Episod (1):Hologram Hijrah
Alam semesta yang maha luas tidak ketahuan mana hujung mana pangkal tiba-tiba disinari oleh coret-coret putih. Kemudian coret-coret itu menyilau, lalu satu letupan yang dahsyat menjelma. Kemudian coret-coret itu hilang serta merta.
“Koordinat alif-330, ya-48 sod-72. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Selamat keluar daripada terowong anjakan relativiti.” Insan itu kaget seketika. Tidak putus-putus lidahnya mengucap syukur atas kebesaran Ilahi. Betapa kerdil dirinya berhadapan dengan kekuasaan Tuhan yang Maha Esa. Dari tetingkap kokpit, sinar bintang-bintang, galaksi, debu nebula serba warna-warninya memukau pandangan. Keindahan tidak terucap, tiada taranya. Semuanya disusun dengan harmoni. Tidak lain tidak bukan, semuanya aturan Tuhan Sang Perkasa Maha Pencipta.
Katanya dengan linangan air mata, “Syukur kepada-Mu, ya Allah. Engkau masih memberi peluang untuk kami mengembara jauh untuk ke Galaksi Muhsinin. Dan memberi izin ketemu Muharram!”
“Semoga hijrah kami ini engkau terima ya Allah! Semoga hijrah ini membawakan kami bergabung bersama orang-orang yang mencintai Engkau dan kekasih-Mu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam!”
“Aku mengharapkan perjalananku dalam jalur yang betul, ya Allah. Moga-moga artifak cakera itu ada di sini... sebelum mereka mendapatkannya. Itu adalah amanahku. Galaksi Muhsinin dalam bahaya jika mereka mendapatkan satu persatu..”
Di hadapannya ada sebuah planet sederhana besar. Jantungnya masih berdegup kuat. Wajahnya dibasahi titik-titik peluh. Salah satu kekunci di siling kokpit berkelip-kelip dengan cahaya warna merah.
“Allah... ” ucapnya. Ia menekan satu butang panduan otomatik untuk memasuki ruang orbit planet tersebut.
Seorang lagi insan masih belum terjaga. Ia pengsan tadi dek tidak sanggup berdepan dengan aksi junaman, menuver luar biasa yang mustahil dilakukan. Gegaran susulan keluar daripada terowong anjakan relativiti tadi membuatkan ia bangun. Lalu ia tersentak, “Hah! Apa yang telah berlaku?” tanya ia dengan nada cemas.
“Markov! Cuba jelaskan kepada aku. Siapakah mereka? Mengapakah kita dikejar? Mengapakah kita ditembak? Kita di mana?” Kamal menjerit. Markov tetap tenang walaupun muram mengemudi Ansar-M. Masalah kekunci tadi menghantuinya.
Jerit Kamal kebingungan, “Di manakah kita? Ah! Apakah ini? Banyaknya bangkai kapal!” Hampir-hampir sahaja Markov hilang sabar, tetapi cuba untuk tenang. Kelam-kabut tidak akan menyelesaikan masalah.
Katanya, “Kita akan mendarat di planet ini dahulu. Pacuan anjakan terowong relativiti shuttle kita mengalami kebocoran. Agaknya tembakan mereka agak tepat tadi. Kita harus bersembunyi di sini dahulu. Mereka akan menjejak kita. Pacuan kapal kapital mereka lebih berkuasa. Jika diteruskan juga, mungkin kita tidak dapat terlepas kali ini.”
Markov mengemudi Ansar-M dengan berhati-hati melintasi serpihan-serpihan gergasi yang terapung di orbit planet. Kuasa shuttle yang semakin menurun itu harus diambil berat kerana kehilangan kuasa membawa risiko ditarik oleh daya graviti planet.
Fikirannya menumpukan perhatian kepada penerbangan mereka. Katanya dalam hati, “Mungkin di sini dahulu pertempuran hebat berlangsung sebelum koloni berhijrah ke Galaksi Muhsinin? Imbasan menunjukkan bahawa terdapat sebuah stesen angkasa yang masih beroperasi. Tetapi tidak ada tanda-tanda sesiapa pun. Barangkali ada orang di sana. Mungkin benar, inilah tempatnya. Firasatku berkata demikian.”
Tempik Kamal yang menggelabah, “Apa? Siapakah mereka?” Markov menoleh sebentar.
“Jaga!” tempik Kamal lagi. Sebuah serpihan besar di hadapan mereka. Markov melakukan menuver lincah untuk mengelak.
Di hadapan sudah tidak ada serpihan lagi. Ansar-M menuju ke planet. Daripada panel kawalan, Markov sudah merasakan tarikan daya graviti planet tersebut. Shuttle bergegar semakin kuat.
Jawab Markov, “Mereka adalah tentera mekanikal Maharaja Legion, Empayar Sibernatik Cyborg. Skuadron musuh tadi mungkin daripada flotila peronda mereka. Kita terpaksa keluar daripada terowong anjakan relativiti dan melencong melalui jalan lain dahulu.”
“Mengapakah mereka kejar kita? Kita tidak bersalah. Lagipun kita daripada jajahan mereka juga.”
“Mereka sedang memburu saya.”
Mata Kamal terbeliak. Dirinya terperanjat, “Apa?”
Suhu penebat luaran Ansar-M meningkat dengan mendadak. Geseran antara zarah-zarah atmosfera planet dengan pelapis seramik menyebabkan luaran shuttle seolah-olah terbakar. Kapal angkasa tersebut bergegar sambil menjunam. Laksana sebuah tahi bintang yang jatuh menuju permukaan, bayang-bayang terhempas terkadang menjelma.
Balas Markov dengan tenang, “Jangan bimbang, nanti saya jelaskan. Pasangkan tali keledar. Nanti kamu melambung pula.”
Shuttle Ansar-M bergoncang kuat. Beberapa kekunci berdering kuat dan berkelip-kelip lampu merah. Ada sesuatu yang tidak kena. Ia menekan panel kawalan otomatik dan memprogram koordinat menuju ke arah satu stesen angkasa. Panel kawalan tidak berfungsi. Ia memegang erat panel panduan. Altitud jatuh dengan mendadak.
Pesawat menjunam laju.
“Mungkinkah ini stesen musuh atau sahabat?” Markov tidak pasti siapakah di sana. Hanya kepada Tuhan ia berserah. Permukaan kasar planet itu pandangan terakhirnya sebelum Ansar-M terhempas di bumi asing.
Markov terjaga dek sinar bintang. Kepalanya berpinar-pinar. Badannya terasa sengal-sengal. Dilihatnya Kamal terhumban dari kerusinya. Tiba-tiba kokpit bersuara, “Sistem pengudaraan Ansar-M tidak stabil. Planet ini mempunyai kandungan atmosfera 59 peratus, kurang daripada had minima manusia dapat bernafas. Berlaku kebocoran di sektor kompartmen kargo. Sila pasangkan alat respirator anda dalam kiraan 360 saat.”
“359... 358... 357...” kiraan itu terus berdetik. Markov sedaya upaya memasang sut tempur dan helmetnya. Badannya masih terasa lemah.
Pembantu Visual Elektronik, program sut dipakai Markov berbunyi, “Sistem Dirr-ECM/Aj separa penuh. Hanya armor torso dan abdomen diaktifkan. Sistem respirator berfungsi sepenuhnya.”
Kata Markov, “Aktifkan sut ini ke seluruh badan.” Plat-plat armor keluar dan tersusun dari armor torso, bagaikan sisik-sisik waja pada zirah pahlawan Islam dahulu kala. Armor tersebut merebak sehinggalah ke seluruh badan. Pengaktifan ini berlaku dalam beberapa saat sahaja.
Kiraan detik kehabisan oksigen semakin menurun dengan mendadak. “Kebocoran berlaku di sektor kebuk kuasa dan kompartmen penumpang. Kiraan menjadi “100... 99... 98...”
Kamal sudah terbatuk-batuk. Ia terbangun. Dadanya terjungkat-jungkit kerana kekurangan udara. Ia meraung-raung meminta pertolongan. Markov segera mendapatkan alat respirator dan memberikan kepada Kamal.
Setelah Kamal beransur tenang, ia memarahi Markov, “Engkau mahu bunuh aku? Mengapa engkau tidak berikan aku alat respirator segera?”
Markov enggan bertengkar, “Ayuh. Kita harus begerak. Stesen yang saya beritahu tidak jauh dari sini. Hanya dua kilometer.”
“Apa? Dua kilometer? Itu jarak yang jauh! Engkau ada bawa kenderaan?” kata Kamal sambil memandang stesen di hujung ufuk.
“Ayuh! Kita sudah tidak ada masa! Hari sudah hampir gelap. Pasangkan armor dan helmet ini. Kita jalan kaki. Lekas pasangkan sut suvival!”
Kamal memasang sut survival sambil merungut. Markov menutup sahaja radio interkomnya buat sementara. Bebelan rakannya hanya memeningkan kepala. Ia bergegas ke kompartmen kargo untuk mendapatkan kelengkapan.
Mereka berjalan ke arah bangunan di satu sudut sana. Markov terlihat satu objek silinder terlekap di sisi pinggang kanannya. Ia menggengamnya dan meramas lima punat. Lalu terpancarlah satu bilah cahaya yang panjang dan berlengkuk di hujung. Ujarnya, “Saifaion.” Mereka meneruskan perjalanan. "Adakah mungkin artifak itu ada di stesen ini?" hatinya berbisik.
Bersambung, insya-Allah pada Jumaat malam, 9 Disember 2011...
1 comment:
Markov? Teringat ketua pilot-pilot upahan SRN, Colonel Andrei Markov dalam Ace Combat Assault Horizon.
Post a Comment