“The
Pentagon almost exploded when this book was published.” ~Daily Telegraph
1.0 Mukadimah
Novel The Hunt for Red October
nukilan Tom Clancy yang terbit pada tahun 1984 telah mencetuskan fenomena baru
dalam dunia penulisan. Fenomena tersebut telah memasyhurkan genre thriller
ketenteraan ataupun techno-thriller.
Kapten Marko Ramius (Sean Connery) dan Penyelidik CIA, Jack Ryan (Alan Baldwin) dalam filem The Hunt for Red October, 1989. |
Genre techno-thriller berorientasikan kepada jalan cerita melibatkan
organisasi, strategi, taktik, spesifikasi teknologi, perisikan ataupun senjata
berteknologi tinggi sesebuah negara ataupun badan ketenteraan. Sebut sahaja,
James Bond, siri Bourne, Blue 5, Greenzone
dan sebagainya. Lazimnya, genre ini penuh dengan debaran dan aksi lasak yang
memacu plot cerita dengan halaju yang tinggi. Novel tersebut telah ke layar
perak pada tahun 1989. Karya ini masih lagi laku dan berada di pasaran.
Entri Saifai Islami kali ini mengupas novel ini yang menggunakan isu
kontemporari sebagai idea utama. Berbeza dengan perbincangan sebelum ini yang
banyak berpaksikan kepada sumber idea daripada idea sejarah, karya sulung Tom
Clancy ini bukanlah fiksyen semata-mata, akan tetapi berpandukan peristiwa yang
hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III.
1.1 Tom Clancy & Genre
Techno-Thriller
Tom Clancy adalah seorang pembroker insurans ketika novel beliau melonjak di
persada antarabangsa. Karya tersebut
berjudul ‘The Hunt for the Red October.’
Novel tersebut telah mendapat sambutan hangat di pasaran sejak penerbitannya
pada tahun 1984.
Setelah kejayaan beliau melalui The Hunt
for Red October, beliau giat menulis dan memperkembang pengaruh genre
tersebut melalui konflik politik dan ideologi. Karya beliau merangkumi fiksyen
dan non-fiksyen. Beberapa karya beliau turut diadaptasi dan muncul di pawagam. Antara
karya fiksyen novel beliau adalah The
Hunt for the Red October, Patriot Games, Clear and Present Danger, Red Storm
Rising, The Sum of All Fears, Rainbow Six, Cardinal of Kremlin dan banyak
lagi.
Koleksi peribadi karya Tom Clancy... |
Manakala bagi karya non-fiksyen, beliau seolah-olah sebagai duta propaganda pihak Amerika Syarikat kepada dunia menghebohkan teknologi terkini mereka, seperti Submarine, Armoured Warfare, Fighter Wing dan Marine. Pada pemerhatian penulis, buku-buku fiksyen beliau masih lagi laku bak pisang goreng. Didapati di gedung-gedung terkemuka seperti MPH, Times dan Popular masih berterusan menjual siri novel beliau.
Perarakan senjata Kesatuan Soviet di Red Square ketika Era Perang Dingin |
Penulisan beliau bersifat kontemporari berdasarkan senario semasa. Jika pada penguhujung 1980-an, beliau lebih membicarakan pertebungan Perang Dingin. Akan tetapi, pasca keruntuhan Kesatuan Soviet dan sistem komunisme, Tom Clancy beralih arah kepada pertembungan antara tamadun Barat dan ekstremis Islam. Perubahan corak dan pola fikir serta sudut pandang terhadap Islam agak berkait langsung dengan perubahan pemikiran yang digembar-gemburkan oleh pemikir Samuel P. Hutington dan Benard Lewis. Pemikiran cara pandangan yang serong dan picing sebelah mata terhadap Islam menjadikan Islam sebagai seteru tamadun Barat setelah kejatuhan komunisme.
Game berjenamakan nama Tom Clancy, Ghost Recon: Future Soldier |
Tidak dilupakan juga, kemunculan China sebagai kuasa dunia baru dalam bidang politik dan ekonomi menghantui Rumah Putih. Pemikiran tersebut tertuang dalam karyanya.
1.3 Tehcno-thriller Tom
Clancy Kategori Fiksyen Sains?
Saya memeriksa buku-buku kajian karya fiksyen sains, genre techno-thriller
tidak termasuk dalam kategori fiksyen sains. Secara umum karya ini lebih
berpusat kepada teknologi persenjataan semasa ataupun masa sedikit hadapan
hadapan, maka mungkin kerana itu genre ini tidak begitu ketara dikategorikan
sedemikian.
Kapal selam kelas Typhoon, milik Kesatuan Soviet |
Namun begitu, jika diimbas dan dikaji beberapa karya Tom Clancy, saya
berpendapat, beberapa karya techno-thriller beliau boleh termasuk dalam
sub-genre fiksyen juga. Sebagai contoh dalam novel The Hunt for Red October, memaparkan pemburuan kontroversi mengejar
kembali sebuah kapal selam kelas Typhoon yang mampu melancarkan misil balistik antara benua (Inter-Continential
Ballistic Missile - ICBM) terkini Kesatuan Soviet. Kapal selam tercanggih itu dipacu
oleh dorongan magnetohidrodinamik ataupun
singkatannya MHD.
Begitu dalam novel Cardinal
of Kremlin, memaparkan pertembungan ejen perisik Agensi Perisikan Pusat
(CIA) dan KGB (perisik-polis rahsia Soviet) dalam menjejak ataupun melindungi
rahsia pembinaan senjata super angkasa di Afghanistan.
1.4 The Hunt for Red October: Idea Asal
Dalam entri sebelum ini, kita mengkaji bahawa para pengkarya fiksyen sains
memanfaatkan sumber sejarah dalam analogi pembikinan falsafah, ideologi,
psikologi watak, teknologi, latar tempat. Sumber idea sejarah menyediakan pakej
lengkap meliputi aspek-aspek yang disebut tadi.
Kelasi kapal Storozhevoy ketika dahagi dalam dokumentari History Channel, The True Story: The Hunt for Red October. |
Tom Clancy menggunakan isu kontemporari dan senario semasa yang dilalui
oleh kedua-dua belah pihak sebagai idea utama. Beliau berjaya mengadunkan
olahan cerita dengan menggunakan manipulasikan senario, strategi, percaturan
dan ideologi semasa Perang Dingin sehingga tahap seperti benar-benar berlaku.
Tidak dinafikan, sejarah mengenai sesuatu peristiwa ataupun asal-usul tetap
diselitkan di tempat yang sesuai.
Kapal selam terbesar di dunia, kelas Thyphoon milik Kesatuan Soviet. |
The Hunt for Red October mengambil idea daripada sebuah percubaan mutiny
ataupun dahagi sebuah kapal perang kelas frigat Krivak yang bernama Storozhevoy (bermaksud Sentry atau pengawal) pada tahun 1975.
Tom Clancy mengambil sejarah kurang daripada 10 tahun (novel tersebut terbit
pada 1984).
Peristiwa dahagi kapal Storozhevoy begitu kritikal kerana
hampir-hampir sahaja mengheret dunia ke kancah Perang Dunia III. Senario getir
tersebut menjadi idea utama Tom Clancy dalam memacu jalan cerita tentang dahagi
misteri seorang kapten handal Soviet, iaitu Kapten Marko Ramius.
Kapal frigat anti-kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet, kelas Krivak. Kapal Storozhevoy adalah seperti ini. |
Kapten Ramius adalah
nakhoda kapal selam tercanggih Kesatuan Soviet yang digelar sebagai Red
October. Kapal selam tersebut mencetuskan tanda tanya dan misteri yang juga
begitu hampir mencetuskan Perang Dunia III antara Amerika dan Soviet.
1.5 Maksud Mutiny / Dahagi
Menurut kamus Longman Dictionary of Contemporary English
(1999), mutiny bermaksud:
“a
situation in which people, especially sailors or soldiers, refuse to obey the
person who is in charge of them, and try to take control for themselves.(p.
938)”
Pegawai Komisar dahagi kapal Storozhevoy, Valery Sablin, 1975 |
Terjemahan istilah tersebut dalam Bahasa Melayu adalah ‘situasi apabila orang,
terutamanya kelasi ataupun askar, enggan untuk patuh kepada pegawai berkuasa di
kalangan mereka, dan cuba menguasai organisasi (secara khususnya kapal) untuk
tujuan diri mereka sendiri.’
Mutiny, diterjemahkan kepada ‘dahagi’ (p. 650) menurut An English-Malay Dictionary Kamus
Inggeris-Melayu Dewan, Edisi Ringkas (1995). Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dahagi bermaksud
‘penentangan terbuka terhadap pihak berkuasa (p. 303).’
1.6
Sejarah Mutiny / Dahagi
Merujuk kepada sejarah, terdapat beberapa peristiwa dahagi dalam organisasi
tentera. Dinyatakan dalam buku The
Encyclopedia of War (2012), peristiwa dahagi begitu berpengaruh dan
mengubah perjalanan sejarah sesebuah bangsa.
Sebagai contoh, para kelasi tentera laut Jerman pada 1918, iaitu pada
penghujung Perang Dunia I telah melancarkan dahagi. Dalam The Ultimate Illustrated History of World War I, Westwell
(2009) mengatakan bahawa dahagi tersebut
disebabkan dengan keadaan negara Jerman yang meruncing akibat kekalahan mereka
dalam perang itu. Dahagi oleh para kelasi merebak di kalangan awam, menuntut
kepada pemansuhan Kaisar Jerman, iaitu Maharaja Wilhelm I. Akhirnya, Empayar
Jerman beralih kepada pemerintahan bercorak republik dan tidak lama kemudian
perang tersebut tamat.
Poster propaganda memperingati dahagi Potemkin |
Menurut buku The Encyclopedia of War (2012), krew kapal Potemkin daripada ‘Black Sea Fleet’ (Armada Laut Hitam) telah
menentang dan mengambil alih kapal tersebut dengan membunuh tujuh pegawai
mereka. Meriam-meriam kapal tersebut telah digunakan untuk membantu
pemberontakan di bandar Odessa, Ukrain. Dahagi itu telah memberi inspirasi dan
model kepada Revolusi Rusia pada tahun 1917. Revolusi berdarah yang mengorbankan banyak nyawa itu telah
menumbangkan kekuasaan Tsar. Justeru bermula zaman baru yang lebih gelap dan
ngeri, iaitu berasasnya negara berfahaman komunisme, Kesatuan Sosialis Soviet.
1.7
Rumusan Pengenalan
Kini pada tahun
2013, karya The Hunt for Red October
karangan Tom Clancy kekal bertahan dan diminati ramai sejak 28 tahun yang lalu
sejak 1984. Karya-karya beliau masih terdapat di kedai-kedai buku besar dan
kecil. Karya tersebut tetap menjadi
lagenda, meskipun banyak karya fiksyen lain yang tebal belaka dan isu yang
tidak kurang menarik diutarakan. Apakah faktor ‘evergreen’ karya beliau masih
relevan di pasaran? Sebagai andaian awal, mungkin ada benarnya pandangan seorang yang berkecimpung dalam sastera,
iaitu Faisal Tehrani dalam Karya Nan Indah beliau. Beliau mengatakan bahawa,
tiga elemen yang akan menyebabkan karya menjadi ‘evergreen’ ataupun segar,
iaitu bicara tentang agama, falsafah dan politik. Insya-Allah kita akan sambung
wacana karya bestseller ini, dalam entri yang seterusnya:
[Resensi] The Hunt for Red October (2):
Watak & Latar Politik
NOTA:
Dr. Faisal Tehrani merupakan seorang penulis yang
aktif bergiat dalam sastera. Tidak dinafikan, beliau menjadi model yang baik
kepada saya dalam penulisan. Novel [1511H] Kombat telah mencetuskan saya untuk
berkecimpung dalam bidang penulisan secara serius. Perlu dikatakan bahawa novel
fiksyen sains saya Galaksi Muhsinin (GM) mungkin ada pengaruh novel beliau,
tetapi novel GM ada kerangka yang tersendiri.
Namun demikian, secara peribadi terdapat
sesetengah daripada pemikiran dan fahaman beliau yang dikatakan agak
kontroversial wajar dibahaskan. Dalam hal ini, saya mengambil isi penting yang
baik dan relevan dalam teknik penulisan daripada buku Karya Nan Indah.
2 comments:
Pertama kali layan The Hunt For Red October ni kat Perrylis action movie tv2 dulu-dulu. THFRO adalah di antara filem thriller kapal selam kegemaran saya selain Crimson Tide dan U571.
Salam perkenalan. Satu ulasan yang lengkap dan detil. Menantikan sambungan seterusnya.
Post a Comment