Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, October 17, 2014

AMERIKA PUN JUAL TEKNOLOGI TURUN TARAF


 

Dalam entri MSER-04 'Anf': Teknologi Buangan & Perkaitan Dunia Arab, kita menyaksikan bahawa Kesatuan Soviet (Rusia era Perang Dingin) menjual teknologi yang diturun taraf kepada negara pelanggan, negara Arab khususnya. 

Tetapi apa kurangnya Amerika Syarikat. Apabila pesawat jet pejuang pertahanan armada AS itu dibeli oleh Shah Iran dengan USD $2 bilion, pihak Amerika enggan memberikan kelengkapan tercanggih, sebaliknya menghantar apa yang mereka mahu, bukan yang pelanggan hendakkan. Dan mereka memberikan teknologi yang diturun taraf kepada Iran dan melakukan sabotaj apabila Iran sudah bertukar tangan pemerintahan. Sudah tentu mereka tidak mahu teknologi terkini itu jatuh ke tangan orang lain. Hal ini dihuraikan dengan terperinci dalam buku Osprey Combat Aircraft 49: Iranian F-14 Tomcat Units in Combat yang ditulis oleh Tom Cooper dan Farzad Bishop (2004).

F-14 Tomcat milik Tentera Laut Amerika
Melihat kepada situasi ini, nyata bahawa kuasa madya (superpower) seperti Rusia dan Amerika Syarikat tidak begitu mudah melepaskan kelengkapan terkini mereka kepada orang lain. 

Jika itu dalam bidang ketenteraan, tidak hairan kelengkapan-kelengkapan domestik yang kita dapati di pasaran hari ini pun bernasib yang sama. Sedarlah, kita ini masih merupakan pengguna tegar yang hanya menumpang teknologi orang lain.


*Membaca tentang kelengkapan negara Iran (Syiah) tidak bermaksud saya menyokong Syiah. Ini adalah pembacaan ilmiah untuk maklumat teknologi dan penggunaannya.Syiah adalah satu doktrin akidah yang bertentangan dengan jalan lurus yang ditunjuki oleh Nabi Muhammad s.a.w yang didokong oleh para Sahabat Baginda. Saya adalah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Tuesday, October 14, 2014

Teknologi Inferior lawan Superior (1)



Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya. Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya atas orang-orang yang soleh sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Entri ini merupakan kesinambungan mengenai kupasan siri animasi Jepun, iaitu Gundam 00. Dalam bicara yang lepas MSER-04 'Anf': Teknologi Buangan & Perkaitan Dunia Arab, kita telah sentuh satu isu daripada cebisan siri tersebut. Dalam entri tersebut, kita telah mengimbas teknologi eksport daripada kuasa besar rata-rata adalah teknologi buangan untuk negara ketiga. 

Huraian kali ini masih melibatkan aspek teknologi dalam fiksyen sains. Menurut Rajah Sinergi Fiksyen Sains tersebut, unsur teknologi adalah salah satu daripada tiga tunjang utama karya ini. Namun demikian, perbicaraan kali ini adalah tentang pergelutan antara teknologi inferior melawan teknologi superior dan sebaliknya.



Hal ini terpampang dalam Gundam 00, apabila segolongan kecil organisasi paramilitari Celestial Being (CB) menghadapi dunia yang terbahagi kepada tiga blok kuasa madya. CB yang diasaskan oleh Profesor Aeolia Schehenberg ditubuhkan bertujuan untuk menghapuskan peperangan, dengan tindakan campur tangan ketenteraan atas pihak-pihak bertelagah.


Ciri pertarungan teknologi inferior lawan superior dalam fiksyen sains jika diadaptasi merupakan metod yang baik untuk mengolah penceritaan. Kedua-dua ciri ini berdasarkan keupayaan masing-masing boleh menimbulkan kadar kompleks (complexity), justeru mewarnai kisah dengan baik.

Latar Gundam 00

Kota Krugis di Timur Tengah yang dilanda api perang.
Gundam 00 berpaksikan kepada pergolakan politik manusia yang diunjurkan 300 tahun akan datang. Tidak sekadar takat itu, juga disentuh dalam siri itu adalah krisis kepercayaan, hubungan manusia, sumber tenaga, perubahan teknologi, tidak kurang juga menyindir dan secara tidak langsung mengkritik manusia zaman sekarang.

Siri tersebut mengandaikan bahawa betapa maju manusia dalam teknologi dan material yang melangit ke angkasa, mereka masih terbelenggu dengan cara yang sama seperti zaman kini. Kaedah tersebut telah diwarisi sejak ribuan tahun lampau iaitu seringkali permasalahan diselesaikan dengan cara kekerasan.


Bahan api fosil seperti petroleum sudah luput, disebabkan itu manusia membina Sistem Orbital Elevator. Sistem tersebut adalah janakuasa solar gergasi yang terpacak dari bumi sehingga ke orbit tinggi. Namun demikian, dalam meraih kuasa dan pengarauh, manusia berpecah kepada tiga blok kuasa besar, iaitu Union of Solar Energy and Free Nations (UNION), Advanced European Union (AEU) dan Human Reformed Legue (HRL). Ketiga-tiga pihak ini membangunkan jentera robot gergasi yang dinamakan sebagai Mobile Suit. Kuasa-kuasa madya ini berusaha mengatasi satu sama lain dalam perlumbaan senjata.


Masing-masing membina Sistem Orbital Elevator itu dan langsung mencetuskan beberapa Konflik Kuasa Solar. Di sebalik pergolakan itu, sistem tersebut berjaya menjulang ke langit dalam masa setengah abad.

Paramilitari Celestial Being yang menggunakan jentera robot tempur Mobile Suit Gundam 00 muncul setelah sepuluh tahun sistem janakuasa solar itu siap. Seperti yang dinyatakan awal tadi, CB bertujuan mengatasi sengketa peperangan. Dengan hanya menggunakan empat buah MS Gundam, CB menghadapi gerombolan ratusan Mobile Suit daripada ketiga-tiga pihak tadi.


Teknologi Inferior lawan Superior

Menurut kamus Kamus Inggeris-Melayu Dewan, perkataan inferior membawa maksud kepada ‘bermutu rendah atau berkualiti rendah’[1]. Manakala perkataan superior adalah ‘hebat dan unggul.’[2]


Berpandukan kepada siri Gundam 00, kita dapat perhatikan perbezaan kedua-dua teknologi antara tiga pihak UNION, AEU dan HRL melawan Celestial Being. Sejak awal siri Musim Pertama lagi, Gundam Celestial Being mengungguli pertempuran mengatasi ketiga-tiga pihak tadi. Dengan menggunakan pendorongan Relau Solar partikel GN, Mobile Suit Gundam amat lincah dan menewaskan musuh dengan amat mudah.  
                               
Walaupun canggih, Celestial Being hanya mempunyai Mobile Suit yang sedikit. Norma dalam bidang pembuatan, penghasilan teknologi canggih memerlukan penyelidikan (research), penggunaan material berkualiti tinggi dan kos yang mahal. Berbanding dengan Mobile Suit kuasa-kuasa madya itu, jentera robot tersebut dikilangkan secara massal (mass production) bagi tujuan keselamatan dan kesiapsagaan peperangan.

UNION, AEU dan HRL lambat laun menyedari hakikat kelemahan mereka, namun tidak berputus asa untuk menawan dan memilik Gundam yang amat canggih itu.


Ketewasan UNION, AEU dan HRL terhadap Gundam

                                      

Sejak awal kemunculan Gundam dan Celestial Being di mata dunia, masing-masing tokoh dunia dan panglima kuasa madya itu tertanya-tanya: Apakah tindakan Celestial selanjutnya? Apakah kekuatan Gundam Celestial Being? Dan bagaimanakah hendak mengatasinya sebelum pihak lain?

Pelbagai kejutan yang dialami oleh kuasa-kuasa madya itu pada peringkat permulaan. Mereka menyangka mempunyai Mobile Suit yang sepadan sama bertarung, tetapi nyata tidak terdaya apa-apa menghadapi Gundam. Jelas, seperti yang diakui oleh panglima Sergei Smirnov daripada HRL, ia mengakui bahawa tiada Mobile Suit dalam dunia yang dapat mengungguli Gundam. Makusdnya, teknologi kuasa-kuasa itu adalah inferior, berbanding Gundam yang superior.

Kita paparkan beberapa contoh:

a. Kemusnahan Prototaip Demonstrasi AEU-09 Enact


Dalam Episod Pertama Musim Pertama, kita dapat saksikan tindakan campur tangan (intervention) oleh Celestial Being dalam pergolakan di dunia. AEU sedang mempertontonkan prototaip Mobile Suit tercanggih mereka iaitu AEU-09 Enact. 

                                      

MS tersebut dikatakan memperoleh kuasa daripada tenaga solar yang dipancarkan kepada robot itu melalui Sistem Orbital Elevator. Enact kelihatan lincah dalam demonstrasi itu, akan tetapi dimusnahkan dengan mudah oleh Gundam 00 Exia. Dalam sekelip mata, Enact rebah, lantas memberi tamparan hebat kepada AEU di mata dunia.


b. Campur Tangan di Sri Lanka


Dalam Episod Dua Musim Pertama, tindakan Celestial Being di Sri Lanka merupakan langkah awal yang mengejutkan seluruh dunia. Keempat-empat Gundam telah bertindak menangani puak bertelagah antara minoriti Liberation Tigers of Tamil Eelam (yang didokong oleh HRL) dan majoriti bangsa Sinhala[3]. Konflik tersebut berlanjutan selama 300 tahun. HRL menyokong Tamil Eelam atas dasar menjaga kepentingan saluran janakuasa solar mereka.

                                     
Pertempuran sedang berlangsung antara kedua-dua pihak. Jelas, Mobile Suit MSER-04 ‘Anf’ yang digunakan oleh bangsa Sinhala tidak dapat mendepani Mobile Suit tercanggih HRL iaitu MSJ-0611-A Tieren Jenis Darat. Apabila Gundam tiba di lokasi konflik, robot Gundam menewaskan mereka dengan amat mudah. MS Tieren telah diatasi tanpa tentangan serius menghadapi Gundam 00 Exia yang amat lincah.


c. Serbuan Gundam atas PMC

Satu lagi campur tangan oleh Celestial Being yang telah mengakibatkan kemusnahan total pihak tersebut, iaitu serbuan Gundam atas pangkalan PMC di Republik Moralia. PMC merujuk kepada syarikat Private Military Company Trust yang merupakan organisasi askar upahan (mercenary). PMC Trust mendapat dokongan daripada blok kuasa AEU. Menurut gundam.wikia.com, ketika serbuan tersebut berlangsung, PMC Trust dan AEU sedang mengadakan latihan ketenteraan bersama untuk menawan Gundam. Tetapi malangnya, hanya tinggal sedikit sahaja berbaki apabila mereka diserang dengan mengejut.


Inferior Menewaskan Superior


Ketiga-tiga kuasa madya UNION, AEU dan HRL amat sedar bahawa Gundam milik Celestial Being bukanlah lawan mereka. Akan tetapi, panglima-panglima dan perajurit handalan mereka pantang mengaku kalah dan sentiasa berusaha untuk merangkap Gundam.


Daripada beberapa interaksi dan pertempuran yang berlaku, mereka mendapati bahawa Gundam diperbuat daripada bahan E-karbon (yang belum lagi ditemui oleh sesiapa), lincah, lasak, berkeupayaan tinggi dan mempunyai pendorongan (propulsion) yang melangkaui teknologi zaman. Oleh sebab mereka tidak mempunyai teknologi yang setara, maka pihak-pihak ini menggunakan tiga kelebihan yang ada pada mereka:

a. Menewaskan dengan Bilangan yang Banyak


Mereka merencana perangkap demi perangkap, tetapi dengan menggunakan bilangan Mobile Suit yang amat banyak (sheer numbers) untuk menewaskan ataupun mengepung (overwhelm) lawan.
Usaha-usaha ini memerlukan penggunaan sumber yang amat banyak, kerana mengambil kira teknologi berkeupayaan rendah hendaklah mengungguli teknologi keupayaan tinggi dengan kuantiti. Jentera berteknologi tinggi akan terperangkap dengan tidak tertanggung menangani bilangan musuh yang banyak.

Umpama Bidak Catur

Hal ini boleh diumpamakan dengan bidak, iaitu ‘buah catur yang terendah nilainya.’[4] Jika kita teliti lagi maksud bidak ataupun pawn dalam Bahasa Inggeris adalah ‘alat ataupun orang yang digunakan oleh pihak lain untuk kepentingan sesuatu.’ [5]

Pengorbanan bidak adakala perlu dan disebabkan bilangan yang lebih banyak berbanding buah lain. Dalam permainan catur, bidak seringkali menjadi umpan dan boleh dikorbankan untuk membolehkan lawan ditewaskan dengan buah yang lain. Dengan kuantiti sedikit buah yang berkebolehan (seperti permaisuri, kesatria, biskop dan tir/menara), adakala ditewaskan dengan pengorbanan sejumlah buah bidak.


Dalam pertarungan ketiga-tiga kuasa madya itu terhadap Gundam, satu-satunya kuasa yang mempunyai sumber jentera, tenaga dan manusia yang banyak adalah Human Reform Legue (HRL). Komander Sergei Smirnov, seorang panglima handalan HRL telah merancang strategi untuk memerangkap Gundam Kyrios. 


Rencana panglima itu adalah menggunakan banyak Mobile Suit MSJ-0611-E Tieren Angkasa untuk mengumpan angkatan Gundam, dan kemudian memerangkap sasaran dengan memasang jerangkap. Barulah kemudian ditawan oleh Mobile Suit tercanggih HRL, iaitu MSJ-0611-SP Taozi yang ditawan oleh perajurit super, Soma Peries. Rencana Komander Sergei hampir-hampir berjaya.


b. Menewaskan dengan Skil
Faktor kemenangan dalam medan perang bukan semata-mata kualiti ataupun kuantiti jentera, akan tetapi bergantung juga dengan skil ataupun kemahiran seseorang perajurit ataupun sekumpulan krew. Kemahiran diperoleh daripada latihan yang berterusan dan pengalaman di medan juang.

 Dalam Gundam 00, setiap pihak kuasa madya tersebut mempunyai wirawan masing-masing. Meskipun mereka menggunakan Mobile Suit yang sedia ada, kemahiran mereka di medan tempur adakala mengatasi Gundam. 



Graham Aker (UNION) memandu SVMS-01 Flag, Komander Sergei Smirnov (HRL) menggunakan MSJ-0611-C Tieren Mobiliti Tinggi di pangkalan Sri Lanka dan Ali al-Saachez/Gary Biaggy (PMC Trust-AEU) pula memandu AEU-09Y812 AEU Enact Custom telah cuba mengatasi Gundam 00 Exia. Kesemua mereka berkemahiran dan berpengalaman serta bersemangat juang tinggi dalam medan juang.



c. Gabungan Kuantiti dan Skil



Satu lagi usaha pihak-pihak ini untuk menawan Gundam, iaitu memerangkap mereka di Gurun Taklamakan, Mongolia (Episod 15 Musim 1). Kali ini memaparkan gabungan usaha dengan kuantiti dan skil. 

                                     
Buat pertama kali, UNION, AEU dan HRL telah bekerjasama dalam latihan peperangan. Celestial Being telah ditugaskan untuk menanangi pengganas di fasiliti nuklear di gurun itu dan menyelamatkan daripada malapetaka nuklear. 

                                   
                                   

Akan tetapi semua ini hanya perangkap, dan ketiga-tiga pihak berganding bahu membedil musuh tanpa henti, meskipun menerima tentangan hebat daripada Gundam. Hampir-hampir sahaja mereka dimusnahkan, akan tetapi muncul sekumpulan Gundam asing yang digelar sebagai Trinity (Gundam Throne) menyelamatkan keadaan.


Dalam penghujung Gundam 00 Musim Pertama, ketiga-tiga pihak telah menerima sejumlah pendorongan relau GN Tau dan Mobile Suit GNX-603T GN-X. Mobile Suit tersebut mempunyai kurang kualiti daripada pendorongan Relau Solar GN Gundam 00. Tetapi dengan bilangan yang banyak dan dipandu pula oleh perajurit handalan pihak UNION, AEU dan HRL telah menewaskan Celestial Being (Gundam 00) dan Trinity (Gundam Throne) dalam Operasi Fallen Angel.

Contoh dalam Sejarah

Pihak yang sedikit seringkali menewaskan golongan yang besar dalam lipatan sejarah. Selalunya kisah-kisah tersebut menjadi sebutan kerana kegigihan, keteguhan dan kebijaksanaan dalam mendepani jumlah musuh yang ramai. Dalam sejarah umat Islam yang gemilang, jarang sekali mereka melebihi musuh dari segi kuantiti. Akan tetapi, mereka punyai kualiti mengatasi kuantiti. Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w bertempur bersama para Sahabat dalam Perang Badar, seramai 313 perajurit mujahid menggempur gerombolan tentera musyrikin yang ramai. Begitulah seterusnya di medan perjuangan yang lain.

Sungguhpun begitu, bukanlah semata-mata kemenangan atas sebab kekuatan material ataupun kemahiran, namun adalah kekuatan dan izin daripada Tuhan, Allah jua. Walaubagaimanapun, usaha tidak boleh menjejaskan pergantungan kepada Tuhan dan aturan hidup ini ada sebab dan akibat. Bahkan, Allah telah mengisyaratkan kepada kaum Muslimin, agar melengkapi sayap ketenteraan mereka dengan kelengkapan terkini. Pada zaman Rasululullah s.aw. disebut akan kuda, kerana daya tempur, mobiliti, kepantasan dan semangat juang menghadapi musuh. Tetapi para ulama menafsirkan dengan kelengkapan ketenteraan mutakhir. 

Sejarah menyebutkan bahawa kaum Muslimin tidak ketinggalan dalam memperlengkap pasukan jihad mereka, seiring ataupun melangkau jauh daripada musuh[6]. Baik pada zaman Nabi s.a.w, begitu juga para Sahabat dan generasi menyusul setelah mereka.


Kesimpulan Awal


Akan tetapi dalam konteks peperangan moden yang melibatkan jentera berteknologi tinggi, superior yang sedikit tetapi berkualiti bertarung dengan inferior yang banyak juga terdapat dalam sejarah. Faktor superior tersebut bukan semata-mata berteknologi tinggi dan sofistikated, tetapi juga berkait rapat dengan faktor psikologi. Faktor kedua itu melibatkan latihan, pengalaman dan semangat juang yang tinggi. Paduan kedua-dua faktor tersebut menghasilkan pasukan elit yang berdaya tahan, meskipun menghadapi jumlah musuh yang ramai.


Adapun pihak yang memiliki teknologi berkeupayaan tidak setara berteknologi tinggi, seringkali tidak putus asa dan sering mencari cara untuk mengatasi kekurangan tersebut. Adakala mereka berjaya, dan tidak kurang juga menjadi mangsa sasaran mudah dan membatalkan hasrat mereka. Percaturan perang sebegini menghasilkan keputusan yang tidak menentu, sama ada berkesan atau tidak, atau menang atau tidak. Yang pasti adalah, menang jadi arang, kalah jadi abu.


Insya-Allah kita akan sambung dalam bahagian kedua...


[1] Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s 502(1997). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

[2] Ibid, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, m/s 1017.

[3] Penduduk Sri Lanka yang menganut agama Buddha.

[4] Kamus dewan edisi keempat, m/s 181, (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

[5] Ibid, Kamus inggeris-melayu dewan, m/s 717.

[6] Merujuk kepada Perang Salib yang berlaku kira-kira 500 tahun Hijrah, sejarawan Barat mengakui bahawa kaum Muslimin adalah kaum yang termaju (advanced) berbanding kaum Eropah yang masih diselubungi oleh Zaman Gelap (Middle Age). Kaum Muslimin mengadaptasi persenjataan, strategi dan taktik Timur dan Barat, sehingga mereka digeruni oleh musuh. Bukan itu sahaja, kaum Muslimin juga terkehadapan dalam bidang pemikiran, perubatan, sains dan teknologi serta seni bina.

Sultan Muhammad II al-Fateh, iaitu sang penakluk Kota Konstatinopel telah membebaskan kota tersebut pada 29 Mei 1453 daripada cengkaman kerajaan Byzantine dengan menggunakan teknologi tercanggih pada zaman itu, iaitu meriam-meriam gergasi. Suasana peperangan itu belum pernah disaksikan oleh Barat, dan telah merombak landskap peperangan di Barat dan juga di Timur. Pada abad ke-16, Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam menjadi kuasa dunia yang digeruni oleh Barat.

Abad ke-17 dan ke-18 pula menyaksikan kemerosotan umat Islam dan pada abad ke-19, Daulah Uthmaniyyah digelar sebagai ‘Orang Sakit Eropah.’ Sehingga kini, umat Islam mengimport segala teknologi, peralatan daripada negara luar kerana ketidakmampuan mereka. Lebih parah lagi, bukan sahaja mereka tidak berdaya saing untuk menghasilkan produk sendiri, akan tetapi kerana kelemahan mereka mengimport juga gaya hidup, sistem pendidikan, sistem ekonomi, politik dan cara fikir terutamanya daripada Barat. Boleh rujuk buku Islam at Crossroads tulisan Muhammad Asad terbitan semula The Other Press cetakan 2005 dan Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam karangan Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi (1984), cetakan Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura.