Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, November 26, 2008

[ESC] Algoritma TAQWA (3) - Penghabisan



Algoritma TAQWA (1)
Algoritma TAQWA (2)

Bandar Imker,
Planet K-Oja,
Galaksi Dexclos,
Wilayah I, Empayar Sibernatik Cyborg

“Baik engkau menyerah, cyborg! Tentu litar engkau rosak. Mustahil engkau normal. Dia adalah musuh. Kenapa engkau enggan bunuh? Kenapa engkau berpihak kepadanya? Biar aku panggang dia!” ancam cyborg Skuad Tangan Hitam.

“Kamu semua hanyalah mesin-mesin bodoh dan hamba-hamba Empayar. Kamu hanya tahu logik dan data. Kamu tidak tahu kehidupan yang sebenar! Aku adalah seorang bebas merdeka!”

Tiba-tiba gegaran berlaku. Letusan di pintu tangga. Kesemua mereka menoleh ke arah letupan. “Musuh!”

Kapten Verkauf menembak tepat ke arah kepala Tangan Hitam, kemudian dengan pantas seunit marin mekanikal jadi sasarannya. Kedua-duanya serta-merta rebah. Dua marin mekanikal lagi meluru ke arah koridor tangga. Bilik masih diselubungi asap. Kapten menetapkan pajera penglihatannya kepada mod infra merah. Kedua-dua marin mekanikal tadi rebah. Ia tidak mendapati ada tanda-tanda pemberontak. Mungkin mereka telah lari.

Lantas ia mendapatkan anak perempuan itu. “Ah! Ia sudah pergi!” anak perempuan itu berlumuran darah. “Siapakah yang membunuhnya?”

Kapten Verkauf menatap mayat si anak. Ia mengesan isyarat. Ada sekumpulan manusia di luar, desisnya.

“Pembunuh! Kenapa kamu datang memperhamba dan menyembelih orang lain?” kata seorang pemberontak dengan marah. Kapten Verkauf mengimbas bahawa terdapat empat muncung senjata ditujukan tepat kepadanya.

“Kota ini milik kami. Tentera mekanikal telah berundur sepenuhnya. Kebenaran dan keadilan tetap akan menang. Kami bukan hamba Empayar lagi!”

Tempelak seorang pemberontak lagi, “Kamu ini pembunuh. Kamu membunuh anak yang tidak berdosa ini!”

Jawab Kapten Verkauf, “Tidak. Aku tidak membunuhnya! Mereka inilah yang membunuhnya!”

“Bohong! Engkaulah yang memimpin mereka!”

Pegawai cyborg itu melemparkan pistolnya dan merangkul si anak. Air matanya menitik.

“Lepaskan anak itu! Tanganmu terlalu kotor dengan darah kami. Lepaskan!”

Jerit seorang di kalangan mereka, “Kamulah bencana alam!”

“Tuan, bukannya bencana alam, tapi ‘bencana kepada alam’.”

“Sudah, diam! Jangan nak betulkan tatabahasa aku sekarang!”

Tidak ada yang dapat menyelamatkan Kapten Verkauf sekarang. Kata seorang pemberontak, “Pembunuh, aku tamatkan riwayat engkau sekarang!”

“Tembak!” raifail AK-470 pemberontak deras memuntahkan peluru. Mereka menarik picu sepuas-puasnya. Tempik pemberontak geram menunai dendam bergema di kala senja.

“Yaaaaa! Habislah engkau!”

“Shhh...”

====================================================

>> SISTEM CYBORG RESET 37HO84



>> [VERKAUF] ENGKAU TEWAS, ALGORITMA. AKU BUKAN HAMBA LEGION. TAPI AKU HAMBA TUHAN.

>> [VERKAUF] ...

>> [VERKAUF] NAMA ASALMU ADALAH ABDUL RAHMAN VERKAUF. ENGKAU TERPISAH DARIPADA KELUARGAMU OLEH TENTERA MEKANIKAL. ENGKAU PULA DITUKARKAN KEPADA CYBORG PADA 2202.

>> [VERKAUF] ALGORITMA TELAH MEMAKSA ENGKAU PATUH KEPADANYA. DAN ENGKAU TURUTI JUGA. BETAPA ENGKAU MENYUSAHKAN RAMAI MANUSIA.

>> [VERKAUF] ADAKAH ADA RUANG UNTUKMU VERKAUF?

>> [VERKAUF] ...

>> [VERKAUF] OH TUHAN. ADAKAH RUANG BAGIKU UNTUK TAQWAKU?

>> [VERKAUF] ADAKAH SEMPAT BAGIKU BERIMAN KEPADA-MU DAN RASUL-MU DENGAN SEBENAR-BENARNYA?

>> [VERKAUF] ADAKAH SEMPAT UNTUKKU KEMBALI KEPADA PETUNJUK KITAB-MU AL-QURAN?

>> [VERKAUF] ADAKAH SEMPAT AKU TAFAKUR DALAM SOLATKU?

>> [VERKAUF] ADAKAH SEMPAT UNTUKKU BERIKAN HARTAKU UNTUK UMAT MANUSIA?

>> [VERKAUF] WAHAI TUHAN. ADAKAH RUANG BAGIKU UNTUK KEMENANGAN TAQWAKU?

>> [VERKAUF] ENGKAULAH TUHANKU, YA ALLAH. ENGKAULAH PENERIMA TAUBAT.

>> [SISTEM] AMARAN. SISTEM BERADA DI TAHAP MERAH. BAKI BENDALIR BADAN IALAH 23%. OKSIGEN BERKURANG DENGAN MENDADAK KE PARAS BAHAYA.

>> [VERKAUF] AKU BERSAKSI TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH. DAN AKU JUGA BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH-MU.

>> [VERKAUF] ...


>> [SISTEM] BENDALIR 2%. OKSIGEN 0%. SISTEM PADAM.

====================================================



Pemberontak berhenti menembak apabila kehabisan peluru. Yang keluar daripada muncung raifal hanyalah asap tipis. Si cyborg seakan terpaku tersenyum seorang diri. Nyawanya telah terpisah daripada jasad. Di pangkuannya si anak kecil terbujur kaku. Pemberontak kehairanan. Mereka terpinga-pinga. Bahkan mereka terdiam sejenak memikirkan.

Mereka hairan mengapakah si cyborg itu pada saat akhir telah memalingkan badannya agar jasad berdarah si anak kecil tadi tidak terkena tembakan, bahkan dirinya. Mereka selamanya tidak percaya. Mana mungkin cyborg boleh melawan ALGORITMA cip doktrin Empayar. Mana mungkin manusia separa mesin ini masih tersimpan sisa-sisa kasih sayang. Mana mungkin.


Alhamdulillah, tamat. Segala kekuatan adalah daripada Allah.

No comments: