Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Sunday, August 5, 2018

Catatan Membelah Awan 3.0

Mungkin saja ceriteranya sudah berlalu…

Segala Puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. moga Allah memberikan rahmat buat ahli keluarganya (Ahli Bait), para Sahabat dan manusia yang menuntun jalan mereka sehingga Hari Kiamat.

Catatan Membelah Awan 2.0 (CMA 2.0) seakan-akan baharu saja berlaku. Begitulah kehidupan, meredah ketentuan Iradat dan Qudrat-Nya. Syukur kali ini aku mengembara lagi! Misi perseorangan (lagi) menempuh tiga hari dua malam di negeri seberang. Diri dalam musafir ini merasa kosong tanpa teman. Kalimah-Nya suci menjadi ubat keheningan ini.

Kelihatan nun jauh di sana terbentang ladang-ladang sawit sehingga ufuk sempadan langit dan bumi. Ternampak juga kepulan asap putih keluar dari corong tinggi dalam kawasan bulat di tengah-tengah ladang sawit. Setakat pengetahuanku, iatu adalah kawasan loji sawit. Dari jauh persis seperti menara Saruman bersama kuncu-kuncu orc, goblin dan Uruk-hai dalam Lord of the Rings: Two Towers.

Oh. Lupakan saja cerita maya itu. Kembali ke alam realiti.

Pesawat mendongak pantas ke arah langit biru. Deruan enjin begitu kuat memberi daya tolak menghasilkan tujah ke hadapan. Lori, kereta dan bas kelihatan kerdil bergerak di jalanan umpama mainan anak kecil. Perumahan dan bangunan kota ini kelihatan bak seperti model yang dibina arkitek. Diri tidak jemu mengambil gambar panorama indah dari pesawat walau terbang merantau seperti ini menjadi rutin suatu masa dahulu. 

Betapa itu membuktikan bahawa pancaindera ada hadnya. Teringat Imam al-Ghazzali (w. 505H / 1111M) dalam kitab beliau al-Munqidz min al-dhalal (Penyelamat daripada Kesesatan) menyebutkan batasan pancaindera seperti mata terpedaya dengan saiz sesuatu dengan hakikat sebenar tentangnya:

Contoh lain, deria penglihatan melihat bintang-bintang di langit, ianya nampak sangat kecil seperti syiling dinar, kemudian dengan pengiraan geometri ternyata menunjukkan bahawa ukuran bintang itu sebenarnya lebih besar daripada bumi.
Dalam kes ini dan kes-kes yang mirip dengannya, deria sebagai penilai membuat penentuan, tetapi penilai yang lain, iaitu akal, berkali-kali menunjukkan kepada penilai pertama tadi bahawa ia tersalah dan tidak ada jalan mempertahankannya. 

Imam al-Ghazzali membuktikan keterbatasan pancaindera kemudian membawa kepada had yang boleh dicapai oleh akal. Had akal manusia perlu dibimbing oleh Wahyu Tuhan yang dipimpin oleh para Nabi dan Rasul.

Perjalanan kali ini juga berkait dengan Fiksyen Sains (Science Fiction = Sci-fi = SaiFai) sepertimana dalam catatan yang lepas. Dalam dua hari ini diri akan menghadiri Bengkel Cereka Sains di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Penulis mengambil peluang untuk belajar berkarya daripada novelis lagenda fantasi negara, Tuan Ahmad Patria bin Abdullah. Peluang hanya sekali dan tiada pasti bila lagi. Beliau merupakan anak Sasterawan Negara Kelapan, Tuan Abdullah Hussain. Beliau aktif mengarang sejak 1987 yang kini sebanyak 15 novel beliau telah hasilkan. Terkini, beliau telah menyiapkan novel keempat siri Kronika Nashan yang diterbitkan oleh Penerbit-X.

Lumrah diri ini begitu ingin mengembara sambil melihat, merenung dan menggarap makna hidup. Fiksyen sains (SaiFai) sudah menjadi sebahagian daripada hidup. Kata-kata tajam Tuan Ahmad Patria sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2017 di PWTC bagai menembus ke dada, “Engkau dah berhenti menulis?” Tidak, cuma masih tertangguh.

Bukannya tidak mahu menulis. Cuma perlahan. Berhenti, rebah dan bangkit kembali. Proses yang meletihkan itu seringkali berulang-ulang sehinggalah hari ini. Harapan menggunung agar dapat menyegarkan semangat lama itu kembali. Dek kerana keutamaan komitmen terhadap agama, masyarakat, generasi, keluarga dan anak-anak. Ya, mungkin kekangan masa itu sebagai alasan. Dan sememangnya kurang daya upaya untuk usaha lebih.

Baru sahaja beberapa hari yang lepas, aku dan rakan-rakan membantu melaksana program khidmat masyarakat di pedalaman di sempadan Miri-Bintulu. Tidaklah jauh, lebih sikit daripada 100 km, lebih dua jam perjalanan iaitu di Kpg. Iran dan Kpg. Tegageng. Sebahagian perjalanan melalui jalan tidak berturap.

Bersama dengan kami Sukarelawan al-Falah Sarawak (SAFS) Unit Miri adalah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Biro Fardhu Kifayah Masjid at-Taqwa Miri, Kolej Komuniti Miri, Sukarelawan al-Falah (SAF) Kebangsaan dan penduduk tempatan.

Pengalaman selama beberapa hari itu amat berharga buat kami. Betapa di sini memerlukan bimbingan dan pimpinan hidup beragama dan kerohanian mereka. Salah satu lokasi di tempat ini, mereka tiada imam selama 20 tahun kerana imamnya meninggal dunia 20 tahun lepas! Syukur dengan izin-Nya, kami diberikan kesempatan untuk menghidupkan aktiviti keagamaan di sini. Moga lahir dari sini pelapis-pelapis generasi yang terus membawa obor Islam di kawasan jauh ini.

Kami merasa amat malu jika disebut sebagai ‘pendakwah’ ataupun lebih canggung ‘ustaz.’ Kami masih lagi belajar untuk menyempurnakan ilmu dan amal. Datangnya kami dengan kenderaan. Datangnya kami dengan sambutan mesra penduduk tempatan. Datangnya kami dihidang dengan santapan yang lazat. Datangnya kami dengan segala kemudahan yang disediakan oleh pihak kampung. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat Baginda menempuh segala kesusahan. Mereka disambut dengan kecaman bahkan ancaman nyawa. Mereka menahan lapar berhari-hari sehingga mengikat perut. Mereka datang dengan segala kekurangan bekalan dan kelengkapan. Akan tetapi berkat ikhlas mereka kerana mahukan agama tertegak dalam setiap hati manusia, Allah telah memuliakan mereka dengan Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Kami hanya mampu mengikut jejak mereka sahaja.
 
Dengan sedikit asas yang kami ada, amat bermakna buat mereka di sini. Terasa amat banyak kekurangan dalam khidmat kami. Namun kunjungan kami selama tiga hari ini, terdapat empat perkara praktikal (amali) yang perlu diambil perhatian:

1. Niat hendaklah dijaga agar sentiasa ikhlas kerana Allah S.W.T. Hati-hati dengan jerangkap licik Syaitan yang boleh menjadikan hati kita tergelincir dan termakan pujuk rayunya. Ya, di sana-sini orang memuji usaha kita. Tiada apa yang harus dibanggakan. Inilah kerja kenabian yang perlu dibuat oleh semua orang yang ada iman dalam hatinya. Apa yang dibuat pun masih terlalu kecil dalam masa yang singkat. Tiada apa-apa pun yang perlu dibanggkan.

2. Perlunya ilmu dan amal asas fardhu ain yang mantap. Berdasarkan soalan-soalan penduduk tempatan, ramai di kalangan mereka masih bertanya akan konsep-konsep yang benar-benar asas. Jawab sekadar keperluan dan jangan ajukan dengan isi pengajaran yang terlebih dalam. Tahap mereka hendaklah kita fahami dan santuni.

3.  Berdasarkan (2), perlu bersedia dengan ilmu yang kita ada akan apa-apa keadaan yang mungkin kita tidak pernah ataupun sedikit pengalaman mengenainya. Sebagai contoh, apakah yang anda akan lakukan jika tiba-tiba diumum oleh pihak masjid bahawa kita akan menyampaikan Khutbah Jumaat? Bersedialah walaupun tangan menggeletar atau kaki bergetar ketika berdiri di depan khalayak ramai!

4.  Orang khidmat program hendaklah ‘pandai membawa diri’ bergaul dengan masyarakat. Elakkan daripada bersikap elitis duduk bersama urusetia atau kelompok kita sahaja. Bergaul dengan mereka dalam mengenalpasti setiap lapisan umur masyarakat mempunyai gaya bahasa, pemikiran dan sensitiviti yang berlainan. Melalui interaksi dengan masyarakat, kita dapat mengetahui kehidupan mereka: rutin hidup, pekerjaan, suasana persekitaran, taraf hidup, tahap kefahaman dan amalan agama, cara fikir, cara bertindak, fenomena/tabiat masyarakat dan pelbagai lagi. Kesemua ini jika digabungjalinkan akan membantu perencanaan program susulan yang bersesuaian buat mereka pada masa akan datang. Dalam masa yang terhad dan agak sukar dicapai, masa yang ada hendaklah digunakan sepenuhnya agar mereka mendapat manfaat yang sebaik mungkin.



Fikiran beberapa hari lepas itu terhenti sejenak. Terasa hangat bahang dari cermin tetingkap. Sejak tadi menjenguk-jenguk ke bawah dengan harapan dapat melihat kepulauan Natuna di Laut Cina Selatan. Namun kali ini tidak kelihatan kerana awanan putih melata bagai permaidani kapas terhampar seluas saujana mata memandang. Tidak habis lagi penat program lepas, di hadapan ada juga perjalanan dan program yang ditempuhi.

Sungguhpun bunyi SaiFai adalah aneh, ganjil lagi pelik, namun itulah yang kita telah berinteraksi dengannya dalam kehidupan seharian. Sungguhpun SaiFai adalah saluran wacana fikir falsafah dan sains moden sekular, namun jika ditangani dengan bijaksana dapat dimanfaatkan dalam saluran medan dakwah. Tradisi cendiakawan dan ulama silam yang berwibawa telah menunjukkan interaksi ilmiah mereka secara adil dan saksama sepertimana bidang falsafah. Berhadapan dengannya, menyaring mana yang benar atau batil, iman atau kufur dan mengenalpasti unsur yang tidak berbahaya kepada pegangan akidah dan dipetakan sewajarnya dalam tradisi keilmuan. SaiFai jangan dibuang, tetapi diri memandang wajar kita berinteraksi dengannya sepertimana contoh yang telah ditempuh oleh bijak pandai kita.

Rasanya perlu disudahi coretan catatan membelah awan kali ini. Oh ya, sebelum terlupa! Dalam CMA 2.0, diri teralih tumpuan kepada isu masa depan negara. Sekarang belum sampai 100 hari, macam-macam perkara yang merisaukan sudah pun berlaku, khususnya dalam hal bersangkutpaut akan agama Islam. Ramai yang mengeluh. Ramai yang marah. Ramai yang mahu tukar. Tapi kena tunggu lagi 5 tahun! Marilah kita berdoa kepada Allah agar negara yang tercinta ini tetap hidup aman dan harmoni tidak kira latar pegangan, bangsa dan taraf hidup kita.  

Masa untuk membuka kembali pendefinisian SaiFai daripada pakarnya. Dibawa bersama perjalanan ini adalah buku kritik sastera yang dikarang oleh Adam Roberts melalui buku Science Fiction: the New Critical Idiom (2000). Rasanya dah lumat buku ini dengan penanda berwarna, definisi kamus sastera dan nota kaki sejak 2011 lagi. definisi menarik daripada Darko-Suvin, Robert Scholes dan Damien Roderick. Lembaran dibuka dan ditatap walau mata sudah berat dengan bunga-bunga mengantuk!

Moga bermanfaat pertemuan yang bakal tiba ini kelak!  


Ikuti episod seterusnya di…

Catatan Membelah Awan 4.0