yang ganas deras membakar sesiapa sahaja di hadapannya. Cyborg itu menuruni tangga sambil melepaskan semburan api sambil ketawa terbahak-bahak, “Manusia lemah! Api pun dia tidak tahan!”

Tidak ada balasan tembakan lagi. Segalanya telah ‘disenyapkan’ oleh pelontar api. Cyborg itu meredah api yang membakar dan asap tebal ruangan tangga. Ia memasuki bilik yang dikuasai pemberontak tadi tanpa sebarang masalah. Kerangka cyborgnya direka khas dengan penebat haba khas, tanpa menjejaskan sistem elektronik dan sistem cyborgnya. “Kapten Verkauf, dua manusia tumbang. Boleh bergerak ke sini.”
Kapten Verkauf bersama marin mekanikal yang lain menuruni tangga. Termometer kerangka mereka mengaktifkan perisai tengkorak, perisai seramik dan liang radiator bagi melindungi sistem mereka daripada haba melampau.

“Hati-hati, mungkin ada yang lain.”

Kapten Verkauf terhenti. Ia mengesan satu isyarat aneh di satu sudut di bilik sebelah. Ia menggenggam tangannya mengarahkan mereka berhenti bergerak. Pistolnya dipegang erat. Pajera matanya giat mengimbas sebarang objek. Dengan perlahan mereka melangkah. Ia kemudian membidik ke satu arah. Tetapi akhirnya ia merendahkan pistolnya.

“Tuan, dia adalah musuh,” kata marin mekanikal. “Saya panggang dia sekarang!” kata Tangan Hitam.

Kapten Verkauf meneliti seketika“Frekuensinya aneh sekali. Ia bukan pemberontak. Tetapi seorang anak perempuan kecil.”

Pipi anak comel itu dibasai air mata yang hangat. Ia memeluk erat sebuah anak patung di pangkuannya. Ia menangis teresak-esak. Badannya kurus dan wajahnya comot.

Kapten itu tidak berkata apa-apa. Dia melangkah perlahan mendekati anak perempuan itu. Si anak perempuan tidak dapat melakukan apa-apa melainkan terus menangis. Ingin ia mengensot ke belakang, tidak ada lagi ruang untuk berundur.

“Dia adalah musuh, tuan!”

“Jeneral mengarahkan setiap manusia dibunuh!” marin mekanikal membidik anak perempuan itu.

“Diam! Saya mahu periksa dia. Siapa yang berganjak, dia akan mati di tangan saya!”

Marin mekanikal merendahkan senjata mereka. “Hairan... mengapa tuan ada belas kasihan?”

Seunit marin mekanikal bersuara. “Manusia itu sedang cemas. Apabila cemas, tubuh mereka akan merembeskan hormon adrenalin dan menyebabkan jantung mereka berdenyut dengan lebih pantas. Oleh sebab itu ia berpeluh dan tercungap-cungap.” Logik otak sintetiknya menyimpan data sedekmikian.

“Ayah!” Renjatan elektrik yang sama menyerang Kapten Verkauf. Suara itu kedengaran lagi. Ia lemah melutut di hadapan anak perempuan tadi.

Ia menyoal dirinya, “Ah! Apakah gangguan ini? Tidak!” Ia meraung. Ia merapati anak kecil itu, “Tidak... ” Buat pertama kali sejak bertahun-tahun, air mata mengalir deras daripada anak mata pegawai cyborg itu.

=====================================================

>> [VERKAUF] KE MANAKAH PERGINYA KEHIDUPANKU? CINTAKU?

>> [ALGORITMA] ENGKAU TIDAK SEPATUTNYA MEMPUNYAI MEMORI LAGI, VERKAUF! MEMORI ENGKAU ADALAH KOSONG LAGI GELAP. SEMUANYA DIISI DENGAN ALGORITMA! SEGALANYA DEMI MAHARAJA!

>> [VERKAUF] UNTUK MAHARAJA? UNTUK EMPAYAR? DENGAN MEMBUNUH DAN MENYEKSA MANUSIA LAIN?

>> [ALGORITMA] ENGKAU MILIK MAHARAJA LEGION! CYBORG BANGSA TERUNGGUL! ORGANISMA LEMAH SEPERTI MANUSIA INI HANYA SELAYAKNYA JADI HAMBA!

>> [VERKAUF] KENAPA HIDUP INI HARUS DIHAMBA DEMI SEORANG MAHARAJA?

>> [VERKAUF] KENAPA AKU BERADA DALAM MESIN INI? APA SALAHKU?

Program ALGORITMA itu tidak dapat menjawab apa-apa:

>> [ALGORITMA] AMARAN KEPADA ENGKAU, VERKAUF. ENGKAU BOLEH DIDAKWA DAN DISEKSA KERANA MENYALAHI PROTOKOL ALGORITMA CIP DOKTRIN EMPAYAR.

>> [VERKAUF] TIDAK. AKU ADALAH BEBAS MERDEKA. AKU PUNYAI KEHIDUPAN!


=====================================================

ALGORITMA, program cip doktrin Empayar cuba menguasai dirinya. Ia melawan. Ia tersedar, bahawa hidupnya bukan untuk si firaun Legion. Ia tidak mempedulikan ancaman ALGORITMA yang tertanam di kepalanya.

Ia membelai dan mengusap rambut si anak. Air mata meleleh membasahi pipinya. Air mata hangat berderai di jemari si anak yang comel. Anak itu menyeka air matanya. Pegawai diam. Ia teringat. Ia teringat. Ia teringat. Ia punyai kehidupan.

“Tuan, kenapa Tuan semakin hilang fokus?”

“Tuan, adakah ia benar-benar musuh?”

Pegawai mengambil pistol di sisi pinggangnya, “Tidak. Engkau semua musuhku!” ia membidik ke salah satu marin mekanikal.

“Tuan! Tuan telah menyalahi ALGORITMA cip doktrin Empayar. Bawah Akta Prejudis dan Khianat 89, kami akan membawa Tuan ke muka pengadilan,” kata seunit marin mekanikal. Kesemua anggota kompeni membidik ke arahnya.

“Baik engkau menyerah, cyborg! Tentu litar engkau rosak. Mustahil engkau normal. Dia adalah musuh. Kenapa engkau enggan bunuh? Kenapa engkau berpihak kepadanya? Biar aku panggang dia!” ancam cyborg Skuad Tangan Hitam.

“Kamu semua hanyalah mesin-mesin bodoh dan hamba-hamba Empayar. Kamu hanya tahu logik dan data. Kamu tidak tahu kehidupan yang sebenar! Aku adalah seorang bebas merdeka!”

Tiba-tiba gegaran berlaku. Letusan di pintu tangga. Kesemua mereka menoleh ke arah letupan. “Musuh!”

Insya-Allah...penghabisan dalam Algoritma TAQWA (3)...

No comments: