Sebuah catatan yang lama...
7.45pagi
38,000 kaki
Laut China Selatan
Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Moga Allah merahmati Ahli Baitnya, sahabatnya, ulama wibawa yang benar dan sesiapa yang menuntuni jalan mereka selamanya sehingga Hari Kiamat.
Puji dan syukur buat Allah, Tuhan yang Mentadbir sekalian alam. Yang menjadikan alam ini untuk manusia. Yang mengizinkan melayangnya pesawat yang berat ini ke udara, dan menahannya daripada jatuh ke bumi. Sungguh Agungnya Dia yang Esa, bumi terserlah maha luas hamparan laut dan darat tika biji mataku ini jauh merenung dari langit.
Saat ini aku berkira-kira ramai manusia dalam pesawat ini yang dibuai mimpi. Lazimnya penerbangan selama dua jam merentas Laut Cina Selatan bisa menyebabkan mata mengantuk. Anak-anakku sudah tidur, maka satu peluang keemasan aku mencoret dakwat mengarang fikiran di atas kertas.
Inilah buat pertama kali kami sekeluarga berkumpul dan bercuti bersama-sama. Satu kegirangan juga adalah, novelku karya fiksyen sains Galaksi Muhsinin baharu sahaja dicetak semula oleh Penerbit-X. Destinasi utama kami bakal menuju ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang. Bukan sekadar itu sahaja, aku teruja dengan forum berkenaan fiksyen sains dalam program itu kelak, bertemu dengan wajah-wajah veteran dan penulis yang baharu. Di samping itu bolehlah nanti bertukar-tukar fikiran. Almaklumlah, fiksyen sains ini masih belum ramai 'pemain'nya yang terlibat dalam gelanggang ini.
Pesawat meluncur laju meredah awan. Detik demi detik berlalu meredah ruang. Entah berapa liter banyaknya bahan api yang telah dibakar menghasilkan daya ke belakang, imbangannya ada daya tujah ke hadapan. Maha Suci Allah begitulah Dia menciptakan keadaan sunnah-Nya sedemikian supaya manusia boleh menggunakannya.
Definisi Umum Fiksyen Sains
Aku tidak bermaksud untuk mencoret begitu teliti kali ini. Dalam keadaan musafir beribu batu, tiada rujukan yang dapat dibekal melainkan bacaan yang pernah ditatap selama ini. Aku menganggap bahawa catatan ini adalah semata-mata ulangkaji sebelum bertemu dengan penulis-penulis fiksyen sains kelak.
Penganalisa fiksyen sains, Adam Roberts melalui karangannya Science Fiction: the New Critical Idioms (2002) menyatakan tiada takrifan yang khusus dapat disimpulkan tentang fiksyen sains. Ini kerana, terdapat banyak takrifan yang diungkapkan oleh pengkaji. Beliau mengkaji beberapa definisi lain daripada pengkritik fiksyen sains, tetapi tidaklah dapat dimuatkan di sini kesemuanya.
Satu definisi yang ringkas kepada pemaknaan fiksyen sains adalah melalui kata-kata Ben Bova: iaitu satu bentuk cerita yang berpaksikan kepada sains dan teknologi. Andai kata dikeluarkan atau dihilangkan elemen atau unsur itu, maka karya itu bukanlah lagi tergolong dalam fiksyen sains. Beliau juga mengaitkan fiksyen sains merupakan fiksyen spekulatif yang membayangkan keadaan manusia pada masa hadapan.
Dahulu fiksyen sains bermula dalam berbentuk prosa (karangan) novel. Apabila berlalu zaman, genre ini berkembang dengan pesatnya. Seiring dengan teknologi terutama pencetakan dan media massa, fiksyen sains berkembang dengan bentuk komik, animasi, filem dan game. Fiksyen sains sudah menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat. Bentuk-bentuk tersebut zahirnya bercirikan teknologi futuristik tetapi tidak ramai di kalangan mereka sedar itu adalah satu bentuk fiksyen sains.
Sejarah Ringkas Fiksyen Sains
Satu himpunan kajian fiksyen sains oleh pengkaji dan penganalisa fiksyen sains dalam Routledge of Science Fiction (2009) menyelusuri jejak karya fiksyen sains daripada asal-usul akarnya. Para pengkaji membahagikan perkembangan genre ini kepada beberapa fasa peringkat mengikut zaman.
Sesetengah daripada mereka mengenalpasti sejumlah penulis daripada pengarang silam. Dahulu belum disebut sebagaimana sebutan kita sekarang (science fiction atau singkatan sci-fi atau SF; Bahasa Melayu fiksyen sains) tetapi digelar sebagai pengembaraan yang ajaib atau menakjubkan.
Sebahagian pengkaji mengenaitkan dengan hikayat purba seumpama epik Sumeria seperti epik Gilgamesh. Ada juga yang menganggap bahawa Nicholas Copernicus, seorang ahli astronomi negara Poland abad ke-16 sebagai perintis kepada fiksyen sains. Tetapi ramai yang bersepakat bahawa perintis sebenar kepada genre ini bermula pada abad ke-19, iaitu ketika Revolusi Perindustrian rancak berkembang di Eropah melalui penulis Frankenstein (1818) oleh Mary Shelley dan dua tokoh besar Jules Verne dan H. G. Wells.
Para pengkaji membahagikan pengkaryaan fiksyen sains kepada beberapa zaman. Iaitu Era Klasik, Era Pulp, Era Keemasan dan Era Gelombang Baru sehingga kini.
Era Klasik
Abad ke-19 (1800 sehingga 1899) dianggap sebagai zaman perintis fiksyen sains memasuki bidang sastera. Bermula di Eropah ketika Revolusi Perindustrian dan penjarahan-penjajahan (imperialisme/kolonialisme) berada di puncaknya, masyarakat Barat sudah terdedah dengan anjakan kehidupan baharu yang belum bermula di penjuru dunia yang lain. Ini merupakan era penyelidikan, penemuan dan inovasi sains dan teknologi. Era ini juga jentera wap atau stim giat dibangunkan. Pada akhir abad ke-19 era elektrik dan jentera pembakaran dalaman petrol/diesel mengalami kepesatan. Hal ini menjadikan mereka mengungguli masyarakat benua lain dari segi kebendaan.
Ketika abad ke-19 ini lahir pemikir dan penulis yang meneroka apakah manfaat, kesan atau akibat yang akan dihadapi oleh manusia dengan sains dan teknologi. Mary Shelley secara tidak langsung melalui Frankenstein menyatakan kebimbangannya jika manusia menyalahgunakan sains akan membinasakan dirinya.
Dua tokoh yang dianggap sebagai perintis utama fiksyen sains adalah Jules Verne, dengan karyanya seperti 20,000 Legues Under the Sea, Journey to the Moon,
Journey to the Centre of the Earth, Around the World in 80 Days dan lain lagi. Seorang lagi pada separuh akhir abad ke-19 iaitu H. G. Wells yang mengarang Time Machine, War of the Worlds dan lain lagi. Karya mereka mendapat sambutan yang luar biasa dan menjadi fenomena ikutan kepada pengkarya selepas mereka.
Era Pulp
Peringkat fiksyen sains seterusnya adalah Era Pulp kira-kira pada awal abad ke-20 (1900-an) sehingga sekitar awal 1940-an. Era ini menyaksikan kebekuan dan keuntuan idea fiksyen sains. Penulis sebahagian besar hanya mengarang idea tema yang berulang-ulang berdasarkan Era Klasik (Verne dan Wells). Pada era inilah komik dan layar perak mula menjadi sebahagian daripada bentuk selain daripada karangan novel atau cerpen.
Fiksyen sains digelar sebagai 'pulp' kerana dibukukan dengan kertas murah. Kekontangan idea ini menimbulkan kebosanan dan rasa tidak percaya kepada peminat fiksyen sains terutama di kalangan generasi baru. Pengkaji menyatakan bahawa nazaknya keadaan fiksyen sains sewaktu yang menunggu masa untuk dikuburkan. Walaubagaimanapun, dalam era inilah gelaran science fiction digunapakai bermula daripada Hugo Gernsback pada tahun 1926.
Namun begitu, pada akhir Era Pulp, muncul barisan tokoh pengarang fiksyen sains yang berfikir luar daripada lingkaran yang lama. Mereka adalah seperti Edgar dan John Campbell.
Era Emas
Fiksyen sains berada dalam keadaan yang amat runcing di Amerika pada tahun 1930-an. Karya yang dihasilkan amat tidak memuaskan. Akan tetapi pada awal 1940-an, iklim kemarau itu mula tampak perubahan yang memberansangkan. Gerhana yang berlaku dalam tempoh itu mula beredar dan menerbitkan cahaya baharu. Gelombang baru terbit di kalangan penulis berwibawa yang dapat merombak keadaan dan membawa fikyen sains ke tahap yang lebih baik.
Pada lewat 1940-an dan menjangkau kepada 1950-an, muncul pengarang bernafas baru seperti Isaac Asimov dan seangkatan dengannya. Pengkaji menganggap zaman ini adalah Era Emas fiksyen sains. Isaac Asimov merupakan tokoh yang paling terkemuka dalam genre ini dan meletakkan fiksyen sains dalam kegiatan kesusasteraan kepada aras yang disegani. Justeru karya era ini mempengaruhi pengarang pada zaman selanjutnya terutama pada 1960-an dan 1970-an.
Era Gelombang Baru
Dekad seterusnya menganjakkan fiksyen sains ke tahap yang lebih ke hadapan. Pada tahun 1960-70-an ini lahir pengkarya yang dianggap sebagai adikarya dalam fiksyen sains. Frank Herbert yang mengarang novel Dune (1965) dan sejumlah sekuel yang lain dianggap sebagai kemuncak adikarya (masterpiece) dalam fiksyen sains.
Pada era ini muncul George Lucas yang melonjakkan lagi fiksyen sains ke layar perak. Sungguhpun sebelum itu Star Trek (1966) mencetuskan gelombang kegilaan pengembaraan angkasa, akan tetapi Lucas telah menganjakkan fiksyen sains dengan pengunaan teknologi kesan khas (special effect). Kejayaannya di panggung wayang memukau jutaan peminat dengan adikarya opera angkasa Star Wars (1977 - sehingga kini).
Sejak itu, fiksyen sains berkembang pesat melalui layar perak dan pada awal 1990-an game pula terlibat dalam arus perdana fiksyen sains. Pada milenia baharu ini, game fiksyen sains sudah mengakar terutama di kalangan generasi muda dengan apps telefon pintar. Maka bentuknya daripada prosa novel dan cerpen, bertambah pula dengan bentuk komik, animasi, filem dan game.
Fiksyen Sains Tempatan
Perkembangan yang sudah menjangkau lebih 200 tahun ini merupakan pengembaraan yang panjang. Karya Era Klasik masih lagi ditatap oleh peminat dan masih memberikan pengaruh kepada karya pada hari ini.
Di negara kita, fiksyen sains sudah pun tersebar di kalangan masyarakat. Karangan fiksyen sains dalam Bahasa Melayu sudah diterbitkan sejak awal 1980-an oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi terkubur beberapa tahun selepas itu. Namun dalam bidang karangan novel atau cerpen masih perlahan, meskipun ada pemainnya. Pengarang fiksyen sains Tuan Fadli al-Akiti mengupas perkembangan ini sehingga 2007 dalam artikel di blog beliau (Kubu Buku) di pautan ini.
Fiksyen sains masih diteruskan secara berkala dengan karya cerpen dalam Dewan Kosmik. Satu kelebihan pengarang tempatan adalah mereka masih menerapkan nilai-nilai murni dalam cerpen. Sungguhpun terdapat yang menulis tema yang cliche (biasa dibaca atau didengar), tetapi secara amnya kualiti agak baik.
Tahun 2007 memberi nafas baru dalam fiksyen sains. Penerbit PTS Publishers and Distributors telah melancarkan sejumlah buku seperti judul Opera Angkasa (Nazri M. Anuar), Sayap Adinila (Firdaus Ariff), Galaksi Muhsinin (2008, Azrul bin Jaini), Transgenesis (Amir Husaini). Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi yang dianjurkan oleh Penerbit UTM-Press juga telah menghasilkan sejumlah karya fiksyen sains sejak 2012.
Dalam bidang animasi, penerbit tempatan sudah mampu menghasilkan karya yang bertaraf antarabangsa seperti Boboiboy (walaupun wujud elemen fantasi) dan terkini adalah Ejen Ali.
Apabila tahun 2016 menjengah, lebih banyak karya fiksyen sains yang terbit. Antaranya adalah Penerbit-X mengambil inisiatif untuk menerbitkan sejumlah judul yang pernah diterbitkan pada 2007-2009 dahulu. Khabarnya penulis fiksyen sains profilik (yang banyak karya beliau) Tuan Lukman Hakim akan terlibat dalam forum di PBAKL 2016 kelak.
Fiksyen sains merupakan bidang penulisan yang amat menarik dengan pelbagai penjelajahan dan penerokaan jiwa dan jasmani manusia mendepani cabaran zaman. Walaubagaimanapun masih kurang penulis tempatan yang menceburi genre ini. Mungkin juga persoalan ini akan dikupas dalam forum di PBAKL 2016 kelak.
Sekilas Pengamatan
Berdasarkan tinjauan ringkasku, secara umumnya genre fiksyen sains seakan-akan mengalami kegersangan seumpama Era Pulp. Karya Era Klasik meskipun dikarang pada era materialisme dan kerancuan fikiran falsafah Barat, masih lagi mengemukakan nilai-nilai moral dan unsur Ketuhanan. Berbanding dengan Era Kini, karya-karya terutamanya karya Barat seringkali mengulang-ulang tema yang serupa. Lebih membingungkan lagi unsur fantasi dan pseudo-sains (seperti mayat hidup zombie) yang diangkat sebagai tema utama.
Tambahan pula di layar perak, semakin banyak adaptasi karya komik kepada filem. Kebanyakan daripada filem dari segi plot cerita adalah sterotaip yang berulang-ulang seperti Era Pulp tapi dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Tanpa halatuju yang jelas, mungkin juga nasib fiksyen sains akan mengalami sama sepertimana Era Pulp.
Intisari Fiksyen Sains
Kita telah telusuri pengembaraan fiksyen sains merentas masa. Kita juga telah mendapati bahawa asal muasal karya bermula dalam bentuk prosa (karangan) novel ini bermula dari Barat. Seringkali, apa-apa sistem yang bersumber daripada sesuatu tamadun dan kebudayaan seperti Barat pasti bertunjangkan kepada cara berfikir mereka atau cara mereka memandang sesuatu dalam kehidupan ini.
Tidak lain dan tidak bukan adalah fiksyen sains sendiri tertuang di dalamnya pemikiran Barat yang berakar umbi kepada falsafah dan sains moden sekular Barat. Menurut kajian mendalam Tan Sri Prof. Muhammad Syed Naquib al-Attas, peradaban Barat mempunyai sejarah dan cirinya tersendiri. Pemikiran sekular, menurut beliau secara dasarnya amat bertentangan dengan dasar pegangan kepercayaan aqidah kaum Muslimin.
Antara adikarya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang tuntas membicarakan permasalahan Islam dan Sekularisme, wacana yang relevan dalam perbahasan fiksyen sains. |
Kerangka fikir sekular ini menebarkan keraguan sebagai kebenaran tertinggi dan melunturkan pegangan kepercayaan orang Eropah terhadap Gereja. Zaman demi zaman berlalu, ahli falsafah melalui wacana buah fikiran mereka menggunakan falsafah dan sains untuk menentang Gereja, antara memuncak pada Era Pencerahan (Enlightenment) disuburkan oleh Revolusi Perancis. Pada abad ke-19, Teori
Darwin memberikan pukulan yang menggoncangkan asas kepercayaan yang mereka anut selama ini.
Antara ciri pemikiran Barat adalah menjunjung tinggi pengalaman yang mereka alami adalah tragedi lakonan dalam lakonan. Tragedi seperti yang disukai oleh orang Yunani Purba akhirnya meresap menjadi kepercayaan mereka bahawa hidup ini perlu diterima hakikat seumpama tragedi yang dilakonkan oleh sutradara. Oleh itu mereka mengisi kehampaan kalbu yang kosong dengan agama dengan melakukan berbagai-bagai cara bagi mengelakkan berfikir akan hakikat kehidupan di dunia ini.
Sains dianggap pengganti kepada kepercayaan lama sebagai pengukur nilai hidup. Segalanya mesti berpaksikan kepada pembuktian secara ujikaji melalui pengamatan pancaindera dan ditafsirkan dengan akal. Kesemua ini merka laksanakan tanpa dikaitkan langsung dengan Hakikat Sebenar yang Ghaib iaitu adanya Pencipta Maha Esa yang Memiliki dan Mentadbir Alam ini.
Sekularisme dengan dokongan sains dan teknologi Barat mengheret tiga kerosakan besar. Iaitu penafian segala pengesahan dan kekuasaan dan kewibawaan politik yang berdasarkan sumber kerohanian agama. Kedua mengosongkan Alam Tabii dan akal insani dari sebarang makna rohani. Ketiga adalah penafian tentang kesucian dan kekekalan hidup.
Ketiga-tiga natijah sistem Barat ini telah tampak kehancuran yang mereka bawa sejak 200 tahun kebelakangan ini. Dan turut juga dibawa dalam wacana fiksyen sains sama ada sedar ataupun tidak.
Kesimpulan
Aku berharap wacana ini dapat diteruskan pada lain kali. Pramugari telah mengumumkan pesawat akan mendarat di KLIA tidak lama lagi. Anak-anak pun sudah membuka mata mereka yang comel, mulut milus mereka yang menguap itu ditutup oleh Si Ibu. Aku mesti simpulkan sebelum kesibukan mengurus perjalanan kelak.
Meskipun fiksyen sains wajahnya tampak harapan masa hadapan, namun dalaman aslinya masih bersebati dengan falsafah sekular sains moden. Aku menyedari hal ini sejak awal berkecimpung dengan fiksyen sains. Akan tetapi aku teruskan jua kerana aku melihat sisi-sisi potensinya dalam menyampaikan dakwah Islam. Kukira jika difikir, dikarang dan dilaksanakan dengan sewajarnya dengan panduan kerangka dasar Islam yang luhur, akan dapat dimanfaatkan.
Al-Quran merupakan kalam Tuhan yang ditanzilkan (diturunkan) kepada Rasul Akhir Zaman iaitu Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Kitab suci terakhir ini mengandungi terlalu banyak ayat yang melorongkan manusia menggunakan akal dan hatinya untuk berfikir akan Pencipta Alam ini yang Hakiki iaitu Allah.
Diulang cetak pada Mac 2016 |
Aku melihat, fiksyen sains adalah wacana yang amat baik untuk membicarakan hal ini dan memandu anak-anak remaja belia kita menongkah arus zaman.
Kesudian Penerbit-X menerbitkan kembali novel Galaksi Muhsinin (2016) mengujakanku. Novel ini kecil sekali dan bagaikan habuk di kalangan adikarya para ulama. Namun kuharapkan apa yang baik moga dapat dijadikan inspirasi yang positif terutama untuk anak-anak muda. Ya, aku ingat sewaktu novel ini dikarang, merekalah yang selalu kubayangkan, moga bermanfaat untuk mereka.
Ya Allah Tuhanku, tolonglah aku sepertimana engkau bukakan ilham kepada para ulama-Mu yang benar yang berjasa kepada kami menyelamatkan pegangan tawhid yang Luhur kepada-Mu... Amiin.
No comments:
Post a Comment