Assalamualaikum & salam sejahtera!
Maaf sudah lama tidak timbul. Hampir setahun blog ini tidak dikemaskini. Entri kali ini berbeza sedikit, melompat sebentar ke sisi Fantasi, sebelum ini tertumpu kepada fiksyen sains semata-mata. Hakikatnya, cerita fantasi adalah cerminan kepada fiksyen sains. Hanyasanya, fantasi itu kelebihannya kepada magis, mistik dan kuasa luar biasa, manakala cerminan itu, terpantul pada fiksyen sains sebagai alat teknologi yang dicipta manusia. Orson Scott Card dalam How to Write Science Fiction & Fantasy menggariskan, bahawa penulis perlu peka akan garis sempadan antara fantasi dan fiksyen sains.
Blog ini bertujuan untuk kupasan tentang fiksyen sains, tetapi jika relevan, elemen fantasi juga dimasukkan sedikit. Tambahan pula, dalam fiksyen sains kadang-kadang kadang-kadang ada elemen fantasi. Kategori ini adalah fiksyen sains hibrid (bersama fantasi). Sebagai contoh, dalam saga Star Wars, di sebalik pertempuran berbalas tembak laser, ada pula perseteruan antara Jedi dan Sith dengan pertarungan Light Saber, tidak kurang juga mereka mempunyai kuasa luar biasa yang mengalir dari the Force. Karya Dune yang dikarang oleh Frank Herbert juga, watak Paul Atreides ‘Muaddib’ meraih kuasa luar biasa dalam membalas dendam akan keluarga Harkonnen di planet Arrakis.
Watak Hero Anarkis, Putera Arthas / Lich King dalam saga Warcraft III: Reign of Chaos bersama pedang puaka Frostmourne. |
Saya bertanya kepada beliau, "Bagaimanakah yang anda sebutkan, bahan logam boleh merakam? Macam mana?"
"Ya, benar. Objek logam boleh recall (mengimbau) peristiwa-peristiwa lama yang berlaku. Misalan, seseorang yang memegang pedang yang pernah menumpahkan darah, kadangkala terimbau dengan bayangan (vision) akan peristiwa tersebut... dan tahu siapakah yang telah dibunuh."
Saya hanya bersangka baik sahaja, itu adalah pengalaman beliau. Dapat atau tidak 'bayangan' peristiwa lampau, bergantung kepada keupayaan seseorang. Boleh jadi itu adalah kurniaan Ilahi, keistimewaan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ada keistimewaan tersebut. Hal 'mistik' ataupun ghaib seperti ini, adalah sesuatu yang di luar norma kebiasaan manusia.
"Kalau meriam?"
Meriam gergasi Sri Patani dalam filem fantasi-sejarah, Queen of Langkasuka. |
"Termasuk sekali. Oleh sebab itu apabila kita berhampiran dengan objek lama, contoh di muzium. Kadang-kadang meremang bulu roma kita. Objek logam lama mempunyai aura perakam."
Saya teringat akan perbincangan lampau, bahawa mahkluk Tuhan yang bernama jin itu tertarik kepada elemen logam. Memang sukar dijelaskan dengan ukuran sains. Ini kerana makhluk halus ciptaan Tuhan ini adalah sesuatu yang di luar dimensi kita. Tidak diketahui keadaan sebenar melainkan Allah dan sesiapa yang Dia izinkan ataupun memberi ilmu akan perkara ini.
Mungkin kadangkala masuk akal juga. Sebagai contoh, kita ada sentuh bahawa makhluk jin ini tertarik kepada unsur logam. Ada juga terfikir dari sudut saintifik, mengapakah makhluk jin ini merasuk dan masuk ke dalam badan manusia? Kerana manusia terbina daripada zat logam. Darahnya mengandungi zat besi yang mengalir di seluruh badan.
Beliau berpesan, "Oleh itu, jangan simpan sembarangan barang-barang antik. Terutamanya pedang ataupun keris. Silap-silap boleh menghantui diri kita."
Ya, semuanya dengan Qudrat dan Iradat Allah. Kepada-Nya kita meminta perlindungan.
Tiba-tiba teringat... boleh jadi perkara ini yang menjadi pengalaman orang terdahulu, ada berkait rapat dengan cerita-cerita lagenda ataupun fantasi. Iaitu seringkali tema sesuatu cerita para pahlawan, apabila mereka beroleh sesuatu pedang lagenda ataupun pedang puaka yang membolehkan mereka mengatasi musuh, normanya kuasa itu diperoleh dengan galang ganti sesuatu, dan pedang ini seolah-olah menguasai dan 'memakan diri' si pemegang pedang. Sebagai contoh, kisah putera Arthas, anak kepada Raja Menethil kerajaan Lorderon bumi Azeroth dalam saga Warcraft, Arthas telah bermati-matian mendapatkan sebuah pedang lagenda Frostmourne.
Pedang ini kononnya mempunyai kuasa yang luar biasa, tetapi dengan balasan, jiwanya 'akan diambil' apabila menumpaskan musuh. Akhirnya, keseluruhan jiwa Arthas yang baik itu telah tertawan dan dikuasai oleh entiti yang amat jahat, iaitu empunya pedang, si Lich King. Oleh sebab tiada lagi kemanusiaan berakar umbi di sanubari Arthas, maka ayahnya telah menjadi mangsa. Kerajaan Lorderon yang agung itu pun tumbang.
Kerajaan Lorderon dalam Warcraft III: Reign of Chaos |
Mungkin juga ada di kalangan pemegang pedang ini dihantui oleh bermacam-macam bayangan ngeri ataupun adanya makhluk halus tersebut berdampingan dengan senjata tersebut. Perkara ini tidak hairan boleh berlaku, dan sukar dibuktikan dengan kaedah saintifik.
Penulis sekadar ceritakan sahaja rentetan ini dan tidak ingin melanjutkan dengan lebih panjang. Pada diri penulis, segala lagenda yang berkaitan ini, boleh jadi terbit daripada pengalaman-pengalaman orang terdahulu dalam menguruskan ataupun bersama alat mereka. Boleh jadi benar, boleh jadi hanyalah hikayat fantasi semata-mata.
Allah jua yang Maha Mengetahui.
Sekadar perkongsian, Wassalam!
No comments:
Post a Comment