Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, May 10, 2016

[Cerita Latar] Renungan Si Zion Tua

Tahun 2205                                                                                                                               Kubu St. Elmo,                                                                                                                          Pulau Malta                                                                                                                             Bumi Lama

“Tuan, mereka telah ditemui.”

Seorang tinggi lampai beruban rambutnya, tebal bulu matanya sedang berdiri menghadap Laut Mediterranean. Angin bayu laut bertiup nyaman menerpa wajahnya. Camar berterbangan meniti air mencari mangsa di bawah alunan ombak. Suara orang muda itu tidak dipedulikannya.

“Siapa yang jumpa mereka?” tanya orang tua itu.

“Flotila Peninjau Cyborg ke-73, Tuan Konspirator Agung. Di Planet Ferum.”

“Jeneral Furious, ketua yang bongkak itu?” soalannya dijawab dengan anggukan orang kanannya.

“Tuan, saya menyangka tuan berasa gembira mereka telah ditemui. Tapi riak wajah tuan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.”

Orang tua itu menoleh, sambil melemparkan senyuman. Orang muda itu tiba-tiba berasa gemuruh.

“Orang kita sudah menyusup?” tanya orang tua itu.

“Sebelum Jeneral Furious tiba di Planet Ferum, orang-orang kita Ejen Salonika dan Ejen Navarino sudah bertebaran dalam galaksi mereka,” jawab orang muda.

“Oh... begitu. Bagus, Konspirator Xamirthurush. Kamu memang anak jati Zion. Sentiasa di hadapan. Sentiasa meletakkan tugas daripada kepentingan peribadi. Apakah yang ingin kamu laporkan?”

“Armada mereka...”

“Saya tanya soalan tentang risikan ejen kamu, boleh?” orang tua itu tiba-tiba menyampuk. Terpaksa Konspirator muda itu menghentikan laporannya.

“Silakan, Tuan Konspirator Agung.”

“Berapa banyak buku yang mereka ada?” air muka Xamirthurush berubah kehairanan. Ia tergamam. Adakah soalan ini waras?

“Dapatan risikan kami yang akan disahkan, menurut rakyat mereka, buku-buku mereka banyaknya bagaikan bintang-bintang di langit. Kami akan kira dengan tepat bilangan buku mereka.”

“Berapa ramai bijak pandai, orang alim, ulama atau cendiakawan?” kening Konspirator muda terangkat. Kenapa tak tanya soalan pertahanan musuh?

“Dikatakan banyaknya bagai lingkaran asteroid yang bertaburan di sistem solar. Ada yang besar dan ada yang kecil, Tuan Konspirator Agung.”

“Siapa pemimpin mereka?”     

“Khalifah Zulqarnain.”

“Terima kasih. Itu sahaja.” Tuan Konspirator Agung membuang renungannya ke lautan Mediterranean yang terbentang luas. Di sebelah timur adanya Tanjung Gallow dan Teluk Bighi. Ia menoleh ke arah selatan, Kota Birgu dan Kota Sanglea yang menempatkan Kubu St. Angelo dan St. Michael.

Hanya deruan angin yang melintas dan ombak beralun berdesir mencecah tebing. Konspirator Xamirthurush memberanikan diri bersuara, “Tuan, saya hairan mengapa tidak bertanyakan kekuatan mereka? Berapa kapal kapital armada? Berapa utuh pertahanan dan tentera mereka? Ataupun apakah senjata rahsia yang mereka ada? Sebaliknya tuan bertanya akan buku, bijak pandai dan pemerintah?”

“Tuan Konspirator Agung, mereka telah ditemui. Kewujudan mereka adalah ancaman kepada Jerusalem selagi mereka masih ada. Dan kita di Pulau Malta ini lebih jauh dari Zion. Mengapa kita tidak pilih Pulau Rhodes, Crete atau Cyprus yang lebih dekat? Lakukanlah tindakan kita seperti nenek moyang kita. Kita sudah lama bersedia. Dan masanya sudah tiba!”

Orang tua itu menghela nafasnya. Pandangannya ke lautan luas tidak berganjak. “Tuan Konspirator Xamirthurush.... anak Yahudi berdarah muda. Aku amat kagum darahmu yang sentiasa mendidih. Tuhan jadikan kita bangsa paling pintar dan terpilih. Maka gunakan akalmu dahulu sebelum kudratmu!”

“Demi Zion, Tuan Konspirator Agung, segala kehidupan saya adalah untuk Zion! Tuan berkuasa memanggil Sidang Protokol Zion untuk kita bersidang!” seru anak muda itu.

Jawab si Yahudi tua, “Menurut firasatku, Jeneral Furious akan tumbang. Mereka... bukan sahaja mereka. Tapi kita semua bakal senasib seperti mereka.”

“Adakah Tuan Konspirator Agung masih dirundung dilema Holocaust? Itu konspirasi ratusan tahun lampau!” balas Xamirthurush yang kebingungan.

“Masa kita sudah berakhir, Xamirthurush. Mereka sudah bangkit. Nampaknya lagenda Abduktor Manuskrip kira-kira seabad lampau benar belaka.”

“Lagenda seabad lampau?” tanya Yahudi muda.

Orang tua itu berbicara lagi, “Ya. Lagenda itu adalah fakta. Galaksi 822-UT adalah buktinya.”

“Seabad lalu, dalam diam mereka membina ujikaji Abduktor Manuskrip. Prototaip cyborg mereka bertujuan untuk mendapatkan kembali karya-karya klasik yang tersorok selama lebih satu milenia. Mereka ramai. Zion memburu mereka dengan Prototaip RSG... tapi ia dimusnahkan oleh penghulu mereka di Alam Melayu.

“Kita telah hantar orang-orang terbaik mereka ke angkasa. Dengan harapan mereka akan mati. Sebaliknya berlaku gelombang perintis Abduktor Manuskrip membina tamadun mereka di atas sana.”

"Aku teringat ibarat pepatah Melayu, Dihumban ke darat jadi gunung. Dihumban ke laut jadi pulau." Mereka ini... dihumban ke angkasa jadi tamadun!"

Yahudi tua menarik nafas seperti orang menyesal, “Sepatutnya awal-awal dihumban sahaja ke matahari!”

“Suatu masa dahulu kita meracuni ilmu yang suci. Ilmu disarukan dengan keraguan, andaian, dugaan dan sangkaan sekularisme. Keraguan diangkat sebagai pemikiran tertinggi. Kebebasan adalah kemuncak nilai manusia. Kita angkat ahli fikir yang keliru, dan kita katakan itu kebenaran. Ahli bijak pandai mereka yang Benar kita tohmah dengan kesesatan. Ulama palsu kita muliakan. Agama dilawan dengan sains. Akal mengatasi kalam Tuhan. Manusia tiada kaitan dengan Tuhan dan penentu nasib mereka sendiri. Ilmu yang rosak inilah merebakkan kerosakan. Pengetahuan diangkat jadi ilmu. Maka ilmu yang benar dibiar dan terkubur dengan sendirinya.”


“Kita tahu bahawa senjata akliah kita tidak mampu menahan gelombang kerangka fikir dan filsafat mereka yang ampuh. Setiap zaman hujah kita dipatahkan. Setiap zaman mereka tetap teguh meniti zaman. Para ulama mereka yang Benar mengarang karya klasik yang menjadi leksikon, pelita agung sepanjang zaman. Alim ulama Yahudi juga belajar daripada mereka." 

"Namun bezanya mereka berlabuh atas sauh keimanan. Keraguan, andaian, sangkaan dan syak diubat dengan keyakinan janji Tuhan. Mereka membina kefahaman dengan jitu dan murni berlandaskan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah, menyaring kembali dan menerbitkan kualiti tulen... sebagaimana kisah lama!”

“Adab dijulang tinggi, yang tiada pada kita. Wahyu diharmoni dengan akal. Khazanah digali dan digilap kembali. Ilmu mereka bertali sambung daripada guru kepada guru dan bersambung kepada Rasul mereka. Makanan mereka ilmu. Sendi mereka ibadat. Akal meninjau Kebesaran Tuhan. Sains dan teknologi menjadi alat. Dunia di tangan, bukan lagi di hati. Lidah basah dengan zikir. Gerak hidup mereka jihad yang murni. Dan pimpinan mereka dikemudi oleh sang khalifah. Orang-orang zimmi bawah mereka pun sudi bernaung tanpa banyak soal.”

"Rupa-rupanya Tuan... begitu mengenali mereka," celah Xamirthurush.

"Begitulah bangsa kita, Xamirthurush. Mana tidaknya. Ketika lahir Rasul mereka yang terakhir, pendeta kita amat kenal dia lebih daripada anaknya sendiri! Inikan pula umatnya yang hingusan ini!"

Sambung orang tua itu lagi, "Tapi... mereka ini lain. Mereka bukanlah sebarangan generasi... Mereka akan kembali ke sini nanti..." 

“Tidakkah engkau melihat semua ini, Konspirator muda? Agaknya engkau terburu-buru mahu melanggar mereka. Sedangkan tiga soalan itu sudah memadai untuk semua persoalan statistik engkau!” ujar Yahudi tua.

“Kebangkitan mereka... adalah jelmaan tamadun agung. Tamadun yang kita dengki dan benci. Tamadun yang pernah kita robek dan pijak. Mereka kini bagai penggenggam bara api yang Nabi mereka sebut. Ilmu menyinari hati. Hati menyinari hidup. Namun sekarang aku tak pasti apakah nasib kita selepas ini.”

“Tuhan bersama mereka... sedangkan kita masih terlaknat kerana lumuran darah Nabi dan jenayah kita!”

“Aku berharap benar, Pulau Malta ini simbolik buat kita. Kita menahan penangan mereka sepertimana Kesatria Biarawan St. John menghadapi Panglima Dargut atas titah Sultan Sulaiman Khan pada tahun 1565. Biar Zion jauh, pulau ini menjadi taruhan. Strategik. Utuh. Biar ia tenggelam dimamah ombak, asalkan Zion terpelihara!”

“Konspirator Xamirthurush.”

“Ya, Tuan Konspirator Agung!”

“Siapkan kesemua Konspirator Zion, wakil Ejen Masada, Ejen Salonika dan Ejen Navarino. Kita bersidang di Malta dalam 9 jam lagi di Malta. Demi Zion!”

“Demi Zion!” jawab Xamirthurush dengan bersemangat.

                   

Yahudi tua kembali dengan renungannya. Terbayang armada Uthmaniyyah terpukul  oleh Liga Kudus ratusan tahun yang lampau. Desisnya...

"Aku tahu kita takkan berjaya. Tapi aku tak akan putus asa pastikan... "

“Engkau akan tumbang...”

“Engkau akan binasa...”

“Engkau akan ranap...”

“Aku akan hancurkan engkau... Galaksi Muhsinin!”



=========================

Rujukan: 

1. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, (2001). Risalah untuk kaum muslimin. Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam: Kuala Lumpur

2. Prickles, T., (1998). Osprey campaign  50: Malta 1565: Last battle of the crusades. Osprey Publishing: Oxford.




Thursday, April 28, 2016

[OPS.. ADA SPOILER] Respon Balas Resensi Tuan Nik Aziz Afiq


Baru-baru ini penulis telah melawat sawang pembelian online novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (2016) di portal penerbit PTS. Penulis teruja kerana satu komen oleh Sdr. Nik Aziz Afiq ditujukan kepada novel penulis dengan artikel ringkas dan padat bertajuk “Kisah Penaklukan Pada Tahun 2205: Galaksi Muhsinin.” Ini adalah analisa terkini semenjak beberapa tahun terbit pada 2008.

Penulis mengucapkan terima kasih atas komentar yang positif berkenaan novel itu. Penulis tertarik dengan teguran membina daripada beliau berkenaan perwatakan Khalifah Zulqarnain yang diselamatkan oleh isterinya Dr. Safiyyah. Beliau mengomentar:
Satu lagi kelemahan ketara ialah watak utama/khalifah tidak konkrit. Dalam beberapa babak akhir berlaku kecelaruan identiti apabila sepanjang penceritaan, Galaksi Muhsinin digambarkan sebagai ketenteraan yang hebat tetapi ketika khalifah bertempur, yang menyelamatkannya adalah isterinya sendiri yang bertugas sebagai doktor. Ke mana hilangnya skuad elit dan segala jenis ketenteraan yang lain?
Watak Khalifah yang gah pada awalnya bertukar mendadak menjadi seorang yang lemah dan tidak berupaya. Ia membunuh imaginasi!
Respon ringkas:
Dalam kecamuk api peperangan, berlaku huru-hara yang besar, kekalutan, kekeliruan. Adakala terdapat unit yang mara terlebih ke hadapan sehingga terpisah daripada unit induk ataupun unit-unit yang lain. Masalah komunikasi boleh berlaku, adakala disebabkan oleh kerosakan alat atau serakan elektronik musuh ataupun alat penyampai dan penerima di luar jarak berkesan. Keadaan terpisah ini mendedahkan kepada risiko dikepung dan unit dimusnahkan. Keadaan terkepung ini (under siege) memerlukan pasukan bantuan (relief force) untuk mengasak agar membuka laluan bagi pasukan terkepung untuk meloloskan diri (breakout).

Dalam babak tersebut (tidak mahu cerita sangat perincian supaya tidak jadi spoiler habis-habisan), pertempuran adalah pertempuran dalam bandar yang dikenal sebagai urban warfare atau fighting in built up area (fibua). Pertempuran ini adalah antara yang rumit sekali dalam sejarah. Untuk mengekalkan momentum, perajurit bertempur dari jalan ke jalan, bangunan ke bangunan, tingkat ke tingkat malah bilik ke bilik. Pertempuran bergantung kepada unit-unit kecil khas untuk menguasai satu-satu kawasan. Kuasa-kuasa besar seringkali tergendala dalam pertempuran ini. Kegagahan Wehrmacht tegendala di kota Stalingrad pada 1942. Rusia tidak begitu berhasil menakluk Chechnya. Askar Marin Amerika tidak berupaya menumpaskan gerila Iraq di Fallujah pada 2005. Maka apabila dalam unit-unit kecil, lebih mudah terpisah daripada unit induk.

Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengalami situasi ini terpisah daripada unit utama Baginda s.a.w. Berlaku dalam Perang Uhud pada 2 Hijrah, fasa awal menyaksikan tentera musyrikin Quraisy terpukul. Melihat kejayaan itu, kebanyakan pasukan pemanah terlupa dan mengingkari arahan Baginda s.a.w. Berlaku malapetaka yang mengejutkan. Khalid al-Walid, panglima pasukan berkuda tentera Quraisy mengambil kesempatan untuk mengasak barisan belakang Nabi s.a.w. Tentera Islam berpecah kepada unit-unit kecil.
Dalam kegetiran itu, para Sahabat besar dan di kalangan Muhajirin dan Ansar bertungkus-lumus mempertahankan Nabi Muhammad s.a.w. Ada juga Sahabat yang berputus asa kerana terpengaruh akan cerita wafatnya Nabi s.a.w. Ada juga yang undur dari medan juang.
Gunung Uhud, lokasi Perang Uhud pada 2 Hijrah
Saat yang mencemaskan itu mengakibatkan Nabi s.a.w luka. Giginya yang mulia itu patah. Nabi s.a.w cedera dan tidak berupaya untuk bangun. Namun kegigihan seorang yang digelar “Syahid Hidup” iaitu Sayyidina Talhah bin Ubaidillah telah mengangkat Baginda s.a.w dan para Sahabat berundur / keluar dari kepungan menaiki Bukit Uhud.
Di kala kekalutan Nabi s.a.w terkepung dan pertahanan umat Islam yang goyang, muncul seorang srikandi yang terukir namanya bangkit menghunus pedang melindungi Baginda s.a.w. Melihat keadaan terkepung itu, wanita mulia yang asalannya bertugas sebagai jururawat, mengambil pedang dan melindungi Nabi s.a.w. Nama beliau adalah Umm Umarah Nusaybah binti Ka’ab al-Maziniyyah Dalam kitab Sirah ibnu Hisyam, Sayyidah Nusaybah menceritakan beliau melindungi Nabi s.a.w:
“Ketika kaum Muslimin terpukul, aku mendekati Rasulullah s.a.w untuk terlibat langsung ke medan perang dan melindungi beliau dengan pedang, serta melempar anak panah hingga aku terluka.”[1]
Penulis juga pernah membaca daripada kitab terjemahan Sirah (belum dijumpai lagi sumbernya), Sayyidah Nusaybah dikatakan tegap berdiri menghunus pedang. Ke mana Nabi s.a.w menoleh atau mengalihkan badannya, arah itulah Nusaybah melindungi Nabi s.a.w!
Penulis berpendapat bukanlah satu yang menjejaskan martabat seseorang yang dipandang  tinggi diselamatkan oleh seseorang yang mungkin dianggap lemah seperti wanita atau kanak-kanak. Sesiapa pun, jika semangatnya marak dengan keimanan, tidak mustahil dengan pertolongan Allah mereka ini juga berperanan dalam mempertahankan pegangan dan orang-orang sekeliling mereka. Yang diselamatkan tidaklah menjadi hina. Dan yang menyelamatkan itu pula yang menjadi mulia. 

Dalam Islam, cerita-cerita seperti ini mewangi dalam lipatan sejarah. Terdapat juga kisah ketika Perang Yarmuk pada tahun 636 Masehi, gerombolan tentera Romawi memukul tentera Islam dari belakang. Mereka menyerbu perkhemahan tentera Islam. Dalam kelam-kabut itu, seorang Sahabat wanita Nabi s.a.w, iaitu Hindun binti Utbah telah menghunus pedang dan menyeru tentera yang lain bersungguh-sungguh menyelamatkan kem mereka. Akhirnya serangan itu dapat dipatahkan (sumber: buku The Sword of Allah: Khalid bin al-Waleed, His Life & Campaign).
Insya-Allah babak Khalifah yang terkepung di Planet Hadid Hd-57 terinspirasi daripada sumber yang mulia ini. 

Menjawab salah satu soalan: "Kemana hilangnya skuad elit dan segala jenis ketenteraan yang lain?" 

Jawapannya: Pasukan elit lazimnya adalah ketumbukan yang terlatih khusus untuk tugas pasukan serangan perintis ataupun tugasan berbahaya di bekalang barisan musuh. Mereka tidak seramai pasukan regular (tentera biasa). 

Dalam novel tersebut, dimaklumi bahawa Galaksi Muhsinin diasak oleh Konfederasi Reconquista dengan nisbah yang terlalu besar berbanding musuh. Dari segi bilangan pasukan, Galaksi Muhsinin nyata dalam keadaan yang lemah dan terpaksa mengagihkan pasukan di banyak medan juang kritikal di galaksi yang luas. Oleh itu, sepertimana seringkali dalam ketenteraan, menggunakan sumber yang ada (available resources) untuk mencapai objektif.

Terima kasih kerana sudi menatap Galaksi Muhsinin. Semoga bermanfaat.


#GalaksiMuhsinin #fiksyensains








[1] Syeikh Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam, (2009). Terjemahan sirah nabawiyah ibnu hisyam jilid 2. Al-Hidayah Publication: Selangor

Monday, April 11, 2016

[Cerita Latar] Wasiat Dasar Laut




Tahun 2175
Lautan Pasifik
Bumi Lama

“Bangun, anakku Hanomage...”

“Ya, Ayah?”

“Kita sudah sampai.”

“Tuan. Mikasa berada di koordinat  31 darjah utara, 178 darjah Barat, kedalaman 16,800 kaki. Radar sonar menunjukkan objek keras di hadapan,” kata krew kapal selam Mikasa.

“Buka kanopi hidrostatik dan pancarkan lampu sorot.”

“Kanopi hidrostatik diaktifkan!” seru seorang krew kapal.

“Ayah! Cantiknya!” si anak kecil yang baru bangun itu melihat selaput bendalir likat beransur-ansur membentuk satu kubah kanopi lutsinar. Penutup kanopi daripada sebatian logam perlahan-lahan surut dan kini mereka dapat melihat kegelapan dasar laut.

“Pancarkan lampu sorot!”

Beberapa lampu sorot memancar sinar yang amat terang. Alur cahaya itu menunjuk ke arah sebuah objek besar. Banyak teritip dan hidupan laut aneh yang tumbuh dan hidup di sekitarnya. Si anak kecil itu terpegun melihat haiwan-haiwan laut yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang di darat sana.

"Dapatkan gambaran visual objek itu!" arah orang itu lagi. Kemudian ia berkata, “Anakku. Inilah Hiryu!”

Hiryu? Kapal induk Hiryu?”

“Ya, anakku. Ceritakan sedikit apa yang engkau tahu tentang Hiryu.”

Hiryu dalam bahasa Jepun adalah Naga Air. Kapal ini merupakan kapal induk terakhir dalam armada Kido Butai yang dipimpin oleh Timbalan Laksamana Nagumo Chuichi. Kapal yang agung ini karam ketika Pertempuran Midway pada 4 Jun 1942. Akagi, Kaga dan Soryu karam terlebih dahulu apabila pesawat Imperialis bernasib baik kebetulan menjumpai Kido Butai. Bom-bom telah menghentam kapal-kapal itu dan tinggal Hiryu yang masih berjuang.”

“Bagus... anakku. Usiamu 12 tahun menyerap begitu banyak pengetahuan. Apa lagi yang terjadi, anakku?”

Hiryu menyerang balas dan menenggelamkan kapal induk imperialis, Yorktown. Akan tetapi, empat buah bom mendarat di atas geladak Hiryu pada petang hari... dan cedera parah. Ia gagah belayar dan dimamah air pada keesokan harinya...” si anak itu tunduk sambil teresak-esak. Titisan air mata berjatuhan dari wajahnya si anak kecil itu.

“Anakku... sejak itu Imperialis mengasak Empayar. Dan Nihon Kaigun, armada nenek moyang kita telah bersusah payah mengekang kemaraan Imperialis. Dan akhirnya mereka berjuang dengan apa yang ada. Kita belayar lagi... dan nanti ku tunjukkan pengorbanan teragung nenek moyang kita yang taat kepada Maharaja.”

“Tukar haluan menghala ke bearing 30°42' Utara 128°4' Timur. Naik kepada kedalaman 1000 kaki. Kelajuan dua pertiga!”


“Dorongan magnetohidrodinamik diaktifkan. Kelajuan dua pertiga. Kedalaman kepada 1000 kaki!” kedengaran tempik pengesahan krew kapal selam Mikasa. Terasa kapal selam gergasi itu mula condong perlahan menghala ke permukaan. Tindak balas kimia daripada tangki ballast menghasilkan udara. Injap bawah dibuka dan air laut dikeluarkan dengan tekanan udara melalui injap. Pengurangan berat kapal selam menyebabkan ia mula mengapung ke permukaan.

Dorongan magnetohidrodinamik adalah pacuan menggunakan aliran bendalir panas melalui aruhan elektromagnet. Berbeza dengan kebanyakan dorongan kapal selam abad lepas menggunakan kipas turbin, pacuan magnetohidrodinamik lebih senyap. Denyut medan magnet menyebabkan getaran simpatetik dalam ferobendalir justeru menghasilkan rambatan gelombang. Ini mengakibatkan air laut di dalam tiub terbuka dipam ke belakang, menghasilkan daya tujah ke hadapan Mikasa.

“Kita akan ke kepulauan Kyushu, anakku. Melihat tinggalan gagah nenek moyang kita mempertahankan Maharaja...” kanopi lutsinar masih lagi dibuka. Mereka melihat kapal selam gergasi itu meredah gelap dan sejuknya Lautan Pasifik.

“Lihat apa lagi, Ayah?” si anak memandang kepada idolanya. Temannya. Gurunya. Ayahnya. Terdapat kesan linangan air mata di pipinya.

“Ke satu tempat yang berbaloi untuk kita kenang.”

“Anakku Hanomage... simpanlah tangismu ke dalam hati. Agar ia menjadi dendam yang membara mendorongmu meneruskan cita-citamu. Usah engkau menangis lagi. Generasi perlukan kamu. Teguhnya bercitra multak bagai Toyotomi Hideoyoshi menyatukan samurai buat sekian lama. Satunya kekuatan seperti bulat tekad Tokugawa Ieyasu. Kencangnya bagai badai Mikasa Laksamana Togo memukul armada Baltik. Dan teguhnya pendirian seperti Jeneral Kuriyabashi mempertahankan Iwo Jima.”

“Dalam dirimu ada mereka. Mengalir dalam tubuhmu. Engkau adalah Generasi mereka.”

“Namun begitu, anakku... aku awal-awal tunjukkan jalan untukmu.” Si Ayah mengeluarkan sebiji peranti berbentuk cakera. Ia meletakkan di atas pemancar. Lantas, Si Ayah menekan pusatnya, dan bercerailah cakera itu kepada beberapa sektor dan tembiring, terpancarlah imej dan tulisan maya terapung-apung.”

“Apakah ini, Ayah?”

“Generasi perlukan kamu, anakku Hanomage. Dalam cakera ini, adalah kunci kepada jalan untukmu. Aku mungkin tiada lagi pada suatu hari kelak. Tapi engkaulah yang menyambung tugasan ini. Demi Generasimu.”

Si Ayah terbatuk kuat dan menghela nafas. Kedengaran bunyi berdehit berat nafasnya. Si anak mengusap-ngusap belakang Si Ayah. “Baiklah, Hanomage,” katanya dengan perlahan.

“Dalam cakera ini ada tiga komponen utama,” sinar merah yang memancar ke arah cakera itu terpantul mengenai Hanomage. Matanya hanya memerhatikan cakera yang bercerai itu berputar pada paksinya dengan perlahan.

“Satu bahagian adalah sektor terlarang. Jika maklumat dalam sektor cakera ini bocor, koloni Generasimu akan berpecah-belah.”

“Mengapa, Ayah?”

“Generasi Zenzaburo yang diasaskan oleh Zenzaburo Shirane terdiri daripada banyak bangsa Timur. Jepun, China, Korea dan Mongol. Pada masa lampau masing-masing mereka beradu kekuatan dan ada sejarah yang tersendiri. Banyak darah yang tumpah semasa interaksi mereka. Jika ada rakyatmu yang tahu, pasti ada ekstremis yang menggunakan kesempatan itu untuk meruntuhkan Generasimu.”

“Tapi... ku pasti engkau akan menggarap peluang itu kelak... tidak perlu aku beritahu. Engkau akan melihatnya kelak.” Si Anak terkebil-kebil dengan kata-kata Si Ayah.

“Dua sektor utama lagi adalah pelan kecemasan untuk engkau tegak menyatukan Generasi. Jika muncul golongan revolusioner sesamamu yang mencabar wibawamu, lancarkan Operasi Shinsemgumi.”

“Jika ada penceroboh ganas yang melangkaui perbatasan galaksimu, engkau lancarkan...”

“Maaf, Tuan. Kita sudah berada di lokasi. Kedalaman 1,000 kaki.”

“Bagus, kapten. Anakku, sudahkah engkau bersedia?” soalan itu dibalas angguk. Lampu sorot dipancarkan ke satu objek gergasi.

“Anakku, cuba teka, apakah ini?”

“Yamato?”

“Benar. Yamato. Inilah pengorbanan agung nenek moyang Generasi. Yamato adalah simbol kebebasan, kekuatan dan penentangan terhadap penindasan Imperialis. Yamato dan beberapa kapal pengiring yang lain pergi ke medan juang membantu Okinawa yang terkepung oleh Imperialis.Ia karam kerana kehabisan peluru dan banyaknya bom dan torpedo yang menghujani dan merobeknya.”

"Mungkin engkau sudah tahu, kapal tempur terbesar yang pernah manusia bina! Meriamnya tiada tolok banding. Tebal perisainya hanya melantun peledak Imperialis."

“Meriam-meriam gergasi Yamato masih lagi gah bagai mereka masih hidup. Meriam penangkis pesawat masih lagi mendongak ke atas, seakan-akan pertempuran masih berlangsung, ayah!”

“Ayah... adakah Generasi mampu membina Yamato sebagaimana nenek moyang kita dahulu?”

“Sudah tentu, anakku. Engkaulah yang akan membinanya! Engkaulah yang akan melunaskan tugasnya menghancurkan musuh, membinasakan kezaliman Imperialis!” kenyataan nekad itu dibalas dengan anggukan. Matanya bersinar mengharap ia dapat membentur masa hadapan.

“Jika engkau lemah sekarang, Hanomage, nasib malang Generasimu akan menimpa generasi Maharaja yang lampau. Engkau lihat ini!” Terpampang pancaran tayangan hologram di satu skrin.

Riak wajah Si Anak serta-merta berubah. Matanya sekali lagi berlinangan air mata. Bibirnya tersorong ke hadapan menahan sebak. Kepalanya tunduk disusuli badannya. Akhirnya ia melutut dan menangis kuat. Si Ayah hanya terpaku berdiri sambil mengukir senyuman di bibirnya.

“Inilah yang terjadi, Anakku. Apabila dunia meninggalkanmu. Dunia yang mengkhianatimu. Imperialis telah menyebabkan nenek moyangmu merana. Ia bakar Hiroshima dengan bom nuklear. Meranapkan ribuan nyawa. Melenyapkan jiwa dalam beberapa saat sahaja. Saat itu seluruh dunia hanya memerhatikan. Mereka telah membiarkan kita merempat berteleku di hadapan Imperialis!”

Si Anak terus menangis. Tayangan di hadapannya menunjukkan asap berbentuk cendawan berkepul-kepul mengisi ruang udara. Dan sebuah kota yang sarat dengan penghuni lenyap begitu sahaja menjadi padang jarak padang tekukur.

“Bangun anakku!” Si Ayah berseru. “Ambil katana ini. Engkau simpan tangis itu. Tangis hanya memadam api dendam. Engkau akan menyelamatkan Generasi, memimpin mereka dengan evolusi. Dengan galian kozakium Ayah pasti kamu mampu menguasai mereka. Dan engkau sebarkan kesejahteraan agar malapetaka ini tak akan berulang lagi, anakku!”

Hanomage menyeka air matanya. Dan mengambil pedang antik katana itu daripada tangan Si Ayah. Ia menarik sedikit katana. Terpantul kilatan pedang di wajahnya. Wajahnya kelihatan di atas pedang itu.

“Siapakah musuhku yang paling berbahaya kepada kami?”

“Bangsa teroris. Bangsa fanatik dengan kepercayaannya. Ia datang menjarah dan memaksa engkau menganut kepercayaannya. Engkau tidak harus memberi belas kasihan kepadanya!”

“Empayar Sibernatik Cybrog, Ayah?”

“Tidak anakku. Sesuatu yang lebih berbahaya. Ia bukan lagi lagenda. Tapi sudah berada di perbatasan Galaksi Zenzaburo. Orang-orang Ayah sentiasa mengawasi mereka. Dan suatu hari nanti pasti ada retak di kalangan mereka. Retak-retak itu, serahkan kepada orang-orang Ayah. Engkaulah yang akan menghunjam pukulan maut buat mereka.”

“Siapa, Ayah?”

“Galaksi Muhsinin. Mereka adalah satu-satunya yang boleh menggugat engkau!”

“Kekuatan mereka adalah ilmu. Dan kelemahan mereka adalah ilmu, anakku!”

Hanomage menyorongkan katana kembali ke dalam sarungnya seraya berkata, “Apakah sektor terakhir yang berguna untukku, Ayahku?” biji matanya tepat memandang Si Ayah.

“Sektor terakhir, anakku. Jika engkau menjadi terdesak dan memerlukan keajaiban, engkau buka sektor terakhir ini. Inilah jalan terakhir, yang digeruni oleh lawan sejak berzaman. Dengannya, Mongol tidak menjarah bangsamu.  Kemunculannya menggegarkan hati musuh. Melunturkan semangatnya. Bahawa engkau bertekad menuju kemenangan walau apapun korbannya.

“Apakah itu Ayah?” tanya Hanomage dengan penuh semangat.


“Kamikaze...”


#GalaksiMuhsinin #FederasiGenerasi Zenzaburo #fiksyensains




Saturday, April 9, 2016

STORMTROOPERS



Apabila disebut 'Stormtroopers', pasti peminat fiksyen sains akan membayangkan segerombolan askar masa hadapan menggunakan helmet dan sut putih yang bersenjatakan blaster laser yang terdapat dalam Saga Star Wars.

Stormtrooper dalam Star Wars merupakan tonggak pertahanan Empire dan jentera agresif meluaskan cengkaman hegemoni kuasa Emperor (Darth Sidious) mereka. Stormtroopers merupakan askar terlatih di kalangan manusia ataupun klon (dari planet Kamino). Stormtroopers akan melaksanakan tugasnya dengan pantas dan kejam dan sanggup berkorban nyawa untuk Empire. 
Stormtroopers Star Wars
Dalam kajian ringkas penulis dalam blog saifaiislami.blogspot.my, sejarah merupakan salah satu sumber model yang baik bagi mencirikan watak ataupun organisasi. Sejarah adalah sumber universal dan tiada hak cipta. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh mengambil unsur daripadanya paduan-gabungan dan mencipta idea watak atau organisasi baru.
Pengkaji Star Wars yang meneliti karya George Lucas mendapati bahawa beliau banyak mengambil idea inspirasi Star Wars daripada Perang Dunia Kedua.
Namun begitu, berbeza dengan Stormtroopers yang diambil ideanya daripada Perang Dunia Pertama (1914-1918). Secara langsung jika disebut stormtroopers merujuk kepada perang tersebut, sejarawan akan menumpukan perhatian mereka kepada ketumbukan tentera elit Imperial Jerman, iaitu stossstruppen.
Stosstruppen (gambar kiri) merupakan hasil produk taktik dan strategi tentera Jerman dalam memecah kebuntuan Perang Parit (Trench Warfare) di Medan Barat (Western Front - di Eropah Barat). Masing-masing pihak Berikat (Britain, Perancis, Amerika, Itali, Jepun) dan pakatan Kuasa Tengah (Jerman, Austria, Turki) kehilangan idea bagaimana dapat menumpaskan musuh, memandangkan masing-masing tidak mahu alah.
Stosstruppen Perang Dunia Pertama
Perajurit terbaik Jerman dikumpulkan dan pasukan elit ini terbentuk bermula 1915. Taktik Stosstruppen bergerak cepat dalam pasukan kecil, menyusup barisan belakang musuh menggempur dengan paduan raifal, submesingan, mesingan, pelontar api (flamethrower) dan grenad (bom tangan). Taktik yang agresif berjaya mengkucar-kacirkan musuh dan membuahkan kejayaan di medan tempur.
Kemuncak kejayaan Stosstruppen adalah dalam Ofensif Kaiserschlacht pada 1918 yang merupakan serangan besar-besaran terakhir Jerman di Medan Barat. Ketumbukan Stosstruppen mara dengan pantas sehingga sejauh 65km dalam masa seminggu. Pencapaian ini adalah tidak dijangka sejak kedua-dua pihak memperkukuh parit pertahanan masing-masing sejak 1914. Walaubagaimanapun, faktor kelemahan Jerman yang diasak oleh pihak Berikat telah menggagalkan ofensif ini. Namun begitu, stosstruppen tetap menjadi kegerunan perajurit musuh pada era itu.
Pendek kata, Stormtroopers Star Wars bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi olahan daripada sumber yang telah sedia ada dalam lipatan sejarah. Sungguhpun wajah Stormtroopers dilitupi dengan helmet putih, wajah sebenarnya tercermin kepada Stosstruppen yang melakar sejarah ketenteraan.
Sumber:
1. Blog Saifai Islami, (2011). "Idea Sejarah dalam Pembentukan Watak (Bhg. 2.1 ): Stormtroopers dalam Saifai di pautan http://saifaiislami.blogspot.my/…/si-idea-sejarah-dalam-pem…
2. Windham, R., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. Dorling Kindersley Limited: London
3. Grant R. G., (2011). "Soldier: A visual history of fighting man." Dorling Kindersley Limited: London

Wednesday, March 30, 2016

EMPAYAR SIBERNATIK CYBORG


[Transmisi Bermula]
Diasaskan pada akhir Era Kompeni, Empayar Sibernatik Cyborg berdiri atas pengkhianatan Majistret Revanche dalam revolsi mereka menumbangkan Kompeni ILUMINATI kepada koloni lain. Dengan janji manis daripada Orang Zion, maka tertubuh Empayar Sibernatik Cyborg dengan Maharaja Revanche menjadi pemimpin empayar baru ini bermula 2106.
Bermula era gelap manusia di angkasa dengan penguasaan bangsa cyborg, iaitu manusia bersepadu dengan mesin dan jentera demi melangsungkan hidup.
Maharaja Legion dalam novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (cetakan semula 2016) merupakan maharaja keempat Empayar. Setelah 100 tahun meluaskan kekuasaan, Empayar menguasai lapan galaksi dalam kluster galaksi jiran Bima Sakti. Dalam meluaskan Empayar, Maharaja Empayar mewarisi dendam lama daripada maharaja pertama: iaitu mencari koloni Galaksi Muhsinin.
Pemerintahan kediktatoran mutlak Maharaja Empayar merupakan jelmaan firaun yang pernah berkonfrontasi dengan Rasul Allah Nabi Musa alaihissalam. Kuasanya tidak terbatas, sejajar dengan pengakuan diri sebagai tuhan mentadbir alam semesta. Pemberontakan dikawal dengan Cip Doktrin Empayar dan menukarkan manusia lelaki menjadi cyborg, persis seperti firaun yang membunuh bayi lelaki di kalangan Bani Israil. Tentera mekanikalnya bermaharajalela tanpa ada kemanusiaan, tidak ubah umpama tentera firaun yang diceritakan di dalam al-Quran.
Pemburuan Jeneral Furious akan koloni Athens telah membawanya ke satu galaksi yang diselubungi misteri. Tanpa ia sedari, keangkuhannya di Planet Ferum bakal membawa padah.
[Transmisi Berakhir]
Ingin tahu lanjut? Ayuh miliki novel Galaksi Muhsinin (2016)!

Tuesday, March 29, 2016

GALAKSI MUHSININ (2016)


Alhamdulillah, novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin diterbit semula sejak 2008. Terima kasih kepada editor, Tuan Zaki Zainol dan pasukan PTS yang gigih berusaha menerbitkan kembali novel ini. Tidak dilupakan terima kasih kepada Pn. Ainon yang membimbing dalam alam penulisan.

Galaksi Muhsinin (2016) adalah cetakan semula, dengan suntingan dan pembaikan daripada novel asal. Jalan cerita tiada perubahan, bahkan dimantapkan asas untuk sekuel seterusnya. Jalan cerita yang diadu oleh pembaca sebagai lambat dibaiki dengan babak yang cerita pantas, tanpa mengubah jalan cerita utama.

Penerbitan kali ini sejajar dengan perancangan penulis berusaha untuk menyambung kisah pengembaraan SAGA Galaksi Muhsinin. Moga dapat terbit dalam tahun ini selepas Ramadhan 1447H.

                      

Semoga bermanfaat, terutama buat anak-anak muda. Saya memohon maaf atas kekurangan. Buku ini hanyalah sumbangan yang kecil, penulis hanya mengambil inspirasi daripada semangat para ulama pewaris Nabi s.a.w. yang menghasilkan karya-karya yang segar sepanjang zaman.

Selamat membaca!