Mungkin saja ceriteranya sudah berlalu…
30 April 2018
30,000 kaki
Laut Cina Selatan
Syukur dan Puji kepada Allah Taala, Tuhan Sarwa Alam. Selawat atas Junjungan Utusan-Nya yang Mulia, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Semoga Kesejahteraan dilimpahkan buat ahli keluarga Baginda, Sahabatnya dan orang-orang yang menuntun jalan-Nya yang lurus.
Kali ini aku merentas lautan ini lagi. Tarikh yang lebih kurang sama, tujuan yang sama, tapi tahun berbeza. Jika terdahulu aku ditemani isteri, anak-anak dan seisi keluarga, namun musafirku kali ini berseorangan. Terasa benar sunyi tanpa teman perjalanan yang jauh ini.
Mentari menyinar terik di langit. Bahang haba suria terasa di jendela pesawat. Menjenguk ke bawah aku lihat permandangan ciptaan Allah S.W.T yang amat indah. Pulau Natuna milik Republik Indonesia dikelilingi lautan. Sebuah pulau yang besar bagiku dari dari aras yang tinggi ini. Kelihatan adanya juga pulau-pulau kecil dan atol bulat terumbu karang yang tampak dari atas. Aku terimbau, adakah ini Pulau Siantan yang pernah disebut oleh Raja Ali Haji dalam adikarya historiografinya Tuhfat al-Nafis? Aku juga pernah terbaca, pulau yang strategik ini pernah menjadi pangkalan kapal selam Nihon Kaigun atau Angkatan Tentera Laut Imperial Jepun dalam Perang Dunia II.
Pesawat kini meluncur kembali meredah pemandangan yang sama. Langit membiru di ufuk langit. Tompok-tompok kecil awanan putih ibarat kapas di atas samudera yang tiada berpenghujung. Dalam catatan lepas, fikiranku tertumpu kepada temasya yang bakal berada di hadapan. Benakku tidak sabar menanti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang penulis fiksyen sains (2016 dan 2017); lama dan baharu berhimpun berkongsi idea sesama kami. Namun tahun ini kurasa berbeza sekali. Menjengah tahun 2018, momentum fiksyen sains tempatan kali ini kembali perlahan. Ya, setahuku tiada sangat karya fiksyen sains terbaru tahun ini, termasuk diriku.
Meredah langit dan lautan membiru di luar, entah mengapa musafir kali ini kurang bersemangat. Adakah kerana sunyinya perjalanan? Adakah kerana kerisauan tanggungjawab yang ditinggalkan di belakang? Atau sejak sekian lama karya tidak keluar-keluar lagi?
“Engkah dah berhenti menulis?” tanya Tuan Ahmad Patria pengarang Saga Artakusiad dan Kronika Nashan kepadaku di PWTC tahun lepas. Perbincangan kami tahun lepas masih segar di ingatan. Nasihatnya masih terngiang-ngiang sehingga saat sekarang.
Entah mengapa. Biasanya aku bisa melelapkan mata ketika dua jam penerbangan ini. Akan tetapi tidak kali ini. Fikiranku berbolak balik antara dua persoalan:
1. Tarikh PBAKL kali ini hampir benar dengan Ramadhan. Adakah cukup bekalan persediaan sebelum menghadapinya?
2. Dan temasya PBAKL begitu hampir dengan tarikh haluan negara: PRU-14. Apakah yang akan berlaku kelak? Apakah nasib Islam dan umatnya di negara ini?
Ternyata berulangkali persoalan kedua sering muncul di awangan fikiran. Calon-calon sudah pun diumumkan. Beberapa kawan lama sudah mengorak langkah memasuki gerbang berpolitik. Beberapa bulan sebelum itu pun kempen dan propaganda pihak masing-masing sebenarnya sudah pun berkumandang. Di kiri dan di kanan, di alam nyata dan maya, di mana-mana manusia sudah berbicara tentang persoalan ini. Seringku lihat kata-kata diungkapkan dengan berbaur kebencian, emosi yang mempamerkan hilangnya adab.
Alangkah ajaibnya politik. Ada orang yang dibenci, dimaki hamun, ditohmah dan dicerca suatu masa dahulu sudah dipuja-puji. Yang dibenci menjadi bahan ejekan dan kejian ke lembah yang paling hina. Budak-budak mentah pun sudah berbicara melangit hal negara menurut persepsi populis media sosial yang tidak ada hujung pangkalnya. Tidak kurang ada juga si anak yang mengugut ibu untuk tidak balik Raya andai pangkah bukan pilihannya!
Semakin hampir 9 Mei 2018, semakin kencang gelombang fenomena itu melanda. Hal ini begitu dirasai di seberang tanah di sana, tetapi nampak damai di negeriku. Sehinggakan orang dari seberang bertanya, “Di sini tak ada pilihanraya kah?”
Dalam pemerhatianku, ramai rakyat yang menzahirkan perhatian tentang luaran semata-mata, tetapi malangnya nasib agama dikesampingkan dan dilupakan. Asal yang seorang itu jatuh, negara selamat daripada hutang, cukai pemeras dibasmi dan hidup pun senang.
Mana satu yang hendak dipilih?
Di sebelah sana, berdirinya barisan pemerintah yang cuba bertahan menegakkan apa yang telah dibina selama enam dekad. Pelbagai cerita dan berita yang pasti dan tidak pasti melingkungi mereka ini. Dan beberapa dekad mutakhir ini pelbagai kepincangan didedahkan oleh pihak lawan.
Di sebelah satu lagi, adanya satu pakatan yang tampak berdiri teguh bersatu di belakang pemimpin lama dengan harapan membina negara baru. Mereka menjanjikan menyelamatkan negara keluar daripada kancah kebinasaan.
Dalam banyak hal, yang aku sering fikirkan adalah bagaimanakah survival agama Islam Ahli Sunnah wal Jamaah di negaraku ini? Dan terlebih lagi bagaimanakah nanti di negeriku yang kami ini bilangannya amat sedikit? Bagaimanakah nanti dapat kekal bertahan dengan segala kelemahan yang ada?
Aku teringat akan prinsip yang dikemukakan yang pernah aku dengar daripada seorang guru, “Andai kedua-dua pilihan adalah pihak yang rosak, pilihlah pihak yang kurang mudarat kepada agama.” Aku juga pernah mendengar, antara prinsip dalam Ahli Sunnah wal Jamaah ialah selagi pemimpin walaupun zalim itu masih memberikan ruang untuk Islam diamalkan dan dakwah dapat disebarkan, maka janganlah menjatuhkannya kerana boleh jadi digantikan dengan pemimpin lain yang membawa lebih mudarat kepada agama. Sudah tentu sekali kita juga bertanggungjawab kelak.
Perang saudara Syria masih berkecamuk. Sisa-sisa Kebangkitan Arab tidak menunjukkan perubahan positif yang diharapkan. Dek kerana mahu menggulingkan pemerintah yang zalim dengan cara pintas, timbul kekacauan, pertumpahan darah dan kesengsaraan yang lebih parah.
Berbalik kepada persoalan tadi. Jika hendak dipilih pihak pemerintah, ia sudah pun dikenal dengan kepincangan sungguhpun ada kebaikan yang mereka buat. Akan tetapi aku melihat Islam tampak terpelihara dan suara-suara sumbang terhadap Islam di negara ini dibendung.
Hendak dipilih satu pihak lagi, tampak gah dengan bunyinya memperjuangkan nasib rakyat. Ya, tampak bertenaga dan bersemangat dengan kempen dan pidato mereka. Aku juga mengharapkan ada perubahan yang sangat baik kepada negara dan masyarakat. Akan tetapi hakikatnya aku ada kerisauan pihak yang ini. Aku yakin kerisauanku ini berasas.
Sejak zaman universiti lagi aku sering mengikuti perkembangan puak ini. Ada di kalangan mereka pernah dikenal sebagai aktivis dakwah, anehnya ada yang terpengaruh dengan liberalisme dan pluralisme. Tidak kurang juga ada di kalangan parti komponen mereka ini pernah menzahirkan sikap prejudis dan tidak menghormati sensitiviti Islam dan umatnya. Musim kempen sekarang semua yang tampak negatif itu terbenam dalam lautan seruan pembaharuan. Kebencian terhadap sesuatu perkara lazimnya membutakan pertimbangan kita, sehingga tidak nampak bahaya yang lebih parah.
Ya, mungkin ramai yang pandang remeh sebab ‘soal agama’ sahaja, sebab soal ekonomi, soal poket sendiri dan halatuju negara dianggap lebih penting daripada segalanya. Walhal kejayaan yang hakiki adalah kepedulian kita dalam menjaga pegangan keimanan dan amalan di samping mengurus hal duniawi. Sering aku bimbangkan, adakah selamat iman dan akidah anak-anakku pada suatu hari kelak andai perubahan yang berlaku kelak semakin mengikis keutuhan di negara ini?
Mari kita lihat nanti apakah yang akan berlaku pada minggu hadapan. Kata orang ‘Hari mengundi, hari keramat penentu masa depan negara.’ Seakan-akan kita penentu untung nasib mutlak hidup ini. Seakan-akan kita lupa siapakah penentu sebenar dalam hidup kita. Apa yang kita usahakan zahirnya merupakan kasab atau usaha ikhtiyar kita sebagai makhluk. Hakikatnya telah ditentukan oleh Allah dengan sifat Qudrah (Maha Berkuasa) bertepatan dengan sifat Iradat (Maha Berkehendak) dalam Ilmu-Nya (Maha Mengetahui).
Dalam kerisauanku ini, ada juga aku terkenang orang yang baik perwatakannya. Aku hairanorang semacam jenis ini yang tidak ada khuatir atau merungut dalam hidupnya. Tawakkalnya luar biasa, jarang dijumpai pada zaman yang serba bingung ini.
Dalam kerisauanku ini, ada juga aku terkenang orang yang baik perwatakannya. Aku hairanorang semacam jenis ini yang tidak ada khuatir atau merungut dalam hidupnya. Tawakkalnya luar biasa, jarang dijumpai pada zaman yang serba bingung ini.
Katanya “Apa yang nak dirisaukan, semua yang berlaku adalah Ketentuan daripada Allah. Kita nak ubah yang di atas atau yang lebih tua mungkin tidak dapat. Apa yang penting adalah kita menjalankan tugas kita. Tugas kita membina generasi yang berpegang teguh dengan ugama. Generasi yang ada ilmu dan mempunyai akhlak dan adab-adab Kenabian. Biarlah apapun yang melanda, kita tetap teguh atas jalan manhaj Nabi Muhammad s.a.w.”
Ya, benar katanya. Sebagai seorang yang biasa, iman ini masih goyang terasa belum bergantung sepenuhnya kepada-Nya. Masih lagi melihat kepada kasab atau usaha makhluk. Astaghfirullah! Semoga Allah mengampuniku!
Terasa gegaran yang kuat dalam pesawat. Tanda memakai tali pinggang keselamatan dinyalakan. Aku menjenguk ke jendela, sudah kelihatan tanah seberang. Negeri Pahang atau Johor, mungkin. Awanan yang tinggi seperti gunung menaungi bumi. Maknanya tidak lagi pesawat akan mendarat di KLIA2.
Hatiku berdetik, “Beginilah analogi suasana PRU-14 ini. Aku terbang meninggalkan kampung halamanku sebentar dengan lancar tiada angin kuat, tiada ‘air pocket.’ begitulah suasana PRU di Sarawak, tidak sesengit di Semenanjung. Akan tetapi apabila tiba di seberang di pesisiran Pantai Timur, pesawat angin kuat di sebelah ini. Tetapi begitu terasa goncangnya bagai badainya di seberang sini.”
Tanah kelahiranku: Miri Sarawak |
Salah satu harapan juga agar dapat memulihkan semangat menulis kembali. Ada hikmahnya sekuel sambungan novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (2008 dan 2016) belum bersambung segera. Dengan muncunya pelbagai kajian terutamanya mengenai tamadun Alam Melayu-Islam, insya-Allah mudahan azam menghasilkan karya berkualiti kelak, insyaAllah!
Aku mendoakan agar PRU-14 kali ini berjalan dengan lancar dan aman. Aku juga berharap Malaysia berada di tahap yang lebih baik dan masih terbuka ruang untuk ketahanan Islam dan umatnya di bumi bertuah ini.
Novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (ulang cetak 2016) |
Hanya kepada Allah aku berserah!
Ikuti episod seterusnya di…
Catatan Membelah Awan 4.0
No comments:
Post a Comment