Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, January 10, 2014

[SI] Ghost Specter dan Assasin Syiah


Pengenalan
Kajian ringkas ini menemukan satu keselarian dalam cerita novel Starcraft Ghost: Spectre dan tentera ekstremis Assasin yang bermazhab Syiah pecahan Isma’iliyah pada abad ke-11 sehingga abad ke-13 (tahun 1000-an sehingga 1200-an).

Dalam kajian lepas, sejarah merupakan satu sumber yang mengandungi pakej komprehensif merangkumi latar sistem sosial, pemikiran, ekonomi, teknologi, doktrin, pensejarahan dan sebagainya. Banyak karya fiksyen sains menjadikan sejarah sebagai sumber ataupun model untuk menceritakan pembawaan, struktur organisasi ataupun masyarakat dan konsep yang ditayangkan dalam kerangka masa hadapan. Barangkali atas pertimbangan berulangnya sesuatu peristiwa akan mengulangi lagi peristiwa mendatang jika sebab-musabab yang seperti itu berulang.

Adam Roberts (2000) dalam Science Fiction: The New Critical Idiom  mengkritik teknik menggunakan sejarah ini kerana bersifat ‘nostalgik’ (mengenang masa lampau) ataupun menggunakan model masa lampau berbanding seharusnya fiksyen sains ini bersifat futuristik (ke hadapan) dengan pembawaan yang sepatutnya berbeza. Fiksyen sains merupakan ‘ekstrapolasi’ yang memikirkan apakah spekulasi ataupun kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan.    

Walaubagaimanapun, penggiat fiksyen sains unggulan abad ke-21 seperti Prof. Dr. Isaac Asimov dalam trilogi Foundation adalah bayangan kebangkitan dan kejatuhan Empayar Rom. Frank Herbert pula dalam saga Dune beliau, tidak lebih merupakan umpama konflik para bangsawan era Zaman Gelap (medieval). George Lucas dengan saga Star Wars banyak menggunakan analogi daripada Perang Dunia ke-2 sepertimana telah disentuh dalam entri-entri kajian sebelum ini. Kesemuanya ada pengaruh sejarah tertentu, tetapi ‘dibaluti’ dengan rupa yang berbeza.

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa sifat manusia ini kekal sama, sebagaimana telah dikisahkan dalam al-Quran. Walau zaman berbeza, karakternya tetap sama.


Spectre, Ghost dan Jim Raynor dalam Starcraft II 



Berbalik kepada perbincangan. Dalam misi Starcraft II: Wings of Liberty, kita merujuk kepada kisah perlawanan Jim Raynor bersama Raynor’s Raider terhadap pemerintah empayar angkasa (Terran Dominion), iaitu Maharaja Acturus Mengsk. Raynor melancarkan penentangan kerana melihat kelicikan dan kezaliman Mengsk dalam mencapai cita-cita politiknya merebut kuasa bangsa manusia Terran.

Di sebalik ancaman penjarahan makhluk buas Zerg, manusia Terran sukar sekali bersatu. Mengsk memanipulasi media, melakukan kekerasan dan pemerasan serta berkuasa mutlak memerintah. Raynor’s Raiders dilabel sebagai pemberontak berbahaya yang menggugat kestabilan manusia.

Namun begitu, Jim Raynor memerlukan sumber untuk meneruskan penentangan. Maka dalam perjuangannya Raynor telah telah didatangi oleh seorang askar elit khas Spectre berbangsa manusia Terran, iaitu Gabriel Tosh.

Spectre dan Ghost
Sepintas lalu, askar elit Spectre dan Ghost (Terran Dominion) ini adalah sejenis askar halimunan yang ditingkatkan keupayaannya melebihi askar koloni yang lain dan mampu melancarkan operasi khas yang rumit dan berbahaya. Kelebihan kedua-dua jenis askar ini ialah ditingkatkan 'kuasa psi' sehingga boleh membaca minda orang lain. Askar elit Ghost telah dibina dengan cara yang luar batas kemanusiaan untuk menjadikan mereka ini mesin pembunuh yang tiada berperasaan. 
Kiri: Ghost Kanan: Spectre
Untuk mengekalkan kesetiaan hanya kepada Maharaja Mengsk, askar elit Ghost diwajibkan menjalani proses nyah-memori (memory wipe) untuk menjaga kerahsiaan sang maharaja.
                        
Spectre pula dianggap jauh lebih kuat dari segi kelincahan, keupayaan tempur dan ketahanan daripada askar Ghost. Tambahan pula, askar elit Spectre berbeza kerana memori lama mereka dikembalikan dengan menggunakan gas terrazine (bahan kimia fiktif Starcraft).

Tosh dan Raynor
Pemimpin tentera Spectre, Gabriel Tosh
Tanpa menyedari niat sebenar Tosh, Raynor pada mulanya mempercayai tawaran tersebut. Maka dalam beberapa misinya, Raynor telah berjaya melombong mineral berharga dan dibayar dengan pulangan lumayan. Ia menawarkan bayaran yang tinggi kepada Jim Raynor dalam membiayai perjuangannya menghadapi Maharaja Acturus Mengsk.

Kanister
Gas Terrazine
Jim Raynor seterusnya diminta untuk  mengekstrak sejenis galian gas yang diberi nama jorium dan terrazine oleh Tosh. Tosh mendakwa bahawa terrazine mampu mengatasi masalah memori  yang dipadam dan meningkatkan kuasa keupayaan tempur askar Spectre jauh lebih tinggi daripada Ghost. Namun demikian, kesan sampingan iaitu terrazine mengakibatkan halusinasi (akal tidak stabil, selalu mengalami ilusi) yang boleh menjuruskan kepada penyakit gila (kerana dihimpit oleh memori lama). Langkah-langkah Tosh telah menimbulkan kecurigaan kepada pemimpin pemberontak itu.


Dek Pemerintah kapal angkasa gergasi Battlecruiser Hyperion
Setelah mendapat sejumlah kuantiti yang banyak gas jorium dan terrazine, Tosh melangkah kepada tindakan yang lebih serius, iaitu meminta Raynor menggempur Planet Penjara New Folsom untuk membebaskan tawanan dan tahanan politik. Tidak lama setelah itu, seorang operatif Ghost Dominion, Terra Nova berutus mesej rahsia dengan Jim Raynor.


Planet Penjara New Folsom
Ia telah mengatakan bahawa Gabriel Tosh memperalatkannya untuk membina tentera halimunan berkuasa psi yang melampaui kemampuan askar Ghost, dengan pengaruh terrazine. Tosh menghidupkan kembali projek Shadow Blade yang telah diwujudkan oleh Mengsk. Jika banduan New Folsom bebas, maka akan terlepaslah ramai psychopath (orang gila) yang akan mengancam keamanan manusia sejagat.


Jim Raynor telah menerima kerjasama Terra Nova. Lantas, makmal tentera Spectre telah dimusnahkan. Dalam diam, Terra Nova telah meloloskan diri ke dalam markas rahsia Tosh dan membunuhnya serta-merta.

Dalam novel Starcraft Ghost: Spectre, peminat saga Starcraft akan menyelusuri akan dengan lebih mendalam apakah di sebalik Spectre dan Ghost, serta dunia askar halimunan Terran ini.

Plot novel ini amat pantas dan terdapat twist cerita yang menarik serta penyelesaian jaringan misteri yang rumit dirungkaikan. Boleh dikatakan sebagai novel ‘page turning’, yang menjadikan kita tertanya-tanya apakah yang terjadi selepas ini.

Maka, adakah Spectre ini ada dasarnya dalam catitan sejarah? Tentu ada. Iaitu ekstremis yang bermazhab Syiah Isma’iliyah, Assasin.

Siapakah Assasin?

Pembunuhan seorang pemimpin yang gemar bergaul
dengan ulama dan penaung Imam al-Ghazali, iaitu menteri
Nizhamul Muluk oleh Assasin Syiah
Dalam pengkajian mengenai fahaman menyeleweng Syiah, telah didapati bahawa rupanya terbit daripada mazhab tersebut satu entiti tentera ekstremis yang mengancam ketenteraman awam, iaitu Hashishin. Hashishin ini adalah tentera rahsia fahaman dan gerakan Syiah Ismailiyah ataupun Batiniyah yang tidak mengiktiraf ketika itu ketuanan Khilafah Abasiyah (Sunni).

Sekilas Mengenai Syiah dan Sunni

Nabi Muhammad s.a.w dalam salah satu hadith baginda s.a.w mengatakan, bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 bahagian, sebagaimana berpecahnya bangsa Yahudi dan Nasrani kepada 70 pecahan juga. Baginda s.a.w menyatakan bahawa kesemuanya adalah sesat, melainkan satu golongan, iaitu umat Sawadul A'zhom (umat Islam yang paling ramai). Para ulama mentafsirkan bahawa golongan ini adalah golongan Ahli Sunnah wal Jamaah ataupun Sunni yang mengikuti, memelihara, mempertahankan dan memperjuangkan tugas yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat. 



Penganut Syiah fanatik terhadap Sayyidina Ali. Mereka menganggap bahawa tampuk kepimpinan khilafah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w telah dirampas oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayyidina Umar al-Khattab. Mereka amat membenci kedua-dua Sahabat besar ini. 

Lebih ekstrem lagi, ada pecahan Syiah yang mengangkat darjat Sayyidina Ali ke darjat ketuhanan! Penganut Syiah mengaku mencintai Ahlul Bait (ahli keluarga Baginda s.a.w), tetapi pada masa yang sama menghina bahkan mengkafirkan di kalangan mereka seperti Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar (kedua-dua mereka mertua Nabi Muhammad s.a.w) dan Sayyidatina Aisyah (isteri Baginda s.a.w). Penganut Syiah juga mengkafirkan majoriti Sahabat melainkan beberapa orang sahaja. Begitulah sebahagian penyelewangan yang mereka rosakkan dalam agama Islam.



Apakah Pecahan dalam Mazhab Akidah Syiah?

Menurut Ustaz Syed Izzudin al-Munir bin Wan Kamaludin al-Aidrus ketiba program Pengajian Fardhu Ain di Miri pada Oktober 2013, beliau menjelaskan bahawa dalam 73 bahagian umat Islam tersebut, terbahagi kepada 6 kategori yang besar. Antara pecahan besar adalah mazhab Syiah. Dan Syiah sahaja sudah menyumbang kepada 39 daripada 73 golongan tersebut. Mazhab Syiah ini terdapat pelbagai aliran akidah.

 Dalam buku Agenda Politik Syiah: Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat, masakini terdapat tiga pecahan mazhab Syiah terbesar yang masih wujud, iaitu Syiah Zaidiyyah, Syiah Isma'iliyah Bathiniyah dan terbesar adalah Syiah Imamiyah Istna 'Asyarah (Syiah Imam Dua Belas).

Sejarah Ringkas ajaran Syiah

Titik permulaan sejarah berdarah Syiah ini dapat disoroti sejak zaman Khulafa' ar-Rasyidin (pemerintahan pasca kewafatan Nabi Muhammad s.a.w oleh empat Sahabat besar Nabi s.a.w). Telah ditakdirkan berlaku kekacauan bermula era pemerintahan Khalifah Sayyidina Uthman bin Affan dan kemuncaknya berlaku kepada Sayyidina Ali (moga Allah merahmati mereka). 

Seorang munafik Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam, iaitu Abdullah bin Saba' telah menimbulkan pelbagai fitnah dan mengumpulkan pengikut di kalangan umat Islam yang jahil yang terpedaya akan propagandanya. Bermula daripada itulah, pemberontakan dan fithan ditiumbulkan oleh munafik ini sehinggakan para Sahabat bertembung dalam Perang Jamal dan Perang Siffin. 

Abdullah bin Saba' tidak berhenti daripada melakukan kerosakan dan penyelewengan sehingga Khalifah Sayyidina Ali telah syahid dibunuh, termasuklah juga anak beliau, iaitu Sayydina Hussein di Pertempuran Karbala. Setelah itu, orang Syiah zaman-berzaman menimbulkan kekacauan dan keharmonian. Sepanjang sejarah Islam, kaum Syiah banyak mengkhianati umat Islam dengan berpakat dengan kerajaan bukan Islam yang cuba menggugat kestabilan umat Islam. Kota Baghdad telah ditakluk oleh bangsa Mongol dengan khianatnya menteri Alqamah. Pada abad ke-16 pula, kerajaan Safawi Syiah telah bekerjasama dengan bangsa Portugis dalam mengancam kerajaan Uthmaniyyah yang bermazhab Sunni.


Menurut Majalah Q&A edisi 20, para ulama sejarah bersepakat bahawa Abdullah bin Saba' adalah pencetus kepada mazhab akidah Syiah. 



Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Pengerusi Yayasan Sofa Negeri Sembilan ketika satu program di Kedah, beliau menyebutkan bahawa Syiah yang merupakan ajaran yang direka oleh orang Yahudi untuk memecah-belahkan umat Islam. 



Istilah Assasin dan Syiah

Hashinshin ini dikenal sejak zaman Perang Salib. Istilah ini dibawa ke Eropah oleh tentera Salib dan akhirnya telah diserap dalam Bahasa Inggeris, iaitu Assasin. Istilah ini merujuk secara umum akan entiti pembunuh yang menjadikan orang ternama seperti pemimpin negara. Tentera Assasin ini adalah rentetan daripada fahaman menyeleweng Syiah Isma'iliyah ataupun dikenal sebagai Bathiniyah. Kisah Assasin ini mula popular apabila adanya game  fiksyen sains dan sejarah, iaitu Assasin's Creed yang mengkisahkan kehidupan keturunan lagenda Assasin, bermula oleh Altair ibn al-Lahd dalam perjuangan mereka konon menyelamatkan dunia. Kita akan membincang lanjut tentang apakah wajah sebenar Assasin selepas ini.


Analogi Spectre dan Assasin

Assasins' Creed
Pengkajian mengenai asal-usul Assasin Syiah telah mencerahkan mentol idea, bahawa ada cerita fiksyen sains yang hampir-hampir selari dari segi konsepnya. Boleh Spectre ini diambil model daripada sejarah Assasin, sebagaimana Jim Raynor dan Raynor’s Raider yang merupakan sebahagian daripada entiti peribadi Amerika dalam entri yang lepas. Kita tinjau beberapa aspek:

1. Tentera Rahsia Anti-Autoriti

Spectre lahir daripada misteri projek yang ditinggalkan, iaitu Projek Shadow Blade. Projek ini ditutup kerana kesan bahan terrazine yang menyebabkan ketidakstabilan. Salah seorang operatifnya iaitu Gabriel Tosh telah meloloskan diri.

Dia menghidupkan kembali projek itu dengan bantuan bahan terrazine yang mampu mempengaruhi operatif Ghost terran Dominion. Tenteranya sudah beroperasi dalam mencari rekrut baru. Terra Nova adalah antara sasaran kerana watak ini adalah antara operatif Ghost yang mempunyai kuasa minda psi yang paling tinggi.

Spectre adalah tentera rahsia yang dibina untuk melancarkan penentangan bawah tanah. Gabriel Tosh, pengasas kepada Spectre ini menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada untuk membalas dendam terhadap Mengsk. Dalam kuantiti yang sedikit, Tosh dan gerila Spectre yang diasasnya telah menggugat cengkaman Mengsk. Mereka bergerak secara rahsia, tetapi mensasarkan target yang bernilai tinggi: Maharaja Dominion.


Tentera Assasin pada zaman lampau adalah tentera pemberontak yang lahir daripada fahaman Syiah Isma’iliyah ataupun Batiniyah. Tentera ini dipimpin oleh Hasan bin Sabah, juga digelar sebagai Syeikhul Jabal ataupun ‘Pempimpin di Gunung.’ Orientalis menyebutkan ia sebagai ‘Orang Tua di Pergunungan.’ Mereka menawan kubu-kubu pergunungan, antaranya di wilayah Syria dan Lubnan masakini.

Bermula daripada gerakan fahaman Bathiniyah (Syiah Isma’iliyah) yang cuba menggugat pemerintahan seteru mereka iaitu majoriti umat Islam Sunni, gerakan itu akhirnya telah menimbulkan kekuatan untuk menggoncang kerajaan Sunni melalui penentangan bersenjata. Dr. Majid Irsan Kailani menyebut dalam buku beliau, Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Umat Islam:

“Pada pertemuan kedua abad kelima hijriyah, gerakan ini membentuk tentera pemberontak dengan pimpinan Hasan as-Shabah. Hasan memulakan tugasnya dengan menghantar para jurupropagandanya ke pelosok Qal’atul Maut untuk memperdaya orang-orang yang baru masuk Islam, dan yang lemah pengetahuan Islamnya supaya bergabung dalam gerakannya, atas nama perjuangan membela ahlul bait.”
Pada Perang Salib, adakah Asasin ini bertarung nyawa membebaskan diri daripada cengkaman pemerintah kerjaan Latin di Jerusalem dan sekitarnya? Tidak. Tujuan utama perjuangan mereka adalah untuk mengkucar-kacirkan pemerintah dan masyarakat Sunni, sekalipun tahu musuh kufar sedang menjajah negara mereka. Karen Armstrong mengatakan hal ini dalam buku terjemahan beliau Perang Suci:


“Kaum Hashishin tidak tertarik untuk memerangi kaum Kristian. Jihad mereka ditujukan kepada kaum Muslim Sunni. Kewujudan mereka adlah sesuatu yang bermanfaat kepada Tentera Salib dalam perjuangan mereka melawan kaum Sunni di wilayah tersebut. Kaum Hashishin adalah kaum Syiah. Mereka berbeza dengan majoriti Sunni kerana menolak kesahihan khalifah Baghdad.”

Gelojak makar mereka diperakui melalui kajian Dr. Majid Irsan Kailani:
“Para da’i Batiniyah tersebar luas di bahagian timur dan barat negeri Islam; mereka menyeru kepada penggulingan pemerintahan Sunni, khususnya kekhalifahan Abbasiyah. Mereka telah berhasil merosakkan aqidah umat serta menyebarkan fitnah dan rusuhan. Untuk itu semua mereka tidak segan-segan membunuh tokoh-tokoh umat yang menentang aqajarannya; mereka telah membunuh beratus-ratus pemimpin seperti para menteri, ulama’, dan sultan.”
 Banyaknya orang yang terkorban dek makar mereka. Prof. Dr. Hamka pula menyebut dalam buku Sejarah Umat Islam beliau tentang ekstremis ini:

“Pengikut-pengikutnya mesti taat setia kepada Syeikhul-Jabal, dan orang-orang yang diperintahkannya supaya dibunuh mesti dibunuh, sehingga banyaknya orang-orang besar yang mati begitu sahaja, baik di jalan raya atau di dalam istananya sediri dngan tidak diketahui pembunuhnya, sehingga bertambah takutlah orang akan bahaya kaum assassin itu di mana-mana.”
Antara mangsa pembunuhan assasin adalah seorang menteri yang amat cintakan ulama, iaitu Nizhamul Muluk, seorang pentadbir yang menaungi Imam al-Ghazali rahimahullah. Hampir menjadi mangsa Asasin adalah seorang bintang dalam Islam, iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Pembebas Kota Baitulmaqdis. Begitu selari antara Spectre dan Asasin. Mereka adalah tentera rahsia yang bergerak secara bawah tanah membangkang autoriti yang licik, senyap dan berbahaya.

Kubu & Aktiviti Markas

Kedua-dua Spectre dan Asasin mempunyai markas tersendiri. Tosh menggunakan stesyen angkasa halimunan Gehenna, manakala kaum Asasin menggunakan kubu Alamut  (di perbatasan Iraq dan Iran sekarang). Kerajaan Terran Dominion berusaha keras untuk menghapuskan gerakan Spectre, namun gagal. Di stesen inilah Tosh merekrut anggota-anggota Spectre yang baru. Pada peringkat permulaan, mereka diberi pengaruh terrazine dalam kebuk khas. Di markas ini mereka menyusun cita-cita dan strategi untuk mencapai matlamat mereka.
Tinggalan kubu Masyaf yang sebenar,  terletak di Syria. Kaum Assasin berlindung dalam kubu-kubu yang kukuh dalam menghadapi serangan tentera Islam dan tentera Salib  Dalam Assasin's Creed menjadikan kubu  ini
 markas kepada perjuangan mereka.
Manakala Asasin pula, kubu pergunungan Alamut adalah pusat utama mereka. Di kubu pergunungan inilah kaum Asasin didoktrin Syiah Isma’iliyah oleh Syeikhul Jabal mereka, iaitu Hassan bin Sabah. Kubu ini amat kebal. Beberapa generasi kaum Sunni cuba untuk menembusi, namun begitu gagal. Puas juga pemerintah Sunni (Khilafah Abbasiyah) untuk menawan dan menamatkan kebejatan Asasin, namun tidak juga berjaya. Malah, Prof. Dr. Hamka dalam Sejarah Umat Islam menceritakan, seorang penguasa, Sultan Sanjar yang bersungguh-sungguh memerangi mereka telah menemui sebuah pedang khanjar telah tertancap berdekatan jantungnya. Di pedang itu terdapat amaran keras kaum Asasin akan membunuhnya sekiranya perang terhadap mereka diteruskan.

Adegan Assasin berlatih di kubu Masyaf dalam
game Assasin's Creed yang pertama
Akhirnya kaum Asasin terbalas jua akan jenayah mereka. Bukan tentera Islam yang benar-benar menawannya. Akan tetapi terlebih malang mereka telah dimusnahkan oleh bangsa Mongol tanpa belas kasihan. Hal ini ada diceritakan dalam buku Buku Osprey Fortress 87: Saracen Strongholds 1100-1500, The Central and Eastern Islamic Lands karya seorang sejarawan yang banyak mengkaji tamadun Islam dengan telus, iaitu David Nicole (2009).

Ada kemungkinan bangsa Mongol mendengar kehebatan kaum Asasin ini dalam kegiatan ketenteraan mereka. mungkin juga mereka menawan kubu Alamut kerana terlalu berbahaya. Serangan ganas Mongol melemahkan mereka. Akhirnya, saki-baki dimusnahkan oleh Kerajaan Mamluk Mesir.

Memperdaya Orang dengan Dadah


Ejen pengkhayal ini semacam sifatnya seperti dadah. Orang yang bawah pengaruh dadah ini hilang pertimbangan akal dan berada dalam alam fantasi dirinya sendiri. Sedangkan ia berada dalam keadaan yang sadis dan hina diperlakukan tanpa sedar. Anggota Spectre menjadi lebih kuat dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan misi. 

Ini terbukti dalam novel Starcraft Ghost: Spectre, bahawa askar halimunan Ghost (milik Terran Dominion) seperti Terra Nova yang handal pun tidak dapat mengatasi dari segi kelincahan dan mengesan kehalimunan mereka. Namun demikian, kesan sampingannya adalah anggota Spectre dipengaruhi dengan halusinasi fantasi dan tirisan memori lama. Ramai yang menjadi tidak keruan, bahkan gila.

Kaum Assasin pula, anggotanya diberikan makan rumput ganjar (hasyis). Ganjar adalah sejenis dadah yang mengkhayalkan. Mereka berkumpul di dalam gua di kubu-pergunungan mereka dan dijanjikan dengan pelbagai angan-angan. Mereka menjalankan tugasan mereka yang licik dan berbahaya.

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam buku Sejarah Umat Islam beliau:

“Terkenal juga pengikutnya itu dengan nama ‘Hasysyasyin’, diambil mereka daripada kalimat ‘hasyisy’, ertinya rumput ganja. Sebab apabila mereka sudah diberik ‘kursus’ mereka disuruh memakan ganja sehingga mabuk, dan apabila mereka telah mabuk, mereka seakan-akan di dalam syurga layaknya dikelilingi oleh anak-anak bidadari yang cantik jelita, ke dalam gua itu; ‘dan itulah syurga!’ – kata Hasan bin Sabah. Maka menjadi bahasa yang umum terpakai di negeri-negeri Eropah dengan sebutan ‘assasin,’ yang dipergunakan untuk pembunuhan-pembunuhan kerana persengketaan politik.”

 “Ahli-ahli sejarah Islam menyebutkan bahawa dalam mempengaruhi para pengikut, mereka telah menggunakan ganja. Apabila mereka sudah terpengaruh oleh ganja, disuruhlah mereka melakukan apa-apa yang menjadi keinginan gerakan. Oleh sebab itu, para pengikut gerakan ini dinamakan al-Hasyasyun (yang bererti para penghisap ganja).”

Beberapa sumber yang lain seperti Dr. Majid Irsan Kailani menyebutkan:

“Ahli-ahli sejarah Islam menyebutkan bahawa dalam mempengaruhi para pengikut, mereka telah menggunakan ganja. Apabila mereka sudah terpengaruh oleh ganja, disuruhlah mereka melakukan apa-apa yang menjadi keinginan gerakan. Oleh sebab itu, para pengikut gerakan ini dinamakan al-Hasyasyun (yang bererti para penghisap ganja).”

Walaubagaimanapun, terdapat di kalangan cendiakawan Syiah Isma'iliyah masakini yang menyangkal hal ini dengan mengatakan bahawa sejarawan Barat dan Sunni tidak jujur mereka-cipta cerita. Hal ini masih menjadi kontroversi yang masih dibahaskan. Bahkan, dalam game Assasin's Creed, perkara ini juga ada disebut, dan disangkal oleh watak al-Muallim yang mengatakan khabar angin pempimpin itu menggunakan dadah untuk mempengaruhi orang mengikuti perjuangannya. 

Apapun, sejarah Assasin yang gelap ini telah menimbulkan huru-hara di kalangan umat manusia pada zamannya, terutama sekali umat Islam Sunni. Kita bersangka baik kepada ahli sejarah Islam silam yang merakamkan fakta pada zamannya dan diperturunkan oleh ahli sejarawan yang amanah. Fakta sejarah telah mencatatkan segalanya, iaitu betapa ramainya orang yang menjadi mangsa besi sejuk yang menusuk ke dalam badan manusia-manusia yang mereka anggap musuh abadi.

Kesimpulan
Akhir kalam, bicara kali ini sekali lagi menemukan kemungkinan sumber inspirasi daripada ilham sejarah kepada sebuah karya fiksyen sains yang mempunyai jutaan peminat, iaitu saga pengembaraan Starcraft yang mengkisahkan tiga bangsa-makhluk, iaitu manusia Terran, makhluk bertamadun psikik Protoss dan makhluk buas yang mahu mendominasi alam semesta, iaitu Zerg. 

Ciri penentangan tentera Spectre oleh watak Gabriel Tosh begitu sinonim dengan tentera Assasin yang merupakan tentera pemberontak, pencetus anarkis yang menggugat kestabilan dan keamanan. Kedua-dua tentera ini mempunyai organisasi, cara subversif menentang kerajaan dan menggunakan bahan kimia untuk mempengaruhi manusia supaya mendokong perjuangan mereka. 

Sejarah adalah sumber inspirasi yang baik. Terlalu banyak model yang terpampang untuk kita dalam jangkasa masa ribuan tahun di serata dunia ini. Semoga ada manfaatnya perkongsian kali ini. Mohon maaf salah dan silap. 

Sekian, terima kasih.

Sunday, November 17, 2013

Logam Perakam & Lagenda Pedang Puaka



Assalamualaikum & salam sejahtera!

Maaf sudah lama tidak timbul. Hampir setahun blog ini tidak dikemaskini. Entri kali ini berbeza sedikit, melompat sebentar ke sisi Fantasi, sebelum ini tertumpu kepada fiksyen sains semata-mata. Hakikatnya, cerita fantasi adalah cerminan kepada fiksyen sains. Hanyasanya, fantasi itu kelebihannya kepada magis, mistik dan kuasa luar biasa, manakala cerminan itu, terpantul pada fiksyen sains sebagai alat teknologi yang dicipta manusia. Orson Scott Card dalam How to Write Science Fiction & Fantasy menggariskan, bahawa penulis perlu peka akan garis sempadan antara fantasi dan fiksyen sains.


Blog ini bertujuan untuk kupasan tentang fiksyen sains, tetapi jika relevan, elemen fantasi juga dimasukkan sedikit. Tambahan pula, dalam fiksyen sains kadang-kadang kadang-kadang ada elemen fantasi. Kategori ini adalah fiksyen sains hibrid (bersama fantasi). Sebagai contoh, dalam saga Star Wars, di sebalik pertempuran berbalas tembak laser, ada pula perseteruan antara Jedi dan Sith dengan pertarungan Light Saber, tidak kurang juga mereka mempunyai kuasa luar biasa yang mengalir dari the Force. Karya Dune yang dikarang oleh Frank Herbert juga, watak Paul Atreides ‘Muaddib’ meraih kuasa luar biasa dalam membalas dendam akan keluarga Harkonnen di planet Arrakis. 

Watak Hero Anarkis, Putera Arthas / Lich King
dalam saga Warcraft III: Reign of Chaos bersama
pedang puaka Frostmourne.
Suatu hari penulis berbual dengan seorang yang pernah lama terlibat dalam pengubatan alternatif. Satu perkara beliau sebutkan adalah objek logam yang lama seperti pedang, meriam dan sebagainya boleh merakamkan sesuatu kejadian.

Saya bertanya kepada beliau, "Bagaimanakah yang anda sebutkan, bahan logam boleh merakam? Macam mana?" 

"Ya, benar. Objek logam boleh recall (mengimbau) peristiwa-peristiwa lama yang berlaku. Misalan, seseorang yang memegang pedang yang pernah menumpahkan darah, kadangkala terimbau dengan bayangan (vision) akan peristiwa tersebut... dan tahu siapakah yang telah dibunuh." 

Saya hanya bersangka baik sahaja, itu adalah pengalaman beliau. Dapat atau tidak 'bayangan' peristiwa lampau, bergantung kepada keupayaan seseorang. Boleh jadi itu adalah kurniaan Ilahi, keistimewaan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ada keistimewaan tersebut. Hal 'mistik' ataupun ghaib seperti ini, adalah sesuatu yang di luar norma kebiasaan manusia.

"Kalau meriam?"

Meriam gergasi Sri Patani dalam filem fantasi-sejarah,
Queen of Langkasuka.
"Termasuk sekali. Oleh sebab itu apabila kita berhampiran dengan objek lama, contoh di muzium. Kadang-kadang meremang bulu roma kita. Objek logam lama mempunyai aura perakam."

Saya teringat akan perbincangan lampau, bahawa mahkluk Tuhan yang bernama jin itu tertarik kepada elemen logam. Memang sukar dijelaskan dengan ukuran sains. Ini kerana makhluk halus ciptaan Tuhan ini adalah sesuatu yang di luar dimensi kita. Tidak diketahui keadaan sebenar melainkan Allah dan sesiapa yang Dia izinkan ataupun memberi ilmu akan perkara ini. 

Mungkin kadangkala masuk akal juga. Sebagai contoh, kita ada sentuh bahawa makhluk jin ini tertarik kepada unsur logam. Ada juga terfikir dari sudut saintifik, mengapakah makhluk jin ini merasuk dan masuk ke dalam badan manusia? Kerana manusia terbina daripada zat logam. Darahnya mengandungi zat besi yang mengalir di seluruh badan. 
Beliau berpesan, "Oleh itu, jangan simpan sembarangan barang-barang antik. Terutamanya pedang ataupun keris. Silap-silap boleh menghantui diri kita."
Ya, semuanya dengan Qudrat dan Iradat Allah. Kepada-Nya kita meminta perlindungan. 

Tiba-tiba teringat... boleh jadi perkara ini yang menjadi pengalaman orang terdahulu, ada berkait rapat dengan cerita-cerita lagenda ataupun fantasi. Iaitu seringkali tema sesuatu cerita para pahlawan, apabila mereka beroleh sesuatu pedang lagenda ataupun pedang puaka yang membolehkan mereka mengatasi musuh, normanya kuasa itu diperoleh dengan galang ganti sesuatu, dan pedang ini seolah-olah menguasai dan 'memakan diri' si pemegang pedang. Sebagai contoh, kisah putera Arthas, anak kepada Raja Menethil kerajaan Lorderon bumi Azeroth dalam saga Warcraft, Arthas telah bermati-matian mendapatkan sebuah pedang lagenda Frostmourne.

Kerajaan Lorderon dalam Warcraft III: Reign of Chaos
Pedang ini kononnya mempunyai kuasa yang luar biasa, tetapi dengan balasan, jiwanya 'akan diambil' apabila menumpaskan musuh. Akhirnya, keseluruhan jiwa Arthas yang baik itu telah tertawan dan dikuasai oleh entiti yang amat jahat, iaitu empunya pedang, si Lich King. Oleh sebab tiada lagi kemanusiaan berakar umbi di sanubari Arthas, maka ayahnya telah menjadi mangsa. Kerajaan Lorderon yang agung itu pun tumbang.
                                   
Mungkin juga ada di kalangan pemegang pedang ini dihantui oleh bermacam-macam bayangan ngeri ataupun adanya makhluk halus tersebut berdampingan dengan senjata tersebut. Perkara ini tidak hairan boleh berlaku, dan sukar dibuktikan dengan kaedah saintifik. 

Penulis sekadar ceritakan sahaja rentetan ini dan tidak ingin melanjutkan dengan lebih panjang. Pada diri penulis, segala lagenda yang berkaitan ini, boleh jadi terbit daripada pengalaman-pengalaman orang terdahulu dalam menguruskan ataupun bersama alat mereka. Boleh jadi benar, boleh jadi hanyalah hikayat fantasi semata-mata. 

Allah jua yang Maha Mengetahui. 

Sekadar perkongsian, Wassalam!

Monday, February 18, 2013

[Resensi] The Hunt for Red October (1)



“The Pentagon almost exploded when this book was published.” ~Daily Telegraph

1.0 Mukadimah

Novel The Hunt for Red October nukilan Tom Clancy yang terbit pada tahun 1984 telah mencetuskan fenomena baru dalam dunia penulisan. Fenomena tersebut telah memasyhurkan genre thriller ketenteraan ataupun techno-thriller.

Kapten Marko Ramius (Sean Connery) dan
Penyelidik CIA, Jack Ryan (Alan Baldwin) dalam filem
The Hunt for Red October, 1989.
Genre techno-thriller berorientasikan kepada jalan cerita melibatkan organisasi, strategi, taktik, spesifikasi teknologi, perisikan ataupun senjata berteknologi tinggi sesebuah negara ataupun badan ketenteraan. Sebut sahaja, James Bond, siri Bourne, Blue 5, Greenzone dan sebagainya. Lazimnya, genre ini penuh dengan debaran dan aksi lasak yang memacu plot cerita dengan halaju yang tinggi. Novel tersebut telah ke layar perak pada tahun 1989. Karya ini masih lagi laku dan berada di pasaran.

Entri Saifai Islami kali ini mengupas novel ini yang menggunakan isu kontemporari sebagai idea utama. Berbeza dengan perbincangan sebelum ini yang banyak berpaksikan kepada sumber idea daripada idea sejarah, karya sulung Tom Clancy ini bukanlah fiksyen semata-mata, akan tetapi berpandukan peristiwa yang hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III.


1.1 Tom Clancy & Genre Techno-Thriller

Tom Clancy adalah seorang pembroker insurans ketika novel beliau melonjak di persada antarabangsa. Karya tersebut berjudul ‘The Hunt for the Red October.’ Novel tersebut telah mendapat sambutan hangat di pasaran sejak penerbitannya pada tahun 1984.

Setelah kejayaan beliau melalui The Hunt for Red October, beliau giat menulis dan memperkembang pengaruh genre tersebut melalui konflik politik dan ideologi. Karya beliau merangkumi fiksyen dan non-fiksyen. Beberapa karya beliau turut diadaptasi dan muncul di pawagam. Antara karya fiksyen novel beliau adalah The Hunt for the Red October, Patriot Games, Clear and Present Danger, Red Storm Rising, The Sum of All Fears, Rainbow Six, Cardinal of Kremlin dan banyak lagi.
Koleksi peribadi karya Tom Clancy...
Manakala bagi karya non-fiksyen, beliau seolah-olah sebagai duta propaganda pihak Amerika Syarikat kepada dunia menghebohkan teknologi terkini mereka, seperti Submarine, Armoured Warfare, Fighter Wing dan Marine. Pada pemerhatian penulis, buku-buku fiksyen beliau masih lagi laku bak pisang goreng. Didapati di gedung-gedung terkemuka seperti MPH, Times dan Popular masih berterusan menjual siri novel beliau.

Perarakan senjata Kesatuan Soviet di Red Square
ketika Era Perang Dingin
Penulisan beliau bersifat kontemporari berdasarkan senario semasa. Jika pada penguhujung 1980-an, beliau lebih membicarakan pertebungan Perang Dingin. Akan tetapi, pasca keruntuhan Kesatuan Soviet dan sistem komunisme, Tom Clancy beralih arah kepada pertembungan antara tamadun Barat dan ekstremis Islam. Perubahan corak dan pola fikir serta sudut pandang terhadap Islam agak berkait langsung dengan perubahan pemikiran yang digembar-gemburkan oleh pemikir Samuel P. Hutington dan Benard Lewis. Pemikiran cara pandangan yang serong dan picing sebelah mata terhadap Islam menjadikan Islam sebagai seteru tamadun Barat setelah kejatuhan komunisme.
Game berjenamakan nama
Tom Clancy, Ghost Recon: Future Soldier
Tidak dilupakan juga, kemunculan China sebagai kuasa dunia baru dalam bidang politik dan ekonomi menghantui Rumah Putih. Pemikiran tersebut tertuang dalam karyanya.




1.3 Tehcno-thriller Tom Clancy Kategori Fiksyen Sains?

Saya memeriksa buku-buku kajian karya fiksyen sains, genre techno-thriller tidak termasuk dalam kategori fiksyen sains. Secara umum karya ini lebih berpusat kepada teknologi persenjataan semasa ataupun masa sedikit hadapan hadapan, maka mungkin kerana itu genre ini tidak begitu ketara dikategorikan sedemikian. 
Kapal selam kelas Typhoon, milik Kesatuan Soviet
 Namun begitu, jika diimbas dan dikaji beberapa karya Tom Clancy, saya berpendapat, beberapa karya techno-thriller beliau boleh termasuk dalam sub-genre fiksyen juga. Sebagai contoh dalam novel The Hunt for Red October, memaparkan pemburuan kontroversi mengejar kembali sebuah kapal selam kelas Typhoon yang mampu melancarkan misil balistik antara benua (Inter-Continential Ballistic Missile - ICBM) terkini Kesatuan Soviet. Kapal selam tercanggih itu dipacu oleh dorongan magnetohidrodinamik ataupun singkatannya MHD. 
Begitu dalam novel Cardinal of Kremlin, memaparkan pertembungan ejen perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan KGB (perisik-polis rahsia Soviet) dalam menjejak ataupun melindungi rahsia pembinaan senjata super angkasa di Afghanistan.

1.4  The Hunt for Red October: Idea Asal
Kapten Marko Ramius, nakhoda kapal selam Red October 
dalam filem The Hunt for Red October.

Dalam entri sebelum ini, kita mengkaji bahawa para pengkarya fiksyen sains memanfaatkan sumber sejarah dalam analogi pembikinan falsafah, ideologi, psikologi watak, teknologi, latar tempat. Sumber idea sejarah menyediakan pakej lengkap meliputi aspek-aspek yang disebut tadi.
Kelasi kapal Storozhevoy ketika dahagi dalam dokumentari
History Channel, The True Story: The Hunt for Red October.

Tom Clancy menggunakan isu kontemporari dan senario semasa yang dilalui oleh kedua-dua belah pihak sebagai idea utama. Beliau berjaya mengadunkan olahan cerita dengan menggunakan manipulasikan senario, strategi, percaturan dan ideologi semasa Perang Dingin sehingga tahap seperti benar-benar berlaku. Tidak dinafikan, sejarah mengenai sesuatu peristiwa ataupun asal-usul tetap diselitkan di tempat yang sesuai.
Kapal selam terbesar di dunia, kelas Thyphoon
milik Kesatuan Soviet.

The Hunt for Red October mengambil idea daripada sebuah percubaan mutiny ataupun dahagi sebuah kapal perang kelas frigat Krivak yang bernama Storozhevoy (bermaksud Sentry atau pengawal) pada tahun 1975. Tom Clancy mengambil sejarah kurang daripada 10 tahun (novel tersebut terbit pada 1984).

Peristiwa dahagi kapal Storozhevoy begitu kritikal kerana hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III. Senario getir tersebut menjadi idea utama Tom Clancy dalam memacu jalan cerita tentang dahagi misteri seorang kapten handal Soviet, iaitu Kapten Marko Ramius. 
Kapal frigat anti-kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet,
kelas Krivak. Kapal  Storozhevoy adalah seperti ini.
Kapten Ramius adalah nakhoda kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet yang digelar sebagai Red October. Kapal selam tersebut mencetuskan tanda tanya dan misteri yang juga begitu hampir mencetuskan Perang Dunia III antara Amerika dan Soviet.


1.5   Maksud  Mutiny / Dahagi

Menurut kamus Longman Dictionary of Contemporary English (1999), mutiny bermaksud:
 “a situation in which people, especially sailors or soldiers, refuse to obey the person who is in charge of them, and try to take control for themselves.(p. 938)”

Pegawai Komisar dahagi kapal Storozhevoy, Valery Sablin, 1975
                                   
Terjemahan istilah tersebut dalam Bahasa Melayu adalah ‘situasi apabila orang, terutamanya kelasi ataupun askar, enggan untuk patuh kepada pegawai berkuasa di kalangan mereka, dan cuba menguasai organisasi (secara khususnya kapal) untuk tujuan diri mereka sendiri.’

Mutiny, diterjemahkan kepada ‘dahagi’ (p. 650) menurut An English-Malay Dictionary Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Edisi Ringkas (1995). Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dahagi bermaksud ‘penentangan terbuka terhadap pihak berkuasa (p. 303).’


1.6     Sejarah Mutiny / Dahagi

Merujuk kepada sejarah, terdapat beberapa peristiwa dahagi dalam organisasi tentera. Dinyatakan dalam buku The Encyclopedia of War (2012), peristiwa dahagi begitu berpengaruh dan mengubah perjalanan sejarah sesebuah bangsa.


Sebagai contoh, para kelasi tentera laut Jerman pada 1918, iaitu pada penghujung Perang Dunia I telah melancarkan dahagi. Dalam The Ultimate Illustrated History of World War I, Westwell (2009)  mengatakan bahawa dahagi tersebut disebabkan dengan keadaan negara Jerman yang meruncing akibat kekalahan mereka dalam perang itu. Dahagi oleh para kelasi merebak di kalangan awam, menuntut kepada pemansuhan Kaisar Jerman, iaitu Maharaja Wilhelm I. Akhirnya, Empayar Jerman beralih kepada pemerintahan bercorak republik dan tidak lama kemudian perang tersebut tamat.

Poster propaganda memperingati dahagi Potemkin

Hakikatnya dahagi kapal Storozhevoy yang dilancarkan oleh pegawai komisar tentera laut Soviet, Valery Sablin. Pegawai tersebut mengambil semangat daripada dahagi kapal battleship era Tsar yang bernama Potemkin. Dahagi tersebut dilancarkan pada 1905.



 Menurut buku The Encyclopedia of War (2012), krew kapal Potemkin daripada ‘Black Sea Fleet’ (Armada Laut Hitam) telah menentang dan mengambil alih kapal tersebut dengan membunuh tujuh pegawai mereka. Meriam-meriam kapal tersebut telah digunakan untuk membantu pemberontakan di bandar Odessa, Ukrain. Dahagi itu telah memberi inspirasi dan model kepada Revolusi Rusia pada tahun 1917. Revolusi berdarah yang  mengorbankan banyak nyawa itu telah menumbangkan kekuasaan Tsar. Justeru bermula zaman baru yang lebih gelap dan ngeri, iaitu berasasnya negara berfahaman komunisme, Kesatuan Sosialis Soviet.

1.7     Rumusan Pengenalan

Kini pada tahun 2013, karya The Hunt for Red October karangan Tom Clancy kekal bertahan dan diminati ramai sejak 28 tahun yang lalu sejak 1984. Karya-karya beliau masih terdapat di kedai-kedai buku besar dan kecil.  Karya tersebut tetap menjadi lagenda, meskipun banyak karya fiksyen lain yang tebal belaka dan isu yang tidak kurang menarik diutarakan. Apakah faktor ‘evergreen’ karya beliau masih relevan di pasaran? Sebagai andaian awal, mungkin ada benarnya pandangan  seorang yang berkecimpung dalam sastera, iaitu Faisal Tehrani dalam Karya Nan Indah beliau. Beliau mengatakan bahawa, tiga elemen yang akan menyebabkan karya menjadi ‘evergreen’ ataupun segar, iaitu bicara tentang agama, falsafah dan politik. Insya-Allah kita akan sambung wacana karya bestseller ini, dalam entri yang seterusnya:

 [Resensi] The Hunt for Red October (2): Watak & Latar Politik


NOTA:
Dr. Faisal Tehrani merupakan seorang penulis yang aktif bergiat dalam sastera. Tidak dinafikan, beliau menjadi model yang baik kepada saya dalam penulisan. Novel [1511H] Kombat telah mencetuskan saya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan secara serius. Perlu dikatakan bahawa novel fiksyen sains saya Galaksi Muhsinin (GM) mungkin ada pengaruh novel beliau, tetapi novel GM ada kerangka yang tersendiri.

Namun demikian, secara peribadi terdapat sesetengah daripada pemikiran dan fahaman beliau yang dikatakan agak kontroversial wajar dibahaskan. Dalam hal ini, saya mengambil isi penting yang baik dan relevan dalam teknik penulisan daripada buku Karya Nan Indah.