Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, September 15, 2014

IRONMAN(2008) & TERORISME


Satu lagi karya fiksyen sains yang menjadikan tema terorisme ialah filem Ironman (2008). Secara khusus, pihak antagonis (yang sering menimbulkan konflik) adalah berimejkan orang Islam yang merupakan anggota teroris 'Ten Rings.' Ini tidak dapat disangkal lagi, dengan nama, pemakaian, dan 'gaya' yang merujuk kepada sekelompok tertentu yang dianggap sebagai Muslim. 
WTC pada 9/11
Ini tidak lain, adalah sebagai tindak balas kepada peristiwa 9/11 ataupun 11 September 2001, apabila kononnya dua buah pesawat penerbangan awam telah melanggar (dan cair) Pusat Perdagangan Dunia (World Trade Centre - WTC). Peristiwa tersebut telah menjadikan Islam sebagai sasaran, dituduh agama keganasan. Titik hitam tersebut telah menatijahkan penjajahan atas dua buah negara Muslim, iaitu Afganistan (2001) dan Iraq (2003).

Ironman mengisahkan seorang jurutera jutawan Tony Stark, yang genius dalam mereka bentuk dan membina senjata kemusnahan berteknologi tinggi telah ditawan di Afghanistan usai majlis demonstrasi peluru berangkainya.

Konvoi tentera Amerika Syarikat yang dinaikinya telah diserang hendap dan Stark telah ditawan oleh kumpulan pengganas 'Ten Rings'. Bermula satu episod baru Tony Stark, apabila terpaksa hidup dalam penjaga gua. Ia telah dipaksa mereka misil yang serupa daripada bahan-bahan bengkel sahaja. Sebaliknya, Stark telah membina sebuah sut baju besi yang mampu menentang musuh dan kebal.
Sekembali Tony Stark selamat dari Afghanistan, ia telah mereka bentuk sendiri sut yang disempurnakan, yang lebih anggun, berkuasa tinggi dan lincah. Pada suatu hari, Tony Stark telah menonton siaran langsung sebuah kampung di Afghanistan diserang oleh pengganas dengan misil Jericho yang dihasilkan oleh kilangnya. Lantas dengan rasa yang marah melihat kezaliman itu, ia memecut terbang dan pergi membanteras kejahatan itu. Akhirnya, kampung tersebut dibebaskan oleh wira Tony Stark yang menggunakan sut berwarna merah tersebut.

Dalam keghairahan Amerika Syarikat menegakkan benang yang basah untuk mengiakan penjajahan di Afghanistan (2001) dan Iraq (2003), filem ini merupakan manifestasi kepada propaganda bahawa mereka adalah pejuang kebebasan dan keadilan. Beberapa ironi yang menjadi persoalan:

1. Kisah Tony Stark membina sut tempur di gua Afghanistan ditonjolkan akan keunggulan Amerika Syarikat sekalipun dalam keadaan serba kekurangan. Orang Islam yang digambarkan sebagai anggota 'Ten Rings' tetap sahaja hanya menggunakan kekerasan dan tetap meletakkan diri sebagai pengguna sahaja. Akhirnya, senjata memakan tuan.

2. Ironman sebagai simbol Amerika Syarikat berazam mahu membebaskan masyarakat dunia daripada keganasan, secara khusus adalah daripada pengganas Islam. Tetapi hakikat realiti yang sebenar adalah mereka adalah penjajah yang paling jahat menakluk dengan justifikasi yang penuh dengan penipuan. Mereka mengatakan bahawa Afghanistan adalah sarang pengganas. Walhal negara Muslim tersebut terhimpit dengan kemiskinan, tetapi mereka sebenarnya mahukan hasil bumi petroleum. Iraq dikatakan negara paksi kejahatan. Tetapi maksud dan niat mereka juga sama, iaitu merobek kekayaan di perut bumi emas hitam Iraq.

3. Seorang yang bermoral rendah iaitu kaki judi, kaki botol dan kaki perempuan, iaitu Tony Stark adalah wira kepada orang Islam. Manakala orang Islam yang digambarkan sebagai pengganas 'Ten Rings' adalah manusia-manusia jahat yang membelenggu keamanan dengan tindakan ekstrem mereka.

Sungguhpun perkara ini jelas terpampang, namun kita masih lihat simbol Ironman (baju, barangan dsb) masih lagi ada di mana-mana, digunakan pula oleh orang Islam. Jika dahulu Ironman menghadapi 'supervillain' dalam komik. Sekarang tampak secara realiti, ia sedang menyerang pemikiran umat Islam.

GLOBAL LIBERATION ARMY, COMMAND & CONQUER GENERAL



Mungkin generasi kini tidak lagi mendengar game fiksyen sains ini, iaitu Command and Conquer General yang dibangunkan oleh EA Games. Secara khusus, game ini memaparkan imej Islam akan tentera teroris Global Liberation Army, GLA. Pihak selebihnya adalah tentera Amerika Syarikat dan China. Berkemungkinan besar, GLA adalah sinonim kepada pengganas al-Qaeda.

GLA secara langsung melemparkan fitnah dan hinaan kepada umat Islam. Bangunan-bangunan GLA berupa masjid. Askar-askarnya pula berimejkan Muslim, dapat dikenal dengan berserban. Perjuangan digambarkan adalah perjuangan terdesak dengan menggunakan bom manusia (suicide bombers), rusuhan awam dan senjata kimia. 

Penulis pernah mencuba menelusuri game ini pada 2001, tidak lama sebelum berlakunya peristiwa gelap 9/11, apabila kononnya dua buah pesawat penerbangan awam telah dirampas, dipandu dan melanggar kompleks World Trade Centre, New York. Agak menggerunkan dan meremang bulu roma, apabila melihat salah satu misi tersebut telah ada tertanam bahawa Iraq akan dijajah oleh Amerika Syarikat. Mimpi ngeri tersebut menjadi kenyataan, apabila Iraq dijajah pada 2003.
'Pasar Gelap' ataupun bangunan Black Market GLA. Apakah
motif meletakkan kubah atasnya. Kerana kubah adalah simbol
Islam.
Betapa game juga berbahaya jika tidak ada tapisan dan sensitiviti serta maruah kita. Betapa sehingga tahap ini agama Islam yang luhur diperkotak-katikkan. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menambah lagi imej buruk akan Islam. 

Unit Rebel, tidak jauh
beza dengan mujahidin
Afghanistan
Islam mengajar kita keamanan dan kesejahteraan. Islam mengajar kita untuk maju berlandaskan landasan-Nya. Islam melarang kita melakukan perkara ekstrem. Jihad dilancarkan ada peraturan, adab dan hadnya yang telah ditonjolkan oleh Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat Baginda s.a.w.

Jika ada orang yang mengaku Islam yang melakukan perbuatan ekstrem, maka kesalahan itu sepatutnya bukan dilemparkan kepada agama Islam yang suci lagi luhur, tetapi penganutnya yang jahil akan hakikat Islam dalam kehidupan.

GUNDAM 00 dan 9/11


Bermula di Republik Krugis, sekumpulan pejuang KPSA sedang bertarung dengan maut. Mereka menghadapi gerombolan jentera robot gergasi, Mobile Suit MSER-04 'Anf' milik negara Azadistan yang menjajah. Di sebalik perang itu, dilaungkan seruan 'perang suci' dan seakan-akan membawa makna 'jihad.'


Dalam kecamuk perang, seorang kanak-kanak bernama Soran Ibrahim berlari-lari terdesak mencari perlindungan. Akhirnya, dilafaznya satu ungkapan yang menggelincirkan iman iaitu,

"Dalam dunia ini... tidak ada tuhan..."


                                       
Fiksyen sains Gundam 00 diterbitkan pada 2007 oleh Sunrise. Siri animasi tersebut adalah reaksi kepada fenomena 9/11 ataupun 11 September 2001 yang berlaku kira-kira 13 tahun yang lampau. Dalam Gundam 00, umat Islam digambarkan 300 tahun akan datang adalah kaum yang terdesak, jumud, miskin, mundur, terlalu bergantung dengan orang lain, dirundung perpecahan dalaman dan mudah diperkotak-katikkan. Tidak kurang juga, dipaparkan aktiviti keganasan yang dinisbahkan kepada seruan 'jihad.'

                                          
Peristiwa pahit itu telah memalitkan kekotoran terhadap agama Islam yang luhur, apabila sekumpulan manusia fanatik yang menggelarkan dan menampilkan diri sebagai pejuang agama 'berjuang' atas landasan kebatilan. Mereka mengaku Muslim, tetapi tersasar daripada cara dan etika, dengan menyebarkan aktiviti keganasan. 


                                         

Akhirnya, peristiwa tersebut memberi impak yang amat mendalam. Afghanistan dilanggar pada 2001. Iraq pula dijajah pada 2003. 

                                           

Namun demikian, di sebalik peristiwa 9/11 ini merundung fitnah kepada Islam, kini Islam adalah agama yang paling pantas tersebar di bumi Amerika Syarikat. Sungguh, itulah percaturan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa!

Monday, September 8, 2014

Tempias Gundam 00 terhadap Islam dan Muslim



 Mukadimah

Gundam 00 (2007), animasi bersiri daripada pengeluar Sunrise memaparkan perjuangan sekumpulan kecil 'pejuang kebebasan' yang bernama Celestial Being menentang peperangan. Siri animasi sepanjang 2 musim ini merupakan ‘projection’ ataupun unjuran daripada zaman kini kepada zaman masa 300 tahun mendatang. Siri ini berlangsung dalam dua musim.

                                    
Apabila disebut Gundam, maka akan terbayang sosok jentera robot yang besar bertarung dengan kelengkapan canggih. Sejak 30 tahun yang lampau, sebutan 'Gundam' sudah membawa makna kepada jentera tersebut. Gundam 00 ini tidak ada perkaitan dengan siri Gundam lain seperti Gundam Seed. Istimewa Gundam 00 adalah, jentera mecha tersebut mempunyai dorongan daripada janakuasa relau Solar yang menggunakan sejenis material, iaitu partikel GN. Ciri khas ini menghasilkan zarah-zarah cerah berwarna kehijauan, yang menyerak radar dan komunikasi musuh.

Antara sorotan yang menarik adalah, siri ini mengandaikan bahawa di sebalik kecanggihan kehidupan manusia pada masa depan, mereka masih membawa sikap, peribadi dan cara yang sama: iaitu perbezaan diselesaikan dengan konflik dan perang. Gundam 00 membawa banyak perlambangan dan melemparkan banyak kritikan. Perlambangan dalam konteks fiksyen sains adalah merujuk kepada sesuatu pihak, dengan sifat, perwatakan sebagai contoh sesuatu bangsa. Nanti kita akan sebut perlambangan dan percontohan sekali.

                                     

Hakikatnya, kritikan tersebut memberikan maksud dan mesej kepada manusia masakini. Ini adalah antara ciri fiksyen sains dan method untuk menyampaikan kritikan kepada manusia zaman tersebut. Sepertimana jalan yang diambil oleh pengarang klasik, iaitu H.G. Wells yang banyak memberikan mesej kepada manusia rakus pada zamannya, bahawa teknologi jika disalah guna akan membawa mudarat kepada mereka sendiri.

Latarbelakang Gundam 00

Tetapi yang menjadi perhatian kali ini adalah kritikan Gundam 00 terhadap Islam dan Muslim, terutama dari segi terorisma dan pelbagai isu lain. Ini dapat dikesan melalui nama watak yang berbunyikan Islam, pakaian seperti orang Islam (berserban, bersongkok, pakaian kurta, jubah dan wanita bertudung) geografi negara, merujuk kepada Timur Tengah, Tidak lain tidak bukan, adalah membawa kepada perlambangan orang Islam.

Terlebih lagi, watak utama, iaitu Setsuna F. Seiei ataupun Soran Ibrahim adalah seorang yang asalan adalah beragama Islam, tetapi kemudiannya menjadi atheis[1]! Boleh jadi siri ini adalah respon dan cerminan kepada peristiwa terorisme 9/11 yang mengubah lanskap dunia sejak 2001. Iraq dan Afghanistan menjadi mangsa, dan kini kejahatan ISIS pula bermaharajalela di Iraq.


Sebelum kita melangkah jauh, elok kita kaji sejenak latar masa Gundam 00. Tahun tersebut adalah 2307. Pada zaman itu, sumber emas hitam, iaitu petroleum sudah luput. Manusia telah terbahagi kepada tiga blok kuasa besar. Setiap blok kuasa ini mempunyai sistem janakuasa solar gergasi yang mengorbit bumi. Sistem ini memberikan sumber kuasa baru yang tidak terbatas daripada matahari.
Tiga kuasa besar tersebut adalah:

                                       

1. Union, Union of Solar Energy and Free Nations : Union mewakili benua Amerika Utara dan Selatan. Pendek kata, mewakili Amerika Syarikat. Union begitu sinonim dengan polis dunia tersebut mempunyai armada yang besar, tidak ubah seperti Amerika Syarikat sekarang.
                                          

2. Human Reformed Legue (HRL): Berpusat di Shanghai, HRL adalah kuasa Asia yang mencantumkan Cina, Rusia, India dan negara timur dalam pengaruh kekuasaan mereka. Ciri HRL adalah jentera perang yang kurang canggih, tetapi dalam jumlah yang banyak. Ini akan dibingcangkan dalam entri mendatang.

                                          

3. AEU, Advanced European Union: Mewakili benua Eropah seperti Euro masakini.

Manakala negara yang di luar lingkungan ketiga-tiga blok kuasa ini dianggap sebagai bangsa yang mundur, tertindas, miskin dan dilanda kancah konflik yang berpanjangan. Terutama sekali negara Arab yang sememangnya adalah majoriti Muslim, yang dahulu adalah negara kaya dengan minyak. Namun menurut siri ini, 2307 minyak sudah hampir luput di muka bumi.

Beberapa perlambangan dan kritikan Gundam 00 terhadap Islam dan Muslim:


1. Ketidakstabilan: Republik Krugis, Azadistan dan KPSA 


Cerita bermula dalam episod pertama dalam musim pertama. Sebuah negara bernama Republik Krugis sedang dilanggar oleh tentera mekanikal daripada negara jiran Azadistan pada tahun 2301. Pembukaan beberapa minit tersebut  mempamerkan kepada kita, saat genting seorang askar kanak-kanak gerila KPSA yang bernama Soran Ibrahim berlari mencari perlindungan berjuang. 

                                      

Kita dapat memahami bahawa seruan daripada radio tersebut adalah seruan melancarkan ‘perang suci’ terhadap musuh agama, keyakinan bahawa mereka tetap akan menang kerana Tuhan.

Konflik tersebut seakan-akan membawakan konflik yang masih melanda di Timur Tengah sekarang. Republik Krugis dan negara Azadistan seperti puak pemisah Kurdis dan Iraq. Sejak dahulu lagi, bangsa Kurdis berusaha sedaya dengan cara gerila upaya untuk menegakkan negara mereka sendiri dan mempertahankan wilayah daripada kerajaan Iraq, terutama zaman pemerintahan rejim Saddam Hussein. 

Boleh jadi Azadistan ini juga diambil daripada sejarah yang pernah berlaku di negara Azerbaijan (rantau Kaukasus, selatan Rusia, timur Georgia, utara Iran). Iaitu percubaan membina sebuah republik ‘Azadistan’, iaitu Kerajaan Kebangsaan Azerbaijan Selatan oleh Syeikh Mohammed Khiyabani. 
                                            

Beliau cuba mewujudkan kerajaan tersebut pada 1917 tetapi diserap kembali oleh Azerbaijan setelah kematian beliau pada 1920. Azadistan dalam bahasa Parsi (Iran) bermaksud ‘tanah yang aman.’


2.  Pengganas 'Berwajah' Islam: Soran Ibrahim, Ali al-Saachez dan KPSA 


KPSA adalah organisasi gerila yang dipimpin oleh seorang militan yang dahagakan darah iaitu Ali al-Saachez. Untuk menyertai gerombolan ini, seseorang hendaklah membunuh ibu bapa mereka sebagai menunjukkan taat setia mereka. 

KPSA ini kemudian menjadi organisasi teroris antarabangsa, dan dikaitkan dengan siri pengemboman teroris di serata dunia. Sebuah badan yang ekstrem, yang mengorbankan banyak nyawa. Manakala Soran Ibrahim bukan sahaja mengorbankan ibu bapanya, tetapi turut mengorbankan pegangan akidahnya.

Tidak ubah seperti al-Qaeda pasca peristiwa 9/11 yang digembar-gemburkan oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah pertubuhan pengganas yang melakukan aksi terorisme. 

Ali al-Saachez, watak antagonis Gundam 00. Watak ini
adalah pengasas pengganas 'Islam' KPSA dan kemudian
menjadi askar upahan yang dahagakan darah dan suka kepada
konflik.
Al-Qaeda dan KPSA adalah entiti yang mencemarkan kesucian agama Islam dengan tindakan mereka yang dianggap sebagai perjuangan yang suci atau ‘jihad’ dengan mengatakan berlandaskan agama, tetapi dengan tafsiran sempit dan perbuatan melulu mereka. Akhirnya, kesucian agama Islam yang luhur dinodai kerana tindakan mereka yang melampaui batas.


3. Kemunduran, Kemiskinan dan Kemelaratan Timur Tengah: Azadistan


Kita dapat melihat daripada dua musim Gundam 00, bahawa orang Timur Tengah ataupun Muslim adalah umumnya kaum yang miskin, tertindas, menjadi pelarian, terlalu bergantung dengan kuasa besar (dependent), dilanda kemelut politik. Digambarkan seluruh Timur Tengah dalam keadaan tersebut, kerana kekayaan minyak petroleum sudahpun luput. Teknologi solar yang merupakan sumber kuasa utama telah berayun dimiliki sepenuhnya oleh kuasa non-Muslim.

                                        

Maka dalam kes Azadistan, pada 2307, Puteri Marina Ismail yang merupakan pemimpin negara tersebut terpaksa meminta pertolongan pihak Union (Amerika Syarikat) untuk membantu mereka. Namun percaturan jahat oleh tangan yang jahat oleh askar upahan yang mengambil kesempatan seperti Ali al-Saachez bersama ekstremis lain telah menimbulkan huru-hara. Lantas menimbulkan keraguan kepada Union untuk meneruskan bantuan mereka.

                                        

Kita lihat sahaja, betapa negara Arab tersebut digambarkan terlalu bergantung dengan kuasa luar, dari segi pengaruh kuasa, persenjataan dan eknomi. Azadistan dan Union seperti Arab Saudi yang bergantung dengan Amerika Syarikat. Dari segi persenjataan pula, Azadistan menggunakan robot meka gergasi jenis MSER-04 Anf keluaran HRL, tidak ubah seperti negara Republik Arab Mesir dengan Kesatuan Soviet (kini Rusia) sejak tahun 1950-an dahulu.

Hal ini secara umum tidak jauh bezanya dengan kita. Umat Islam masih terkebelakang, dibelit pula oleh masalah dalaman dan luaran. Pelbagai aliran yang wujud, baik dalam aliran agama, pemikiran dan fahaman politik. Penguasaan ilmu pula amat menyedihkan, lantas menjadikan mereka terlalu bergantung kepada kuasa luar ataupun teknolgi luar. Kelemahan tersebut mendedahkan mereka kepada risiko kehilangan maruah dan kedaulatan mereka sendiri. Sedangkan jika berpegang kepada agama dengan pemahaman dan cara yang betul, akan menjamin masa depan yang lebih cerah, dunia dan akhirat.  

4.  Perpecahan Perpaduan: Antara Progresif dan Konservatif
  

Berlaku konflik dalaman negara Azadistan. Ini disebabkan oleh perbezaan aliran politik yang membahagi negara tersebut kepada dua: parti konservatif dan parti reformis. Parti konservatif dipimpin oleh Imam Rasa Massoud Rachmadi. Imam Rasa mahukan perdamaian tetapi berkeras tidak mahu menerima perubahan. 

                                      

Manakala parti reformis dikepalai oleh pemimpin muda Puteri Marina IsmailManakala Puteri Marina Ismail pula mahukan perubahan progresif dengan kerjasama dengan blok kuasa besar. 
                                      
                                
Namun watak ini telah diculik oleh pengganas Ali al-Saachez (KPSA) dan menimbulkan huru-hara. Dalam keadaan ekonomi yang serba mundur, negara tersebut tidak dapat berkembang kerana masalah dalaman ini.

Perbezaan antara puak progresif dan konservatif mungkin tidak begitu ketara. Tetapi menurut siri animasi ini, seolah-olah pihak konservatif yang konon berpegang teguh dengan agama Islam adalah puak yang menolak kemajuan. Seakan-akan menjadikan kemunduran itu adalah sinonim buat orang Islam.


Agaknya begitulah yang berlaku di Timur Tengah sekarang. Kisah perpecahan Azadistan ini hanyalah cebisan kecil daripada bongkah ais yang besar. Konflik berbahagi mazhab akidah Syiah dan Sunni banyak menumpahkan darah. Perbezaan aliran politik dan fahaman asing seperti komunis, Marxist, sosialis, demokrasi liberal-sekular berhadapan pula dengan golongan Islamis (yang pelbagai aliran) menambahkan kebingungan yang sedia ada.

Sejak Pemberontakan Arab (Arab Revolt 1916-1918) yang dicetuskan oleh Lawrence Si Arabia. Lantas secara politik, Arab Muslim terbahagi mengikut sempadan politik yang kecil menurut negara masing-masing. Keruntuhan Daulah Uthmaniyyah (Ottoman Empire) pada 1922 oleh Kemal Attarturk telah membinasakan payung yang melindungi umat Islam. Keadaan yang berpecah-belah ini meletakkan mereka dalam lingkungan pengaruh kuasa besar, dan masih berlangsung sehingga sekarang.

Kebangkitan Arab ataupun Arab Spring yang berlaku sejak 2011 konon adalah perjuangan rakyat yang menjatuhkan diktator kuku besi, tetapi hakikatnya menghumban mereka kepada kuku besi yang lain. Sehingga kini, keadaan masih tidak tenteram. Lihat sahaja di Tunisia, Libya, Syria, Mesir, Yaman masih lagi bergolak. Syria, masih lagi dalam kancah perang saudara. Iraq dilanda perpecahan yang dahsyat dengan pelbagai pihak, tambahan lagi ancama ISIS yang konon berjuang untuk agama, tetapi banyak melanggar batasan kemanusiaan. Tidak hairan krisis Palestine masih lagi berlanjutan walau sudah lebih 60 tahun berlalu.


5. Krisis Akidah: Soran Ibrahim danSetsuna

  
Dalam beberapa minit yang awal episod pertama musim pertama Gundam 00, kita menyaksikan bahawa sekumpulan gerila KPSA berjuang di sebalik runtuhan kota Republik Krugis. Di kalangan itu adalah watak utama, iaitu Soran Ibrahim. Terdapat seruan ‘perang suci’ ataupun ‘jihad’ seseorang (Ali al-Saachez) bagi meniupkan semangat tentera mereka. Jika kita amati, bahawa perang tersebut tampak sebuah perjuangan agama, tetapi malangnya di sebalik kecamuk perang itu, Soran Ibrahim yang namanya seorang Muslim telah mengatakan, terjemahannya:

                           

“In this world... there is no God.”

“Di dalam dunia ini... tidak ada tuhan.”

Sepanjang perjalanan musim pertama Gundam 00, secara konsisten kita mendapati bahawa Soran Ibrahim yang kemudian dikenal sebagai Setsuna F. Seiei menjadi atheis (murtad) daripada agamanya yang luhur.

                                
 Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ‘dilema’ Setsuna dan keluarnya daripada agama mencerminkan krisis akidah yang berlaku dalam masyarakat Islam. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan kes murtad terutama di kalangan anak-anak muda. Ini mungkin disebabkan dengan goyahnya pendidikan agama dalam keluarga, desakan hidup dan pengaruh luar akhirnya menatijahkan mereka berpaling daripada agama kebenaran. Terlebih lagi kini banyaknya aliran fahaman ‘Islam’ pelbagai slogan, ada di kalangan golongan tersebut jauh dan longgar tafsiran seperti ‘Islam’ liberal dan plural yang berisiko menjerumuskan keruntuhan akidah.


Penutup

Begitulah beberapa sorotan yang dipancarkan daripada siri animasi fiksyen sains Gundam 00. Penulis amat berminat dengan siri ini, antaranya lantaran ada ‘perhatian’ penerbit Sunrise terhadap krisis yang dialami oleh umat Islam. Animasi tersebut juga memaparkan banyak isu lain dan boleh dikatakan sebagai karya fiksyen sains yang ‘berat’ dan membawa persoalan yang serius.

Ya, sekalipun mereka melemparkan seperti tohmahan terhadap Islam, tetapi kita dapat mengenal pasti bagaimanakah golongan non-Muslim (konteks ini orang Jepun) terhadap isu terorisme umat Islam dan Islam sendiri. Betapa lontaran tersebut adalah daripada persepsi, bukan kajian yang adil dan ilmiah yang tuntas bagi agama Islam.

Sesungguhnya Islam itu agama yang luhur, benar dan lurus. Islam membawa keamanan dan kesejahteraan, sepertimana yang telah ditonjolkan oleh Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w 1,400 tahun yang lampau. Jika ada masalah yang timbul, bukanlah agama yang suci itu yang pincang, tetapi berakar umbi kepada umat yang menganuti agama itu tidak berpegang teguh dan melaksanakan ajaran-ajaran mereka dengan sempurna.

Teringat rumusan daripada seorang ahli pemikir, cendiakawan ulung Ahli Sunnah wal Jamaah, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001) dalam kitab Risalah untuk Kaum Muslimin bahawa masalah mendasar kita adalah berpunca kepada kekeliruan. Kekeliruan akan membawa kepada keruntuhan adab (biadab). Dan biadab akan menjerumuskan salah memilih pemimpin. Dan akan berlaku ‘lingkaran jahat’ ataupun vicious circle yang akan menghantui kaum Muslimin sepanjang masa. Akhir kata, mari kita renung dua rangkap sha’ir yang beliau katakan dalam buku yang sama:

Sifat sejarah, menurut orang,                 
Ibarat pentas bermain wayang;                                                                                                         Cerita lampau dihurai dalang,                                                                                                                   'Pabila tamat segera diulang

Jika demikian mustahil pantang,                                                                                                               Giliran Islam pula mendatang;                                                                                                      Lakonan lama indah gemilang,                                                                                                                  Di layar dunia semula terbentang.



[1] Tidak percaya kepada ketuhanan. 

Wednesday, August 27, 2014

LUKISAN TEKNIK DAN 'ENGINEERING FEAT '

Lukisan kejuruteraan ataupun lukisan teknik adalah 'cetakan biru' bagi sesuatu reka bentuk sesuatu produk. Pada zaman sekarang, pereka ataupun jurutera akan menggunakan perisian (software) yang menyediakan banyak 'tool' ataupun perkakasan yang memudahkan pembinaan reka bentuk. 


Pereka boleh menggunakan pelbagai sudut dengan putaran 3 dimensi dan juga 2 dimensi. Tambahan pula, pereka boleh menjalankan 'simulasi' bagi bahagian yang bergerak. 

Di lukisan tersebut dilakarkan dengan tepat beserta dengan ukuran ataupun sudut. Jika objek tersebut besar ataupun kecil, skala akan digunakan. Manakala daripada lukisan tersebut, kita akan dapat melihat sisi yang ada lubang dalaman, celah dan sebagainya dengan garis putus-putus. 
                                  
Namun demikian, bagaimanakah pereka dan jurutera pada zaman dahulu terutama pembangunan pesat industri pada tahun 1930-an mereka cipta akan produk mereka? Mereka belum ada perisian canggih sepertimana industri sekarang. Yang ada, mereka mempunyai kemahiran melukiskan lakarang reka bentuk dengan ukuran dan sudut dengan tepat. 

Sebagai contoh, dalam bidang ketenteraan. Bayangkan, pelbagai bangsa mereka bentuk pelbagai jenis pesawat, kapal mahupun kenderaan automobil. Kesemuanya mempunyai cetakan biru 2 dimensi. Tentu ada rasa kekaguman apabila sebuah rekaan yang lengkap dan berfungsi dihasilkan, daripada lukisan 2 dimensi sahaja.

Satu 'engineering feat' ataupun pencapaian menakjubkan ketika Perang Dunia II adalah kebolehan jurutera bangsa Jepun dapat menterjemahkan skematik enjin jet Jerman dan menghasilkan sebuah jet buatan mereka. Menurut sumber, pada penghujung era Perang Dunia II, ketika Kuasa Paksi (Jerman, Itali, Jepun) mulai goyah dan diasak di pelbagai medan, sebuah ekspidisi kapal selam Jerman dan Jepun telah bertemu dan berjaya bertukar-tukar kelengkapan. Pihak Nazi Jerman telah menyerahkan pelan skematik jet pejuang terkini, Messerschmit Me-262 kepada Jepun.

                                    

Lukisan teknik tersebut berjaya tiba di tanah Jepun, dan daripada gambarajah 2 dimensi itu, juruterbang Jepun berjaya membina enjin jet yang seakan-akan sama! Sedangkan pereka Jepun tidak pernah melihat secara nyata ataupun mempelajari aspek teknikal pesawat tersebut. Akhirnya, dalam keadaan mendesak di ambang kekalahan, pihak Jepun telah menyiapkan dan menerbangkan prototaip jet sulung mereka dalam Perang Dunia II, iaitu Nakajima Kikka pada Jun 1945.

                                  

Friday, June 6, 2014

ZOMBIE: ANTARA FIKTIF DURJANA DAN MUKJIZAT





 Dewasa ini banyak filem baik tempatan mahupun antarabangsa giat mengetengahkan gejala zombie, paling mudah dicernakan adalah mayat hidup. Kebanyakan artikel ringkas pengenalan filem tersebut mengkelaskan cerita zombie ini sebagai 'fiksyen sains.'

                                   
Konon zombie ini terjadi apabila umumnya tersebar sejenis penyakit yang menjangkiti manusia dan kemudian menjadi mayat hidup yang mahu menjangkiti orang lain dengan cara menggigit. Dengan jalan yang terhuyung-hayang, keadaan badan luka dan berdarah, zombie menyeret kaki dan tubuhnya mencari mangsa. Dan gejala ini berterusan sehinggalah sekian manusia menjadi zombie. Boleh dikatakan, jiwa si zombie ini 'terseksa' kerana hidup pun tidak, mati pun tidak, terperangkap dalam kehinaan seperti itu.

Dalam majalah BBC Knowledge, Jilid 5 Isu 6 (m/s 48 - 54), terdapat satu ruangan yang cuba menjelaskan 'sains Zombie' itu adakah wujud secara saintifik. Diringkaskan, ya, ada asasnya(sedikit sahaja), tetapi akhirnya diolah-olah menjadi cerita dongeng. Majalah tersebut menyentuh kajian berkenaan di Haiti (pulau terletak di Lautan Carribean). Di Haiti, lagenda orang mati hidup semula adalah sesuatu yang biasa. Banyak cerita orang yang diisytihar mati dari segi klinikalnya, tetapi kemudian hidup kembali.                                                         

Tersebutlah satu kisah yang masyhur pada 1962, ada seorang budak lelaki diisytihar sebagai mati kerana mengalami komplikasi. Acara pengebumian telah diaturkan. Pada 1981, konon saudara perempuan kepada si mati telah berjumpa dengan seorang lelaki, yang mengakui nama si mati itu tadi. Perempuan itu terkejut kerana nama si mati tidak diketaui melainkan keluarganya sahaja. Si mati itu mengakui bahawa 'tidak mati' sebaliknya kemudian ia telah dijadikan sebagai zombie (hamba abdi) bekerja untuk tuannya.

Maka gemparlah dunia saintifik. Seorang pakar, Dr. Lamark Douyon, Pengarah Pscychiatric Institute di Portau-Prince telah membuat kajian akan kebenaran kes tersebut. Kajian telah mengesahkan bahawa 'si mati' itu memang bersaudara dengan perempuan tadi. Rupa-rupanya 'si mati' itu diperangkap oleh 'tuan zombie' yang memberikan sejenis ubat racun yang kompleks yang merosakkan mentalnya dan dibayangi hidup dengan halusinasi.

Kes seperti ini direkodkan sebanyak 25 kes sejak 1982. Sebahagian manusia yang dikatakan 'mati' ini menjadi normal semula. Terdapat juga kes seorang perempuan di Columbia (Amerika Selatan), yang diisytihar mati, tetapi 'hidup semula' di rumah mayat. Majalah tersebut menyatakan:

"... But far from being animated corpses like the zombies we often imagine, these patients are very much alive."

Secara kesimpulannya, cerita zombie mungkin ada sedikit asasnya. Jika didasari secara saintifik, seseorang itu telah diberi ubat/racun sehingga mentalnya menjadi rosak. Tetapi, manusia tersebut hidup, tidaklah sampai kepada tahap dalam fiksyen zombie menjadi mayat hidup yang mengerikan. Kisah zombie dibesar-besarkan sebagai penyedap rasa bagi mengaut laba untung yang besar menerbitkan cerita sensasi lagi seram ataupun lucu.

Jika ditilik daripada ciri-ciri yang mencirikan 'fiksyen sains', cereka yang berpaksikan zombie ini terkeluar daripada kerangka fiksyen sains. Bahkan lebih sesuai diletakkan sebagai 'pseudo'-fiksyen sains. 'Pseudo' membawa maksud 'palsu.' Berdasarkan perbincangan dalam BBC Knowledge tadi, tiada bukti yang kukuh bahawa zombie ini berpaksi kepada asas saintifik yang kuat. Hanya dengan sedikit penyataan kimia, kemudian diolah kisah itu mengikut selera rasa pengkarya. Apakah landasan moral ataupun falsafah yang didasari oleh karya-karya zombie ini? Yang ada hanyalah berkejar-kejaran, dihantui mayat berdarah dan ketakutan dijangkiti zombie. Lebih parah lagi, pelajar zombie menggigit gurunya! Apakah terkandung apa-apa mesej adab dalam adegan ini?

Satu kebimbangan fenomena zombie ini adalah timbulnya konflik kepercayaan dalam diri anak-anak, terutama anak kecil yang sedang membesar. Bagaimanakah jadinya akal mereka bertubi-tubi didedahkan seperti ini, tanpa imbangan agama yang sewajarnya? Adakah mereka lebih percayakan kewujudan zombie-zombie ini daripada percayakan kisah mukjizat para Rasul dan Nabi-nabi?
Menjadi tanggungjawab kita menanam benih-benih akan keimanan yang bersih. Salah satu jalannya adalah dengan cerita-cerita agung para Anbiya' yang bersumberkan daripada al-Quran. Biarlah anak-anak kita mempercayai kebenaran utusan Tuhan, daripada bulat-bulat menerima kebatilan yang tiada asas. Begitulah pancaroba zaman masakini.

Mari kita renungkan..